Sabtu, 29 Disember 2012

‘UQBAH BIN ‘AMIR AL-JUHANI : DEMI ILMU, TINGGALKAN KERJA


Semasa Nabi Muhammad SAW sampai di Yastrib, beliau berada di padang pasir untuk mengembala kambing. Berita kehadiran Nabi SAW, menyebabkan beliau bersegera meninggalkan gembalaannya yang merupakan sumber rezekinya, semata-mata mahu bersua-muka, bertemu-mata dengan Baginda SAW.

Setelah berjumpa, beliau memeluk Islam dan berbaiah dengan Nabi SAW. Baginda SAW bertanya, apakah beliau mahu berbaiah hijrah atau berbaiah Badwi. Beliau mahu berbaiah sebagai Hijrah.

Setelah berbaiah, beliau pulang semula ke padang pasir untuk meneruskan kerja hariannya, mengembala kambing. Bersama rakan-rakan di padang pasir seramai 12 orang. Mereka bergilir-gilir mengembala kambing di padang pasir dan berulang alik untuk mendapatkan ilmu dari Nabi SAW. Kemudian sesame mereka, berkongsi balik ilmu itu. ‘Uqbah merasa rugi, menyebabkan beliau berhenti terus dari menjadi pengembala kambing untuk sentiasa berdampingan dengan Nabi SAW demi khidmat dan ilmu.

Ke mana sahaja Nabi SAW bermusafir, dia akan ambil peluang untuk berkhidmat dengan Nabi SAW. Ternyata, beliau kagum dengan diri Nabi SAW yang mempunyai semangat persahabatan yang kuat. Walaupun ‘Uqbah berkhidmat dengan Nabi, tetapi Nabi SAW tidak pernah menganggap ia sebagai khadam, sebaliknya menganggap ‘Uqbah sebagai teman yang wajar dihormati.

Dalam permusafiran, baginda SAW di atas unta, sedangkan ‘Uqbah berjalan kaki memegang tali unta Nabi SAW. Dalam perjalanan, Nabi SAW bertanya kepada ‘Uqbah, apakah beliau keletihan? Tanpa sempat beliau memberi jawapan, Nabi SAW menyuruh beliau naik atas unta, dan Nabi SAW pula berjalan kaki dan memegang tali unta itu.

Memandangkan ia suruhan Nabi SAW, ‘Uqbah tidak tergamak untuk menolak, menyebabkan beliau naik sejurus Nabi SAW turun dari unta. Semasa dalam perjalanan yang tidak jauh, ‘Uqbah minta untuk berjalan kaki semula, dan meminta agar Nabi SAW pula menaiki balik unta  tersebut.

Ketika itu juga, Nabi SAW menyatakan kepadanya bahawa Baginda SAW mahu ajarkan kepadanya dua surah, dan ‘Uqbah bersedia untuk belajar, iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nas.

Kelebihan yang ada pada ‘Uqbah adalah, kemahirannya dalam memanah. Dalam peperangan Uhud, beliau ditugaskan sebagai pemanah. Disamping itu juga, suara beliau cukup merdu. Ia menjadi ingatan bagi para sahabat yang berjumpa dengan beliau, bahawa mahu mendengar bacaan al-Quran dari ‘Uqbah.

Ketika Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau sering menyuruh ‘Uqbah menuturkan ayat-ayat suci ilahi. Bacaan al-Quran itu menyebabkan air mata umar menitis lebat membasahi janggutnya.

Di era pemerintahan Abu Bakar, beliau tinggal di Syam. Di era Umar, beliau berpindah di Damsyiq. Di era Muawiyah menjadi khalifah, beliau berpindah pula ke mesir dan meninggal di sana pada tahun ke 58 Hijrah.

Sebelum beliau meninggal, sempat juga beliau berpesan kepada anak-anaknya dengan tiga pesanan penting, iaitu agar tidak mengambil hadis kecuali dari orang kepercayaan, agar tidak berhutang walaupun terpaksa memakai pakaian compang camping dan agar tidak terlalai dari membaca al-Quran walaupun sebuk dengan syair-syair indah.

Wallahu ‘Alam