Ramai yang sangsi dengan tindakan PAS
bergabung dengan DAP. Dengan PKR, tidak timbul sangat isu. Kesangsian ini,
bukan sekadar berlaku pada orang UMNO, tetapi berlaku juga kepada orang-orang
yang berkeahlian PAS, juga dari kalangan mereka yang berada dalam gerakan
Islam.
Bagi memberikan huraian perkara ini,
dikupasnya seperti berikut;
SATU : SIKAP BEBERAPA PIHAK
Dalam merungkaikan perkara ini, ia terbahagi
kepada dua pihak, iaitu;
Satu : tidak bersetuju PAS gabung dengan DAP
Pendapat ini berhujjah seperti berikut;
[1]
Firman Allah;
لَا يَتَّخِذِ
الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya;
“Janganlah
orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan
orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Dalam ayat
ini, Allah SWT melarang menjadikan orang Islam menjadi non Muslim sebagai wali
atau pemimpin. Makanya, tidak sepatutnya PAS bergabung dengan DAP, kerana parti
itu adalah parti bukan Islam.
[2]
Firman
Allah;
وَلَنْ
تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani
tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah
al-Baqarah, ayat 120)
Dengan
yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha terhadap
Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan mereka.
[3]
Seorang
Tabiin bernama Sufyan al-Sauri ada berkata;
الكفر ملة ،
والاسلام ملة
Maksudnya;
“Kufur itu
satu puak, dan Islam itu satu puak”
Perkataan
Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non Muslim. jadi,
PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP.
Dua : PAS
mesti bergabung dengan DAP
Pendapat ini
berasaskan penghujahan berikut;
[1]
Firman
Allah;
وَتَعَاوَنُوا
عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya;
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa,
dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (Surah
Al-Maidah, ayat 2)
Tolong menolong ini, dilarang dari melakukan
permusuhan. Di kala DAP menyeru kepada keadilan, lalu PAS melakukan permusuhan
dengan DAP, menyebabkan ia bercanggah dengan konsep ayat ini. Sedangkan dalam
masa yang sama, kita disuruh melakukan bantu membantu dalam melakukan kebaikan
dan ketaqwaan.
Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita bantu
membantu dalam melakukan “al-Bir”, sedangkan dalam ayat lain, Allah SWT guna
kalimah “al-Bir” ketika menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang
bukan Islam.
Firman
Allah;
لَا
يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ
يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ
اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya;
“Allah tidak
melarang kamu untuk berbuat baik (al-Birr) dan berlaku adil terhadap
orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu
dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”
(Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Memandangkan ayat ini menyuruh kita melakukan keadilan
dan berbuat “al-Birr” kepada orang bukan Islam, maka tidak salah jika PAS
bersama-sama dengan DAP dalam usaha saling bantu membantu menegakkan keadilan
dan kebajikan.
[2]
Firman Allah;
وَمِنْ أَهْلِ
الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ
Maksudnya;
“Di antara Ahli kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya
harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu”
(Surah ali-Imran, ayat 75)
Dalam ayat ini, Allah SWT mengiktiraf tentang
amanah yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Ini ditambahi lagi pengiktirafan
Nabi Muhammad SAW terhadap kebaikan yang dilakukan oleh Raja Habsyah.
Jadi, tindakan PAS bersama dengan DAP tidak
menjadi kesalahan, jika dasar dan tindakan DAP itu menjurus kepada keadilan dan
kebaikan, seperti amanah dan melawan rasuah dan sebagainya. Jika al-Quran
mengiktiraf amanah kewangan yang
dilakukan yahudi, maka tidak ada sebab
kita tidak mengiktiraf kebaikan DAP jika mereka menyeru kepada benda yang sama.
[3]
Dari Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Nabi
SAW berkata;
لقد شهدت في
دار عبد الله بن جدعان حلفا ما احب ان لى به حمر النعم ولو ادعى به في الاسلام
لاجبت
Maksudnya;
“Aku
hadir di rumah Abdullah bin Jad’ad satu pakatan yang aku lebih suka kepadanya seperti
sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga). Sekiranya aku diajak
kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutinya”
Al-Qutaibi menyatakan, “punca berlaku pakatan
itu adalah Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin
Jad’an dan Zubair bin Abd al-Muttalib mengajak mereka kepada pakatan dalam
memberi pertolongan dan menyelamatkan orang yang dizalimi. Ajakan itu telah
disahut oleh Bani Hasyim dan sesetengah kabilah daripada Quraish”
Dari ini, amat nyata bahawa bersama dengan
non Muslim dalam berusaha menghapuskan kezaliman adalah satu perkara yang tidak
bercanggah dengan Islam, sebaliknya ia diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW.
[4]
Firman Allah;
وَلَا
تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
Maksudnya;
“Jangan
kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu
oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Kezaliman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,
termasuk mereka beragama Islam. Ada muslim yang zalim, dan ada non Muslim yang
adil. Jika kezaliman itu dibuat, maka pembuat itu tidak boleh disokong.
Menyokong itu satu kesalahan. Jika menyokong kezaliman sudah disambar oleh
Neraka, maka menyokong keadilan adalah satu kewajipan, tidak kira siapa sahaja
yang melakukannya.
DUA : PENILAIAN
Sebelum membuat rumusan terhadap pendapat kedua-dua
perkara ini, dihuraikan seperti berikut;
[1]
Dalam fiqh politik, asaskannya adalah capaian kepada
maqasid, iaitu kemaslahatan kepada rakyat. Ia merupakan definisi politik,
sepertimana yang pernah dinyatakan al-Qaradhawi.
Dalam kitab al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradhawi
mendefinisikan siyasah atau politik itu adalah;
القيام علي
شيء بما يصلحه
Maksudnya;
“Melaksanakan
terhadap sesuatu dengan perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan”
Dengan erti kata yang lain, setiap tindakan yang
mencapai kepada maslahah kepada rakyat, maka ia merupakan tuntutan kepada fiqh
politik. Dengan maksud, perkara yang boleh mendatangkan mafsadah kepada rakyat,
maka perkara itu berada diluar kerangka fiqh politik Islam.
Adapun nas-nas yang berkait dengan politik, sifatnya
adalah wasail, iaitu elemen penghubung kepada capaian terhadap maqasid. Sesuatu
ketetapan yang termaktub dalam Nas tersebut, ia merupakan salah satu cara untuk
capaian maqasid, bukan satu-satunya cara sahaja. Dengan maksud, cara yang
termaktub dalam nas tersebut, amat sesuai dengan kondusif politik di zaman itu,
tetapi mungkin tidak sesuai dengan kondusif di zaman dan tempat yang lain.
Antara contoh dalam perkara ini adalah seperti sabda
Nabi SAW;
الْأَئِمَّةُ
مِنْ قُرَيْشٍ
Maksudnya;
“pemimpin-pemimpin
itu dari kalangan Quraish”
Hadis ini adalah bersifat wasail, sedangkan maqasid
dalam hadis ini adalah untuk mengelak pertembungan dan perbalahan. Ibn Khaldun
dalam kitab muqaddimah menyatakan;
فإذا ثبت أن
اشتراط القرشية إنما هو لدفع التنازع بما كان لهم من العصبية والغلب
Maksudnya;
“Oleh
itu, nyata bahawa syarat quriash adalah untuk menolak perbalahan ekoran
kewujudan asabiyyah dan penguasaan”.
Dengan maksud, penguasaan dan “respek” pihak rakyat
pada zaman itu terhadap Quriash menyebabkan Nabi SAW menyatakan kepimpinan itu
dari kalangan Quriash. Dengan erti kata yang lain, jika mengelak dari
perbalahan itu tercapai dengan tidak perlantikan Quraish, tetapi tercapai
dengan perlantikan bangsa lain, maka melantik bangsa lain itu adalah satu
keperluan.
[2]
Dalam politik Islam, perkara yang paling penting
adalah perlaksanaan keadilan, dan berusaha sedaya mungkin dari tersebar
kezaliman. Segala tindakan yang menegakkan kezaliman, maka ia wajar dilawan.
Firman Allah;
وَلَا
تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
Maksudnya;
“Jangan
kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu
oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Dalam hadis Qudsi, bahawa Nabi SAW berkata yang Allah
SWT berfirman;
يَا عِبَادِي
إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا
فَلَا تَظَالَمُوا
Maksudnya;
“Wahai
Hamba-Ku, Sesungguhnya Aku haramkan zalim terhadap diri-Ku, dan Aku jadikannya
haram di antara Kamu, maka Jangan kamu saling zalim menzalimi”
Ibn Taimiyyah menyatakan;
الله ينصر
الدولة العادلة وإن كانت كافرة ، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة
Maksudnya;
“Allah
SWT tolong Negara yang adil, waima ia adalah kafir, Tidak menolong Negara yang
zalim, waima ia mukmin”
[3]
Tentang firman Allah;
لَا يَتَّخِذِ
الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya;
“Janganlah
orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan
orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Ulasan
tentang ayat ini adalah seperti berikut;
-1-
Ayat ini
bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup segala pintu-pintu haram. Sifat menutup
pintu-pintu haram ini, tidak semestinya diharamkan secara mutlak, tetapi dengan
meletakkan syarat-syarat juga ia sudah memadai menutup pintu-pintu haram.
Ia sama
seperti Allah SWT menyatakan;
وَلَا
تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا
بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya;
“Jangan
kamu cela mereka yang menyembah selain dari Allah, nanti mereka mencela Allah
dengan permusuhan (prejudis), dengan tanpa Ilmu” (surah al-An’am, ayat 108)
Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT
melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan
musyrikin, walaupun ia boleh mencapai maslahah. Ini kerana, ia
sebenarnya boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian
balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang
tiada tuhan kecuali Dia.
Menurut Al-Raisuni pula, hukum asal bagi
celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa
ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah
dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan
tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam
keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela
sembahan selain Allah itu dilarang.
Dengan erti kata yang lain, mencela sembah-sembahan
tersebut adalah dibenarkan DENGAN SYARAT ia tidak dilakukan dihadapan non
muslim. Sekiranya diyakini tidak mendatangkan implikasi serang balas dari non
Muslim tersebut, maka ia tidak menjadi haram.
Begitujuga dengan ayat 28 dari surah al-Imran.
Larangan orang non Muslim jadi menjadi pemimpin itu kerana bimbang mereka
menguasai orang Islam. Dengan maksud, tidak dibawah larangan sekiranya non
Muslim itu menjadi pemimpin DENGAN SYARAT pengamalan dan beberapa perkara
perinsip bagi umat Islam tidak diganggu gugat.
Dalam kerangka demokrasi, sesuatu perlaksanaan dasar
tertakluk kepada undang-undang yang termaktub. Ia tidak boleh dilanggar oleh
sesiapa sahaja yang memerintah, samada mereka yang beragama Islam atau mereka
yang tidak beragama Islam. Sekiranya dalam undang-undang termaktub menyatakan
hak orang Islam tidak boleh terhalang, maka sesiapa sahaja yang menjadi
pemimpin, mereka kena akur dengan undang-undang tersebut.
Jadi, dengan perlantikan non Muslim sebagai pemimpin
politik dalam kerangka politik demokrasi, ia tidak bercanggah dengan maksud
ayat di atas.
-2-
Dalam kerangka monarki, pemimpin itu bersifat wilayah.
Sedangkan dalam kerangka demokrasi, pemerintah tidak boleh pandai-pandai
menentukan dasar kecuali mendapat persetujuan rakyat majority. Dengan erti kata
yang lain, pemimpin dalam sesebuah Negara demokrasi, tidak bersifat wilayah,
tetapi bersifat wakalah. Wilayah dalam kerangka demokrasi adalah rakyat dan
undang-undang yang termaktub.
Ekoran dari itu, menjadikan hujjah ayat ini sebagai
penghalang untuk mengundi non Muslim adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam
wakalah boleh diberikan kepada non Muslim.
[4]
Mereka
berhujjah dengan merujuk kepada Firman Allah;
وَلَنْ
تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani
tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah
al-Baqarah, ayat 120)
Kata mereka,
“dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha
terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan
mereka”.
Bagi menjawab
hujjah mereka ini, diperhatikan kepada satu hadis, bahawa Nabi SAW ada
menyatakan;
أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ
أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ
فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya;
“Ketahuilah bahawa
mereka yang menzalimi Mu’ahid (non Muslim yang zimmi) atau mengurangkan (kata
al-Tibiy : haknya) atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil
darinya sesuatu bukan dari cara yang baik, maka aku akan jadi penghujjahnya
pada hari akhirat”
Melihat hadis ini, Nabi SAW mempamerkan bahawa Nabi SAW akan
mempertahankan non Muslim yang dizalimi. Tindakan Nabi SAW mempertahankan non
Muslim, bukan bermakna Nabi SAW redha dengan agama mereka. Maka begitujuga
tindakan PAS bergabung dengan DAP, bukan bermakna redha dengan mereka.
Dari sudut Islam, tidak boleh kita hendak melahirkan permusuhan politik
atas sebab berbeda agama, kerana kepercayaan agama melibatkan hidayah yang
merupakan kekuasaan Tuhan, sedangkan menghentikan kezaliman adalah perkara
ikhtiyari, iaitu dibawah kawalan kita. Maka ia hendaklah dilawan, waima ia dilakukan
oleh muslim sekalipun. Jika Muslim melakukan kezaliman pun wajib dilawan, maka
lebih-lebih lagi wajib dilawan, jika yang melakukan kezaliman itu adalah non
Muslim.
[5]
Mereka berhujjah
dengan merujuk perkataan Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri. Beliau berkata;
الكفر ملة ،
والاسلام ملة
Maksudnya;
“Kufur itu
satu puak, dan Islam itu satu puak”
Mereka menyatakan,
“Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non
Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP”
Dijawab bahawa
berbeda kepuakan adalah fitrah. Tetapi, perbedaan puak itu tidak boleh
menafikan keperluan bekerjasama dalam menjatuhkan kezaliman. Ia dapat dirujuk
dalam hadis Hilf al-Fudhul yang disebut di atas bahawa Nabi SAW akan menyokong
gerakan yang bersatu dalam menghapuskan kezaliman, waima ia dilakukan oleh Bani
Hashim yang ketika itu tidak beragama islam lagi.
[6]
Mereka menyatakan, “Bersatu adalah satu
keperluan. Dalam al-Quran, banyak ayat-ayat al-Quran menyuruh kita bersatu. Sedangkan
berpakat dalam politik, tidak termaktub dalam nas al-Quran. Jadi, apabila
bertembung al-Quran dan tidak, maka dahulukan nas al-Quran”.
Dinyatakan bahawa dalam al-Quran, suruhan
bersatu atas asas berpegang dengan tali Allah. Dengan erti kata lain, sekiranya
dari pihak muslim ada yang tidak berpegang dengan tali Allah, maka tidak perlu
bersatu dengan mereka. Malahan boleh jadi haram, jika bersatu itu mengukuhkan
lagi pihak yang zalim.
Tanpa dilalaikan, bahawa al-Quran juga
menyuruh kita menghindarkan diri dari cenderung kepada kezaliman. Secara istiqra’
maknawinya, kezaliman memang wajib dihindari. Adalah satu perkara yang mustahil
bahawa al-Quran menyuruh kita menyokong kezaliman.
Mendakwa bahawa sesama muslim perlu bersatu
adalah perkara benar. Tetapi, adalah salah jika disuruh juga bersama dengan
muslim, jika tidak berasaskan kepada keadilan dan menolak kezaliman yang merupakan
antara perkara asas bagi tali Islam. Kita dituntut bersatu dalam melakukan
keadilan dan menolak kezaliman, tetapi kita dilarang dari bersatu dalam
melakukan kezaliman, waima sesama muslim sekalipun.
KESIMPULAN
Asas bagi Islam, ia adalah rahmat sekelian
alam. Ia tidak memberi kasih sayang kepada muslim sahaja, tetapi kasih sayang
menurut ajaran Islam melepasi batasan bangsa, warna kulit dan agama. Soal
kepercayaan agama adalah soal hidayah, sedangkan hidayah dibawah kekuasaan
Allah SWT.
Islam tidak menghalang kita bersatu dengan
non Muslim dalam usaha menegakkan keadilan. Yang Islam halang adalah, bersatu
sesama muslim dalam menegakkan kebatilan dan kezaliman. Juga islam juga
menghalang memberi kekuatan kepada pihak batil untuk terus bertapak.
Islam menang apabila non Muslim memeluk
Islam. Ia tidak akan berlaku, kecuali mereka menyukai Islam terlebih dahulu. Mereka
tidak akan suka dengan Islam, jika Islam dipamerkan sebagai agama perkauman,
walhal Islam adalah agama untuk semua manusia.
Ibn Taimiyyah pernah berkata, “Allah akan
tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun. Allah tidak akan tolong Negara
yang zalim, waima ia mukmin sekalipun”
Dengan itu, bersatu kita menegakkan keadilan
demi melihat Islam tersebar di muka bumi ini. Hindarkan diri dari bergabung
dengan pihak yang zalim, kerana ia menjauhkan manusia dari Islam.
Wallahu ‘Alam