Isu penghinaan
terhadap Nabi Muhammad menerusi filem ternyata menguji umat islam.
Apakah umat islam ambil sikap marah, atau umat islam mampu memanfaatkan
penghinaan untuk memperkenalkan islam kepada manusia?
Jika kita tengok
sendiri filem tersebut, memang secara
spontan akan lahir perasaan marah; mulut terus membebel ayat-ayat makian
bagi kaki maki; mulut akan keluar ungkapan istighfar bagi mereka yang
lidah tidak pernah putus dengan ungkapan zikrullah.
Marah memang
marah, kerana itu adalah hakikat bagi manusia yang menyayangi. Orang
yang terlalu sayang kepada ibubapanya, akan marah jika ibubapanya
itu dihina; orang yang sayangkan gurunya yang didoktrin keramat juga akan marah, jika guru yang
dianggap keramat itu dihina. Hakikat sayang, boleh melahirkan benci bagi
menyalahi benda yang disayangi.
Marah adalah
perkara emosi. Ia tidak boleh disalahkan kerana ia sememangnya wujud dalam diri manusia. Yang salahnya apabila manusia itu
emosional, iaitu marah yang melampaui batasan yang sepatutnya.
Marah itu jadi bagus, jika ia dapat memberi kebaikan. Tetapi marah akan
jadi buruk, jika ia dijadikan sebagai
alat untuk melakukan tindakan luar dari rasional kemanusiaan.
Isu hina Nabi Muhammad SAW, sewajarnya wujud perasaan marah yang boleh mendatangkan
kebaikan. Dengan maksud, kemarahan itu tidak melampau, disamping ia memotivasikan
diri kita untuk melakukan pendekatan yang lebih hemah dalam memperkenalkan
islam kepada manusia. Tetapi, jika tindakan kita keterlaluan sehingga berlaku
pertumpahan darah, penafian mutlak terhadap hak kebebasan, ia akan mengundang pandangan buruk kepada Islam
itu sendiri. Sememangnya, pandangan buruk ini amat disukai oleh musuh-musuh
Islam.
Filem itu dibikin, mungkin dengan tujuan provokasi. Ia sengaja diwujudkan
untuk menaikkan kemarahan umat Islam yang seterusnya pihak pembikin filem mahu
tengok pertumpahan darah dilakukan di pihak islam. Apabila ini berlaku, ia
merupakan modal dan model terbaik untuk dijadikan bahan persepsi masyarakat
lain untuk memburukkan islam di masa akan datang.
Ekoran itu, kita
perlu berhikmah dalam hal ini. Kita berdemonstrasi, pastikan demonstrasi
yang mendatangkan natijah yang baik. Kawal emosi, jangan sampai emosional.
Kawal akal, agar bertindak rasional. Unsur keganasan hendaklah dijauhi,
agar ia tidak dijadikan modal dan model untuk memburukan islam di masa
akan datang.
Isu ini tidak
rumit diselesaikan jika diselesaikan dengan rasional, tetapi akan
menjadi rumit jika mahu diselesaikan dengan emosional. Tariklah rambut
dalam tepung itu dengan segala kebijaksanaan, supaya tepung tak
berselerak, rambut tidak putus.
Wallahu ‘Alam.