Khamis, 25 Ogos 2011

SELESAIKAN MURTAD DENGAN SEGERA

Bagaimana hendak selesaikan orang murtad? Apabila timbul persoalan ini, rata-rata umat Islam akan berfikir kepada dua pilihan ini, iaitu; Pertama, perlu kembalikan orang murtad itu kepada Islam. Dan kedua, bunuh sahaja orang murtad tersebut.

Jika ditanya padaku, aku lebih memilih pilihan pertama, iaitu berusaha sedaya upaya kembalikan balik orang murtad itu kepada Islam. Padaku, daripada membunuh orang yang boleh mengurangkan bilangan orang Islam, adalah lebih baik berfikir meramaikan lagi umat Islam dengan mengembalikan orang murtad itu kepada Islam.

Lagipula, hukuman bunuh terhadap orang murtad ini tidak disepakati oleh Ulama. Yang disepakati oleh Ulama hanyalah apabila orang murtad itu menyerang Islam selepas mereka murtad. Adapun semata-mata murtad, ulama tidak pernah bersepakat pada hukuman bunuh tersebut.

Dalam berhadapan dengan khilaf, hendaklah kita tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan imej yang buruk kepada Islam. Ini kerana, kaedah dalam Islam juga mengakui bahawa tidak ada satu kejahatan yang mahu dihapuskan mendatangkan kejahatan yang lain.

Jika diambil pendapat yang mengatakan bunuh terhadap orang murtad, ia akan mendatangkan kesan buruk (maalat al-af’al) kepada Islam itu sendiri. Iaitu, Islam akan dilihat oleh non muslim sebagai agama yang ganas. Dan keadaan ini, jika ditiru oleh mereka yang beragama selain Islam, iaitu apabila ada orang hindu yang memeluk islam, maka pihak hindu akan membunuh terhadap saudara baru islam itu, sudah pasti ia melahirkan kekacauan hidup antara sesame manusia, walhal Islam tidak pernah mengiktiraf kekacauan antara manusia itu.

*** 

Hendak mengembalikan orang murtad kepada Islam ini, tidak seharusnya menggunakan kekerasan atau undang-undang semata. Ia perlu diambil kira dari sudut pendekatan dan perbincangan ilmiah.

Soal murtad adalah soal keyakinan. Keyakinan tidak akan kembali dengan paksaan, walhal undang-undang itu adalah paksaan. Jadi, perdebatan ilmu perlu disuburkan.

Pihak Jabatan Agama Islam perlu mengadakan reformasi dalam pentadbiran. Mereka tidak boleh terfokus kepada undang-undang sahaja, tetapi pendekatan yang berhikmah perlu ditekankan. Disamping memperkasakan institusi zakat; tidak sekadar focus kepada pengumpulan wang zakat, tetapi penyebarannya juga perlu diseriuskan. Ijtihad Malaysia yang membataskan pemerian zakat kepada Muslim dan pemberian kepada pelajar agama sahaja perlu dikaji semula. Ijtihad Umar bin Al-Khattab dan pendefinisian “muallaf Al-Qulub” seperti yang didefinisikan oleh Imam Al-Qurtubi perlu diadaptasikan dalam Malaysia.

Disamping itu juga, pihak jabatan agama Islam perlu berusaha melahirkan pendakwah-pendakwah yang bijak berhujjah dan petah. “Ahmad Deedat Malaysia” dan “Dr Zakir Naik” perlu diramaikan di Malaysia. Pendakwah-pendakwah yang dilahirkan oleh Jabatan Agama Islam ini, tidak sekadar berlegar di surau dan masjid, tetapi lebih dari itu.

Pihak jabatan agama Islam perlu mengadakan jalinan mesra dengan pihak agama-agama lain; kristian, hindu, Buddha dan sebagainya. Jalinan atas asas kemanusiaan itu bagi merapatkan hubungan sehingga mampu berlaku dialog antara agama dengan pihak-pihak agama selain Islam. Jika ini berjaya dilakukan, tidak hairan fenomena gereja bertukar menjadi masjid akan berlaku, sepertimana yang sedang berlaku hebat di Negara-negara barat pada hari ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam






1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,
dakwah hendaklah dibuat kepada semua pihak yg sedia islam mahu pun belum islam.
tapi bagi saya lebih banyak usaha dan wang ringgit harus dilaburkan utk dakwah kepada umat islam sendiri.
ianya lebih banyak impak pada pandangan saya.
satu, membentuk umat islam yg lebih baik akhlaknya, yang mana akhlak yg baik adalah satu dakwah secara tak langsung.
dua, umat islam yg baik dapat ingat mengingat antara satu sama lain dan sentiasa memperbaiki diri.
tiga, umat islam yg baik dapat menyampaikan dakwah kepada non muslim dgn baik. beban pendakwah juga dapat dikurangkan.
empat, walaupun negara kita ni masih samar2 tentang perlaksanaan islamnya, umatnya akan melaksanakan tanggungjawab masing2 sebagai orang islam, baik dr segi akidah, dakwah, muamalat,hubungan sesama keluarga, pencarian dan penguasaan ilmu, sedekah, zakat, infak dll.