Selasa, 12 April 2011

MEMPERKASAKAN KEPIMPINAN PAS

Dalam Pakatan Rakyat sekarang, PAS adalah yang paling minoriti. PKR yang paling majoriti, kemudian DAP dan paling bawah adalah PAS.

Dalam keadaan demikian pun, kuasa Allah melebihi dari kuasa manusia. Kemenangan Pakatan Rakyat di Perak dalam PRU lalu, ternyata memberi keuntungan kepada PAS, waima bilangan kerusi PAS terlalu kurang berbanding kerusi PKR dan DAP.

Dalam keadaan sekarang juga, hampir sama. Iaitu, pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam Pilihanraya Sarawak, memperlihatkan bilangan kerusi PAS yang sikit berbanding dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ditambahi lagi dengan ramai pengkaji yang mula memperkatakan bahawa keadaan politik Malaysia yang agak tidak menentu ini, memungkinkan PAS akan kalah teruk dalam PRU yang bakal mendatang. Ini kerana, faktor kelemahan dalaman PAS yang dilihat agak ketara, seperti gerak kerja PRU yang tidak tahu kemana lagi, isu-isu mainan PAS banyak yang makan tuan dan sebagainya.

Di Kelantan sahaja, dikhabarkan dari sebilangan penganalisa-penganalisa bahawa keputusan di peringkat DUN, PAS berkemungkinan besar hanya mampu mempertahankan 13 kerusi sahaja. Dalam keadaan sebegini, ia memberi kesan yang buruk untuk keadaan politik PAS di masa akan datang, terutama selepas PRU ke-13.

CERDIK ATAU RAMAI?

Secara realitinya, menjadikan PAS mendominasi Pakatan Rakyat adalah tindakan yang agak mustahil, kecuali jika Allah SWT mahu yang sebaliknya.

Pun begitu, perkara yang paling penting kita bukan PAS majoriti atau tidak, tetapi yang paling penting adalah, bagaimana hendak menjadikan kandungan Islam berjaya dilaksanakan dalam negara.

Era ini bukan era parti mana yang ramai ahli, maka ia adalah golongan yang menang. Tetapi, era ini adalah era siapa yang cerdik, maka mereka akan menjadi tarikan rakyat untuk menyokong. DAP bukan mempunyai keahlian parti yang ramai, tetapi pemimpin mereka mendapat perhatian rakyat. Karpal Sikh adalah seorang yang lemah dari sudut jasad, tetapi kecerdikannya dalam perundangan negara menyebabkan kenyataannya menjadi perbincangan rakyat.

Walau kepala dan sebelah tangan sahaja yang masih hidup, tetapi kenyataannya menjadi perbualan musuh politik beliau.

PAS ERA PR

PAS mempunyai ramai orang cerdik. Sukar dibayangkan bagaimana ahli parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad yang tidak mempunyai pendidikan agama secara formal, mempunyai kebolehan yang luar biasa, apabila berjaya "mendiamkan" seorang paderi dari negara barat dalam "debat tertutup" mereka tentang piagam madinah.

Di Malaysia, kebolehan ini amat sukar dilakukan oleh ilmuan-ilmuan yang mempunyai pendidikan Islam secara formal, hatta yang tidak mampu melakukan itu adalah musuh khalid Samad yang sanggup melakukan penipuan dengan menyebarkan dakyah kononnya khalid Samad beraqidah syiah, walhal ia tidak begitu.

Khalid Samad sendiri mengakui bahawa beliau bukan syiah, dan tidak cenderung kepada syiah. Cuma beliau mengatakan, beliau tidak berani mengkafirkan syiah secara borong. Sikap ini, sebenarnya ada pada ilmuan-ilmuan Islam yang muktabar di dunia Islam kini, seperti Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Dr Taha Jabir al-ulwani, Dr Said Ramadhan Al-Buti dan sebagainya.

ISLAM BOLEH MENANG?

Kita tinggalkan tentang penipuan terhadap Haji Khalid Samad tersebut, tetapi kemampuan khalid Samad berhujjah dengan seorang paderi dari barat itu, merupakan satu perkara yang perlu dibanggakan oleh setiap umat Islam. Ini kerana, orang yang bergelar ulama pun belum tentu mampu melakukan tindakan tersebut.

Jika PAS sudah ada orang yang pandai berhujjah Islam sebegini, ia tidak membimbangkan kita jika PAS tidak mendominasi Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Ini kerana, dengan kebijakan berhujjah ini, memungkinkan dasar-dasar Islam yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah akan berjaya dilaksanakan dalam pemerintahan negara ekoran dari penerimaan DAP dan PKR terhadap hujjah-hujjah yang dikemukakan.

Jadi, kepimpinan parti PAS dalam era PR ini, ia perlu di ramaikan tokoh-tokoh yang mempunyai kebijakan sebegini. Itupun, jika kita lebih menyayangi Islam melebihi segala-galanya.

Sekian

P/s : tidak lama lagi, akan terbit buku tentang perdebatan antara saudara Khalid Samad dengan alusius, seorang paderi yang mempunyai Phd tentang piagam Madinah.

Wallahu 'Alam


Sg Buloh
13 april 2011 * 2:30 pagi.

Isnin, 11 April 2011

PENGUMUMAN MAJLIS DEBAT ILMIYAH TERBUKA

Makluman sahabat dari Hizbut Tahrir seperti berikut;

TAJUK : ABSAHKAH DEMOKRASI UNTUK ISLAM
PANEL 1 : UST. WAN JI
PANEL 2 : UST. ABU HAMZAH
...TARIKH : 17 APRIL 2011 (AHAD)
MASA : 9.30 PAGI
TEMPAT : DEWAN MASJID HASANAH, SEKSYEN 8, BANDAR BARU BANGI
JEMPUTAN : KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR. MASUK ADALAH PERCUMA.
PENGANJUR : RIDHUAN HAKIM

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI BAGI MERAI MAJLIS ILMU INI, INSYALLAH.