Sabtu, 4 September 2010

PLAN PERLAKSANAAN HUDUD DI MALAYSIA

PERTAMA:

hapuskan UMNO, kerana UMNO penghalang ruangan dakwah di Malaysia. Apabila UMNO mati, ruang demokrasi sudah terbuka. PAS boleh menggunakan media awam, seperti RTM, TV 3 dan Astro untuk menerangkan hudud kepada rakyat. PAS boleh menawarkan kritikan terhadap hudud dari pihak parti yang tidak bersetuju dengan hudud, sama ada DAP atau UMNO. Ketika itu, PAS boleh menjawab hujjah-hujjah keraguan dari pihak parti lain dalam media perdana itu.

Semua ini akan dibuat dalam tayangan terbuka, yang boleh dilihat dalam TV oleh semua rakyat malaysia. ketika itu, rakyat akan menilai.

KEDUA:

ketika rakyat sudah faham, kita menyerahkannya kepada rakyat. Rakyat yang sudah faham hudud, mustahil majoriti mereka masih lagi menolak, kerana hudud adalah hukum Allah. Hukum Allah pasti indah jika difahami. Malahan tidak mustahil, mereka akan bersatu secara majoriti mendesak agar kerajaan melaksanakan hudud.

KETIGA:

setelah rakyat mendesak, DAP terpaksa akur dengan keputusan rakyat. kerana, parti mereka pun bernama "demokrasi Action party". Justeru, mereka terpaksa akur dengan keputusan rakyat.

sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
5 September 2010 * 3:15 Pagi

NABI TAK TOLAK KUNJUNGAN YAHUDI & NASRANI DALAM MASJID - MUFTI SELANGOR




[KLIK UNTUK BESARKAN]

BOLEH BAGI ZAKAT KEPADA IBU BAPA YANG MISKIN - FATWA IBNU TAIMIYYAH

setengah ulama memandang tidak boleh seseorang itu memberi zakat kepada ibu bapanya. alasan mereka adalah, ibu bapa adalah sebahagian daripadanya [tanggungjawab yang wajib ditunaikan]. Adapun Imam Ibnu Taimiyyah pula berpendapat bahawa seseorang itu boleh memberi zakat kepada ibu bapa yang fakir, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kedua ibu bapanya [mungkin faktor terlalu miskin. Kewangannya hanya mampu untuk anak isterinya sahaja]

Dr Yusuf Al-Qaradhawi memberi penerangan seperti berikut;

pertama;

Ijmak ulama menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh memberi zakat kepada isteri. Ini kerana, seseorang isteri itu, sebahagian dari suaminya.

firman Allah;

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجاً

maksudnya;
"daripada tanda-tanda-Nya, bahawa diciptakan untuk kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan [isteri]"

Isteri itu adalah sebagian dari suami. rumah suami adalah rumah isteri juga.

firman Allah;

إذا طلقتم النساء فطلقوهن لعدتهن وأحصوا العدة واتقوا الله ربكم لا تخرجوهن من بيوتهن

maksudnya;
"Apabila kamu talaq akan perempuan, maka talaqlah mereka dalam iddah mereka. dan hendaklah kamu hitung iddah. Takutlah kamu kepada Allah yang merupakan tuhan kamu. Jangan kamu keluarkan mereka dari rumah mereka [perempuan]"

dari ayat ini, menyebut bahawa rumah suami adalah rumah isteri. dengan maksud, harta suami adalah harta isteri juga. ekoran itu, tidak boleh memberi zakat kepada isteri, kerana jika diberikan juga, seperti memberi kepada dirinya sendiri.

kedua;

tidak boleh memberi zakat kepada anak-anaknya, kerana mereka adalah sebahagian daripadanya.

nabi SAW bersabda;

أولادكم من كسبكم

maksudnya;
"Anak-anak kamu daripada usaha kamu"

ketiga;

tidak boleh seseorang itu memberikan zakat kepada ibu bapanya, kerana mereka adalah sebahagian daripadanya. Adapun Fatwa Ibnu Taimiyyah pula, beliau mengharuskan seseorang anak memberikan zakat kepada ibu atau bapanya. Keizinan itu, sekiranya kedua-duanya terlalu miskin sehingga dia tidak mampu untuk menanggung nafkah untuk ibu bapanya.

keempat:

Adapun adik beradik yang miskin, apakah boleh diberikan zakat kepada mereka? Ia adalah perkara yang diperselisihkan oleh ulama. pendapat yang sahih yang telah dirajihkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi adalah, harus seseorang itu memberi zakat kepada adik beradiknya yang miskin berdasarkan umum nas.

Adapun kepada adik beradik yang kaya, maka tidak boleh diberikan zakat kepada mereka.

sabda nabi SAW;

لا تحل الصدقة لغني

maksudnya;
"Tidak halal sedekah kepada orang kaya"

bahkan banyak hadis-hadis menyebut bahawa zakat itu diambil dari orang kaya, lalu diberikan kepada orang miskin.

kelima:

kepada bapa saudara sebelah ibu atau bapa, ipar, sepupu dan sebagainya, semua itu boleh diberikan zakat kepada mereka, tanpa ada pertikaian lagi.

sekian

p/s : Ringkasan dari Islamonline.

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
4 September 2010 * 6:38 petang


Jumaat, 3 September 2010

Ahli Akademik Dakwa Candi Borobudur Dibina oleh Jin Nabi Sulaiman

JAKARTA: Sebuah kumpulan diketuai seorang ahli akademik dari sebuah universiti Islam di Indonesia mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan Candi Borobudur di Jawa Tengah milik masyarakat Islam.

Portal berita Kompasiana.com melaporkan penyelidik dari Institut Kajian Sejarah Purba dan Islam diketuai Fahmi Basya, pensyarah Matematik Islam Universiti Islam Syarif Hidayatullah di Jakarta, mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh bahawa kuil Buddha terbabit dibina tentera jin Solomon (Nabi Sulaiman).

Solomon menurut Injil adalah raja Israel yang juga Nabi Sulaiman mengikut al-Quran. Berdasarkan artikel terbabit, penyelidik mengaitkan Borobudur dengan Kraton Ratu Boko berhampiran kuil Hindu Prambanan di Jawa Tengah dengan mendakwa Boko adalah nama lain bagi Ratu Balqis, isteri Sulaiman.

Alasan lain digunakan penyelidik untuk mengaitkan Borobudur dengan Islam ialah kaitan namanya.

Asal nama Slemen, sebuah bandar di Yogyakarta adalah daripada perkataan Sulaiman manakala Jawa berasal dari perkataan Jew (Yahudi).

Fahmi juga mendakwa Sulaiman adalah satu-satunya nama Nabi yang mengandungi suku kata Su yang kemudian digunakan kebanyakan pemimpin negara itu yang mempunyai nama seperti Sukarno, Suharto dan Susilo. Ahli sejarah, JJ Rijal memberitahu Jakarta Globe bahawa dakwaan Fahmi itu mungkin boleh dikategorikan sebagai sejarah ideologi.

Sejarah ideologi ada dalam banyak bentuk. Misalnya di Indonesia, penyelidik yang mengikuti ideologi itu percaya bahawa Islam adalah darah, yang memacu semua perkara besar di negara ini, kata Rijal. Agensi

sumber : berita hairan

PENERANGAN DINAR DAN DIRHAM KELANTAN : KENAPA DILIHAT TOK GURU DAN HUSAM SAHAJA?



[1]

Dinar dan Dirham yang dikemukakan oleh kelantan adalah perkara yang amat penting. Ia bukan sekadar melibatkan imej Islam di Malaysia, malahan di Dunia. Di kala Dunia sedang dispekulasikan tentang matawang, tiba-tiba kerajaan negeri kelantan sedang melakukan satu keberanian dengan mengemukakan dinar dan dirham syariah.

Dinar dan dirham yang dikemukakan oleh Kelantan bukan sebagai matawang sebagai ganti kepada Ringgit Malaysia, tetapi ia sebagai kegunaan alternatif dalam urusan jual beli. Berjual beli di Kelantan, boleh menggunakan dinar dan dirham, dan jika tidak mahu, tidak ada salahnya menggunakan wang ringgit Malaysia seperti biasa diamalkan.

Sesuatu barang yang berharga RM15, lalu digunakan 1 dirham [perak] yang berharga RM 13, maka ketika urusniasa berlaku, peniaga boleh memberi baki dengan RM2 dari matawang ringgit Malaysia. ia tidak menjadi sebarang masalah. Keadaannya sama [contoh] seperti kita seorang pembeli membeli seekor ayam yang berharga RM13, lalu pembeli itu membayar menggunakan seekor itik dengan harga RM15, lalu dibayar baki oleh penjual kepada pembeli sebanyak RM2.

[2]

Wang kertas hanya sekadar kertas, tetapi tidak mempunyai nilai. Nilai sesuatu wang kertas terletak pada 'cakap-cakap' bank negara [aka dunia] sahaja. Kalau bank dunia kata ada nilai, maka ia bernilai. jika bank dunia kata tidak ada nilai, maka ia pun tidak ada nilai.

keadaan ini berbeda dengan Dinar dan Dirham. tanpa pengiktirafan dari pihak bank pun, dirham dan dirham tetap mempunyai nilai. Ini kerana, nilai yang wujud pada dinar dan dirham, wujud pada ain dinar dan dirham itu, tidak sepertimana wang kertas. jika ada pihak bank menafikan kewujudan nilai yang wujud pada dinar dan dirham, sebagai manusia yang sihat pemikiran, tidak ada salahnya kita mengatakan bank tersebut sebagai 'gila' tahap gaban.

[3]

Seseorang yang koyak duit kertas, lalu diberikan kepada kita. pasti kita akan menolak, dan tidak mahu menerimanya. Alasannya, duit itu sudah tidak bernilai lagi. keadaan ini berbeda dengan dinar dan dirham. walau di potong dua, ia tetap mempunyai nilai. kalau satu dirham yang mempunyai nilai RM13, lalu dikerat atau dipotong dua, nilainya tetap wujud, iaitu RM 6.50.

Justeru, inilah kelebihan Dinar dan Dirham berbanding mata wang kertas. Kelantan sudah memulakan usaha ini. ia bukan sebagai matawang ganti kepada Ringgit Malaysia, tetapi ia sebagai kegunaan tambahan dalam urusan jual beli.

[4]

usaha ini sudah berhasil di kelantan, tetapi sedihnya kenapa Dato' Paduka Husam Musa sahaja yang nampak serius memberi penerangan tentang Dinar dan Dirham ini kepada rakyat kelantan dan rakyat di luar kelantan, disamping Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat sebagai menteri besar Kelantan juga bercakap perkara ini. kemana perginya exco-exco atau YB-YB yang lain? Dinar dan Dirham adalah isu kekuatan umat Islam, bukan sekadar isu kelantan atau isu politik kepartian.



Mungkin faktor kurang membaca dan mengkaji, penyebab ia tidak diseriuskan oleh exco-exco dan YB-YB yang lain? Ingatlah, Dinar dan dirham adalah perkara penting dalam menentukan kekuatan umat Islam. Jika tidak serius dengan Dinar dan Dirham, samalah seperti tidak serius dengan kekuatan umat Islam.

sekian

Al-bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
4 september 2010 * 2:36 petang


JANGAN LUPA APCO



[klik untuk besarkan]

Rabu, 1 September 2010

'KEMPEN SELAMATKAN MALAYSIA' GAGAL?


[Klik gambar untuk besarkan]

[1]

Propaganda adalah bahasa latin. Berasal dari kalimah propagare yang bererti mengembangkan atau memekarkan. Antara tujuan utama Propaganda adalah untuk melahirkan kepercayaan manusia terhadap sesuatu pembawaan, sama ada untuk mencipta gambaran buruk musuh, atau mencipta gambaran baik di pihak kita. Target groupnya adalah, penyokong yang memberi kemenangan [nisbah kepada politik kepartian]

Dalam propaganda, ia mempunyai dua mazhab. pertama, Mazhab Rasional. Kedua, mazhab Emosional. Gambar adalah satu satu cara untuk menimbulkan persepsi dari aliran mazhab emosional.

Dalam 'ilmu persepsi', yang merupakan ilmu terpenting dalam propaganda. perbincangan gambar ini dibawah perdebatan "cerapan gambar". Cerapan gambar ini, merupakan salah satu cara untuk membangunkan persepsi [ia bukan perkara induk, ia sebagai pembantu sahaja] terhadap sesuatu kempen.

kejayaan sesuatu cerapan gambar adalah, ia tidak mempunyai double perspektif. Jika wujud double Perspektif, ia adalah 'cerapan gambar' [atau propaganda] yang gagal.

[2]

Sekali lihat pada gambar di atas, ia melahirkan dua tiga malahan empat tafsiran. Iaitu, pertama, Pemuda PAS pusat minta derma, untuk menjayakan agenda selamatkan malaysia. kedua, malaysia bakal menjadi miskin jika UMNO terus memerintah, dan pemuda PAS membuktikan bahawa PAS berjaya memberikan alternatif penyelamat. tafsiran kedua ini terlahir setelah difikir secara mendalam.

sebenarnya, banyak tafsiran yang boleh dikemukakan, tetapi cukup dua tafsiran sahaja dikemukakan dalam tulisan ini. Apabila didapati banyak tafsiran atau pandangan pertama pada gambar tidak menjuruskan kepada fokus yang dikehendaki, ia menunjukkan 'cerapan gambar' ini sudah gagal. ia boleh disifatkan sebagai 'double perspektif'.

sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
1 september 2010 * 5:08 petang

BERTAZKIRAH DI HADAPAN MASYARAKAT HINDU

[1]

Haji tarmizi, selaku Naib YDP PAS kota raja merangkap penasihat DHPP Kota Raja memaklumkan program iftar dengan DHPP kota raja seperti yang dilakukan pada tahun lepas akan diadakan dalam bulan ramadhan pada tahun ini. Aku hanya mampu menggalakkan sahaja, disamping dari sudut hati kecil kagum dengan kesungguhan Pas Kota Raja atas kesungguhan mereka mengadakan program memperkenalkan keadilan Islam kepada masyarakat yang tidak beragama Islam.

Haji tarmizi minta agar aku dapat hadir sebagai pentazkirah, makanya aku bersetuju, waima tarikh belum ditetapkan lagi.

Tidak lama kemudian, PAS kota raja menetapkan tarikh program tersebut, dan aku dihubungi oleh Abang Sayed Malik untuk 'confirm' kehadiran. Aku menerima jemputan itu, dan bersedia untuk hadir untuk memberi komitmen sekadar yang mampu.

[2]

Jadual yang ditetapkan sudah hampir. aku tidak menyiapkan sebarang persediaan pun. Di kala itu, sebuk dengan dua isu menarik, iaitu isu doa hidayah terhadap Lim Guan Eng, dan isu YB Teo masuk ke dalam masjid.

Sedang asyik 'follow' isu yang dimainkan UMNO sehingga memperlihatkan kebodohan UMNO, sampai satu SMS dari abang sayed Malik untuk 'confirm' sekali lagi atas kehadiran, disamping dicadangkan beberapa point penting yang wajar disentuh dalam program tazkirah iftor ramadhan bersama masyarakat yang tidak beragama Islam itu.

Antara yang diminta diulas dan dikupas adalah, asal usul manusia daripada adam dan hawa, maqasid syariah, isu doa lim Guan Eng dan sebagainya. Aku terfikir beberapa kisah termaktub dalam Al-Quran, setelah membaca isu-isu yang diulas.

[3]

pada hari yang dijadualkan, aku masih sebuk menyiapkan buku karya tok guru nik abdul aziz yang bertajuk "jangan tinggalkan isterimu", yang dikutip dari hasil kuliah tafsir Tok Guru di dewan zulkifli dari surah at talaq.

Sedang pemikiranku terfokus, terdengar satu tone SMS berbunyi. Apabila di buka, termaktub
"program hari ini, pukul 5.30 petang, jangan lupa" dari Abang Sayed Abdul Malik. Aku hanya membalas, "ok, insya Allah" sahaja.

Aku menyambung kerjaku itu sehingga jam didinding menunjuk pukul 4.15 petang. Setelah itu, aku mula membuka balik SMS yang terkandung permintaan isu-isu yang akan ulas dan kupas nanti.

Aku terus membuka beberapa buah kitab tafsir, seperti Ibnu kathir dan tafsir kabir. Imam fakhrurrazi. Dan aku catit beberapa point penting untuk dikupas, seperti ayat pertama dari surah an-nisa, ayat ke 13 dari surah al hujurat, ayat ke 58 surah an nisa'. di chek balik segala asbab an nuzul ayat itu, dan beberapa kisah menarik untuk dilontarkan dalam program.

Setelah itu, Aku terus bersiap-siap untuk menunggu azan asar, dan bertekad selesai solat bahawa aku terus bertolak ke klang untuk menghadiri majlis yang telah dijadualkan.

[4]

Aku sampai agak awal. justeru tidak terus ke tempat program. Aku berhentikan keretaku di bawah redupan bayang-bayang pokok kelapa. Membelek mashaf al-quran, meneliti ayat-ayat dari surah an nisa, dan bertadabbur.

ayat satu dari surah an Nisa, dinyatakan satu sentuhan yang cukup menyentuh jiwa. Di suruh semua manusia supaya bertaqwa, walhal ikut logiknya, berapa ramai orang yang sudah beriman pun tidak memahami apa itu taqwa.

Aku merenung tajam ke arah lambaian pelepah pokok kelapa. Terlintas di fikiranku, hikmah dan metafora yang mahu Allah maksudkan dengan panggilan "wahai manusia", bukan panggilan "wahai orang beriman", supaya mereka bertaqwa kepada Allah menerusi ayat dari surah "perempuan" itu.

Wah. Hebatnya sentuhan Allah menerusi ayat ini. Mahu diceritakan soal manusia yang bermula dari adam, kemudiannya hawa dan seterusnya beranak pinak, tetapi diulang-ulang pesanan agar tidak lupa, agar manusia sentiasa bertaqwa. Ia seperti isyarat dari Allah, bahawa golongan perkauman pasti akan wujud dari kalangan manusia, sama perkauman itu atas nama melayu, atas nama india, atas nama cina, dan sebagainya. Atas dasar perkauman itu, manusia sanggup menindas antara satu dengan yang lain.

"ayat ini perlu aku kupas dalam tazkirah nanti" hati kecilku berbisikan.

Dibelek pula ayat ke 58 dari surah yang sama, terlintas dalam benak kecilku tentang kisah sang penjaga kunci kaabah yang bernama Osman bin Talhah bin Abd ad-dar. Ayat yang menerangkan pemberian amanah kepada yang berhak, sebenarnya dibawah maksud keadilan Islam, waima pemberian hak itu kepada non Muslim sekalipun. Ia bukti keadilan Islam, bahawa tidak ada penafian hak dalam Islam. Jika difatwakan boleh, wajib diketahui bahawa ia dari mufti yang mengutip ufti dari pembesar-pembesar berasobiyyahkan melayu.

Selanjutnya lagi, surah al hujurat ayat ke 13 menjadi renungan. Kisah Bilal bin rabah dihina oleh orang-orang Islam yang bertopeng [munafiqin] melakukan penghinaan terhadap sahabat Nabi yang berkulit hitam, lalu dicerca tindakan mereka dengan penurunan firman-Nya.

[5]

Jam menunjuk pukul 5:30 petang. Aku terus bergegas ke tempat program. Sebuah dewan orang ramai yang berada bersebelahan sebuah surau.

Aku tidak terus ke dewan, sebaliknya ke surau untuk berwudu. Setelah berwudu, baru aku menuju ke dewan. Aku terus mengambil tempat dihadapan hadirin, kerana di arahkan begitu.

ucapan awal disampaikan oleh pengerusi majlis, kemudian diikut Naib YDP, merangkap penasihat DHPP Kota Raja, dan YDP PAS Kota Raja. Sebelum sampai giliranku, Wakil MP Kota Raja juga menyampaikan sedikit amanat. Ucapan dari keempat-empat tokoh itu, mengambil masa hampir setengah jam lebih.

Terakhirnya adalah ucapan dari Ketua DHPP Kota Raja, merangkap Setiausaha DHPP Pusat. Ucapan yang disampaikan bercampur antara bahasa tamil dan melayu. Dalam bahasa melayu, bolehlah difahami. tetapi dalam bahasa Tamil, kita turut sama gelak apabila melihat hadirin berbangsa india gelak, walau kami tidak faham apa yang diperkatakan.

Setelah ucapan dari ketua DHPP Kota Raja, aku terkejut apabila pengerusi majlis, seorang yang berbangsa melayu tulin menyebut tentang apa yang diperkatakan oleh ketua DHPP itu.

"wah... dia faham tamil" bisik hatiku kagum.

[6]

sampai giliranku menyampaikan tazkirah di hadapan hadirin yang bercampur antara muslim dan tidak muslim. yang muslim, agak senang untuk menyampaikan tazkirah, kerana ia adalah satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan. jika dibaca sebarang ayat Al-Quran dan hadis pun, ia tidak menjadi satu perkara yang janggal.

Namun, bertazkirah tentang islam dihadapan non Muslim, agak susah sedikit. ada perkara yang kadangkala diterangkan dalam bahasa yang tidak boleh melahirkan persepsi buruk kepada islam itu sendiri.

kupasanku bermula dari kisah yang berlaku di zaman nabi yang mempunyai kaitan rapat dengan dua ayat Al-Quran, iaitu surah An-nisa' ayat pertama dan surah Al-hujurat ayat ke 13. gambaran perjuangan nabi SAW yang membela hak manusia yang ditindas, menyebabkan nabi SAW mendapat tentangan dari pihak penindas.

Diungkapkan juga kemurkaan Allah terhadap orang-orang munafiq yang memperlekeh Bilal bin rabah ekoran kulitnya yang berwarna hitam, menerusi kisah asbab An-Nuzul dari ayat 13 surah Al-hujurat. Dinyatakan, Islam mengharamkan penafian hak atas alasan warna kulit dan bangsa, malahan islam menilai semua manusia itu sama kecuali mereka yang melakukan kebaikan [taqwa].

[7]

dikupas juga isu yang sedang hangat dibincangkan. Antaranya adalah doa hidayah terhadap Lim Guan Eng, dan juga isu YB Teo dari parti DAP yang menziarahi salah sebuah surau di dalam parlimennya.

dikemukakan beberapa kisah yang berkaitan, dan dinyatakan konsep pemahaman islam mengikut aturan nabi muhammad SAW, yang jauh berbeda dengan konsep Islam yang dibawa oleh UMNO.

"Islam nabi jangan disamakan dengan Islam melayu" ujarku dalam ucapan yang sengaja aku ulang-ulangkan agar non muslim faham, bahawa segala kecelaruan yang dilihat negatif pada Islam yang berlaku di malaysia kebelakangan ini adalah mainan politik UMNO.

di akhir kata, aku menyebut, "Orang bukan islam tidak perlu takut dengan islam, kerana islam adalah agama yang memberi keselamatan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja, tidak kira kepada muslim atau kepada non Muslim. Jika ada orang islam yang bertindak menindas orang bukan islam atas nama islam, fahamilah itu adalah islam melayu, bukan islam cara nabi muhammad SAW"

Akhir ucapanku disambut dengan tepukan dari hadirin.

[8]

setelah majlis memberi bantuan kepada yang memerlukan dilakukan, kami semua bersiap-siap untuk duduk dihidangan santapan berbuka. sedang duduk, abang Razif menyebut kepada salah seorang lelaki india beragama hindu untuk bertanya kepadaku tentang banyak kemusykilan tentang islam yang pernah dilontarkan kepada pihak PAS kawasan sebelum ini.

Lelaki india itu pun duduk ditepiku, dan berceloteh. Aku hanya mendengar sahaja celotehnya itu.

"Saya sangat suka sama PAS, sebab PAS perjuangkan islam. Saya tengok, Nabi Muhammad boleh jadi PM di madinah, tapi orang islam hanya 30 persen saja. lagi 70 persen rakyat madinah bukan beragama islam. Itu nabi Muhammad boleh bina itu kerajaan itu macam, bermakna itu Islam banyak bagus la" ujarnya menyebabkan aku kagum.

Banyak lagi celotehnya tentang islam yang aku dengar. antara yang menyebabkan aku terkejut, dia sebut, "Saya punya abang sudah masuk islam. Namanya sudah tukar. namanya, Abdul Malik bin Abdullah"

Aku terkejut mendengar apa yang dia sebutkan itu. Timbul dalam pemikiranku secara spontan, apakah dia masuk islam itu memangnya dia faham islam, ataupun mungkin faktor mahu berkahwin dengan orang melayu. Kalau dilontar soalan sebegitu, agak kurang tepat, tetapi aku melontarkan soalan dalam bentuk yang lain sikit.

"Dia punya Isteri orang melayu ker?" soalku.

"Tidak.. Isterinya india juga, tapi mamak" jawabnya ringkas.

fahamlah aku, abangnya masuk islam bukan kerana faktor perkahwinan, tetapi faktor kefahamannya terhadap islam.

"You pula bila mau masuk islam" soalku lagi.

"eh.. hidayah belum sampai lagi" ujarnya ringkas menyebabkan aku ketawa kecil.

[9]

kemudian datang YDP, Timbalan YDP, Naib YDP, Wakil MP Kota Raja, Ketua DHPP KOta raja duduk semeja dengan kami menunggu azan kemunandang untuk berbuka puasa. Tidak lama kemudian azan berkumandang, dan kami berbuka puasa bersama-sama.

"orang hindu pun tunggu azan maghrib untuk makan.." hatiku berbisikan.

sekian

baca sama:
tazkirah ust OneG memukau ahli DHPP [Dr Mariah mahmood]

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- sri Indah [b] Sg Buloh
1 september 2010 * 4:32 petang

Selasa, 31 Ogos 2010

SALAHKAH ORANG BUKAN ISLAM BAGI 'TAZKIRAH' [2]

[1]

Dalam Al-Quran, dinyatakan bentuk orang bukan Islam ini, iaitu, seperti difirman Allah SWT dari surah Al-mumtahanah, ayat ke 8;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil"

Dalam ayat ini, Allah SWT tidak melarang sesuatu kebaikan dan keadilan yang hendak dilakukan terhadap orang bukan islam yang tidak memerangi agama Islam dan umatnya. Golongan ini, diistilah dalam fiqh sebagai "Kafir Zimmi"

Ada satu lagi, adalah orang bukan Islam yang melawan islam. mereka melawan islam dengan beberapa factor, antara adalah;

Pertama, kerana kejahilan mereka terhadap islam. kedua, kerana kebencian mereka terhadap Islam, waima telah diterangkan kepada mereka bentuk-bentuk islam dari bentuk yang betul.

Ada pula, factor kebencian orang bukan islam terhadap Islam adalah disebabkan orang islam yang menerangkan islam kepada mereka tidak pandai memberi penerangan yang berkesan, malahan cara penerangan yang dilakukan melahirkan bertambah kebencian mereka terhadap islam. dan ada pula, mereka membenci islam itu, disebabkan provokasi dari pihak musuh islam, sama ada dari orang bukan islam, ataupun dari pihak orang yang bertopengkan islam.

Tidak dinafikan juga, wujud orang bukan islam yang membenci islam berpunca dari sikap dan tindakan yang dilakukan oleh orang islam sendiri. Islam digambarkan seperti agama kaum tertentu [macam UMNO sedang lakukan], atau tindakan orang islam tertentu seperti memperlihatkan seperti islam agama yang mendiskriminasi manusia yang tidak beragama islam [seperti UMNO sedang lakukan], walhal islam tidak sebegitu.

Apabila keadaan ini berlaku, kesalahan itu tidak boleh diletakan kepada orang bukan islam yang membenci islam, tetapi kesalahan itu hendaklah diletakkan kepada orang islam yang tidak pandai, atau bertindak dan bersikap sehingga melahirkan pandangan Islam dalam bentuk yang cukup buruk.

Adapun orang bukan islam yang sudah diterangkan konsep keadilan islam yang sebenar. Penerangan yang dilakukan pula, penuh seribu satu kebijaksanaan, tetapi tetap juga mahu memusuhi islam, dan berusaha menyerang islam, maka mereka ini adalah golongan tidak islam yang digelar sebagai "Harbi".

Dalam bahasa arab, "Harb" diterjemah sebagai perang. Dengan maksud, kalimah "harbi" memberi maksud menyerang. Orang bukan islam yang memusuhi Islam disebut sebagai "Kafir Harbi". Bagaimana pula kalau wujud orang islam yang menyerang Islam, seperti UMNO? Mungkin istilah yang paling tepat adalah, melayu Harbi?

[2]

Secara gambaran umumnya, kita dapati bahawa orang bukan islam itu terbahagi kepada dua, iaitu menyerang islam [zimmi] dan tidak menyerang islam [harbi].

Bagi orang bukan islam yang tidak menyerang islam [zimmi], tidak dilarang kepada mereka masuk ke masjid kecuali masjid Al-haram.

Larangan mereka masuk ke dalam masjid haram adalah firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
"Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

[Surah At-taubah : 28]

Adapun mereka hendak masuk ke dalam masjid selain masjidil haram, maka itu dibenarkan berdasarkan banyak hadis-hadis. Antaranya adalah hadis Sumamah bin Usal yang telah diikat dalam masjid, yang ketika itu dia belum lagi beragama Islam. [Al-Bukhari : 442]

Adapun orang bukan Islam yang menyerang islam [harbi], adalah dilarang sama sekali kepada mereka masuk ke dalam masjid. Sama ada masjid itu adalah masjidil haram, ataupun masjid selain masjidil haram. Dalil larangan ini, dirujuk kepada larangan umum dari firman Allah dari surah At-taubah, ayat 28 di atas. Pendapat inilah yang didokong oleh Imam malik, Umar bin Abdul Aziz dan lainnya. [ada pihak menggunakan larangan umum ini, diletakkan kepada tempat yang khusus. Ini merupakan satu kesalahan dalam menukilkan pendapat ulama mazhab, kerana setiap mazhab itu ada disiplin istinbat mereka tersendiri].

[3]

Tazkirah diterjemah sebagai 'memberi peringatan'. Memberi peringatan ini, sama ada dalam perkara agama, ataupun dalam perkara yang tidak berkait dengan agama.

Orang bukan islam yang mahu memberi pesanan kebaikan, dari segi logic pun ia terpaksa diterima, waima ia berkait dengan perkara agama [seperti orang kafir sindir orang Islam yang tak solat, supaya menunaikan solat]

Umar bin Al-Khattab pernah berkata;

يا أيها الناس! تمسكوا بديوان شعركم في جاهليتكم؛ فإن فيه تفسير كتابكم

Maksudnya;
"Wahai manusia, berpeganglah dengan diwan syair-syair kamu semasa jahiliyyah kamu, maka sesungguhnya padanya dalam [membantu] menafsirkan kitab kamu" [Al-Muwafaqat : 1/58]

Begitujuga, selepas selesai peperangan badar, nabi SAW diberi cadangan oleh Umar agar membunuh semua tawanan perang, tetapi dicadangkan oleh Abu Bakar As-Siddiq agar tawanan yang pandai dan cerdik, bahawa mengajar kepada anak-anak islam, lalu pandangan Abu bakar itu diterima oleh nabi Saw.

Dari ini, membuktikan kepada kita bahawa, tidak salah mendengar pesanan baik yang disampaikan oleh orang bukan islam, selagi mana segala pesanan itu sememangnya betul dan tidak bercanggah dengan kehendak syarak.

Adapun pesanan yang buruk, dan sememangnya bercanggah dengan kehendak syarak, maka itu adalah terlarang, waima ia dari orang islam sendiri. seperti contoh, pesanan supaya melakukan perkauman sempit [sehingga boleh melahirkan diskriminasi yang diharamkan oleh Islam] yang disampaikan oleh seseorang mufti. Ini kerana, perkauman yang membawa diskriminasi adalah haram, sedangkan kaedah fiqh ada menyebut;

ما أدى الى حرام فهو حرام

Maksudnya;
"Perkara yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram" [Al-Halal wa Al-haram Fi Al-islam : 31]

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-bakistani


- Sri Indah [b] sg buloh
1 September 2010 * 2:48 pagi

SALAHKAH ORANG KAFIR BAGI 'TAZKIRAH' [1]

Pernah satu hari aku bermusafir ke Pulau Pinang. Aku naik kereta bersama dua orang kawan; seorang berbangsa melayu beragama islam dan seorang lagi berbangsa India beragama hindu. Dalam perjalanan itu, waktu solat asar telah sampai. Aku berhentikan kereta di R&R tapah untuk menunaikan solat di surau disitu.

Aku turun, tetapi kawan aku itu tidak turun menunaikan solat, walau aku mengajaknya. Memang kawan aku itu tidak solat. Aku tidak menjadikan factor tidak solatnya itu penyebab terhalang aku berkawan. Padaku, lama-lama kami berkawan, lama-lama dia akan solat juga akhirnya.

Selesai menunaikan solat, aku terkejut kerana di satu sudut dalam surau R&R, kelihatan kawanku yang beragama islam sedang menunaikan solat. Aku menunggunya selesai menunaikan solat dan kembali ke kereta bersama-sama untuk sambung perjalanan musafirku ke Pulau pinang.

"eh.. syukur ko solat tadi.. tadi aku ajak, ko buat macam tak layan jer" soalku sambil berjalan menuju ke kereta.

"rajesh sound aku tadi…" ujarnya.

"ah.. sound?? Dia sound apa kat ko?"

"dia kata kat aku, ko ni cakap je islam. tp tak sembahyang.. jadinya aku malu la kat dia. Tu yang aku solat sama tu"

Aku terus tergelak besar mendengar penjelasan kawanku itu.

"Orang islam tak leh nak dakwah ko suruh solat, tiba-tiba orang kafir yang boleh dakwah ko suruh ko solat" ujarku ringkas sambil tergelak besar.

Pengalaman ini berlaku dalam dua hingga tiga tahun lepas. Aku menjangkakan, kalau diketahui oleh ulama Muda UMNO [Ustaz Fathulbari], mungkin mereka akan kata tindakan itu sebagai haram.

Bersambung….. [terpaksa meninggalkan online, sebab petang ini berbuka puasa dengan topeng perak]


Al-bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
31 ogos 2010 * 5:48 petang