Sabtu, 19 September 2009

SELCAT : KENAPA ADA YANG TERKUJAT?


SELCAT : KENAPA ADA YANG TERKUJAT?

Dalam pemerintahan Dinasti Han Timur, ada seorang lelaki jujur bernama Chen Sin. Dia amat terkenal dengan ketegasannya dalam mendidik anak-anaknya dengan pendidikan moral.

Suatu malam, sewaktu Chen Si hendak tidur, dia ternampak seorang pencuri sedang menyusup masuk ke dalam rumahnya. Melihat kehadiran pencuri tersebut, dia tidak terus menengking pencuri itu, sebaliknya memanggil semua anak-anaknya supaya berkumpul.

Apabila semua anak-anaknya berkumpul, Chen Si terus menyampaikan satu pesanan moral kepada anak-anaknya. Pencuri yang pada asalnya hendak mencuri dalam rumahnya tidak terus bertindak mencuri, malah memerhatikan tindakan Chen Si, dan mendengar segala pesanan-pesanan yang mahu diberikan oleh Chen Si kepada anak-anaknya.

Banyak pesanan yang disampaikan oleh Chen Si. Semua anak-anaknya memerhatikan dengan penuh minat, termasuk pencuri yang sedang menyusup masuk ke dalam rumahnya.

"semua manusia tidak dilahirkan sebagai pencuri, tetapi dia menjadi pencuri kerana terpengaruh dengan perilaku buruk atau tabiat jahat orang-orang sekitarnya" antara isi pesanan Chen Si kepada anak-anaknya.

"Apabila seseorang itu telah menjadi pencuri, hendaklah dia berhenti dari mencuri, kerana orang yang mencuri itu tidak mempunyai perinsip hidupnya sendiri, tetapi dia meniru budaya jahat dari orang lain" Chen Si mengakhiri pesanan.

Mendengar pesanan dari Chen Si yang mengandungi seribu satu sindiran, menyebabkan pencuri tersebut merasa insaf. Lalu, dia meloncat naik ke atas rumah Chen Si, dan meminta maaf atas kesilapannya yang mahu mencuri di rumah Chen Si itu.

TERASA DENGAN KENYATAAN

Dalam kisah di zaman Dinasri Han Timur ini, kita dapat fahami, bagaimana seorang pencuri itu terasa hati dengan pesanan yang disampaikan oleh Chen Si sehingga dia merasa insaf.

Keadaan ini agak tidak sama berlaku di Selangor, setelah dilakukan oleh Selcat terhadap beberapa DO-DO dalam negeri Selangor yang melibatkan penyelewengan banyak harta-harta rakyat yang dilakukan oleh banyak YB-YB UMNO/BN semasa mereka menjadi kerajaan di negeri Selangor terdahulu.

Menurut maklumat, ada sebilangan DO-DO sanggup meluluskan wang rakyat negeri Selangor kepada pimpinan-pimpinan UMNO/BN tertentu, waimma setelah dibubarkan Parlimen.

Seperti yang diketahui umum, mana mungkin wang rakyat akan diluluskan oleh mana-mana DO setelah diminta oleh YB sesuatu DUN, jika parlimen/DUN sudah dibubarkan. Ini kerana ketika parlimen/DUN sudah dibubarkan, tidak dipastikan dari parti mana yang akan menjadi kerajaan pula selepas itu.

Justeru, tindakan meluluskan wang rakyat kepada pimpinan UMNO/BN selepas pembubaran parlimen/DUN merupakan satu jenayah yang wajar dibenteras.

Malah dimaklumkan juga, ada beberapa siri siasatan Selcat di Selangor, didapati banyak wang-wang rakyat digunakan untuk kegunaan parti UMNO, seperti perbelanjaan pilihanraya, juga pembinaan dewan-dewan UMNO.

Nampaknya, wang pembayaran cukai oleh rakyat selangor selama ini, banyak digunakan untuk kegunaan parti UMNO, waimma wang cukai itu adalah hak semua rakyat selangor, termasuk mereka yang tidak berpartikan dengan parti UMNO – Laknatullah alaihim Ajmain.

Penyelewengan ini telah berjaya terbukti dengan pendedahan para DO-DO sendiri, menyebabakan ramai pimpinan UMNO/BN yang gelabah, dan melatah. Makanya, banyaklah berlaku tentangan dari sebilangan pimpinan UMNO/BN, malah mereka sanggup mengadakan beberapa provokasi bagi mewujudkan protes pihak penjawat awam terhadap kerajaan Selangor pimpinan pakatan rakyat sekarang.

Para penjawat awam kerajaan tidak perlu bimbang dan takut jika mereka melaksanakan tugasan mereka dengan betul dan tepat. Tetapi, jika sebaliknya yang berlaku, menandakan ada sesuatu yang tidak kena.

Yang peliknya, mengapa pegawai Daerah Klang dilihat agak kelainan sedikit selepas siasatan terhadap beliau dilakukan? (sila baca)

Setelah beliau dikenakan siasatan, beliau mengeluarkan banyak kenyataan yang melahirkan banyak persoalan dalam pemikiran orang yang membaca kenyataan beliau itu. Lebih-lebih lagi, kenyataannya itu disokong dan didokong oleh Khir Toyo, ketua pembangkang yang tengah terpalit dengan banyak skandal, terutama istananya yang berharga RM 24 juta.

Lebih mensangsikan lagi, apabila pegawai Daerah yang nampak menggelabah ini datang dari klang, tempat yang terkenal dengan seorang ahli politik yang bernama Dato' Z, yang amat terkenal dengan skandal rasuah dan penyelewengan duit rakyat.

Entahlah... mungkin inilah yang membedakan antara pencuri di zaman dinasti han timur yang tidak beragama islam dengan pencuri di zaman UMNO yang mendakwa beragama islam.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Jerteh, Terengganu
20 september 2009 * 11:19 pagi

SALAM AIDILFITRI


SALAM AIDILFITRI

Aidil Fitri kini tiba, setelah sebulan kita berpuasa. * Semoga tertebus segala dosa, kekuatan Iman akan terbina.

Teruskan jihad menggempur secular, Negara Islam matlamat kita * Selama hari raya buat semua. Ampun maaf amat dipinta

Sekian

P/s : Rasa mahu dicoret lagi, tetapi laptop kekurangan bateri. Mahu digunakan plug yang ada dalam medan selera di KB Mall ini, tetapi dihalang oleh penyelia (jangkaku), kerana dakwaannya, nak guna plug kat medan selera KB Mall ini, kena bayar.. Hahaha.. lawak betul. Nak guna plug pun kena bayar…

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- KB Mall * Kota Bharu
19 september 2009 * 8:10 malam

Khamis, 17 September 2009

MEWUJUDKAN ISU YANG TIADA : APA KHABAR AHLI POLITIK?


MEWUJUDKAN ISU YANG TIADA : APA KHABAR AHLI POLITIK?

Sudah menjadi mainan ahli politik yang jahat. Apabila mereka semakin hari semakin tertekan, kaedah yang paling baik adalah, mencipta isu yang sememangnya tidak wujud. Tujuannya adalah, untuk mengalihkan pandangan media dan rakyat agar tidak memerhatikan serangan musuh politik terhadapnya.

Di Pakistan, sentiman fahaman Syiah- Sunni dijadikan isu terpenting dikala kegawatan seseorang presiden. Pada akhir tahun 1999, Nawaz Syarif yang sedang sebuk dibisingkan dengan rasuah yang melibatkan dirinya, tidak semena-mena, isu rasuahnya tenggelam dengan berita kematian 9 orang Sunni yang ditembak dalam masjid.

Apabila berlaku pembunuhan 9 orang Sunni, tidak pasal-pasal orang menuduh tindakan itu dilakukan oleh orang Syiah. Makanya, berlakulah pergaduhan dua fahaman sehingga sampai tahap bunuh membunuh.

Isu perbalahan dua fahaman ini menjadi besar, sehingga isu rasuah yang melibatkan Nawaz Syarif ini tenggelam. Rakyat tidak lagi memfokuskan kepada rasuah yang melibatkan Nawaz Syarif, tetapi sudah berpaling dengan melihat isu pembunuhan yang berpuncakan perbedaan fahaman mazhab.

Dalam jangka isu pembunuhan yang berpunca daripada perbedaan mazhab itulah, Nawaz Syarif berusaha hendak membaiki imej politiknya yang sudah tercalar.

Apabila disiasat, terbukti bahawa pembunuhan terhadap 9 orang Sunni itu, bukanlah datang dari orang-orang Syiah, tetapi pembunuh upahan yang mempunyai kaitan rapat dengan Nawaz Syarif. Ia membuktikan, pembunuhan yang menghasilkan perbalahan antara dua fahaman itu berpunca dari provokasi dan propaganda ahli politik.

Inilah kaedah ahli politik yang tidak pernah menjadikan politik sebagai alat untuk menyelesaikan masalah rakyat, tetapi sebagai alat untuk mengenyangkan perut dan dibawah perut mereka.

Isu sebenarnya adalah isu rasuah sang penguasa. Tetapi, demi menyelamatkan perut, sang penguasa sanggup menggadaikan nyawa rakyat.

Sengaja diwujudkan ”isu perbalahan fahaman”, kerana mahu menutup ”isu rasuah sang penguasa”. Walau isu ”perbalahan Fahaman” ini tidak wujud, tetapi sengaja diwujudkan, demi perut sang penguasa.

Ulasan ini, dirujuk kepada apa yang terjadi di pakistan, justeru, bagaimana pula di Selangor yang melibatkan dakwaan Khir Toyo bahawa ada surat yang sampai kerumahnya, yang kononnya terkandung ugutan bunuh terhadapnya; yang kononnya datang dari orang Pakatan Rakyat? Apakah surat itu, ciptaan Khir Toyo sendiri? (sila klik)

Apakah ia satu ciptaan isu demi untuk menutup isu rasuah dan penyelewangan wang kerajaan negeri Selangor yang yang dilakukan oleh para YB-YB barisan nasional disaat memerintah Selangor dahulu; sedang didedahkan oleh para DO-DO dan Pengarah-pengarah jabatan dalam siasatan pendengaran awam yang ditubuhkan oleh Selcat? (sila baca ini dan ini)

Tidak diketahui cerita sebenar disebalik dakwaan Khir Toyo itu. Pun begitu, perkara sebegini tidak mustahil dilakukan oleh ahli politik yang sanggup ’merembat’ harta rakyat.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 September 2009 * 2:28 pagi

BILAL BIN RABAH : “KULITNYA HITAM, HATINYA PUTIH”

BILAL BIN RABAH : “KULITNYA HITAM, HATINYA PUTIH”

Di mana sahaja kita berada di pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah. Kelahirannya dari bumi Habsyah, mengikut riwayat lain, dari negara hijaz.

Kulitnya berwarna hitam, ternyata hatinya putih berseri dengan basuhan wudu’ yang tidak pernah diabaikannya sejak keislamannya. Terbukti dengan kisah Isra’ dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha fana’.

“Wahai bilal, apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya Aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.

Bilal menjawab, “Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau menjadi hamba kepada seorang tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam. Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.

Semasa bilal masih hamba, berita keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat di dada bilal, sehingga sendat penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan “ahad, ahad dan ahad” sahaja, sebagai tanda ketauhidan bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq melihat kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah peri kebinatangan, menyebabkan Abu Bakar telah membeli Bilal, malah memerdekakannya.

Bilal terselamat dari seksaan Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti sekadar itu, malah berterusan pula dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan terhadap bapa Ammar, Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.

Umayyah yang jahat dibunuh Bilal dalam peperangan Badar, waimma pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan, kehadirannya dalam peperangan badar akan menyebabkan dia berketemu dengan Bilal.

Tidak mahu terlibat dalam peperangan badar, memperlihatkan kekecutan Umayyah yang dilihat berani dihadapan hamba-hamba yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan Umayyah seperti perempuan.

Diambilnya setanggi wangian, diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, ”wangian setanggi akan melekat kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan, tetapi adalah wanita” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.

Bagai dipelempang ke muka dengan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit itu, menyebabkan Umayyah terlibat juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai, seterusnya berjumpa dengan tuhan yang maha memberi keadilan.

Umayyah terbunuh dalam peperangan badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak Islam bilal, beliau terlalu rapat dengan Nabi SAW. kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan ’geli geleman’ dalam hati nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, bilal yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang diseksa oleh kuffar, dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (baca : tukang azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.

Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.

Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.

Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.

Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, bilal kesedihan. Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.

Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.

Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.

Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas menara masjid nabawi dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.

“Allahu akbar, Allahu akbar... Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.

Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” kegamatan madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.

Tangisan yang berpunca, cari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. kerinduan bersama kekasih Allah yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta.

Semasa bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut, pasti akan ditolak.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.

Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka bilal pun akur.

Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijriah.

Sekian

p/s : kepada pengunjung yang bertanya; Dari pengamatan ana, blog pasvspas.blogspot.com adalah dari puak ahbash. Mereka ini adalah golongan ghuluw, yang tidak ada guna dibahas tentang mereka. Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut dalam kitab Fatawa Maasarah, berdebat dengan golongan Ahbash adalah berdebat dengan golongan juhala’. Sekian makluman.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 september 2009 * 4:28 petang

Rabu, 16 September 2009

SIAPA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ?


SIAPA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ?

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, seorang ulama merangkap seorang pemimpin sebuah parti Islam yang terkenal di seluruh dunia, iaitu PAS. beliau pemegang Kad Pengenalan bernombor 310110-03-5161.

Nama penuh beliau adalah, Nik Abdul Aziz bin Nikmat @ Raja Muhammad bin Raja Banjar bin Raja Majam bin Raja Kechik bin Raja Mohammad bin Raja Abdullah bin Raja Abdur Rahman @ Raja Mir bin Raja Dewi bin Raja Sungai bin Raja Jembal.

Raja jembal adalah raja memerintah kelantan dalam kurun ke- 16. Pusat pemerintahannya ketika itu adalah di Kampung jembal, dalam jajahan Bachok.

Menurut ceritanya, keturunan Raja Jembal ini masih lagi ramai di negeri Kelantan, terutama di kawasan kedai lalat, pulau melaka dan beberapa buah kampung dalam jajahan Kota Bharu.

Menurut maklumat, didapati antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal adalah Puteri Saadong yang merupakan anak angkat Cik Siti wan Kembang yang memerintah di Bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai watak lembut, ucapannya berhikmat, pakaiannya sederhana dan amat mementingkan hujjah dalam semua perkara.

Apa yang lebih menarik tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah, walaupun sudah menjadi Menteri Besar, beliau masih lagi dengan rutin beliau sebelum menjadi Menteri Besar, seperti memberi kuliah di Masjid Pulau Melaka dan meneruskan program-program dakwah yang dilakukan beliau sebelum itu.

Kuliah mingguan yang diadakan di masjid pulau melaka, di dewan Zulkifli Muhammad, bangunan PAS tetap diteruskan.

Kuliah beliau mendapat sambutan masyarakat setempat, dan kini sudah menjangkau di luar kelantan. semuanya berpunca dari kupasan yang diberikan oleh beliau bersifat semasa, disamping mudah difahami lantaran perumpamaan-perumpamaan yang diberikan.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Tuan Guru Nik Abdul Aziz di lahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau melaka, iaitu tempat tinggal beliau tinggal sekarang. Beliau merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama Tuan Guru Haji Nik Mat, iaitu Raja Tijah.

Ketika berumur 6 tahun, Tuan Guru telah memasuki alam persekolahan secara formal, iaitu di sekolah kebangsaan Kedai Lalat. Di sini beliau mula belajar asas menulis dan membaca.

Tuan Guru berada dalam alam persekolah secara formal selama 3 bulan sahaja, kemudian berhenti. Bapanya, Tuan Guru Haji Nik Mat telah menghantarkannya belajar ke pondok Kenali, sebuah pondok yang diasaskan oleh seorang tokoh ulama nusantara yang tersohor, iaitu Tok kenali.

Setelah sampai peringkat remaja, beliau telah menyambung pengajiannya di Madrasah yang diasaskan oleh dua tokoh ulama yang mendapat pendidikan dari Univerisiti Darul Ulum Deoband, iaitu Tuan Guru Tuan guru Haji Abbas bin Ahmad dan Ustaz Abdullah bin Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Lah India. Madrasah tersebut bernama Madrasah Ittifaqiiyah, yang diasaskan pada tahun 1947, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah anak murid yang pertama mendaftarkan diri untuk belajar di Madrasah tersebut.

Selang beberapa ketika mendapat pendidikan dari Tuan Guru Haji Abbas dan Ustaz Abdullah India ini, pada tahun 1952, tuan Guru nik Abdul Aziz telah dihantar sendiri oleh Ustaz Abdullah untuk dilanjutkan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband, India.

Setelah 5 tahun berada di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berjaya menuntut ilmu hadis di sana dengan seorang mahaguru hadis yang terkenal ketika itu, iaitu Maulana Hussain Ahmad Madani, juga Maulana Mahmud Hasan dan Maulana Syaikh Ali. Pada tahun 1957 pula, beliau sempat juga pergi ke Pakistan untuk mengambil “daurah tafsir” di sana bagi mendalami ilmu Tafsir.

Setelah dari itu, Tuan guru Nik Abdul Aziz telah mendapat tawaran dari Muktamar Islam untuk melanjutkan pengajiannya di Mesir, yang ketika itu, Muktamar Islam dipimpin oleh Raja Saudi, Al-Malik Faisal dan presiden mesir, Anwar Sadat.

Di Mesir, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (B.A) dalam bidang bahasa arab, dan Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan Islam. kejayaan itu diambil masa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama 4 tahun sahaja.

Setelah mendapat Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan islam, beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di peringkat diploma pula, tetapi di kala itu, Ustaz Yusuf Bakar, bekas pensyarah di Kolej islam Klang telah berjumpa dengan beliau dan ajak beliau balik ke Tanah Air.

Maka kembalilah tuan guru Nik Abdul Aziz dari perantauan pada bulan Februari 1962.

KETERLIBATAN DALAM ARENA POLITIK

Keterlibatan beliau dalam parti politik secara rasmi adalah pada awal tahun 1967. keterlibatan beliau itu adalah di kala beliau dipilih menjadi calon pilihanraya kecil di Parlimen Kelantan Hilir bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen tersebut setelah kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah atau dikenali sebagai Haji Ahmad Perai.

Dalam pilihanraya tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memenangi dan sekaligus mengekalkan kerusi Parlimen kelantan hilir dibawah genggaman PAS.

Dalam pilihanraya umum pada tahun 1969, sekali lagi beliau terpilih untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kawasan kelantan hilir. Kali ini, kejayaan menyebelahi Tuan Guru dengan mencapai kemenangan dengan majority yang agak tinggi juga.

Selang beberapa hari selepas pilihanraya umum, berlaku satu peristiwa hitam bagi Malaysia, iaitu tragedy berdarah rusuhan kaum yang berlaku pada 13 mei 1969. Peristiwa hitam ini amat terasa di seluruh Negara sekalipun ia tidak terasa sangat oleh penduduk di negeri Kelantan.

Ketika bahang rusuhan kaum ini semakin hangat, suatu pengisytiharan pucuk pemimpin telah berlaku. Pada 1 januari 1973, Dato’ Mohd Asri yang ketika itu menjadi menteri Besar Kelantan dan juga Pesuruh jaya Kelantan telah mengisytiharkan pencantuman kerajaan Kelantan dengan Kerajaan pusat atau dikenali dengan kerajaan campuran.

Pengumuman tersebut menimbulkan berbagai-bagai spekulasi dan konflik dalaman rakyat kelantan. Ada sebilangan yang mengisytiharkan berkecuali dan ada pula yang tetap menyokong pucuk kepimpinan parti. Memikirkan kemungkinan dibayangi igaun peristiwa 13 mei dan kepimpinan melayu menyebabkan Dato’ Mohd Asri telah membuat keputusan supaya PAS menyertai kerajaan Campuran. Makanya, terbentuklah PAS-perikatan di peringkat negeri kelantan, seterusnya ia merupakan ‘pembuka pintu’ bagi PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974.

Dalam percantuman antara PAS dan Perikatan telah menjadi kawan di dalam proses pilihanraya umum 1974. perkongsian lambang ‘Dacing’ yang merupakan symbol pilihanraya merupakan laluan mudah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kelantan Hilir yang kemudianya bertukar nama kepada Pangkalan Chepa.

Dalam keadaan sedemikian, percampuran antara PAS dan Perikatan memperlihatkan pelbagai krisis dan konflik yang berlaku. konflik dan krisis dalaman sememangnya menjadi perit. Di tambahi pula, pada 13 Disember 1977, PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional setelah bersama selama 4 tahun.

PAS semakin kesedihan dengan pilihanraya umum yang melibatkan kawasan parlimen kelantan sahaja yang berlaku pada 8 julai 1978. Pilihanraya ini tidak melibatkan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana tindakan kerajaan barisan nasional yang telah mengenakan MAGERAN terhadap pemerintahan PAS di Kelantan.

Dalam pilihanraya tersebut, PAS hanya mampu memenangi dua kerusi sahaja, daripada dua belas kerusi parlimen yang dipertandingkan. Salah satu kerusi yang menang tersebut adalah, Parlimen Pengkalan Chepa yang diwakili oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat.

Setelah Kelantan bebas dari MAGERAN, pada 11 mac 1978, Kerajaan barisan Nasional mengisytiharkan pilihanraya diperingkat DUN pula di negeri kelantan. Dalam pilihanraya tersebut, PAS hanya berjaya mempertahankan dua kerusi sahaja daripada tiga puluh enam kerusi yang dipertandingkan, sedangkan Barisan Nasional berjaya memenangi dua puluh tiga kerusi dan BERJASA berjaya memenangan sebelah kerusi.

Dengan kekalahan teruk bagi PAS ini, menyebabkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat yang merupakan pesuruhjaya PAS Negeri kelantan telah menyusun balik organisasi parti dengan lebih teratur.

Berkat usaha bersungguh-sungguh dari Tuan Guru sebagai pesuruhjaya PAS kelantan, disamping semangat teman-teman seperjuangan, dalam pilihanraya yang berlangsung pada 1982, PAS berjaya menambah bilangan kerusi DUNnya kepada empat kerusi, dan sepuluh kerusi di peringkat parlimen, termasuk Parlimen Pangkalan Chepa yang diwakili oleh Tuan Guru sendiri.

Pilihanraya umum pada tahun 1986 menjelang. Senario politik dalam pilihanraya kali ini dilihat banyak berlaku perubahan. Antaranya adalah, dengan terjalinnya permuafakatan serta kerjasama politik antara PAS dengan Parti Sosialis Rakyat malaysia (PSRM) dan Parti Nasionalis Malaysia (NASMA).

Dalam pilihanraya kali ini, Tuan Guru di amanahkan untuk bertanding dua kerusi sekaligus, iaitu di DUN Semut api dan di parlimen Bachok dengan meninggalkan Parlimen Pangkalan Chepa.

setelah selesai berlakunya pilihanraya umum pada tahun 1986, diperlihatkan PAS berjaya memenangi sepuluh kerusi di peringkat DUN, termasuk DUN Semut Api dan satu kerusi sahaja di Peringkat Parlimen, iaitu Parlimen Pengkalan Chepa. Dengan ini, parlimen Bachok yang diwakili oleh Tuan guru telah tewas.

JADI MENTERI BESAR

Peningkatan penerimaan rakyat terhadap PAS di Kelantan semakin ketara kelihatan. Keterbuktiannya amat teserlah dengan kejayaan PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri dari Semangat 46, HAMIM dan BERJASA merampas Kelantan dari tangan Barisan Nasional.

Berkat kesabaran dan ketaqwaan, pilihanraya tahun 1990 menyaksikan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah telah berjaya sapu bersih 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen.

Dengan kemenangan ini, tidak dapat tidak, PAS perlu menyediakan seorang wakilnya untuk memegang jawatan Menteri Besar. Rata-rata berpendapat, orang yang lebih layak adalah Tuan Guru, tetapi telah ditolak oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat sendiri.

Penolakan jawatan itu, menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS ketika itu terpaksa mengadakan siri rombongan ke rumah beliau untuk memujuk agar menerima jawatan menteri besar.

Akhirnya dengan berat hati dan penuh rasa tanggungjawab, Tuan Guru menerima cadangan tersebut, seterusnya ditabalkan sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga hari ini.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 september 2009 * 4:51 pagi

Selasa, 15 September 2009

SIAPA OMAR BIN ABDUL AZIZ?


SIAPA OMAR BIN ABDUL AZIZ?

Nama penuh beliau adalah, Omar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Abi Qushai bin Umayyah bin Abd As-Syams bin Abd Manaf bin Qushai bin Kilab.

Merujuk kepada silsilah, didapati keturunan beliau terkait juga dengan keturunan Rasulullah SAW, iaitu bertemu pada Abd manaf bin Qushai.

Beliau merupakan seorang mujtahid; yang boleh mengeluarkan hukum menerusi Al-Quran dan As-Sunnah setara Imam-imam mazhab, juga seorang khalifah islam yang warak lagi zuhud.

Dilahirkan pada tahun 63 hijriah. Menurut riwayat lain pula menyatakan, bahawa beliau dilahirkan pada tahun pembunuhan Saidina Husain, iaitu pada tahun 61 hijriah.

Beliau mempunyai watak yang lembut, bertubuh kecil kurus, janggutnya tersusun rapi, matanya bulat, dahinya luas, kulit berwarna sawo matang dan rambutnya warna hitam dengan sedikit bercampur uban.

Mempunyai watak yang warak, tidak ego dalam sesuatu keputusan dalam pemerintahan. Disebabkan itu, di awal beliau dilantik menjadi khalifah, selepas selesai menunaikan solat zohor, beliau telah melantik 10 orang sebagai penasihat peribadi beliau.

“aku tidak akan melakukan sesuatu keputusan berkenaan dengan kerajaan melainkan setelah mendengar pendapat dan pandangan dari kalian” kata Omar bin Abdul Aziz di akhir ucapannya setelah 10 orang tersebut dilantik menjadi penasihatnya.

Imam Az-Zahabi ada menyebut, “Omar bin Abdul Aziz adalah seorang yang mempunyai tubuh badan dan watak yang baik. Ideanya bernas, dan bijak berpolitik. Beliau sangat pentingkan keadilan, dan pasti akan melakukannya semampu yang boleh. Kezuhudannya susah untuk dicari ganti, kemewahan tidak menjadi keutamaan. Ramai ulama mengiktirafnya sebagai salah seorang khalifah ar-Rashidin dan seorang ulama yang beramal”

Imam As-Syafie menyatakan, “Khalifah itu ada lima; Abu Bakar As-Siddiq, Omar bin Al-Khattab, Osman bin Affan, Ali bin Abi talib dan Omar bin Abdul Aziz”

Kezuhudan beliau amat terserlah. Yahya bin Hamzah bercerita bahawa beliau menggunakan pelita kerajaan untuk urusan kerajaan sahaja. Apabila ada urusan peribadi, akan dipadam pelita kerajaan dan dinyalakan pelita peribadinya.

’Ata’ ada berkata bahawa setiap malam beliau akan menjemput para fuqaha’ untuk berhimpun dirumahnya untuk diadakan majlis muzakarah. Apabila para fuqaha’ itu berbicara tentang kematian, beliau pasti akan menangis.

Beliau menjadi khalifah tidak lama, iaitu selama 2 tahun 5 bulan sahaja. Beliau meninggal dunia pada tahun 101 hijriah dan dikebumikan di Syiria. Menurut pengkaji sejarah, Omar bin Abdul Aziz mati kerana diracun oleh sebilangan pemimpin Bani Umawiyyah yang tidak berpuas hati dengan beliau yang menyekat banyak kemewahan mereka.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 september 2009 * 5:51 petang

ABU AD-DAHDAH : “UNTUK ISLAM, AKU BERSEDEKAH”

ABU AD-DAHDAH : “UNTUK ISLAM, AKU BERSEDEKAH”

Seorang sahabat nabi yang kurang dikenali, tetapi ternyata hatinya amat lunak apabila tersebut tentang perjuangan. Padanya, harta merupakan sesuatu yang tidak penting, tetapi keredaan tuhan adalah matlamat utama dalam hidupnya. Justeru, dia jadikan harta sebagai alat untuk mencapai keredaan ilahi.

Abu Ad-Dahdah R.H, mempunyai dua buah kebun; salah satunya adalah kebun yang indah, cantik, luas, mempunyai buah-buahan dan banyak kelebihan yang wujud dalam kebun tersebut. Adapun satu kebun lagi, adalah kebun yang kurang indah.

Suatu hari, dia telah berjumpa dengan Rasulullah SAW menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan; bersedekah kepada jalan Allah dengan memberikan kebunnya itu melalui Nabi SAW.

”Wahai Rasulullah, Aku mempunyai dua kebun. Jika aku sedekahkan salah satu daripadanya kepada Islam, apakah aku akan mendapat kebun seumpama itu dalam syurga?” Abu Ad-Dahdah melontarkan soalan kepada nabi SAW.

Nabi SAW memerhatikan wajah Abu Ad-Dahdah. Ternyata, tergambar seribu satu keikhlasan dari wajahnya. Pertanyaannya itu, tidak tergambar sedikit pun pengharapannya untuk mendapat balasan di dunia, tetapi pengharapan akhirat merupakan keutamaan bagi hidupnya.

“Sudah pasti dapat wahai Abu Ad-Dahdah” Nabi SAW memberikan jawapan ringkas.

Abu Ad-Dahdah tidak berpuas hati, bertanya lagi, “apakah aku akan mendapat isteriku?”

“sememangnya dapat wahai Abu Ad-Dahdah” jawab nabi.

“apakah aku akan mendapat anak-anakku?” soalnya lagi.

Nabi SAW tersenyum, seraya berkata, “kamu tidak perlu bimbang, semuanya kamu akan dapat Wahai Abu Ad-Dahdah”.

Abu Ad-Dahdah senyum puas apabila mendapat penjelasan dari Nabi SAW itu.

“Wahai Rasulullah, aku ingin mensedekahkan kebun yang paling baik untuk islam. kebun tersebut, telah aku beri nama dengan nama Al-Haninah”, Abu Ad-Dahdah menyatakan hasratnya.

Dia pun memegang tangan Nabi SAW, mengajak pergi ke rumahnya yang sedang berada dalam kebun Al-Haninah. Dia berjumpa dengan isterinya memberitahu, bahawa mereka terpaksa berpindah kerana, rumah itu berada dalam kebun Al-Haninah, sedangkan kebun tersebut telah disedekahkan kepada Islam.

Apabila diberitahu sedemikian, Isterinya hanya menjawab, “mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada kamu wahai suamiku dengan apa yang kamu beli”

Mereka berdua pun keluar dari kebun tersebut, dan menyerahkan kebun itu kepada Rasulullah SAW.

Kejadian itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan ayat yang berbunyi;

مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang memberi pinjam kepada Allah dengan pinjaman yang baik, pasti Allah akan memberi gandaan kepadanya dengan gandaan yang banyak. Allah adalah tuhan yang menyempitkan dan memperluaskan, dan kepada Allah kamu akan dikembalikan”

(Surah Al-Baqarah : 245
[1])

KESANGGUPAN SEDEKAH

Kesanggupan dalam bersedekah, bukanlah sesuatu yang senang. Berapa ramai manusia yang kaya, tetapi mempunyai sifat yang teramat kedekut.

Sifat kedekut, merupakan gambaran betapa manusia itu lebih meletakkan pengharapannya kepada harta berbanding Allah SWT. Pada mereka, harta adalah segala-galanya.

Kebakhilan dan kedekut ini, tidak wujud sama sekali dalam diri Abu Ad-Dahdah. Keadaan yang sama juga berlaku pada ramai dari kalangan sahabat yang masyhur, seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Omar bin Al-Khattab, malah sahabat-sahabat nabi yang lain.

Sikap abu Ad-Dahdah ini agak susah untuk diketemui di zaman kini. Justeru tidak hairan, kita akan dapati bahawa di zaman dahulu merupakan zaman kebaikan, tanpa wujudkan sebarang tindakan yang melahirkan kehancuran.

Adapun zaman kini, sebarang kehancuran banyak yang sedang dan telah berlaku, malah dapat dijangka banyak kehancuran yang mungkin berlaku.

Jika dihayati, rupa-rupanya Nabi SAW sendiri ada menyebut bahawa antara punca kebinasaan itu, apabila ramai dari kalangan manusia yang bersifat kedekut dan bakhil.

Sabda Nabi SAW;

اتَّقُوا الظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاتَّقُوا الشُّحَّ فَإِنَّ الشُّحَّ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَمَلَهُمْ عَلَى أَنْ سَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ

Maksudnya;
“takutilah kamu akan kezaliman. Ini kerana, kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan takutilah kamu akan kedekut. Ini kerana, kedekut penyebab kebinasaan mereka yang sebelum dari kamu. Berpunca kedekut, mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan perkara yang diharamkan terhadap mereka
[2]

Apabila manusia itu kedekut, menyebabkan orang yang susah yang sedang memerlukan akan terus berada dalam kesusahan. Kesusahan yang dihadapinya itu, kadang-kala menyebabakn mereka tertekan, seterusnya boleh berlaku pembunuhan dan melanggar batasan Allah SWT yang telah diharamkan.

Lihatlah betapa kemiskinan merupakan punca gejala sosial dan gejala kemasyarakatan pada hari ini. orang yang miskin, amat memerlukan pertolongan dari orang kaya. Pun begitu, jika orang kaya sudah terhinggap penyakit kedekut, maka si miskin akan terus berada dalam keadaan kemiskinan tersebut.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti akan wujud manusia seperti Robin Hood. Mencuri dari orang kaya, lalu diberikan kepada orang miskin. Dia bertindak sedemikian, kerana melihat bagaimana kemiskinan tidak dapat diatasi, waimma masih ramai lagi orang-orang kaya.

Inilah kebinasaan yang akan berlaku kepada umat, dikala kewujudan ramai orang-orang yang kedekut.

PINJAMAN YANG BAIK

Dalam bahasa arab, Al-Qard diterjemah sebagai pinjam. Apabila disebut pinjam, pasti wajib dihantar balik. Sepertimana kita memberi pinjam kereta kepada seseorang, maka kereta tersebut tidak menjadi hak milik kepada pihak yang meminjam, tetapi wajib dihantar balik kepada empunya kereta.

Dalam ayat Al-Quran, surah Al-Baqarah, ayat 245. Allah menyatakan bahawa sedekah dan infaq yang dilakukan itu bukanlah sekadar pemberian sahaja, sebaliknya, ia merupakan satu pinjaman yang dilakukan kepada Allah SWT.

Bermakna, sebarang infaq yang diberikan, pasti Allah akan menghantar balik kadar infaq yang telah diberikan.

Jika dalam hukuman dunia, sebarang pinjaman yang diberi, lalu dihantar balik dengan penambahan kadar, maka ia dikira sebagai riba, sedangkan riba adalah kemungkaran, yang dibenci oleh Allah SWT.

Adapun dalam perkara yang berkait dengan sedekah dan infaq, sebarang pinjaman yang diberi, pasti akan melahirkan penambahan kadar di akhirat nanti. Penambahan kadar ini, tidak disebut sebagai riba, tetapi ia adalah hasil keuntungan dari infaq yang disifatkan seperti menanam.

Orang yang menanam, akan mendapatkan hasil tanamannya. Bersedekah juga begitu, iaitu apabila mereka bersedekah, mereka akan mendapat hasil disebalik sedekah yang dilakukan, seterusnya mereka mendapat keuntungan hasil sedekah yang dilakukan.

Semua keuntungan ini, tidak akan terhasil jika tidak dilakukan dengan ikhlas. Sekiranya sebarang tindakan atau sedekah yang dilakukan mengharapkan balasan di dunia, maka itu tidak dikira sebagai pinjaman yang baik.

Ada manusia, mereka sanggup sponsor sesuatu program dan sebagainya, tetapi disebalik kesanggupan mereka itu, tertanam seribu satu pengharapan keuntungan di dunia. Tindakan sebegini, tidak menghasilkan balasan yang berganda-ganda di akhirat nanti, malah kemungkinan besar, segala sponsornya itu dinilai kosong disisi Allah SWT.

REZEKI SEMAKIN LUAS ATAU SEMPIT?

Rezeki tidak boleh dinilaikan sebagai duit sahaja. Semua perkara yang memberi kesenangan pada hidup, disebut sebagai rezeki. Ada manusia yang berharta banyak, tetapi mereka mempunyai kesempitan rezeki. Di sana juga wujud manusia yang tidak mempunyai harta yang banyak, tetapi mempunyai keluasan rezeki.

Pakaian yang banyak dalam almari, itu bukanlah rezeki. Tetapi, rezeki yang sebenar adalah, apabila pakaian itu telah dipakai. Duit yang banyak dalam bank, tidak dikira sebaga rezeki, tetapi rezeki adalah apabila duit itu digunakan.

Ada orang yang mempunyai duit yang banyak, tetapi di saat mahu digunakan, duitnya dicuri. Ini menandakan, duitnya yang banyak itu tidak menjadi rezekinya.

Makanya, perlu diambil peringatan bahawa rezeki itu adalah kepunyaan Allah. Ia menjadi luas, atau sempit, semuanya atas kehendak Allah SWT.

Justeru, tidak perlu manusia itu bertakabbur dengan bilangan angka duitnya yang ada dalam bank, sebaliknya yang perlu dibanggakan adalah, duit didalam banknya itu mampu menjadi bekalannya di akhirat nanti.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 september 2009 * 3:35 petang


[1] At_tafsir Al-Kabir : 3/399.
[2] Sahih Muslim : 4675.

Isnin, 14 September 2009

KEJAYAAN PROGRAM BERSAMA ORANG ASLI

KEJAYAAN PROGRAM BERSAMA ORANG ASLI

Sebelum ini, team Group Pemikir Muda (GPM) telah berjaya mengadakan program cerap bulan di Pantai klanang dengan bantuan dari team Falak-online. Seminggu sebelum 31 ogos, kami berjaya mengadakan program kem kefahaman merdeka. (sila klik).

Begitujuga, pada malam kemerdekaan pula, kami berjaya menghimpunkan anak-anak muda lebih 200 orang untuk program berbuka puasa.

Pada hari ini pula, kami berjaya menghimpunkan anak-anak muda yang sudah bersama dengan kami untuk turut sama menghadiri program “jom Raya” dengan orang-orang Asli di bukit lagong, Sg Buloh, Selangor. Alhamdulillah, kehadiran mereka pada hari ini juga amat membanggakan.

Orang asli di kampung Bukit Lagong, terdiri dari 10 keluarga. Mengikut maklumat, mereka pada asalnya beragama Kristian, kemudian telah diislamkan, tetapi tidak diadakan program follow up, menyebabkan 6 keluarga daripadanya telah kembali kepada Kristian.

Dua hari sebelum ramadhan, aku dan Eddiputra bersama beberapa rakan telah menziarahi perkampungan orang asli tersebut. Memeranjatkan kami adalah, apabila diberitahu 6 keluarga daripada kalangan mereka telah meninggalkan islam, memeluk agama Kristian.

Kami dari team GPM terasa terpanggil untuk mengadakan program bersama mereka, demi mendekatkan mereka balik kepada Islam. Justeru, dalam bulan ramadhan ini, aku sendiri telah berusaha untuk memohon derma dari individu-individu tertentu, juga bantuan dari beberapa buah surau dan masjid untuk mendapat bantuan pakaian terpakai.

Gerak kerja yang dilakukan selama 2 minggu itu, ternyata mendatangkan hasil kejayaannya pada hari ini.

Aku secara peribadi, amat berbangga dengan kejayaan ini. Malah, kami lebih bergembira apabila pihak kami disambut meriah oleh orang asli tersebut.

Kami berharap, usaha kami ini akan menghasilkan natijah yang baik, demi masa depan aqidah orang-orang asli ini.

Tidak lupa juga, kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan. Tanpa sumbangan mereka, program ini tidak akan berjaya dilaksanakan.

Sekian

p/s : maaf tidak dapat sertakan gambar, kerana semua gambar tidak jelas, kerana kamera menghadapi sedikit masalah kerosakan.

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 september 2009 * 3:39 pagi

DIALOG DENGAN ARTIS : TAHNIAH TANTAWI !!


DIALOG DENGAN ARTIS : TAHNIAH TANTAWI !!

Shanon Shah menulis dalam lamanweb The Nut Graph tentang dialog antara beliau dengan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin tantawi tentang isu muzik. (sila klik)

Dialog anjuran Musicforum itu sekurang-kurangnya melahirkan satu gambaran yang baik tentang islam. Tindakan berdialog ini, perlu disebarkan kepada semua rakyat, agar semua dapat mengetahui pendirian PAS tentang hiburan.

Tindakan membantah sahaja, merupakan tindakan yang merujuk kepada pemikiran Taliban. Sedangkan, meniru Taliban dalam pemerintahan merupakan tindakan yang tidak cerdik, kerana mereka terbukti tidak berjaya.

Sabda Nabi SAW;

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ بِهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang melalui laluan (yang telah dibuat orang terdahulu) untuk menuntut Ilmu, pasti Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga
[1]

Dalam hadis ini, dinyatakan kejayaan menuntut ilmu dengan meniru orang terdahulu yang telah berjaya. Makanya, difahami secara “mafhum Mukhalafah”, meniru orang yang tidak berjaya dalam sesuatu tindakan merupakan tindakan orang yang tidak berfikiran cerdas.

Justeru, tindakan membantah adalah tindakan yang tidak cerdas, malah tindakan berdialog merupakan tindakan yang boleh melahirkan kejayaan yang amat cemerlang.

Alangkah cantiknya lagi, kalau dialog ini dianjurkan oleh pihak pemuda PAS sendiri. Pun begitu, dialog anjuran Musicforum dengan kehadiran tantawi juga wajar diberikan “bintang”.

Diharapkan, dialog sebegini perlu disuburkan lagi. Selepas ini, adakan pula dialog dengan pihak lain sama, seperti dengan kawan dalam pakatan Rakyat daripada DAP dan PKR.

Berbincang kepada mereka tentang konsep keadilan sejagat yang mahu diperjuangkan oleh PAS, disambing meminta mereka memberi pandangan terhadap konsep keadilan yang dicadangkan oleh PAS menerusi rujukan Islam.

Jika ini berjaya dilaksanakan, cita-cita melihat Negara Islam terlaksana tidak mustahil akan berhasil – insya Allah -.

Sebelum penutup, dinukilkan satu pesanan nabi SAW yang wajib diambil pengajaran, iaitu sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya bagi orang yang hak, hendaklah diberikan kepadanya hak bersuara
[2]

Semua ada hak, maka mereka ada hak untuk bersuara, waimma mereka tidak beragama Islam sekalipun.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 september 2009 * 3:14 pagi



[1] Sahih Muslim : 4867.
[2] Al-Bukhari : 2141.

AKU BENCI JUMUD !!

Dr Yusuf Al-Qaradawi : tokoh ulama yang tidak jumud di abad ini



AKU BENCI JUMUD !!

“Kenapa kau nak ajak orang kafir tu pula buka puasa?” seorang tua melenting.

Inilah berkat didikan Islam cara UMNO – laknatullah alaihim ajmain. Islam pada UMNO, hanya melibatkan melayu sahaja. Kalau orang bukan Islam mahu terlibat sama dalam program-program keagamaan orang Islam, itu dilihat seperti menyesatkan.

Pemikiran sesat ini berlaku juga kepada sebilangan orang yang mendokong gerakan Islam. Islam dengan cara jumud yang difahami ini, menyebabkan Islam tidak berkembang.

Lihatlah Saidina Omar yang memerintah. Masakan berbuka puasa, pertemuan dalam Gereja pun sanggup dihadiri oleh Saidina Omar. Diceritakan ketika kedengaran laungan azan Asar di Baitul Muqaddis, Saidina Omar yang ketika itu berada dalam gereja telah meminta izin dari pihak paderi untuk menunaikan solat di beranda luar gereja. Paderi mencadangkan agar beliau menunaikan solat di dalam gereja sahaja, bahkan pihak gereja sanggup menyediakan tempat penunaian solat.

Omar bin Al-Khattab menolak, sambil berkata;

”saya bimbang gereja ini akan menjadi masjid, jika saya menunaikan solat dalam gereja ini”

Inilah sikap keterbukaan yang wujud dalam diri Omar bin Al-Khattab. Beliau tidak pernah menjadikan perbedaan agama sebagai penghalang untuk beliau bersama-sama, berbual-bual dan bersembang dengan sesiapa sahaja.

Justeru, tidak hairanlah Omar bin Al-Khattab berjaya mengislamkan banyak jajahan dunia. Islam berkembang hebat pada zaman Omar. Islam di zaman Omar, tidak sekadar di tanah arab, malah sudah merebak ke bumi ’Ajam, farsi dan afrika.

Semuanya disebabkan ”ketidak jumudan” omar dalam menafsirkan Islam. Jika Islam ini ditafsirkan dalam bentuk yang jumud, tidak hairan, Islam susah hendak berkembang.

JUMUD DALAM STRATEGI DAKWAH

Ada sebilangan pendakwah sendiri, mereka lebih suka memerhatikan islam dari sudut fiqh sahaja, padahal disebalik hukum fiqh itu, terkandung seribu satu maqasid dan siyasah.

Apabila fiqh dirujuk, tanpa memerhatikan maqasid dan siyasah yang terkandung dalam fiqh tersebut, menyebabkan Islam ini dilihat seperti keras, dan susah untuk diterima oleh kaum lain. Tindakan sebeginilah disebut jumud dalam strategi dakwah.

Pemikiran negara hukum menyebabkan ramai yang menolak Islam. Tetapi, pemikiran negara maqasid hukum, amat mudah dijadikan ikutan.

Para da’i perlu dididik dengan pemikiran dakwah, bukan pemikiran ahli fiqh. Jika mereka sudah menjadi ahli fiqh pun, dalam masa yang sama, mereka perlu mempunyai jiwa da’i. Ahli fiqh yang tidak ada jiwa da’i, menyebabkan Islam yang indah akan kelihatan hodoh.

Apabila sebut dakwah, sudah pasti mengandungi seribu satu strategi dalam menyeru manusia kepada Islam. Sabar menerima soalan-soalan susah, memberikan jawapan bernas, huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah dan sebagainya, perlu dijadikan asas bagi memahamkan mereka tentang Islam.

Tetapi, jika tidak bersedia menerima soalan-soalan susah, di situ sudah terdapat kegagalan yang paling utama, dalam menyeru manusia kepada Islam. Jika soalan-soalan susah pun sudah tidak bersedia dihadapi, masakan berjaya memberikan jawapan bernas dan huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah.

Perbedaan agama menjadikan punca pertembungan merupakan tindakan yang terlalu bodoh. Sebaliknya, tindakan yang paling cerdik adalah, mencari titik kesamaan terlebih dahulu, dan menyatakan kemudahan itu lebih banyak berbanding perkara yang susah dalam agama.

Mahukan keadilan, bencikan kezaliman merupakan ”titik kesamaan” antara muslim dan non Muslim. Jadikannya sebagai alat utama dalam melakukan pendekatan.

Apabila sudah dekat, perkara hukum jangan dijadikan bahan utama yang dibicarakan, tetapi jadikan maqasid hukum sebagai perbicaraan penting. Nyatakan, bahawa unsur kasih sayang, keadilan sejagat, didikan dan sebagainya wujud dalam sebarang keputusan hukum didalam Islam. sebarang keputusan yang tidak berlandaskan kepada maqasid-maqasid ini, itu bukan hukum Islam.

Jika ini berjaya dijelaskan dengan penuh berhikmah, tidak hairan mereka akan menerima Islam. jika tidak memeluk Islam pun, mereka akan menyatakan islam adalah agama yang baik dan wajib diberi sokongan.

PANDAI MELIHAT EMOSI MAD’U

Emosi mad’u juga perlu diambil kira dalam dakwah. Di kala mad’u bencikan UMNO, bercakap mahu berkawan dengan UMNO adalah tindakan yang tidak cerdik.

Justeru, dikala mad’u bencikan UMNO, ucapan yang paling baik adalah ucapan yang melahirkan “sialan” terhadap UMNO. Jika tetap juga bercakap tentang persahabatan dengan UMNO, ia melahirkan kerugian dalam dakwah yang teramat sangat.

Ini merupakan lumrah manusia yang beremosi benci. Apabila mereka membenci sesuatu perkara, kebaikan yang dilakukan oleh orang yang dibenci pun, sudah dinilai sebagai keburukan. Lebih-lebih lagi, jika orang yang dibenci masih lagi kekal dengan cara hidup yang menyebabkan orang membencinya.

Tidak pandai menilai emosi mad’u, merupakan tindakan orang yang jumud dalam strategi dakwah. Justeru, orang yang jumud ini amat susah melahirkan kejayaan dalam dakwah Islamiyyah.

Jika mereka bersifat jumud, Islam yang diperjuangkan, akan kekal disekitar orang Islam sahaja, dan bersifat bertahan, tanpa wujudnya tersebar kepada orang lain. Mereka akan mempunyai pengikut yang kuat, tetapi pengikut mereka susah untuk bertambah.

Justeru, da’i yang berjaya mesti mempunyai kepandaian dan kerajinan. Kepandaian dari sudut strategi dan tidak jumud, dan kerajinan dalam usaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan dakwah.

Tanpa kedua-dua perkara ini, sampai bila-bila pun Islam akan disinonimkan dengan orang melayu. Tetapi, jika ada kedua-dua perkara ini, ‘Islam for All’ pasti akan terbukti.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 september 2009 * 3:22 petang


Ahad, 13 September 2009

TAZKIRAH KEPADA NON MUSLIM !!

TAZKIRAH KEPADA NON MUSLIM !!

Berbual-bual dengan kawan-kawan bukan beragama Islam tentang islam sudah menjadi kebiasaan. Tetapi, berceramah dihadapan mereka tidak pernah kesampaian.

Berceramah dan berbual tidak boleh disamakan. Dua cara dan kaedah yang berbeda. Berbual tidak tertakluk dengan masa, tetapi berceramah berkaitan rapat dengan masa.

Jika dijadualkan berceramah selama 30 minit, otak kita terpaksa ligat berfikir dan mencari point-point yang boleh dihuraikan dalam jangka 30 minit. Jika mahu merapu, 30 minit amat mudah untuk dihabiskan. Pun begitu, ucapan yang tidak disandarkan kepada ulasan ilmiyyah akan melahirkan ”boring” kepada pendengar.

Begitujuga, sesuatu kupasan ilmiyyah jika tidak disulami dengan gaya bercerita yang menarik, juga akan menghasilkan ”menguap” kepada para pendengar.

Kebiasaannya, aku dijadualkan menyampaikan ceramah, kuliah dan tazkirah di masjid dan surau. Jarang-jarang sekali di Markaz PAS. Setakat ini, jadual kuliah tetapku di Markaz PAS hanya dua; Markaz PAS taman melewar dan Markaz PAS seksyen 18, Shah Alam.

Kuliah, ceramah dan tazkirahku semuanya didengari oleh orang-orang islam, waimma jarang sekali pernah dihadiri oleh sebilangan kawan yang tidak beragama Islam, tetapi kini mereka sudah memeluk islam.

Pada hari ini, PAS kawasan Kota Raja telah menjemputku menyampaikan tazkirah berbuka Puasa dalam majlis bersama Kelab penyokong PAS yang majoriti mereka adalah berbangsa india dan dua orang lelaki sahaja berbangsa cina.

Kehadiran dari kalangan orang islam juga boleh dibanggakan, tetapi kewujudan orang bukan islam dalam majlis tersebut untuk disampaikan tazkirah ramadhan, merupakan satu perkara yang baru bagi hidupku.

Dalam majlis tersebut, aku dijadualkan bertazkirah selepas dari Ahli parlimen Shah Alam, Saudara Khalid Samad menyampaikan ucapan. Selepasku pula, yang menyampaikan ucapan adalah Ahli parlimen Kota Raja, Dr Mariah mahmood.

Saudara Khalid Samad berbicara tentang isu Kuil yang boleh dikatakan beliau terlibat sepenuhnya dalam isu ini. Dr Mariah pula berbicara tentang polisi dasar parti berkenaan dengan kedudukan non Muslim dalam Kelab penyokong.

Adapun aku pula dijemput, untuk menyampaikan tazkirah. Apabila disebut tazkirah, sudah pasti aku tidak berbicara soal isu semasa secara penuh, tetapi berbicara tentang Islam, disulami sedikit sebanyak tentang isu-isu terkini.

Aku memulakan bicaraku dalam tazkirah dengan menggambarkan asas Islam yang meletakkan asal manusia dari Adam. Kemudian berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah menerusi firman Allah dari surah Al-Hujurat, ayat ke 13.

Kemudiannya, aku mengupas ayat itu dari sudut kemanusian dan keadilan islam. dicampurkan pula sirah Nabi SAW dan beberapa cerita yang menggambarkan gambaran keadilan yang wujud dalam Islam. kisah omar, Asma’ dan bilal menjadi point utama yang tersemat dalam pemikiranku ketika menyampaikan tazkirah.

Semasa menyampaikan tazkirah, aku memerhatikan wajah-wajah pendengar dari kalangan Non Muslim, ternyata mereka menunjukkan reaksi yang positif, dan tergambar wajah-wajah mereka sedang memerhatikan setiap patah perkataan yang aku ucapkan. Dengan tidak tergambar watak boring dan mengantuk dari mereka, menyebabkan aku berasa berpuas hati.

Setelah habis program, sesi santapan berbuka puasa bermula. Aku ditempatkan duduk bersama dengan YDP PAS Kota Raja, Cikgu Jaafar, Naib YDP PAS Kota Raja, Haji Tarmizi bersama-sama 3 orang lelaki berbangsa india, dan 2 orang lelaki berbangsa Cina.

Dalam perbualan kami itu, aku terasa seakan-akan sesuatu perkara yang pelik, kerana dikalangan mereka sendiri tidak mengulas balik isu politik yang telah dibentangkan oleh para YB, tetapi menariknya kerana mereka mengupas balik isu-isu keadilan Islam yang telah aku kupas dalam tazkirahku tadi, seperti kisah Asma’ binti Abi Bakar dan kisah Omar bin Al-Khattab.

”Saya sangat suka, bila Ustaz ada cakap, ramai orang hari ini mengaku beragama islam, tapi perbuatan mereka sebenarnya tidak Islam” Setiausaha kelab penyokong PAS kota Raja berbangsa India berkata sambil gelak.

Aku tersenyum, disamping hadirin sehidanganku ketawa kecil mendengar celoteh Setiausaha Kelab Penyokong Pas itu.

Padaku, apabila mereka lebih suka berbicara tentang keadilan Islam berbanding isu-isu semasa, maka itu merupakan satu kebanggaan bagiku yang tidak terhingga.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
14 september 2009 * 6:43 pagi

“MEMANG DIA TIDAK BERAGAMA ISLAM, TETAPI DIA ADALAH IBUMU”


“MEMANG DIA TIDAK BERAGAMA ISLAM, TETAPI DIA ADALAH IBUMU”

Asma’ bin Abu Bakar merupakan adik beradik dengan Aisyah R.ha. bapanya, Abu Bakar merupakan sahabat rapat Rasulullah SAW.

Sewaktu bapanya belum memeluk Islam, dia telah berkahwin dengan seorang perempuan Makkah bernama Qutailah binti Abdil Uzza. Setelah memeluk Islam, Qutailah kekal dengan kekufurannya, sedangkan Abu Bakar bersama Aisyah dan Asma’; sama-sama memeluk Islam.

Waimma mereka berbeda agama dengan ibunya, hubungan kekeluargaan masih tetap berlaku.

Suatu hari, Qutailah telah datang berjumpa dengan Asma’ dengan membawa beberapa barangan berupa hadiah yang hendak diberikan kepada anaknya, Asma’.

“saya tidak akan menerima hadiah dari ibu, kerana ibu tidak beragama Islam” Asma’ membalas huluran hadiah dari ibunya.

Qutailah bersedih dengan jawapan yang diberikan itu. perkara ini dimaklumkan oleh Aisyah kepada Rasulullah SAW. mengetahui itu, Nabi SAW memanggil Asma’ bertanyakan tindakannya yang dia lakukan terhadap ibunya itu.

Asma’ membenarkan perkhabaran dari Aisyah tersebut. Tindakan Asma’ itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan satu ayat yang berbunyi;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
“Allah tidak pernah menghalang kamu daripada melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka yang tidak pernah menyerang agama kamu dan tidak mengeluarkan kamu daripada Negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melakukan keadilan”

(Surah Al-Mumtahanah : 8 )

KEKELUARGAAN WAIMMA BERBEDA AGAMA

Islam adalah agama yang menyeru kepada hubungan baik. Melahirkan permusuhan adalah ditegah didalam Islam, waimma dengan mereka yang berbeda agama sekalipun.

Dalam kes Asma’ ini, kita dapat melihat tindakan yang boleh disifatkan seperti extream perkauman itu agak wujud. Pun begitu, tindakan tersebut merupakan satu kesilapan besar, lantaran dia ditegur oleh Allah SWT menerusi firman Allah SWT dari surah Al-Mumtanahan tersebut.

Perbedaan agama tidak menyebabkan hubungan anak dan bapa, atau dengan ibu terputus. Mereka tetap berkeluarga, Cuma kedua-dua itu hanya tidak mempunyai keyakinan beragama yang sama sahaja.

Mencari kesamaan dalam semua perkara, adalah sesuatu yang mustahil. Mana mungkin seseorang ibu itu, atau seseorang bapa itu mempunyai kesamaan dalam semua sudut. Masakan keyakinan, kadangkala dalam perkara yang berkaitan dengan makanan pun, anak dan bapa, ibu dan anak tidak mempunyai kesamaan.

Justeru, jika wujud perbedaan dari sudut keyakinan antara anak dan ibu bapa, maka itu adalah perkara yang tidak mustahil. Malah, itulah lumrah dalam kehidupan.

Pun begitu, dengan wujudnya perbedaan, bukan bermakna hubungan kekeluargaan mesti diputuskan. Cumanya, dalam menyelesaikan perbedaan ini, perlu wujud unsure toleransi yang tidak melahirkan perbalahan dan kekacauan untuk masa yang akan datang.

Sifat hormat menghormati atas dasar kemanusiaan merupakan satu perkara yang penting. Ia perlu disuburkan, kerana ia adalah tuntutan Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan As-sunnah.

BUAT BAIK

Dalam islam, melakukan kebaikan merupakan tuntutan yang teramat penting. Jika di zaman nabi dahulu, nabi SAW pernah menyebut bahawa Allah telah menganugerahkan syurga kepada seorang pemuda yang telah memberi minum kepada anjing.

Diceritakan bahawa seorang lelaki sedang berjalan dalam satu permusafiran. Dalam permusafiran tersebut, lelaki itu berasa terlalu dahaga.

Dalam perjalanan, dia berjumpa sebuah telaga. Dia pun mengambil air dari telaga tersebut, dan minum dengan sepuas-puasnya.

Setelah dia minum, sebelum dia berlalu pergi, dia terlihat seekor anjing yang sedang terjelir, dan sedang menjilat-jilat pasir yang basah kerana kehausan. Dia merasa bersalah tidak memberi minum kepada anjing tersebut.

Dia pun sekali lagi mengambil air dari telaga itu, dibubuhkan air itu kedalam kasutnya dan diberi minum kepada anjing itu sehingga anjing itu puas.

”Allah mengucapkan syukur (terima kasih) kepada lelaki tersebut” Nabi SAW menyebut kepada para sahabat.

Para sahabat mendengar apa yang disebut oleh nabi SAW, bahawa Allah mengucapkan syukur kepada lelaki yang memberi minum kepada anjing tersebut, menyebabkan para sahabat bertanya, ”apakah kami boleh mendapat pahala disebabkan kami melakukan kebaikan kepada binatang?”

Sambil tersenyum nabi SAW menjawab;

فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya;
”pada setiap hati yang basah akan mendapat balasan ”

Imam Ibnu Hajar Al-’Asqalani menyatakan, maksud dengan hati yang basah adalah kelunakan dalam menjalani kehidupan. Bermaksud, mudah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja .

Dari hadis ini, kita dapat lihat bagaimana tindakan melakukan kebaikan perlu dilakukan waimma terhadap binatang. Inikan pula, terhadap manusia, walau tidak beragama islam sekalipun.

KEADILAN

Konsep keadilan dalam Islam tidak ditumpukan kepada orang islam sahaja, malah keadilan itu perlu dilakukan kepada sesiapa sahaja. keadilan yang ditunjukkan dalam islam, sememangnya wujud dalam semua segi ajaran Islam.

Lihatlah konsep perlaksanaan hukuman syariah. Didalamnya terkandung seribu satu rahsia keadilan dalam mencapai kehidupan yang harmoni dan aman bahagia.

Perlaksanaan sebat kepada peminum arak dikenakan kepada mereka yang beragama Islam, tanpa dikenakan kepada orang bukan islam. pun begitu, jika mereka bersetuju untuk dikenakan hukuman sebat juga, tidak ada salahnya hukuman itu dilaksanakan terhadap mereka.

Hikmat disebalik sebat terhadap peminum arak, mengandungi seribu satu rahsia keadilan. Antaranya, ia bertujuan untuk orang uang minum arak tidak lagi bertindak dengan tindakan yang boleh menyebabkan orang memanggilnya sebagai gila, seterusnya dapat menyelamatkan orang yang belum minum arak, daripada bertindak seperti orang gila (iaitu dengan cara minum arak).

Bukankah manusia yang waras, amat marah jika dipanggil sebagai gila? Jika ini berlaku, tidak hairanlah Allah SWT mengharamkan arak, juga meletakkan hukuman sebat kepada mereka yang minum arak.

Hukuman sebat juga mengandungi seribu satu rahsia keadilan islam. antaranya adalah, sebatan yang dilakukan tidak mengandungi maksud menyeksa, tetapi mengandungi maksud mengajar dan mendidik. Justeru, tidak hairan Islam membenarkan sebatan itu tidak sekadar dengan menggunakan rotan, malah sudah dikira seperti sebat dengan membaling kasut sebagai hukuman terhadap peminum arak.

Keadilan Islam ini, tidak difokuskan kepada orang islam, malah orang bukan Islam pun wajib diberikan keadilan. Inilah yang diperjuangkan oleh Islam.

’Fatwa’ mengatakan boleh mencuri di kedai-kedai, atau rumah-rumah orang bukan Islam, merupakan fatwa yang songsang, kerana ia bercanggah dengan konsep keadilan Islam.

Hak kemanusiaan dari sudut ucapan tahniah dengan kehadiran perayaan agama lain, memberikan hak rumah ibadat, hak memegang jawatan dalam kerajaan, hak berpolitik dan sebagainya, semuanya wujud dalam islam, tetapi sedihnya agak kurang dikaji gali oleh ramai manusia.

SAYANG TERHADAP KEBAIKAN

Semua manusia mahukan dirinya menjadi baik, juga mahu melakukan kebaikan kepada orang lain. pun begitu, wujud juga manusia yang melakukan kejahatan.

Mereka melakukan kejahatan itu, mempunyai banyak sebab dan punca. Ada dari kalangan mereka lakukan kejahatan kerana kesempitan hidup, dan banyak lagi. Yang pastinya, kejahatan itu amat berkait dengan mengikut tuntunan hawa nafsu.

Tidak mempunyai perasaan sayang, menyebabkan manusia melakukan kejahatan. Apabila hilang perasaan sayang terhadap manusia lain, maka manusia itu pasti akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan manusia lain susah. Memberi kesusahan kepada manusia lain, merupakan tanda tidak wujudnya kasih sayang sesama manusia.

Hubungan antara manusia, semuanya bermula dari Nabi Adam. Apabila semuanya berasal dari nabi Adam, sudah pasti semua manusia itu adalah adik beradik. Tidak sewajarnya seseorang adik, mengkhianati adik beradiknya yang lain. Inilah konsep kasih sayang yang diterapkan oleh islam.

Apabila wujud dari kalangan adik beradik kita yang lain diseksa, dan ditindas, pasti kita akan mempertahankannya. Mempertahankannya itu menandakan kita telah meletakkan kesayangan kita terhadap mereka.

Ekoran itu, kita akan menyeru manusia kepada kebaikan. Bersama-sama dengan mereka, berusaha hendak menghindarkan dari berlaku dosa dan maksiat.

Firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
”dan tolong menolonglah kamu atas kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan”

(Surah Al-Maidah : 2)

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), sg Buloh
13 september 2009 * 3:58 petang