Kefahamanku tentang kewujudan parti Islam adalah bertujuan untuk memenangkan islam. Apabila islam menang, maka itulah tujuan keberadaan parti Islam. Jika Islam boleh menang tanpa wujud parti Islam, maka tidak perlu ditubuhkan parti Islam.
Jika dibaca pada Hadis Huzaifah yang Nabi SAW menyuruh beriltizam dengan jemaah islam ; ia tidak bersifat mutlak, sebaliknya ia bersifat muqayyad, iaitu dikala berlakunya fitnah. Bermakna, tanpa wujudnya fitnah, maka tidak perlu beriltizam dengan jemaah islam.
Apabila disebut Islam, sudah pasti kelihatan keadilan, kesaksamaan, kebajikan, kasih sayang dan sebagainya. Kezaliman, penindasan, penyelewengan dan sebagainya merupakan fitnah, yang ia sangat-sangat ditentang oleh islam.
Keadilan Islam, tidak difokuskan atas nama bangsa, juga atas nama agama. Waima berbeda agama, hak keadilan tetap diberikan. Begitujuga, penyelewengan yang berlaku, sudah pasti tidak akan ‘diberi muka’ oleh Islam, waima dilakukan oleh golongan agamawan.
Apa yang penting difahami, islam adalah matlamat. Adapun parti islam, ia sekadar wadah, atau bekas dalam membawa atau memimpin manusia kepada Islam. parti tidak perlu diperjuangkan, tetapi islam perlu dijadikan asas perjuangan. Parti tidak perlu dijaga, tetapi Islam adalah asas yang perlu dijaga.
Justeru, kewujudan parti islam adalah untuk menyerang fitnah, seperti penyelewengan, kezaliman, ketidak-adilan, rasuah dan sebagainya. pemimpin-pemimpin sesuatu gerakan islam – parti islam adalah pemimpin yang akan berusaha untuk menghapuskan segala fitnah-fitnah yang menimpa ini.
Pada hari ini, ramai manusia bercakap ‘mahu menjaga parti’, tetapi mereka tidak bertindak untuk menjaga Islam. Penyelewengan yang merupakan perkara yang diharamkan oleh islam; apabila dilakukan oleh seseorang pimpinan politik, ia seakan-akan dibenarkan, dan wajib dipertahankan atas nama ‘jaga parti’.
Ekoran itu, apabila wujud sebarang kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pemimpin politik, pasti akan wujud manusia yang mempertahankannya atas nama ‘jaga parti’, waima tindakan pimpinan politik tersebut kadang-kala bercanggah dengan kehendak syariah secara qatii.
Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti maqasid sebalik penubuhan parti Islam yang dikehendaki oleh Allah adalah amat bercanggah, seterusnya tersasar dari apa yang disabdakan oleh Nabi SAW.
KARL MARX
Jika dibaca sejarah karl Marx, kita akan dapati bagaimana golongan paderi Kristian pada zamannya menjadikan agama sebagai cara untuk mendapat kekayaan.
Di zaman itu, agama seperti barang dagangan, ataupun modal yang paling penting dalam mengaut keuntungan. Golongan paderi sanggup menggunakan hujjah-hujjah agama, dalam mengaut keuntungan dan kekayaan bagi dirinya sendiri.
Apabila sampai satu tahap yang meruncing; iaitu sehingga ada dari kalangan paderi yang sanggup menindas dan melakukan penyelewengan atas nama agama, menyebabkan lahirnya golongan penentang. Penentangan demi penetangan dilakukan, sehingga para paderi ketika itu sanggup melebelkan ‘kufur’ kepada penentang.
Keadaan ini berlaku dihadapan mata Karl Marx, menyebabkan beliau telah mengeluarkan satu pepatah yang menjadi kontroversi di seluruh dunia, iaitu katanya, ‘agama adalan candu’.
Jika difikirkan balik, mungkin karl Marx tidak akan mengungkapkan pepatah sedemikian, sekiranya beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Mungkin juga, beliau tidak akan mengatakan sedemikian, jika beliau membaca konsep keadilan yang wujud di dalam islam.
JANGAN CANDUKAN WALA
Jika karl Marx melihat paderi-paderi Kristian di zaman beliau, menggunakan agama sebagai cara untuk mengaut keuntungan, menindas golongan rendah dan sebagainya, menyebabkan beliau menyebut ‘agama adalah candu’. Makanya, Tidak hairan, akan wujud pepatah ‘wala adalah candu’, dikala wujud sebilangan pimpinan PAS yang menggunakan perkataan wala untuk mempertahankan kesalahan mereka.
Kebelakangan ini, kita dapat melihat bagaimana istilah wala’ dijadikan mainan mulut bagi sebilangan pimpinan PAS yang mahu mempertahankan sesuatu tindakan mereka yang salah. Waima mereka menipu, lalu ditentang oleh sebilangan ahli, ataupun rakyat, pasti istilah wala’ akan kedengaran.
Dalam islam, Wala’ bermakna taat setia yang diberikan kepada seseorang pemimpin disertai wujud kesiqahan dan kasih sayang. Tanpa kasih sayang dan kesiqahan, wala’ tidak akan berlaku. Perkara ini amat terperinci dikupas oleh Imam Al-Fakhr Ar-Razi dalam Kitab At-Tafsir Al-Kabir.
Kewujudan wala’ apabila wujudnya siqah. Tanpa siqah, wala’ tidak akan berlaku. Seseorang pemimpin yang mempunyai kesiqahan, baru diberikan wala’. Justeru, seseorang pemimpin yang mahu diberikan wala’, hendaklah menjaga siqah.
Menipu merupakan antara punca seseorang pemimpin hilang kesiqahan. Apabila keadaan ini berlaku, tidak hairan akan hilang wala’ terhadap pemimpin tersebut. Lebih-lebih lagi, menipu yang dilakukan demi menjaga keuntungan diri.
Seseorang arahan yang bercanggah dengan kehendak Islam, tidak perlu diberikan wala’, lebih-lebih lagi, apabila ia akan melahirkan mudharat pada Islam, ataupun terhadap dakwah islamiyyah.
Dalam hadis Bukhari ada menukilkan hadis, bahawa Nabi SAW pernah mengakui kebenaran tindakan para tentera yang tidak memberi wala’ kepada panglima perang yang dilantik oleh Nabi SAW sendiri. Ini kerana, panglima perang tersebut telah mengarahkan agar para tenteranya terjun dalam parit yang dinyalakan api.
Dari ini, amat nyata bahawa wala’ yang hendak diberikan kepada seseorang pemimpin bukan bersifat mutlak. Ia perlu diperhatikan terlebih dahulu, apakah memberi keuntungan kepada Islam dan dakwah, ataupun merugikannya. Jika terbukti menghasilkan kerugian, maka tidak perlu wala’ diberikan kepada pemimpin terbabit.
Justeru, apa yang dapat dipelajari, wala’ yang bersifat mutlak hanya terhadap Allah dan Nabi Muhammad SAW. Adapun selainnya, ia tidak bersifat mutlak, bahkan hendaklah diperhatikan terlebih dahulu sebelum wala’ diberikan.
Sebagai pemimpin, jangan candukan wala’. Sebelum istilah wala’ ingin ditekankan kepada ahli dan rakyat, hendaklah membina kesiqahan diri terlebih dahulu. Sebarang tindakan yang meragukan ahli, ataupun rakyat, hendaklah dihindari terlebih dahulu, kerana semua ini adalah tindakan-tindakan yang boleh mencarik kesiqahan yang seterusnya wala’ tidak akan terhasil.
Sekian
p/s : mengapa sebilangan pimpinan PAS tertentu takut sangat dengan rakaman ucapan tertutup mereka sampai ke tangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz? Yang peliknya, apabila rakaman itu sampai ke tangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, orang yang memberi rakaman itu dituduh sebagai tidak wala’. Persoalannya, apa yang mereka faham tentang wala? Ataupun, wala’ yang mereka canang itu adalah sama seperti wala’ yang dilakukan oleh paderi-paderi di zaman karl Marx dahulu? .... nampaknya, orang yang memberi rakaman kepada tok guru Nik Abdul Aziz pun dituduh tidak wala'. Makanya, sebarang penyelewengan pimpinan tertentu, jangan diberikan kepada mana-mana pemimpin tertinggi, sebaliknya tunggu sehingga diminta. mungkin itu sifir yang mereka pakai?
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
31 oktober 2009 * 1:00 petang