Sabtu, 22 Mei 2010

TERUSKAN BANTAHAN : JANGAN TERTIPU DENGAN BN

sudah 64 tahun dah dok menipu melayu


[1]

KUALA LUMPUR 22 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam

KOMEN:

perkara yang jelas haram, malahan ditentang oleh non Muslim sendiri, tidak perlu diteliti reaksi lagi. Hendak teliti reaksi apa? sumber cukai kerajaan menerusi duit haram berkurangan ke?

[2]

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

KOMEN:

La... rupa-rupanya sudah berkurun dah buat kerja haram ni. Memang BN ni pasti bangsat.

[3]

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri semalam.

KOMEN:

Tahniah Pakatan Rakyat, terutama PAS yang nampak kedepan dalam isu ini. Tetapi, jangan dilupa, bahawa Pakatan Rakyat sudah merancang untuk adakan demo pada 3 jun ini. Tidak mustahil, kenyataan TPM ini, dengan tujuan untuk mengagalkan demo yang mahu dianjurkan; iaitu dengan cara meredakan semangat pembenci-pembenci judi untuk berdemo pada 3 Jun ini.

Yang penting, teruskan bantahan sehingga terbukti Judi Bola ini tidak dibenarkan sama sekali; sampai bila-bila pun. Jangan disebabkan kenyataan TPM ini, ada pula yang berkata, "Ah.. tak Payah pergi demo la, sebab TPM tak bagi jaminan dah judi bola ni tidak diberikan kepada BERJAYA"

Jangan sampai tertipu dengan parti penipu melayu itu.

sekian

baca sama:
kerajaan teliti lesen pertaruhan piala dunia (utusan Meroyan)

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Mei 2010 * 1:38 petang


JANGAN CONDONG KEPADA UMNO?


[1]

Dalam kitab Al-Halal Wa Al-Haram fi Al-Islam, Karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ada satu kaedah yang dikemukakan, iaitu kaedah yang berbunyi;

ما أدى الى الحرام فهو جرام

Maksudnya;
“Perkara yang boleh membawa kepada haram, maka hukumnya adalah haram”

Contoh yang dikemukakan oleh Dr YUsuf Al-Qaradhawi adalah Zina. Allah SWT telah mengharamkan zina, justeru semua perkara yang membawa kepada Zina, maka hukumnya adalah haram.

Ekoran itu hukum haram itu bukan sekadar berlaku pada zina, malah berlaku juga pada Khalwat, buka aurat, bertindak yang boleh mendatangkan syahwat sehinga berlaku zina dan sebagainya.

Begitujuga Riba adalah haram. Bukan sekadar pemakan riba sahaja haram, malah orang yang mewakilkan, orang yang diwakilkan, penulis dan saksinya pun dikira sebagai haram.

[2]

UMNO adalah parti yang tidak membantu kemenangan Islam. yang berlaku, merosakan gambaran islam kepada masyarakat.

Terbaru, mereka menghalalkan judi yang haram. Waima ditolak semua agama-agama di Malaysia, ternyata UMNO tetap mahu halalkan judu.

Justeru, segala perkara yang boleh cenderung kepada UMNO adalah haram; tidak kira apa nama mereka sekalipun.

Mungkin disini kita boleh buat satu kaedah yang berbunyi;

UMNOفهو UMNO ما أدي الي

Maksudnya;
“Perkara yang boleh membawa kepada UMNO, maka ia adalah UMNO”

Jika JIM membawa kepada UMNO, maka JIM adalah UMNO. Jika ABIM membawa kepada UMNO, maka ABIM adalah UMNO. JIka UG membawa kepada UMNO, maka UG adalah UMNO. Jika PERKASA membawa kepada UMNO, maka PERKASA adalah UMNO.

Adapun jika mereka tidak membawa kepada UMNO, maka mereka bukanlah UMNO. Jika mereka berusaha menjatuhkan UMNO, maka wajib kita bersatu dengan mereka, dalam usaha menjahamkan UMNO.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Mei 2010 * 1:05 petang

ADAB?

Alangkah beradabnya Yasir Arafat bersalaman dengan Bill Clinton dalam usaha 'jual' Palestine kepada Yahudi

[1]

Adab bukan benda wajib. Ia benda tambahan bagi sesuatu kewajipan, atau penambahan sesuatu perkara yang harus.

Puasa adalah wajib. Adab ketika berpuasa, melewatkan sahur, mensegerakan berbuka. Apakah melewatkan sahur itu adalah satu kewajipan? Apakah mensegerakan sahur itu satu kewajipan?

Yang paling penting adalah, dia berpuasa, waima dia tidak melewatkan sahur dan mensegerakan berbuka. Dengan erti-kata lain, dia menunaikan perkara wajib, waima tidak melakukan adab dalam berpuasa.

Orang yang terlalu kelaparan, sehingga jika tidak makan, boleh membawa kepada kematian. Ketika itu, hukum makan adalah wajib, demi menyelamatkannya nyawa.

Cumanya, ketika orang itu makan dia makan dalam keadaan berdiri. Mungkin sengaja dia makan berdiri, kerana terlalu lapar, atau makanan itu tergantung tinggi, menyebabkan dia terpaksa makan berdiri. Malah, tidak dinafikan, mungkin juga dia lakukan itu dalam keadaan terlupa.

Yang pastinya, orang yang makan itu telah terselamat dari dosa, kerana berjaya menyelamatkan nyawanya yang menjadi amanah Allah terhadapnya. Adapun dia makan berdiri itu, ia tidak melibatkan kepada dosa. Cuma, jika dia makan dalam keadaan duduk, itu merupakan adab, yang layak diberikan pujian.

[2]

Orang yang tersedar lewat dari tidur dalam bulan ramadhan. Apabila dia sedar, didapati subuh sudah kemandang, bermakna dia tidak sempat bersahur.

Dalam keadaan ini, puasa bagi dirinya tetap wajib, waima terpaksa meninggalkan adab berpuasa, iaitu bersahur.

Jika dia tetap mahu bersahur, walhal subuh sudah kemundang, sudah pasti tindakannya yang mahu bersahur dengan tujuan mahu beradab, adalah adab yang terkeji, bukan terpuji.

Atau dalam contoh lain, seperti seseorang yang kena makan berdiri kerana makanan itu berada tergantung tinggi, yang terpaksa dia makan dalam keadaan berdiri.

Dengan erti-kata lain, jika dia mahu makan dalam keadaan beradab juga, menyebabkan perbuatan makan sampai bila-bila pun tidak terlaksana.

Orang yang terpaksa makan berdiri, tetapi tetap juga mahu makan duduk – dengan alasan beradab, merupakan tindakan yang bodoh. Kebodohan itu, disebabkan ia tidak memahami cara dan kaedah makan yang sebenar.

[3]

Adab ini, bukan sekadar berlaku ketika makan. Bahkan berlaku juga dalam perkara yang lain. adab makan tidak sama dengan ada bercakap; adab menegur tidak sama dengan adab makan; adab menegur tidak sama dengan adab ketika dalam peperangan.

Kalau dalam perang, kita dilarang menggunakan perkataan makian dan kutukan [dengan alasan beradab dalam bercakap], walhal ketika itu makian dan kutukan adalah perlu kerana ada unsur provoke musuh, sudah pasti tindakan melarang itu adalah satu kedunguan.

[4]

Peliknya, ada sebilangan orang yang mementingkan adab, tetapi menafikan kewajipan. Dia mementingkan adab menegur, sehingga menafikan kewajipan menegur. dia mementingkan adab menegur, tetapi menafikan tindakan haram yang dilakukan oleh orang yang ditegur.

Dalam berjemaah, kewajipannya adalah memenangkan Islam. apabila ada pemimpin yang melakukan tindakan yang boleh merugikan Islam, seperti beberapa tindakannya yang terbukti umat menolak Islam; dalam adab berjemaah pemimpin itu wajib ditegur. Menegur pemimpin itu, perlu kepada adab.

Menegur yang beradab adalah dengan menggunakan salurannya, tiba-tiba salurannnya sudah tersumbat; sama ada saluran teguran itu tertutup dengan ”istilah-istilah islam yang indah tetapi dicandukan untuk kepentingan diri [bukan kepentingan islam]”, ataupun memang telinga pemimpin itu jenis tersumbat, maka adab dalam menegur adalah dengan apa cara sekalipun, agar pemimpin itu boleh berubah daripada bersikap melakukan perkara yang merugikan Islam, kepada melakukan perkara yang boleh menguntungkan Islam.

Yang paling penting adalah, kewajipan menegur agar pimpinan itu melakukan tindakan yang boleh memberi keuntungan kepada Islam, bukan mementingkan adab menegur pemimpin yang melakukan tindakan yang boleh merugikan Islam.

”syaikh.. takkan hukum makan bak kut teh [sup babi] pun, kena baca bismillah kot?” Aku menyoal.

”apa ada hal? pemimpin menipu pun, ada orang kata wajib dipertahankan.. kononnya, beradab” balas kawanku sambil senyum.

Sekian

Wallahu ’Alam

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Mei 2010 * 12:25 Tengahari


Jumaat, 21 Mei 2010

DAP : ANTARA PELUANG DAN ANCAMAN

Pada tahun 2001, atas kebijaksanaan politik Ustaz Fadzil Noor, UMNO/BN cukup takut dengan warna hijau, sehingga ketika itu dikenali sebagai "Fenomena Hijau"
(keratan Akhbar OPERASI keluaran April 20o1)


[1]

Sudah dijangka, dalam artikle lepas, pasti mendapat respon dari sebilangan pengkomen; tidak kira mereka yang beraliran UMNO, juga mereka yang merasakan mereka berfikrah UG.

Mereka yang berfikrah UG menyerang, dan aku tidak mempunyai niat untuk menyerang balas, sebaliknya mengucap terima kasih atas serangan itu. ini menggambarkan suburnya budaya wacana dalam dunia maya, dan semestinya ini mampu menyubur pemikiran kreatif di kalangan pendokong-pendokong gerakan Islam, yang mahu Islam terlaksana dengan jayanya untuk masa mendatang – Insya Allah.

Jika ingin dibahas segala kupasan mereka, aku boleh membalasnya dengan hujjah. Bahkan, pada penilaianku, cara mereka mengemukakan hujjah tidak berasaskan kepada fakta. Ini kerana, kertas kerja yang menjadi asas pemikiran UG itu sememangnya wujud ditanganku sehingga kini, namun ia tidak berjaya disebabkan mendapat tentangan dari sebilangan besar pimpinan PAS itu sendiri.

Inilah kehebatan PAS jika mahu dibandingkan dengan UMNO. Menunjukkan, pimpinan PAS bukan golongan ”yesman”, sepertimana pimpinan UMNO. Apa yang diucapkan oleh presiden parti mereka, maka itu betul belaka, yang mengakibat UMNO semakin hari ditolak oleh rakyat, ekoran kebejatan dan kerosakan dalamannya itu.

Lupakan isu yang telah lepas; yang memberi sejarah hitam bagi PAS sejak sejarah 8 Mac 2008 yang lepas. Sebaliknya artikle kali ini, ingin mengupas sambungan perbincangan tentang hubungan kita dengan DAP.

[2]

Isu sikap kita terhadap DAP perlu difikirkan secara dakwah. Aku tidak menafikan, ada pihak menganggap bahawa DAP merupakan ancaman, tetapi adalah satu kesilapan jika kita menafikan hubungan PAS dengan DAP kini merupakan satu peluang dakwah yang cukup besar.

usah difokuskan kepada pemimpin DAP, tetapi yang wajib kita fokuskan adalah kepada rakyat dari non Muslim yang menyokong DAP. Pada rakyat non Muslim, DAP adalah sebuah parti yang membawa wadah mereka. Justeru, peluang merebut sokongan mereka adalah satu keperluan.

Kita tidak perlu terlalu memfokuskan pemimpin DAP agar memeluk Islam, tetapi jika mereka memeluk Islam, maka itu adalah satu kesyukuran terhadap ilahi. Tetapi, yang paling penting kita fokus adalah rakyat yang menyokong DAP.

Rakyat yang menyokong DAP; yang ramai terdiri dari kalangan non Muslim merupakan sasaran dakwah kita yang paling penting. Kita perlu berusaha menyeru mereka kepada Islam. Jika mereka tidak memeluk islam pun, sekurang-kurangnya mereka mengatakan Islam adalah agama yang adil dan indah pun sudah cukup memberi kredit dalam usaha perlaksanaan islam di Malaysia; sudah pasti ia adalah cita-cita PAS sejak sekian lama.

Ekoran itu, aku tidak pernah sedih jika wujud beberapa tindakan buruk yang dilakukan oleh PKR dan DAP, tetapi yang paling aku bimbang apabila kesilapan dari sudut persepsi rakyat dilakukan oleh pimpinan PAS. apabila pimpinan PKR dan DAP melakukan sesuatu keburukan, sudah pasti rakyat akan menilai siapa mereka. Tetapi, jika pimpinan PAS melakukan sesuatu perkara yang memberi persepsi yang buruk, pasti ia dapat memberi imej buruk kepada PAS dan perjuangan Islam itu sendiri.

Kejayaan PAS dalam membina persepsi baik adalah kejayaan dalam usaha menubuhkan kerajaan Islam; kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar Islam yang berasaskan kepada keadilan ilahi.

[3]

Jika kita merenung jauh kepada kejayaan Nabi SAW membawa Islam dalam sejarah Sulh Al-Hudaibiyyah, kita akan mendapati betapa bijaknya Nabi SAW dalam berpolitik.

Dalam sirah, kita dapati Nabi SAW banyak ’mengalah’ ketika melakukan perjanjian Al-Hudaibiyyah, tetapi ternyata ’mengalah awal’ bukan bermakna kalah, sebaliknya ia merupakan kemenangan yang nyata selepas dari itu.

Ia sama seperti yang kita lihat dalam filem tamil dan hindi, sehingga ada orang melayu tua-tua dulu sering berkata, ”hero tamil memang kalah dulu”.

Pada tahun kedua selepas berlaku Sulh Al-Hudaibiyyah, baru Nabi SAW dan para sahabat dibenarkan oleh Quraish untuk melakukan ibadat di Kaabah. Dalam tahun kedua itulah, berlakulah sejarah Umrah Al-Qada’ [umrah Al-Qada’ ini dikenali juga dengan nama Umrah Qadiyyah, Umrah Qishash dan Umrah Sulh], tetapi keizinan menunaikan ibadat itu hanya selama 3 hari sahaja.

Namun begitu, dalam jangka terlalu pendek, Nabi SAW berjaya membina imej yang cukup baik di mata-mata rakyat makkah terhadap umat Islam yang ditarbiah oleh Nabi SAW.

Bermula dari kesetiaan terhadap perjanjian, yang bersuaian dengan sabda Nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
”orang Islam itu disisi syarat-syarat [perjanjian] mereka
[1]

Juga, banyak tindakan yang membawa imej baik dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat, seperti mengerjakan solat dan menghilangkan sama sekali sikap meninggi diri, mana yang kuat akan membimbang yang lemah, mana yang kaya akan membantu yang miskin.

Rasulullah SAW sendiri dilihat seperti seorang bapa, yang mencintai dan dicintai. Baginda SAW dilihat sebagai seorang yang agak senang diajak ketawa dan bergurau, tanpa menafikan kebenaran ajaran Islam.

Keadaan ini berlanjutan, menjadi tontonan rakyat Makkah yang belum lagi beragama Islam. Mereka melihat keindahan suasana tersebut; seperti tidak ada minuman keras, tidak melakukan amalan maksiat, tidak mudah tergoda dengan makanan dan minuman dan mereka cukup tidak mudah terpedaya dengan pengaruh duniawi.

Lebih memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah yang tidak beragama islam lagi, apabila para sahabat yang hadir ke Makkah untuk menunaikan Umrah Al-Qada’ itu, dilihat cukup lunak dalam memberi pertolongan kepada orang-orang miskin dan para hamba yang tinggal di Makkah. Waima mereka tidak beragama Islam, tetapi bantuan dari para sahabat hulurkan kepada mereka, seperti sanggup himpun duit untuk membayar hutang bagi mereka yang berhutang dan sebagainya, cukup memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah secara menyeluruh.

Dengan imej baik inilah, menyebabkan nabi SAW dan para sahabat diterima oleh rakyat Makkah. Waima tindakan Nabi SAW itu dibenci oleh pimpinan Quraish yang kufur, tetapi kejayaan Nabi SAW menarik pengaruh dikalangan rakyat Makkah tidak boleh dinafikan lagi.

Ekoran itu, Nabi SAW berjaya mencipta satu gelombang rakyat yang cukup hebat; sehingga tidak dapat dinafikan lagi oleh pimpinan Makkah, iaitu apabila majoriti rakyat makkah sendiri telah menerima Nabi SAW dalam sejarah Fath Makkah [pembukaan kota Makkah].

[4]

Alangkah hebat cara Nabi SAW mencipta gelombang sehingga dakwah Nabi SAW diterima oleh rakyat Makkah. Keadaan ini perlu dipelajari oleh setiap gerakan Islam di malaysia, malahan di mana-mana.

Sebagai sebuah parti Islam, pimpinan PAS perlu mempunyai kebijaksanaan dan cepat dalam mendapat peluang dalam mencipta imej yang baik di mata-mata rakyat, terutama ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Ketokohan Ustaz Fadzil Noor dan Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah dua tokoh yang wajar dijadikan contoh. Kedua-dua tokoh ini, amat hebat dalam mencari peluang dalam mendapat pengaruh politik, sehingga mereka berjaya mencipta satu gelombang rakyat di Malaysia.

Kita masih tidak lupa dengan sejarah ”fenomena hijau”, hasil daripada kebijaksanaan politik ustaz Fadzil Noor dalam mencipta gelombang rakyat menyokong PAS pada tahun 2001 yang lalu.

Inilah perkara yang perlu kita pelajari dan tekuni, agar PAS akan mendepani Umat seterusnya berjaya melaksanakan Islam sebagai sebuah ’agama yang memerintah, bukan agama yang diperintah’ di Malaysia, yang merupakan cita-cita PAS sejak sekian lama.

Yakinilah, Islam pasti akan menang. Takbir..

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
21 Mei 2010 * 7:07 petang



[1] Abu Daud : 3120.

Khamis, 20 Mei 2010

SIKAP KITA TERHADAP DAP?


[1]

Aku tidak menafikan beberapa kebimbangan-kebimbangan yang ditimbulkan oleh orang-orang UMNO, juga sebilangan orang-orang PAS yang berfikrah UG terhadap perkembangan DAP.

Mereka menilai, DAP itu adalah agen Singapore; mereka bimbang Malaysia akan menjadi seperti Singapore. Dalam perkataan lain, mereka bimbang melayu tertindas di Negara sendiri, islam tidak kemana dan sebagainya.

Kebimbangan ini, datang dari mereka yang mempunyai ‘keikhlasan’ terhadap bangsa melayu. Tetapi, kebimbangan sebegini sebenarnya tidak wujud dari orang-orang UMNO dan orang-orang PAS berfikrah UG yang beragenda [ulang sekali lagi : yang beragenda].

Jika benar semua orang-orang UMNO meletakkan kebimbangan terhadap melayu, apakah boleh dikatakan satu kebenaran, apabila mereka sendiri menindas melayu? Apakah menjadi halal, apabila melayu menindas melayu? apakah menjadi haram, apabila cina menindas melayu?

Bukankah telah terbukti bahawa Malaysia yang dulunya bernama Tanah melayu; merupakan sebuah Negara yang diperintah oleh melayu, kekuatan ekonomi dikuasai oleh melayu, dan banyak perkara dibawah kekuasaan melayu, tetapi mengapa kini ramai orang melayu yang menjadi ‘bangsat’?

Justeru, perlu dibedakan antara dua pihak yang wujud dalam usaha hendak memburukkan DAP ini. satu pihak, yang sebenarnya ‘ikhlas’ bimbang terhadap keadaan melayu; dan ada pula satu pihak yang lain mengungkap melayu, tetapi mempunyai seribu satu agenda.

[2]

Kini abad 21, bukan abad 14 atau 15. kini kita berbicara tentang Malaysia, bukan tanah melayu lagi. Justeru, Islam yang perlu diperjuangkan kini perlu bersifat ‘Waqie’, iaitu Islam di Malaysia, bukan islam di Tanah melayu.

Sebelum ini, Profesor Zulkifli Ahmad pernah menyebut peri-pentingnya undi non Muslim dalam menentukan kemenangan PAS, maka terlebih penting perkara ini dibincangkan di kala ini.

PAS dengan perjuangan Islamnya; bercita-cita menubuhkan sebuah kerajaan yang berasaskan kepada Islam dalam semua aspek kehidupan. Bermula dari masuk jamban, sehingga pemerintahan kerajaan.

Usaha PAS hendak mendaulatkan Islam di Malaysia, terpaksa berhadapan dengan demokrasi. Konsep menolak mudharat yang lebih besar, dengan terpaksa melakukan mudharat yang kecil, maka PAS terlibat dalam demokrasi dalam usaha berdakwah, menyeru manusia kepada Islam.

Hakikat demokrasi adalah, suara rakyat. Majoriti suara rakyat, lambang kekuatan dan kemenangan. Tanpa suara majoriti, PAS tidak dapat memerintah Malaysia dengan Islam.

Di Malaysia, jika diharapkan suara melayu-muslim sahaja menyokong Islam, mustahil Islam terlaksana. Ini kerana, sudah pasti akan berlaku pergolakan politik; iaitu tentangan dari bangsa selain dari melayu.

Itu jika dilihat, kalau melayu-muslim itu bersatu. Adapun hakikat yang berlaku kini adalah, melayu-muslim tidak bersatu. Ada pihak yang mahukan islam; ada pihak yang mahukan kebangsaan; dan ada pihak yang mahukan ’poket terisi’, Cuma mereka mempergunakan nama kebangsaan, malahan nama islam.

Justeru, tidak dapat tidak, undi selain Non Muslim adalah perlu. Tidak kira mereka yang berada dalam DAP, ataupun PKR, ataupun tidak berparti.

[3]

Menyeru manusia kepada Islam adalah satu kemestian. DAP merupakan sasaran dakwah yang tidak boleh diabaikan dalam usaha melaksanakan Islam di Malaysia.

Mengabaikan DAP dalam dakwah, merupakan satu kedangkalan dalam dakwah. ini kerana, DAP merupakan manusia yang berwarganegara Malaysia juga.

Didakwa bahawa DAP ada agenda, maka itu terpulang kepada mereka. Adalah terlalu dangkal, apabila kita mendakwa bahawa DAP tidak ada agenda.

Yang salahnya, apabila kita mengatakan UMNO tidak ada agenda. Lebih dangkal, jika kita melawan agenda UMNO dengan kebodohan.

Dalam Islam, agenda mesti lawan dengan agenda. Bukan agenda lawan dengan kekerasan. Itu satu kekalutan dan kejumudan, malahan ia ditolak oleh Islam.

Firman Allah;

فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ

Maksudnya;
”Barangsiapa bermusuh terhadap kamu, maka hendaklah kamu bermusuh ke atasnya sepertimana ia bermusuh terhadap kamu”

(Surah Al-Baqarah : 194)

Agenda dilawan dengan kekerasan, itu bukan kaedah Islam; ia merupakan tindakan yang melampaui batas. Cara ini ditentang oleh Islam menerusi Al-Quran.

Firman Allah;

وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
”Jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”

(Surah Al-Baqarah : 190)

[4]

Jika kita perhatikan dalam sirah, kita akan dapati bahawa, dalam misi dakwah, Nabi SAW berhadapan dengan manusia yang menolak Islam dengan beberapa faktor. Antaranya adalah kerana kejahilan dan kedegilan.

Di Makkah, Nabi SAW berhadapan dengan manusia yang tahu kebenaran [bermakna mereka tidak jahil], tetapi mereka tetap juga menolak Islam disebabkan kedegilan. Dengan sebab kedegilan, mereka menindas umat Islam; para sahabat, malahan melakukan berbagai-bagai strategi untuk membunuh Nabi SAW dan menghalang dari tersebarnya ajaran Islam.

Keadaan ini berbeda di Yasrib [Madinah sebelum Islam]. Rakyat Madinah, mudah menerima Nabi Muhammad SAW apabila mengenali Nabi SAW. Waima berita kenabian Nabi Muhammad SAW itu dibawa oleh As’ad bin Zurarah sahaja, ternyata dalam masa dua hingga tiga tahun sahaja, Nabi SAW sudah dijemput hadir ke sana dalam menyampaikan misi dakwah.

Difahami, rakyat Madinah adalah golongan yang tidak memahami Islam. tetapi, setelah mereka memahami Islam, mereka terus menerima Islam. Apabila sedar keadaan ini, tidak hairan Nabi SAW mencipta gelombang Islam di Madinah terlebih dahulu, kemudian baru mencipta gelombang Islam pula di Makkah.

[5]

PAS menyeru UMNO kepada Islam sudah lebih satu dekad. Sejak sebelum merdeka lagi, ulama-ulama yang mengasaskan PAS sudah berdakwah, menyeru UMNO kepada Islam. Namun, sehingga hari ini UMNO tetap dengan dasar kebangsaan yang tidak Islam.

Kejahatan UMNO ini, sehingga sampai sanggup mencandukan Islam, agar Islam dilihat buruk dalam gambaran pemikiran Non-Muslim. Semuanya ini dilakukan, semata-mata mahu mengekalkan kekuasaan ketika berhadapan dengan PAS.

Di fahami dari situasi ini, nyata bahawa UMNO adalah parti yang menolak Islam kerana kedegilan; mereka menolak Islam bukan kerana kejahilan. Jika mahu dikatakan sebagai jahil, bagaimana pula keberadaan tokoh-tokoh ulama, dan ilmuan Islam dalam UMNO?

Keadaan ini berbeda dengan DAP. Mereka sebelum ini dimomokkan tentang keburukan yang ditampalkan oleh UMNO kepada Islam. Ekoran itu, mereka turut membenci Islam.

Disamping itu, kurang kemahiran sebilangan pimpinan PAS dalam mempersembahkan Islam kepada Non Muslim, menyebabkan PAS sering dilihat seperti musuh DAP.

Namun begitu, kebelakangan ini perubahan itu semakin hari semakin kelihatan. Sebelum berlakunya gelombang rakyat pada 8 mac 2008 lagi, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP telah membuahkan satu hasil yang cukup membanggakan.

Antara perkara yang paling membanggakan, apabila didapati pimpinan DAP sudah tidak ’allergic’ dengan istilah hudud, dan negara Islam. Malahan, dalam PRK sibu baru-baru ini, pihak BN sendiri memainkan isu ”undi DAP, bermakna Undi Negara Islam”, tidak mengugatkan sokongan masyarakat cina terhadap DAP.

Usah dibicara ucapan Karpal ”langkah mayat saya dulu, jika mahu tubuh negara Islam”, kerana ucapan karpal itu diungkapkan ketika aku belum berkahwin lagi. Kini, aku sudah mempunyai 2 orang anak, sudah pasti keadaan sudah berbeda.

Jika UMNO mahu memainkan isu ucapan karpal itu juga, dipesan kepada UMNO agar mereka mengenangkan balik ucapan bekas presiden parti mereka yang menyebut bahawa ”nabi SAW berjanggut sebab tak ada pisau cukur”, ”kalau hudud dilaksanakan, nanti tidak ada batu lagi untuk buat jalanraya”, ”kalau Islam memerintah, Malaysia tidak akan maju” dan banyak lagi.

[6]

Padaku, sikap kita terhadap DAP hendaklah wujud sikap sepertimana sikap Nabi SAW terhadap Saidina Umar sebelum beliau memeluk islam.

Kalau Saidina Umar dahulu seorang yang cukup bermusuh dengan Nabi SAW, tetapi setelah memeluk Islam beliau adalah manusia yang cukup menyayangi Nabi SAW. maka, tidak mustahil Allah SWT akan menjadikan DAP sebuah parti yang sangat mematuhi Islam di suatu masa nanti, iaitu jika mereka sudah memahami Islam dalam bentuk yang sebenar.

Yang perlu diingatkan adalah, usaha memecah-belahkan hubungan antara PAS dan DAP memang sering dilakukan oleh UMNO. pada UMNO, pergabungan antara PAS dan DAP merupakan satu isyarat cukup bahaya kepada mereka.

Keadaan ini, mengingatkan aku dengan kata Abang Mat Sabu, ”apabila cina sudah tidak takut kepada PAS, dan Melayu tidak takut kepada DAP, maka tunggulah saat terakhir bagi UMNO”

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
21 Mei 2010 * 12:23 pagi


Rabu, 19 Mei 2010

REFORMASI ke-2 KE ARAH PERKEMBANGAN ISLAM

Satu kenyataan Akhbar oleh ustaz fadhil Noor dalam akhbar Operasi keluaran April 2001
(klik untuk besarkan)

[1]

Pada tahun 1998 dahulu, Anwar Ibrahim telah dipecat dari UMNO; jawatan dan keahlian parti. Ekoran itu, ramai yang bangkit menentang kezaliman Mahathir.

Menentang kezaliman mahathir ketika itu, sama seperti menentang kezaliman UMNO. Mati mahathir, maka matilah UMNO.

Serangan demi serangan dilakukan, sehingga Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara dengan berbagai-bagai tuduhan ciptaan, seperti rasuah dan liwat.

Ketika itu, Ustaz Fadzil Noor mengambil sikap yang cukup efektif, iaitu beliau tidak bersikap jumud sepertimana sebilangan ulama-ulama yang wujud atas muka bumi. Ternyata beliau ulama yang mempunyai ketajaman siyasi, menyebabkan kebijaksanaan itu beliau berjaya menarik ramai anak-anak muda, malahan orang yang allergic dengan PAS, mula mengenal tentang perjuangan islam di Malaysia yang diwadahkan atas nama PAS

[2]

Ketika itu, tidak dinafikan bahawa Anwar Ibrahim sedang diserang hebat dengan berbagai-bagai serangan berbentuk fitnah. Serangan yang paling kuat digunakan adalah, serangan dari sudut moral; iaitu dengan tuduhan bahawa kononnya Anwar Ibrahim telah melakukan seks luar tabi'I, atau dikenali sebagai liwat.

Serangan demi serangan yang dilakukan, menyebabkan Anwar Ibrahim lebih bersikap difensif, berbanding menjadi penyerang dalam melakukan serangan dahsyat terhadap Mahathir dan UMNO. Namun, pengikut-pengikut Anwar Ibrahim masih tidak kehilangan 'ayah', apabila mereka mempunyai seorang mentor yang bernama ustaz Fadzil Noor yang merupakan Presiden PAS ketika itu.

Dengan kebijaksanaan dan ketajaman politik, ustaz fadzil noor tidak bertindak memaksa semua mereka yang frust dan mula benci dengan UMNO agar masuk PAS. sebaliknya, mengambil sikap memberi ruang yang amat terbuka agar Anwar Ibrahim membuka sebuah parti baru, yang kini dikenali sebagai PKR [Parti Keadilan Rakyat].

Dengan tertubuhnya parti KeADILan, menyebabkan hubungan antara PAS dan DAP semakin hampir. Dengan erti-kata lain, kewujudan Parti KeADILan itu, seperti jambatan yang menjadi penghubung antara PAS dengan DAP yang sering dilihat seakan-akan tidak seangkatan, terutama dalam perkara yang bersifat prinsip.

Dengan pergabungan parti-parti anti-UMNO/BN itu, disamping kebijaksanaan politik ustaz fadzil noor, menyebabkan PAS berjaya mengekalkan kekuasaannya di kelantan, menguasai Terengganu, disamping dapat merampas kerusi-kerusi DUN dan Parlimen di negeri-negeri yang boleh dikatakan mustahil PAS diterima.

[3]

Di kala itu, Ustaz Fadzil Noor ternyata mempunyai pemikiran politik yang tajam, dan jiwanya sungguh merdeka, dengan berkali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa bersedia menabalkan Anwar Ibrahim sebagai perdana Menteri Malaysia.

Kenyataan sebegini, menyebabkan makin bertambah ustaz Fadzil noor disayangi oleh rakyat; terutama mereka yang benci UMNO/BN dan sayang kepada Anwar Ibrahim.

Kenyataan Ustaz Fadzil Noor itu, sama seperti Nabi SAW mengeluarkan kenyataan di hadapan bapa saudara nabi, Abbas dengan melantik Abu Sufyan sebagai ketua deligasi makkah yang terselamat apabila Umat Islam masuk ke Makkah.

Kenyataan itu juga, sama seperti strategi Amru bin Al-As yang dilantik menjadi gabenor islam di mesir oleh Umar bin Al-Khattab ketika menjadi Khalifah islam kedua, iaitu dengan menyebut kepada rakyat mesir tentang perkahwinan antara nabi SAW dengan seorang perempuan dari keturunan Mesir, iaitu Mariah Qibtiah, menyebabkan rakyat mesir tidak segan dan silu, malahan berbangga untuk memeluk islam secara beramai-ramai, dengan alasan bahawa mereka merupakan ipar dengan nabi SAW.

[4]

Sedih menimpa selepas kemangkatan Ustaz Fadzil noor. Kebijaksanaan politik seperti ustaz Fadzil noor agak tidak wujud selepas beliau meninggal dunia, menyebabkan isu Negara Islam berjaya dijadikan 'point' utama; yang dijadikan modal musuh untuk melemahkan hubungan antara parti-parti dalam barisan Alternatif [BA] ketika itu.

Serangan balas membalas antara PAS dan DAP semakin menjadi-jadi, disamping sikap beberapa pimpinan PAS yang agak mengenepikan PKR dan DAP di negeri yang diperintah oleh PAS, menyebabkan DAP telah mengambil sikap keluar dari hubungan Barisan Alternatif.

Kenyataan berbentuk 'serang' antara PAS dan DAP juga menjadi-jadi, seperti kenyataan karpal "langkah mayat saya jika mahu laksanakan Negara Islam" dan sebagainya, menyebabkan PAS sendiri sudah lupa dengan kenyataan sebilangan besar pimpinan UMNO yang menghina islam dan Nabi Muhammad SAW.

kenyataan seperti, "nabi SAW berjanggut sebab tidak ada pisau cukur", "kalau laksanakan hudud, pasti tidak ada batu-batu untuk dibuat jalan raya" dan banyak lagi kenyataan yang merosakan aqidah dari pimpinan UMNO dilupakan oleh PAS, ekoran kenyataan Karpal itu. Walhal, istilah Negara Islam adalah satu istilah yang tidak pernah wujud sama sekali di zaman nabi Muhammad, malahan di zaman salaf As-Soleh.

Istilah Negara Islam adalah satu istilah yang diwujudkan oleh Rashid redha, sebagai membalas propaganda yahudi yang berusaha hendak menjatuhkan khalifah islam.

[5]

Dalam islam, sesuatu istilah yang tidak wujud dalam nas, ia tidak perlu dipertahankan. Yang perlu dipertahankan adalah kandungan dan pengisian islam.

Istilah Negara islam adalah sekadar istilah. Sekiranya dengan istilah Negara islam itu, menyebabkan orang takut kepada perlaksanaan islam, maka tidak ada gunanya istilah itu dipertahankan sedemikian rupa.

Ini kerana, kaedah dalam syariah ada menyebut;

الحكم يدور على المسمى , لا على الإسم

Maksudnya;
"hukum itu berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama"

Yang paling penting adalah pengisian. Bentuk pengisian Negara islam adalah, konsep keadilan sejagat, menentang kezaliman, Negara kasih sayang, berkebajikan, persefahaman antara rakyat waima berbeda agama dalam sesebuah negara dan sebagainya, adalah perkara yang amat penting diterapkan dalam sesebuah Negara. Kejayaan penerapan bentuk ini, merupakan kejayaan dalam pembentukan Negara islam pada hakikatnya.

Malahan, jika dikaji kandungan piagam madinah pun, kita akan dapati bahawa konsep sebegini yang diterapkan oleh rasullallah SAW, menyebabkan pembentukan Negara islam pertama di madinah, terlaksana dengan begitu jayanya sekali, sehingga bersambungan sehingga zaman kejatuhan kerajaan osmaniyyah di turki pada tahun 1924.

[6]

Kesedaran ini wujud pada Ustaz fadzil noor. Makanya, dalam satu sessi dialog isu Negara Islam yang diadakan di Kuala Lumpur, yang dihadiri ramai cendekiawan dan bijak-sana muslim dalam Negara; dalam ucapan penutup, ustaz fadzil Noor ada menyebut bahawa jika istilah Negara Islam ini dapat menggerunkan non Muslim daripada menerima usaha PAS kearah pembentukan Negara islam, maka istilah tersebut usah digembar-gemburkan.

Namun, ucapan ustaz Fadzil Noor itu tidak dilihat penting oleh sebilangan besar pimpinan PAS ketika itu, ekoran melihat kekuatan [al-magrur bi nafsih/syok sendiri] PAS memerintah di kelantan dan terengganu, maka istilah itu tetap diratib.

Dokumen Negara Islam pun dibentang. Dokumen itu, tidak lebih sekadar memperlihatkan sebuah Negara kehukuman, tanpa berjaya mengemukakan maqasid syariahnya, seperti konsep keadilan sejagat, menentang kezaliman, kasih sayang dalam hukum dan sebagainya. Non Muslim melihat dokumen itu sebagai satu dokumen penindasan terhadap mereka, tidak sebagai alternative. Ia bukan kerana salah kandungan dokumen, tetapi salah cara mempersembahkan dokumen.

Dikala itu pula, serangan Perdana Menteri baru, Pak lah badawi dengan imej Mr Clean dan islam hadhari, disamping slogan propaganda 'bekerja bersama saya, bukan berkerja untuk saya' mengakhirkan kekalahan teruk pada PAS, sehingga PAS kalah di terengganu, dan banyak kerusi PAS jatuh ke tangan UMNO/BN di kelantan dan di negeri-negeri yang lain.

[7]

Kali ini, sekali lagi serangan terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan keadaan beliau lebih bersifat difensif berbanding menyerang. Disamping itu pula, wujud usaha membeli ADUN dan MP dari parti keadilan semakin menjadi-jadi.

Anwar Ibrahim telah disebukkan dengan berbagai-bagai propaganda ciptaan UMNO/BN, seperti isu agen yahudi dan isu moral, yang ada sebilangan [tidak semua] dari pimpinan PAS dan PKR menerima dan mempercayainya.

Keadaan ini menyebabkan, Pakatan rakyat seperti anak itik kehilangan ibunya. Kelam kabut, kerana tidak ada yang dapat menyambut, sepertimana ustaz fadzil Noor menyambut dalam tahun 1998 dahulu.

Jika keadaan ini terus menimpa, susah hendak dipastikan keputusan PRU akan datang.

Justeru, PAS atau PKR perlu mengkedepankan satu tokoh sepertimana ketokohan ustaz fadzil Noor yang diterima rakyat, tidak kira ia seorang pemimpin politik yang masih muda, ataupun tidak. Muda atau tua bukan alasan, tetapi yang paling penting adalah kematangan politik sehingga berjaya membawa satu gelombang politik bagi menggugat UMNO/BN dalam PRU akan datang.

Pastikan, tokoh yang hendak dikedepankan ini adalah tokoh yang disayangi rakyat, bukan disayangi oleh ahli-ahli sesuatu parti sahaja. Tidak ada gunanya, tokoh yang dikedepankan ini ditaasubkan oleh ahli partinya, tetapi ditolak oleh rakyat secara majority.

Pemimpin yang lembab dan tidak dinamik, tidak wajar dikedepankan. Jika dikedepankan juga, ia tidak lebih sebagai bebanan politik dalam usaha menggugat kemaraan UMNO/BN dalam PRU akan datang.

Keadaan ini perlu dilakukan bermula dari sekarang, kerana ramai pengkaji politik menyatakan bahawa "peluang dalam politik hanya sekali. Apabila terlepas, ia tidak akan tercapai lagi"

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- bandar baru Sungai buloh
19 Mei 2010 * 4:37 petang

Selasa, 18 Mei 2010

ISU : DEWAN PENYOKONG, SELCAT PASIR DAN ISU PERISIKAN

bersahaja, amat layan untuk Timbalan Presiden PAS untuk sessi akan datang

Perkembangan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang akan menjadi sayap parti itu tidak lama lagi akan diteliti terlebih dahulu sebelum ahli-ahlinya diberikan keanggotaan penuh.

"Kita baru bermula dengan apa yang ada pada hari ini. Kita akan tengok keperluan kita pada masa akan depan dan parti akan memikirkan tentang apa yang berlaku pada masa depan.

"Jadi Ketua Pemuda Gerakan (Kedah) perlu sabarlah. Kalau dia nak pun, dia perlu masuk Dewan Himpunan dulu bersama kita, barulah dia boleh bercakap apa yang akan berlaku pada masa depan," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu sidang media hari ini. (baca lagi, sila klik)

Kerana kisah Umar bin Abdul Aziz, penyebab beliau terlibat dalam dunia politik

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam terhadap tuduhan penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), yang mengendalikan perlombongan pasir di negeri itu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Isnin lalu.(baca lagi, sila klik)

sempoi, tapi berani

Polis merakamkan kenyataan wartawan akhbar web PAS Harakahdaily ekoran laporannya berhubung pembabitan agen Israel dalam pasukan polis, seperti didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dzulfikar Mashoor atau nama sebenarnya Zainurfaqar Yaacob dipanggil membantu siasatan ekoran laporannya berjudul 'Asiasoft: Ujian genting bagi Hishammuddin' pada 10 April di laman web parti Islam itu.

Sehingga kini, laporan tersebut masih dimuatkan di Harakahdaily.

Kenyataan Zainurfaqar dirakamkan oleh seorang pegawai berpangkat DSP daripada Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira dua jam bermula pada jam 8.10 malam tadi.

Beliau turut ditemani dua peguam Puspawati Rosman dan Murnie Hidayah Anuar ketika sesi tersebut. (baca lagi, sila klik)


PENGALAMAN SEMASA BELAJAR


[1]

Diperingkat sekolah rendah, aku tidak pernah kenal politik. Namun, ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah agama di masjid dan surau yang berbau politik, cukup aku minati.

Allahyarham Ustaz Dahlan [orang yang mengasaskan masjid subang airport], antara penceramah yang aku minati. Beliau pernah memberikan tazkirah jumaat di masjid beliau, beliau menyebut, "orang pilih ulama, kita pilih mahathir mamak".

Di masjid Bandar baru sungai Buloh, beliau ada kuliah subuh di situ. Boleh dikatakan, setiap kali kuliah subuh, aku tidak pernah tertinggal kuliah beliau.

Dalam kuliah beliau, kritikan beliau terhadap UMNO/BN kadang-kadang tidak bertapis. Namun, aku belum kenal apa itu politik. Sekadar mengetahui bahawa UMNO ini memang jahat, berdasarkan kuliah-kuliah yang sering aku hadiri. Lebih-lebih lagi, ketika itu bapaku seorang ahli UMNO, dan sering memuji Mahathir.

[2]

Setelah meningkat menengah, aku menghafal al-Quran di Institut pendidikan Al-balaghul Mubin, Pasir Mas Kelantan. Di sana, pelajar-pelajarnya selalu mengkeji UMNO dan Mahathir.

"Alhamdulillah syukur nikmat, Mahathir Mampus rakyat selamat", nyanyian sebilangan pelajar-pelajar yang aku dengar.

Aku tidak mengerti lagi tentang keburukan UMNO dan mahathir ketika itu. Makanya, aku mengambil sikap diam.

Setelah itu, aku belajar pula di pondok Lubuk Tapah, pasir mas Kelantan. Tuan guru haji Abdullah bin Abdur rahman, merupakan kawan rapat tuan guru nik Abdul Aziz. Sering juga kelihatan, Tuan guru nik Abdul Aziz hadir ke rumah Tuan Guru haji Abdullah bin Abdur Rahman dalam sessi Ziarah.

Tuan Guru haji Abdullah boleh dikatakan agak 'syadid' dengan UMNO. Sehingga, satu hari selepas selesai pengajian Fiqh, Tuan guru haji Abdullah ada 'merepek' sebab, dijemput menunaikan solat jenazah seorang lelaki UMNO yang beliau tidak diberitahu.

"kalau orang UMNO mati, jangan dok panggil aku jadi tok imam" lebih kurang begitu yang beliau pesankan kepada kami.

[3]

Semasa belajar di Pondok, aku sering hadir ceramah-ceramah politik di sekitar kelantan. Pernah kami anak pondok sampai ke pasir Putih, semata-mata hendak mendengar ceramah politik yang disampaikan oleh ahli-ahli politik PAS di kelantan.

Penceramah yang aku minat ketika itu adalah, Allahyarham ustaz Bunyamin Ya'qub, Ustaz Nasaruddin Daud, Mat Sabu dan Abe Jak.

Aku minat ceramah mereka, kerana cara mereka mengulas isu ada unsure lawak. Dalam lawak itu, terkandung jawapan-jawapan pernah sebagai kritikan mereka terhadap UMNO.

Kuliah Tuan Guru nik Abdul Aziz di dewan Zulkifli, boleh dikatakan tidak pernah aku tinggalkan. Ketika itu, kuliah tok guru masih lagi dilakukan dalam dewan [atas kedai jaafar rawas, tetapi kini dibuat di bawah; di medan ilmu].

[4]

Sejak aku mengenali PAS, aku tidak pernah terasa hendak mengatakan bahawa UMNO ini adalah parti yang baik. Terutama, apabila sejarah reformasi pertama, tahun 1998 meletus, bertambah meluat aku terhadap UMNO semakin menjadi-jadi.

Sebelum aku belajar di Pakistan, aku sudah boleh menyampaikan khutbah. Tetapi, aku dibenarkan berkhutbah hanya sekali, dan tidak diberikan kebenaran selepas itu. Itu semua angkara dalam khutbahku, aku menyampaikan beberapa kritikanku terhadap amalan-amalan kerajaan BN, waima aku tidak menyebut kalimah UMNO/BN sekalipun, malahan sekadar menyebut sifat-sifatnya sahaja.

Lebih-lebih lagi, ketika itu bapaku seorang yang berkeahlian UMNO. Tetapi, alhamdulillah sekarang beliau telah meninggalkan ajaran lama itu, dan menganut PAS. tidak dinafikan, agak payah untuk mengubah bapaku, daripada UMNO kepada PAS. lebih-lebih lagi, beliau sering mengungkap beberapa ucapan Mahathir seperti, "islam kalau memerintah, Negara tidak boleh maju".

Aku agak berentap dengan bapaku, apabila kalimah itu diungkap oleh bapaku. Mak aku terkejut melihat aku berentap sedemikian rupa, ini kerana sampai kedua-dua belah pihak menepuk meja. Mengenangkan perkara ini adalah perkara yang berkait dengan aqidah, aku berentap dengan bapanya sehingga menangis. Dan aku bersyukur, kerana bapaku akur dengan hujjahku, dan seterusnya meninggalkan ajaran UMNO yang sesat itu.

[5]

Aku mula belayar ke Pakistan, menuntut di sana. Sebelum aku belayar, aku pernah terlibat dengan tabligh. Keluar 3 hari, 40 hari dan 4 bulan menjadi kebiasaanku.

Kebiasaan bagi sahabat-sahabat dalam tabligh, mereka mahu mengikut nabi SAW dalam banyak perkara, makanya aku berambut panjang kerana mengetahui bahawa rasulullah SAW berambut panjang.

Waima aku ikut tabligh, tetapi aku adalah anak muda yang berkeahlian PAS. setelah berangkat ke Pakistan, aku meninggalkan dunia tabligh, terutama ketika bersama rakan-rakan yang berjiwa PAS.

Pernah aku ditegur oleh salah seorang guruku, maulana Abdul Syukur disebabkan aku memotong rambut pendek dalam bentuk yang tidak sunnah. Maulana Abdul Syukur sebut, "kalau nak potong rambut, jangan potong sini sikit, sana sikit. Ini budaya jahiliyyah. Cara islam, kalau nak potong, potong semua. Kalau tak nak potong, biarkan panjang semua" lebih kurang begitu pesanannya.

Aku mengangguk dengan pesanan Maulana Abdur Syukur itu. Ketika itu, aku tidak mengikut tabligh lagi.

Namun, sebelum pulang, aku sempat ikut tabligh di Pakistan, di Faisal Abad. Di situ, aku mula berambut panjang balik. Aku berambut panjang, kerana mengetahui bahawa Nabi SAW berambut panjang.

[6]

Semasa di mesir, aku berada di dua tempat, iaitu di damanhur dan di Kaherah. Semasa di damanhur, ramai menuduh aku sebagai budak wahabi, mungkin kerana aku jarang menghadiri majlis tahlil arwah dan kesyukuran.

Aku tidak hadir itu, kerana beberapa factor. Antaranya adalah, kerana aku seorang yang malas untuk hadir dalam majlis keramaian sebegitu. Jadinya, aku menggunakan hujjah 'bidaah' untuk memberi alasan.

Semasa di kaherah pula, aku tidak duduk serumah dengan pelajar Malaysia seperti menjadi kebiasaan pelajar Malaysia di Mesir. Aku tinggal bersama dua orang kawan dari Indonesia, dan seorang kawan dari Palestine.

Dua orang Indonesia itu adalah, Dodi dan Ikhwan, dan kawan dari Palestine itu bernama Ayyad.

Ayyad ketika itu baru tahun 3, tetapi kupasan hukum apabila ditanya, cukup ilmiyyah sekali. Malahan, kupasan dia itu menjadi notaku.

Di kaherah, pelajar melayu yang menjadi kawan rapatku adalah seorang kawan yang didakwa dia berpartikan UMNO. Aku tidak pasti kebenaran dakwaan itu, tetapi aku tetap berkawan dengannya.

Mungkin juga dia UMNO, ini kerana beliau sering memuji UMNO. Tetapi, apabila beliau memuji UMNO, pasti aku akan kritik balik pujiannya itu.

Pernah suatu hari, aku dimaklumkan oleh seseorang bahawa ada seorang pemimpin PMRAM menuduh bahawa Aku adalah UMNO. Aku cukup berang dengan tuduhan itu. Padaku, menuduhku UMNO, sama seperti menuduhku seperti hindu.

Aku terus membawa sijil keahlian PASku dan terus berjumpa dengan pemimpin tersebut. Aku tanya dia, "awak sudah jadi ahli PAS ke belum?"

Dia terkejut, tetapi tidak menjawab. Aku terus membuka beg aku, dan aku tunjukkan sijil keahlian PASku itu.

"awak jangan dok tuduh saya UMNO tau, saya benci UMNO" ujarku kepadanya.

Aku yakin, aku dituduh UMNO kerana berkawan dengan budak yang didakwa UMNO itu. Tetapi, aku bersyukur kerana budak yang didakwa UMNO itu sudah meninggalkan UMNO, malahan sekarang, jika bertemu dan bersembang dengan beliau, berkali-kali beliau maki UMNO.

[7]

Semasa di kaherah, aku sering berulang alik ke zahran. Di sana ada seorang syaikh yang pakar dalam bidang ilmu hadis. Namanya, Syaikh Usamah Al-Qusi. Di sana, aku dapat kawan ramai dari bangsa turki dan Tajikistan.

Mendengar pengajian hadis yang disampaikan oleh Syaikh. Aku mula berasa hendak berambut panjang. Maka aku mula berambut panjang semula.

Ada sebilangan kawanku yang berbangsa turki ini, berambut panjang juga. Tetapi, ketika lepak dikedai, beliau hisap rokok.

Aku pernah sound kawanku itu, aku berkata, "Asyqarbaiq, kamu ikut sunnah, tapi rokok ini ada dalam sunnah ke?" ujarku dalam bahasa arab.

Dia ketawa bila aku menyatakan demikian. Aku tidak mengetahui, apakah dia berhenti rokok selepas itu atau tidak, tetapi aku bersyukur kepada Allah, kebanyakkan kawan-kawanku yang pernah hisap rokok berhenti dari merokok. Dan aku sendiri bersyukur bahawa Allah SWT mendetikkan dalam diriku, tidak ada perasaan dan kehendak langsung untuk menghisap rokok.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Bandar Baru Sungai buloh
18 Mei 2010 * 3:11 Petang