Sabtu, 18 Julai 2009

AKU MAHU HADIR MAJLIS PENGKEBUMIAN TEOH BENG HOCK


AKU MAHU HADIR MAJLIS PENGKEBUMIAN TEOH BENG HOCK

Salah seorang Setiausaha politik exco kerajaan Negeri Selangor dari parti PAS menghantar sms kepadaku, bertanya hukum kehadiran orang islam dalam majlis pengkebumian Teoh Beng Hock yang tidak beragama Islam.

“ana nak pegi” jawapan ringkasku.

”kita jumpa di Nirwana Semenyih, Jam 12:30, isnin, kita jumpa di kajang dalam jam 11” jawapnya.

Mungkin persoalan tentang kehadiran orang islam dalam majlis pengkebumian jenazah non Muslim akan menjadi isu dari sudut hukum. Persoalan ini jadi rumit, jika tidak dibahas terlebih dahulu. Justeru, artikle ini akan mengulasnya dengan serba ringkas.

HUJJAH

Secara asasnya, hukum menghadiri majlis pengkebumian jenazah Non Muslim adalah harus. Dalil-dalil yang menyatakan sedemikian adalah seperti berikut;

PERTAMA:

Dalam satu hadis yang sahih, diriwayatkan bahawa Nabi SAW hadir ke maqam ibu baginda, iaitu Aminah binti Abdul Wahab. Baginda SAW meminta izin dengan Allah untuk mendoakan keampunan dosa terhadap ibunya, perkara itu dilarang oleh Allah SWT. Adapun kehadiran nabi SAW menziarahi kubur ibunya yang tidak mengucap syahadah; yang mati atas agama kaumnya, itu tidak dilarang oleh Allah terhadap Nabi SAW. (sila
rujuk)

KEDUA:

Sabda Nabi SAW;

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِي زِيَارَتِهَا تَذْكِرَةً

Maksudnya;
”Aku pernah mencegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Ini kerana, dalam ziarah kubur itu terdapat unsur mengingati mati
[1]

Dari hadir ini, kita akan fahami bahawa Nabi SAW menyuruh menziarahi kubur dengan tujuan untuk mengingati mati. Dalam hadis ini, tidak dibataskan kubur yang diminta ziarah adalah kubur orang islam sahaja. Justeru, menziarahi kubur non muslim adalah dibenarkan dalam islam.

KETIGA:

Diceritakan Qais bin Saad dan Sahl bin Huniaf berkata;

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامَ فَقِيلَ إِنَّهُ يَهُودِيٌّ فَقَالَ أَلَيْسَتْ نَفْسًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW telah dilalui oleh satu jenazah. Apabila melihat itu, nabi SAW berdiri. Diberitahu kepada baginda, bahawa jenazah itu adalah seorang yahudi. Nabi SAW menjawab, ’bukankah ia adalah manusia?
[2]

Dari hadis ini, menampakkan kepada kita bahawa Islam tidak menafikan hak kemanusian, waimma berbeda agama sekalipun.

Justeru, menghadiri majlis pengkebumian non Muslim adalah tidak haram dalam Islam, malah ia dibenarkan.

IGAUAN DAN JAWAPAN

Firman Allah;

وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ

Maksudnya;
”Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik”

(Surah At-Taubah : 84)

Dalam ayat ini, Allah SWT melarang kita berdiri di atas kubur orang munafiq, kerana mereka pada hakikatnya adalah kufur kepada Allah SWT. Apabila orang munafiq pun sudah tidak dibenarkan berdiri di kubur mereka, inikan pula kubur orang yang nyata kekafirannya.

JAWAPAN

Perlu dibedakan antara non mulim yang merupakan musuh islam, dan non muslim yang tidak menjadi musuh islam. Sebaliknya, wujud dari kalangan manusia yang mengucap syahadah itu, ada muslim yang mendokong islam, juga ada muslim yang melawan islam.

Apabila seseorang itu mengucap syahadah, tetapi didapati dia melawan islam, mereka sebenarnya adalah orang munafiq. Apabila mereka menjadi musuh Allah, maka tidak hairanlah Allah melarang berdiri di kubur mereka.

Adapun orang non Muslim yang tidak melawan islam, mereka ini digelar dengan istilah ”zimmi”. Menghadiri majlis pengkebumian mereka tidak menjadi salah, malah dibenarkan dengan alasan ”keadilan”.

Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
”Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”

(Surah Al-Mumtahanah : 8)


Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
19 Julai 2009 * 2:13 pagi



[1] Sunan Abi Daud : 2816.
[2] Sahih Muslim : 1596.

Khamis, 16 Julai 2009

PERGI TAK KEMBALI (9) : MATA IKUT RUH KELUAR


MATA IKUT RUH KELUAR

Mati adalah sesuatu yang pasti. Mati bukan perkara kecil, malah ia dinamakan sebagai kiamat kecil. Mati bermaksud, ruh keluar dari jasad, maka tinggallah jasad yang kaku, tidak bergerak lagi.

Ketika keluarnya ruh dari jasad, kesakitannya teramat sangat. Kesakitan ruh keluar dari jasad, diumpamakan seperti kayu yang berduri ditarik dari kapas yang basah. Betapa susahnya kayu berduri di tarik dalam kapas yang basah, begitulah susahnya ruh yang keluar dari jasad.

Apabila ruh itu sangat susah hendak keluar dari jasad, sudah pasti ketika ruh ditarik keluar oleh malaikat maut, mata manusia itu akan sama-sama mengikut perjalanan keluar ruh. Ekoran itulah, kita akan dapati kebiasaan orang yang meninggal dunia, mata mereka akan terbuka.

Perkara ini, diakui sendiri oleh wahyu menerusi lidah nabi SAW yang bersabda;

إِذَا حَضَرْتُمْ مَوْتَاكُمْ فَأَغْمِضُوا الْبَصَرَ فَإِنَّ الْبَصَرَ يَتْبَعُ الرُّوحَ

Maksudnya;
”apabila kamu menghadiri kematian seseorang kamu, maka pejamkanlah mata si mati, kerana matanya mengikuti ruhnya
[1]

Apabila kita membaca hadis ini, sedikit sebanyak kita dapat bayangkan betapa susahnya ruh mahu berpisah dari jasad. Kesusahan dizahirkan oleh Allah dihadapan para manusia yang masih hidup dengan diperlihatkan mata si mati yang terbuka sejurus kematian.

Kesusahan ruh keluar dari jasad ini, tidak sekadar berlaku kepada orang-orang yang jahat sahaja, malah ia berlaku kepada semua manusia, termasuk manusia yang baik.

Cuba bayangkan, jika manusia itu jahat, dengan melazimkan diri dengan maksiat kepada Allah SWT, lalu dia mati dalam keadaan sedang melakukan maksiat, sudah pasti dia ditimpa kesakitan yang berganda. Saat kematian dia berhadapan dengan kesakitan. Saat di alam barzakh nanti pun, dia ditimpa kerungsingan hidup yang tidak berkesudahan.

Justeru, tidak hairanlah pada mereka yang meletakkan keyakinan terhadap Allah dan Rasul-Nya akan bercita-cita mahu mati syahid, mati dalam berperang untuk menaikkan kalimah Allah yang paling tinggi. Ini kerana, mati syahid adalah mati yang diberikan nikmat oleh Allah SWT kepada sesiapa yang Dia mahu. ia adalah mati terpilih, yang tidak ditimpakan sebarang sakit yang kuat, malah ia merupakan mati yang dikehendaki orang yang syahid itu agar dia dimatikan berkali-kali.

Sabda Nabi SAW;

مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ يُحِبُّ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى الدُّنْيَا وَأَنَّ لَهُ مَا عَلَى الْأَرْضِ مِنْ شَيْءٍ غَيْرُ الشَّهِيدِ فَإِنَّهُ يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ فَيُقْتَلَ عَشْرَ مَرَّاتٍ لِمَا يَرَى مِنْ الْكَرَامَةِ

Maksudnya;
”tidak seorang pun yang masuk syurga, bahawa dia mahu kembali ke dunia. Baginya mempunyai apa-apa pun melainkan syahid. Ini kerana, dia berkehendak kembali ke dunia lalu dibunuh sebanyak 10 kali disebabkan melihat karamah (kemuliaan)
[2]

Jika dilihat kepada mati selain syahid, manusia yang mati terasa perit dengan kematian. Adapun mati syahid, keperitan dengan kematian tidak berlaku, bahkan yang wujudnya adalah keinginan dimatikan berkali-kali, lantaran keenakkan mati tersebut.

Itu bagi kematian yang disifatkan sebagai syahid, tetapi keadaannya amat berbeda dengan kematian biasa. Kematian biasa, dihadapi dengan kesakitan yang amat sangat sehingga sampai satu tahap, apabila mereka mati, mata mereka akan terbuka lantaran mengikut ruh keluar dari jasad.

Dalam pesanan Nabi SAW, apabila didapati seseorang yang mati itu matanya terbuka, maka hendaklah manusia yang hidup itu menutup matanya tersebut.

Semasa menutupkan mata si mati tersebut, digalakkan semasa menutup itu membaca beberapa doa. Antara lain disebut oleh seorang ulama salaf, Bakr bin Abdillah Al-Muzani dengan katanya, ”apabila kamu mahu menutupkan mata si mati, maka hendaklah kamu membaca;

بسم الله و علي ملة رسول الله (ص), اللهم صل علي محمد و على اله وصحبه أجمعين

Maksudnya;
“Dengan Nama Allah, dan terhadap Rasulullah SAW. Ya Allah, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad SAW, juga terhadap ahli kelurga dan sahabat baginda seluruhnya
[3]

”Cara menutupkan mata mayat itu pula, hendaklah ditutup ketika mayat itu terbukti telah meninggal dunia” jelas Imam Abu Daud.

Nyata, kematian bukanlah perkara remeh, malah ia adalah sesuatu yang berat dan menyakitkan. Justeru, selamatkan diri kita dari kesakitan itu dengan amalan soleh dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 Julai 2009 * 11:03 pagi





[1] Sunan Ibni majah : 1445.
[2] Sahih Muslim : 3489.
[3] At-Tazkirah : 38.

BAHAYA POLITIK KEPENTINGAN DIRI

BAHAYA POLITIK KEPENTINGAN DIRI

Di Karachi, Pakistan. Perbalahan mazhab antara sunni dan syiah menjadi perkara serius. Perbalahan antara mazhab, bukan sekadar perbalahan debat ilmu, malah ia menjadi 'peperangan' yang melibatkan bunuh membunuh.

Semasa belajar di Pakistan, aku sempat melihat tiga orang ulama hadis di Pakistan telah dibunuh oleh syiah, iaitu maulana Nizamuddin (mengajar Al-bukhari di jamiah New Town), maulanda yusuf Ad-Dunyawi (mengajar Sunan Abi Daud di jamiah New Town) dan maulana Sanaullah (Mengajar Sunan An-Nasai di jamiah Farooqiyyah).

Disebabkan sentimen kemazbahan itu menjadi perkara serius dari kalangan rakyat Pakistan, melahirkan perbalahan mazhab yang teruk. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti ia akan dijadikan ruang terbuka bagi ahli-ahli politik di Pakistan untuk mempertahankan politik zalim mereka.

Semasa aku berada di Pakistan, aku sempat di zaman Nawaz Syarif. Beliau seorang pemimpin Pakistan yang cukup masyhur dengan keterlibatan dengan rasuah.

Di kala isu rasuah nawaz Syarif sudah menjadi sungutan rakyat. Rakyat Pakistan juga telah bangkit untuk menjatuhkan Nawaz Syarif, menyebabkan isu ini telah difikirkan cara untuk ditutup; agar tidak dibicarakan oleh rakyat lagi.

Ekoran itu, saat isu ini berada dikemuncaknya, terpancul satu berita dalam akhbar menyatakan ada sebuah masjid sunni telah dimasuki oleh beberapa orang yang tidak dikenali, menembak orang Sunni yang sedang menunaikan solat subuh.

Apabila berita ini sudah tersebar dalam akhbar, menyebabkan ramai menuduh bahawa ini adalah 'kerjabuat' puak-puak syiah, waimma tuduhan itu tidak terbuktikan langsung.

Tuduhan itu menyebabkan lahirnya perbalahan mazhab sehingga berlaku bunuh membunuh. Apabila keadaan ini sudah berlaku, menyebabkan isu rasuah nawaz syarif tertutup. Makanya, bertahanlah Nawas Syarif sebagai pemimpin kerajaan Pakistan yang rasuah itu.

Walaubagaimanapun, nawas Syarif akhirnya jatuh dan naiklah pemimpin Pakistan yang lain.

Dari kisah ini, sentimen rakyat selalunya dimainkan oleh ahli politik zalim demi mempertahankan kuasa mereka. Keadaan yang sama juga, tidak mustahil berlaku di Negara di luar Pakistan.

Justeru, rakyat akan selamat jika sesuatu sentiment yang dimainkan oleh pihak pemimpin zalim tidak termakan oleh rakyat.

Baca sama:
Kalau dia bunuh diri, pasai apa, SPRM?


Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kopitiam bangi, Bandar Baru Sungai buloh
16 Julai 2009 * 11:29 malam

Rabu, 15 Julai 2009

JANGAN BAGI UMNO NAMPAK HERO


JANGAN BAGI UMNO NAMPAK HERO


Speaker Dun Selangor mengambil keputusan untuk menggantung Khir Toyo dari sidang DUN selama setahun, dan 4 ADUN BN yang lain selama 6 bulan.

Jika kita berfikir dalam kotak PAS, PKR dan DAP, sudah pasti tindakan itu akan menyebabkan mulut kita akan menghamburkan ucapan, “padan Muka”.

Pun begitu, jika kita berfikir di luar kotak kepartian PAS, PKR atau DAP, sudah pasti kita akan berfikir sebaliknya. Jangan difikirkan dari sudut kotak pemikiran orang UMNO/BN, tetapi nilailah pandangan rakyat bawahan yang tidak berparti (baca : atas pagar), ataupun ahli-ahli PAS, PKR dan DAP yang baru sahaja terlibat dengan parti.

Dari satu segi, kita melihat betapa hinanya Khir Toyo dengan sedemikiran rupa ekoran tindakan Speaker yang menggantungkannya dari hadir sidang DUN. Tetapi, dari sudut media pula, sudah pasti media UMNO akan menggambarkan bahawa tindakan Khir Toyo itu seperti dizalimi kerana tidak dibenarkan bersuara. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti Khir Toyo akan dilihat sebagai hero, disamping menggambarkan “hak bersuara” yang diperjuangkan oleh PR tidak sama seperti yang diungkapkan sebelum pilihanraya umum baru-baru ini.

Jika kita silap main isu, sudah pasti Khir Toyo bisa melahirkan gambaran rakyat kesian kepadanya. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti Khir Toyo akan mendapat imej bersih, waimma beliau hakikatnya kotor.

Lebih parah lagi, isu ini bisa dijadikan sebagai antara modal penting UMNO untuk menanamkan semangat kebencian orang melayu kepada Pakatan Rakyat, kerana speaker yang menggantungkan Khir Toyo dan 6 Orang ADUN itu adalah seorang berbangsa Cina.

Kita terpaksa terima hakikat, semangat perkauman dalam jiwa rakyat Malaysia masih belum berjaya dikikis. Bahkan, jika kita perhatikan kepada sebilangan kecil orang-orang PAS yang sedia berjuang islam pun, masih ada lagi yang meletakkan semangat bangsa mereka sebagai bahan penting juga.

Justeru, secara peribadi, aku agak tidak bersetuju dengan tindakan DUN Selangor yang menggantungkan Khir Toyo. Tidak bersetuju itu, bukan bermakna aku menyokong Khir Toyo, tetapi tidak bersetuju itu kerana tindakan tersebut dibimbangi melahirkan pandangan kesian rakyat terhadap Khir Toyo, seterusnya memberi imej positif kepada Khir Toyo di hadapan mata rakyat jelata.

Bak kata orang-orang tua dahulu, ”berundur bukan bermakna kalah, maju bukan bermakna menang”

Sekian

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com


- Kota Damansara
15 Julai 2009 * 4:21 petang

Selasa, 14 Julai 2009

PERGI TAK KEMBALI (8) : BERDOA DI KALA BERLAKU KEMATIAN

BERDOA DI KALA BERLAKU KEMATIAN

Berdoa merupakan ibadat yang penting dalam ajaran Islam. Islam memandang, berdoa merupakan perkara asas dalam beribadat.

Sabda Nabi SAW;

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

Maksudnya;
”Doa adalah otak bagi ibadat
[1]

Jika diperhatikan kepada hadis ini, sudah pasti kita akan mendapat satu gambaran bahawa betapa Nabi SAW memandang pentingnya doa sehingga sampai satu tahap mengkaitkan antara ibadat dengan otak. Sepertimana otak amat penting bagi kehidupan manusia, begitujugalah betapa pentingnya faktor doa dalam beribadat kepada Allah SWT. Di kala manusia yang sihat tetapi tidak berotak disebut sebagai gila; sudah pasti ia tidak mempunyai sebarang faedah terhadap kehidupannya, begitulah tidak faedahnya ibadat yang tidak mengandungi doa.

Kenapa doa adalah perkara penting??

Tidak ada manusia yang hidup atas muka bumi ini tidak mempunyai sebarang masalah. Apabila sesuatu masalah menimpa, sudah pasti berhajat kepada pihak lain untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan.

Sudah pasti, pihak yang diminta agar diberikan pertolongan itu adalah manusia yang mempunyai kelengkapan terhadap perkara yang dipohon. Mana mungkin sesuatu permohonan itu dilakukan terhadap manusia yang tidak mempunyai apa-apa pun.

Pepatah arab ada menyebut;

فاقد الشيء لا يعطي

Maksudnya;
”Orang yang tidak ada sesuatu pun, tidak bisa memberi”

Justeru, pihak yang terlebih utama untuk dipohon sesuatu perkara adalah tuhan yang mempunyai semua perkara, iaitu Allah SWT.

ORANG MATI PERLUKAN DOA

Orang yang sudah meninggal dunia tidak mempunyai sebarang keupayaan dan masa lagi untuk memohon sebarang perkara pun dari Allah SWT. Sesungguhnya doa manusia – terutama bertaubat – tidak akan diterima lagi oleh Allah ketika nyawa manusia telah bercerai dari jasad.

Memandangkan keadaan ini berlaku, tidak selayaknya manusia yang rapat dengan si mati, sama ada ia adalah kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga atau sebagainya, bahawa melalaikan dari mendoakan keselamatan si mati yang sedang berhadapan dengan sebarang kemungkinan dalam kubur.

Jika merujuk kepada Nabi SAW, kebiasaan baginda setelah selesai mengkebumikan seorang jenazah, pasti Nabi SAW akan menyeru para sahabat agar berdoa keampunan dosa kepada si mati, juga menyeru supaya mereka mendoakan agar si mati tersebut mendapat kekuatan untuk menjawab soalan-soalan kubur.

Osman bin Affan meriwayatkan hadis dengan katanya;

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ

Maksudnya;
”Apabila selesai nabi SAW mengkebumikan seseorang mayat, Baginda akan berdiri di tepi kubur seraya berkata, ”doakan keampunan dosa untuk saudara kamu, dan pohonlah untuknya agar dia mendapat kekuatan, kerana dia sedang di soal
[2]

Doa untuk keampunan dosa untuk orang yang sudah meninggal dunia adalah dibenarkan dalam Islam. Apakah doa itu dimakbulkan oleh Allah atau tidak, itu hendaklah diserahkan segalanya kepada Allah SWT.

Semua manusia itu berdosa. Tidak ada manusia yang berdosa melainkan mereka yang ma’sum. Manusia yang berdosa itu, sama ada sempat memohon taubat dengan Allah atau tidak. Bagi mereka yang tidak sempat memohon ampun dengan Allah, doa orang yang masih hidup, sedikit sebanyak dapat membantu.

Dalam keadaan demikian, di kala manusia yang sudah dikebumikan, sudah pasti akan datang kepada mereka dua orang malaikat yang bertanya kepadanya tentang amalan hati dan amalan jasmani yang telah mereka lakukan. Segala persoalan-persoalan itu, tidak bisa dijawab dengan mulut, malah yang menjawab ketika itu adalah amalan yang dilakukan semasa hidup.

Justeru, kelemahan bagi si mati yang berada dalam kubur memerlukan bantuan dari manusia yang masih hidup. Ekoran itulah, jangan dilalaikan daripada berdoa, agar diberikan kemudahan kepada orang yang meninggal dunia itu untuk berhadapan sebarang masalah dalam kuburnya.

DOA UNTUK ORANG HIDUP

Apabila seseorang yang meninggal dunia, sudah pasti ia mempunyai keluarga dan sahabat handai. Dengan berita kematian, memberi maksud ahli keluarga dan sahabat handai itu sedang berhadapan dengan suatu kehilangan, yang sudah pasti, ia merupakan musibah.

Sesuatu musibah, jika ditangisi, ia tidak bermakna musibah itu akan hilang. Bahkan, sebarang musibah yang menimpa, hendaklah sabar dan doakan agar diberikan balasan yang baik.

Dalam Al-Quran, Allah SWT sendiri ada menyebut berkenaan dengan musibah yang akan menimpa manusia. Disamping itu pula, Allah menyuruh manusia yang ditimpa musibah itu bersabar. Apabila sabar itu menjadi ’makanan’ ketika ditimpa musibah, sudah pasti Allah akan memberi balasan yang terlalu besar.

Firman Allah;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ * الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ * أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya;
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar * (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" * Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”

(Surah Al-Baqarah : 155-157)

Makanya, kematian merupakan musibah. Dalam menghadapi musibah kematian ini, Nabi SAW menggalakan kerabat atau sahabat handai kepada si mati agar banyak-banyak berdoa dengan Allah, memohon agar diberikan ganti musibah itu dengan yang lebih baik dari apa yang wujud pada si mati.

Ini dibuktikan dengan kisah saat kematian Abu Salamah. Ketika itu, isterinya Ummu salamah sedang berhadapan dengan kesedihan yang amat sangat.

Dengan kematian abu salamah, Ummu salamah telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menyatakan berita tentang kematian Abu salamah. Mendengar berita tersebut, nabi SAW mencadangkan kepada Ummu salamah agar membaca doa berikut;

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً

Maksudnya;
“Ya Allah, ampunilah aku dan dia. Gantikan kepadaku daripadanya dengan gantian yang baik”

Ummu Salamah membaca doa yang dicadangkan oleh nabi SAW itu. ternyata, dengan kematian Abu Salamah itu, Allah telah menggantikan kepada Ummu Salamah, suami yang lebih baik dari Abu Salamah, iaitu dengan Nabi SAW telah masuk meminangnya
[3].

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Julai 2009 * 9:06 malam






[1] Sunan At-Tarmizi : 3293.
[2] Sunan Abi Daud : 2804.
[3] Sahih Muslim : 1527.

Isnin, 13 Julai 2009

TERLALU RINDUKAN USTAZ FADZIL NOOR

>

>

PERGI TAK KEMBALI (7) : JANGAN ADA KALAM LALAI DI SAMPING JENAZAH


JANGAN ADA KALAM LALAI DI SAMPING JENAZAH

Bercakap dengan perkataan yang melalaikan merupakan perkara yang tidak elok. Justeru, perkataan yang bisa melahirkan perasaan mengingati Allah perlu dijadikan bahan harian.

Sabda nabi SAW;

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya;
”Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maha hendaklah dia bercakap perkara yang baik, ataupun dia diam dari bercakap
[1]

Jika kita renung kepada hadis ini, dilihat Nabi SAW sengaja menghubungkan antara beriman dengan Allah dan hari akhirat dengan bercakap dengan kebaikan ataupun senyap. Menghubungkan ini, bukan bermakna mereka yang bercakap perkara yang lalai itu sudah menjadi kafir, tetapi ia mengandungi maksud kesempurnaan iman bagi mereka yang diam dari berkata perkara yang melalaikan.

Berkata-kata merupakan satu perbuatan yang tidak sekadar melibatkan seorang diri, malah setiap kata-kata yang diungkapkan pasti melibatkan kepada manusia lain. Apabila sesuatu perkataan yang diungkapkan itu bisa melahirkan kelalaian dari mengingati Allah, sudah pasti kelalaian itu bukan sekadar pada diri orang yang berkata, malah akan tempias kepada orang yang tidak berkata pun alias orang yang mendengar.

Makanya, keadaan ini akan melambangkan satu gambaran bahawa kemudharatan berkata-kata perkara yang melalaikan ini amat besar. Sedangkan islam adalah agama yang amat menyerang perkara yang bisa melahirkan kemudharatan.

Apabila difahami sedemikian, tidak hairanlah sengaja Nabi SAW mengkaitkan antara beriman dengan berkata-kata perkara yang memberi maksud kebaikan, ataupun diam dari berkata-kata jika bisa melahirkan keburukan atau kelalaian.

BERCAKAP DEPAN JENAZAH

Apabila bercakap di khalayak umum pun sudah dilarang dari berbicara tentang perkara yang melalaikan, maka terlebihlah terlarang berbicara perkara yang melalaikan dihadapan jenazah.

Larangan ini berasaskan kepada Sabda Nabi SAW yang berbunyi;

إِذَا حَضَرْتُمْ الْمَرِيضَ أَوْ الْمَيِّتَ فَقُولُوا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

Maksudnya;
”Apabila kamu menghadiri orang yang sedang sakit atau mayat, maka hendaklah kamu bercakap perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan terhadap semua perkara yang kamu cakap
[2]

Kenapa Nabi SAW mengemukakan larangan ini??

Orang yang sakit adalah manusia yang diberikan isyarat dari Allah agar sentiasa mengingati Allah. Ini kerana, sakit merupakan salah satu petanda hampir kepada kematian.

Adapun kematian, ia bermaksud beralih dari sesuatu alam kepada alam yang lain. Apabila mati seseorang, bermakna seseorang itu telah meninggalkan alam dunia, dan sedang menuju kepada alam ghaibiyyat. Alam dunia adalah alam disuruh manusia melakukan amal ibadat. Adapun alam selepas alam dunia pula adalah alam pembalasan.

Kematian pula merupakan saat terakhir manusia dibenarkan melakukan ibadat. Ibadat yang dilakukan pula, sama ada dilakukan dengan kekuatan diri sendiri, ataupun dengan bantuan orang lain.

Justeru, disaat orang yang sedang sakit, terutama sakit membawa kepada kematian, tidak digalakkan kepada orang hadir menziarahi bercakap sesuatu perkara yang melalaikan, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kepada dosa. bahkan, digalakkan sangat, orang yang hadir itu bercakap dengan perkara-perkara ketaatan, agar orang yang sakit itu juga bisa menumpang pahala disebalik percakapan yang baik.

Adapun ketika menghadiri jenazah pula, tidak dibenarkan sama sekali berbicara perkara yang tidak mendatangkan faedah. Ini kerana, orang yang baru meninggal dunia adalah orang yang sedang mengharapkan pertolongan dari manusia hidup agar mendoakannya, terutama dari anak-anak yang soleh.

Jika kehadiran manusia yang suka berbicara perkara yang melalaikan kepada jenazah, sudah pasti mereka tidak akan mendoakan kebaikan untuk jenazah tersebut.

Ekoran itulah, tidak hairanlah kita akan dapati Imam Al-Qurtubi ada menyebut, ”ulama-ulama kami mencadangkan, agar kehadiran kepada jenazah adalah orang-orang yang soleh dan ahli-ahli kebaikan. Ini kerana, bicara orang-orang yang soleh dan ahli kebaikan ini dipenuhi dengan peringatan dan tazkirah. Bahkan, mulut mereka sering diisi dengan zikir dan doa. Apabila mereka bertindak sedemikian, sedangkan dikala itu malaikat sedang mengaminkan doa, sudah pasti sedikit sebanyak ia memberi faedah kepada jenazah tersebut
[3]

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Julai 2009 * 12:00 pagi



[1] Muwatta’ : 1454.
[2] Sahih Muslim : 1527.
[3] At-tazkirah : 37.

ROMBAKAN EXCO SELANGOR ??


ROMBAKAN EXCO SELANGOR ??

Mstar melaporkan;

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa (ADUN) Mohamed Azmin Ali hari ini terus mendesak supaya kerajaan negeri Selangor mengadakan rombakan terhadap barisan EXCO Selangor.

Beliau berkata cadangannya pada Khamis lepas, agar Exco dirombak tidak semestinya memecat mana-mana individu, sebaliknya ia boleh dilakukan dengan menukar portfolio anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Terserahkan kepada Menteri Besar untuk berbuat demikian," katanya kepada para wartawan sewaktu rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sungguhpun, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tidak akan membuat sebarang rombakan dalam masa terdekat, beliau perlu menekankan peranan excoexco supaya lebih berkesan dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk membangunkan Selangor, katanya.

Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak itu telah meminta supaya barisan Exco kerajaan negeri dirombak kerana tidak berpuas hati dengan prestasi Excoexco tertentu yang didakwa gagal memajukan negeri itu. Beliau membuat kenyataan itu semasa sidang DUN itu, yang turut tidak senang dengan cara pelantikan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor yang diumumkan Isnin lepas.

Beliau mendakwa, pelantikan anggota majlis berkenaan dibuat tidak selaras dengan prinsip serta semangat kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS.

KOMEN;

Rombakan perlu jika kerajaan selangor tidak boleh maju dengan wujudnya exco-exco yang lembab.

Secara peribadi, aku cadangkan dua nama yang bukan sekadar menukarkan portfolio, malah dipecat terus dengan digantikan orang lain, iaitu Dr Hasan Ali dari PAS dan Ronnie Liu dari DAP.

Sekadar cadangan sahaja…

Sekian

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 Julai 2009 * 11:00 malam



HEBATNYA KEPEMIMPINAN MUHAMMAD AL-FATEH


HEBATNYA KEPEMIMPINAN MUHAMMAD AL-FATEH

Sultan Muhammad Al-Fateh dididik oleh dua orang ulama, iaitu As-Syaikh Syamsuddin Al-Wali dan As-Syaikh Al-Bayram. Walaupun tidak berstatus ulama, tetapi Sultan Muhammad Al-Fateh amat patuh kepada Allah SWT, sehingga sejarah membuktikan bahawa beliau merupakan salah seorang tokoh politik yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Di kala beliau hendak melakukan serangan terhadap Kota Konstentinopel, beliau membaca hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa kota Konstentinopel akan dikuasai oleh Islam, di kala raja yang menyerang itu adalah raja yang baik, disamping tenteranya juga adalah tentera yang baik.

Merenung dan mentadabburkan hadis itu, menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha hendak menjadikan dirinya sebagai orang yang baik.

Adapun tentera-tenteranya, Sultan Muhamad Al-Fateh telah membawa mereka ke satu kepulauan untuk diadakan latihan di sana. Dalam latihan itu, diberi penekanan dari sudut jasmani dan rohani.

Pada siangnya, mereka ditadribkan dengan latihan ketenteraan. Pada sebelah malamnya pula, mereka ditarbiyyah dengan tahajud dan baca Al-Quran.

Sultan Muhammad Al-Fateh tidak membiarkan latihan itu diserahkan kepada ketua perang yang dilantik, bahkan baginda Sultan sendiri menghadiri latihan ketenteraaan tersebut.

Pada siangnya, Sultan Muhammad Al-Fateh berada di atas kuda memerhatikan latihan ketenteraan yang dilibatkan kepada tentera-tenteranya. Pada waktu malamnya pula, Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri berjalan menyiasat di khemah-khemah tentera, apakah mereka bertahajud dan baca Al-Quran atau tidak.

Setelah sekian lama berada dalam latihan tersebut, Sultan Muhammad Al-Fateh masih sangsi terhadap ketaqwaan yang wujud dalam diri para tenteranya. Bagi memastikan ketaqwaan tenteranya itu, pada suatu malam, Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri telah memanggil dua orang tenteranya yang berjawatan rendah.

Setelah memanggil dua orang tenteranya itu, baginda menyuruh agar mereka mencari sebuah biji delima pada malam itu juga, kerana sultan muhammad Al-Fateh mahu memakannya.

Dua tentera tersebut mencari kebun delima dalam pulau tersebut, dan ternyata mereka ketemui kebun delima, tetapi menyedihkan mereka tidak bertemu tuan kepada kebun tersebut.

”kalau kita tidak jumpa juga tuan kebun delima ini, kita ambil je buah delima ini. lagi pun, kerajaan ini adalah kerajaan Sultan Muhammad. Buah delima ini pula, hendak di makan oleh sultan Muhammad. Kalau tuan kebun ini marah, pasti dia tidak boleh berkata apa-apa” kata salah seorang tentera tersebut kepada kawannya.

kawannya itu terkamam dan diam sekejap seakan-akan berfikir. Sedetik kemudian dia bersuara, ”mana boleh.. memang kerajaan ini adalah kerajaan Sultan Muhammad, tetapi jika kita berbuat demikian, sudah pasti perbuatan ini adalah mencuri. Buah curi adalah makanan haram. Aku tidak redha sultan aku makan makanan yang bersumber dari yang haram”

tentera tersebut diam seribu bahasa dan akur dengan apa yang diungkapkan oleh kawannya itu.

Disebabkan tidak berjumpa dengan tuan kebun delima, maka kedua-dua tentera tersebut pulang tanpa membawa apa-apa pun.

Ketika sampai berhadapan dengan Sultan Muhammad Al-Fateh, baginda Sultan bertanya, “manakah buah dilema yang aku pesan?”

“kami berjumpa dengan kebun delima, tetapi kami tidak ketemui tuan kebun tersebut”
jawab salah seorang dari kedua-dua tenteranya dengan tegas.

“mengapa kamu tidak mengambil buah delima itu sahaja. Bukankah kamu tahu bahawa kerajaan ini adalah kerajaan aku?” soal Sultan Muhammad Al-Fateh lagi.

Seorang lagi dari kedua-dua tentera itu menjawab, “pada peringkat awalnya, kami memang mahu mengambilnya tanpa meminta izin. Tetapi, kami tidak redha sultan kami makan makanan haram, justeru kami tidak mengambil buah tanpa keizinan tuan kebun delima itu, kerana itu adalah tindakan mencuri yang diharamkan oleh Allah SWT”.

Sultan muhammad Al-Fateh dengar jawapan kedua-dua tentera bawahannya itu. Memahami dari itu, Sultan Muhammad terus beranggapan bahawa tenteranya adalah tentera yang baik, sesuai dengan pesanan nabi SAW yang mengatakan, kota konstentinopel akan dikuasai oleh raja yang baik dan tentera yang baik.

Dengan kejayaan tadridiyyah badaniyyah dan tabiyyah ruhaniyyah ini, menyebbakan Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan tentera-tenteranya untuk memulakan rancangan menyerang Kota Konstentinopel dan akhirnya tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh menang.

Hebatnya kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam mengurus tenteranya. Ekoran itulah, tidak hairan perttolongan Allah berikan kepada tentera Sultan Muhammad sehingga mencapai kemenangan.

Apakah wujud lagi kehebatan pemimpin seperti Sultan Muhammad Al-Fateh??

Renung-renungkanlah!!!!

Sekian

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kota Damansara
13 Julai 2009 * 5:16 petang

Ahad, 12 Julai 2009

‘POLITIK AH LONG’ DI MANIK URAI

bapa 'Politik Ah Long' di Malaysia

‘POLITIK AH LONG’ DI MANIK URAI

Malaysiakini melaporkan;

“Kerajaan pusat menawarkan untuk membina jambatan baru yang dianggar berharga RM7 juta hingga RM10 juta, sekiranya pengundi memilih BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai Selasa ini”

“Bagaimanapun, katanya (Timbalan Presiden UMNO), ia hanya akan dibina sekiranya pengundi DUN tersebut memilih calon BN Tuan Aziz Tuan Mat”

KOMEN

Budaya ugut mengugut, selalunya disinonimkan dengan mafia. Mafia suka mengugut apabila tidak mendapat sebarang perkara yang dia mahu. Kaedah mafia ini, diguna pakai juga oleh Ah Long.

Ah Long adalah puak-puak penghisap darah orang-orang susah. Mereka membuka “meja” untuk sesiapa sahaja yang mahu meminjam dari mereka. Tetapi, apabila sudah meminjam, hendaklah dibayar balik dengan kadar lebihan. Inilah yang disebut dalam islam sebagai riba ad-duyun.

Apabila orang yang meminjam wang tidak mampu membayar duit yang dipinjam dari ah long pada tarikh yang telah ditetapkan, sudah pasti tekanan akan dikenakan. Tekanan itu sampai satu tahap menggunakan kaedah mafia, iaitu ugut.

Nampaknya, budaya yang sama diguna pakai oleh sebuah parti yang dilebelkan sesat oleh tok guru nik abdul aziz. Ternyata, sesatnya UMNO ini bukan sekadar dari sudut keagamaannya sahaja, malah dari sudut budaya politik sehat dan undang-undang demokrasi.

Dalam islam, sesat bermakna tidak jumpa jalan menuju ke syurga. Sudah pasti, budaya ugut bukanlah budaya jalan ke syurga, malah ia merupakan budaya orang yang tidak berjumpa jalan menuju ke syurga. Bermakna, ternyata UMNO itu memang parti yang tidak berjumpa jalan ke syurga, atau diistilahkan dengan istilah agama sebagai sesat.

TERBUKTI LEMAH

Budaya ugut selalunya digunakan dikala orang yang mengugut sudah tidak tahu lagi untuk melakukan apa-apa selepas sebarang tekanan telah dilakukan. Mafia yang jahat, apabila mereka menekan kepada golongan tertentu dengan sesuatu tekanan, dan ternyata tekanan itu tidak ”makan saman”, sudah pasti mereka akan menggunakan kaedah ugut.

Ah Long yang memberi hutang kepada seseorang, lalu diminta dibayar balik hutang pada tarikh yang telah ditetapkan, tetapi pemiutang ternyata tidak mampu membayar balik hutang itu, sudah pasti akan melahirkan kondisi yang menekan pada diri ah long yang mahukan wang.

Apabila mereka dah tertekan sangat untuk mendapatkan wang, sudah pasti mereka akan menggunakan kaedah ugut untuk mendapatkan wang yang dia mahu.

Keadaan yang sama juga berlaku pada UMNO/BN di Manik urai. Ini kerana, apabila segala isu agama tidak mampu dijawab oleh mereka, begitujuga segala isu-isu yang wujud dilihat seperti mereka yang menari dengan gendang mainan PAS. Keadaan ini menyebabkan UmNO tertekan. Apabila sudah terlalu tertekan, maka isu pembangunan di mainkan di Manik Urai.

Isu pembangunan di mainkan oleh UMNO adalah perkara biasa, kerana itu memang cara politik bodoh UMNO. dalam setiap pilihanraya, memang itu sahaja modal UMNO untuk menarik pengundi, walaupun banyak pembangunan yang dijanjikan itu ternyata tidak berjaya.

Lihatlah janji UMNO dalam ECER. Janji UMNO nak bina jambatan Sultan Yahya Petra dalam pilihanraya umum baru-baru ini, dan banyak lagi.

Cumanya yang pelik, mengapa perlu ugut ketika berjanji?? Ternyata, rakyat kelantan cerdik dalam berpolitik, lebih-lebih lagi rakyat manik urai, sehingga sampai satu tahap UMNO terpaksa guna kaedah ah long dan mafia dalam mencapai matlamat kemenangan mereka.

Sekian
baca sama;


Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kota Damansara
13 Julai 2009 * 1:05 petang