Penyakit HIV ini banyak terkena pada orang islam. Kebanyakkan mereka terlibat dengan dadah, kemudian menghidap penyakit yang membawa maut itu. Bukan tidak ada non muslim yang terlibat, tetapi bilangan muslim lebih ramai.
Di saat mereka menunggu masa sahaja untuk meninggalkan dunia ini, golongan Islam memandang mereka seperti najis. Nasib mereka tidak terbela di pihak orang Islam. Pihak islam masih lagi mengungkap dosa-dosa lama mereka, sehingga mereka terabai.
Memalukan, apabila pihak gereja memandang mereka itu dengan pandangan kasih sayang, dikala pihak umat Islam memandang mereka dengan pandangan najis. Pihak gereja menyediakan penginapan dan makan minum mereka.
Sepatutnya, pihak Islam perlu kehadapan dalam perkara ini berbanding kristian. Ini kerana, Islam itu sendiri mengajar soal kebajikan yang perlu diberikan, waima terhadap orang yang pernah berdosa sekalipun. Tetapi, keadaan yang berlaku di Malaysia kini adalah sebaliknya. Maka itu adalah satu perkara yang wajib kita muhasabah sesame kita.
Apabila pihak gereja mengadakan program makan malam dalam usaha mencari dana untuk menampung kewangan membiayai mereka, sudah pasti mereka yang terlibat dengan perkara ini akan turut hadir sama. Tidak ketinggalan dalam berusaha untuk ini adalah orang yang beragama Islam. Makanya, program makan malam mencari dana itu turut dihadiri oleh orang islam tersebut.
Namun, sedang program di jalankan. Berlaku siasatan JAIS sehingga ia menjadi satu berita yang dibincangkan. Ia berlanjutan sehingga menjadi satu bahan yang dibincang dari sudut politik.
SOKONG JAIS ATAU SEBALIKNYA?
Dalam isu ini, lahir tiga golongan. Mereka adalah seperti berikut;
Pertama :
Golongan yang menyokong tindakan JAIS. alasan mereka, tindakan JAIS itu adalah tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Sebagai badan yang diberi amanah untuk menjaga aqidah umat Islam, maka tindakan JAIS itu adalah patut dan wajib disokong.
Kedua :
Ada dari pihak yang lain pula tidak bersetuju dengan tindakan JAIS itu. Pada mereka, sepatutnya JAIS perlu bertindak dengan tindakan yang lebih berhikmah supaya islam tidak berjaya dipropagandakan oleh kristian sebagai agama yang tidak menghormati hak non muslim dan sebagainya.
Ketiga :
Golongan ini adalah golongan yang tidak ambil port. Mereka mendiamkan diri, dan sekadar menunggu dan melihat apa yang bakal terjadi.
PANDANGAN MEREKA
Golongan Pertama :
Antara hujjah yang digunakan oleh golongan yang pertama adalah seperti berikut;
[1]
Menjaga orang dari murtad adalah satu perkara yang wajib. Membiarkan orang murtad merupakan satu maksiat yang dosanya amat besar. Ini kerana, meredhai kemurtadan orang bermakna meredhai dengan maksiat.
Makanya, apabila didapati bahawa ada orang yang hendak dimurtadkan oleh kristian, tindakan perlu dilakukan. Jadi, tindakan JAIS itu adalah bertepatan.
[2]
Dalam maqasid syariah, perkara utama adalah penjagaan bagi agama. Jadi tindakan JAIS itu menyelamatkan aqidah umat Islam, yang ia bersesuaian dengan maqasid syariah tersebut.
Golongan kedua :
Antara hujjah golongan kedua pula adalah seperti berikut;
[1]
Dalam Islam, dilarang melakukan serangan kepada rumah-rumah ibadat, hatta dalam peperangan sekalipun. Makanya, dalam keadaan aman, amatlah penting tidak melakukan serangan terhadap rumah ibadat non Muslim.
[2]
Dalam maqasid syariah, wujud penjagaan terhadap agama. Tetapi, maksud dengan penjagaan agama itu hendaklah dilihat dari sudut yang lebih luas. Ini kerana, penjagaan agama itu tidak cukup sekadar menyelamatkan orang dari murtad, tetapi menjaga imej Islam dari tercemar juga dibawah maksud penjagaan bagi agama.
Dengan erti kata yang lain, tindakan JAIS itu, sedikit sebanyak telah melahirkan kecemaran pada imej agama Islam yang maha suci. Kerana, tindakan itu akan mempamerkan islam seperti agama agak ganas, walhal Islam sekali-kali tidak begitu.
[3]
Merujuk kepada kisah selepas sulh Al-Hudaibiyyah. Dalam perjanjian tersebut, dinyatakan bahawa orang makkah yang memeluk islam selepas perjanjian dimatrai, mereka tidak boleh masuk ke Madinah untuk berlindung dalam kerajaan tersebut. Sekiranya ada yang masuk ke Madinah juga, maka wajib kerajaan Islam menghantar balik orang itu kepada kerajaan Makkah.
Selepas perjanjian Hudaibiyyah berlaku, ternyata ada seorang lelaki yang masuk islam selepas perjanjian termetrai, yang dia juga telah berada dalam kerajaan madinah. Lelaki tersebut dikenali sebagai Abu Bashir.
Perkara ini diketahui oleh quraish, menyebabkan Quraish telah menghntar dua orang wakil bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memaklumkan perkara itu. Dua lelaki tersebut adalah Al-Azhar dan Al-Akhnas bin Syuraiq As-Saqafi.
Mengetahui tentang laporan dari dua wakil Quraish tersebut, Nabi SAW telah memanggil Abu Bashir dan meminta beliau pergi ke Makkah balik bersama dengan dua orang wakil Quraish tersebut. Pada peringkat awalnya, ramai dari kalangan sahabat tidak bersetuju sehingga ada sebilangan mereka menjangkakan bahawa Abu Bashir bakal dimurtadkan dan dibunuh.
Memandangkan kerajaan islam telah melakukan perjanjian, maka bagi mengelak dari rosak imej islam, Nabi SAW tetap juga menyuruh Abu bashir pergi bersama dengan dua orang wakil Quraish itu pulang ke Makkah.
Perkara itu terpaksa diakur oleh para sahabat dan diri Abu bashir sendiri, waima Abu Bashir sendiri dalam keadaan tidak berpuas hati.
Dari sirah ini, ia membuktikan bahawa imej Islam perlu diutamakan. Ia dibawah maksud maqasid penjagaan bagi agama.
[4]
Golongan ini tidak menafikan bahawa memang undang-undang tidak menghalang tindakan JAIS tersebut. Tetapi, sebagai sebuah jabatan agama Islam, sudah pasti tindakan mereka perlu berhikmah. Ini kerana, jika mereka tidak berhikmah, ia akan melahirkan imej buruk pada islam itu sendiri pada mata-mata non Muslim.
PENILAIAN KITA
Dalam menilai perkara ini, kita timbulkan beberapa perkara. Iaitu seperti berikut;
Pertama :
Sekiranya kita menyokong tindakan JAIS tersebut, apakah orang yang bakal murtad (sekiranya ada), akan meyakini kembali dengan kebenaran Islam? Ataupun, mereka akan bertambah membenci Islam?
Dan jika kita mengkriti tindakan JAIS itu, akan melahirkan orang yang bakal murtad itu merasakan bahawa islam adalah agama yang baik, seterusnya persepsi mereka bahawa kononnya islam ini agama buruk akan terhapus?
Kedua :
Sekiranya kita menyokong tindakan JAIS itu, apakah non Muslim akan merasakan betapa baiknya agama islam itu, atau mereka merasakan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan hak mereka tanpa melihat kepada hak manusia yang tidak beragama Islam?
Dan jika kita mengkritik tindakan JAIS itu pula, apakah ia menukar persepsi buruk mereka terhadap Islam kepada persepsi yang baik?
KESIMPULAN
Melihat kepada kedua-dua pendapat ini, agak sukar untuk kita menilai untuk kita menyokong. Jadi, secara peribadi, aku menyimpulkan adalah seperti berikut;
Pertama :
Pihak agama islam perlu memperkasakan badan zakat (kalau di Selangor : lembaga Zakat Selangor). Ia tidak perlu dipentingkan kepada kutipan sahaja, tetapi perkara yang paling penting adalah mencari golongan miskin untuk memberikan hak zakat itu kepada mereka.
Kedua :
Pihak lembaga zakat pula, kurangkan birokrasi untuk melayakkan orang yang layak menerima zakat. Ini kerana, membebankan orang yang terbeban bukan satu perkara yang terpuji dalam Islam.
Ketiga:
Sebagai Jabatan agama Islam, tindakan mereka perlu mempamirkan dakwah. Jika mereka bertindak yang boleh melahirkan gambaran atau imej buruk kepada Islam, ia merupakan satu perkara yang sangat bercanggah dengan kehendak Islam itu sendiri.
Keempat :
Kita tidak nafikan bahawa nasrani itu sememangnya termaktub dalam al-Quran. Tetapi, perlu diingat tidak semua orang masuk ke dalam agama kristian kerana mereka mahu kepada kristian. Ada sebilangan mereka yang masuk kristian, kerana mereka mahu mendapat habuan keuntungan wang. Ada sebilangan mereka masuk kerana mereka terpaksa disebabkan kesempitan hidup dan sebagainya.
Dan lagi, jika kita bertindak dengan kasar sekalipun, ia sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada Islam. Tetapi, ia akan melahirkan imej yang buruk kepada Islam itu sendiri.
Kita tolak tepi dulu soal JAIS benar atau Gereja yang benar. Tetapi yang kita perlu fikirkan, apakah tindakan itu berjaya menarik balik orang murtad agar kembali kepada Islam semula? Juga, apakah tindakan itu berjaya menarik minat non Muslim untuk semakin mendekati islam atau sebaliknya?
Sekian
Wallahu ‘Alam