Sabtu, 27 November 2010

SEBELUM NAJIB SERANG KELANTAN, JAWAB PAHANG DAN SERAWAK DULU

1 disember 2010 ini, dikhabarkan akan berlaku mesyuarat majlis tanah negara yang dihadiri oleh semua menteri besar di semua negeri-negeri di Malaysia. Turut hadir, beberapa orang menteri kabinet. Menteri sumber asli dan Alam Sekitar, Douglas Uggah Embas adalah menteri yang wajib hadir. Mesyuarat tersebut, dipengerusikan oleh PM, najib Tun Razak.

Dalam mesyuarat tersebut, akan dibangkitkan berkenaan pengurusan hutan di Malaysia. Dalam mesyuarat tersebut, didakwa akan berlaku satu serangan dahsyat terhadap pengurusan hutan di Kelantan.

Antara serangan yang berkemungkinan dibangkitkan adalah;

Pertama: kenapa kelantan didakwa menebang balak terlalu banyak?

Kedua: Kenapa Kelantan tidak ikut dasar Barisan Nasional tentang perhutanan?

Dua soalan ini bakal menjadi serangan dahsyat terhadap wakil kerajaan negeri kelantan dalam mesyuarat pada 1 disember ini. Tidak cukup sekadar itu, ia akan dijadikan sebagai isu media untuk membina persepsi rakyat terhadap kerajaan PAS pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Walaubagaimana pun, sebelum najib hendak menyerang kelantan, Najib kena jawab dua soalan ini dahulu, iaitu;

Pertama:

Pengeluaran balak yang terlalu tinggi berlaku di bukit Tinggi, Pahang. Keadaan ini berlaku sejak Najib menjadi MB Pahang lagi sehingga kini, malahan ia berada dibawah pengetahuan Najib.

Kedua:

Mengikut dasar kerajaan Barisan nasional, tidak boleh dilakukan tanaman sawit dalam hutan simpan. Tetapi, kenapa di sarawak ada hutan simpan yang ditanam sawit?

Banyak lagi soalan yang perlu najib jawab, tapi kita menunggu serangan najib terhadap kelantan dulu.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
27 November 2010 * 10:45 malam

Jumaat, 26 November 2010

SEORANG IMAM DENGAN SEORANG LELAKI HINDU

Seorang imam sedang menyapu sampah di sekitar masjid. Ia merupakan jadual hariannya selepas menunaikan solat asar.

Sedang dia menyapu, dia terlihat seorang lelaki hindu datang membawa sebatang besi, lalu dipacak besi itu di bawah sebatang pokok yang berada berhampiran dengan masjid itu.

Melihat itu, imam terbabit terus menuju ke arah lelaki hindu terbabit dan bertanya.

“apa yang tuan buat itu?”

“Pacak ini besi dekat ini pokok la”

“Oooo.. kenapa pacak besi ini kat sini?”

“Semalam saya tidur, saya ada mimpi bahawa ada satu dewa suruh saya pacak ini besi sama ini pokok”

Mendengar jawapan lelaki india itu, imam itu terus terfikir bahawa tindakan lelaki india itu bertujuan untuk membina kuil di tapak tersebut untuk masa akan datang. Imam itu tidak membalas jawapan lelaki india itu. Dia hanya sekadar menganggukkan kepalanya, apabila mendengar jawapan lelaki hindu terbabit.

Keesokkannya, lelaki hindu itu datang sekali lagi pada waktu yang sama. Didapati bahawa besi itu sudah tidak ada lagi ditempat yang dipacaknya semalam.

Lelaki hindu itu terus berjalan menuju ke arah Imam yang sedang menyapu sampah sepertimana rutin hariannya.

“Imam, ada nampak tak, siapa yang cabut itu besi?”

“Saya yang cabut itu besi la..”

“kenapa imam cabut itu besi?”

“Semalam saya tidur. Saya ada mimpi. Mimpi itu cakap supaya saya cabut itu besi. Itu pasal saya cabut besi itu pagi tadi” ujar Imam itu selamber rock.

Lelaki hindu itu tidak dapat berkata apa-apa, dan berlalu pergi.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] sg buloh
27 November 2010 * 2:56 pagi

SEBELUM MATI, NAK TENGOK ISLAM TERLAKSANA DI MALAYSIA

komentar menarik dari seorang pengunjung yang menggunakan "tanpa nama".

"mahal sangat 300 tu , sbb kat msia kot kalau kat arab mgkn bwh seratus tapi ya la bro wan ji , aku teringat kisah bapa imam haramain juwaini , kerja dia ambil upah salin buku , masa tu mana ada cetak , dikumpulnya duit beli amah (lagi murah kalau pinang merdeka) dan dapat anak yakni imam haramain juwaini sahibul al-burhan , bapak beso usul fiqh ...kalau semua dah bedal kat dunia apa yang kita nak merasa kat akhirat?"

"bro wan ji - ingat cakap aku ni - hang tu nanti kalau dah top gila - sana sini 'masuk' - aku nak tengok hang macamana , lani takpe la hang muda - semangat anak muda - belum kaya ... hehe hang jaga - byk yg dah terlingkup"

ULASAN:

kritikan yang mengandungi unsur sindiran dari saudara tanpa nama ini, sangat menyentuh perasaanku. Ia mengingatkanku bahawa setiap kali aku menulis blog, perkara yang paling aku fikirkan adalah seperti berikut;

pertama:

apakah tindakan aku mengkritik pimpinan Parti islam itu, sesuai dengan kehendak islam atau tidak?

pemahaman aku, Islam agama yang adil. Pegangan ini, aku pegang sejak aku mengenali islam; sejak kecil lagi. Sejak dahulu lagi, perkara yang cukup aku berpegang adalah, Islam gagal dibuktikan adil oleh orang islam sendiri, ekoran itu islam tidak diterima oleh Non Muslim; ekoran itu Islam tidak berkembang pesat seperti yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Semasa nabi SAW masuk ke Madinah [ketika itu : Yasrib], bilangan orang islam tidak ramai; mengikut peratusnya, tidak sampai 30%. Namun dengan konsep keadilan islam yang dikemukakan oleh nabi SAW; dengan konsep berkebajikan Islam yang dikemukakan oleh Nabi SAW, didapati Nabi SAW tidak menjadikan hasil mahsul negara sebagai cara untuk mengkayakan dirinya, malahan terhadap kaum kerabatnya. Ini terbukti, dengan larangan nabi SAW dari menerima zakat, juga Zul Qurba Nabi, iaitu bani hasyim dan Muttalib.

Pembuktian ini berjaya dikemukakan oleh Nabi SAW, menyebabkan ia dilihat oleh rakyat-rakyat di Makkah dan madinah, juga diluar negara-negara islam yang lain. Ternyata, manusia melihat bahawa Nabi SAW merebut sesebuah negara, bukan untuk merampas kekuasaan, tetapi Nabi SAW mahu melaksanakan keadilan islam yang berasaskan wahyu Ilahi yang terbukti memberi kebaikan kepada Manusia.

Tindakan Nabi SAW itu, menyebabkan Islam berkembang begitu pesat, sehingga di saat Nabi SAW menyampaikan khutbatul Wida' yang tidak sampai 10 tahun selepas Hijratur Rasul ke Madinah, kehadiran manusia yang sudah memeluk islam terlalu ramai sehingga sekarang ahli sejarah masih tidak dapat menentukan bilangan kehadiran umat Islam di kala itu.

Padaku, pembuktian ini masih gagal lagi dilakukan oleh pemimpin parti islam di Malaysia. terutama, apabila dinyatakan atau dibuktikan sebilangan kecil pimpinan parti Islam yang menjadi mewah, walau memerintah di beberapa buah negeri sahaja. Tidak dibayangkan, apa akan jadi sekiranya memerintah malaysia? Jika ini berlaku, apakah islam boleh berkembang pesat disaat UMNO sudah jatuh dari tampuk pemerintahannya nanti?

kedua:

Aku didik dengan ceramah pimpinan PAS sejak belajar di pondok lagi. Ceramah tok guru nik Abdul Aziz, Mat Sabu, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Nasaruddin Daud adalah ceramah tokoh politik yang cukup aku minati pada ketika itu.

Dalam ucapan, mereka amat menekankan bahawa islam adalah agama yang adil, dan Islam melawan kezaliman. Perkara ini aku pegang sehingga aku belajar di luar negara dan sehingga kini.

Semasa di mesir, apa yang aku faham tentang islam adalah pembentukan sistem. islam mencadangkan sistem pemerintahan yang cukup adil, tetapi kadang-kadang dilalaikan oleh orang islam sendiri. Apabila pembetukan sistem yang memberi keadilan islam ini tidak berjaya dilakukan, maka tugas itu terberat kepada parti Islam yang mahu merampas kekuasaan untuk melaksanakan keadilan islam tersebut. ekoran itu, parti islam dilihat amat serius menyerang UMNO, kerana parti itu adalah parti yang sedang melakukan kezaliman. Tetapi, apabila berjaya merampas kekuasaan, dilihat seperti masih lagi tidak menunaikan sistem tersebut, apakah sebagai orang yang beragama islam, kita sewajibnya diam??

Jika itu pegangan kita, bagaimana pula firman Allah SWT yang berbunyi;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

maksudnya;
"jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, maka nanti kamu akan disambar oleh Neraka"

[Hud : 113]

ketiga:

Apakah perkara yang aku suarakan ini akan aku lakukan di masa akan datang?

Ini persoalan yang cukup aku takut. Aku sering berharap kepada Allah, agar aku mendapat penjagaan Allah dari muda sehingga akhir hayatku, agar istiqamah dengan Islam dan mahu melihat Islam memerintah di malaysia.

Aku berharap dan meminta perlindungan dari Allah agar Allah SWT tidak menjadikan aku seperti tokoh-tokoh tertentu dalam negara yang di zaman muda amat serius dengan islam, tetapi di akhir hidup mereka tenggelam dengan kemewahan sehingga sudah mula mengabaikan usaha melihat kemenangan islam; melihat keadilan Islam terlaksana di malaysia.

Aku meletakkan cita-cita sebelum aku mati adalah, Islam berjaya terlaksana di malaysia. Aku berharap, agar Allah makbulkan cita-citaku ini.

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
27 November 2010 * 1:58 pagi



Khamis, 25 November 2010

RAKYAT MEWAH, ATAU PEMIMPIN MEWAH

tugas pemimpin adalah melaksanakan ajaran Allah atas muka bumi. Bukan tugas pemimpin, mencari kekayaan dari negeri atau negara yang mereka perintah. Jika ini tugas mereka, apa beda dengan kapistalis??

Ada dakwa, kemewahan wajar di pamerkan agar orang tahu negeri pimpinan kita kaya.

persoalannya:

apa beda antara:

1- pemimpin mewah

2- rakyat mewah

3- negeri kita mewah

kalau rakyat mewah, itu kebanggaan pemimpin. kalau negeri mewah, kebanggaan pemimpin dan rakyat. tapi kalau pemimpin mewah? siapa yang bangga???

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
26 November 2010 * 2:11 petang

NAK BELI BUKU, TAK ADA DUIT

baru-baru ini, pergi ke sebuah kedai kitab arab di Setapak. Pada asalnya, hendak beli kitab Maqasid Syariah tulisan Syaikh Tahir Ibnu Asyur. Tiba-tiba ternampak dua buah kitab ini, dan terlalu berkenan, tetapi tidak mampu hendak membelinya kerana kekurangan ongkos. Kitab itu adalah;



dan kitab ini:



dalam dua buah kitab ini, jika mahu dibeli, ia memerlukan wang hampir RM 300. Mungkin faktor kitab ini tebal dan mengandungi isi yang cukup berkualiti menyebabkan kedua-dua kitab ini terlalu mahal. Walau bagaimana pun, Aku membeli sebuah kitab yang menarik, iaitu kitab yang bertajuk "Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah", iaitu sebuah kitab yang terhasil dari tessis Phd dengan harta RM 125.



Tapi tadi, hati kecilku berkata, "Kalau la bapa aku Menteri besar, atau Perdana Menteri, mesti aku boleh beli kitab-kitab yang aku berkenan tu. Kalau bapa aku menteri besar, atau Perdana Menteri, masakan dua buah kitab ni, kereta honda Elysion atau alphad pun aku mampu beli. Siap dengan no Plat berbayar lagi.. Kalau aku tak pakai juga, nanti orang akan kata aku berminda dinasor pula..."



Rabu, 24 November 2010

BALAK UNTUK ORANG MISKIN, BUKAN ORANG POLITIK

PENDAHULUAN

Balak merupakan pemberian Allah kepada sesuatu kerajaan atau negara yang mempunyai hutan. Pada zaman dahulu, ia tidak dikira sebagai sesuatu yang menghasilkan kewangan yang banyak. Mungkin faktor kayu tidak menjadi bahan terpenting, menyebabkan ia tidak menjadi satu perkara yang penting.

Keadaan kini berbeda. Ini kerana, kayu sudah menjadi satu industri yang menguntungkan, malahan memberi kekayaan. Apabila kayu sudah menjadi sesuatu keperluan yang agak tinggi, menyebabkan balak menjadi satu industri perniagaan yang cukup menguntungkan.

Di Malaysia, balak berada dalam kawasan hutan yang berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Sesebuah kerajaan yang mempunyai hutan, selalunya mendapat sumber kewangan yang cukup lumayan melalui sumber hutan ini. Namun begitu, tidak ramai yang berfikir, bahawa sumber hutan ini merupakan hak rakyat atau kerajaan, bukan hak milik individu atau parti, atau ahli politik tertentu.

KHALIFAH FIL ARD

Dalam Islam, sesebuah negeri yang diperintah bukan menjadi hak milik pemerintah. Negeri kelantan sebagai contoh, ia bukan hak milik menteri besar yang bernama Tok Guru Nik Abdul Aziz, Negeri Kedah bukan menjadi hak milik Menteri besar bernama Ustaz Azizan Razak, negeri selangor bukan menjadi hak milik Tan Sri Khalid Ibrahim, Melaka bukan hak milik ali rustam dan sebagainya. Begitujuga, negeri-negeri ini tidak menjadi hak milik mana-mana parti; sama ada parti itu adalah PAS, PKR, DAP, UMNO, MIC, MCA atau apa nama parti sekalipun.

Yang pastinya, sesuatu negeri itu adalah kepunyaan Allah yang telah mencipta langit dan bumi. Tugas pemerintah adalah menjadi khalifah; iaitu menjadi pentadbir bumi berdasarkan agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Dan Ketika berkata tuhan kamu kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku jadikan pada bumi khalifah”

[Al-Baqarah : 30]

Menurut kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, karangan Imam Al-Mawardi [nama penuh : Ali bin Muhammad Al-Mawardi], khalifah [atau : Imamah] didefinisikan sebagai;

لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Bagi menggantikan nabi dalam menjaga agama dan mentabdir bumi”

[Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/3]

Dalam Kitab Al-Muqaddimah, karangan Ibnu Khaldun pula, didefinisikan sebagai;

الخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية و الدنيوية الراجعة إليها إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة نيابة عن صاحب الشرع في حراسة الدين و سياسة الدنيا به

Maksudnya;
“Khilafah adalah menanggung oleh seluruh terhadap tuntutan syarak dalam menentukan kemaslahatan akhirat dan dunia; iaitu semua urusan dunia hendaklah dikembalikan semuanya disisi pensyariat [Allah dan Rasul] kepada mengiktibarkannya dengan maslahah akhirat. Ia pada hakikatnya adalah menggalang ganti dari tuan syarak [Allah dan Rasul] dalam menjaga agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama”

[Al-Muqaddimah : 190]

Menurut kitab Al-Imamah Al-Uzma, karangan Abdullah bin Umar Ad-Damiji, beliau mensyarakahkan definisi ini dengan katanya yang bermaksud, “wajib bagi seseorang pemerintah bahawa kekuasaannya tertakluk dengan kesamaaan dengan syariat Islam. Ia juga, hendaklah mengandungi kewajipan mentadbir dunia dengan agama, bukan dengan syahwat dan keperluan peribadi”

[Al-Imamah Al-Uzma : 30]

Dari segala definisi ini, nyata bahawa seseorang pemerintah itu, bukanlah seorang yang menguasai kerajaan seterusnya kerajaan itu menjadi miliknya. Tetapi, pemerintah mengikut ajaran islam adalah, mereka sekadar pengurus sesebuah kerajaan dengan mentadbir berdasarkan tuntutan ilahi.

BALAK

Dilema kini adalah, sesebuah kerajaan yang diperintah oleh sesebuah parti [fokus malaysia], kelihatan seperti kerajaan itu menjadi milik parti yang berkuasa. Seakan-akan dilihat Kelantan adalah milik PAS, Kedah Milik PAS, Selangor milik PKR, Pulau Pinang milik DAP, Johor milik UMNO, Melaka milik UMNO dan sebagainya.

Lantaran, apabila sesebuah parti menguasai sesebuah kerajaan, boleh dikatakan sesuatu kawasan balak itu menjadi kepunyaan sesuatu parti politik, ataupun menjadi milik ahli-ahli politik tertentu. Jika inilah tanggapan oleh sesetengah pihak, ternyata tanggapan itu adalah salah. Juga, jika tanggapan ini dianggap benar, maka lahirlah berbagai-bagai kecelaruan dalam pengurusan balak ini.

Ekoran itu, tidak hairan didapati setelah sesebuah parti memerintah di sesebuah negeri, kelihatan individu ahli politik tertentu mula menjadi mewah; pakai kereta mewah, syarikat kayu yang berada dalam kerajaan negeri tertentu bangkrap, berlaku perebutan kawasan balak di kalangan ahli-ahli politik tertentu dan banyak lagi. Semua ini kerana, asas pengurusan balak di negeri terbabit, bukan berdasarkan kepada sistem islam, tetapi merujuk kepada pemikiran kapitalis.

Melihat kepada kecelaruan ini, tidak dapat tidak, satu sistem pengurusan balak wajib dikemukakan. Ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang hadir untuk mengemukakan sistem, lalu manusia wajib mengikut sistem tersebut, bukannya sistem yang dibentuk bersifat mengikut kehendak manusia.

PENGURUSAN BALAK

Tanah dan hutan berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Bagi tanah yang menjadi hak milik individu rakyat, wajib kerajaan memberi hak pemilikan itu secara sah, seperti memberi geran dan sebagainya. Adapun bagi tanah yang tidak menjadi milik seseorang individu pun, maka tanah tersebut menjadi pemilikan rakyat atau kerajaan.

Dalam islam, tanah pemilikan kerajaan adalah pemilikan umum; dengan maksud, tanah itu adalah kepunyaan rakyat secara melata. Di atas tanah tersebut, terdapat hutan dan balak, maka hutan dan balak tersebut adalah hak milik rakyat.

Tugas kerajaan adalah, menguruskan balak tersebut, agar ia dapat dimanfaatkan kepada rakyat secara adil. Ia tidak boleh dimilikkan oleh kerajaan kepada individu tertentu. Tindakan memilikkan sesuatu kawasan balak kepada invidu tertentu adalah haram, kerana ia bercanggah dengan maksud firman Allah SWT yang berbunyi;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu”

[Al-hasyr : 7]

Jika pihak kerajaan hendak mengurus, lalu tidak ada cara lain bagi menjadi pengurusan itu berjaya dan berkesan kecuali perlu menubuhkan syarikat, maka itu dibenarkan. Dibenar untuk menubuhkan syarikat pengurusan itu, hendaklah sekadar menguruskan sahaja. Dengan maksud, haram kerajaan memberikan hak milik terus kawasan balak kepada mana-mana syarikat tadi. Perkara ini merujuk kepada firman Allah SWT, ayat ke-7 dari surah Al-Hasyr di atas.

PEMBAHAGIAN KEUNTUNGAN BALAK

Apabila balak menjadi hak milik kerajaan, maka segala keuntungan dari hasil balak itu perlu dibahagikan kepada 1/5. Ini disandarkan kepada firman Allah SWT;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya;
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan”

[Al-Hasyr : 7]

Dengan maksud, setelah ditolak segala modal-modal pengurusan balak, seperti pembayaran gaji kepada pengarah syarikat, gaji-gaji pekerja dan sebagainya, maka keuntungan itu hendaklah dibahagikan kepada mereka yang seperti berikut;

[1] Allah dan Rasul [masuk dalam dana kerajaan, perbendaharaan negara atau baitul Mal],
[2] kaum kerabat [Banu Hasyim dan Muthalib. Mereka boleh terima, kerana mereka tidak berhak mendapat zakat],
[3] anak-anak yatim,
[4] orang-orang miskin,
[5] Ibnu Sabil.

Ia dikukuhkan lagi, dengan firman Allah dari surah Al-Anfal;

واعلموا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ للَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل إِن كُنتُمْ آمَنْتُمْ بالله

Maksudnya;
“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah”

[Al-Anfal : 41]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa dalam maksud “kepunyaan Allah dan Rasul” [dengan maksud, duit yang diletakkan dalam baitul mal], ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk menggunakannya atas kebijaksanaan pihak kerajaan [Al-Qurtubi : 5/312] dengan maksud, ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk kemajuan negara, pembangunan, memberi bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.

ISYKAL

Timbul beberapa persoalan tentang pengurusan balak, iaitu seperti berikut;

Pertama:

Syarikat pengurusan balak, ia tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap balak dan hasilnya. Segala tindakan yang dilakukan oleh syarikat itu, hendaklah tertakluk keputusan kerajaan [mesyuarat exco].

Adapun dari wang kemasukan syarikat, ia tidak lebih sekadar gaji yang diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat. Malahan, kerajaan mempunyai kuasa untuk menarik balik keizinan sesuatu syarikat mengurus balak berdasarkan perjanjian dan perutukan yang ditetapkan.

Kedua:

Duit balak digunakan untuk kepentingan parti. Boleh atau tidak?

Jawapan:

Perlu diingat, parti adalah merupakan wadah dalam usaha melayakkan memerintah pada sesebuah negeri atau negara. Parti tidak mempunyai hak sedikit pun terhadap harta rakyat.

Menggunakan duit hasil balak untuk kegunaan parti, adalah sama seperti menggunakan duit kepunyaan orang miskin untuk kegunaan peribadi. Sudah pasti, tindakan ini zalim dan ia dibawah maksud mengambil harta manusia secara batil.

Firman Allah;

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya;
“Jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu secara batil”

[Al-Baqarah : 188]

PENUTUP

Tidak dapat dibayangkan jika pengurusan balak ini berjaya dilaksanakan mengikut syariah islam. Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, tidak mustahil sejarah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz akan berulang kembali.

Sedihnya, syariah islam ini hanya dilihat dari sudut yang tidak luas, seperti syariat itu dilihat hanya dalam perkara hudud, perundangan, ibadat dan sebagainya sahaja. Walhal, Islam telah mencadangkan satu sistem pengurusan yang mampu memberi hak keadilan kepada manusia secara melata.

Di negeri-negeri pimpinan pakatan rakyat [khususnya kelantan pimpinan PAS], kelihatan hasil balak ini diurus oleh ahli-ahli politik, yang melahirkan kekayaan invidu-individu tertentu sahaja. Disebabkan itulah, akan terlihat individu yang memakai kereta mewah, mempunyai rumah mewah dan berbagai-bagai kemewahan, dalam keadaan mereka hanya rapat dengan ahli politik-ahli politik tertentu. Dalam keadaan yang sama, masalah kemiskinan di sebelah pendalaman tetap masih lagi berlaku.

Pembudayaan ini adalah salah dari sudut Islam, malahan ia wajar di hapus dan ditentang. Ia tidak lebih, sama seperti yang telah dilakukan oleh UMNO, yang mengamalkan pemerintahan yang menindas terhadap rakyat, walhal tindakan itu diharamkan oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
25 November 2010 * 5:27 pagi.

APAKAH ANWAR IBRAHIM CALAR DALAM PEMILIHAN PKR?

[1]

Setahu aku, zaid Ibrahim adalah orang yang mempunyai fahaman politik yang liberal. Dia tidak mengakui kuasa mutlak dalam sesuatu organisasi. Ekoran itu, tidak hairan dia masuk PKR, tetapi tidak masuk PAS setelah ia keluar dari UMNO.

Dan ekoran itu juga, apabila sampai pemilihan, dia memilih untuk bertanding jawatan timbalan presiden, kerana mungkin dia nampak keberadaan Azmin Ali sebagai Timbalan presiden akan mempamerkan kekuasaan mutlak Anwar Ibrahim dalam PRK.

Pernah orang-orang zaid bercakap, bahawa keberadaan Azmin Ali, banyak mempengaruhi keputusan Anwar Ibrahim. Aku tidak tahu kebenaran dakwaan itu. Jika benar dakwaan tersebut, tidak hairan Zaid mengambil sikap untuk lawan jawatan Timbalan presiden PKR. Ini kerana, kemungkinan Zaid bertujuan, untuk mempamerkan keterbukaan dalam parti PKR.

[2]

Secara realiti berfikir, orang terpaksa akui bahawa Anwar Ibrahim dan PKR; antara dua ini, faktor Anwar Ibrahim lebih kuat dalam mencorak suasana politik di Malaysia berbanding PKR.

Jika faktor PKR merupakan kekuatan bagi mencorak politik Malaysia, sudah pasti UMNO/BN akan melancarkan serangan yang kuat terhadap PKR, walhal keadaannya adalah sebaliknya. Juga, sudah pasti ketika ketiadaan Anwar Ibrahim dahulu, PKR akan mendapat banyak kerusi dalam parlimen dan DUN. Tetapi, keadaannya berbeda. Ini kerana, di kala itu, masakan parlimen dan DUN, untuk menjaga bahagian-bahagian [kini : cabang] pun, ada sebilangannya tidak mempunyai ketua.

Di parlimen Subang, adalah contoh yang paling kukuh bahawa PKR agak susah hidup dikala Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Allahyarham Abang Amir [ketua PKR bahagian Subang] terpaksa memegang jawatan tersebut, kerana tidak ada seorang pun yang sanggup memegang jawatan ketua Bahagian ketika itu. Tetapi kini, kelihatan perebutan jawatan berlaku, sehingga tercetus perbalahan dalam merebut sesuatu jawatan sehingga wujud ugut mengugut.

[3]

Ramai yang menjangkakan bahawa Anwar Ibrahim akan ‘pulang’ ke penjara. Malahan, perkara ini sudah sampai ke tahap yakin oleh sebilangan pimpinan PKR, PAS dan DAP sendiri. Didakwa, Zaid Ibrahim adalah orang yang yakin dengan keadaan ini.

Apabila keadaan ini berlaku, siapa akan lakukan wave untuk menghadapi PRU akan datang? Lantaran, ada sebilangan pihak dalam PKR sendiri beranggapan, sudah sampai masanya PKR tidak lagi bergantung kepada individu bernama Anwar Ibrahim, sebaliknya PKR perlu membina kekuatan partinya sendiri dan berdiri sendiri.

Melihat kepada keadaan inilah, tidak hairan orang sanggup menolak Azmin yang terbukti gagal menggerakkan wave ini semasa Anwar Ibrahim di dalam penjara dahulu. Apabila mereka menolak Azmin, maka mereka mencari pilihan yang kedua, iaitu Zaid Ibrahim. Pada mereka, bukan kerana mereka mahukan zaid Ibrahim, tetapi mereka tidak mahu Azmin Ali.

Ekoran itu, kita dapat lihat bahawa orang yang menyokong atau cenderung kepada Zaid ini adalah dari kalangan mereka yang banyak berpenat lelah dalam PKR semasa Anwar Ibrahim dalam penjara dahulu. Dengan maksud, mereka adalah golongan politik jalanan dan demonstrasi. [nama mereka tidak perlu disebut].

[4]

Namun begitu, ternyata dalaman politik PKR agak kasar. Sebelum Zaid mengisytiharkan kesediaan bertanding jawatan Timbalan PKR, sudah kelihatan serangan dari team Azmin Ali terhadap Zaid. Antara yang kedengaran adalah, Zaid Ibrahim adalah trojan horse, zaid ibrahim mendapat duit dari Tun Daim, Zaid Ibrahim meletakkan cita-cita nak jadi PM apabila PR memerintah malaysia nanti dan sebagainya.

Serangan demi serangan dahsyat ini, melahirkan pertembungan yang agak dahsyat antara team zaid dan team Azmin. Dalam facebook dan blog, dapat dilihat serangan keras dan kasar ini.

Disamping itu juga, Anwar Ibrahim sudah kelihatan seperti bapa yang tidak mampu lagi mengawal anak-anak yang sedang bergaduh, lalu mengeluarkan kenyataan berbau serangan secara saraf terhadap Zaid, disamping tidak pernah berjaya membuktikan bahawa dia berbelah pihak kepada Azmin. Apabila keadaan ini berlaku, tidak hairan individu Anwar Ibrahim menjadi calar, sehingga sudah ramai yang frust apabila melihat pergolakan politik dalam PKR ini.

[5]

Mungkin ada cakap-cakap mengatakan bahawa, tidak salah Anwar Ibrahim berbelah pihak kepada Azmin, ataupun menyindir atau menyerang Zaid Ibrahim.

Secara peribadi, aku tidak bersetuju Anwar Ibrahim berbelah pihak, ini kerana dia adalah seorang pemimpin politik yang berada di peringkat Ketua Umum. Apabila dia berada setinggi itu, tindakan yang wajar dilakukan oleh beliau adalah, bertindak seperti bapa dalam menyelesaikan perbalahan antara anak-anaknya. Adapun, jika Anwar Ibrahim juga bertanding jawatan Presiden, atau timbalan presiden, atau apa jua jawatan pun, sudah pasti tindakan Anwar Ibrahim menyerang atau menyokong sesuatu pihak, tidak melahirkan perasaan negatif dalam hati rakyat malaysia yang melihat pergolakkan politik dalam PKR.

Soal apakah boleh Ketua Umum berbelah pihak, mungkin dari sudut demokrasinya ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi, dari sudut uruf dari kacamata rakyat malaysia, ia bakal melahirkan kemudharatan yang bakal tertimpa pada PKR yang wajar diambil kira.

Contohnya seperti, Imam Al-Bukhari tidak mengambil hadis dari orang yang tidak memakai kopiah, walhal tidak menjadi satu dosa bagi seseorang yang tidak memakai Kopiah. Tetapi, memandangkan uruf masyarakat di kala itu, bahawa orang yang tidak memakai kopiah adalah orang yang kurang amanah, maka tidak hairan Imam Al-Bukhari tidak mengambil hadis, malahan menolak hadis yang diriwayatkan oleh orang yang tidak memakai kopiah dengan alasan ‘tidak siqah’.

Maka begitujuga, tindakan Ketua Umum PKR dilihat berbelah pihak kepada individu tertentu dalam Pemilihan PKR pada kali ini.

Justeru, apakah keadaan Anwar Ibrahim kini sudah tercalar dalam pemilihan PKR pada kali ini? Secara peribadi, aku mengatakan “Ya, Anwar Ibrahim telah tercalar”.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
6:30 petang * 24 November 2010



Isnin, 22 November 2010

EXPO CHENG HO, PROJEK SEBARAN ISLAM DI ASIA TENGGARA - UST HUSAM MUSA

Selama dua hari berada di kelantan untuk menghadiri program pelancaran expo Cheng Ho yang julung-julung kalinya dilakukan di kelantan, malahan di Malaysia. Dalam program itu, sempat mencatit beberapa point dari ucapan pengerusi cheng Ho expo.

Antara yang menarik dari ucapan itu adalah seperti berikut;

"Expo ini diadakan dengan tujuan mengadakan pendekatan Islam kpd kaum cina [di malaysia yang tidak beragama Islam]..."

"semangat cheng ho, dgn memberikan hadiah, teknologi, dll kpd negara2 lain sbgi untuk adakan hubungan diplomatik"

"dlm sejarah [terdahulu], kelantan ada rakan dagangan tersendiri, iaitu cina dan indonesia"

"pusat perkembangan Islam di kelantan, lebih awal berbanding melaka seperti yg di war warkan oleh media barat"

"1412 tarikh cheng Ho sampai ke tanah melayu.."

"tok guru nak ustaz-ustaz kita ceramah islam dlm bahasa mandarin sepertimana lim guang eng ceramah dlm bahasa melayu"

"kita nak jadikan kelantan sbgi pusat penyebaran islam di asia tenggara"

"nama kelantan sudah masyhur di china.. Nama tok guru nik aziz sedang diperkatakan oleh rakyat china"

"surat khabar bisingkan tok guru bg duit zakat kpd org asli, tp tidak besarkan berapa ramai dah org asli berjaya diislam oleh tok guru"

"Tok guru yg bagi semangat nak anjurkan program expo cheng ho.. Nak royat kpd orang cina di malaysia, "sepupumu, lama doh masuk Islam""

sekian

PKS BOLEH BUAT, PAS BOLEH ATAU TIDAK?

Sejak dua minggu yang lepas, boleh dikatakan setiap hari aku melayari youtube yang berkaitan dengan debat, wacana dan perbincangan dari negara Indonesia. Di sana, budaya wacana politik dan wacana agamanya amat menarik sekali. Sebarang kekusutan dan perbedaan antara mereka, sama ada berkaitan dalam isu politik, ekonomi, agama dan sebagainya, semuanya dibawa ke meja debat dalam media.

dalam banyak-banyak wacana media yang menarik minatku adalah, soalan-soalan provokasi yang dikemukakan oleh empat orang wanita terhadap Presiden PKS [partai keadilan sejahtera], iaitu sebuah parti Islam dari Indonesia, yang seakan-akan sama dengan PAS di malaysia, tentang dasar parti mereka berkenaan beberapa isu di negara mereka.

Melihat dan mendengar semua soalan-soalan tembak yang ditujukan kepada Bapa Presiden Parti, kemudian dijawab dengan nada politik yang menarik, tidak dapat dibayangkan jika tertimpa pada presiden PAS di malaysia...

Ya.. Mungkin sahaja ada sebilangan mendakwa, bapa presiden PAS bisa sahaja menjawab. tetapi, sukar aku menerima dengan rasional, bahawa soalan provokasi itu berjaya dijawab dengan memberikan jawapan yang mampu memuaskan hati pendengar.

walaubagaimana pun, saksikan ini;

pertama:



kedua:



ketiga:



keempat:

AHMADINEJAD DAH BUAT, MANA SUNNI PULA?

TEHERAN – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.

Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.

“Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa,” kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.

Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.

Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu.

KOMENTAR

pertama:

Dunia Islam sering bergolak pertembungan Sunni - Syiah. Sejak dahulu, ia tidak pernah habis-habis. Peliknya, Syiah yang didakwa sesat, malahan dikafirkan telah berjaya memerintah. Tetapi Sunni yang didakwa benar dan tepat, belum terbukti kejayaan memerintah.

Taliban di Afghanistani, sebuah gerakan Sunni yang terbukti berjaya mengalahkan musuh, tetapi ia tidak berjaya dilihat sebagai baik. Ia bukan tidak berjaya dilihat baik oleh rakyat luar, tetapi rakyat dalaman Afghanistan pun membenci taliban.

Iran yang merupakan negara Syiah, walau diburukkan media jahat barat, tetapi ia amat disayangi dan didokongi oleh rakyatnya. mengapa ia berlaku dalam kerajaan Syiah, tetapi tidak dapat dilihat begitu dalam kerajaan Sunni?

mungkin ini muhasabah yang perlu dilakukan oleh setiap pejuang yang bermazhab Sunni, dalam membuktikan kebenaran ajaran sunni.

kedua:

dari berita yang dinukilkan di atas, dilihat ahmadinejad yang bermazhab syiah, membuktikan kezuhudan dan kesungguhan membuktikan dirinya mementingkan rakyat berbanding dirinya dalam pemerintahan. tetapi, keadaan ini tidak wujud lagi dalam kerajaan Sunni, sama ada di Malaysia, atau di mana-mana.

Melihat kesediaan Ahmadinejad mempamerkan pemerintahan yang bersedia susah demi rakyat, tidak hairan rakyatnya terlalu mendokong kerajaan pimpinannya. Jika Ahmadinejad bersedia menderma untuk rakyat dengan sebuah kereta, sudah pasti rakyat bersedia menderma untuk kerajaan lebih dari harga sebuah kereta.

Keadaan ini sukar dilihat berlaku dalam negara yang pemerintahnya mendakwa Sunni. Peliknya, apabila wujud pemimpin aliran sunni tertentu melakukan tindakan yang mempamerkan kemewahan, pasti nama muawiyyah dijadikan sandaran.

Mengapa nama sahabat hebat itu dirosakkan dengan kemewahan yang kita lakukan? jika kamu mahu mewah, tidak perlu disandarkan kepada sahabat nabi tertentu bagi menghalalkan tindakan kamu. ini kerana, tindakan sahabat tidak seperti tindakan yang kamu lakukan.

Jika ini dilakukan juga oleh sebilangan pemimpin aliran sunni, tidak hairan sahabat hebat itu sering diburukkan; sehingga kebenciaan terhadap sahabat itu tidak terlihat langsung kebaikkannya yang terlalu banyak.

Sebenarnya, bukan sahabat itu yang buruk, tetapi yang buruknya adalah pemimpin-pemimpin Sunni yang bertindak buruk, tetapi perbuatan buruk itu dihalalkan dengan disandarkan kepada sahabat yang hebat.

inilah kecelaruan yang menimpa pemimpin aliran sunni di dunia ini.

sekian


KEMBALIKAN AIR RAKYAT SELANGOR



Dr Hasan Ali dan seangkatan dengannya dijemput sama hadir dalam demostrasi ini...

TAHUKAH ANDA : KELANTAN SEBELUM 1990 ADA DISKO DAN KELAB MALAM


sebelum PAS memerintah Kelantan, di Kota Bharu terdapat sebuah pusat maksiat tersohor yang dikenali sebagai Biariz Park. Lokasinya di wakaf siku. Bangunan KB Mall yang tersergam indah sekarang adalah dibina atas tapak keruntuhan pusat hiburan malam yang menempatkan ratusan wanita-wanita pelayan yang terdiri dari kalangan orang melayu. Sesiapa sahaja boleh memasuki Biariz Park untuk berhibur dan menegok arak sambil hanyut dalam dagapan mesra wanita yang berpakaian seksi.

Alhamdulillah, apabila PAS memerintah kelantan pada tahun 1990, kerajaan PAS mengarahkan pegawai jajahan segera menamatkan lesen hiburan Biariz Park walaupun tidak dipersetujui penasihat undang-undang yang khuatir kerajaan negeri akan didakwa oleh syarikat Biariz park atas kerugian yang ditanggung. Namun begitu, kerajaan PAS pimpinan Tuan guru Nik Abdul Aziz, tetapi berkeras menutupnya walau berhadapan dengan berbagai-bagai risiko sekalipun.

PR SELANGOR BERPERANG DENGAN KAPITALIS SYABAS


•Bermula tahun 1997, kerajaan BN telah menswastakan syarikat-syarikat air di Selangor.

•Sejak ini, Syabas dan syarikat-syarikat lain telah merugikan ratusan juta duit rakyat.

•Kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat kini ingin mengembalikan pengawalan syarikat-syarikat air ini kepada tangan rakyat.

Pelan Syabas:

Tahun Kenaikkan Tarif

2009 - 37% : 2012 - 25% : 2015 - 20%

SYABAS

1.Laporan audit terhadap SYABAS menunjukkan bahawa lebih daripada 72% kontrak bernilai RM 600 juta diberikan kepada syarikat-syarikat yang dipilih melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka.

2.RM 325 juta ‘hilang’ apabila perbandingan teliti dibuat antara kontrak yang dianugerahkan dari 2005 hingga 2007 dan akaun awam Syabas.

3.Pada Jun 2005, SYABAS melanggar perjanjian dengan menggunakan paip yang diimport daripada Indonesia bernilai RM 375 juta. Syarikat Indonesia tersebut dimiliki oleh Tan Sri Rozali Ismail, CEO Syabas. Gaji beliau adalah RM 5.1 juta setahun atau RM 425,000 sebulan.

4.RM 51.2 juta dibelanja untuk mengubah-suai pejabat SYABAS sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.

5.Setelah kerajaan Selangor menghentikan Syabas dari menaikkan tarif air dengan mendadak, Syabas kini berhasrat menyaman Selangor untuk pampasan sebanyak RM 1 billion.

Pelan Selangor : Tahun Kenaikkan Tarif

2009 - 12% : 2012 - 12% : 2015 - 12%

Apakah pelan Selangor?

1.Kerajaan negeri Selangor yang kini diterajui oleh Pakatan Rakyat berhasrat membeli balik konsesi air demi menjamin hak rakyat untuk mendapat air yang mencukupi pada harga yang berpatutan.

2.Aset awam seperti air harus dikendalikan oleh kerajaan yang berjiwa rakyat, bukan Syarikat yang hanya pentingkan keuntungan.

3.Empat syarikat swasta air akan dibeli balik dan diletak dalam satu badan di mana rawatan dan agihan air akan dilakukan oleh satu pengendali tunggal. Ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan tarif air kerana tiada isu "kos pemindahan".

4.Penekanan terhadap integriti dan ketelusan - seperti yang termaktub dalam Enakmen Kebebasan Maklumat yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor - akan mengelakkan dari sistem yang hanya menguntungkan kroni dan merugikan rakyat.

5.Dengan sokongan rakyat yang mencukupi, kerajaan Selangor akan mampu mendapat balik kawalan syarikat-syarikat air demi rakyat, menekankan integriti dan ketelusan, dan memastikan akses air yang mencukupi dengan harga yang berpatutan untuk semua lapisan rakyat.

Pilihan di tangan anda!

Pertahankan Hak Rakyat Untuk Dapat Air Bersih & Murah

Beri sokongan anda kepada Kerajaan Negeri Selangor dengan menghadiri perhimpunan penyampaian memorandum kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong pada 5 Disember, 2010 di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Pengurusan Perkhidmatan Air akan lebih terjamin di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Selangor.

Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat!

**

peliknya, ada EXCO dalam kerajaan PR Selangor yang berbelah pihak kepada Syabas berbanding memudahkan rakyat.. exco itu pula, dari parti PAS... apa la nasib dapat seorang pimpinan PAS yang berfikrah kapitalis???

sumber : sila klik

Ahad, 21 November 2010

Isu keliru tarikh Aidiladha tak wajar diselesai MP, kata ahli fuqaha

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Ahli-ahli fuqaha berselisih pendapat berhubung hasrat pemimpin kanan PAS yang mahu membawa isu kekeliruan Malaysia menetapkan tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha — yang berbeza dua hari berbanding dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi, ke Parlimen esok.

Laporan kelmarin menyebut bahawa Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berkaitan dengan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata usul tersebut dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia minggu lalu dan mahu ia dibincangkan apabila ia bersidang semula esok.

Tarikh sambutan Aidiladha di Malaysia diumumkan awal bulan ini manakala Arab Saudi minggu lalu dengan tarikh wukuf Isnin lalu dan disusuli Hari Raya Korban hari berikutnya. Malaysia menyambut Aidiladha Rabu lalu.

Dalam usul tersebut, beliau mendakwa sambutan Aidiladha di Malaysia kelmarin, “sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini.”

Menurut pakar usul fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, langkah Salahuddin itu sebenarnya lebih banyak mengundang kekeliruan di kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

“Kalau saya boleh jumpa kawan saya itu (Salahuddin), saya harap supaya tidak dibawa ke Parlimen.

“Benda-benda semacam ini lebih baik dibawa ke forum yang lebih menjurus (khusus) supaya diselesaikan oleh orang yang benar-benar mahir, bukan Ahli Parlimen.

“Di Parlimen itu, ada orang Islam, ada orang bukan Islam, ada yang faham dan ada yang kurang faham... jadi isu ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk menuduh orang Islam tidak akan bersatu sampai bila-bila.

“Saya tak faham politik, saya tak faham (cara berfikir) ahli politik, saya yang bukan ahli politik, fikir lebih baik tak bawa (ke Parlimen) kerana itu lebih mengelirukan,” ujar Mahmood Zuhdi ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nada yang sama turut disuarakan oleh penyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah.

“Kalau kita di Malaysia, kita ikut ketetapan kerajaan Malaysia, ia bukan masalah politik atau apa (sebagainya), kita tak nampak unsur yang mengacaunya (mengelirukan).

“Kalau masyarakat sudah boleh menerima ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu, tidak timbul kekeliruan itu (seperti yang dianggap Salahuddin,” kata beliau.

Seorang lagi ahli fuqaha Wan Ji Wan Hussin pula berpendapat, inisiatif Salahuddin membawa isu tersebut ke Parlimen adalah wajar kerana perbahasan akan memangkin semua pihak berwajib, khususnya ulama untuk membuat satu ketetapan baru untuk kepentingan umat.

“Pada saya, Parlimen perlu mencetuskan sesuatu yang besar kerana Parlimen akan memangkin perkara yang dianggap kontroversi atau mengelirukan ini dibincangkan oleh mereka yang berkelayakan seperti ulama dan ahli fuqaha.” kata beliau.

“Macam isu kalimah Allah, yang sesetengah kita tidak bersetuju (penganut) bukan Islam menyebutnya (Allah).

“Kalau nak kira Parlimen tidak layak berbincang tetapi dengan tercetusnya isu itu di Parlimen akhirnya menjadi perhatian agamawan sehingga kita menemui keketapan baru iaitu harus bagi masyarakat bukan Islam menyebut kalimah Allah,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, tiada masalah jika isu itu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana Malaysia ada persamaan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Lagi pun, Parlimen mempunyai hak membincangkan sesuai yang menjadi kepentingan awam,” kata beliau.

Oleh itu katanya, beliau yakin bahawa usul tergempar Salahuddin itu tidak akan mengelirukan sesiapa kerana perbahasan di Parlimen akan menarik perhatian agamawan dan ilmuan untuk memainkan peranan masing-masing.

Pun begitu, Mahmood Zuhdi yang juga Timbalan Dekan di Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa memberitahu, penentuan tarikh Aidiladha di tanah air tidak wajar mengikut hari dan waktu wukuf di Arafah.

Jelas Mahmood Zuhdi, sudah memadai sekiranya ahli falak Islam tempatan menggunakan kaedah “ar-rukyah” (melihat anak bulan) dan “al-hisab” (kiraan hari dalam sebulan) untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.

Ini kerana penetapan Aidiladha di Malaysia, mestilah mengikut al-matla” (waktu timbul) di Malaysia, bukannya mengikut al-matla” di Arab Saudi.

“Sembahyang Asar sekarang pun tidak sama waktunya dengan Mekah (Arab Saudi), ertinya tidak semua waktu itu sama di seluruh dunia ini, ia dipanggil perbezaan matla.

“Dahulu pun, kita pernah ada amalan (iaitu) kita akan berhari raya sehari selepas hari wukuf, tetapi amalan itu ternyata tidak memberi kesan yang baik kerana Arab Saudi terlampau lewat mengisytiharkan ketetapannya (tarikh Hari Raya Aidiladha),” katanya lagi.

Ujar Mahmood Zuhdi lagi, sepatutnya ketetapan Hari Raya Aidiladha yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu tidak mengelirukan mana-mana pihak.

Ini kerana katanya, persidangan fiqh sedunia di Istanbul telah pun menetapkan bahawa penentuan waktu dan masa berhubung ibadat umat Islam berdasarkan al-hisab dan al-rukyah.

Luqman turut sependapat dengan Mahmood Zuhdi iaitu penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha di Malaysia tidak perlu terikat dengan ketetapan di Arab Saudi.

“Kita ikut kita punya kawasan (Malaysia) sebab puasa pun kita ikut waktu tempatan, sembahyang pun kita tidak ikut Arab Saudi.

“Kalau diminta kita ikut Hari Arafah, sebenarnya Arab Saudi sendiri pernah mengubah hari (mengerjakan) wukufnya.

“Kalau diminta berpuasa mengikut Hari Arafah seperti yang hadis kata sekali pun, ada pendapat ulama berkata tuntutan itu di Arafah, bukan di tempat lain.

“Ertinya, dalam menetapkan isu Aidiladha ini sebenarnya masih bersifat dzon (sangkaan) tak kiralah kita nak ikut cara al-hisab atau ar-rukyah atau ikut (perbuatan) Arab Saudi,” ujarnya lagi.

Wan Ji pula memberikan pendapat yang berbeza dengan Mahmood Zuhdi dan Luqman dalam soal menetapkan tarikh Hari Raya Aidiadha.

“Kenapa mesti dirujuk Arab Saudi? Isunya sekarang Nabi Muhammad s.a.w menyebut puasa Arafah, Nabi tak sebut puasa pada 9 Zulhijjah.

“Apabila sebut puasa Arafah, ia perlu dirujuk pada Arab Saudi, tidak patut menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah kerana kedua-dua kaedah tersebut digunakan ketika nak menentukan hari berpuasa pada 1 Ramadan dan Aidilfitri pada 1 Syawal sahaja,” ujar Wan Ji.

Kata pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi — sebuah pertubuhan bukan kerajaan — itu lagi, pendapat tersebut berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim.

“Puasa hari Arafah, aku (Nabi Muhammad s.a.w) berharap agar Allah kifarat dosa selama setahun sebelum dan setahun selepas...,” ujarnya memetik hadis ke-1979 dari kitab Sahih Muslim.

Tambah Wan Ji lagi, pendapatnya itu sebagaimana dipetik daripada Naib Presiden Majlis Fatwa dan Kajian Eropah Dr Faisal Maulawi.

“Faisal sendiri mengatakan, perbezaan pendapat itu mungkin berlaku pada melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Aidilfitri, tetapi jumhur (majoriti) ulama bahawasanya semua orang Islam itu berpuasa dan berbuka puasa dengan cara melihat anak bulan berdasarkan pada negeri masing-masing.

“Ada pun nisbah pada Aidiladha, tidak harus berlaku seperti itu dan tidak dilihat (menggunakan) pada al-hisab serta tidak juga melihat pada anak bulan pada negeri-negeri tertentu dalam menentukan anak bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah), tetapi perlu dilihat pada berlakunya jamaah haji secara perbuatan.

“Maka hari Arafah itu adalah hari para haji mengerjakan wukuf secara perbuatan dan tidak ada pengajaran dengan melihat anak bulan pada seluruh negara lain dengan kiraan hisab untuk menentukan Aidiladha,” ujarnya lagi.

Bagaimana pun, Wan Ji berkata Pengerusi Himpunan Ulama Muslim Sedunia Dr Yusof al-Qaradawi sendiri sebenarnya tidaklah menolak pendapat ulama yang menggunakan kaedah al-hisab dan al-rukyah dalam menentukan tarikh Aidiladha.

“Al-Qaradawi sendiri bersetuju dengan pendapat Prof Maulawi ini, cumanya al-Qaradawi mengambil sikap yang lebih toleransi dengan pendapat segelintir ulama yang bersetuju menggunakan al-rukyah dan al-hisab kerana tidak ada ijmak (kesepakatan) dalam perdebatan ini.

“Maulawi sendiri menyebut jumhur (majoriti) ulama, bukannya kesepakatan (ijmak) ulama dalam perkara ini, apabila disebut majoriti ertinya wujud minoritilah,” ujarnya.

Bagi Wan Ji, Yusof berpendapat demikian mungkin bertujuan untuk mengelak pepecahan di kalangan umat Islam dalam mengamalkan ibadat Islam kerana Islam mengajar perpaduan umat, bukannya pepecahan umat.

“Oleh kerana tidak ada kesepakatan ulama, lebih baik berlapang dada seperti Dr Yusof al-Qaradawi kerana pepecahan di kalangan umat itu lebih besar mafsadahnya (keburukan) berbanding menajamkan perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini (menentukan tarikh Aidiladha),” ujar Wan Ji.

sumber : Themalaysianinsider