Jumaat, 18 Jun 2010

PERKAUMAN, KAPITALIS DAN ZALIM – PRU AKAN DATANG

ini gambar Pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini


[1]

Kadang-kadang terfikir, mengapa rakyat menolak BN dalam PRU lepas. Apabila berfikir, teringat pula pesanan Shah Waliyullah Ad-Dahlawi dalam kitab "Hujjahtullah Al-Balighah" yang pernah menyebut bahawa rakyat akan mendokong sesuatu kerajaan, apabila kerajaan itu menjaga tiga perkara, [a] Pakaian mereka, [b] makan minum mereka, dan [c] tempat tinggal mereka.

Menilai itu, tidak hairan dalam PRU lepas, Barisan Alternatif mendapat sokongan padu dari Rakyat, kerana ketika itu ungkapan Negara berkebajikan benar-benar memberi keberanian kepada rakyat untuk beralih undi, terutama apabila BN sebagai kerajaan, sedang dalam dilemma dalam kebejatan kebajikan rakyat, seperti kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.

[2]

Dari sudut yang lain pula, dilihat undi cina dan India terlalu tinggi meninggalkan BN. Adapun undi melayu, berlaku juga peralihan, tetapi tidak terlalu ketara.

Bangsa cina dan India adalah dua bangsa yang dilihat sebagai ‘class kedua’ di Malaysia. Semuanya berpunca dari tiga unsure, [a] perkauman, [b] kapitalis, dan [c] zalim.

Ketiga-tiga unsure ini, amat melekat dengan BN, sehingga tidak boleh dipisahkan. Apabila disebut BN, maka kelihatan zalim, perkauman dan kapitalis.

Disamping itu pula, kepandaian mengolah isu yang dilakukan dari pihak Barisan Alternatif, terutama road show Anwar Ibrahim yang dilihat ‘suaranya agak keramat berbanding pemimpin politik yang lain’ dalam memainkan isu-isu ini.

[3]

Mat Sabu ada menyebut bahawa undi melayu ini perlu dinilai dari dua keadaan, iaitu [a] melayu Bandar, dan [b] melayu kampung.

Melayu Bandar, undi mereka terletak kepada rasional. Mereka adalah golongan terbuka minda. Mereka golongan yang bermaklumat, kerana sumber maklumat mereka bukan sekadar melalui surat-surat khabar perdana, tetapi internet, blog, laman-laman web dan akhbar-akhbar internet.

Adapun melayu kampung, undi mereka terletak kepada sentiment. Mereka agak tertutup minda. Mereka golongan yang tidak bermaklumat, kerana sumber maklumat mereka adalah akhbar-akhbar propaganda BN, seperti utusan, berita harian, RTM dan TV3.

Apabila menilai ini, tidak hairan kita dapati undi melayu yang banyak meningkat; yang memberi undi kepada PR adalah di kawasan-kawasan bandar. Adapun di kawasan-kawasan kampung dan felda, undi melayu agak stabil seperti dalam PRU-PRU yang lepas.

Ini memberi maksud, jika di kawasan-kawasan melayu kampung atau felda, diberikan kemudahan internet, ataupun maklumat internet ini disalurkan kepada mereka – seperti yang Obama lakukan dalam kempen Pilihanrayanya, iaitu ada golongan yang kerjanya fotokopi berita internet, dan disebar kepada pengundi – tidak hairan undi BN akan menurun di kawasan-kawasan melayu kampung, dan undi di kawasan-kawasan melayu bandar akan kekal seperti sedia kala.

[4]

Politik rakyat kelantan amat unik. Ada pihak mendakwa, politik rakyat kelantan adalah politik ’silent killer’. Mereka boleh dilihat memakai baju BN, tetapi mereka mengundi PAS. mereka boleh pakai baju PAS, tetapi mereka boleh mengundi BN.

Dalam satu ceramah, Mat Sabu ada menyebut bahawa, antara sebab kekurangan undi PAS kelantan yang amat ketara dalam PRU ke 11 [2004] yang lalu adalah, faktor ’silent killer’. Antaranya adalah, apabila kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah pemberian geran tanah kepada rakyat di kawasan-kawasan pendalaman.

Ekoran itu, bermula dari kedai kopi, mereka mengungkap istilah ”kita ajar kali ini”, menyebabkan ia tersebar sehingga PAS di Kelantan pada tahun tersebut benar-benar berada dalam gawat; iaitu berbekalkan satu kerusi majoriti sahaja.

[5]

Jika ulasan ini adalah satu perkara yang benar, ia memberi satu perkara yang bahaya kepada PR dari satu sudut yang terpencil. Ini kerana, jika rakyat boleh menolak BN kerana faktor kezaliman, kapitalis dan perkauman. Ini memberi satu peringatan, sekiranya ketiga-tiga unsur ini dilakukan oleh PAS [atau PR?], tidak hairan PAS akan ditolak oleh rakyat juga.

Susah hendak merungkai isu ini. Tetapi, dari persepsiku secara peribadi, aku melihat bahawa sejak 8 Mac 2010 yang lalu, unsur Perkauman ini berlaku dalam PAS, iaitu apabila dibicarakan soal perpaduan melayu atas wajah kerajaan perpaduan.

Adapun unsur zalim, ia kedengaran di sebilangan DUN-DUN yang berada di bawah kekuasaan PAS, PKR dan DAP. Kedengaran PAS yang menguasai DUN, mengenepikan PKR dan DAP; PKR yang menguasai DUN, mengenepikan PAS dan DAP dan begitulah selanjutnya.

Waima unsur mengenepikan ini adalah perkara terpencil, tetapi ia memberi kesan kepada pendokong-pendokong parti masing-masing, yang tidak hairan bahawa akan berlaku undi protes, ataupun tidak keluar mengundi.

[6]

Barisan Alternatif diberi undi, antara faktornya adalah bahawa calon-calonnya dilihat lebih mudah didekati; tidak sombong dan kelihatan berjiwa rakyat. Pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif dilihat mudah ditegur dan bersifat terbuka.

Keadaan ini berbeda dengan keadaan pemimpin-pemimpin BN yang dilihat agak berlagak dan susah didekati. Mereka memakai kereta mewah, dan hendak berjumpa dengan mereka perlu berhadapan dengan banyak halangan, seperti ’kabel’ dan ’personal asistent’.

Ini membuatkan rakyat marhain meluat, dan akhirnya ’ajar’ pemimpin-pemimpin BN, dengan memberikan undi kepada Barisan Alternatif sebagai protes.

Adapun jika dilihat kepada pemimpin Pakatan Rakyat [khususnya PAS], fikir dan nilai sendiri je la..

Jangan sampai ada rakyat berkata, ”Jangan ko.. puak2 ni kalau memerintah Malaysia, mereka akan tuduh kita UMNO kalau kita tak wala’ kat mereka. Kat ahli mereka pun, mereka dah buat. Inikan pula kat kita rakyat biasa”

Sekian

Wallahu ’alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah [b] Sg Buloh
18 Jun 2010 * 7:18 Malam

Rabu, 16 Jun 2010

TAHNIAH PIMPINAN PAS !!!

[1]

Dalam article lepas yang bertajuk “budaya politik media dalam PRU akan datang”, aku ada melontarkan satu pendapat tentang budaya politik baru dalam PRU yang mendatang.

Ada yang menerima pendapatku itu, dan tidak ketinggalan ramai yang menolak. Terutama mereka yang mengagungkan kepimpinan ulama, seakan-akan menganggap ulama adalah ‘ma’sum’ dan ‘profesor serba tahu’; mengetahui semua perkara, tanpa melakukan sebarang kesalahan dan kesilapan, disamping menganggap golongan selain ulama adalah bodoh dan tidak mengetahui apa-apa.

Pendapatku itu berasal dari perbincangan dan wacana bersama sebilangan sahabat yang terlibat dalam dunia media. Namun, bukan bermakna ia adalah benar seratus peratus. Justeru, ia boleh diterima dan ditolak.

[2]

Kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Pada hari ini, aku tidak mengetahui punca dan sebab, tidak semena-mena terlintas dalam fikiranku untuk mengetahui keadaan sebenar dan kejadian secara mendalam berkenaan berlakunya peperangan badar Al-Kubra.

Aku membaca beberapa buah kitab dan buku, seperti kitab Al-Kamil Fi At-Tarikh, Al-Bidayah Wa An-Nihayah, Zad Al-Ma’ad, Ibnu Hisyam dan kitab Muhammad: baina Al-Harb wa As-salam. Fokus bacaanku, hanya tentang peperangan badar sahaja.

Menarik difikirkan tentang kejadian peperangan badar yang aku dapat pada hari ini adalah, bahawa penurunan ayat keizinan berperang adalah firman Allah SWT;

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Maksudnya;
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu”

(Surah Al-Haj : 39)

Jika dilihat banyak kitab-kitab tafsir dan sirah, didapati ayat ini merupakan ayat keizinan berperang yang dikhususkan untuk peperangan badar. Namun, didapati bahawa, setelah penurunan ayat ini, para sahabat tidak terus melancarkan sebarang serangan terhadap orang-orang Quraish, sebaliknya melakukan beberapa siri “sariyah” atau diterjemah sebagai ekspedisi sebelum tercetusnya peperangan yang disebut sebagai “ghazwah”.

[3]

Jika dilihat asal punca peperangan badar, ia bukanlah satu peperangan besar. Ia sekadar ambosh atau serangan gorilla yang hendak dilakukan oleh para sahabat terhadap Quraish.

Ia bermula daripada maklumat yang diketahui oleh sahabat nabi SAW dari kalangan muhajirin, bahawa orang Quraish telah bertindak mengambil harta-harta mereka setelah mereka meninggalkan Makkah.

Tindakan Quraish itu dimaklumkan kepada Nabi SAW. bapa Saudara Nabi SAW yang bernama Hamzah, adalah antara sahabat Nabi SAW yang agak agresif mendesak Nabi SAW untuk melakukan ambosh, atau serangan gorilla dengan tujuan untuk mengambil harta mereka sahaja, tetapi ditenangkan oleh Nabi SAW disebabkan tidak ada keizinan dari Allah SWT lagi.

Namun, tidak lama kemudian Allah SWT telah menurunkan ayat keizinan melakukan serangan gorilla terhadap Quraish. Pun begitu, sebelum serangan dilakukan, Nabi SAW telah melakukan beberapa siri ekspedisi bagi memastikan keadaan peperangan nanti, kemenangannya akan berbelah pihak kepada kelompok Islam.

[4]

Dalam kitab-kitab sirah menyatakan bahawa, sebelum tercetusnya peperangan badar, banyak ekspedisi yang dilakukan oleh Nabi SAW; sama ada baginda SAW sendiri terlibat, mahupun sekadar dihadiri oleh sahabat-sahabat atas lantikan Nabi SAW.

Antara ekspedisi tersebut adalah, ekspedisi Saif Al-bahri pimpinan Hamzah, Ekspedisi Rabigh pimpinan Ubaidah bin Harish, ekspedisi Al-Abwa’ [dikenali juga sebagai perang Waddan] pimpinan Nabi SAW sendiri, ekspedisi Buwath pimpinan nabi juga, ekspedisi Abi Sufyan pimpinan Nabi SAW juga, ekspedisi Zil ‘Usyairah [dikenali badar sughra] pimpinan Nabi SAW juga, dan eskpedisi nikhlah pimpinan sepupu Nabi SAW itu, Abdullah bin Jahsy Al-Asadi.

Dalam ekspedisi-ekspedisi itu, Nabi SAW telah melakukan beberapa tindakan. Antaranya adalah, memastikan kekuatan dan kelemahan musuh [quraish] dan menyusun strategi bagi menggoncangkan kegiatan ekonomi Kafir Quraish yang merupakan sumber kekuatan mereka.

Yang paling penting dari itu adalah, tujuan Nabi SAW melakukan ekspedisi itu adalah untuk berjumpa banyak kabilah-kabilah arab yang berada di antara Makkah dan Madinah agar melakukan perjanjian bersama dengan kerajaan Madinah, seperti tindakan Nabi SAW mengadakan perjanjian damai dengan Bani Mudlij, bani Dhamrah dan sebagainya.

Tindakan Nabi SAW itu tidak lain dan tidak bukan, supaya mengkurangkan musuh-musuh ketika berlaku peperangan badar nanti. Bahkan, ia juga meletakkan satu pengharapan agar golongan-golongan ini dapat membantu tentera Islam sekiranya tercetus peperangan badar nanti.

Ternyata, tindakan Nabi SAW itu berjaya membuktikan hasil yang cukup hebat, apabila terbukti dalam peperangan badar Al-Kubra, pihak umat Islam telah mencapai kemenangan yang gemilang, waima bilangan tentera umat Islam jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera quraish.

[4]

Dalam kes ini, aku menilai ia seakan-akan sama bagi PAS untuk berhadapan dalam PRU akan datang. Muktamar PAS kali ini, tidak dinafikan terdengar slogan yang indah; mahu menguasai putrajaya. Namun, dilihat kandungan perbincangannya, hanya segelintir sahaja berbicara tentang target besar itu.

Selayaknya, dalam Muktamar baru-baru ini, pihak pimpinan PAS berusaha membanyakkan bantuan terhadap PAS dalam berhadapan PRU akan datang, sepertimana usaha Nabi SAW bagi berhadapan dengan peperangan Badar Al-Kubra. Tetapi, cara sebilangan pimpinan PAS berucap dalam muktamar pada kali ini, memperlihatkan satu gambaran bahawa pimpinan PAS ‘menjemput’ dilakukan serangan hebat lagi terhadap PAS.

Setelah sebilangan pimpinan PAS tertentu melakukan serangan terhadap blogger, sudah kelihatan bibit awal bahawa ada blogger yang sebelum ini sekadar mengkritik sebilangan pimpinan PAS [bukan kritik PAS, tetapi sebilangan pimpinan PAS], tetapi kini sudah menukar trend sehingga menjadi sebagai golongan yang menyerang PAS [bukan lagi terhadap sebilangan pimpinan PAS].

Malahan, sudah kedengaran dari sebilangan rakan-rakan blogger mengungkap, ”Dalam PRU akan datang, kita tolong PKR dan DAP je.. jangan tolong PAS..”

Jika keadaan ini tidak berjaya di’cover’ oleh pimpinan PAS, dibimbangi keadaan ini akan berterusan sehingga PRU akan datang. Jika keadaan ini berlaku, susah hendak merungkai keadaan PAS dalam PRU akan datang.

Aku tidak merasakan bahawa PR [PAS, PKR dan DAP] akan kalah dalam PRU akan datang. Tetapi, dari maklumat-maklumat pihak yang terlibat dalam ”dirasah maidaniyyah”, mereka mendakwa bahawa dalam keadaan sekarang, sekiranya berlaku PRU, PAS berada dalam dua keadaan sahaja; iaitu sama ada bilangan kerusi PAS kekal dalam keadaan sekarang, ataupun kerusi PAS di peringkat ADUN dan parlimen akan berkurangan. [teori mereka, akan dikupas dalam artikle akan datang].

Jika keadaan ini berlaku, bersedialah PAS untuk menjadi golongan yang lebih manoriti dalam Pakatan Rakyat. Maka, tidak perlu meletakkan angan-angan bahawa PAS hendak mendominasi Pakatan rakyat untuk masa akan datang.

[5]

Artikle ini, sekadar lontaran pandangan sahaja. ia tidak dikatakan sebagai betul. Ia sekadar lontaran pandangan setelah melihat realiti yang berlaku.

Pastinya, yang betul itu datang dari Allah dan Rasulullah SAW. Adapun selain itu, ia boleh diterima dan ditolak. Antara yang boleh diterima dan ditolak itu adalah artikle ini.

Yang paling penting difikirkan adalah, semua kita mahu melihat Islam memerintah di Malaysia dengan jayanya. Sekiranya PAS tidak berjaya, jangan disalahkan kepada orang lain, seperti menjadi budaya PAS sejak sekian lama.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg Buloh
16 Jun 2010 * 6:21 Petang

Isnin, 14 Jun 2010

INGATANKU BERSAMA USTAZ HASSAN SHUKRI

[1]

8 mac 2008, kenangan yang paling besar di malaysia adalah, PAS, PKR dan DAP berjaya menjatuhkan UMNO/BN dalam PRU umum. Namun, bagiku secara peribadi, pada tarikh itu aku berkesempatan menziarahi Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah yang sudah hampoir 3 tahun aku tidak menziarahinya.

Semasa melihat keadaan Tuan Guru yang dijaga oleh anak lelakinya, Hamdan. Benak kecilku hanya berbisik, “mungkin ini kali terakhir aku bersua dengan Tuan Guru”.

Setelah mahu pulang, aku bercadang hendak mengambil gambar, tetapi dinasihat tidak oleh anak lelaki yang menjaganya.

seminggu kemudian, Aku mendapat satu SMS dari kawan yang sama-sama belajar di Pondok dahulu, memaklumkan bahawa Tuan Guru telah kembali ke Rahmatullah. Ketika itu, hatiku hanya berkata, "Syukur, Allah SWT sempat menemukan aku dengan Tuan Guru"

cuma Aku agak terkilan sedikit, apabila mendapat berita tentang berita Ustaz Ismail Mahmood, Adik Ustaz Ibrahim Libya meninggal dunia. Ini kerana, sebelum beliau meninggal dunia, berkali-kali beliau menelefonku, menyatakan hasrat untu bertemu dan berbual denganku, tetapi tidak sempat aku berjumpa, beliau sudah meninggal dunia.

[2]

11 Jun yang baru lepas, aku ada menulis satu article yang bertajuk “lupakah kita pada Ustaz Hasan Shukri”. Semasa menulis, pemikirannya terbayang wajah seorang pejuang PAS tulin, sedang menyapu sampah di Taman Melewar, walhal beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS.

Pada 14 jun pula, dalam pukul 4:50 petang, ketika iti aku sedang memandu kereta, handphoneku berbunyi menandakan ada satu SMS terbang masuk dalam inboxnya. Membuka SMS itu, terkejut kerana ia memaklumkan satu berita dukacita, iaitu pada pukul 4 petang, Ustaz Hasan Shukri sudah kembali ke rahmatullah.

“Ya Allah, baru 3 hari lepas teringat kat Ustaz Hasan” tiba-tiba lidahku menutur tanpa sengaja. Isteriku bertanya kepelikkan, kerana aku bercakap sendirian.

“Ustaz Hasan Syukri, bekas timbalan Presiden PAS meninggal dunia” ujarku memaklumkan kepada isteriku.

Ketika itu, dalam pemikiranku terbayang banyak perkara tentang Ustaz Hasan. Antara yang paling aku fikirkan adalah, kali terakhir aku berjumpa dengan beliau.

[3]

Kali terakhir aku berjumpa beliau adalah di Restoran Thaqwa, dekat dengan Taman Melewar. Ketika itu, aku sedang bersembang dengan Tuan Haji Hanifa Maidin, AJK PAS Pusat, iaitu setelah pulang dari menyampaikan ceramah di Tapah, Perak.

Sedang berbual tentang beberapa isu, tiba-tiba Ustaz Hasan Shukri mengambil tempat di meja kami untuk berbual bersama-sama. Apa yang aku ingat, beliau makan sebiji kuih samosa, dan segelas teh tarik [kalau tidak silap].

Apabila beliau mengambil tempat, Tuan Haji Hanifa maidin banyak menyebut beberapa perkara penting kepada Ustaz Hasan Shukri, ternyata Ustaz menjadi seorang pendengar yang baik. Perbincangan hari itu, lebih kepada berkaitan lembaga disiplin PAS.

Kedua-dua tokoh itu memang layak berbicara tentang lembaga disiplin PAS, kerana Tuan Haji Hanifa Maidin adalah seorang pengamal undang-undang sehingga mendapat jolokkan peguam PAS, dan Ustaz Hasan Shukri adalah “Sifu dalam perlembagaan PAS”.

Ketika beliau hendak beredar, beliau hendak bayar semua yang kami minum dan makan pada malam itu, tetapi aku menghalang. Beliau akur.

[4]

Kini, UStaz Hasan shukri sudah meninggalkan kita. Banyak kerugian yang tidak sempat diambil dari beliau, terutama berkenaan sejarah PAS, dan tentang perlembagaan PAS.

Berkali-kali aku mendengar rungutan, kononnya hendak mengambil faedah dari Ustaz Hasan Syukri. Ternyata ia sekadar rungutan yang tidak berjaya dilaksanakan.

Pemergian beliau, mengimbau kepada kita satu tokoh yang sukar dicari ganti. Keikhlasan dan ketekunan dalam perjuangan beliau, wajar diteladani oleh generasi terkemudian.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg Buloh
15 Jun 2010 * 5:27 petang