
KENAPA NAK GABUNG DENGAN UmnGok?
Betapa indahnya sebelum PRU ke-12 berlaku. Semua blogger-blogger mempunyai satu cita-cita, iaitu mahu mengalahkan UMNO dalam PRU. Ketika itu, aku masih ingat, pihak UMNO banyak mengemukakan keraguan terhadap PAS, terutama apabila PAS membenarkan ahli-ahlinya mengundi DAP dalam PRU.
Segala keraguan yang dikemukakan oleh UMNO ketika itu, aku cuba untuk merungkai. Lalu, blog ini digunakan untuk mengemukakan hujjah-hujjah agama, sekadar pembacaanku bagi mematahkan hujjah dari pihak UMNO.
“Ana sokong anta syaikh.. anta teruskan lagi lawan UMNO ni..” kata salah seorang pimpinan PAS diperingkat pusat ketika itu; dan kini menjadi Dewan Harian PAS Pusat. Namun, kini beliau membenciku kerana tindakanku yang menyerang UG, bahkan melobi banyak tempat untuk memburukkanku ekoran seranganku terhadap UG itu.
Kesungguhanku menjawab hujjah-hujjah UMNO itu, menyebabkan semua artikle-artikle itu aku simpan dan susun sehingga berjaya dibukukan. Makanya, sebuah buku telah diterbitkan bertajuk ”kerajaan Pakatan Rakyat dari kacamata Siyasah Syariiyyah”, dan ’dilancarkan’ pada muktamar PAS di Ipoh.
Namun, keadaan sekarang sudah berubah, iaitu setelah didapati wujud usaha mahu gabungkan antara PAS – UMNO atas alasan islam – melayu yang dilakukan oleh sebilangan pimpinan tertinggi PAS sendiri.
Dua hari selepas kejayaan PAS, PKR dan DAP merampas beberapa kerajaan dari tangan Barisan Nasional, aku ditelefon oleh seorang kepimpinan Muslimat PAS Selangor. Dimaklumkan, bahawa Dato’ PJ telah berjumpa dengan Khir Toyo secara senyap-senyap.
Aku terkejut dengan berita itu. lalu, aku terus menghantar SMS kepada Dato’ PJ, dan menyatakan tidak bersetuju dengan tindakannya itu, bahkan menyatakan pandanganbahawa tindakan Dato’ PJ itu tidak tepat, kerana akan melahirkan masalah kepada kawan-kawan dari PKR dan DAP sekiranya mereka tahu.
Dato’ PJ tidak membalas SMSku, tidak seperti sebelum-sebelum ini. aku juga terus menghantar sms lagi, dan menyatakan bahawa secara peribadi aku tidak berpuas hati dengan tindakan Dato’ PJ itu, dan berjanji akan menyerangnya jika dia bertindak yang boleh menggugat hubungan antara PAS, PKR dan DAP. Tidak diketahui, apakah Dato' PJ baca SmS itu atau tidak??
Tidak lama kemudian, aku mendapat jemputan untuk menyampaikan kuliah di salah sebuah hotel di Subang Jaya. Setelah selesai menyampaikan ceramah, seorang kawan yang aku kenal, kerana beliau memegang jawatan AJK PAS di salah satu cawangan di Subang, yang bekerja di hotel tersebut menyatakan kepadaku bahawa dia berkali-kali nampak bahawa Dato’ PJ selalu datang ke hotel tersebut untuk bertemu dengan Khir Toyo.
Sekali lagi aku terkejut dengan berita itu. padaku, kawan yang memberi maklumat itu ikhlas, dan seorang yang aku kenalinya. Padaku, riwayatnya adalah sahih dan boleh dipercayai, berdasarkan pengenalanku dengannya.
Segala maklumat ini, aku maklumkan kepada seorang pemimpin yang berjawatan dalam Dewan Ulama PAS. Bahkan, apabila Pak Bakaq Haq menulis dalam blognya bahawa wujud pertemuan sulit antara pimpinan tertinggi PAS dengan pimpinan tertinggi UMNO, aku tetap masih lagi bertanya kepada pemimpin yang berjawatan dalam Dewan Ulama itu demi mencari kepastian.
Jawapan yang sering aku dengar ketika itu adalah, semua tuduhan itu adalah ”Fitnah”.. ”Fitnah”.. dan ”Fitnah”. Bahkan, aku semakin yakin bahawa dakwaan Pak Bakaq haq itu adalah fitnah, apabila Ustaz Nasharuddin Mat Isa sendiri pernah mengugut untuk saman terhadap penulis Blog yang menuduh bahawa wujudnya pertemuan antara beliau dengan pimpinan tertinggi dalam UMNO secara sulit.
”padan muka Bakaq Haq” tidak pasal-pasal mulutku terungkap perkataan itu ketika membaca berita ugutan saman Nasharuddin Mat Isa.
Berita wujudnya pertemuan sulit itu tetap dibincangkan secara hangat di dalam dunia blog. Penafian dari pimpinan PAS tertinggi juga berlaku, terutama penafian itu datang dari Dato’ Mahfuz Omar sendiri, juga Saudara Hanifa Maidin.
Tiba-tiba mengejutkan, apabila Perdana Menteri ketika itu, iaitu Pak Lah Badawi sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa sudah ada tiga kali pertemuan sulit berlaku. Ketika itu, aku tetap tidak percaya dengan dakwaan Pak Lah tersebut, kerana menganggap bahawa dakwaan itu secara psyWar terhadap PAS demi melahirkan kesangsian rakan-rakan dalam PR terhadap PAS. Namun, aku amat terkejut apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri selaku Presiden PAS mengakui bahawa sememangnya wujud pertemuan sulit, sepertimana yang didakwa oleh Pak Lah.
Sejak dari itu, segala kepercayaanku kepada pemimpin-pemimpin tertentu luput. Aku tidak sangka, aku telah ditipu oleh pemimpin yang aku hormati sejak sekian lama. Ternafi segala kepercayaanku kepada pimpinan-pimpinan PAS yang menafikan pertemuan sulit tersebut. Padaku, mereka telah berusaha hendak menipu ahli bawahan sepertiku.
Tidak lama kemudian, Saudara Hanifa Maidin dan Dato’ Mahfuz telah menulis dalam blog mereka, meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutama ahli-ahli PAS terhadap penafian mereka sebelum ini. Bahkan, mereka mengakui bahawa mereka juga tidak mengetahui tentang pertemuan sulit terbabit.
Makanya, berlakulah kekecohan PAS tentang isu gabung PAS-UMNO. kemudiannya, lahirlah perbincangan yang disebut sebagia muzakarah, kemudian Muqabalah, seterusnya Kerajaan perpaduan (UG) sehingga banyak melahirkan kekacauan di kalangan ahli bawahan PAS, juga perlu diingatkan bahawa kekacauan ini berlaku juga dikalangan pimpinan tertinggi PAS.
Sejak dari itu, dapat dilihat tentang perubahan serangan yang dilakukan oleh para blogger yang dahulunya menulis menyerang UMNO, kepada serangan terhadap usaha gabung PAS - UMNO. keadaan itu berlanjutan sehingga hari ini.
KENAPA NAK GABUNG?
Sejurus kemenangan PR dalam PRU ke 12, aku dapat melihat bagaimana perubahan sikap rakyat Malaysia terhadap PAS, terutama dari mereka yang tidak beragama Islam. jika dahulu, agak mustahil PAS diterima oleh DAP, tetapi setelah perubahan politik 8 mac 2008 itu, kita dapat melihat bagaimana keterbukaan pimpinan DAP dalam beberapa isu Islam, sehingga Lim Guan Eng sendiri berkali-kali menyebut nama Umar bin Abdul Aziz.
Padaku, ini satu peluang yang cukup besar dan luas dalam menyerapkan kefahaman islam yang diperjuangkan oleh PAS kepada kepimpinan DAP. Bahkan, aku mula teringatkan kisah perjanjian Al-Hudaibiyyah yang dilakukan oleh Nabi SAW sehinggakan dalam jangka masa yang terlalu singkat, Nabi SAW berjaya mengislamkan rakyat makkah, ekoran penerimaan mereka terhadap dakwah Nabi SAW setelah berlaku dalam sejarah Fath Makkah (pembukaan Kota Makkah).
Sirah Nabi menerusi kisah Sulh Al-Hudaibiyyah ini, tersemat dalam pemikiranku ketika melihat PAS berhadapan dengan DAP dan PKR dalam usaha menjayakan perlaksaaan islam di Malaysia. Bermula dengan Kerajaan Pakatan Rakyat, kepada kerajaan Islam.
Padaku, jika PAS konsisten dalam Kerajaan Pakatan Rakyat, dan terus berdakwah dalam kerangka politik ini, dengan menganjurkan banyak wacana-wacana, seminar-seminar dan sebagainya bersama rakan-rakan dari PKR dan DAP, tidak mustahil dalam dua penggal PRU sahaja lagi, PAS akan berjaya melaksanakan islam di Malaysia. Itu yang aku khayalkan sejurus kejayaan mengugatkan UMNO dalam PRU ke 12 yang lalu.
Pun begitu, segala tanggapanku itu terkubur begitu sahaja, apabila diakui wujudnya hubungan sulit antara PAS – UMNO atas alasan melayu – Islam. aku membayangkan, apa perasaan DAP dan PKR terhadap PAS terhadap pertemuan sulit terbabit. Aku bimbang, tindakan ini bukan sekadar merosakan PAS, bahkan akan menampakkan gambaran buruk terhadap islam itu sendiri.
Secara peribadi, aku amat pelik dengan teori yang mahu menggabungkan PAS dengan UMNO. padaku, tindakan dan usaha ke arah pergabungan PAS dan UMNO, sememangnya nampak seperti menguntungkan, tetapi ia bakal melahirkan kemudharatan yang cukup berpanjangan kepada PAS, iaitu ketika berhadapan dalam PRU akan datang.
Mana mungkin setelah pergabungan, UMNO akan memberikan lebihan kerusi untuk dipertandingkan oleh PAS dalam PRU akan datang. Setidak-tidaknya pun, UMNO akan memberikan kerusi yang memungkin PAS kalah. Bermakna, PAS pasti akan kalah teruk dalam PRU akan datang, seterusnya tidak hairan PAS akan ditendang seperti Anjing kurap sepertimana dalam sejarah PAS tahun 1978 dahulu.
”Mengapa diwujudkan usaha pergabungan antara PAS dengan UMNO, bukankah lebih baik di ajak kepada semua ahli-ahli UMNO agar semuanya melibatkan diri dengan PAS. apabila ini berlaku, sudah pasti UMNO akan kehilangan ahli dan tidak hairan UMNO akan jadi parti yang paling teruk dan seterusnya tidak mustahil UMNO akan ditalkinkan” bisik hatiku.
SERANG UMNO DENGAN KEADILAN ISLAM
Padaku, jika kita berjaya kemukakan konsep keadilan Islam, pasti rakyat akan menerima PAS, tidak kira mereka itu beragama Islam, mahupun yang tidak beragama Islam.
Jika ini berjaya, tidak hairan ahli-ahli UMNO akan menyertai PAS. seterusnya, PAS akan mampu mencipta kekuatannya tersendiri dalam usaha hendak mendominasi dalam pemerintahan kerajaan di masa akan datang.
Di samping itu juga, jika PAS bersungguh-sungguh mewujudkan perdebatan dan wacana terbuka dengan UMNO, dalam menerangkan dasar PAS, lalu dibandingkan dengan dasar UMNO, aku berkeyakinan PAS akan berjaya mencipta sejarah kejayaannya tersendiri. Seperti, diadakan debat atau forum terbuka dalam isu perkembangan islam di Malaysia, buat bandingan sistem ekonomi Islam yang PAS mahu lakukan dengan sistem ekonomi yang dilakukan oleh UMNO sejak sekian lama, kaedah berpolitik Islam dengan politik UMNO dan sebagianya. Jika ini berjaya dilakukan, pasti PAS akan dilihat sebagai sebuah parti yang hebat, menyebabkan rakyat akan melihat kelayakkan PAS menjadi pemerintah di Malaysia untuk masa akan datang.
Tetapi, semua ini hampa, disebabkan wujudnya pertemuan sulit yang dilakukan oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS sendiri. Yang pastinya, sudah ada kini sebilangan ahli-ahli PAS berkata, ”PAS dan UMNO, sama sahaja”
Alangkah ruginya PAS tidak dapat mengambil kesempatan dakwah ini.
Sekian
- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Rabiul Awal 1431 – 12 Mac 2010 * 4:31 petang