Sabtu, 2 Jun 2012

PEDIHNYA TIDAK TERKATA


Sesama belajar di Pakistan, ketika menuntut di jamiah farooqiyyah. Syaikh al-Hadis di jamiah tersebut adalah Maulana Salimullah Khan. Seorang yang memegang ketua wefaq Deobandi Pakistan, juga didakwa mempunyai Sanad paling tinggi dinisbahkan di tiga buah Negara; Pakistan, India dan Bangladesh.

Pada tahun tersebut, ada seorang Maulana yang cukup berani. Perjuangan menegakkan kebenaran tidak menjadikannya kisah dengan kesukaran hidup. Maulana Azam Tariq cukup berani, sehingga berkali-kali ditangkap masuk penjara.

Semasa dia keluar dari penjara, dia telah datang ke jamiah Farooqiyyah berjumpa dengan Maulana Salimullah Khan. Menziarahi tokoh menjadi rutin hidupnya. Setelah perjumpaan, dia naik atas masjid farooqiyyah, makanya ramai anak-anak murid farooqiyyah berhimpun dikelilingnya ingin mendengar cerita dan celotehnya.

Di tunjukkan kakinya, didapati tidak ada kuku. Didakwa, semasa dia berada dalam penjara, kuku kakinya dicabut hidup-hidup. Ketika dia bercerita, kelihatan ramai yang mendengarnya mengeluh, seperti merasai kepedihan sakitnya ketika kuku kakinya dicabut. Tidak sekadar itu, ditunjukkan betis kaki kanannya seperti tidak ada kulit. Didakwa, ia dikelar oleh pihak berkuasa polis Pakistan, lalu disiat-siat hidup-hidup.

Penerangannya cukup meremangkan bulu roma. Bulu tengkok terasa menaik, mulut terasa seperti ada sesuatu yang sedang mencair seperti sedang makan gula-gula pahit. Mata tidak disangka-sangka, menitiskan air. Tersangat terasa betapa pedihnya siksaan pihak berkuasa lakukan kepadanya.

Kita terasa amat pedih dan gerun dengan Kepedihan itu, tetapi jarang kita menggeruni azab tuhan yang bakal diberikan kepada kita, jika kita melakukan penyelewengan terhadap agama.

Azab-Nya yang pedih, sukar diungkapkan.  Inilah ungkapan Tuhan, “Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih” (Surah ali Imran, ayat 77)

Wallahu ‘Alam

DISEBALIK FURDAH


Seorang perempuan berfurdah, tidak diketahui keadaan wajahnya yang sebenar. Ramai menjangkakan, wajahnya cantik. Tidak sikit juga yang menjangkakan sebaliknya.

Jangkaan itu berdasarkan penilaian masing-masing. Jika lekuk muka disebelah matanya kelihatan terbenam, dijangkakan pipinya tidak menggemuk. Jika lekuk disebelah matanya kelihatan menggemuk, dijangkakan pipinya juga sama.

Tetapi, apabila dibuka furdah itu, banyak jangkaan terbukti tidak tepat. Yang asalnya dijangka hodoh, ternyata cantik; asalnya dijangka cantik, ternyata hodoh; asalnya dijangka hodoh, ternyata lebih hodoh; asalnya dijangka cantik, ternyata lebih cantik.

Jika dijangkakan cantik, ternyata lebih cantik, sudah pasti orang yang melihat akan terkejut kagum. Sepertimana terkejutnya Fahri dalam filem ayat-ayat cinta, ketika melihat wajah Aisyah yang begitu cantik ketika membuka furdahnya.

Yang pastinya, sukar untuk menjangka sesuatu yang berada dibalik kain furdah kecuali jika ia diselak, maka tahulah keadaannya yang sebenar.

Begitulah kebenaran. Dalam dunia yang fana’ ini, sukar untuk menilai siapa yang paling benar, kerana semuanya merujuk kepada sesuatu yang termaktub, tetapi mempunyai tafsiran yang pelbagai. Tafsiran A mungkin benar, tetapi ia tidak bermakna tafsiran B terus sesat. Begitulah seterusnya.

Yang pastinya, kebenaran itu akan terbukti di akhirat, kerana ketika itu segala semua perkara akan diangkat hijab oleh Allah SWT. Yang ada pada kita adalah, sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dibukakan hati supaya berjumpa dengan kebenaran. Yang paling penting bagi kita, kita mahu berjumpa kebenaran di akhirat kelak..

Wallahu ‘Alam




Rabu, 30 Mei 2012

MUFTI BALACI PENCURI SELIPAR


Jejaka tua berkenan kepada anak gadis cun. Berkali-kali mengorat, tetapi tidak tergoda langsung. Almaklumlah, tua kerepot, perangai pula buruk. Berak merata-rata, kencing tidak terjaga, sudah pakai pampers, tetapi ada hati nak kahwin dengan anak gadis sunti.

Berkali-kali berusaha, tetapi tidak berjaya juga. Tujuannya untuk merosakan masa depan si anak gadis. Bukan mahukan sangat kepada anak gadis itu. Ini kerana, dengan umur yang begitu tua, mustahil mampu memberikan nafkah batin.

Namun, buruk perangai masih ada. Walaupun tua, tapi nafsu buas tetap wujud, maka tidak dapat memberikan hak nafkah batin pun tak mengapa, sekurang-kurangnya dapat merosakan masa depan si anak gadis pun sudah memadai.

Apabila sudah berusaha berkali-kali, namun tetap gagal, maka dipengaruhi imam di kampong supaya menjayakan agenda. Imam pula sememangnya sejak dahulu berkawan rapat, maka dengan jawatan imam, agama dijadikan bahan jualan. Didakwa si tua Bangka sebagai beragama, tidak pernah tinggalkan surau dan masjid untuk menunaikan solat jemaah, walhal semua mengetahui, si tua Bangka datang ke masjid dan surau, bukan untuk menunaikan solat, tetapi mencuri selipar yang cantik bagi pengunjung surau dan masjid.

Begitulah si tua yang bernama UMNO yang sedang berusaha hendak merosakan masa depan si anak gadis bernama PAS. Mengenangkan berkali-kali berusaha hendak mengajar “berzina” atas nama muzakarah ditolak si gadis sunti, maka terpaksa mempergunakan agama bagi menjayakan usaha jahat.

Imam bernama mufti perak menjadi balaci jahat. Berbekalkan jenama mufti perak menyerang si anak gadis sunti. Jenama agama menjadi bahan jual beli. Atas nama agama, si anak gadis difitnah dengan berbagai-bagai fitnah jahat.

Tindakan mufti perak telah diketahui umum sebagai salah. Walaupun atas nama penyatuan dan bangsa melayu, zina tetap zina, walaupun dinamakan muzakarah sekalipun. Walaupun mufti menyatakan si tua Bangka bernama UMNo itu adalah kaki surau dan masjid, tetapi umum mengetahui, si tua Bangka itu adalah pencuri dan perompak berlesen.

Sekian




Isnin, 28 Mei 2012

LAYANG-LAYANG ITU


Layang-layang terbang naik ke udara. Terbangnya begitu menarik, tidak seperti kekabu bantal yang terbang. Kekabu terbang hanya mengikut tiupan angin. Ia akan ke kanan, jika angin bertiup ke kanan. Ia akan ke kiri jika angin bertiup ke kiri. Keadaan ini berbeda dengan layang-layang terbang, kerana ia agak terarah. Semuanya berpunca, layang-layang mempunyai tali yang dipegang oleh manusia.

Dalam keadaan begitupun, ada ketika tali layang-layang boleh terputus. Maka terbanglah layang-layang seperti kekabu. ia akan menjadi tidak terarah, malahan lebih teruk keadaannya berbanding kekabu. Namun apakan daya, tali telah terputus, tidak dapat dibantu lagi.

Begitujuga kehidupan manusia di dunia. Ia ada hidup bagaikan kekabu, dan ada hidup seperti layang-layang yang bertali. Manusia ditetapkan qada’ dan qadarnya sepertimana tiupan angin terhadap layang-layang. Tetapi, manusia akan terarah apabila mereka diikat dengan tali akal yang dipandu oleh pemegang tali, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Ada manusia yang tali akalnya terputus, maka jadilah dia gila. Ada manusia yang talinya tidak terputus, tetapi sengaja dilepaskan oleh pemegang talinya, iaitu mereka tidak mahu mengikut sumber wahyu ilahi. Makanya, mereka hidup terumbang ambing, sepertimana kekabu.

Hidup sebagai kekabu, sentiasa diharapkan kasih sayang-Nya. Ini kerana, Allah SWT tidak akan mengazab kepada mereka yang tidak didatangkan Rasul, sepertimana yang termaktub dalam surah al-Isra’, ayat 15. Makanya, mengharapkan kasih sayang Allah terhadap mereka yang tidak diberikan akal agar diberikan kebahagiaan hidup di alam akhirat kelak. Begitujuga, bagi mereka seperti layang-layang yang terputus talinya.

Namun, terserahkan kepada kasih sayang Allah bagi mereka yang sengaja tidak memegang tali layang-layang itu. Ini kerana, ia sudah diberikan peluang oleh Allah untuk talinya dipegang, tetapi diabaikan oleh manusia itu sendiri.

Walaubagaimana pun, disamping kita tidak lupa akan kemurkaan-Nya, kita tetap mengharapkan kasih sayang ilahi, ini kerana, sayang tuhan itu melebihi kemurkaan-Nya. Firman Allah yang bermaksud, “azab-Ku diberikan kepada siapa yang dia mahu dan rahmat-Ku luas melepasi semua perkara” (al-‘araf, ayat 156)

Wallahu ‘Alam