Sabtu, 27 Disember 2008

APA NAK JADI DENGAN ANAK-ANAK MUDA ISLAM???

APA NAK JADI DENGAN ANAK-ANAK MUDA ISLAM???

Aku sudah menjadikan jadual ”wajib” bagi diriku, pada setiap minggu malam sabtu dan malam ahad sebagai jadual ”malam dakwah”. Pada malam tersebut, aku bersama dengan Eddieputra akan berjalan-jalan disekitar bandar Kuala Lumpur sampai subuh untuk mencari anak-anak muda yang boleh dijadikan sebagai kawan, disamping tengok kehidupan mereka di sekitar bandar yang keras itu.

Sepanjang tindakanku berjalan-jalan dan lepak di sekitar bandar Kuala Lumpur itu, aku berjaya berkawan dengan budak-budak skatebord, budak-budak BMX, budak-budak shuffle dan budak-budak metal.

Hari jumaat malam sabtu baru-baru ini, selepas menyampaikan kuliah maghrib di Taman Melewar, aku menjalankan kehidupan seperti biasa. Pada malam itu, aku pergi ke Bukit Bintang. Dihadapan Maybank, berhadapan dengan Mcdonald, aku melihat ramai manusia berkerumun di satu kawasan.

Aku dan Eddieputra menjadi minat untuk melihat ”Show” apa sedang berlaku. Apabila sampai disitu, aku melihat ada sekumpulan penyanyi jalanan dari negara jepun sedang mengalunkan lagu yang kami tidak memahaminya. Sedang mereka mengalunkan lagu itu, ada sebilangan budak-budak shuffle yang belum aku kenali sedang menunjukkan aksi masing-masing. Dalam suasana ramai yang berkerumun itu, aku dapat melihat ada anak-anak melayu yang aku jangka beragama islam sedang ”santai” bersama ”awek” masing-masing dikhalayak ramai, serta ada sebilangan mereka yang tidak segan silu memegang botol arak.
satu kumpulan nyanyian jalanan dari Jepun sedang mengalunkan "zikir ala luya"


Sedang asyik memerhatikan aksi budak-budak shuffle itu, aku amat terkejut apabila lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nyanyian jalanan dari jepun itu disudahi dengan mengulang-ngulangkan kalimah ”Ala luya”.
Kalimah ”Ala luya” adalah satu kalimah ”zikir” bagi agama kristian ketika mereka sedang bersembahyang. Aku mengetahuinya, disebabkan dahulu aku pernah ”menyamar” masuk ke Gereja untuk mencari anak-anak melayu yang murtad di Petaling Jaya.
seorang anak Melayu beragama Islam sedang menunjukkan aksi Shuffle yang mengkagumkan.


Melihat keadaan itu, aku merasa sedih. Sedih kerana, anak-anak melayu yang bermain Shuffle itu terlibat sama dalam ”zikir” kristian itu, juga sedih dengan orang Islam yang tidak berjaya memberikan alternatif kepada anak-anak muda ini.

Jika orang islam berjaya memberikan hiburan alternatif, dan berjaya menjadikan Shupple sebagai sukan yang dimasukkan unsur-unsur Islam, pasti anak-anak muda yang bermain Shuffle itu tidak akan terlibat dengan dakyah kristian.

Yang wujud dalam diri umat Islam di Malaysia kini adalah, hanya pandai membantah sahaja, tetapi amat lemah dalam mendatangkan alternatif.

Kita berjaya membantah, berbanding kita berlumba-lumba dengan agama lain dalam menyediakan alternatif. Apakah kita tidak belajar dari nabi SAW dalam berlumba-lumba dalam menguasai ekonomi di Madinah yang sebelum ini dikuasai oleh orang-orang yahudi??

Cuba kita perhatikan kepada tindakan Nabi SAW ketika menguasai Madinah, yang ketika itu wujud sebilangan besar orang yahudi di situ. Mereka adalah golongan yang menguasai ekonomi Madinah. Melihat keadaan itu, Baginda Nabi SAW tidak membantah tindakan Yahudi yang berniaga dengan riba, tetapi Baginda SAW memberi galakan kepada para sahabat agar berniaga mengikut konsep Islam yang tidak melibatkan riba.

Ekoran dari itulah, lahirnya manusia yang bernama Abdur Rahman bin Auf, yang akhirnya kehebatan bentuk perniagaan islam telah menjadi perhatian rakyat Madinah yang akhirnya, sistem ”kapitalis” yang menjadi amalan Yahudi di madinah tenggelam dan akhirnya, semua orang Madinah menjadikan ekonomi islam sebagai asas perniagaan mereka.

Apakah kita serius nak belajar dari Nabi SAW??????

ntah la...terpulang kepada kita yang menilai.....

sekian

Al-Bakistani
http://g-82.bogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 Disember 2008 * 5:23 pagi.




Jumaat, 26 Disember 2008

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 2

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 2

ISTERI MENYEDIAKAN KEPERLUAN NABI

Imam Muslim meriwayatkan hadis, bahawa Aisyah R.Ha berkata;

كُنَّا نُعِدُّ لَهُ سِوَاكَهُ وَطَهُورَهُ فَيَبْعَثُهُ اللَّهُ مَا شَاءَ أَنْ يَبْعَثَهُ مِنْ اللَّيْلِ فَيَتَسَوَّكُ وَيَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي

Maksudnya;
”Kami sentiasa menyediakan sugi dan air bersuci untuk Rasulullah SAW, lalu Allah membangkitkan baginda dari tidur pada waktu malam, kemudian baginda bersugi, berwudu’ dan menunaikan solat.....
[1]

HURAIAN

Bersugi pada waktu malam, sama ada sebelum dan selepas tidur merupakan amalan Rasulullah SAW. Terutama ketika baginda SAW ingin berwudu’ dan menunaikan solat.

Aisyah R.Ha berkata;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْقُدُ مِنْ لَيْلٍ وَلَا نَهَارٍ فَيَسْتَيْقِظُ إِلَّا تَسَوَّكَ قَبْلَ أَنْ يَتَوَضَّأَ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Nabi SAW tidak akan tidur pada waktu malam dan juga siang melainkan apabila baginda bangun, baginda akan bersugi sebelum baginda berwudu’
[2].

Bersugi merupakan amalan yang mulia, bahkan ianya amat terpuji disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW:

السواك مطهرة للفم مرضاة للرب

Maksudnya;
”Bersugi adalah penyuci mulut dan punca mendapat redha Allah SWT
[3]

Kepentingan sugi ini amatlah besar, sehinggakan Nabi SAW pernah menyebut;

وَلَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَفَرَضْتُهُ لَهُمْ

Maksudnya;
“Sekiranya aku tidak takut bahawa menjadi susah atas umatku, nescaya aku mewajibkan kepada mereka (bersugi)
[4]

Memandangkan Baginda SAW sentiasa bangun menunaikan solat Tahajjud. Sebagai isteri yang mahu disayangi suami, Aisyah telah bertindak bahawa menyediakan segala keperluan Nabi untuk berwudu’ seperti kayu sugi dan air bersih untuk Nabi SAW bersuci sebelum Baginda SAW bangun dari tidur.

Tindakan ini, walaupun dilihat amat remeh, tetapi sebenarnya dapat memberi kesan yang terlalu besar kepada hati Baginda SAW. Ekoran dari itulah, tidak pelik, apabila dilihat, didapati bahawa antara isteri-isteri yang paling disayangi oleh Baginda SAW adalah Aisyah R.Ha.

Begitujuga, jika diperhatikan lagi, Baginda SAW juga amat menyintai Khadijah R.Ha sehinggakan selepas kematian Khadijah pun, baginda SAW masih lagi menyebut-nyebut tentang khadijah didepan isteri-isteri yang lain.

Mengapakah keadaan ini berlaku???

Rahsianya adalah kerana Khadijah adalah isteri yang sangat-sangat mengambil berat keadaan Nabi SAW, sehinggakan beliaulah teman hidup Nabi dikala nabi keseorangan. Beliau memilih Nabi dikala orang menolak Nabi. Beliau mencintai Nabi dikala baginda dibenci. Penerima Islam pertama dikala orang menghina Nabi. Tidak menyayangi harta untuk perjuangan islam yang dibawa oleh Nabi SAW.

Oleh yang demikian, mengambil berat keadaan suami merupakan tindakan yang penting bagi menyuburkan kasih sayang antara suami dan isteri. Pun begitu, perlu diingati bahawa mengambil berat tersebut hendaklah bersesuaian dengan masa dan ”mood” si suami. Ini kerana, ada sebilangan suami yang agak tidak berminat untuk ”bermanja” dalam sesuatu masa tertentu. Keadaan ini berlaku disebabkan perubahan Mood yang terjadi pada diri si suami.

Walaubagaimanapun, secara asasnya, mengambil berat terhadap keadaan suami merupakan tindakan yang dapat melahirkan kasih sayang antara suami isteri, seperti menggembirakannya dikala dia bersedih, menenangkan hatinya dikala hatinya sempit, memberi jalan keluar dikala dia kebuntuan, memudahkan urusannya dikala dia kesulitan, sentiasa memberi cadangan berbanding membantah, tidak menekan dan mendesak dikala dia tidak berkemampuan, bahkan dalam keadaan berkemampuan sekalipun dan sebagainya.

Lihatlah kepada Aisyah dan Khadijah yang terlalu mengambil berat terhadap suaminya, menyebabkan cinta Nabi kepada dua insan ini amat terserlah.

Lihatlah kepada Aisyah yang menyediakan kayu sugi dan air bersih untuk baginda SaW bersuci, walaupun tindakan itu dilihat amat remeh, tetapi ianya amat memberi kesan besar kepada cinta Nabi SAW kepada Aisyah.

Begitujuga kepada para kaum hawa, yang mana sebagai isteri, bertindak mengambil berat terhadap suami, seperti sentiasa menyediakan makanan, menyiapkan pakaian yang sudah disetarika, memakaikan stokin, memotong kuku suami dan berbagai-bagai lagi, merupakan tindakan yang pada pandangan mata kita adalah remeh, tetapi ianya amat memberikan kesan besar bagi cinta seorang suami kepada isterinya.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

abu_abdillah_azzam@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Disember 2008 * 5:12 petang.








[1] Sahih Muslim : 1233.
[2] Sunan Abi Daud : 52.
[3] Sunan Abi Daud : 5.
[4] Sunan Ibni Majah : 285.

Khamis, 25 Disember 2008

KUALA TERENGGANU : JANGAN TERLALU YAKIN !!!


KUALA TERENGGANU : JANGAN TERLALU YAKIN !!!

Membaca tulisan Saudara Roslan SMS dalam blog beliau berkenaan situasi Kuala Terengganu yang sedang menunggu hari untuk pilihanraya, memperlihatkan seakan-akan kemenangan di sana agak menyebelahi PAS. Lebih-lebih lagi, dengan “perang saudara dikalangan kaum melayu harbi” selepas berlakunya pengisytiharan Wan Farid sebagai Calon yang akan bertanding.

Saudara Roslan SMS menulis:

“Saya mendapat maklumat pada hari pengisytiharan calon Umno, majlisnya tidaklah seceria mana. Masih wujud syak wasangka dan bermasam muka dikalangan “laksamana-laksamana” Umno Terengganu, membuktikan bahawa mereka masih retak dan sukar bersatu. Pemilihan Senator Wan Farid sebagai calon pun dikatakan tidak dapat diterima oleh sesetengah “laksamana” dan konconya. Ada yang mengatakan jika benar Wan Farid dan keluarganya berpengaruh maka mengapa abang beliau Wan Hisham boleh tewas di DUN Ladang pada PRU lalu walaupun beliau ketika itu ahli EXCO”

Membaca berita sebegini, sudah pasti pejuang-pejuang Islam yang menggunakan wadah PAS, justeru sahabat-sahabat dari Pakatan Rakyat akan menarik nafas lega, kerana menjangkakan pertarungan kali ini tidak terlalu sengit, bahkan menjangkakan kemenangan mudah untuk PAS.

Sebagai pengundi di Dun Hulu Besut, Terengganu. Aku dapat merasakan suasana politik di negeri terengganu tidak mempunyai kesamaan suasana politik di negeri-negeri lain.

Ketika berlaku pilihanraya umum baru-baru ini, aku balik mengundi di terengganu dua hari awal dari tarikh pengundian. Dalam jangka masa itu, aku sempat pergi ke negeri kelantan dan beberapa DUN di negeri terengganu untuk memerhatikan suasana politik di sana.

Di terengganu, dilihat agrasif dari sudut perbalahan politik memang dilihat macam PAS dapat menguasai suasana. Perang poster, banner dan bendera memang hebat jika dibandingkan dengan UMNO/BN.

Tetapi apabila keputusan Pilihanraya diisytiharkan, amat mengejutkan, kerana walaupun PAS dilihat dapat mendominasi suasana tetapi PAS belum berjaya mendominasi hati rakyat lagi.

Keadaan ini amat berbeza dengan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sebelum pilihanraya berlaku, perang poster, bendera dan banner tidaklah seagrasif seperti di terengganu. Tetapi, apabila keputusan Pilihanraya diisytiharkan, keputusannya berbelah pihak kepada PAS.

Dari ini, aku merasakan, dengan berita ”perang saudara” dikalangan ”kaum melayu harbi” ini tidak selayaknya kita terus menarik nafas lega, tetapi kita perlu berfikir untuk bekerja lebih agrasif bagi menarik minat pengundi-pengundi agar dapat memberikan undi mereka kepada PAS.

Di kala ”perang saudara” yang sedang berlaku ini, hendaklah difikirkan cara bagaimana hendak dilakukan kepada pengundi-pengundi yang sememangnya UMNO itu agar dapat memberi undi protes terhadap UMNO dengan memberikan undi kepada PAS, ataupun sekurang-kurangnya walaupun mereka tidak mahu mengundi PAS, tetapi mereka tidak akan mengundi BN juga.

Mungkin medium lepak kedai kopi menjadi peranan besar dalam mengubah minda pengundi-pengundi di Kuala Terengganu. Ini kerana, jika dirujuk kepada Kelantan, pada pandangan peribadiku, medium ini menjadi satu kekuatan, menyebabkan mereka dapat memberikan undi kepada PAS dalam banyak pilihanraya.

Bahkan, di Manik Urai yang pada tahun 2004, Dun tersebut boleh kalah, walaupun ianya adalah DUN tradisi PAS. antara sebab kekalahan itu apabila ada sebilangan peneroka tidak berpuas hati, lalu mereka ”mengumpat” kerajaan negeri di kedai-kedai kopi sahaja. aku mengetahui keadaan ini kerana Bapa saudaraku adalah pengundi disitu.

Mungkin ini adalah antara strategi yang PAS perlu lakukan dalam pilihanraya kuala terengganu nanti.

Mudah-mudahan Allah memberikan kepada kita kejayaan dalam mencapai kemenangan dalam pilihanraya di Parlimen Kuala Terengganu nanti. Insya Allah ...


Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

abu_abdillah_azzam@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
26 Disember 2008 * 3:42 petang.



KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 1


MANDI BERSAMA-SAMA ISTERI

Imam Al-Bukhari meriwayatkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

Maksudnya;
“Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)
[1]

HURAIAN

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana indah dan romantiknya Nabi Saw dengan Isteri-isterinya. Gambaran romantic ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَنَحْنُ جُنُبَانِ

Maksudnya;
“Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub
[2]

Tindakan nabi SAW ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama, bahkan Aisyah juga pernah bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah
[3].

Dan pernah sambil mandi, mereka bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW
[4].

Bahkan dalam hadis yang lain, Ummu salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Hal ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa
[5].

Dengan ulasan ini, penilaian yang kita dapat ambil adalah, sebagai manusia yang menjadi Umat Nabi Muhammad SAW, selayaknya kita mencontohi amalan Rasulullah SAW ini.

Anggapan yang mengatakan bahawa mandi bersama-sama dengan Isteri merupakan amalan jelek, merupakan satu anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran islam. Bahkan, jika ditanya kepada kaum hawa, pasti mereka akan merasakan dihargai jika mereka diperlakukan sedemikian oleh suami mereka.

Sebagai isteri pula, tidak selayaknya kaum hawa menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah amat berbangga dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini dibukukan dalam kitab-kitab hadis.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

abu_abdillah_azzam@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh.
26 Disember 2008 * 12:25 pagi


[1] Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253.
[2] Sahih Muslim : 482.
[3] Sahih Muslim : 498.
[4] Sunan An-Nasai : 239.
[5] Mushad Ahmad : 25355.

HIKAM TOK GURU : SIRI 6


HIKAM TOK GURU : SIRI 6

Dalam mengulas ayat 2 dari surah Yasin, iaitu berbunyi:

وَالْقُرْآَنِ الْحَكِيمِ

Maksudnya;
“Dan Al-Quran yang “Al-Hakim”

Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata:

“Orang yang bijaksana ialah, apabila dia bercakap pasti akan memberi kesan kepada pendengar. Itulah yang dimaksudkan dengan bijaksana, atau dalam bahasa Al-Quran disebut ”Al-Hakim”.

Al-Quran bukanlah orang, tetapi kalamullah. Walaupun dilihat sebagai tulisan, tetapi ianya terkandung kebijaksanaan, iaitu dengan Al-Quran, pembacanya akan terkesan”

HURAIAN

Al-Hikmah atau dalam bahasa melayunya diterjemah dengan ”kebijaksanaan”. Bijaksana merupakan hadiah dari Allah, yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang Allah mahu.

Firman Allah:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya;
”Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak”

(Surah Al-Baqarah : 269)

Ayat ini dengan jelas dinyatakan oleh Allah, bahawa kebijaksanaan itu akan diberikan oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang Allah mahu, tidak kira kepada orang Islam, mahupun kepada orang bukan islam.

Ekoran dari itulah, lahirnya manusia-manusia bijak seperti Aristotle, Plato dan berbagai-bagai tokoh yang mengasaskan ilmu Mantiq dan Falsafah.

Pun begitu, kebijaksaan sebenar bukanlah sekadar pandai menggunakan akal, tetapi kebijaksanaan sebenar adalah berjaya menyentuh perasaan manusia agar mereka dapat melakukan taat kepada Allah.

Ekoran dari itulah, kebijaksanaan itu hendaklah dirujuk kepada fitrah manusia, dan sesungguhnya, setiap manusia ada titik persamaan antara mereka, yang mana itu merupakan fitrah hidup mereka.

Jika dihayati, didapati Al-Quran telah menyatakan tentang kesamaan itu. Antaranya adalah ”mahukan kepada keadilan”.

Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”

(Surah An-Nisa’ : 58)

Ekoran manusia mahukan kepada keadilan, tidak dapat tidak perlu kepada pengawasan. Jika tanpa pengawasan, pasti manusia akan bertindak mengikut kehendak hawa nafsu mereka, ekoran itu mereka akan melanggar kehendak fitrah insani yang akhirnya keadilan tidak berjaya dibina.

Apabila menyebut ”pengawasan”, tidak dapat tidak mesti akan melibatkan ”perkara yang dibenarkan” dan ”perkara yang dilarang”. Perlaksanaan dalam merealisasikan ”perkara yang dibenarkan” dan ”perkara yang dilarang” itu, memerlukan sesuatu kekuasaan yang disebut sebagai undang-undang.

Sesungguhnya keadilan yang sebenar adalah keadilan dalam berinteraksi dengan fitrah manusia. Panduan yang terbaik dalam mengawal agar manusia itu sentiasa berlaku adil adalah Al-Quran dan As-Sunnah, ini kerana, Al-Quran dan As-Sunnah wujud bukan dari pemikiran manusia, tetapi datang dari tuhan yang mencipta manusia.

Al-Quran itu sendiri, jika dikaji secara mendalam, pasti kita akan berjumpa bahawa ia menyeru kepada keadilan yang merupakan kehendak fitrah manusia. Apabila mereka menolak Al-Quran, bermakna mereka telah menolak kehendak fitrah, yang sudah pasti tindakan mereka itu merujuk kepada sentimen, jumud dan hawa nafsu yang sentiasa bercanggah dengan Wahyu Ilahi.

Jika ini difahami, pasti manusia akan terkesan dikala membaca Al-Quran. Manusia tidak akan berani menolak Al-Quran. Dan sesungguhnya, inilahlah “hikmah”nya Al-Quran yang jarang difahami oleh manusia.

Ekoran itulah, tidak hairan kita akan berjumpa banyak ayat-ayat tertentu yang menyebut tentang Al-Quran adalah “Al-Hakim” atau diterjemah sebagai “kebijaksanaan”. Kebijaksanaan dalam memberi kesan kepada fitrah manusia yang mahukan kepada keadilan, dengan menolak hawa nafsu yang jahat.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 Disember 2008 * 10:47 malam






Rabu, 24 Disember 2008

CARA NAK JADI KAYA?????

CARA NAK JADI KAYA?????
Malaysiakini melaporkan[1];

“Bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim tidak sepatutnya menyertai PAS selepas mendapat kekayaan selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam Umno, dakwa seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor”

“Bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim tidak sepatutnya menyertai PAS selepas mendapat kekayaan selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam Umno, dakwa seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor”

TERFIKIR !!!

Patut ramai sangat suka masuk UMNO. rupa-rupanya dapat jadi kaya...

Baru hari ini aku tahu, rupa-rupanya kalau nak jadi kaya, tak perlu susah-susah. Aktif dengan UMNO boleh jadi kaya… cumanya, aku juga terfikir, macam mana UMNO boleh berikan kekayaan itu????

Tapi yang peliknya, kenapa masih ada lagi rakyat dari kalangan orang melayu bawahan yang masih lagi miskin??? Yang miskin-miskin tu pulak, bukan orang PAS dan PKR, tetapi ramai orang UMNO….

Betul ke ada dakwaan kata, UMNO ni bukan bagi kekayaan kepada rakyat, tetapi duit rakyat itu digunakan untuk mengkayakan kroni-kroni???

Kalau macam tu, Macam mana pula slogan “ketuanan melayu” yang dilaung-laungkan pula????? Kenapa slogan itu digunakan?? Apa relevannya UMNO menggunakan slogan itu????

Pelik tapi sebenarnya tidak pelik….

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 Disember 2008 * 11:13 pagi.




[1] http://www.malaysiakini.com/news/95379

METAL ISLAM : KHALID BIN AL-WALID

METAL ISLAM : KHALID BIN AL-WALID

Dalam kesebukkan dengan pelbagai urusan, sempat juga aku mengadakan pertemuan dengan satu band metal yang baru sahaja kami tubuhkan. Pertemuan yang diadakan dalam pukul 1 pagi di sebuah restoran mamak di Kota Damansara, restoran Subaidah.

Dalam pertemuan itu, Aku dan Eddieputra dengan kerjasama Abang Dol, berbincang tentang nama band dan lagu yang ingin dirangka. Setelah mendengar segala pandangan dari pihak yang berbincang, kami bersepakat menamakan band yang kami mahu tubuhkan itu dengan nama kumpulan AL-WALID, dan lagu yang mula-mula sekali kami rangka adalah sebuah lagu yang bertajuk “Khalid bin Al-Walid” yang liriknya ditulis oleh salah seorang budak band kami juga.

Penulis lirik itu bertanya bentuk lirik dan rentak muzik yang dikehendaki, aku menyatakan bentuknya adalah menggambarkan suasana perang, sambil aku menunjukkan kepadanya klip video peperangan dari filem “Omar MUkhtar menentang Itali”, dan memperdengarkan kepadanya sebuah lagu jihad dari kumpulan ruh Al-Jihad.

Mudah-mudahan usaha kami ini mendapat tempat disisi Allah, dan doakan agar kami berjaya mengemukakan cadangan hiburan alternatif kepada peminat-peminat metal.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 Disember 2008 * 5:34 pagi.