Sabtu, 13 Februari 2010

kartoon : kalimah Allah vs hukum Allah

(klik untuk besarkan)

SAMPAI NAIK RUMPUT

SAMPAI NAIK RUMPUT

Setelah kematian mat usu, pak halim selalu sangat berulang alik ke tanah perkuburan. Kelihatannya sering membawa satu jag air yang diperbuat dari kaca.

“masa orang sedang sibuk mengurus kematian Mak Usu, tidak kelihatan pun wajah sedih Pak Halim” Azman memulakan bicara dengan Karim ketika melihat Pak Halim sedang lalu menuju ke tanah perkuburan di hadapan gerai Mak Minah.

Sambil melihat ke arah Pak Halim, Karim berkata, “tu la pasal. Aku pun rasa pelik selepas kematian Mak Usu tu, rajin betul Pak Halim berulang alik ke kubur”

”ha ah.. Mak Cik dok perati, dalam masa sehari, ada dalam 8 kali dia berulang ke kubur” tiba-tiba Mak Minah menyampuk di sudut dapur gerainya.

Dalam perjalanan pulang, Pak Halim telah singgah ke kedai Mak Minah. Dia duduk di salah sebuah meja gerai itu.

”Minah, bagi aku Kopi O satu” teriak Pak Halim.

”Hai Pak Halim, sayang betul Pak Halim kat Arwah Mak Usu.. sampai lapan kali sehari berulang alik ke kubur Mak Usu” tegur Azman.

Pak Halim tidak membalas, cuma melemparkan senyuman sahaja.

”biasalah.. bukan senang nak dapat isteri yang baik macam Mak usu.. betul tak Pak Halim?” Karim menyampuk.

Sambil mengunyah kuih karipap, Pak halim berkata, ”mana ada sayang sangat. Biasa-biasa jer... lagi pun, arwah Mak Cik kau tu pesan kat aku masa dekat dengan kematian hari tu”.

Azman dan Karim mengambil perhatian.

”dia cakap kat aku, ”jangan kawin lain, selagi rumput kat kubur dia tak tumbuh dulu”.. tu yang aku dok berulang hari-hari jirus kuburnya dengan air, biar cepat sikit tumbuh rumput tu” jawab Pak Halim selamber.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 Safar 1431 * 12 Febuari 2010 * 6:09 petang


Rabu, 10 Februari 2010

TANGGUH DEBAT - GEGAR

PENGUMUMAN PENANGGUHAN PROGRAM DEBAT ROYALTI PADA 13 FEBRUARI DAN KEMPEN MENGIBARKAN BENDERA KELANTAN SEMPENA MENJELANG HARI KEPUTERAAN SULTAN KELANTAN

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) ingin memaklumkan bahawa Debat Royalti Petroleum yang dijadualkan pada 13 Februari 2010 di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu telah ditangguhkan kerana kami selaku penganjur tidak menerima pengesahan kehadiran daripada dua orang ahli panel yang dijemput.

YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato Mustapha Mohamad, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato Seri Nazri Abdul Aziz, yang dijemput sebagai ahli panel debat belum mengesahkan kehadiran sehingga ke hari ini. Surat jemputan ke program ini telah dihantar dan pegawai-pegawai di pejabat Yang Berhormat berkenaan telah mengesahkan menerima surat jemputan debat.

Walau bagaimanapun, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato Haji Husam Musa dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Salahuddin Ayub masing-masing telah mengesahkan untuk hadir ke debat tersebut.

Walaupun ditangguhkan, GEGAR akan berusaha untuk menjayakan program debat seperti ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai tarikh baru debat setelah mendapat persetujuan kehadiran daripada ahli-ahli panel.

Sementara itu, berikutan dengan keprihatinan dan komitmen ramai rakyat Kelantan kepada tuntutan royalti petroleum, GEGAR merayu dan memohon seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira di mana pun mereka berada untuk:

MENGIBARKAN BENDERA NEGERI KELANTAN di kereta dan premis kediaman sepanjang bulan Mac 2010 untuk tujuan:

1. Menandakan sokongan terhadap tuntutan rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum seperti mana perjanjian tahun 1975 yang telah dimeterai.
2. Menandakan sokongan rakyat Kelantan dalam mendokong semangat Persekutuan Malaysia; dan Kelantan sebagai negeri di bawah Persekutuan hendaklah diberikan hak-hak menurut Perlembagaan, undang-undang dan perjanjian yang telah termerai.

3. Bersempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan yang akan menjelang tidak lama lagi, rakyat Kelantan menzahirkan perasaan kasih dan dekatnya rakyat kepada kepada DYMM al-Sultan. GEGAR menyeru seluruh rakyat negeri Kelantan terus berdoa agar Allah s.w.t mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, rahmah dan inayah-Nya kepada DYMM Sultan Kelantan.

Yang benar,

Dr Abdul Halim Bin Yusof
Mohamad Fauzi Bin Abu Samah

Pengerusi Bersama
Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat

Kota Bharu
10 Februari 2010

NEO-ISLAM LIBERAL

NEO-ISLAM LIBERAL

Dr Yusuf Al-Qaradhawi ada mengulas tentang beberapa aliran pemikiran muslim dalam memahami nas. Aliran pemikiran tersebut adalah, (1) Zahiri moden, (2) pertengahan, (3) liberal.

ZAHIRI MODEN

Golongan zahiri moden adalah golongan yang boleh disifatkan sebagai jumud dalam memahami nas. Pada mereka, sebarang nas tidak mempunyai maslahah. Ekoran itu, apabila kita perhatikan fatwa-fatwa mereka, kita akan merasa pelik.

Antara contoh fatwa mereka yang pelik adalah, mereka beranggapan air yang bercampur dengan air kencing adalah tidak najis, sekiranya air kencing itu masuk secara mengalir. Tetapi, air itu dikira najis, sekiranya masuk dengan dilakukan kencing secara terus.

Begitujuga, mereka menfatwakan bahawa anak gadis yang mengatakan “saya terima pinangan itu” apabila dipinang seseorang lelaki sebagai tidak menerima pinangan. Ini kerana, menurut mereka, dinyatakan dalam hadis bahawa diam anak gadis itu tanda bersetuju. Justeru, pada mereka, tidak diam, waima menyebut bersetuju sekali pun adalah tanda tidak bersetuju.

Antara lain fatwa mereka adalah, mereka beranggapan bahawa zakat tidak dikenakan bagi wang kertas, juga tidak berlaku riba pada wang kertas. Mereka menfatwa sedemikian kerana, mereka menyatakan wang yang diiktiraf dalam syarak adalah wang emas dan perak sahaja.

PERTENGAHAN

Golongan ini adalah golongan yang meletakkan pemikiran bahawa sesuatu nas itu mempunyai maslahah dan mafsadahnya tersendiri. Apabila Allah menghalalkan sesuatu perkara, sudah pasti perkara yang diharamkan oleh Allah itu mempunyai maslahah. Adapun jika Allah mengharamkan sesuatu perkara, maka sudah pasti ia terkandung mafsadah.

Firman Allah;

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ

Maksudnya;
“Wahai tuhan kami, tidaklah kamu Ciptaan ini sia-sia. Maha suci kamu (Ya Allah)”

(Surah Al-Imran : 191)

LIBERAL

Golongan ini pula adalah golongan sanggup membatalkan sesuatu nas dengan alasan maslahah yang difikirkan oleh akal. Mereka tidak sedar, bahawa sesuatu suruhan tuhan sudah pasti mengandungi maslahah yang lebih besar, dan disebalik larangan tuhan, mesti mempunyai mudharat.

Pun begitu, golongan ini, apabila melihat sesuatu nas ilahi, kemudian didapati bercanggah dengan gambaran nas dari akal mereka sendiri, pasti mereka akan menolak nas, dan mengambil maslahah dari akal mereka sendiri.

NEO-LIBERAL

Bagi neo-liberal pula, mereka suka berhujjah atas nama uruf untuk menolak keizinan syarak. Sesuatu perkara itu telah dinyatakan secara jelas oleh Allah atas keharusannya, lalu datang golongan ini menolak keharusan tersebut atas alasan uruf.

Dalam islam, uruf digunakan ketika ketiadaan nas. Bermakna, ketika kewujudan nas, uruf tidak diguna pakai. Mana mungkin uruf ditolak disebabkan kewujudakan nas. Jika ini berlaku, sudah pasti method mereka berfikir adalah meletakkan syarak dibelakang akal mereka.

Sekian

p/s : untuk penjelasan ringkas tapi padat dalam penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, sila baca sebuah buku karangan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang bertajuk "Allah : kalimah yang benar, tujuan yang salah".. Kalau tidak silap, buku itu terbitan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Safar 1431-11 febuari 2010 * 12:10 tengahari.


BIMBANG.. BIMBANG..

BIMBANG.. BIMBANG..

Dijangkakan, isu kalimah Allah susah selesai selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh al-Imam Al-Wasati, Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Rupa-rupanya, masih ada yang masih bersuara, sehingga mengatakan Dr Yusuf Al-Qaradhawi tidak memahami uruf Malaysia.

“Problemnya Ustaz, yang dok bising-bising ni, puak-puak JAKIM” kata seorang pelajar dari Universiti tempatan dalam satu talian telefon.

“laaa. Apa masalahnya lagi.. takkan JAKIM ni rasa, depa lagi alim dari Dr Yusuf Al-Qaradhawi kot?” soalku.

“depa dok bagitau, fatwa qaradhawi itu tidak relevan di Malaysia” ujar pelajar yang berasal dari negeri kedah darul aman itu.

“aik.. takkan Al-Quran dan hadis di Malaysia tak sama dengan Al-Quran dan Hadis yang Qaradhawi baca kot?” aku kemukakan persoalan.

“tu yang susah nak jawab ustaz oiii”

“apa yang depa dok tak puas hati tu?”

”depa habaq, uruf Malaysia tidak mengizinkan penggunaan kalimah Allah di malaysia”

”sapa yang dok habaq lagu tu? Orang-orang je jahil kot habaq lagu tu ? »

«mana ada ustaz.. yang dok cakap ni, ustaz-ustaz dalam JAKIM.. tak habis-habis dengan bimbang.. pastu uruf”

”apahal ngan ustaz-ustaz JAKIM ni, depa ni nak jadi Bani Israel ke?”

”lagu mana tu ustaz?”

”syaikh... uruf ni berlaku, dalam perkara yang tidak ada nas.. apabila sudah ada nas, uruf mana boleh diguna pakai.. kalau uruf diguna pakai dikala wujud nas, itu namanya menafikan nas”

“emmm...”

“kalau ada nas, lalu nak pakai juga uruf sehingga menolak Nas, apa beda kita dengan Bani Israel?”

“macam mana tu ustaz.. bagi penjelasan sikit”

“Bani Israel dahulu, dorang tolak Nabi Muhammad SAW kerana Nabi Muhammad SAW ini orang arab. Uruf orang Bani Israel mengatakan, nabi akhir zaman mesti bangsa Bani Israel. Jadinya, tok guru-tok guru bani israel ubah kitab sebab tengok uruf bani israel yang mahu nabi akhir zaman bangsa Bani Israel.. kalau JAKIM dok beralasan uruf tidak benarkan non Muslim guna kalimah Allah, walhal Al-Quran dan Hadis dah jelas mengatakan boleh non Muslim guna kalimah Allah.. apa beda antara Bani Israel dengan JAKIM?” aku memberi penerangan agak emosi.

“emm.. ok gak jawapan ustaz tu.. tapi, macam mana pulak alasan bimbang dorang tu?”

Aku menarik nafas sedikit.

“macam ni la syaikh.. ana nak bagitau anta asas berfikir dalam kaedah Islam... setiap perkara yang Allah halalkan, mesti ada maslahah. Jika ada mudharat, mesti mudharat itu kecil. Bermakna, maslahahnya mesti besar.. Anta faham tak maksud ana?”

“emm.. faham ustaz”.

“Baik, kalau Allah haramkan sesuatu perkara pula, mesti ada mudharat yang besar. Kalau ada maslahah, mesti masalah itu kecil dan sedikit.. anta faham tak maksud ana?”

”yaa. Ya.. ana faham ustaz”.

Aku terus membacakan firman Allah dari surah Al-Baqarah, ayat 219 yang berbunyi;

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya;
”Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) berkenaan arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya adalah dosa besar dan ada manfaat bagi manusia. dan dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaat”

”ayat ini, Allah sebut arak itu ada manfaat.. bukan ana kata tau.. yang kata tu adalah Allah.. betul tak?”

”ye..ye.. betul Ustaz”.

”tapi apa yang kita tau... arak haram, waima ada manfaat sekalipun.. kenapa Allah haramkan arak juga? Jawabnya, kerana mudharatnya, iaitu dosa itu lebih besar berbanding dengan manfaatnya” ujarku memberi penerangan lanjut.

”ok.. ustaz.. ana faham ustaz...”

”ok.. samalah juga dalam isu keizinan menggunakan kalimah Allah bagi non Muslim”

”emm... macam mana tu ustaz?.. agak kurang jelas”

“Allah izinkan non Muslim guna kalimah Allah, mesti ada maslahah dan mesti ada mudharat. Tetapi, maslahahnya mesti lagi besar berbanding mudharat.. kalau ada mudharat, mesti mudharat tu kecil” aku memberi penjelasan.

”mudharat yang kecil itulah yang puak-puak JAKIM dok cakap bimbang.. bimbang.. bimbang tu.” sambungku lagi.

”pun begitu, jangan disebabkan bimbang kita yang tak berkesudahan, menyebabkan kita tidak melaksanakan keadilan terhadap orang bukan Islam..” ujarku lagi.

”emmm ...” kedengaran suaranya seperti orang sedang berfikir.

”macam ni la syaikh... anta nak beli kereta, tiba-tiba ada sorang kawan anta cakap kat anta, jangan syaikh.. bimbang nanti tayar kereta anta pancit atas bukit grik.. lalu, anta pun tak beli kereta.. agak-agak, tindakan anta tak beli kereta sebab bimbang tayar pancit atas bukit grik tu, cerdik ke bodoh?” soalku.

”emm... bodoh la jawapannya”

”haaa.. pandai pun...” balasku ringkas.

”samala juga, kita tak bagi non Muslim guna kalimah Allah dengan alasan bimbang kita itu... agak-agak anta nampak macam mana?” soalku

”takkan kerana bimbang tayar pancit atas bukit grik kita tak beli kereta kot.. bodohlah saya ustaz kalau ambil sikap macam tu” balas pelajar tersebut.

”nampaknya anta dah faham dah kot?” soalku

”terima kasih sebab bagi penjelasan.. dah clear dah ustaz”

”ok.. ”

Tidak lama kemudian, dia pun memberi salam penutup kepadaku. Dan perbualan kamu habis.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Safar 1431 – 11 Febuari 2010 * 2:47 pagi

Selasa, 9 Februari 2010

SEKADAR PENJELASAN


SEKADAR PENJELASAN

PERTAMA:

Ustaz, 70% daripada bajet(penyelenggaraan, pentadbiran pembangunan) dibiayai oleh cukai dan 30% daripada sumber2 lain.

masalahnya mana nak cekau 70% daripada bajet kalau cukai ditiadakan. mampu ke Pas cari sumber lain kalau cukai dihapuskan... hehehe

JAWAPAN:

Asal kerajaan mengutip cukai dari rakyat adalah haram. Sepertimana yang telah dibahas dalam artikle yang lalu.

Ibnu Khaldun ada menyatakan dalam kitab Muqaddimah, katanya;

إن التجارة من الحكومة على الرعية مفسدة للجباية

Maksudnya:
“Sesungguhnya perniagaan oleh pihak kerajaan ke atas rakyat akan merosakkan kutipan ke atas rakyat itu sendiri”

Perkataan Ibnu Khaldun ini didasarkan kepada beberapa nas-nas wahyu, antaranya adalah;

Pertama : sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا

Maksudnya:
“Sesungguhnya darah, harta dan maruah kamu adalah haram (ditumpahkan) sebagaimana haramnya hari pada bulan ini dalam negara kamu ini, pada bulan kamu ini
[1]

Kedua : sabda Nabi SAW;


فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya:
“Hendaklah kamu berhati-hati dengan harta yang mereka yang mulia (jangan mengambilnya). Takutlah kepada doa orang yang dizalimi (orang yang diambil hartanya secara salah), kerana doa mereka tidak ada hijab dengan Allah SWT
[2]

Pun begitu, sekiranya pihak kerajaan berhadapan dalam keadaan yang terlalu dharuriyyat dalam hal kewangan, seperti berhadapan dengan peperangan, lalu tidak dapat menampung perbelanjaan kerajaan dalam peperangan, ketika itu, pihak kerajaan dibenarkan mengutip cukai kepada rakyat. Begitujuga, pihak kerajaan boleh mengutip cukai disebabkan hajiyyat, seperti pembangunan Infrastruktur dan sebagainya.

Keizinan ini, bukan bersifat kekal, tetapi bersifat sementara sahaja, iaitu selama keperluan Dharuriyyat dan Hajiyat itu wujud. Apabila sudah hilang keperluan Dharuriyyat dan Hajiyyat, ketika itu, pengutipan cukai sudah tidak dibenarkan lagi.

Ini berasaskan kepada kaedah fiqh;

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya;
“Dharurat mengharuskan perkara larangan”

Juga kaedah;

الحاجة تنزل منزلة الضرورة

Maksudnya;
“Keperluan ke tahap Dharurat”

Dan juga kaedah;

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya;
“Dharurat mengikut kadarnya sahaja”

Dalam perkara tahsinat, seperti mencantikkan binaan bangunan kerajaan, membina taman-taman negara dan sebagainya, tidak dibenarkan mengutip cukai daripada rakyat. Bahkan, pembinaan tersebut, hendaklah digunakan kewangan kerajaan yang sedia ada, sama ada menerusi fai’, usyur, Ghanimah, perniagaan import dan eksport, denda, hasil mahsul negara seperti petronas, gas dan sebagainya.

Persoalannya sekarang, mengapa mahu mengutip cukai dari rakyat atas nama GST lagi, Walhal sudah banyak cukai sudah dikenakan kepada rakyat? Kemana hasil mahsul negara? Getah, Petronas dan gas?

Disamping itu pula, telah terbukti betapa kerajaan telah melakukan penyelewengan terhadap kewangan negara, seperti ketirisan, kebocoran, juga pembaziran.

Justeru, ia terbukti bahawa BN sudah tidak layak memerintah. Sudah sampai masanya, kerajaan BN dikuburkan, digantikan dengan kerajaan yang lain pula.

KEDUA:

Ust, apa kriteria untuk tidak wala' ? Atau lebih tepat lagi siapa yang perlu istihar tidak wala'? Adakah tidak wala' itu di isthiar oleh seorang yg berauthoriti, atau tidak wala' itu di istiharkan ikut suka2 hati oleh seseorang individu?
Lagi satu, tentang pimpinan tidak menjaga thiqah - siapa yang perlu menyabitkan kesalahan tersebut?
Harap ustaz dapat memberi penjelasan. Takut2 nanti jika kita tersilap menghukum ...
JAWAPAN:

Solat Imam, apabila tersilap, maka wajib bagi makmum menegur. pun begitu, apabila imam tetap berkeras dengan kesilapannya, maka wajib makmum bercerai (mufaraqah) daripada imam tersebut.

Adapun jika solat seorang imam telah menjadi batal dengan beberapa tindakannya, maka wajib bagi makmum yang tahu bermufaraqarah daripada Imam tersebut.

Bagi mereka yang tahu, wajib bercerai dengan imam tersebut. Adapun bagi mereka yang tidak tahu, tindakan mereka yang terus berjemaah dengan imam tersebut tidak mengakibatkan solat mereka batal.

Itu konsep dalam solat berjemaah. Siqah dalam solat adalah, selama mana solat tersebut ditunaikan dalam rangka cukup rukun dan syarat. Adapun siqah dalam berpasukan, sudah pasti tidak menipu, tidak melakukan kezaliman, tidak berat sebelah menjadi asasnya.

Bagi mereka yang tahu penipuan dan kezaliman yang berlaku, tindakan yang paling betul adalah menegur. pun begitu, jika teguran tidak dihiraukan, apakah wajar diberikan wala’ lagi?

Justeru, persoalan sekarang adalah, jika mahu selamatkan sesuatu persatuan, bukan isu wala’ yang wajar dibangkitkan. Tetapi, yang wajar dibangkitkan apakah pimpinan itu sudah menjaga siqah atau tidak? Ini kerana, wala’ terhasil dengan adanya siqah. Tanpa siqah, wala’ tidak akan berlaku.

Jika mendesak orang memberi wala’, tanpa menjaga siqah, ia sama seperti seorang doktor yang mengatakan sebab kematian seseorang itu disebabkan sakit jantung, tetapi doktor itu tidak pernah menyebut punca sakit jantungnya adalah hisap rokok.

Sepatutnya, bagi menyelamatkan mati disebabkan sakit jantung, perkara yang perlu ditekankan adalah, pengharaman hisap rokok. Ini kerana, hisap rokok merupakan perkara terpenting berlakunya sakit jantung di kalangan masyarakat pada hari ini (waima tidak semua yang mati sakit jantung kerana rokok).

Sekian

Wallahu ’alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 safar 1431 – 10 Febuari 2010 * 3:38 petang


[1] At-tarmizi : 3012.
[2] Al-Bukhari 1401.

GST : ROMPAKAN BERMULA 2011


GST : ROMPAKAN BERMULA 2011

Goods & Service Tax (GST) akan dilaksanakan di Malaysia pada tahun 2011. itu yang dimaklumkan menerusi Utusan Malaysia yang meloyakan.

Ada yang pro, dan ada yang kontra dengan cadangan kerajaan BN itu. Golongan yang Pro dengan GST ada dua; (1) pihak yang menyokong kerajaan BN. (2) pihak yang menerima selepas kerajaan terbebas dari segala kebocoran dan berjaya menghapuskan segala cukai-cukai yang lain.

Tidak dinafikan, wujud golongan yang kontra dengan cadangan Kerajaan BN itu. Alasan mereka, hendaklah kita berfikir secara realistic dalam cadangan Kerajaan yang mahu melaksanakan GST di Malaysia.

Secara asasnya, GST merupakan cukai yang akan dikenakan kepada rakyat, dan ia lebih bersifat merata sehingga kepada rakyat bawahan.

Persoalannya, apakah pandangan islam dalam penetapan cukai kepada rakyat?

ASAL CUKAI ADALAH HARAM

Asal pengambilan cukai dari pihak kerajaan kepada rakyat adalah haram. Ini berasaskan kepada beberapa dalil-dalil, iaitu seperti berikut;

Pertama : surah Al-Baqarah : 188

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
"jangan kamu makan harta kamu sesame kamu dengan batil (salah) dan kamu hulur dengannya kepada pemerintah, supaya makan satu pihak daripada harta manusia dengan dosa dalam keadaan kamu mengetahuinya"

Dalam ayat ini, Allah melarang memakan harta manusia dengan kebatilan; dengan jalan yang salah. Iaitu, jalan yang tidak bersesuian dengan jalan yang dibenarkan dalam syarak.

Kedua : Surah An-Nisa' : 29

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya;
"Wahai orang yang beriman, jangan kamu makan harta kamu sesame kamu dengan kebatilan, melainkan perniagaan yang kamu redha sesame kamu. Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat penyayang terhadap kamu"

Ketiga : Surah Al-Hasyr : 7

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
"Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu"

Keempat : Rasulullah SAW bersabda;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ
Maksudnya;
"Tidak akan masuk syurga orang yang mengenakan cukai
[1]"

Dalam kitab Aun Al-Ma'bud, "Maks" ditafsirkan sebagai, "dirham yang diambil daripada peniaga di pasar pada zaman Jahiliyyah
[2]"

Dalam kitab Nail Al-Awtar, "Maks" diterjemah sebagai;

هُوَ مَنْ يَتَوَلَّى الضَّرَائِبَ الَّتِي تُؤْخَذُ مِنْ النَّاسِ بِغَيْرِ حَقٍّ

Maksudnya;
"Menentukan cukai yang diambil daripada manusia tanpa hak
[3]"

CUKAI DALAM SIYASAH

Secara asasnya, hukum mengambil cukai dari rakyat adalah haram. Pun begitu, jika Negara menghadapi kemelut yang tersangat memerlukan kepada kewangan, seperti kerana keperluan untuk berperang, dan sebagainya, ketika itu hukum mengambil cukai dibenarkan.

Keizinan mengambil cukai dari rakyat, dibawah ketagori dharuriyyat dan hajiyat, iaitu dikala kerajaan tidak dapat bertahan melainkan mendapat bantuan kewangan dari rakyat bawahan.

Ini berpegang dengan firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
"Bantu membantulah kamu atas kebajikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu Bantu membantu atas dosa dan permusuhan"

(Surah Al-Maidah : 2)

Cukai yang hendak dikutip, tidak boleh melebihi dari kadar keperluan. Sekiranya mengambil lebih dari kadar keperluan, maka hukumnya adalah haram, kerana konsep Negara islam, bukanlah kerajaan yang berniaga dengan rakyat, tetapi Negara islam adalah Negara yang berkebajikan dengan rakyat.

Firman Allah;

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا * قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

Maksudnya;
"Mereka berkata: "Hai Dzulkarnain, sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj itu orang-orang yang membuat kerusakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?" * Dzulkarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka"

(Surah Al-Kahf : 94-95)

Dari dua ayat ini, kita dapat melihat bentuk kerajaan islam yang diberikan contoh oleh Zulqarnain, bukan kerajaan jibayah (kerajaan yang mengutip cukai) kepada rakyatnya. Waima dalam usaha hendak menyerang Ya'juj wa Ma'juj, Zulqarnain tidak menerima cukai yang mahu dibayar oleh rakyatnya, sebaliknya hanya meminta mereka membantu dalam usaha melawan ya'juj wa ma'juj.

ISU GST

Setelah kerajaan mengalami deficit yang teruk, menyebabkan kerajaan BN mahu menetapkan satu lagi cukai yang akan dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia atas nama GST.

Persoalannya, apakah cukai yang hendak dikenakan kepada rakyat ini, benar-benar menampung keperluan rakyat, atau untuk "mengisi poket" golongan tertentu.

Jika dilihat kepada reality yang berlaku di Malaysia, kita dapati bahawa kebocoran dan ketirisan merupakan punca utama terhadap deficit yang menimpa Negara, disamping pengurusan kewangan Negara yang tidak cermat, seperti pembaziran berlaku berluas-luasa.

Disamping itu juga, cukai yang sudah dikenakan kepada rakyat juga sudah banyak, seperti tol, cukai tanah, cukai jalan dan banyak lagi. Dan sudah pasti, penambahan cukai atas nama GST yang mahu dilaksanakan pada tahun 2011 merupakan satu bebanan terhadap rakyat, yang amat bercanggah dengan konsep bernegara mengikut islam.

Apa yang pasti, dengan desakan kerajaan untuk mengenakan GST kepada rakyat merupakan petanda yang paling besar bahawa BN sudah tidak relevan lagi menjadi pemerintah, bahkan sudah sampai masanya parti lain menguasai dan mengambil alih pemerintahan Negara.

Persoalannya, parti manakah yang bersedia? Apakah parti islam bersedia?

Laksanakan Islam dalam jemaah kamu, sebelum islam mahu dilaksankan dalam Negara kamu.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kota Damansara
25 Safar 1431 – 10 febuari 2010 * 2:25 pagi





[1] Abu Daud : 2548.
[2] Aun Al-Ma'bud : 6/412.
[3] Nail Al-Awtar : 11/251.

Isnin, 8 Februari 2010

BEDA WALA' DAN SIQAH?

BEDA WALA' DAN SIQAH?

Islam melarang isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami; tetapi dalam masa yang sama, adalah satu larangan dalam Islam juga, sekiranya suami terlalu mengongkong Isteri sehingga tidak membenarkan langsung isteri keluar dari rumah.

Memahami ini, jelas kepada kita, Islam tidak sahaja memberikan hak kepada pihak suami sahaja, tetapi dalam masa yang sama, hak pihak isteri juga diberikan keadilan sama.

Seorang penjual mempunyai hak ke atas barang yang hendak dijual. Pun begitu, penjual itu tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya, kerana penjual mesti menjaga hak pembeli juga.

Serupa juga dengan pimpinan atasan. Islam meletakkan kewajipan orang bawahan memberi ketaatan kepada pemimpin. Pun begitu, pemimpin wajib juga menjaga hak orang bawahan.

Tidak menipu, tidak melakukan kezaliman, tidak mengkhianati, tidak menyeleweng, tidak berat sebelah dan sebagainya merupakan cara untuk pimpinan menjaga siqah.

Justeru, apabila Pimpinan atasan sudah menjaga siqah, barulah orang bawahan wajib memberi wala'. Tanpa siqah dari pihak atasan, maka tiada wala' terhadap pimpinan atasan. Bermakna, siqah itu datang dari pimpinan atasan. Wala' itu datang dari orang bawahan. Kedua-dua perkara wajib seiring dan sejalan.

Jika pimpinan atasan tidak menjaga siqah, lalu mewajibkan kepada orang bawahan memberi wala', ini bukan konsep wala' dalam islam, tetapi ini adalah 'wala' ala paderi di zaman Karl marx'.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 safar 1431 – 9 febuari 2010 * 12:05 Tenghahari



SIQAH?

SIQAH?

Siqah bermakna kepercayaan. Kepercayaan yang dimaksudkan adalah, seseorang itu adalah seorang yang adil, dan dilihat adil. Maksud adil adalah, mereka tidak melakukan dosa kecil, sama sekali tidak melakukan dosa besar.

Tindakan menipu dan melakukan kezaliman atas nama agama, merupakan penyelewengan yang boleh mencarikkan kesiqahan. Apabila kesiqahan sudah tercarik, sudah pasti wala' tidak akan terlahir sama sekali.

Seseorang ilmuan dalam bidang hadis, dia akan disebut sebagai lelaki yang siqah, apabila dia mempunyai 'adalah (tidak buat dosa kecil dan dosa besar) dan mempunyai kekuatan ingatan, juga mempunyai kefahaman yang jitu terhadap sesuatu hadis.

Adapun dalam pengajian usul fiqh pula, seseorang ulama usul yang siqah adalah, orang yang mempunyai kemahiran dalam ilmu mantiq. Atau dengan kata lain, seseorang yang mempunyai maklumat yang tinggi tentang fiqh, dan mempunyai hafalan Al-Quran dan As-Sunnah yang tinggi, dia tidak boleh dikatakan sebagai siqah dalam bidang usul fiqh, jika ia tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu mantiq.

Dalam al-mustasfa, Imam Al-Ghazali ada menyebut;

لا ثقة لمن يعرف علم المنطق

Maksudnya;
"tiada siqah bagi mereka yang tidak mengetahui ilmu mantiq"

Kesiqahan inilah, menyebabkan wujud hormat menghormati dalam percanggahan ilmu antara imam mazhab empat, kerana percanggahan mereka dalam lingkungan kesiqahan.

Ijtihad hanya bersumber dari Al-Quran dan As-Sunnah. Imam As-Syafie tidak menafikan fatwa Imam Malik, begitu sebaliknya. Kerana, kedua-dua berpegang dengan al-Quran dan As-Sunnah. Begitujuga terhadap imam-imam mazhab yang lain.

Adapun yang berlaku kini adalah sebaliknya, iaitu wala' di paksa dilakukan, tetapi dalam masa yang sama kesiqahan dari pihak atasan tidak terjaga. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti ia amat bercanggah dengan maksud siqah yang wujud dalam islam.

Keadaan ini, sama seperti seorang suami yang mewajibkan isterinya taat kepadanya, tetapi dalam masa yang sama suami tidak pernah memberikan hak terhadap isterinya. Apakah ini dari ajaran islam? walhal islam adalah agama yang mewajibkan isteri mentaati suami, tetapi bukan bermakna suami boleh melakukan sesuka hati terhadap isterinya.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 safar 1431 – 9 febuari 2010 * 1:21 pagi


WALA' KEPADA YANG MA'SUM DAN TIDAK MA'SUM


WALA' KEPADA YANG MA'SUM DAN TIDAK MA'SUM

Wala' tidak akan berlaku melainkan terhadap yang ma'sum; Allah dan Rasul. Selain kedua-dua perkara ini, tidak ada wala' sama sekali.

Wala' bermaksud, memberi ketaatan tanpa berbelah bahagi, disamping mempunyai beberapa unsure, iaitu (An-Nasr) membela, (Al-Qurb) mendekatkan diri dan (Al-Mahabbah) mencintai
[1]. Ekoran itu, kelahiran wala' adalah selepas lahirnya siqah.

Siqah bermaksud kepercayaan. Bagaimana mungkin kita mengikut (wala') sesuatu arahan orang, sedangkan orang yang memberi arahan tidak mempunyai kesiqahan.

Kesiqahan tidak pernah luntur terhadap Allah dan Rasul. Adapun selain itu, kesiqahan boleh luntur. Ekoran itu, wala' tidak akan berlaku dalam perkara yang bercanggah dengan Allah dan Rasul, seperti atas dasar assobiyyah, dalam mengkhianati perjanjian, kezaliman dan sebagainya.

Yang pastinya, tidak wujud sama sekali istilah wala' bagi tindakan yang boleh mendatangkan mudharat yang besar dan berpanjangan terhadap islam itu sendiri.

WALA' KEPADA MAKHLUK?

Wala' terhadap yang ma'sum; Allah dan Rasul adalah bersifat mutlak. Adapun wala' terhadap selain kedua-dua ini, tidak bersifat mutlak, sebaliknya bersifat muqayyad.

Apabila sesuatu suruhan dan larangan itu wujud dalam Al-Quran dan As-Sunnah, maka memberikan wala' kepada suruhan dan larangan tersebut tidak didebatkan lagi. Adapun suruhan dan larangan selain dari Al-Quran dan As-Sunnah, sudah pasti ia memerlukan kepada perbahasan.

Antaranya adalah;

SYURA

Firman Allah;

وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ

Maksudnya;
"urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka"

(Surah Syura : 38)

Juga firman Allah;

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya;
"bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah"

(Surah Al-Imran : 159)

Menurut fuqaha', syura disyariatkan adalah untuk mencari pandangan-pandangan lain dalam menentukan sesuatu keputusan yang paling tepat. Ekoran itu, ulama fiqh meletakkan syarat bahawa ahli yang terlibat dengan syura itu adalah mereka yang mempunyai 'Adalah (tidak melakukan dosa besar dan kecil), mempunyai siqah (kepercayaan), mampu berijtihad (ijtihad fi al-fahmi dan Ijtihad fi tanzili) dan sebagainya
[2].

Yang paling penting, hendaklah keputusan yang tercapai dalam syura adalah pendapat yang tidak menyalahi dengan nas, dan tidak menyalahi maqasid syariah secara umum; iaitu dengan mencapai maslahah yang lebih besar dan lebih berpanjangan, disamping menolak segala kemudharatan yang bakal berkunjung tiba
[3].

Sesuatu keputusan yang menyalahi nas, maka keputusan tersebut tidak wajib diberi wala'. Begitujuga, keputusan yang tidak mendatangkan maslahah kepada islam, bahkan mendatangkan mudharat pula kepada islam adalah keputusan yang tidak wajar diberikan wala'.

Firman Allah;

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya;
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya"

(Surah Al-Imran : 159)

Dari ayat ini, kita dapati bahawa Allah SWT menyuruh manusia menyelesaikan urusan dengan syura. Pun begitu, di awal ayat dinyatakan tentang "rahmat Allah", lantaran perlunya melakukan tindakan yang bersifat lemah lembut dan bertindak agar manusia tidak menjauhkan diri daripada kita. Ia sudah pasti, melibatkan kepada maqasid islam yang mempunyai sifat menarik segala maslahah, disamping menolak mudharat.

SELAIN MA'SUM, BOLEH DIPERSOAL

Sesuatu suruhan dan larangan selain yang ma'sum, tidak boleh diberikan ketaatan secara membuta tuli. Bahkan, sebelum ketaatan yang hendak diberi, perlu diperhatikan terlebih dahulu, apakah ia benar-benar mendatangkan maslahah kepada islam dan dapat mengelakkan islam daripada terkena mudharat.

Sekiranya wujud perkara yang memberikan mudharat, maka memberi wala' kepada suruhan dan larangan tersebut adalah tertolak sama sekali.

Ini disandarkan kepada hadis Al-bukhari, daripada Ali bin Abi Talib bercerita, bahawa Rasulullah SAW telah melantik seorang lelaki dari Ansar untuk mengetuai satu angkatan mujahidin dalam satu peperangan. Nabi SAW menyuruh bahawa semua mujahidin memberi ketaatan kepada lelaki ansar tersebut.

"bukankah Rasulullah SAW menyuruh kalian mentaatiku?" soal lelaki ansar itu kepada para mujahidin.

Para mujahidin semua menjawab, "Ya"

"Jika begitu, aku mengarahkan kalian menghimpun kayu api dan nyalakan api dan hendaklah kamu semua terjun ke dalam api tersebut " arah lelaki ansar itu

Semua mujahidin menghimpunkan kayu dan menyalakan api. Tetapi, dikala mereka disuruh untuk terjun ke dalam api tersebut, menyebabkan mereka melihat wajah sesame mereka.

"bagaimana mungkin kita terjun ke dalam api, walhal nabi SAW pernah menyuruh kita lari daripada api" kata salah satu kelompok dari kalangan mujahidin tersebut.

Kata-kata kelompok mujahidin itu menyebabkan lelaki ansar itu marah.

Pun begitu, apabila Berita itu sampai kepada pengetahuan nabi SAW, menyebabkan nabi SAW berkata ;

لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا أَبَدًا إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya;
"Kalau kamu masuk ke dalamnya (api), pasti kamu tidak akan keluar darinya sampai bila-bila. Sesungguhnya taat (wala') hanya berlaku dalam perkara ma'ruf
[4]"

Begitujuga, tindakan Ubbadah bin As-Somit yang mempersoalkan banyak tindakan Muawiyyah semasa menjadi gabenor islam di Syam, kisah seorang anak muda yang mempersoalkan jubah yang dipakai oleh Umar bin Al-Khattab semasa menjadi Khalifah, tindakan Syuraih Al-Qadhi yang mempersoal tuduhan Khalifah islam, Ali bin Abi Talib dikala menuduh seorang yahudi mencuri baju besinya dan sebagainya.

KESIMPULAN

Dari segala ulasan ringkas di atas, disimpulkan seperti berikut;

1- Secara umumnya, dinyatakan bahawa wala' kepada yang ma'sum adalah bersifat mutlak. Adapun terhadap yang tidak ma'sum bersifat muqayyad (tidak mutlak).
2- Sebelum memberi wala' kepada yang tidak ma'sum, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu, apakah suruhan dan larangan tersebut benar-benar memberi maslahah kepada Islam ataupun tidak. Sekiranya suruhan dan larangan itu terkandung mudharat terhadap islam, maka memberi wala' adalah tidak wajar sama sekali.
3- Setiap syura yang hendak diadakan, hendaklah dipastikan ahli-ahli yang terlibat itu adalah orang-orang yang mempunyai syarat yang cukup, seperti 'adalah, siqah, mujtahid dan sebagainya.
4- Setiap keputusan yang dibuat, perlu mempunyai kesiqahan, agar tidak mendatangkan kecelaruan di masa akan datang.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 safar 1431 – 8 febuari 2010 * 9:31 malam






[1] Syarh Rasm Al-bayan tarbiyah : 23.
[2]Fi Al-ijtihad At-tanzili : 149
[3] Fi Al-ijtihad At-tanzili : 149.
[4] Al-Bukhari : 6612.

Ahad, 7 Februari 2010

TIDAK ADA MUZAKARAH TERTUTUP DENGAN UMNO !!


TIDAK ADA MUZAKARAH TERTUTUP DENGAN UMNO !!

Seminar Pemikiran islam yang dianjurkan oleh kerajaan negeri kelantan dalam isu pemakaian kalimah Allah SWT bagi non Muslim, adalah berpunca daripada berselisihan antara ilmuan-ilmuan di Malaysia tentang isu tersebut. Bagi melihat penjelasan yang jitu dan ilmu, diadakan seminar tersebut.

Dalam seminar itu, didapati pihak penalis yang dijemput membentangkan pandangan masing-masing. Waima ada yang berbeda pendapat dalam beberapa perkara, tetapi tidak dinafikan bahawa mereka bersatu pendapat dalam beberapa perkara yang lain. Yang pastinya, hadirin dapat menilai hujjah-hujjah dari para penalis yang telah membentangkan pandangan masing-masing.

Seminar ini, amat menggembirakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang merupakan menteri besar kelantan, juga Mursyidul Am PAS. ini kerana, ia merupakan majlis lontaran pandangan penalis masing-masing secara terbuka, yang sudah pasti hadirin akan dapat menilai hujjah dan pendapat siapakah yang paling kuat dalam menyatakan pendapatnya.

Cuba bayangkan, jika majlis seminar terbuka sebegini diadakan dengan UMNO? Sudah pasti, ia akan membuka satu lembaran sejarah yang besar kepada rakyat Malaysia dalam menilai kebenaran dakwah yang dikemukakan oleh PAS, dan betapa batilnya ajaran UMNO dalam memperkatakan tentang islam.

Ekoran itu, tidak hairan dalam kenyataan Media Tuan guru sejurus majlis tersebut bahawa Tuan guru nik Abdul Aziz berkata, "seminar mengenai kalimah Allah ini, saya datang ini hanya untuk (rasmi) penutupan Majlis. Walaubagaimanapun, saya sangat gembira jika majlis macam ini, dibuat antara PAS dengan UMNO"

Sekian

p/s : diharap agar tidak ada pimpinan PAS yang bertindak dalam bentuk yang tidak cerdik dengan termakan provokasi media UMNO dalam meragukan rakyat terhadap PAS.

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
23 safar 1431 – 8 Febuari 2010 * 2:01 pagi

MUZAKARAH?


MUZAKARAH?

Program seminar pemikiran islam anjuran kerajaan Negeri kelantan yang membincangkan isu kalimah Allah amat membanggakan. Ini kerana, inilah satu-satunya kerajaan yang memulakan perbincangan isu kalimah Allah secara terbuka, yang melibatkan pimpinan negeri; bermula dari peringkat kampong sehingga ke peringkat negeri.

Aku dijemput oleh kerajaan Negeri dalam menyatakan pandangan dalam isu ini. Sudah pasti, aku berpendapat pengunaan kalimah Allah kepada non Muslim ini dibenarkan. kelihatan Dr Mohd Nur Manuti sependapat denganku, tetapi agak kurang sehaluan oleh Dr Siddiq Fadhil dan Dr Johati Mat.

Ucapan penutup, disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Selesai majlis penutup, semua pembentang dan para jemputan; seperti paderi dan ketua agama budha Kelantan, dijemput bersama-sama di hidangan.

Sedang menyantap hidangan yang disediakan, banyak perkara yang dibincangkan kami bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Apabila berbual denganku, tuan guru banyak bercakap hindi (urdu). Paderi yang berbangsa India itu tersenyum melihat perbualanku dengan Tuan Guru. Dr Mohd Nur Manuti juga kelihatan agak riang apabila melihat perbualanku bersama tuan guru, disamping beliau juga menyampuk berbualan kami dengan beberapa kalimah urdu, seperti kalimah "bohot nehi" dan sebagainya.

"ustaz buatlah buku dalam isu kalimah Allah ini" kata Tuan guru nik Abdul Aziz kepadaku dalam perbualan kami.

Aku hanya tersenyum mendengar cadangan tuan guru itu. Aku tidak dapat membalas cadangan tuan guru itu, hanya masa dan ketika sahaja yang akan menentukannya. Dr Mohd Nur Manuti kelihatan mengangguk-angguk dengan cadangan tuan guru.

"dia ni, anak pondok lubuk tapah" kata Pengerusi Tabung Amanah Tok Kenali sambil mengisyaratkan tangannya ke arahku.

Aku diam. Mataku hanya melihat kepada air the yang dihidangkan sahaja.

Tok Guru tersenyum sambil melihatku ketika Pengerusi Tabung Amanah tok Kenali mengatakan demikian.

KENYATAAN

Selesai makan, Tuan guru membuat kenyataan media di sofa yang disediakan di dewan putik. Banyak soalan-soalan yang dilontarkan kepada Tuan guru.

Pada peringkat awal, Tok Guru banyak menyebut tentang program yang diadakan. Tok guru menyatakan sukacita beliau dengan program tersebut. Tok guru mencadangkan agar majlis dialog seperti yang berlaku pada hari itu, dilakukan juga dengan UMNO; iaitu dialog dalam memastikan, antara PAS dan UMNO, siapakah yang sebenarnya melaksanakan islam.

Cumanya, setelah pulang ke Sungai Buloh, aku agak terkejut apabila melihat TV, didapati berita yang terpampang adalah tentang muzakarah.

"macam mana isu muzakarah pula yang keluar?" soal dalam bisikan hatiku.

"hari tu, mana ada tok guru sebut muzakarah, yang adanya adalah, ajak Dialog untuk memastikan antara PAS dan UMNO, siapakah yang sebenarnya melansanakan islam" sambung bisikan hatiku lagi.

Nampaknya, ternyata kenyataan tok guru itu telah diselewengkan oleh Media BN, demi melihat kekacauan dalaman PAS, disamping sengaja mahu mewujudkan tidak siqah rakyat terhadap kredibiliti tok Guru, yang kononnya tidak consisten berhubung muzakarah PAS dan UMNO.

Yang pastinya, media UMNO/BN memang bangsat. Jahat tidak terkata.

"kalau UMNO ini wujud sebelum zaman Nabi, ana rasa la, mungkin dalam Al-Quran, Allah tidak cerita pasal orang kafir, munafiq dan Fasiq sahaja, mungkin Allah ada cerita pasal UMNO juga kot" Aku teringat kata-kata kawanku satu ketika dahulu.

Sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Danau kota
7 febuari 2010 – 22 Safar 1431 * 5:49 petang