[1]
Aku menulis buku “menegur pimpinan negara dari perspektif Maqasid Syariah” adalah ekoran ucapan Ustaz fathul bari dalam perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. dalam ucapan itu, Ustaz Fathul bari sudah kelihatan menyerang parti-parti selain UMNO, khususnya PAS dalam hal menegur pimpinan negara. Menariknya, yang dipertahankannya itu bukan pada pimpinan negara, tetapi isteri perdana menteri, Rosman mansur.
Jika dalam ucapan itu tidak ada sebarang serangan terhadap parti yang tidak sealiran dengan UMNO, atau dalam ucapan itu dipenuhi dengan teguran-teguran terhadap pimpinan UMNO, atau dalam ucapan itu hanya penuh dengan pujian dan ampuan terhadap pimpinan negara, aku tidak mempunyai keinginan langsung untuk menulis buku untuk membalas kenyataan Ustaz Fathul bari itu. Ini kerana, ia tidak memberikan impak kepada kesan umat di malaysia.
Ternyata, tulisan buku itu melahirkan satu majlis forum, tetapi diungkapkan oleh ustaz Fathul bari dalam pertemuan kami di PJ sehari sebelum berlaku forum sebagai “Munazarah”. Apabila disebut munazarah, ia memberi maksud debat. Ia amat berlainan dengan istilah muzakarah dan Musyawarah.
Dalam pertemuan pada malam itu, ustaz fathul bari ada menyatakan beberapa syarat. Antara syarat yang dikenakan adalah, Munazarah ini hendaklah tertakluk dengan rujukan Al-Quran, As-Sunnah dan para salaf soleh. Dan lagi, dikenakan syarat sebarang pertanyaan dan pandangan dari hadirin, hendaklah dalam bentuk bersurat, dan aku diminta untuk membentangkan pandangan aku terlebih dahulu.
Aku akur dengan syarat-syarat yang dikenakan. Aku tidak membantah, malahan bersetuju. Namun, semasa pulang, apa yang harus aku bentangkan terlebih dahulu. Ini kerana, aku hadir sebagai hendak menyatakan pandangan yang tidak setuju dengan kenyataan Ustaz Fathul bari.
Sedang berfikir, aku terbaca satu firman Allah SWT;
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maksudnya;
“Katakanlah Wahai Muhammad, wahai ahli kitab, marilah kita kepada titik kesamaan antara kami dan antara kamu; bahawa kita tidak menyembah kecuali Allah, dan kita tidak melakukan syirik terhadap Allah sesuatu pun, dan tidaklah setengah kita mengambil tuhan terhadap setengah yang lain. Jika mereka berpaling, maka saksikanlah sesungguhnya kami adalah orang Islam”
[Al-Imran : 64]
Dari firman Allah ini, dinyatakan bahawa Allah SWT mengajar cara untuk berhadapan dengan golongan yang tidak sealiran dengan kita. Iaitu, ada beberapa step.
Step pertama, mencari unsur kesamaan terlebih dahulu, iaitu atas asas sama-sama menyembah Allah; dan step kedua, baru bermula menilai perbedaan, iaitu tidak melakukan syirik kepada Allah dan tidak menjadikan setengah terhadap sesetengah yang lain sebagai tuhan, lain dari Allah SWT.
Memandangkan kefahaman dari ayat ini, dalam pembentangan aku mengambil sikap untuk mencari titik kesamaan terlebih dahulu antara aku dengan Fathul bari, iaitu sama-sama mengakui kewajipan ataupun tugas yang wajib dilakukan oleh pemerintah, dan kewajipan mengugurkan pemerintah berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan.
Alhamdulillah, ternyata Ustaz Fathul bari menyokong segala apa yang aku ulas. Tetapi, apabila sampai pada round yang kedua, baru aku mempertikaikan beberapa hujjah-hujjah beliau yang beliau meletakkan tanggapan bahawa ia merupakan satu tindakan yang salah menegur pimpinan secara terbuka.
Sekadar yang aku perhatikan, sebarang pertikaianku itu, tidak dinyatakan sokongan oleh Ustaz Fathul bari, tetapi tidak kelihatan pula beliau mengkritik balik hujjah-hujjah yang aku kemukakan dengan hujjah yang jitu. malahan, aku merasakan beliau bersetuju dengan hujjah aku.
[2]
Aku tidak nafi ada orang yang mempertikaikan tindakan aku yang banyak kemukakan ulasan tentang kewajipan pemerintah, dan sebab-sebab pemerintah digugurkan diawal ulasan. Tetapi, padaku, aku mengambil sikap membentangkan asas ini adalah kerana ingin menggambarkan, tegur pemerintah ini perlu dilihat kepada pemerintah yang bagaimana? Sekiranya pemerintah yang mahu ditegur itu adalah pemerintahan yang adil, mungkin tidak berlaku pertikaian. Tetapi, sekiranya pemerintahan itu adalah pemerintahan yang zalim, maka isu yang wajar difikirkan adalah, bukan soal menegur, tetapi yang paling besar adalah, menggugurkan pemerintahan itu, lalu digantikan dengan pemerintahan yang lain.
Padaku, tindakan mengulas apakah boleh menegur pimpinan zalim atau tidak, tanpa membincangkan terlebih dahulu boleh atau tidak menjatuhkan pemerintah yang zalim, sama seperti membincangkan kemestian solat solat, tanpa membincangkan kewajipan solat fardu. Lebih parah lagi, orang yang membincangkan tentang solat sunat itu sendiri, apabila menunaikan solat sunat, dilakukan dalam keadaan tidak berwudu’.
Walaupun begitu, Munazarah yang dicadangkan ini adalah berbincang tentang tegur. Jadinya, pada pada round kedua, telah aku jawab sebarang hujjah-hujjah yang berkaitan dengan tegur pemerintah sebagai mengkritik balik terhadap hujjah-hujjah ustaz Fathul bari.
[3]
Ada sebilangan rakan-rakan Fathul bari yang tidak berpuas hati denganku. Mereka menyatakan bahawa tindakan aku mengemukakan kewajipan yang pemerintah mesti lakukan, dan kewajipan menggugurkan pemerintahan yang zalim, adalah sama seperti yang dilakukan oleh golongan Hizbu Tahrir.
Padaku, kita tidak harus menjadi jabariyyah disamping kita menekankan kewajipan beraqidah. Jabariyyah bermaksud, golongan yang meletakkan keyakinan bahawa tidak perlu difikirkan dan dilakukan oleh hamba, tetapi semua perkara diserahkan kepada Allah SWT.
Contohnya, Jika kita tidak berusaha ke kedai makan untuk makan, atau kita tidak memasak, maka sudah pasti kita tidak boleh makan. Tetapi, tindakan yang betul adalah, kalau mahu makan, maka berusaha ke arah untuk mendapatkan makanan, barulah makanan itu akan diperolehi. Kita tidak boleh bersila di atas masjid atau sejadah, tanpa sebarang usaha untuk memastikan makanan masuk dalam mulut kita. Mengambil sikap sebegini, merupakan tindakan yang menyanggahi aqidah Ahli As-Sunnah wa Al-Jamaah yang didokong oleh Nabi SAW dan Salaf soleh.
Maka begitujuga dalam usaha hendak menjatuhkan pemerintahan yang zalim. Ia bukan kerana Hizbul tahriri atau tidak, tetapi isunya adalah, bagaimana dan apakah yang perlu dilakukan oleh manusia untuk menjayakan kewajipan perlaksanaan islam dalam sesebuah negara, dan bagaimana hendak memastikan, keadilan berjaya terlaksana, dan kezaliman berjaya dihapuskan.
[4]
Dalam forum, Ustaz Fathul bari ada menyentuh tentang Hizbu tahrir. Aku tidak mahu ambil “port” tentang isu Hizbu tahrir dalam forum pada malam itu. Padaku, ia bukan satu perkara yang wajar dibincangkan pada malam itu.
Namun begitu, dalam ruangan blog ini, Aku ingin nyatakan agak kurang bersetuju bahawa Ustaz Fathul bari ada menyebut tentang “mengharamkan” terhadap Hizbut Tahrir. Apakah dimaksudkannya adalah mengharamkan pertubuhan atau tidak, itu terserah kepada tafsiran beliau. Tetapi, pada tafsiran aku, semasa beliau menyebut itu, seakan-akan beliau mendesak agar pertubuhan Hizbut tahrir ini perlu diharamkan.
Padaku, Islam tidaklah seganas yang digambarkan. Islam adalah agama dialog dan perbincangan.
Firman Allah;
قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya;
“Katakanlah, datangkan hujjah-hujjah kamu, jika kamu dari kalangan orang yang benar”
[Al-baqarah : 111]
Di zaman Ali bin Abi Talib berhadapan dengan Khawarij pun, beliau tidak pernah terus menyerang mereka, sebaliknya dimulakan dengan dialog, dengan dihantar Abdullah bin Abbas untuk berhadapan dengan khawarij. Ini menandangkan, sebarang kelahiran persatuan di malaysia, tidak terus diharamkan, tetapi hendaklah dinilai terlebih dahulu dengan dilakukan dialog dan berbincangan terlebih dahulu.
[5]
Ustaz Fathul bari memberikan kesimpulan penutup. Di sana, beliau ada mengulas tentang ijtihad, disamping menyatakan bahawa siapa kita untuk berijtihad, waima aku ada menyebut tentang istilah Ijtihad Jamai’ yang diulas oleh Dr Ar-Raisuni dalam kitab Muhadharat fi Maqasid As-Syariah di akhir bab kitabnya.
Memandangkan beliau orang yang terakhir, aku tidak mempunyai ruang untuk membalas balik. Tetapi, dalam ruangan ini ingin aku nyatakan bahawa, soal ijtihad jamai ini, bukan dalam perkara yang berkait dengan mengistinbatkan hukum dari nas.
Ini kerana, dalam kitab-kitab Usul fiqh, kebanyakkannya mengulas bahawa ijtihad itu terbahagi kepada dua, iaitu [1] ijtihad fi Fahm An-nas, dan [2] Ijtihad fi tatbiq An-Nas, atau lebih dikenali Al-Ijtihad At-tanzili.
Dalam ijtihad jamai, ia bukan perbincangan tentang ijtihad fi Fahm An-Nas, sehingga mampu mengistinbatkan hukum, sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat terdahulu, dan para ulama-ulama mazhab. Tetapi, ijtihad jamai adalah, ijtihad dalam mentatbiqkan nas kepada sesuatu tempat dan masa, berdasarkan kepada fatwa-fatwa dan ijtihad-ijtihad ulama-ulama yang muktabar [yang ijtihad mereka itu berasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah].
Ekoran itu, disana ada perbincangan fiqh yang dinamakan sebagai “As-Sibru Wa At-Taqsim”, “Tangqih Al-Manat”, “Tahqiq Al-Manat”, “maalat At-tatbiq”, dan banyak lagi. Dan semua ini, boleh dilakukan oleh para yang berkelayakan di zaman kini. Tetapi, kemampuan itu mungkin terbatas, maka lahirlah istilah yang disebut sebagai “Al-Ijtihad Al-Jamai’”.
[6]
Munazarah semalam, aku kira sebagai menarik dan berilmu. Cuma, ada sebilangan yang tidak berpuas hati. Padaku, itu perkara biasa. Sebab, orang yang tidak berpuas hati itu juga kena rai orang yang berpuas hati. Mungkin jika dilakukan seperti yang dikehendak oleh pihak yang tidak berpuas hati, maka akan melahirkan tidak puas hati dari pihak yang berpuas hati. Jadinya, ia tidak akan selesai.
Walaubagaimana pun, padaku ilmu Allah SWT ini amat luas. Aku tidak mahu menjadi orang yang sombong dengan ilmu, waima dari sesiapa sekalipun. Sekiranya itu adalah ilmu manfaat, maka tidak wajar kita mengambil sikap riya’ disebabakn kita sudah memahaminya, atau kita rasa tidak masuk “line” kita.
Pada sessi makan pula, kelihatan ada sedikit “ketidak puas hati” dari pihak ustaz Fathul bari. Dia agak tidak bersetuju, apabila perbincangan ini dilihat agak kepolitikkan. Tetapi, dalam munazarah malam itu pun, beliau ada mempertikaikan tindakan sebilangan ahli politik PAS, waima tidak menyebut nama. Jika beliau tidak setuju, sudah pasti beliau tidak akan menyebut, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Justeru, tidak seharusnya beliau menyatakan ketidak-puas-hatian itu sehingga bercakap seperti [ulang: seperti] orang yang sedang kemarahan.
Padaku, aku hadir dalam forum pada malam itu, disamping ingin mempertikaikan hujjah-hujjah Ustaz Fathul bari yang mempunyai jawatan dalam UMNO [Ulama Muda UMNO], tetapi ia juga kerana desakan ekoran melihat dan mendengar ucapan Ustaz Fathul bari dalam perhimpunan Agung UMNO hari itu.
“Anta datang bukan untuk kebaikan Umat?” mungkin ada orang berkata begitu.
Jika ini soalannya, aku akan menjawab, “kerana kebaikan umat, UMNO wajib dijatuhkan, kerana mereka bukan sekadar zalim, tetapi telah mengagalkan perlaksanaan islam di malaysia; mencipta persepsi buruk terhadap islam dan sebagainya”
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
- Sri Indah [b] Sg Buloh
15 Disember 2010 * 6:00 petang.