Ahad, 17 Oktober 2010

CATITAN : SEHARIAN DI KEDAI KOPI

Semasa belajar di Al-Azhar dahulu, mata pelajaran yang paling aku minat adalah Usul Fiqh. Faktor pemikiran aliran mazhab-mazhab islam, mungkin penyebab utama mata pelajaran itu aku minati.

Di Pakistan, aku pernah belajar di Jamiah Abu bakar As-Siddiq, Gulshan-e-Iqbal, Karachi. Jamiah itu adalah sebuah universiti Islam [Cawangan Madinah Munawwarah] beraliran salafiyyah, yang ramai melebelkannya sebagai ‘sekolah wahabi’. Jiwaku tidak sealiran dengan cara berfikir aliran ini, kerana padaku, cara mereka mengistinbatkan hukum, agar tidak cermat sepertimana aliran mazhab-mazhab islam yang lain. Lantaran, aku merubah haluan, dengan mendaftarkan diri ke Univerisiti islam yang bermazhab hanafi aliran deobandi di pakistan, iaitu Jamiah Farooqiyyah. Padaku, Imam Hanafi adalah unik, lantaran aku sanggup meninggalkan jamiah Abu Bakar As-Siddiq, dan menghubungkan dengan Jamiah Farooqiyyah yang beraliran Mazhab Hanafi.

Namun, sikapku menukar jamiah itu mendapat sedikit tidak puas hati dari sebilangan kawan-kawan yang berbangsa pakistan dan Afghanistan. Sehinggakan, ketika aku hadir dalam majlis Khatam Bukhari di Jamiah Salafiyyah itu, atau dalam budaya Pakistan disebut sebagai ‘dastarbandi’, aku didatangi kawan-kawan lama di jamiah Abu bakar berbangsa Afghanistan.

“apakah kamu tidak menyanyangi Salaf?” soal seorang kawan berbangsa Afghanistan dalam bahasa arab yang fasih.

Soalan itu, menyebabkan aku tersenyum. Aku tahu, soalan itu merupakan sindirannya terhadapku yang meninggalkan jamiah salafiyyah, dan menggabungkan diri dengan jamiah Ahnaf, yang mereka melihat seperti kurang pengamalan sunnah.

Sambil tersenyum, aku menjawab dalam bahasa arab, “Demi Allah, aku mengetahui Imam Hanafi adalah ulama salaf. Justeru, aku belajar di Jamiah aliran Mazhab Hanafi”

Kawanku berbangsa afghan itu tersenyum mendengar jawapanku, dan beliau tidak mampu menjawab lagi. Jawapanku itu, menyebabkan seorang lagi teman berbangsa afghan ketawa kuat.

USUL FIQH

Semasa di Mesir, kitab usul fiqh adalah kitab wajib bagi diriku. Ia menjadi kitab bacaan harian. Walau aku dikenali sebagai kaki tidur semasa di mesir, tetapi kitab usul fiqh, pasti aku sentuh pada setiap hari, walau kitab lain tidak disentuh. Minatku kepada mata pelajaran itu, sehingga selesai pengajianku di mesir. Malahan sehingga kini, kitab usul fiqh masih menjadi bacaan harianku.

Hari ini, aku dengan jadual harianku ke sebuah kopitiam di Sungai Buloh untuk menelaah kitab usul Fiqh, dan membaca dua buah buku lagi, iaitu buku yang berbicara tentang konsep Hisbah dalam islam, dan buku karya Abuya Hamka, Falsafah hidup.

Semasa sedang menulis nota usul fiqh, aku ditelefon oleh Saudara Eekmal, seorang yang aku sifatkan sebagai ‘perpustakaan bergerak’, dan ‘klon ilmu pak Khalid Jaafar’ . Diajak ke Jalan telawi, untuk berwacana bersama-sama sahabat-sahabat di sana. Aku menerima ajakan itu. Setelah menunaikan solat asar, aku terus ke sana.

Sesampai di sana, banyak perkara yang diwacanakan kami sambil menyantap makanan. Watak Tan malaka dibicarakan, cerita PAS dan PKR juga disentuh, tidak ketinggalan juga cerita-cerita lawak bagi memeriahkan ‘lepak ilmiyyah’ kami.

Berhenti sekejap menunaikan solat, dan disambung balik. Lepak kami itu berlanjutan sehingga jam di tangan menunjukkan jarum hampir 9 malam, dan kemudian kami bersurai. Lepak malam ini di Telawi, agak kurang meriah berbanding biasa. Mungkin kerana tidak dihadiri Pak Khalid, tokoh yang aku sifatkan sebagai ‘filosofi yang mempunyai pengetahuan tentang aliran islam, juga aliran tidak islam. diberitakan bahawa beliau demam, setelah pulang dari Indonesia baru-baru ini.

Kemudian, aku terus memandu kereta menuju pulang. Dalam perjalanan, aku menerima SMS oleh seseorang yang tidak dikenali untuk ajak lepak di salah sebuah kedai di kawasan Sungai Buloh. Aku menyatakan, tidak bersedia, kerana agak keletihan. Namun, aku membalas SMSnya, dengan bertanya tentang topik apa mahu berbual denganku, sehingga kelihatan agak bersungguh-sungguh untuk bertemu.

Dinyatakan, mahu minta nasihat untuk membina surau. Aku nyatakan, aku tidak ada pengalaman, lalu diberikan nombor telefon Saudara Khairuddin, orang yang mempunyai hubungan rapat dengan Dato’ Hasan Ali [Setiausaha Perhubungan PAS Selangor] , yang sudah pasti mempunyai pandangan yang bernas tentang pembinaan Surau kerana Dato’ Hasan Ali adalah exco agama di Negeri Selangor. Di balas lagi SMS, untuk tetap mahu berjumpa denganku di salah sebuah kedai mamak di sekitar Sungai Buloh, kerana mahu berbincang tentang usaha hendak mengadakan majlis Solat Hajat dan ceramah agama.

Aku keletihan, dan aku nyatakan bahawa esok sahaja bertemu. Dan ternyata dia bersetuju. Sudah seharianku berada di kedai kopi, dan esok episod hidupku di kedai kopi akan berulang kembali.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
18 Oktober 2010 * 12:32 pagi

Tiada ulasan: