Sabtu, 14 November 2009

PENYELEWENGAN HARUS DIBENTERAS

Ramai yang meminta aku memberikan pandangan dalam isu pemecatan syaikh kickdefela dari salah satu syarikat kerajaan negeri Kelantan, yang di"COO" oleh IR Ariffahmi, menantu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Secara umumnya, dalam isu ini, Aku amat respek dengan tindakan Tuan Guru yang membenarkan, malahan mengandungi maksud menjemput pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap menantunya. Sudah pasti, tindakan sebegini amat membanggakan kepada semua ahli PAS, merupakan manusia yang mendokong perjuangan islam yang amat menyerang sebarang penyelewengan.

Secara peribadi, aku tidak mengetahui lebih dalam tentang isu ini. Pun begitu, secara peribadi, aku mencadangkan agar di'selcat'kan kepada mereka yang berkenaan. Ini kerana, tindakan tersebut membuktikan keterlusan dalam pentadbiran.

Adapun dalam isu jemputan hussam musa terhadap umno untuk menjadi timbalan exco, ia sudah terbukti satu berita fitnah yang sengaja dilontarkan menerusi akhbar siasah pada keluaran lepas.

Dan jika dibaca balik siasah keluaran yang baru, pasti kita akan baca di muka surat depan, tentang kandungan sebenar dalam isu ini; yang telah dijelaskan sendiri oleh saudara husam musa.

Sekian

Wallahu Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- dari perjalanan ke kelate (bas)
14 November 2009 * 2:30 petang

APA SUDAH JADI DENGAN SIASAH?

@
Tahukah kita tentang akhbar siasah yang berada di bawah kelolaan Mohd Sayuti Omar?

Bukankah akhbar ini, adalah akhbar banyak mengeluarkan berita-berita yang melahirkan kekeliruan di kalangan ahli PAS tentang keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat, terutama dalam isu Kerajaan Perpaduan?

Apa yang seharusnya diketahui, berdasarkan maklumat dari staf akhbar siasah, bahawa akbar siasah akan ditutup pada akhir bulan 12 ini.

Dimaklumkan, siasah sudah defesit selama 7 bulan. Juga, jualannya tidak lebih dari 20% sahaja. Yang lebih memalukan lagi, akhbar siasah kini sudah berada dalam keadaan yang teruk, sehingga tidak mampu membayar hutang kepada harakah.

Dimaklumkan juga, bahawa MSO sebagai ketua editor telah tidak hadir dalam mesyuarat editorial sebanyak 2 kali dateline.

Apabila di tanya, apa kerja yang akan dibuat oleh MSO selepas ini? Ramai staf hanya memberi jawapan dengan lontaran senyuman sahaja.

Kini, MSO terpaksa menjaulkan dirinya menerusi dunia facebook. Dikhabarkan juga, beliau bersama sang kelembai hendak mengadakan kursus blogger.

Apa perlunya kursus blogger itu?

Yang pastinya, rakyat media sudah menolak blogger pas berwajah umno.

Sekian

Wallahu Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kuala Lumpur
15 disember 2009 * 12:25 pagi

Khamis, 12 November 2009

KEPUTUSAN AKHIR DALAM KEHIDUPAN


KEPUTUSAN AKHIR DALAM KEHIDUPAN

Dalam semua perkara, terakhir adalah keputusan yang hakiki. Kemenangan dalam lumba lari, terletak kejayaan mendahului saingan di garisan penamat. Mendahului manusia di awal, tetapi tidak mendahului di akhir, ia tidak bermaksud kejayaan.

Begitujuga dalam kehidupan ini. kejayaan hakiki adalah, apabila keputusan akhir dalam kehidupan adalah, mentauhidkan Allah SWT; hati tulus dan suci terhadap tuhan yang maha berkuasa. Jika amalan baik dilakukan diperingkat awal, tetapi penamatnya dengan amalan buruk, maka segala amalan baik yang telah dilakukan tidak bernilai lagi di hadapan Allah SWT. Terutama, jika ia melibatkan aqidah.

Dalam satu hadis sahih muslim, daripada Abu Hurairah baawa Nabi SAW ada bersabda;

إن الرجل ليعمل الزمان الطويل يعمل أهل الجنة ثم يختم له عمله بعمل أهل النار ، و إن الرجل ليعمل الزمان الطويل بعمل أهل النار ثم يختم له بعمل أهل الجنة .

Maksudnya;
“Sesungguhnya ada lelaki yang beramal dengan amalan ahli syurga dalam jangka masa yang panjang, lalu dia tutup amalannya dengan amalan ahli neraka. Dan sesungguhnya ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka dalam jangka masa yang panjang, lalu dia tutup amalannya dengan amalan ahli syurga” (sahih Muslim : 4791)

Begitujuga, hadis Riwayat Al-Bukhari, daripada Sahl bin Sa’ad, bahawa nabi SAW bersabda;

إن العبد ليعمل عمل أهل النار و إنه من أهل الجنة ، و يعمل عمل أهل الجنة و إنه من أهل النار ، و إنما الأعمال بالخواتيم

Maksudnya;
“Sesungguhnya ada hamba itu, yang beramal dengan amalan ahli neraka, tetapi dia dari kalangan ahli syurga. Dan ada juga hamba yang beramal dengan amalan ahli syurga, tetapi dia dari kalangan ahli neraka. Ini kerana, semua amalan itu disandarkan kepada yang terakhir” (Al-Bukhari : 6012)

Apa yang dapat dilihat dari hadis ini, nyata betapa sesuatu keputusan itu terletak pada yang terakhir. Terutama dalam perkara yang melibatkan kepada kehidupan.

Justeru, apa yang paling penting difikirkan oleh manusia adalah, bagaimana hendak memastikan kehidupan ini sentiasa berada dalam taat, sehingga maut menjengok tiba?

Bagi menjawab persoalan ini, seorang ulama tasawwuf, Imam Abu Muhammad Abdul Haq berkata, “ketahuilah, sesungguhnya penutup yang buruk bagi seseorang itu, tidak akan berlaku bagi manusia yang sentiasa istiqamah dalam kebaikan zahirnya, dan sentiasa mensucikan batinnya”

”Tetapi, orang yang buruk akhir hayatnya adalah, mereka yang rosak akalnya, dan sentiasa melazimi dengan dosa-dosa besar. Apabila ia teruskan, menyebabkan dia mati dalam keadaan sedemikian sebelum sempat dia bertaubat” sambung Abu Muhammad Abdul Haq.

Justeru, bagi memastikan akhir kehidupan berada dalam ketaatan, aqidah yang betul, hendaklah dipastikan diri sentiasa berada dalam ketaatan; mensucikan batin, membersihkan zahir dengan amalan ketaqwaan. Di samping itu juga, sentiasa berhati-hati dari melakukan amalan dosa, sama ada kecil, mahupun dosa yang besar.

Berdoa dengan Allah, agar hati sentiasa kekal dengan ketaqwaan adalah amat penting. Ini kerana, sesuatu perubahan dalam diri seseorang itu, tertakluk kepada perubahan dalam hati. Apabila hati berubah, secara dasarnya, tubuh badan yang lain juga akan berubah.

Nabi SAW sendiri menyatakan, betapa hati merupakan asas amalan seseorang itu, sama ada menjadi baik atau buruk. Sabda Nabi SAW;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya;
”setiap amalan itu dengan niat (dari hati)” (Al-Bukhari : 1)

Memandangkan hati manusia boleh bertukar, daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada buruk. Berdoa agar hati sentiasa kekal dengan kebaikan, adalah perkara yang amat perlu dilakukan.

Anjuran ini, bukanlah satu perkara yang direka-reka, sebaliknya ia adalah hakikat amalan Nabi SAW. ini kerana, berdasarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa dia berkata;

“Nabi SAW sentiasa berdoa, Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam melakukan ketaatan kepada-Mu”

Anas bertanya, “Wahai Rasulullah, kamu sentiasa berdoa dengan doa ini. apakah kamu kebimbangan?”

“hati hamba itu, diantara dua jari daripada jari-jari Allah yang maha agong. Jika Dia mahu bolakkan, pasti hamba itu akan berbolak”, Jawab nabi SAW ringkas. (Musnad Ahmad : 11664)

Justeru, hindarkan dari dari sebarang maksiat, kerana ia mampu membawa manusia terjun ke lubang kebinasaan. Kebinasaan tersebut, tidak mustahil akan membawa manusia ke lubang neraka yang maha dasyat.

Ekoran itu, sebarang perkara yang boleh membawa kepada dosa, hendaklah dihindarkan diri sejauh-jauh yang mungkin. Sama ada dosa itu, melibatkan orang lain, begitujuga melibatkan diri sendiri. Ini kerana, ada sesuatu dosa itu, waima dilihat seperti melibatkan diri sendiri, tetapi ia tidak mustahil boleh melibatkan orang lain.

Hal ini dirujuk kepada satu hadis riwayat An-Nasai, bahawa Osman bin Affan ada menyebut;

اجتنبوا الخمر فإنها أم الخبائث

Maksudnya;
“Hindarkan diri kamu daripada arak, kerana ia adalah ibu segala dosa”

Kemudian, Osman menyambung katanya dengan bercerita, “ada seorang lelaki yang sentiasa beribadat. Seorang perempuan telah menarik dia masuk ke dalam bilik, dan mengajak berzina. Ketika itu, bersama perempuan tersebut ada seorang bayi kecil dan sebotol arak.”

“aku memberi kamu tiga pilihan” kata perempuan tersebut, “Sama ada kamu berzina denganku, kamu membunuh bayi kecil ini, ataupun kamu minum arak ini?” sambung perempuan itu sambil memegang botol arak yang dimaksudkannya.

Lelaki itu kebingungan memilih dari tiga pilihan tersebut. Dia berfikir, antara tiga pilihan ini, manakah yang berat bagi dirinya.

“Aku tidak sanggup berzina dengan perempuan ini” hatinya berdegus, “lebih aku tidak sanggup mencemarkan tanganku dengan darah untuk membunuh bayi kecil ini” sambungnya lagi.

“lebih baik aku memilih minum arak, kerana ia hanya melibatkan diriku sahaja” lelaki tersebut membuat keputusan.

Makanya, lelaki tersebut minum arak. ketika dia dalam kemabukan, dia berzina dengan perempuan tersebut. Di kala sedang dia berzina, kedengaran tangisan bayi, menyebabkan dia rasa terganggu. Makanya, dia bunuh bayi tersebut.

Waima lelaki itu hanya minum arak sahaja, tetapi memandangkan arak itu merupakan ibu segala dosa, menyebabkan lelaki tersebut melakukan juga dua dosa yang lain.

Makanya, Saidina Osman sekali lagi berpesan dengan katanya, “hidarilah dari dari minum arak, kerana ia adalah ibu segala dosa. Kerana sesungguhnya Iman dan minum arak sentiasa tidak boleh berhimpun” (An-Nasai : 5576)

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 November 2009 * 3:39 petang


TOK GURU BATAL HASRAT KE MAKKAH


TOK GURU BATAL HASRAT KE MAKKAH

Musuh peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mahu menampalkan Tuan Guru dengan rasuah, dengan tujuan melahirkan persepsi buruk kepada Tuan Guru berjaya diurus oleh Tuan Guru dengan baik.

Ini kerana, dimaklumkan bahawa Tuan Guru telah membatalkan hasratnya ke Makkah untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 November 2009 * 12:13 Tengahari

KEHADIRAN SYAITAN DI SAAT KEMATIAN?


KEHADIRAN SYAITAN DI SAAT KEMATIAN?

Di saat kematian sedang hampir, ketika itu berbagai-bagai ujian akan berjumpa. Dalam pemikiran orang yang hampir kepada mati, akan terfikir berbagai-bagai perkara keduniaan, ditambahi pula syaitan datang memujuk, mahu menyesatkannya pada saat itu.

Syaitan ketika itu hadir, menyerupai dengan orang-orang yang terdahulu; orang yang disayangi, seperti menyerupai ibu, bapa, saudara mara, kakak, abang dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Nabi SAW;

“seseorang hamba itu, apabila hampir kepadanya kematian, akan datang kepadanya dua ekor syaitan. Satunya berada di kanan, dan satu lagi berada di kiri.

Syaitan yang berada di kanan, menyerupai dengan wajah bapa, dia akan berkata, “Wahai anakku, Aku merupakan orang yang kamu sayangi dan kamu kasihi. Matilah atas agama nasrani, kerana ia adalah sebaik-baik agama”

Adapun syaitan disebelah kiri pula datang, menyerupai wajah ibu, seraya berkata, “wahai anakku, kamu dilahirkan menerusi perutku ini, kamu minum susu menerusi labu susuku ini, kamu dilahirkan menerusi pehaku ini. Matilah atas agama yahudi, kerana ia adalah sebaik-baik agama
[1]

Ketika orang yang sedang hampir dengan kematian, berlakunya kejadian-kejadian sebegini, sudah pasti ia melahirkan kebingungan menimpa diri. Lebih-lebih lagi, ketika itu, ujian tersebut melibatkan aqidah; yang pada bila-bila masa sahaja, tanpa iman yang kuat akan mengakibatkan kekufuran.

Memandangkan bimbang kegelinciran iman di saat itu, lantaran tidak berdaya untuk berhadapan dengan ujian-ujian seperti ini, ekoran itu, ulama-ulama salaf terdahulu menggalakkan para mukmin agar melazimi membaca doa yang dianjurkan oleh Allah SWT, iaitu doa yang berbunyi;

ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا و هب لنا من لدنك رحمة

Maksudnya;
“Wahai tuhan kami, jangan kamu gelincirkan hati kami setelah kamu memberi hidayah kepada kami. berilah rahmatmu kepada kami”

(Surah Al-Imran : 8)

Jika direnung kepada kandungan doa ini, kita akan dapat memahami betapa hati yang merupakan tempat tersimpan iman itu, amat mudah untuk berbolak. Berbolak tersebut, sama ada kepada kebaikan, juga tidak lepas dari berbolak kepada kesesatan.

Dibimbangi hati itu berbolak kepada kesesatan, terutama ketika kedatangan syaitan yang memujuk agar menjadi kufur di saat kematian sedang mengunjung tiba, makanya doa sebegini seharusnya menjadi amalan harian.

Doa sebegini amat perlu dijadikan amalan harian. Ini kerana, amalan harian adalah amalan yang akan terbawa-bawa ketika saat kematian berkunjung tiba. Ekoran itu, seorang ulama tafsir, Mujahid telah berkata;

”Tidaklah seseorang yang mati itu, melainkan dibentang kepadanya akan apa yang terbiasa dengan dirinya. Jika dia terbiasa dengan amalan ahli lagha, maka dia akan dibentangkan dengan golongan ahli lagha. Sebaliknya, jika dia terbiasa dengan golongan zikrullah, maka akan dibentang bagi dirinya dengan golongan zikrullah juga
[2]

Zikrullah bukan bermaksud duduk bersila, memegang tasbih, lalu mulut terkumat kamit membaca ’subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar’ dan sebagainya. zikurullah yang dimaksudkan, hendaklah dilihat dari sudut yang lebih luas.

Dalam bahasa arab, kalimah zikrullah diterjemah sebagai ’mengingati Allah’. Justeru, semua perkara yang dilakukan; sama ada bercakap, bertindak, berfikir dan semua perkara yang boleh membawa kepada mengingati Allah, maka itu dikira sebagai zikrullah.

Orang yang terbiasa dengan zikrullah, pasti malaikat akan sering berdamping dengannya. Syaitan mudah berdamping dengan orang yang tidak melazimkan diri dengan zikrullah, ditambahi lagi jika pemikirannya tidak pernah terlintas melainkan perkara yang melalaikan sahaja.

Apabila zikrullah menjadi amalan harian, ketika itulah Malaikat sentiasa berdampingan. Perdampingan tersebut, membawa sehingga sampai saat kepada kematian.

Ekoran itu, orang yang biasa dengan zikrullah, Malaikat akan sering berdampingan dengannya, hatta hampir saat kematian. Malaikat tersebut, akan sentiasa berpesan kepadanya agar sering mengingati Allah, disamping memperingatkannya dengan agama hanifiyyah; agama yang merujuk kepada mentauhidkan Allah SWT yang dipimpin oleh para Nabi terdahulu, dan disambung oleh Nabi Muhammad SAW.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 November 2009 * 8:21 pagi




[1] At-Tazkirah : 39.
[2] At-Tazkirah : 40

Rabu, 11 November 2009

KENYATAAN MEDIA CIKGU PA ESOK


Dimaklumkan dari sumber pejabat agong, bahawa esok dalam pukul 11 pagi, Cikgu Pa akan mengadakan satu sidang media dalam isu baiah. Dimaklumkan juga, dalam kenyataan media tersebut, kemungkinan besar Cikgu Pa akan lakukan serangan media terhadap Khalid samad, walaupun isu baiaah ini bermula dari pertemuan Hasan Ali, Nasaruddin Mat Isa dan Roslan SMS dengan blogger UMNO. (sila baca di sini)

apakah benar maklumat tersebut? kita tunggu dan lihat..

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani



- Shah Alam

12 november 2009 * 2:45 petang

KISAH SAYA PEJUANG ISLAM


Buku yang amat menarik untuk dibaca bagi mereka yang mengatakan mereka adalah pejuang islam. Ia amat baik, bagi mereka yang mempunyai perwatakan redikal dalam membawa Islam dalam masyarakat.

Buku ini, menceritakan tentang perjalanan seorang insane yang berjuang islam; pada peringkat awalnya berwatak redikal, lalu bertukar kepada watak, demi melihat Islam ini diterima oleh semua manusia; tidak kira mereka yang muslim, juga non Muslim.

Sila rujuk : Kisah saya pejuang Islam.

Selasa, 10 November 2009

PERSEPSI CIPTAAN MUSUH, PERSEPSI CIPTAAN KITA


PERSEPSI CIPTAAN MUSUH, PERSEPSI CIPTAAN KITA

Dalam politik berpilihanraya, rakyat merupakan satu-satunya senjata utama dalam memastikan kemenangan sesuatu parti. Tidak menghiraukan persepsi rakyat, menyebabkan rebah dalam sesuatu pilihanraya, tidak kira umum atau kecil.

Justeru, bagi mencapai kemenangan dalam berpolitik, tidak dapat tidak, seseuatu parti yang mahu menang, hendaklah berusaha membina persepsi baik di mata rakyat, disamping mencipta persepsi buruk terhadap musuh. Jika tidak berbuat demikian, lebih baik keluar dari peperangan demokrasi. (masuk tabligh, atau Al-Arqam).

Sesungguhnya persepsi buruk ini wujud dengan sebab dua perkara; sama ada sengaja diwujudkan oleh musuh, atau sememangnya ia wujud ekoran tindakan yang tidak bijak dari pihak kita. Jika sesuatu persepsi buruk itu wujud dengan UMNO menciptanya, itu sememangnya lumrah dari politik berpilihanraya, tetapi jika ia dilakukan oleh pihak PAS sendiri, itu satu kebodohan yang tidak boleh dinafikan lagi.

Pertemuan sulit oleh sebilangan pemimpin-pemimpin PAS tertentu dengan UMNO yang dinafikan diperingkat awal, ternyata terbukti wujud pertemuan selepas dari itu, merupakan satu persepsi buruk yang lahir, bukan kerana ciptaan musuh, tetapi ia lahir ekoran tindakan bodoh dari sebilangan pihak dari PAS.

Memang sudah menjadi kaedah UMNO/BN, mereka akan berusaha merosakkan persepsi rakyat terhadap PAS, PKR dan DAP. Begitujuga sebaliknya. Jika UMNO/BN sahaja berusaha hendak memburukkan persepsi rakyat terhadap PAS, PKR dan DAP (PR), disamping PR tidak melakukan apa-apa, secara logiknya, kekalahan pasti akan menimpa kepada PR di masa akan datang.

PAS dengan cita-citanya hendak membina Negara Islam. Pun begitu, agak terbantut apabila rakyat tidak memahami tentang kandungan negara Islam, lantaran lahir tentangan dari pihak lawan, malahan kawan sendiri. Semua penolakkan ini berpunca, apabila wujud persepsi bahawa negara Islam adalah negara keras, ala taliban dan sebagainya.

Nampaknya, barat sudah berjaya membina persepsi buruk tentang kewujudan negara Islam – yang disinonimkan dengan kekerasan. Semuanya bersebab, mereka merujuk kepada Taliban. Lantaran itu pula, persepsi buruk itu telah menimpa kepada semua gerakan islam di dunia, tidak ketinggalan adalah PAS.

Pun begitu, Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah berjaya menghakiskan sedikit demi sedikit tentang persepsi buruk ini. Dengan kejayaan memerintah di kelantan, terbukti kerajaan Islam bukanlah seperti kerajaan Taliban di afghanistan, malah terbukti ia sebuah kerajaan yang mampu memberi keamanan, keadilan, bahkan berjaya memberi perlindungan kepada rakyat-rakyat yang miskin.

Kejayaan ini, menyebabkan rakan-rakan dari DAP yang berbangsa cina, tidak beragama Islam mula tertarik dengan pemerintahan di kelantan, waima Menteri Besarnya berjubah dan berserban. Mereka amat mudah dengan Tuan Guru, waima Tuan Guru sering mengungkap jawapan Islam disebalik semua isu yang sedang berkecamuk dalam masyarakat Malaysia.

Persepsi buruk yang semakin hari semakin berjaya dikikis ini, jangan sekali-kali dikhianati. Berbicara tentang isu melayu, bersekongkol dengan parti zalim (UMNO/BN) dan sebagainya, merupakan tindakan yang terlalu bodoh, kerana ia akan menggagalkan usaha membinasakan persepsi buruk terhadap bentuk kerajaan islam yang mahu diperjuangkan oleh PAS.

NEGARA ISLAM

PAS mahu membina negara Islam di Malaysia. Pun begitu, ada parti-parti yang bersama PAS tidak mempunyai idealogi membina negara Islam. Apabila keadaan ini wujud, agak susah hendak PAS mahu meneruskan asas perjuangannya.

Hakikat di Malaysia, PAS tidak mampu menbina negara sendirian. PAS terpaksa berkongsi tenaga dalam menang; mengalahkan UMNO/BN dengan bersama-sama parti yang lain; PAS, PKR dan DAP (PR)

Justeru, apabila jatuh UMNO/BN, tidak dapat tidak PAS perlu menbina kerajaan PR, bukan kerajaan PAS. Bermakna, sebarang keputusan dalam kerajaan, PAS tidak boleh lakukannya secara bersendirian. Begitujuga, parti-parti yang lain. Dengan kata lain, pihak DAP tidak boleh menuntut PAS mengugurkan asas perjuangan negara Islam, juga PAS tidak boleh menuntut DAP mengugurkan asas perjuangan negara sosialis. Begitujuga, terhadap PKR.

Keperbedaan asas perjuangan masing-masing ini, perlu diurus dengan baik. Keperbedaan ini, pasti akan diambil ruang oleh musuh untuk melahirkan persepsi buruk terhadap PAS, juga terhadap PKR dan DAP. Ekoran itu, musuh akan menyebut tentang PAS mahu memperjuangkan negara Islam, tetapi terpaksa akur dengan kehendak DAP dan PKR yang tidak sealiran idealogi dengan PAS.

Tujuan musuh menyebut sedemikian, tidak lain dan tidak bukan, adalah mewujudkan persepsi buruk terhadap PAS. Apabila ini berlaku, jangan sekali-kali tunduk dengan tuduhan musuh, sebaliknya uruskan persepsi yang mahu diwujudkan oleh musuh itu dengan penuh bijaksana.

NEGARA ISLAM

Negara islam sudah diburukkan gambarannya. Apabila rakyat mendengar negara Islam, persepsi yang hadir dalam pemikiran dan hati mereka, bukanlah sesuatu yang baik, sebaliknya gambaran buruk sahaja kelihatan. Semua ini berlaku, kerana kerja buat UMNO/BN-laknatullah alaih.

Apabila persepsi buruk ini terlahir, tidak menjadi kesalahan jika kita mencipta nama selain negara Islam, tetapi kandungan penubuhan negara tersebut, betul-betul adalah kandungan negara islam.

Cadangan penubuhan negara berkebajikan, merupakan cadangan yang amat bijak dalam berinteraksi dalam politik berpilihanraya yang penuh dengan kepersepsian. Jika dihayati balik, dengan nama kerajaan berkebajikan, ia tidak pernah tersasar langsung dengan maksud negara islam yang mahu diperjuangkan oleh PAS.

Cuma yang dipertikaikan adalah nama.

Mengapa dipeningkan kepala tentang nama? Walhal, kaedah Islam menyebut, “hukum berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama”. Bermakna, sesuatu hukum itu, tidak boleh dilihat pada nama, tetapi hendaklah dilihat kepada perkara yang diberi nama.

Lebih-lebih lagi, pengistilahan nama “negara islam”, bukanlah satu nama yang disebut menerusi nas hadis, mahupun Al-Quran, tetapi ia di popularkan oleh Rashid Redha.

NAMA DAN BENDA DIBERI NAMA

Tidak perlu debatkan tentang nama, tetapi yang paling penting didebatkan adalah, benda yang diberi nama.

Jika dahulu, bising seketika tentang isu ‘Nikah mis-yar’. Ramai yang menolak, malahan mengatakan haram disebabkan merujuk kepada nama ‘nikah mis-yar’ yang diterjemah sebagai ‘kahwin jalanan’.

Tetapi, apabila dilihat maksud disebalik nama ‘nikah mis-yar’ tersebut, pasti kita tidak akan mudah melatah, ataupun tidak mudah untuk menyatakan hukumnya adalah haram. Ini kerana, maksud nikah mis-yar adalah, ‘perkahwinan yang pengantin perempuan membenarkan suaminya tidak memberinya nafkah’.

Perkahwinan dengan perempuan, lalu perempuan tersebut membenarkan dirinya tidak diberi nafkah, bukanlah sesuatu yang haram, malahan ia dibenarkan dalam islam, waima kurang digalakan.

Ini kerana, isteri Nabi SAW sendiri yang bernama Saodah binti Zam’ah membenarkan kepada baginda SAW tidak bermalam dirumahnya di waktu malam giliran. Bahkan, menghadiahkan kepada nabi SAW malam giliran di rumahnya itu, kepada siti Aisyah R.Ha. hadiah tersebut diberikan kepada nabi SAW adalah bersebab, Saodah sudah terlalu tua; banyak perkara yang tidak dapat dikhidmatkan kepada Nabi SAW.

Dilihat dari kisah Nabi SAW dan Saodah ini, kita dapat lihat bagaimana Saodah merelakan dirinya tidak diberi nafkah bermalam, lalu dihadiah kepada siti Aisyah. Ini menjadi dalil, bahawa kahwin mis-yar tidak haram, malahan diharuskan dalam islam, waima nama ‘nikah mis-yar’ itu diterjemah sebagai ‘kahwin jalanan’, kelihatan seperti tidak manis.

Begitujuga, Saidina Omar bin Al-Khattab menukar nama dari kalimah pembayaran Jizyah kepada membayar zakat terhadap kelompok bukan islam di Madinah dari kalangan Bani Tughlub (ada baca : Bani Taghlab). Pada hakikatnya, orang bukan Islam tidak sah membayar zakat, sebaliknya mereka dikenakan pembayaran jizyah.

Pun begitu, kerana bimbang dilihat ada perbedaan antara mereka dengan umat Islam yang lain, dan seterusnya mereka menjadi seperti terasing dan tidak mustahil, pada bila-bila masa sahaja, mereka boleh memberontak menyerang kerajaan islam, maka Omar bin Al-Khattab pun sanggup menukar kalimah “jizyah” kepada “zakat” untuk puak Bani Taghlab di madinah.

Keadaan yang sama juga dalam isu negara Islam yang mahu ditubuhkan oleh PAS di Malaysia. Negara Islam, namanya sudah diburukkan oleh musuh-mush Islam – terutama UMNO – menyebabkan nama tersebut sudah melahirkan persepsi yang buruk di mata-mata non Muslim. Apabila keadaan ini berlaku, tidak ada salahnya, jika PAS mengunakan nama yang lain, seperti negara berkebajikan dan sebagainya, tetapi kandungannya, tidak pernah tersasar dari maksud negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 november 2009 * 3:35 petang

KENYATAAN MEDIA KETUA PEMUDA PAS SHAH ALAM

KENYATAAN MEDIA
KETUA DEWAN PEMUDA PAS SHAH ALAM
BERHUBUNG PERLETAKAN JAWATAN

10 November 2009 / 22 ZulQaedah 1430H



1. Saya merujuk kepada dua laporan media semalam;

1.1. TheStar: Youth Chief Ahmad Sayuti Quits Posts In PAS
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/11/9/nation/5069585&sec=nation

1.2. AgendaDaily: Ketua Pemuda PAS Shah Alam Letak Jawatan
http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_cf6ac75e-7f000010-111c3670-2b6cde67

2. Pertamanya ingin saya tegaskan pihak Barisan Nasional sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan apa jua tindakan demi merosakkan kestabilan Pakatan Rakyat (PR), khususnya di Selangor. Perkara ini amat dirasai dengan kesungguhan UMNO khususnya menimbulkan pelbagai masalah terutamanya di Parlimen Shah Alam yang menjadi ibu negeri Selangor.

3. UMNO cuba menggangu-gugat pentadbiran parti dan kerajaan dengan pelbagai usaha bermula dengan isu hiburan, pengekatan penjualan arak yang diluluskan secara bersama oleh barisan Ahli Majlis MBSA, isu perarakan kepala lembu, isu penghinaan dan ancaman terhadap wakil rakyat, permit khutbah dan lain-lain.

4. Selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam (DPPSA), saya memandang semua perkara yang dilakukan ini adalah untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, seterusnya menunjukkam sikap sebenar mereka yang masih berada dalam penafian (state of denial) terhadap kebencian rakyat yang bertambah terhadap Barisan Nisoanal pada masa ini.

5. Laporan media yang saya rujuk hari ini menunjukkan satu lagi memanipulasi berita yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang jelas cuba memberikan gambaran palsu terhadap apa yang berlaku, antaranya;

5.1. Perlepasan semua jawatan saya di peringkat Pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Selangor adalah disebabkan tekanan yang diterima berhubung rakaman ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat.

Saya ingin tegaskan kenyataan tersebut adalah fitnah dan berniat buruk. Ingin saya nyatakan hingga kini tiada apa pertanyaan atau sebarang tekanan diterima berhubung rakaman. Saya yakin Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat masih dalam siasatan berkenaan rakaman tersebut, dan akan menghubungi saya jika memerlukan maklumat lanjut berkenaan rakaman yang dimaksudkan, dan saya akan memberi kerjasama papa jawatankuasa itu.

5.2. Kekesalan terhadap tindakan melakukan rakaman dan penggunaan media untuk melaporkannya.

Ingin saya nyatakan rakaman dan serahan bahan tersebut kepada pimpinan PAS dibuat dengan penuh tanggungjawab dan beramanah untuk melihat PAS lebih berjaya di dalam gabungan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor, tanpa sesekali timbul isu kesal. Saya tegaskan tidak langsung wujudnya elemen penyebaran maklumat tersebut kepada mana-mana media, melainkan ianya hanyalah untuk perhatian pimpinan tertinggi PAS Pusat sahaja.

6. Sebagai Ketua DPPSA, saya menyokong penuh keputusan Mesyuarat Khas PAS Pusat pada 28 Oktober 2009 lalu untuk menyerahkan isu berkaitan PAS Selangor dan tindakan Pesuruhjayanya kepada keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat. Saya berharap siasatan dilakukan dengan segera dan terperinci terhadap semua bahan bukti yang telah dikemukakan oleh mana-mana pihak kepada Jawatankuasa Tatatertib, dan tindakan tegas hendaklah dikenakan kepada mana-mana individu yang terlibat di dalam menimbulkan polemik tersebut.

7. Saya ingin menegaskan perletakan jawatan saya di peringkat negeri dan pusat sebagai (1)Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, (2)Ketua Lajnah Politik Pemuda PAS Selangor, (3)Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, (4)Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor dan (5)Setiauasaha Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat langsung tiada kena mengena dengan apa jua krisis dalaman parti yang sedang ditangani sekarang.

8. Seperti ketegasan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan, keperluan utama perletakan jawatan saya hanyalah kerana tawaran pengajian di luar negara yang diterima oleh isteri saya dan saya turut mengambil keputusan untuk turut mendapatkan tawaran pengajian di negara yang sama selama menemani beliau.

9. Jawatan saya sebagai Ketua Pemuda DPPSA pula akan dipangku oleh Timbalan saya selama ketiadaan saya di dalam negara.

10. Saya berharap kenyataan ini akan memberikan gambaran sebenar terhadap DPPSA dan PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) yang menggesa setiap Ahli Parti mendukung penuh keputusan Muktamar PAS baru-baru ini untuk berusaha memperkukuhkan parti dan kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat dan menghindarkan segala bentuk polemik yang boleh merosakkan pencapaian tersebut.

11. Saya juga menggesa agar pihak media bersikap amanah dan beretika di dalam melaporkan apa jua berita, tanpa terperangkap di dalam permainan politik Barisan Nasional.


Sekian. Terima Kasih.

MEMPERSADA PERJUANGAN


Yang Menjalankan Amanah,


Ahmad Sayuti Bin Bashiron
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

10 November 2009 / 22 ZulQaedah 1430H

s.k.
p/s : Dalam 2 minggu ini, Saudara Sayuti sering dikunjungi oleh ramai rakan-rakan media, juga rakan-rakan dari PKR, DAP, tidak ketinggalan juga puak-puak UMNO, untuk minta rakaman. Tetapi Saudara Sayuti jawab, "Tak Boleh, ana kena tunggu keputusan parti". Puak-puak UMNO yang tidak dapat rakaman tersebut, marah, lalu menfitnah, kononnya rakaman itu telah tersebar. Walhal, Hasan Ali sendiri mengadakan roadshow seluruh selangor, terutama di Kota Raja, mendakwa Saudara Sayuti membocorkan rahsia parti. nampaknya, Hasan Ali Sudah kepanasan...

Isnin, 9 November 2009

BIJAK LAKSANAKAN PRINSIP, BIJAK URUS PERSEPSI


BIJAK LAKSANAKAN PRINSIP, BIJAK URUS PERSEPSI

Kalimah “persepsi” dibahas dan didebat dalam dunia blog. Semuanya, bermula dari kajian yang dilakukan oleh dua orang tokoh akademik; Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hasan Hasbullah tentang persepsi rakyat terhadap PAS, yang dilontarkan dalam seminar Khas anjuran PAS pusat baru-baru ini.

Dari sudut politik kepartian berpilihanraya, persepsi adalah sesuatu yang perlu dilayan. Apabila wujud satu persepsi terhadap sesuatu parti, itulah hakikat gambaran parti tersebut dari kacamata rakyat.

Tidak melayan kerenah persepsi dalam politik berparti, ia sama seperti politik ala Taliban di Afghanistan. Pada mereka, lawan musuh adalah perlu, tetapi mereka tidak pernah fikirkan persepsi rakyat terhadap mereka.

Tidak dinafikan, Taliban sebuah gerakan Islam di Afghanistan. Keberadaan mereka ekoran tidak berjaya golongan “bapa” dalam melaksanakan islam selepas keluarnya Soviet Union dari bumi Afghanistan; iaitu apabila berlaku pertembungan tiga penjuru, Masud, Rabbani dan Hekmatiyar.

Pertembungan antara ketiga-tiga parti ini melahirkan pembunuhan sesame mereka, walhal sebelum ini, mereka bersatu dalam mengeluarkan Soviet Union dari bumi Afghanistan.

Keadaan ini berlanjutan, menyebabkan Taliban mengambil sikap menyerang ketiga-tiga parti tersebut. ternyata, Taliban berjaya mengalahkan Rabbani dan Hekmatiar, tetapi tidak berjaya mengalahkan Mas’ud. Kekalahan dua parti; Hekmatiar dan Rabbani, memberi kejayaan awal bagi Taliban untuk menubuhkan kerajaan. Makanya, dilantik Mulla Omar sebagai Amir Al-Mukminin.

Taliban hanya berjaya memerintah di bumi yang dulunya dikuasai oleh Hekmatiar dan Rabbani sahaja. Adapun di bahagian utara Afghanistan, yang dikuasai oleh Mas’ud, Taliban tidak berjaya memerintah.

Pemerintahan Taliban benar-benar mahu melaksanakan Islam, tetapi sayang cara pengurusan dalam melaksanakan Negara Islam Afghanistan, Taliban tidak melihat persepsi rakyat terhadap mereka.

apabila ini berlaku, menyebabkan rakyat tidak bersama Taliban, malahan majority rakyatnya membenci dengan keberadaan Taliban di bumi Afghanistan, waima Taliban memerintah mengikut Islam.

Semua ini berpunca, apabila Taliban hanya fikirkan perlaksanaan islam dan memikirkan untuk menyerang musuh, tetapi, mereka tidak pernah berfikir persepsi rakyat terhadap mereka, melahirkan Taliban rebah menyembah bumi dikala diserang oleh tentera Amerika, tanpa mendapat dokongan dari rakyat mereka sendiri.

CARA LAKSANA PRINSIP

Perlaksanaan hukum islam merupakan perkara prinsip. Tetapi, dalam usaha melaksanakan prinsip tersebut, perlu dilihat kepada persepsi rakyat; apakah mendapat keuntungan yang lebih besar, ataupun melahirkan mudharat?

Sebab itu, hudud wajib dilaksanakan secara perinsip. Tetapi, dalam beberapa keadaan, Saidina Omar bin Al-Khattab sendiri menangguhkan perlaksanaan hudud di saat musim kelaparan. apabila ini difahami, nyata bahawa perkara prinsip yang hendak dilaksakan, perlu mempunyai kebijaksanaan dalam melaksanakannya, agar tidak melahirkan mudharat yang lebih besar kepada Islam.

Secara asasnya, sebarang perlaksanaan, perlu dilihat maslahah dan mudharat disebalik perlaksanaan tersebut. Inilah hakikat yang perlu difahami, bahkan wujud dalam sebarang Nas wahyu ilahi.

PRINSIP NABI

Ada sebilangan mendakwa, dalam melaksanakan prinsip, Nabi SAW tidak pernah melihat kepada persepsi. Ekoran itu, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud;

”Wahai Bapa saudaraku, jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan matahari ditangan kiriku, untuk aku meninggalkan dakwah ini, nescaya tidak aku laksanakan, melainkan aku menang ataupun, aku binasa kerananya”

Perlu diingat, ungkapan nabi SAW ini sebenarnya melahirkan maslahah yang besar kepada Islam. Ini kerana, pertemuan yang dilakukan oleh pembesar-pembesar kafir, yang menawarkan ganjaran harta, wanita malahan raja kepada Nabi SAW menerusi Abu Talib ketika itu, iaitu dikala orang kafir sudah kehabisan strategi dalam menyekat dakwah nabi SAW.

Orang kafir menyedari, seksaan dan tekanan yang mereka lakukan terhadap para sahabat, tidak pernah mengurangkan pengikut Nabi SAW. Bahkan, semakin hari, semakin ramai manusia yang mengikut Nabi SAW dengan memeluk islam.

Apabila ini terjadi, menyebabkan orang quraish terpaksa menggunakan habuan harta, wanita dan pangkat dalam memberhentikan dakwah nabi SAW. Lalu, apabila mereka menawarkan segala kemewahan ini kepada Nabi SAW, menyebabkan nabi SAW memberikan jawapan ini.

Apa yang dapat dilihat, jawapan ini bersifat prinsip yang benar-benar melahirkan keuntungan dakwah kepada Nabi SAW, iaitu dengan orang kafir sudah kehabisan cara dan strategi lagi dalam memberhenti dakwah Nabi, yang dilihat semakin ramai yang mengikut baginda SAW.

NABI PULANG DARI ISRA’ MI’RAJ

Semasa Nabi SAW pulang dari Isra’ dan mi’raj, nabi SAW tetap hendak memberi makluman kepada rakyat Makkah tentang kepergian baginda pada malam tersebut ke bumi palestine dan ke langit berjumpa dengan Allah SWT.

Dipesan oleh Ummu Hani’, agar tidak memberi tahu perkara tersebut kepada rakyat Makkah, kerana bimbang orang akan menolak nabi SAW. Pun begitu, Nabi SAW tetap mahu memaklumkan kepada rakyat Makkah, waima mendapat persepsi buruk dari rakyat Makkah.

Jika dilihat sekali imbas, kita akan kata, bahawa tindakan Nabi SAW itu melahirkan persepsi buruk dari rakyat, ini kerana, jika Nabi SAW memaklumkan juga kepada rakyat makkah tentang perjalanan nabi SAW pada malam isra’ dan mikraj, pasti rakyat akan menolak nabi SAW.

Pun begitu, jika kita perhatikan sedalam-dalamnya, kita akan tahu mengapa Nabi SAW tetap mahu memaklumkan kepada rakyat. Ini kerana, tindakan Nabi SAW itu mempunyai kemudharatan yang sedikit, dengan mencapai maslahah yang lebih besar selepas itu.

Ini kerana, kejadian Isra’ dan Mikraj Nabi SAW itu adalah hampir dengan waktu penghijrahan nabi SAW ke Madinah. Justeru, apabila Nabi SAW menyatakan kepergian nabi SAW pada malam Isra’ dan Mikraj, ia merupakan maklumat awal yang nabi SAW sampaikan kepada rakyat Makkah, untuk mereka mempercayai perkara tersebut di masa yang mendatang.

Di Makkah, Nabi SAW sering dicemuh oleh musuh, tetapi para sahabat tetap mempercayai Nabi SAW. Apabila Nabi SAW melontarkan makluman bahawa baginda SAW pergi Isra’ dan mikraj, ketika itu mereka yang percaya adalah manusia yang mempunyai keimanan yang kental. Mereka yang kental sahaja sanggup meninggalkan kampung halaman, untuk berhijrah ke Madinah.

Tidak dinafikan, memang tindakan nabi SAW memaklumkan kepada rakyat makkah tentang isra’ dan mikraj itu melahirkan satu persepsi buruk terhadap rakyat Makkah, tetapi persepsi itu merupakan mudharat yang kecil, jika dibandingkan maslahah yang besar, iaitu dengan kejayaan sebilangan sahabat Nabi SAW yang sanggup meninggalkan Makkah ke Madinah dalam sejarah hijraturrasul SAW.

Juga, tindakan Nabi SAW tidak menyembunyikan maklumat Isra’ dan Mikraj tersebut, melahirkan mudharat di Makkah sahaja, tetapi setelah sekian lama Nabi SAW di Madinah, rakyat Makkah semakin hari semakin memahami dan mempercayai disebalik Isra’ dan Mikraj Nabi SAW. Lebih-lebih lagi, setelah mereka sendiri melihat banyak kebenaran yang telah disampaikan oleh nabi SAW semasa memerintah di Madinah.

Diramalkan, jika Nabi SAW menyembunyikan perkara ini terlebih dahulu, kemudian memaklumkan setelah berkuasa, sudah pasti mudharat yang lebih besar akan menimpa, iaitu kemungkinan besar orang islam akan mendakwa Nabi SAW penipu dan sebagainya. Ini kerana, perkara isra’ dan mikraj adalah perkara yang sukar untuk dipercayai, jika difikirkan menerusi akal sahaja.

Apa yang kita dapat faham, Nabi SAW juga mempunyai strategi dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berat untuk dipercayai, terutama dalam isu Isra’ dan Mikraj.

Keadaan ini, sama seperti PAS lakukan untuk memahamkan rakyat tentang perlaksanaan islam. jika tidak disebut langsung, sudah pasti rakyat tidak mengetahui asas perjuangan PAS. Tetapi, di saat PAS terlalu lemah, PAS tetap bercakap tentang perlaksanaan islam.

Apabila sudah semakin hari semakin lama, PAS terus berkempen dalam Pilihanraya, sehingga hari ini, kita dapat melihat bagaimana perlaksanaan islam yang merupakan satu persepsi yang buruk dari kalangan rakyat Malaysia dahulu, sudah menjadi suatu yang tidak buruk lagi. Semuanya bersebab, wujudnya sebilangan cendekiawan Islam di malaysia berjaya membuktikan keadilan yang wujud dalam perlaksanaan islam.

NABI SAW RAI PERSEPSI

Prinsip adalah perkara yang wajib dilaksanakan. Pun begitu, cara perlaksanaan prinsip tersebut mempunyai seribu satu kebijaksanaan; apakah melahirkan keuntungan kepada Islam, ataupun melahirkan kerugian kepada Islam? Jika mempunyai kerugian pun, ia bersifat sementara, tetapi mendapat keuntungan di masa akan datang yang berpanjangan.

Nabi SAW sendiri, amat mementingkan asas keuntungan dan kerugian kepada Islam ini. Antara cara nabi SAW memerhatikan ini, dengan melihat kepada persepsi dikalangan rakyat.

Ekoran itu, Nabi SAW tidak mengizinkan Omar bin Al-Khattab membunuh Abdullah bin Ubai, bapa Munafiq Madinah, kerana bimbang mendapat satu persepsi buruk yang berpanjangan, bahawa nabi SAW membunuh orang islam. Begitujuga, Nabi SAW tidak melewatkan pembetulan Kaabah pada tapak yang tepat, kerana ketika itu rakyat Makkah baru sahaja memeluk islam.

Apabila kita memahami ini, sudah pasti kita dapat melihat bagaimana bijaknya Nabi SAW dalam mengurus persepsi. Ekoran itulah, tidak hairan nabi SAW sentiasa dilihat cergas dan cerdas oleh manusia seluruh dunia, sehingga nama baginda disebut-sebut sehingga ke hari ini, sama ada mereka beragama Islam, mahupun tidak beragama Islam.

Secara khulasahnya, kita dapat melihat kebijaksanaan dalam mengurus persepsi amat perlu. Waima dalam perkara prinsip, Nabi SAW berjaya melaksanakan perkara prinsip tersebut, dengan seribu satu kebijaksanaan tanpa melahirkan persepsi yang buruk terhadap islam itu sendiri.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
10 November 2009 * 2:12 petang

Ahad, 8 November 2009

MEMPOPULARKAN KEBENARAN


MEMPOPULARKAN KEBENARAN

Tidak semua yang popular itu benar, bahkan wujud juga yang popular tapi tidak benar. tetapi, yang paling penting adalah, bagaimana hendak mempopularkan orang yang bawa kebenaran?

Mungkin itu dianggap penting, tetapi yang lebih penting adalah, bagaimana hendak mempopularkan kebenaran yang dibawa oleh pembawa kebenaran?

Ada sebilangan manusia, mereka mahu mempopularkan ketidak-benaran mereka. Tidak dinafikan juga, ada manusia yang lain membawa bendera kebenaran, tetapi mereka tidak mahu mempopularkan kebenaran mereka itu.

Antara dua jenis manusia ini, manakah yang lebih baik? Sudah pasti kita akan menjawab, manusia yang kedua; golongan yang benar, tetapi tidak mempopularkan kebenaran yang dibawanya.

Sedihnya lagi, apabila golongan pertama; iaitu golongan yang mempopularkan ketidak-benaran mereka, lebih bersungguh-sungguh berbanding golongan yang kedua; iaitu golongan yang benar tetapi tidak mempopularkan kebenaran mereka. apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti ketidak-benaran akan terpopular. Jika ia berlaku, dibimbangi bala akan menjadi popular dalam masyarakat.

Justeru itu, adalah terlebih baik untuk mempopularkan kebenaran yang dibawa. Ini kerana, kebenaran yang tidak dipopularkan merupakan tegahan tuhan. Bukankah dalam islam, wujud unsur amar ma’ruf dan nahi mungkar?

Tidak ada guna menjadi golongan yang benar, jika tidak berusaha hendak mempopularkan kebenaran tersebut. Tanpa mempopularkan kebenaran, apa gunanya kebenaran itu wujud.

Dalam mempopularkan kebenaran, langkah yang baik adalah berusaha. Tanpa usaha, kebenaran tidak akan popular. Orang yang benar, tetapi tidak mempopularkan kebenarannya, adalah orang yang malas dan tidak serius dalam melihat kebenaran. Jika ini berlaku, sudah pasti orang yang tidak serius itu disebut sebagai orang tidak benar juga. Ini kerana, orang yang benar, pasti dia mahu kebenaran terpopular.

Kebijaksanaan juga amat penting dalam usaha melihat kebenaran itu menjadi popular. Jika bodoh, kadangkala kebenaran boleh dilihat seperti tidak-benar. Inilah hakikat berinteraksi dengan manusia; yang merupakan makhluk yang mempunyai emosi dan perasaan dalam menilai sesuatu perkara yang mahu dipopularkan.

Justeru, popular dan benar adalah dua perkara yang saling kuat mengkuatkan. Tanpa salah satu, orang yang berada dalam kebenaran pun, dibimbangi dilihat seperti tidak benar.

Yang paling penting bagi kita adalah, kebenaran mesti dilaksanakan. Perlaksanaan kebenaran tidak akan berjaya dilaksanakan, tanpa kebenaran itu dipopularkan. Kebenaran tidak akan berjaya dipopularkan, tanpa kebijaksanaan. Justeru, kebijaksanaan dalam mempopularkan kebenaran amat perlu. Makanya, orang yang bijak mempopularkan kebenaran hendaklah dikedepankan berbanding orang yang benar, tetapi tidak bijak mempopularkan kebenaran tersebut.

Jika orang yang benar, tidak bijak mempopularkan kebenaran ini dikedepankan juga, sampai bila-bila pun kebenaran tidak akan menjadi popular. Justeru, buat apa duduk dalam team yang berjuang untuk mempopularkan kebenaran, jika kebenaran tidak berjaya dipopularkan?

Sekian


p/s : aku lebih bimbang, apabila kebenaran sudah sampai ketahap yang sudah popular, lalu ditidak-popularkan dengan sebab ketidak-bijaksanaan orang yang membawa kebenaran.


Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com






- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 November 2009 * 2:10 petang

CABARAN BESAR BUAT PEMUDA PAS

CABARAN BESAR BUAT PEMUDA PAS

Sebelum ini, aku sering bertanya kepada anak-anak muda yang aku temui di pelbagai tempat, apakah mereka mengenali tokoh-tokoh politik dari kalangan pemuda PAS? Menyedihkan, boleh dikatakan hampir semua tidak mengenali tokoh bernama Nasaruddin Tantawi, hatta bekas ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Itu sekadar pertemuan biasa yang apabila aku berjumpa dengan sebilangan anak muda, maka sengaja aku lontarkan soalan sebegitu. Ekoran itu, sebelum ini aku sering mengkritik pemuda agar melakukan perubahan dalam sudut mendekatkan dengan anak muda, seperti tidak bersifat menghentam program-program hiburan dan sebagainya, sebaliknya bersifat mencadangkan alternative demi meraih pengaruh anak muda kepada PAS.

Mungkin aku tidak mengulas lagi, bagaimana wujudnya sebilangan anak-anak muda yang menyebut PAS sebagai ’parti taliban’, dan yang paling sering kedengaran adalah ’parti surau dan masjid’ dan ’parti poyo’.

Aku secara peribadi pun, sudah mendapat maklumat dari beberapa kajian tentang penerimaan dan penolakan non-Muslim terhadap PAS, terutama selepas terwujudnya isu Kerajaan perpaduan dahulu. Perkara ini, telah aku nukilkan secara rambang dalam ruangan blog ini, tetapi dinafikan dan tidak mahu diambil serius oleh sebilangan kecil pembaca yang kononnnya sayangkan PAS.

Aku tidak memaksa mereka menerima tulisanku itu, kerana perkara yang wajib diimankan hanyalah al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Pun begitu, padaku, PAS perlu melakukan satu tindakan yang bijak dan berhikmah dalam usaha hendak menarik pengaruh rakyat Malaysia untuk mereka menerima PAS dalam era Pakatan Rakyat ini, seterusnya PAS berjaya melaksanakan Islam yang menjadi dasar yang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama.

Walaubagaimana pun, dalam seminar Khas yang dianjurkan oleh PAS baru-baru ini, memberikan satu ’getaran jiwa’ bagi pendokong-pendokong PAS, terutama pemuda. Ini kerana, data kajian yang dikemukakan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah itu, menggambarkan betapa PAS terlalu kurang diterima oleh anak-anak muda.

Dr Abu Hasan Hasbullah menyebut, PAS disokong oleh golongan muda dari umur 21-30 adalah 63 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 633 orang; umur 31-40 pula yang menyokong PAS adalah 181 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 519 orang.

Tidak mengapa untuk menafikan data ini, tetapi jangan menyesal jika PAS kalah dalam PRU akan datang. Ataupun, jangan sekali-kali menyalahkan tuhan secara mutlak, dikala terbukti PAS kalah dalam mana-mana PRU.

Justeru, data yang dibentangkan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah ini, sepatutnya menjadi satu peringatan bagi pemuda PAS agar bertindak lebih berhikmah dalam menarik minat anak muda kepada PAS.

Dalam keadaan sebegini pula, aku amat pelik apabila ada kenyataan sebilangan pemimpin PAS yang mahu melakukan kajian lain untuk memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan Hasbullah tersebut. Apakah tujuan dilakukan kajian lain itu? apakah untuk menutup kelemahan?

Jika tidak berpuas hati dengan kajian Dr Abu Hasan Hasbullah, apa perlunya melakukan kajian lain, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan tersebut? Bukankah itu, membanyakkan kerja? Bukankah lebih baik, kalau terus merancang dan wujudkan plan tindakan dalam usaha hendak menarik minat pengundi kepada PAS. Jika, mahu dilakukan kajian sekali lagi, dibimbangi sebuk dengan kajian itu, sehingga terlalai terus dari bertindak untuk menarik minat pengundi?

Selalunya, orang yang sibuk dengan satu kerja, mereka akan terlalai dengan kerja yang lain. Perkara ini sebenarnya wujud dalam budaya PAS.

Aku bimbang, kerana PRU hanya tinggal 2 tahun sahaja. Malah, mungkin tidak sampai 2 tahun lagi. Kalau tidak bertindak dari sekarang, kemungkinan besar, sejarah 2004 berulang kembali.

Jika kita menjengok sekejap sejarah kejatuhan PAS pada tahun 2004, kita dapat melihat isu negara Islam dan perlaksanaan hudud terbukti menjadikan PAS gagal mempertahankan pemerintahan di Terengganu. Ekoran itu, bekas Menteri besar Terengganu ketika itu berucap;

”Justeru itu, isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan besar dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukan mengenai islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan seperti yang diamal kini di peringkat federal

”seandai menang dalam Pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat federal atau pusat yang mendukung perlembagaan persekutuan yang ada” (buku Sejarah Sebagai hakim muktamad : 122)

Mungkin ketika itu, tidak ada mana-mana pakar atau ahli akademik pun yang menegur PAS atas kesilapan yang berlaku, menyebabkan PAS kalah teruk, seterusnya melahirkan ucapan sebegini.

Pun begitu, diharapkan ucapan yang beraliran sebegini tidak terpancul pula pada kali kedua, iaitu setelah kita tidak mahu mendengar luahan dan kajian yang telah diberikan oleh ahli akademik, ataupun kita ego dalam menerima kritikan orang bawahan atau orang luaran dalam mempertahankan kemenangan yang ada.

Padaku, sekarang bukan masanya untuk kita buat kajian kali kedua, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu hasan hasbullah, sebaliknya, bermula dari sekarang PAS perlu merancang program-program mesra rakyat, disamping membina balik kepercayaan rakyat terhadap PAS demi melihat kemenangan PAS dalam PRU akan datang.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 November 2009 * 12:54 Tengahari

TA’LIQ CERAI ISTERI BIMBANG KHIANAT PARTI?


TA’LIQ CERAI ISTERI BIMBANG KHIANAT PARTI?

Sumpah tidak akan berlaku, melainkan dengan menyebut salah satu dari nama-nama Allah, juga salah satu dari sifat-sifat Allah yang maha sempurna. Cumanya, dita’liqkan pula dengan menceraikan isteri. Bermakna, ia bermaksud bersumpah disamping diwujudkan kalimah ta’liq cerai isteri.

Ta’liq menceraikan isteri dianggap seperti memperdagangkan perempuan, merupakan satu tuduhan yang tidak berasaskan kepada ilmu. Ini kerana, dalam setiap pernikahan di seluruh Malaysia, ta’liq ini wujud dikala akad nikah berlaku. Seperti, selepas akad nikah, pengantin lelaki diminta oleh Juru Nikah agar membaca ta’liq yang kandungannya lebih kurang begini;

“sesudah minah binti mamat sah menjadi isteriku, lalu aku telah meninggalkannya selama 4 bulan berturut-turut, tanpa mendapat nafkah zahir dan batin, ketika itu, terfasakhlah nikah ini”.

Jika ta’liq isteri dianggap sebagai amalan jahiliyyah, mengapa ta’liq yang sudah sedia diamalkan di seluruh malaysia seperti ini, tidak dianggap sebagai amalan jahiliyyah??

Mungkin ini yang perlu YB Zul Kulim kena jawab????

TA’LIQ CERAI ISTERI

Ta’liq cerai isteri jika khianat parti menjadi isu yang dimainkan oleh UMNO/ BN. Semuanya telah terbocor, ekoran pertemuan tertutup (mungkin tidak sulit kot) antara beberapa pimpinan PAS dengan blogger-blogger UMNO.

Mungkin kita perlu lupakan masalah mainan parti murahan UMNO yang maha bodoh lagi maha bangsat itu. Yang penting kita nyatakan, dari segi hukum, apakah tindakan tersebut bersalah atau tidak?

Berpolitik dalam islam merupakan satu tuntutan. Tuntutan itu berpunca, ia bertujuan untuk melaksanakan satu amanah yang merupakan maslahah ’Ammah (baca : maslahah umum), demi menolak mudharat yang besar.

Tujuan berpolitik adalah, untuk melaksanakan islam atas muka bumi; melaksanakan keadilan dan menolak kezaliman. Perlaksanaan keadilan dan menolak kezaliman ini, merupakan tuntutan syarak yang bersifat umum; melibatkan rakyat secara menyeluruh.

Adapun ta’liq cerai isteri, ia bersifat individu. Lantaran, ia bersifat khusus. Justeru, apabila bertembung antara dua mudharat, iaitu mudharat kepada rakyat secara umum, dengan mudharat kepada isteri yang bersifat khusus, maka, hendaklah didahulukan menjaga mudharat yang lebih umum.

SAYANGKAN PARTI MELEBIHI ISTERI?

Tidak selayaknya ditimbulkan, apakah tindakan sebegitu meletakkan kesayangan parti melebihi Isteri. Yang patut ditimbulkan adalah, mengkhianati amanah rakyat perlu dijaga berbanding menyayangi isteri.

Amanah rakyat bersifat umum, sedangkan sayangkan isteri bersifat khusus. Amanah rakyat, melibatkan individu-individu yang ramai, sedangkan sayangkan isteri melibatkan individu tertentu.

Mana yang perlu didahulukan, antara keuntungan individu tertentu, dengan keuntungan individu yang ramai?

Bukankah, Nabi SAW pernah bersabda;

وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya kelebihan orang alim berbanding ahli ibadat seperti lebihnya bulan yang mengambang berbanding seluruh bintang” (Abu Daud : 3157)

Hadis ini, Nabi SAW menggambarkan wujudnya kelebihan orang alim berbanding orang abid. Ini kerana, orang alim mampu memberikan manfaat ilmunya kepada ramai manusia, walhal perkara ini tidak dapat dilakukan oleh ahli ibadat, yang mana ibadatnya yang dimanfaatkan, hanya untuk dirinya sendiri sahaja.

Dengan kata lain, hadis ini, Nabi SAW ingin menyatakan bahawa manfaat untuk orang ramai lebih didahulukan berbanding manfaat yang tidak boleh dimanfaatkan oleh orang lain.

Maka, keadaan yang sama juga dalam perkara yang melibatkan lafaz ta’liq cerai isteri demi menjaga amanah rakyat.

KASIH SAYANG DAN AMANAH RAKYAT

Apabila ini difahami, nyata betapa amanah rakyat perlu dijaga. Pengkhianatan terhadap rakyat, perlu dibuang jauh. Justeru, bagi mereka yang menyayangi isteri, maka jangan sekali-kali melakukan tindakan yang boleh mengkhianati amanah rakyat. Jika mereka melakukan juga pengkhianatan terhadap amanah rakyat, bermakna dia tidak menyayangi isterinya sendiri.

Justeru, apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti isteri yang menyayangi suaminya akan sentiasa memberi peringatan kepada suaminya yang telah menjadi YB agar sentiasa menunaikan amanah rakyat, dan tidak mengkhianatinya.

Apabila keadaan ini wujud, sudah pasti terbukti wujudnya kasih sayang antara suami isteri; iaitu suami tidak mengkhianati amanah rakyat demi menyayangi isteri, dan isteri sentiasa memberi peringatan kepada suami agar tidak mengkhianati amanah rakyat, kerana isteri sayangkan suaminya.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti kasih sayang antara YB dan isterinya nyata wujud, disamping kedua-dunya mendapat pahala mempertahankan amanah rakyat dengan tidak mengkhianatinya.

Cumanya, mungkin isu ini akan dijadikan mainan musuh, lantaran itu, akan melahirkan satu persepsi buruk PAS tentang wanita. Justeru, pihak media PAS perlu bijak dan pandai bermain dengan mainan musuh, agar persepsi buruk PAS tentang wanita ini tidak terwujud sama sekali.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
9 November 2009 * 4:37 pagi