Selasa, 10 Januari 2012

MUZIK : SATU KUPASAN


BAB SATU : MANHAJ PERBINCANGAN

[1]

Hukum dibahagikan kepada dua[1], iaitu;
1-    Lizatih (Hukum zat, atau hukum asal)
2-   Lighairih (hukum berfaktorkan yang lain)

Contoh :
1-    Hukum Lizatih – wajib pergi kenduri kahwin bila dijemput.
2-   Hukum lighairih – haram, jika ada unsur maksiat. Sunat, jika hadir dalam keadaan berada dalam keuzuran.

[2]

Haram terbahagi kepada dua jenis[2];
1-    Haram mutlak (secara mutlak)
2-   Haram liwasfih  (berfaktorkan sifat)
a.    Liwasif al-Mujawir lahu.
b.    Liwasif al-Lazim lahu.

Contoh;
1-    Haram mutlak – haram daging babi
2-   Haram liwasfih
a.    Liwasfih al-Mujawir lahu – puasa nazar pada 1 syawal atau solat dengan memakai pakaian curi[3].
b.    Liwasfih al-Lazim lahu – Haram riba, walhal ia adalah jual beli juga.

[3]

Kaedah ada menyatakan;

الأصل في الأشياء الإباحة ما لم يرد نصا صحيحا صريحا علي خلافه

Maksudnya;
          “Asal sesuatu perkara itu adalah harus selama tidak datang nas yang saheh lagi sareh atas hukum sebaliknya”

[4]

Setiap hukum dari sesuatu nas, hendaklah diperhatikan kepada dua[4];
1-    Al-Sawabit (perkara yang tidak akan berubah)
2-   Al-Mutaghayyirat (perkara yang boleh berubah)

[5]

Menurut[5] Imam al-Izz bin Abd al-Salam (dalam Qawaid al-Ahkam) dan al-Syatibi (dalam al-Muwafaqat). Hukum itu tertakluk kepada dua;
1-    al-Ahwal (kondusif)
2-   al-Asykhas (individu-individu manusia)

Adapun Ibn ‘Asyur pula menyatakan, hukum itu tertakluk kepada dua perkara;
1-    al-Zaman (masa)
2-   al-Makan (tempat)

[6]

Setiap hukum dalam syariah, mesti ada maqasid al-‘Ammah (dalam Istilah lain : al-Maqasid al-Ghaiyyah). Setiap hukum fiqh, tidak boleh ternafinya Maqasid ammah ini. Sekiranya ternafi, maka ia perlu di kaji balik.

Antara kandungan Maqasid ‘Ammah ini adalah keadilan, tolak kezaliman, tidak menafikan fitrah, kebebasan dan sebagainya.

BAB DUA : HUKUM MUZIK

[1]

Secara fitrahnya, manusia mahukan berhibur. Berhibur merupakan tuntutan fitrah. Firman Allah;

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya; 
       “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”  (Surah al-Rum, ayat 30)

[2]

Hukum memakai pakaian labuh menutup buku lali tidak haram secara mutlak, tetapi haram sekiranya mendatangkan khuyala’ atau sombong. Dengan maksud, labuh atau tidak, bukan punca haram, tetapi haram itu berdasarkan kepada sombong itu[6].

Sabda Nabi SAW;

ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَنَّانُ الَّذِي لَا يُعْطِي شَيْئًا إِلَّا مَنَّهُ وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْفَاجِرِ وَالْمُسْبِلُ إِزَارَهُ

Maksudnya;
          “Tiga golongan yang Allah SWT tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat nanti; 1- dermawan yang tidak memberi sesuatu kecuali orang mahu dia berikan sahaja. 2- orang yang hendak memberikan sesuatu barangnya dengan sumpah yang buruk. 3- orang yang melabuhkan kainnya[7]

Juga hadis;

مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

Maksudnya;
          “Pakaian yang rendah dari dua buku lali dari pakaiannya, maka ia dalam neraka[8]

Dari umum hadis ini, kelihatan seperti Nabi SAW melarang melabuhkan pakaian sehingga menutup buku lali. Namun begitu, hukum larangan haram ini bukan bersifat mutlak, tetapi tertakluk kepada faktor-faktor yang lain, iaitu, sekiranya mendatangkan khuyala’ atau sombong. Dengan maksud, jika tidak ada sombong, maka melabuhkan itu tidak haram.

Ini dilihat pada hadis yang lain seperti berikut;

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
          “Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana Khuyala’ atau sombong, pasti Allah SWT tidak akan melihat (wajahnya) pada hari kiamat nanti[9]

Khuyala’ merupakan sifat bagi pengharaman berpakaian labuh sehingga menutup buku lali. Sekiranya tidak mendatangkan khulaya’, maka ia tidak jadi haram.

Serupa juga hukum muzik. Ia bukan haram secara mutlak, seperti dalam hadis Nabi SAW;

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ

Maksudnya;
          “Lagi akan berlaku pada umat aku puak-puak manusia yang menghalalkan zina, sutera, arak dan muzik[10]

Larangan dalam hadis ini, bukan semata-mata muzik, tetapi apabila ada unsure lagha atau melalaikan. Ini merujuk kepada firman Allah;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

Maksudnya;
       “Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan” (Surah Luqman, ayat 6)

Muzik ini dikatakan haram, sama seperti dikatakan haram ungkapan puak-puak Khawarij yang mengungkapkan ayat al-Quran “tiada hukum kecuali hukum Allah” ketika melawan pemerintahan Ali bin Abi Talib. Ketika itu, Saidina Ali menyatakan, “kalimah itu benar, tetapi yang dikehendaki olehnya adalah kebatilan”

[3]

Tepuk tangan tidak haram, kerana berpegang dengan kaedah asal, iaitu asal sesuatu perkara adalah harus. Dalam erti kata yang lain, dalam perkara yang berkait dengan adat, bukan ibadat, seperti tepuk tangan dalam majlis keramaian, tepuk tangan ketika bermain-main dengan anak kecil dan seumpamanya, ia tidak haram, malahn harus.

Adapun tepuk yang diharamkan adalah tepuk dalam perkara ibadat. Inilah yang dimaksudkan dari firman Allah SWT seperti berikut;

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

Maksudnya;
       “Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu” (Surah al-Anfal, ayat 35)

Menurut Ibn Abbas bahawa orang Quraish di zaman Jahiliyyah, melakukan tawaf dalam keadaan telanjang dalam keadaan mereka bertepuk tangan. Mereka menyangka bahawa itu merupakan perkara ibadat[11].

Maka serupa juga dengan hukum muzik. Iaitu, ia haram sekiranya ia dimasukkan dalam ibadat, seperti muzik sambil solat (seperti yang diamalkan dalam agama Kristian). Adapun sekadar adat, yang tidak dicampurkan dalam urusan ibadat, maka ia kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

BAB TIGA; ULASAN DALIL

[1]

Dalil-dalil yang digunakan untuk mengharamkan muzik seperti berikut;

Pertama;

كُلُّ شَيْءٍ يَلْهُو بِهِ ابْنُ آدَمَ فَهُوَ بَاطِلٌ إِلَّا ثَلَاثًا رَمْيَهُ عَنْ قَوْسِهِ وَتَأْدِيبَهُ فَرَسَهُ وَمُلَاعَبَتَهُ أَهْلَهُ

Maksudnya;
          “Semua perkara boleh melaghakan anak adam, maka ia adalah batil kecuali tiga; memanah, melatih kuda dan bergurau dengan keluarga[12]

Ulasan hadis;

1-    wujud mustasna (pengecualian) dalam hadis ini, bukan merujuk kepada Hasr (pembatasan). Ini kerana, memanah, melatih kuda dan bergurau juga boleh menjadi haram sekiranya boleh melahirkan kelalaian dari mengingati Allah SWT. Oleh itu, ia sebenarnya merujuk kepada galakkan terhadap mempelajari tiga perkara ini.
2-   Makna batil tidak merujuk kepada makna haram. Ini kerana, dalam bahasa arab, batil itu sendiri mempunyai beberapa maksud, antaranya;
a.    Sesuatu yang tidak sabit;
b.    Perkara yang ghurur;
c.    Tiada manfaat;
d.    Tindakan yang tidak mendekatkan diri kepada Allah.
3-   Oleh yang demikian, batil tidak semestinya memberi maksud haram, tetapi memberi maksud sesuatu yang halal, tetapi kurang digemari.

Kedua;

Sabda Nabi SAW;

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ

Maksudnya;
          “Lagi akan berlaku pada umatku puak-puak yang menghalalkan zina, sutera, arak dan muzik[13]

Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;
1-    Dalam nas, penggunaan kalimah “Istihlal” atau menghalalkan ada dua maksud;
a.    Menghalalkan yang haram.

Sabda Nabi SAW;

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ

Maksudnya;
          “Takutlah kamu akan Allah SWT pada perempuan. Jika kamu ambil mereka dengan Aman Allah, dan kamu halalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah[14]

Bentuk ini, adalah dibenarkan. Ini kerana, ia menghalalkan dengan keizinan Allah. Dengan maksud, menghalalkan yang haram di sini tertakluk kepada hukum lighairih.

Juga hadis;

Sabda Nabi SAW;

إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُونَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ

Maksudnya;
          “Sesungguhnya mereka tidak menyembah mereka (ahbar), tetapi mereka apabila menghalalkan bagi mereka sesuatu, mereka turut menghalalkannya. Dan apabila mereka mengharamkannya sesuatu, mereka turut mengharamkannya[15]

Bentuk ini tidak dibenarkan.

b.    Menghalalkan yang halal.

أَلَا هَلْ عَسَى رَجُلٌ يَبْلُغُهُ الْحَدِيثُ عَنِّي وَهُوَ مُتَّكِئٌ عَلَى أَرِيكَتِهِ فَيَقُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ كِتَابُ اللَّهِ فَمَا وَجَدْنَا فِيهِ حَلَالًا اسْتَحْلَلْنَاهُ وَمَا وَجَدْنَا فِيهِ حَرَامًا حَرَّمْنَاهُ وَإِنَّ مَا حَرَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا حَرَّمَ اللَّهُ

Maksudnya;
          “kadang-kadang ada lelaki yang sampai hadis daripadak dalam keadaan dia bersandar pada panggulnya lalu berkata, diantara kami dan kamu adalah kitab Allah. Apa yang kamu dapati padanya perkara yang halal, kami halalkannya. Apa yang kami dapati dalamnya perkara yang haram, kami haramkannya. Sesungguhnya barang yang Rasulullah SAW haramkan, sepertimana Allah SWT haramkan[16]

Bentuk ini dibenarkan.

2-   Pengharaman zina, sutera dan arak termaktub dalam nas yang lain. Sedangkan muzik, tidak ada nas tunggal yang mengharamkannya. Jadi, merujuk kepada hadis ini sebagai cara untuk mengharamkan muzik secara mutlak adalah tidak benar.

Ia sama seperti Allah SWT nyatakan dalam al-Quran;

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya;
Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhotbah). Katakanlah: "Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan", dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezki” (Surah al-Jumuah, ayat 11)

Dalam ayat ini, Allah SWT kaitkan perniagaan dengan lagha, walhal perniagaan itu tidak haram. Dengan maksud, yang haramnya adalah lagha dalam perniagaan sehingga tidak berlengah-lenghah untuk menunaikan solat jumaat. Adapun perniagan itu sendiri, ia tidak haram.

3-   Hukum memasukkan kemaluan lelaki ke dalam kemaluan perempuan adalah haram (zina), kecuali setelah pernikahan. Sutera juga adalah haram bagi lelaki, tetapi halal bagi perempuan.  Serupajuga arak yang telah bertukar menjadi cuka. Dengan maksud, dalam hadis ini ia mengandungi hukum lizatih dan hukum lighairih.

Oleh yang demikian, maksud muzik dalam hadis ini adalah muzik yang mempunyai mempunyai tujuan yang buruk, maka ia haram, iaitu hukum lizatih. Adapun hukum asalnya adalah harus.

Ketiga;

Satu hadis dari Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar mendengar suara seruling pengembala. Lalu meletakkan dua jarinya di telinganya (tutup telinga). Lalu dia berpaling dengan kenderaannya sambil berkata, “Wahai Nafi’, apakah kamu mendengar?” Aku kata, “Ya”.

Kemudian, Ibn Umar berkata;

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَمِعَ صَوْتَ زَمَّارَةِ رَاعٍ فَصَنَعَ مِثْلَ هَذَا

Maksudnya;
          “Aku lihat Rasulullah SAW dalam keadaan mendengar suara seruling pengembala, lalu baginda SAW buat seperti ini[17]
 
Ulasan hadis adalah seperti berikut;
Hukum makan Dhob adalah harus/halal. Tetapi tidak dimakan oleh Rasulullah SAW. Nabi SAW tidak makan, bukan kerana ia haram, tetapi Nabi SAW mengambil jalan warak. Serupa juga dengan Nabi SAW menutup telinga.

[2]

Dalil-dalil yang mengatakan harus muzik;

Pertama;

Di hari mina, Nabi SAW balik ke rumah bersama dengan Abu Bakar al-Siddiq. Di rumah Baginda SAW ada dua orang Jariah (perempuan) yang sedang menyanyi dan memukul gendang. Ketika itu, Nabi SAW menyelubungkan mukanya dengan kain. Ketika mendengar itu, menyebabkan Abu Bakar al-Siddiq menghalang dua orang jariah itu dari menyanyi. Kemudian Nabi SAW membuka kain yang menutupi mukanya sambil berkata;

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Maksudnya;
          “Tinggalkan kedua-duanya Wahai Abu Bakar, kerana ia adalah hari raya[18]

Ada sebilangan orang kata, disebabkan ia berlaku pada hari raya, maka ia dibawah maksud “Raf’ al-Harj” atau mengangkat/menghilangkan kesusahan. Dijawab, “Raf’ al-Harj” ini berlaku ketika kesusahan, tetapi ketika hari raya tidak ada unsur kesusahan pun. Dan lagi, tidak mendengar muzik itu tidak mendatangkan sebarang kesusahan pun.

Kedua;

Dalam satu peperangan, Nabi SAW didatangi oleh seorang jariah sauda’ atau perempuan berkulit hitam. Dia berkata;

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ نَذَرْتُ إِنْ رَدَّكَ اللَّهُ سَالِمًا أَنْ أَضْرِبَ بَيْنَ يَدَيْكَ بِالدُّفِّ وَأَتَغَنَّى

Maksudnya;
          “Wahai Rasulullah SAW, Aku telah bernazar, sekiranya Allah SWT mengizinkan kamu, bahawa aku mahu memukul gendang dihadapan kamu dan aku mahu menyanyi”

Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW;

إِنْ كُنْتِ نَذَرْتِ فَاضْرِبِي وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya;
          “Jika kamu telah nazarkan, maka pukullah (gendang), dan jika tidak (tidak nazarkan), maka tidak perlu kamu lakukannya[19]

Ulasan hadis;
1-    Dalam kaedah nazar, ia tidak boleh berlaku kecuali dalam perkara yang halal sahaja. Nazar tidak boleh berlaku dalam perkara yang haram.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَ اللَّهَ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya;
          “Barangsiapa bernazar bahawa mahu mentaati Allah, maka hendaklah dia taatinya. Barangsiapa bernazar bahawa dia mahu lakukan maksiat, maka jangan dia lakukan maksiat[20]

2-   Oleh yang demikian, sekiranya muzik itu haram, sudah pasti Nabi SAW melarang wanita hitam itu. Tetapi, tidak dilarang. Menandangkan ia adalah harus.

BAB EMPAT : MUZIK DIKALANGAN SAHABAT

[1]

Sahabat yang negative dengan muzik[21];

Pertama :

Ibn Abbas pernah menyatakan bahawa muzik haram, gendang haram, seruling haram dan sebagainya.

Kedua;

Saidina Osman pernah menyatakan bahawa dia tidak pernah menyanyi.

Ketiga;

Ibn Mas’ud juga menafsirkan makna ayat;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

Maksud dengan “Lahw al-Hadis” ditafsirkan sebagai muzik.

[2]

Sahabat-sahabat yang positif dengan muzik;

Pertama;

Abdullah bin Zubair satu hari dalam keadaan menyandar berkata, “Bilal sedang menyanyi”[22].

Kedua;

Abd al-Rahman bin Hatib bin Abi Balta’ah berkata, “kamu keluar bersama dengan Umar bin al-Khattab pada musim haji akbar, hingga kami sampai di Rauha’. Orang di kampong Rauha’ memaklumkan tentang kemerduan suara Rabah bin al-Mughtarif. Lalu Umar berkata, “Perdengarkanlah kepadaku Wahai Rabah[23]

Ketiga;

Abdullah bin Abbas bersama dengan Umar bin Al-Khattab. Sampai di satu laluan makkah pada masa khilafahnya, bersamanya ada sebilangan Muhajirin dan ansar, lalu Umar mengalungkan beberapa bait-bait syair[24].

BAB LIMA : MUZIK DIKALANGAN SALAF

[1]

Mereka yang negative dengan muzik;

Pertama;

Apabila menafsirkan ayat;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

Mujahid bin Jabr al-Makki, Ikrimah Maula ibn Abbas, Ibrahim al-Nakhaie, Habib bin Abi Sabit al-Kufi dan Makhul al-Syami menyatakan ia adalah muzik dan nyanyian.

Kedua;

Umar bin Abd al-Aziz pernah menulis kepada Umar bin al-Walid seperti berikut;

إظهارك المعازف و المزمار بدعة في الإسلام

Maksudnya;
          “Menzahirkan muzik dan seruling itu adalah bidaah dalam Islam[25]

Ketiga;

Al-Hasan al-Basri berkata, “dua suara yang dilaknat; 1- Seruling ketika nikmat, 2- mengeluh ketika musibah[26]”.

Dalam riwayat lain berkata, “Duf bukan dari sunnah orang Islam pun[27]

[2]

Salaf yang positif dengan muzik;

Pertama;

Muhammad bin Sairin selalu mengetuk duf di hadapan raja sehingga ia dikagumi[28].

Kedua;

Nyanyian ini masyhur dikalangan keluarga al-Majisyun (satu gelaran kepada Ya’qub bin Abi Salamah). Mereka ini masyhur dengan kefaqihan di kalangan rakyat Madinah. Mereka tergolong dari kalangan Tabiin, dari kalangan orang yang siqah atau kepercayaan.

Mus’ab bin Abdullah al-Zubaidi berkata, “dia adalah orang yang pertama mengajar nyanyian dari kalangan Ahl al-Muruah[29]

BAB KEENAM : ULASAN FUQAHA MAZHAB

[1]

Imam Hanafi pernah menyatakan tentang kenduri perkahwinan yang ada nyanyian, “Aku diuji (ابتليت) dengan perkara ini”[30].

Kalimah (ابتليت), tidak boleh dikatakan bermaksud haram, tetapi hendaklah diterjemah sebagai perkara yang tidak disukai. Ini kerana, dalam kitab Badai al-sanai, ada menukilkan keharusan menjual alat muzik, seperti Gambus, gendang, seruling dan seumpamanya[31].

Dalam kaedah ada menyebut;

ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Maksudnya;
          “Apa yang haram menggunakannya, maka haram mengambilnya[32]

Adapun ulasan dari Sahibain (Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Syaibani), mempamerkan muzik itu haram sekiranya digunakan dengan tujuan fasiq dan kerosakan[33].

Jelas, haram muzik dalam mazhab Hanafi merujuk kepada lighairih, bukan lizatih.

[2]

Imam Maliki sendiri menyatakan haram muzik sekiranya digunakan sebagai untuk menegakkan kebatilan atau kefasiqan.

Beliau ada menyatakan;

إنما يفعله عندنا الفساق

Maksudnya;
          “Yang melakukannya di kalangan kami adalah orang-orang fasiq[34]

[3]

asal hukum fiqh, apabila seseorang itu merosakan sesuatu yang haram, maka tidak perlu digantikan balik. Tetapi, jika merosakan benda yang halal, wajib diganti balik.

Dalam al-Umm, Imam al-Syafie menyatakan;

ولو كسر له طنبورا أو مزمارا أو كبرا فإن كان في هذا شئ يصلح لغير الملاهي فعليه ما نقص الكسر وإن لم يكن يصلح إلا للملاهي فلا شئ عليه

Dalam perkataan Imam Syafie ini, dinyatakan bahawa alat muzik seperti gabus dan seruling yang digunakan tidak pada melaghakan, maka ia wajib digantu sekadar yang dia pecahkan itu. Sekiranya tidak digunakan kecuali untuk melaghakan, maka tidak perlu ganti[35]

Nyata, Syafie sendiri meletakkan muzik itu ada yang melaghakan dan tidak melaghakan.

[4]

Dalam mazhab Hambali, Ibn Muflih menyatakan dalam kitab al-Furu’ bahawa seruling tidak haram, tetapi makruh[36]. Tetapi dalam kitab al-Mughni, dinyatakan bahawa ia adalah haram[37].

Jadi, diihtimalkan makruh itu adalah hukum lizatih, dan haram itu merujuk kepada hukum lighairih.

KESIMPULAN

Hukum lizatih bagi muzik adalah harus. Tetapi, ia boleh bertukar (al-Hukm Lighairih) menjadi haram, makruh, galakkan dan seumpamanya.

Perkara yang boleh menyebabkan ia jadi haram, apabila ia digunakan untuk kebatilan, seperti melaung-laungkan nyanyian untuk memburukkan Nabi Muhammad, para sahabat dan seumpamanya. Ia sama seperti ungkapan yang baik, tetapi mengandungi tujuan yang jahat yang dilakukan oleh puak-puak khawarij.

Adapun ia boleh jadi makruh, apabila muzik itu dimainkan sehingga menyebabkan melambatkan solat dan seumpamanya.

Adapun ia boleh jadi sesuatu yang digalakkan, adalah seperti ia dialunkan dalam majlis kenduri kahwin, hari raya dan seumpamanya.

Wallahu ‘Alam




[1] Al-Wadih fi Usul al-Fiqh karangan Dr Sulaiman al-Asyqar.
[2] Al-Ta’lil al-Maqasidi li ahkam al-Fasad wa al-Butlan, karangan Abd al-Qadir bin Hirz Allah.
[3] Hukum puasa itu adalah sah. Dengan erti kata lain, tidak perlu diulang puasa nazar tersebut. Namun, perbuatan itu adalah haram. Serupajuga solat itu sah, tetapi memakai pakaian curi itu adalah haram.
[4] Al-Siayasah al-Syariiyyah, Qaradhawi
[5] Nahw Taf’il Maqasid al-Syariah, karangan Dr Jamal al-Din ‘Atiyyah, hlmn 79.
[6] Kaif Nata’amal Ma’a al-Sunnah wa al-Nabawiyyah, Qaradhawi, hlmn 123-124
[7] Muslim : hadis no, 155.
[8] Al-Bukhari : hadis no, 5341.
[9] Al-Bukhari : hadis no, 3392.
[10] Al-Bukhari

[11] Fatawa min Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Dr Atiah Saqr, jld 2, hlmn 265.
[12] Musnad Ahmad: hadis no, 16699
[13] Al-Bukhari.
[14] Muslim : hadis no, 2137.
[15] Al-Tarmizi : hadis no, 3020.
[16] Al-Tarmizi : hadis no, 2588.
[17] Ahmad : hadis no, 4307.
[18] Sunan al-Kubra; hadis no, 1797
[19] Al-Tarmizi : hadis no, 3623.
[20] Al-Bukhari : 6202
[21] Al-Musiqi wa al-Ghina’ fi Mizan al-Islam, hlmn 160-163.
[22] Al-Baihaqi : 10/225.
[23] Ibrahim Al-Harbi mengeluarkan hadis ini dalam Gharib al-Hadis, sepertimana juga Ibn Hajar dalam al-Isabah. Hadis ini dinilai hasan oleh kebanyakkan ulama hadis.
[24] Al-Baihaqi : 5/69.
[25] Al-Nasaie : hadis no, 4135.
[26] Ibn ABi Dunya : 64.
[27] Ibn Abi Dunya : 80
[28] Al-Musaddad sepertimana dalam al-Matalib al-‘Aliyah : 1815.
[29] Tarikh Ibn ‘Asakir : 28/54.
[30] Badai al-Sanai : 6/2972
[31] 6/3009.
[32] Aqmar al-Mudiah : hlmn 216.
[33] Badai al-Sanai : 6/3009-3010.
[34] Ahmad : 1581.
[35] Al-Umm : 4/225.
[36][36] 5/311.
[37] 9/173

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

syukran syukran copy paste copy paste , faedah untuk pemalas baca dari yg kaki baca syukran syukran

Tanpa Nama berkata...

1.Bab muzik ni tak berapa penting sangat!harus lebih kepada haram!sorang-sorang saja yang tanggong dosa!
2.Bab MLM!lebih penting lebai!Harus tapi lebih kepada HARAM!melibatkan banyak pihak!banyak yang terlibat!ramai yang tanggong dosa!
3.kau berani ulas bab MLM lebai!!dok nampak semua MLM adalah haram walaupun ada yang guna panel syariaah!semuanya berpaksikan piramid!yang seronoknya golongan lebai-lebai ni lah yang selalu mengharuskan MLM walaupun dah nyata ianya HARAM