Sabtu, 26 September 2009

AKU TAK NAK ISLAM DIPREJUDISKAN

Kalau kucing ini boleh berbaik-baik dengan itik, kenapa Umat Islam tidak boleh berbaik-baik dengan non Muslim?


AKU TAK NAK ISLAM DIPREJUDISKAN

Islam diprejudiskan. Itulah hakikat yang sedang berlaku. Apabila ada sebilangan non muslim mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan dia sedang prejudis dengan Islam, lalu dihentam sedemikian rupa. Makanya, semakin kekallah dia dengan keprejudisannya terhadap Islam, disamping kawan-kawannya yang seagama dengannya, turut sama meletakkan prejudis mereka terhadap Islam.

“jangan prejudis dengan Islam” satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang tokoh dari kalangan islam. kenyataan itu bagus, tetapi perlu ada tindakan untuk menghilangkan prejudis dengan Islam.

Sekarang ini, perkara yang paling penting kita persoalkan, bukanlah “si dia itu prejudis dengan islam”, tetapi kita kena tanya, “mengapa dia prejudis dengan Islam?”

Pernahkah kita fikir, Islam diprejudis disebabkan tindak tanduk orang islam itu sendiri. orang Islam berpolitik Islam, politik ala Taliban. Bermain politik kebangsaan/perkauman, politik ala UMNO. Kalau keadaan ini berlaku, sampai bila-bila pun prejudis terhadap islam tidak akan dapat dihapuskan.

Kalau yang membuat onar itu adalah UMNO, amat senang hendak dijawab. Kita akan memberi jawapan, “ada orang masuk islam, tetapi dia tidak ikut Islam – itulah UMNO”

Orang non Muslim mengangguk bersetuju, kerana onar itu datang dari orang UMNO.

Malangnya, ala onar itu dilakukan oleh orang islam, bermazhab PAS. bila ditanya, agak susah hendak dijawab. Habis-habis jawapan kita pun adalah, “dia tu, mangkuk hayun UMNO”.

Kalau ikut keadaan sebenar, dia bukan barua UMNO pun, tetapi disebabkan keikhlasannya tidak didokong dengan kebijaksanaan, menyebabkan dia bertindak yang boleh melahirkan prejudis terhadap Islam, sepertimana tindakan UMNO.

Kalau Allah SWT boleh melarang nabi SAW supaya jangan maki sembahan selain Allah kerana bimbang dibalas makian itu kepada Allah sendiri dalam keadaan mereka jahil dan bermusuh dengan islam (surah Al-An’Am ayat 108), ini menandakan bahawa Allah suruh kita bijak dalam mengurus keadaan, agar tidak lahir prejudis terhadap Islam itu sendiri.

justeru, kebijaksanaan amat penting dalam mengurus keadaan, agar Islam tidak diprejudiskan. Sesuatu tindakan, perlu dilihat kesan yang akan menimpa, apakah melahirkan keburukan ataupun kebaikan kepada Islam.

sekian

p/s : isunya sekarang, bukan DAP, PKR atau PAS, tetapi apakah sesuatu tindakan sebilangan pimpinan PAS boleh melahirkan prejudis terhadap Islam atau tidak? Padaku, aku lebih sayangkan Islam berbanding parti PAS. PAS ditubuhkan oleh manusia. Adapun islam, ia datang dari Allah, bukan dari manusia.

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
27 september 2009 * 2:25 petang

AD-DIFDA’I PERSOAL BAKTI DAN JASA TUAN GURU?


AD-DIFDA’I PERSOAL BAKTI DAN JASA TUAN GURU?

Hari ini, dalam laporan Utusan Malaysia Ibrahim Ali Ad-Difda’i (melayu : katak) berkata;

“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini” (Sila klik)

KOMEN;

Semasa Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaaqub masih hidup, beliau selalu berpantun;

Nuar Muso Breheng Ali,
Gi Ceramah di Pulau melaka,
sekor buto sekor tuli,
dok nampak orang dok buat jasa.

Pepatah arab ada menyebut;

الناس أعداء بما جهل

Maksudnya;
”manusia amat bermusuh dengan perkara yang dia tidak tahu”.

Jika merujuk kepada pepatah arab ini, kita akan memahami bahawa sesuatu yang baik pun, kadangkala akan ditolak oleh manusia, apabila dia tidak memahaminya. Tetapi dalam kes Ibrahim Ali Ad-Difda’I ini, dia tahu, tapi ketidak tahu-tahuan.

Dia persoalkan apa yang dibuat oleh Tuan Guru, padahal dia lupa bahawa dia bertanding atas tiket PAS pun atas ehsan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Itupun, dia dibenarkan bertanding sebab dia mengugut PAS; yang mana jika tidak diberikan dia bertanding di Parlimen pasir Mas atas tiket PAS, dia akan menghantar calon untuk pecah undi di setiap DUN yang berada di bawah pasir Mas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz terpaksa memberi, kerana PAS di Kelantan dalam pilihanraya umum baru-baru ini dalam keadaan yang membimbangkan, kerana majority kerusi DUN hanya 1 satu kerusi. Justeru, bagi menyelamatkan negeri, dibenarkan Ibrahim Ali Ad-Difda’I ini bertanding atas tiket PAS di parlimen Pasir Mas; tempat Ustaz Ismail Noh.

Nampaknya, hari ini dia berani memertikaikan Tuan Guru, dalam keadaan dia telah lupa ehsan yang telah Tuan Guru diberikan kepadanya.

Memang benar kata pepatah;

“umpama membantu Ibrahim Ali Ad-Difda’i tersepit”

APA YANG TUAN GURU NIK AZIZ TELAH BUAT

Di awal pemerintahan Tuan Guru, banyak perkara yang berjaya dilaksanakan dalam pemerintahan tanpa mendapat sebarang tentangan dari rakyat.

Antaranya adalah, adab membuka majlis dan menutup majlis, perlantikan orang bukan islam sebagai anggota majlis daerah, perlantikan wanita sebagai ahli majlis daerah, pengharaman judi yang berkuatkuasa pasa 1 januari 1991, mengetatkan penjualan arak, tidak membenarkan qariah wanita menyertai pertandingan tilawah Al-Quran, penambahan cuti bersalin dan banyak lagi.

Kepimpinan Tuan Guru dengan memegang konsep tadarruj dalam perlaksanaan islam diteruskan lagi, sehingga kini kita dapati antara kejayaan yang membanggakan adalah dengan berjayanya melaksanakan banyak penguatkuasaan yang berasaskan kepada Islam, seperti, menutup sementara kaunter jualan di saat solat jumaat sedang ditunaikan, pembinaan masjid merpati di pasar-pasar untuk memudahkan pengunjung-pengunjung menunaikan solat, kempen menutup aurat, menunaikan solat di tengah padang, melahirkan para hafiz yang profesional, kempen Islam kepada non Muslim dengan membina masjid tiga budaya dan banyak lagi.

Malah, pemerintahan kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru yang telah menjangkaui umur lebih 20 tahun telah berjaya membuktikan bahawa kelantan adalah sebuah negeri kebajikan yang telah dijadi contoh dan tauladan dari seluruh negeri di pelusuk negara. Antara kejayaan berkebajikan yang berjaya dilaksanakan di kelantan adalah, skim armalah dan anak yatim, skim kesihatan sakit kronik, skim bantuan orang kurang upaya, skim takaful armalah, skim kifaalah, skim ladang rakyat, skim bantuan segera bencana, skim rumah rakyat dan sebagainya.

Inilah pemerintahan yang agak tidak diketemui dalam Malaysia, malah dalam dunia kini.
Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 september 2009 * 3:50 pagi

WAHAI PARA USTAZ, BENARKAH KITA BERPOLITIK, ATAU KITA BERFATWA?

Tuan Guru Nik Abdul Aziz :
berwatak mufti, tetapi pemikiran politiknya menjangkaui zaman


WAHAI PARA USTAZ, BENARKAH KITA BERPOLITIK, ATAU KITA BERFATWA??

Kadang-kadang jadi pelik dengan sebilangan agamawan yang mendakwa berpolitik cara Islam. Apabila mereka berbicara tentang politik, kelihatan seperti Pak Mufti, bukan sebagai ahli politik Islam.

Cara berfatwa, tidak boleh disamakan dengan cara mengurus politik. pun begitu, masih wujud juga sebilangan ahli politik islam yang mengeluarkan kenyataan seperti mengeluarkan fatwa. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti akan melahirka banyak kebobrokan dalam politik, malah merugikan kepada Islam itu sendiri.

Dalam kitab As-Siyasah Syariiyyah, karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Siyasah didefinisikan sebagai, “melaksanakan sesuatu berdasarkan maslahah; atau perkara yang sepatut dan selayaknya
[1]

Adapun makna siyasah syariiyyah pula, Ibnu ‘Aqil mendefinisikan sebagai, “perbuatan yang membawa manusia kepada kebaikan dan menghindarkan manusia dari kebinasaan, walau ia tidak tetapkan oleh Rasulullah SAW; atau sabit dalam nas
[2]

Imam Ibnu Qayyim menyatakan, “sekiranya ada dari kalangan kamu berkata, bahawa bukan politik Islam melainkan pada perkara yang disebut oleh Nas sahaja. Sudah pasti, kenyataan itu adalah salah
[3]

Bermakna, ”sebarang tindakan yang tidak menyalahi syarak, waimma tidak disebut dalam nas sekalipun; apabila dilakukan, maka ia adalah sesuatu yang tepat atau betul, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sepatutnya” komentar Ibnu Qayyim lagi
[4].

Memahami dari pendefinisian inilah, tidak hairan kita melihat para sahabat dahulu amat bijak dalam berpolitik Islam. seperti tindakan Osman mengumpulkan al-Quran, walhal tiada satu nas pun yang mengarahkan Osman melakukan sedemikan.

PERKARA PENTING DALAM SIYASAH SYARIIYYAH

Dalam berpolitik Islam, ada beberapa perkara penting yang perlu difahami. Antaranya adalah, Maqasid Syariah, Fiqh At-Tanzili, Al-Masalih Al-Mursalah, Fiqh Muwazanat dan banyak lagi.

Walaubagaimana pun, dalam siyasah Syariiyyah, fiqh maqasid, Fiqh At-Tanzili, Al-Masalih Al-Mursalah dan Fiqh Muwazanat amat penting untuk difahami, agar ia tidak keluar dari lingkungan syariah Islamiyyah.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan rakyat memperlihatkan kebijaksanaan Pimpinan PAS dalam bersiyasah Syariiyyah. Tanpa kebijaksanaan yang berasaskan kepada kaedah-kaedah, ataupun ketetapan dalam siyasah Syariiyyah, sudah pasti PAS akan mendapat seribu satu kerugian dalam usaha untuk membina negara Islam.

Dalam pakatan rakyat, ada beberapa perkara penting yang wajar difikir dan direnung; antaranya adalah tentang kedudukan non Muslim yang agak ramai berbanding muslim dalam kerajaan; peluang dakwah islamiyyah yang terbuka; penetapan sesuatu dasar kerajaan; dan sebagainya.

Tanpa siyasah Syariiyyah, semua perkara ini tidak akan dapat diselesaikan dengan tuntas, lagi bijaksana. Malahan, kesilapan dalam berinteraksi dengan Siyasah Syariiyyah, akan melahirkan kerugian kepada Islam itu sendiri.

Jika dihayati dalam sirah nabi, kita akan dapati bahawa Nabi SAW tidak pernah gopoh untuk melaksanakan sesuatu dasar, sebaliknya Nabi SAW lebih mementingkan kejayaan dalam perlaksanaan sesuatu dasar yang berasaskan kepada islam.

Malah, nabi SAW sendiri pernah bersabda menerusi hadis yang diriwayatkan oleh anas bin Malik
[5];

العجلة من الشيطان

Maksudnya;
“gopoh sebahagian daripada Syaitan”

Pun begitu, disebalik larangan dari menjadi gopoh, bukan bermakna perlu menjadi lembab, kerana ia juga merugikan. Apa yang dikehendaki oleh islam adalah, cepat yang tidak gopoh; segera yang tidak lembab.

Justeru, dalam sesuatu tindakan politik Islam, perlu diadakan beberapa tindakan yang perlu “dislowkan”, tetapi “mensegerakan” pada sudut yang lain. Tujuannya adalah, Islam dapat dilaksanakan tanpa mendapat sebarang mudharat dan kerugian.

Seperti contoh, bagaimana PAS berhadapan dengan DAP yang mempunyai perbedaan idealogi politik dalam Pakatan Rakyat. PAS yang mahukan perlaksanaan dasar-dasar Islam, sedangkan DAP agak bercanggah dengan PAS. Justeru, dalam berhadapan krisis ini, PAS perlu memikirkan kaedah dan cara yang boleh menguntungkan PAS terlebih dahulu, sebelum sesuatu dasar Islam itu berjaya dilaksanakan.

DAP yang sudah menjadi kawan, merupakan satu keuntungan dan nikmat yang besar bagi PAS. Justeru, gunakan sepenuhnya dalam memberi kefahaman kepada mereka untuk menjadikan islam sebagai agama yang diterima.

Mewujudkan permusuhan dengan mereka, membawa kerugian dalam perlaksanaan islam di Malaysia. Ini kerana, kewujudan mereka yang mewakili bangsa selain melayu; juga tidak beragama Islam amat penting bagi pembentukan sesebuah negara Islam.

Di zaman nabi SAW, tidak semua bangsa arab di Madinah memeluk islam. Tetapi, dengan kandungan piagam madinah yang digubal oleh nabi SAW, ternyata Islam berjaya memimpin semua bangsa dan agama yang wujud di Madinah, hatta terdapat juga orang berbangsa yahudi yang memusuhi Islam dalam kerajaan madinah pimpinan Nabi.

Sesuatu perlaksaaan Islam; sama ada undang-undang, hukuman atau sesuatu ketetapan, tidak seharusnya dikehadapankan, jika rakyat masih belum memahami keadilan dan kandungan kasih sayang yang wujud di dalamnya. Sebaliknya, dahulukan perbahasan tentang keadilan islam yang wujud dalam sesuatu undang-udang, atau hukuman – yang sememangnya wujud dalam pengajian ilmu maqasid syariah – agar majoriti rakyat mengatakan bahawa Islam adalah sesuatu hukuman yang ‘adil, waimma dari rakyat yang tidak beragama Islam sekalipun.

Konsep perlaksanaan islam secara bertahap-tahap perlu dijadikan sebagai plan tindakan. Seperti meletakkan target selama 4 bulan dalam memahamkan rakyat – termasuk exco yang tidak beragama Islam terhadap bahaya arak dari sudut perubatan dan Islam; kemudian melakukan pembetangan kertas cadangan dasar kerajaan terhadap arak kepada kerajaan pada bulan ke-5. Begitujuga pada perkara-perkara yang lain, seperti judi, hiburan, undang-undang, hudud, qisas dan seterusnya.

Jika ini berjaya, sudah pasti Islam akan berjaya terlaksana, waimma dalam jangka 4 tahun sahaja PAS berada dalam Pakatan Rakyat. Malah, jika ini terus dilaksanakan secara tuntas dan jitu, tidak mustahil kerajaan islam akan terbina dengan wujudnya kandungan undang-undang islam, waimma atas nama kerajaan pakatan Rakyat sekalipun.

(persoalannya sekarang, apakah PAS di Selangor melaksakan apa-apa plan strategi dalam perlaksanaan islam ini?? Yang wujudnya adalah, cari gaduh dengan DAP dan PKR).

BUKAN REBUT TAKHTA, TETAPI PEMIKIRAN PEMEGANG TAKHTA

Tidak menjadi perkara penting, siapa yang menjadi Menteri besar. Malah, tidak mengapa Tan Sri Khalid menjadi Menteri besar, yang pentingnya Islam berjaya diterima, berbanding Dato’ Hasan Ali menjadi Menteri Besar, tetapi islam dilihat dengan penuh prejudis. Ini kerana, nabi SAW tidak pernah datang merebut takhta, tetapi nabi SAW datang adalah mengubah minda pemegang takhta.

Kita lihat, jemputan menjadi islam yang dilakukan oleh nabi kepada pembesar-pembesar negara-negara luar makkah dan madinah, seperti di Mesir, di Farsi (kini : iran), di Rom (kini : Itali) dan sebagainya. Nabi SAW mengutuskan surat, menjemput mereka beriman, tanpa wujud unsur merebut kekuasaan dari mereka.

Juga, jika kita membaca sejarah perjuangan Salahuddin Al-Ayyubi (bukan Naib presiden PAS, tetapi penakluk Jerusalem; baitul Muqadis), kita dapat lihat bagaimana Salahuddin Al-Ayyubi sanggup melantik Raja Reymond yang beragama Kristian menjadi Raja di wilayah kark, tetapi dengan syarat bahawa beliau memeluk islam. Walau perlantikan itu ditolak oleh Raja Reymond kerana tidak bersedia memeluk Islam, tetapi kita akan dapati bahawa Salahuddin Al-Ayyubi tidak merebut takhta, tetapi yang beliau mahukan adalah keislaman Raja Reymond, waimma diberikan takhta kepadanya.

Begitujuga, jika kita membaca sejarah perjuangan Tariq bin Ziyad yang menyerang kezaliman seorang raja di Andalusia (kini : eropah) bernama Raja Roderiga. Semasa beliau bersama tentera-tenteranya berjaya menguasai satu tempat dalam Andalusia yang bernama Maktum, beliau tidak pernah merebut kekuasaan dari sesiapa pun, sebaliknya menyerahkan perlantikan pemimpin Maktum itu kepada rakyat tempatan tersebut, setelah berjaya mengislamkan sebilangan besar rakyat dalam Maktum ketika itu.

Malah, kita dapat melihat juga dengan islamnya tanah melayu menerusi Parameswara (hamka baca : Permaisura). Pedagang arab dan india yang berdagang dan berdakwah di tanah melayu, tidak pernah merebut kekuasaan dari parameswara, tetapi mengajak parameswara memeluk islam, seterusnya mengekalkan pemerintahan parameswara yang beragama islam; yang namanya ditukar kepada Sultan Muhammad shah yang merupakan sultan melaka yang pertama, sedangkan sultan melaka kedua bernama Sultan Iskandar Syah.

Justeru, dari ini kita dapat fahami bahawa, pemerintahan islam bukan mesti bertukar orang, tetapi hendaklah bertukar fahaman pemerintahan. Inilah islam cara Nabi dan para salah soleh terdahulu, bukan Islam cara sebilangan pejuang-pejuang Islam kini, yang meletakkan syarat mesti orang PAS jadi ketua sesuatu kerajaan.

Apakah kita telah lupa kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyebut, “Kalau UMNO buang dasar kebangsaaan, ganti dengan Islam, maka PAS akan dibubarkan”??

Fikir-fikirkanlah !!!

Sekian

p/s : Mungkin selepas ini, kita terpaksa mewajibkan pimpinan PAS agar berusrah dengan buku “As-Siyasah As-Syariiyyah”, karangan Dr Yusuf al-Qaradhawi, waimma mereka dari kalangan agamawan sekalipun.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 september 2009 * 12:29 pagi



[1] As-Siyasah As-syariiyyah : 29.
[2] At-Turuq Al-Hukmiyyah : 1/16.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] As-Sunan Al-Kubra : 10/104.

KHUATIR PEMUDA PAS DIBENCI RAKYAT !!


KHUATIR PEMUDA PAS DIBENCI RAKYAT !!

Ketua Dewan pemuda PAS Pusat bersuara dalam isu selcat (sila klik).Tidak diketahui, benar atau tidak berita itu datang dari mulut beliau. Jika dikatakan memang benar datang dari mulut beliau, mungkin ada orang marah. Nanti mereka akan mengatakan mengapa merujuk kepada surat khabar BN, walhal, kalau kenyataan itu diputar belitkan, mengapa tidak disaman sahaja akhbar tersebut? ataupun penafian terhadap kenyataan tersebut dalam blog beliau.

Pun begitu, jika benar kenyataan itu datang dari mulut beliau, padaku, ia adalah satu perkara yang memberi malang kepada Dewan Pemuda PAS, kerana dengan kenyataan ini, menampakkan Dewan Pemuda PAS bukan lagi mewakili rakyat, tetapi mewakili pegawai daerah yang sedang menyembunyikan penyelewengan BN.

Bagaimana dia boleh mengatakan bimbang kerajaan Pakatan Rakyat boleh jatuh dengan isu selcat dengan mengkiaskan dengan kejatuhan barisan nasional pimpinan Khir Toyo yang telah memberi penyapu kepada salah seorang pegawai kerajaan terdahulu?

Benarkah kaedah kias yang digunakan itu?

Cuba kita siasat dan bedah balik, apakah punca kejatuhan kerajaan negeri selangor ke tangan pakatan rakyat?

Bukankah kejatuhan barisan Nasional adalah, apabila rakyat sudah meluat dengan kezaliman dan kebobrokan yang diamalkan oleh Barisan Nasional, disamping banyak penyelewengan yang telah dilakukan?

Ketika itu, pendedahan terhadap penyelewengan BN, hanya dilakukan oleh ahli-ahli politik, bukan dari pihak pegawai daerah. Dalam keadaan sedemikian pun, kerajaan barisan nasional boleh jatuh ke tangan pakatan Rakyat. Makanya, jika pendedahan itu dilakukan oleh pegawai kerajaan sendiri, sudah pasti, bertambah yakin lagi rakyat terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional, seterusnya menambah kuat lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan rakyat. Bukankah begitu??

Adapun dalam kes hadiah penyapu yang Khir Toyo berikan kepada pegawai kerajaan, ia dilakukan dalam keadaan rakyat ketika itu memang sudah sedia membenci BN. Justeru, pemberian penyapu itu menambahkuatkan lagi kebencian rakyat terhadap BN.

Kaedah berfikir untuk memahami isu ini amat senang iaitu, ”hadis doif tidak boleh dijadikan hujjah, tetapi jika mengkuatkan hujjah yang sedia ada; yang sedia sahih, barulah hadis Doif itu boleh dikepilkan sama. Tetapi, untuk dijadikan hujjah, itu ditolak sama sekali”.

Serupalah dalam kes ”kes beri penyapu Khir Toyo”. Ia mengkuatkan sahaja kebencian rakyat untuk menjatuhkan BN, tetapi jika semata-mata berhujjah dengan ”kes beri penyapu Khir Toyo” menyebabkan Barisan nasional boleh jatuh, itu adalah hujjah yang terlalu dangkal.

Justeru, dari ulasan ringkas ini, memperlihatkan kiasan yang dilakukan oleh ketua pemuda PAS – hakikatnya ciplak kenyataan Khairuddin Osman, Setiausaha Perhubungan PAS negeri - adalah kias yang tidak tepat.

Diharapkan, kenyataan ini tidak menyebabkan rakyat meluat dengan pemuda PAS, seterusnya menjatuhkan PAS dalam Pilihanraya akan datang.

Sekian

p/s : perlu diingat, PAS berjuang untuk menegakkan Islam dalam sistem demorasi, bukan dalam sistem khalifah. Justeru, suara rakyat perlu diambil kira. Makanya, keraguan rakyat terhadap kita, jangan sekali-kali dicipta.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 september 2009 * 5:53 petang






“KALAU TIDAK BIJAK, DALAM JAHIL MEREKA MAKI ALLAH”

“KALAU TIDAK BIJAK, DALAM JAHIL MEREKA MAKI ALLAH”

Ketika dakwah nabi di Makkah sampai kepada kemuncak yang membanggakan, menyebabkan ramai dari kalangan rakyat Makkah yang memeluk Islam. penerimaan Islam yang semakin hari semakin kelihatan, menyebabkan pembesar-pembesar Makkah dalam kebimbangan.

Mereka lakukan berbagai-bagai tindakan, supaya Nabi SAW berhenti dari menyampaikan dakwah islam. Pun begitu, tetap diteruskan juga oleh Nabi SAW, tanpa peduli.

Konsep keadilan dikemukakan, menyebabkan ramai dari kalangan hamba memeluk Islam. konsep kebajikan dikemukakan, menyebabkan orang miskin tertarik dengan islam. Bagi mereka yang kaya, disebabkan dikurniakan hati yang lunak dan berprikemanusiaan, mereka menjadikan islam sebagai agama pegangan hidup.

Penerimaan Islam inilah, menyebabkan orang-orang Quraish bimbang. Jika dibiarkan nabi muhammad meneruskan dakwah, sudah pasti Makkah akan dipenuhi dengan orang Islam. Sang penguasa yang memeras keringat hamba dan orang miskin, sudah pasti tidak boleh melakukan rutin harian mereka, kerana Islam mengajar konsep keadilan dan kebajikan.

Makanya, mereka sudah tidak ada cara lain dalam memberhentikan Nabi SAW daripada meneruskan kerja dakwah ini, melainkan dengan membawa satu deligasi Quraish untuk berjumpa dengan orang yang menjaga Nabi SAW; iaitu Abu Talib.

”wahai Abu talib, inilah Ummarah bin Al-Walid. Dia seorang pemuda yang gagah perkasa, kacak dan rupawan. Ambillah dia, berikan muhammad kepada kami sebagai ganti. Muhammad seorang pemuda yang biadap, kerana dia menentang agamamu; agama nenek moyang kita terdahulu. Dia memecah belahkan kaummu dan membodohkan pendapat mereka. Biarlah kami membunuhnya, tetapi Ummarah sebagai tukarannya” ketua kuffar bersuara ketika itu.

Abu Talib melihat gerangan kehadiran mereka yang ramai, disamping melihat pemuda yang dimaksudkan; bernama Ummarah.

”Demi Allah, alangkah bodohnya tindakan kamu sekelian. Apakah patut aku hendak menghabiskan wang dan hartaku, semata-mata hendak membesarkan ’Ummarah yang tidak ada kena mengena dengan darah dagingku?” Abu Talib memberikan jawapan bernas, menyebabkan deligasi Quraish itu senyap; tidak menjawab.

Orang Quraish sudah kehabisan idea. Mereka melihat, waimma Abu Talib tetap tidak beriman dengan ajaran Muhammad, tetapi ternyata penjagaannya terhadap Muhammad amat tuntas dan jitu.

Strategi mereka seterusnya, berjumpa dengan Abu Talib buat kali keduanya, untuk meminta agar Muhammad berhenti dari menyampaikan dakwah dari cara yang lain pula.

”wahai Abu Talib, sesungguhnya kamu dianggap sebagai orang tua kami, lantaran kedudukan kamu ini. telah berkali-kali kami meminta, agar kamu melarang anak saudaramu itu tidak meneruskan kerjanya. Kami sudah hilang sabar terhadapnya. Justeru, cegahlah dia dari meneruskan kerjanya itu” mereka bersuara dengan nada memujuk.

Abu talib menundukkan kepalanya. Dalam kepalanya, terdetik berbagai-bagai perkara yang sedang difikirkannya. Dengan berat hati, dia berjumpa dengan Muhammad.

”Wahai Muhammad, sesungguhnya kaummu telah datang berjumpa denganku. Mereka minta kamu berhenti dari meneruskan kerjamu” Abu Talib bersuara dengan nada sedih.

”wahai Muhammad, peliharakanlah dirimu dan diriku. Janganlah kamu bebankanku perkara yang aku tidak mampu memikulnya” Sambung Abu Talib sambil menitiskan air mata.

Rasulullah SAW tidak dapat lagi menahan sebak, seraya berkata dengan ungkapan tegas.

يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته

Maksudnya;
”Wahai Pak Chik, demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan kerjaku ini, pasti aku tidak akan meninggalkannya, hingga Allah menzahirkan islam, ataupun aku mati kerananya
[1]

Setelah menyebut kalimah tegas itu, menyebabkan nabi SAW menangis. Tangisan Nabi itu dilihat oleh Abu Talib, menyebabkan Abu talib berkata, ”justeru, teruskanlah dengan kerjamu wahai anak saudaraku. Aku tidak akan menghalang kamu dengan kerja buatmu, malah aku akan sentiasa mempertahankan kamu sehingga akhir hayatku. Lakukan segala perkara berdasarkan kehendak kamu. Aku sampai bila-bila pun tidak akan menyerahkan kamu kepada mereka”

Abu Talib berjumpa dengan pembesar-pembesar Quraish, menyatakan bahawa beliau tidak akan menyerahkan muhammad kepada mereka, malah akan menjaga dan membiarkan Muhammad dengan kerja buat yang sudah menjadi rutin hariannya.

Pembesar Quraish masih tidak berpuas hati. Mereka masih lagi berfikir cara yang paling berkesan dalam memberhentikan dakwah Nabi SAW. justeru, disaat hampir dengan saat kematian Abu Talib, sekali lagi tokoh-tokoh besar Quraish datang berjumpa dengan beliau. Mereka adalah Abu Sufyan, Abu Jahal dan An-Nadhar bin Al-Haris.

”Wahai Abu Talib, kamu adalah orang yang kamu muliakan. Tolonglah beritahu kepada Muhammad, agar dia berhenti dari meneruskan kerja buatnya” Abu Sufyan bersuara.

Dalam keadaan yang sudah tidak bertenaga, Abu talib memanggil Nabi Muhammad SAW. ketika Nabi SAW berada dihadapan mereka, Abu talib berkata, ”Wahai Muhammad, ini kaum kamu. Mereka merupakan anak beranak kepada bapa saudaramu. Mereka meminta agar kamu meninggalkan mereka terhadap agama mereka, sudah pasti mereka akan meninggalkan kamu dari agama kamu”

”kalau begitu, ucaplah ’la ilaha ill Allah’” Nabi SAW bersuara menyahut.

Mereka tetap tidak mahu, sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Abu Talib yang melihat keadaan itu membangunkan dirinya untuk duduk dibirai katil. Sambil itu dia bersuara, ”wahai Muhammad, apakah tidak ada kalimah lain, kerana mereka amat tidak menyukainya”

”Demi Allah, tidak ada kalimah lain yang akan aku ucapkan sehinggalah mereka meletakkan matahari di tangan kananku ini” Nabi SAW bersuara tegas.

Mereka berpandangan sesama mereka.

”jika demikian, berhentilah dari mencela tuhan kami. Jika tidak, pasti kami akan mencela tuhan kamu” An-Nadrah bersuara

Nabi SAW tidak menjawab balik apa yang diperkatakan oleh An-Nadrah. Nabi SAW berdiam diri, sehingga Allah SWT menurunkan firman-Nya;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya;
”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”

(Surah Al-‘An’am : 108
[2])

ISLAM DITERIMA KERANA KEADILANNYA

Dari kisah ini, kita dapat melihat bagaimana penerimaan terhadap Islam di awal dakwah nabi SAW. Disamping penekanan aqidah, dalam masa yang sama, terkandung seribu satu unsur keadilan dalam setiap sesi dakwah yang dijalankan oleh nabi SAW.

Konsep menolak penindasan dan kezaliman menyebabkan Bilal bin rabah, Ammar bin yasir, Sumayyah binti Al-Khayyat dan juga ramai dari kalangan hamba memeluk islam. Mereka tertarik dengan islam kerana kebencian mereka terhadap kezaliman yang dilakukan oleh para pembesar Quraish yang beragama dengan sembahan Al-Lata dan Al-Uzza.

Justeru itulah, tidak hairan bahawa di awal-awal islam, majoriti yang memeluk islam adalah golongan bawahan; golongan miskin dan hamba.

Kaedah ini sebenarnya, bukan sekadar wujud di zaman nabi SAW, malah wujud dimana-mana sekalipun. Golongan tertindas, susah, miskin dan sebagainya, mereka sedang berada dalam kesusahan. Apabila susah, sudah pasti mereka mahukan kemudahan bagi menghilangkan kesusahan mereka tersebut. Tiba-tiba, didapati ada satu ajaran yang menekankan konsep keadilan ini, sudah pasti mereka akan menerima ajaran tersebut.

Kaedah yang samalahlah yang sedang dilakukan oleh gerakan Kristian di seluruh dunia. Jika kita perhatikan, sebarang bencana alam yang menimpa di mana-mana dunia pun – terutama di dunia islam – pasti gerakan misi bantuan dari gerakan kristian akan sampai. Mereka memberikan bantuan ubat-ubatan, makanan, pakaian dan sebagainya. semuanya disebabkan, mahu menarik minat golongan yang susah ini kepada agama mereka.

Sedihnya, keadaan ini tidak pernah dilihat oleh umat Islam sendiri, walhal konsep memberi pertolongan kepada orang-orang susah dan miskin, dalam mendekatkan diri mereka Islam adalah cara yang diperjuangkan oleh Islam, malah dilakukan oleh Nabi SAW. Bukan sekadar itu, malah islam itu sendiri adalah agama keadilan; diberikan kepada sesiapa sahaja, terutama orang-orang yang susah.

Justeru itulah, kita akan dapati wujudnya sistem zakat dalam islam yang merupakan salah satu dari rukun-rukun islam. Hakikatnya, zakat ini amat penting untuk mendekatkan manusia kepada Islam; ataupun mendidik manusia agar menghayati Islam. sedihnya, kewujudan badan-badan zakat sekarang, boleh dikatakan mereka mementingkan kutipan berbanding pemberian. Justeru, tidak hairanlah di negara umat Islam yang mempunyai badan kutipan zakat, boleh dikatakan negara itulah yang kadangkala ditimpa dengan kemiskinan, dan kesusahan yang mampu membawa mereka kepada kekufuran.

Keadilan islam juga, tertumpu kepada menafikan konsep perkauman. Bilal bin Rabah yang berkulit hitam, menjadi mulia di zaman nabi SAW disebabkan ketaqwaannya terhadap Allah. Waimma beliau tidak berbangsa arab; tidak mempunyai wajah yang kacak dan cantik, tetapi memandangkan Islam agama keadilan, Bilal mendapat kemuliaan yang tinggi di sisi Allah SWT.

KETEGASAN DENGAN KEBENARAN

Jika dilihat kepada Nabi SAW, kita akan dapati bahawa Nabi SAW amat tegas dalam menyatakan kebenaran. Sebarang rayuan, pujukan dan makian dari pihak musuh, tidak pernah menyedihkan hati nabi SAW dalam menyatakan perkara yang sepatutnya.

Ketegasan dalam menyatakan kebenaran adalah perkara yang wajib ditauladani dari Nabi SAW. Di samping itu juga, kebijaksanaan dalam mempertahankan kebenaran juga perlu dipelajari dari kisah ini. Perhatikan, bagaimana Allah SWT menyatakan larangan daripada memaki sembahan-sembahan selain Allah, kerana dibimbangi mereka akan memaki Allah. Ini menandakan, dalam mempertahankan kebeneran, ia memerlukan seribu satu kebijaksaan.

Menurut Imam Fakhr Ar-Razi dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir, beliau menyatakan bahawa memaki sembahan selain Allah, waimma dilihat seakan-akan satu amalan yang dilihat baik disisi Islam, tetapi sebenarnya, disebalik makian tersebut ia mengandungi banyak kemungkaran. Kemungkaran tersebut adalah, dengan makian itu, menyebabkan mendapat makian balas dari mereka dalam keadaan mereka jahil dan bermusuh terhadap islam. apabila keadaan ini berlaku, tidak mustahil mereka akan sanggup memaki Allah, seterusnya Nabi Muhammad SAW sendiri
[3].

Melahirkan permusuhan dengan non Muslim, akan melahirkan prejudis mereka terhadap Islam. apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti usaha hendak menyampaikan islam terhadap mereka akan terbantut, malah akan tidak berjaya.

Ekoran itulah, Imam Al-Qurtubi ada menyebut;

فمتى كان الكافر في منعة وخيف أن يسب الإسلام أو البني عليه السلام أو الله عز وجل، فلا يحل لمسلم أن يسب صلبانهم ولا دينهم ولا كنائسهم، ولا يتعرض إلى ما يؤدي إلى ذلك؛ لأنه بمنزلة البعث على المعصية

Maksudnya;
”Apabila non Muslim mahu ditegah atau dibimbangi bahawa mereka memaki islam ataupun Nabi, malah terhadap Allah SWT, maka tidak halal bagi seseorang muslim itu mencela salib-salib mereka, terhadap agama mereka, juga terhadap gereja-gereja mereka. Ini kerana, ia membawa kepada keadaan yang disebut membangkitkan kepada maksiat
[4]

Justeru itulah, tindakan tersebut dilihat seribu satu kebodohan, yang hakikatnya tidak merujuk kepada ajaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT.

KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH

Jika direnung sedalam-dalamnya, disamping merujuk kandungan kitab-kitab tafsir. Ketika menafsirkan ayat ini – surah Al-An’Am ayat 108 - pasti kita akan dapat melihat betapa konsep pentingnya mengambil maslahah yang lebih besar dengan menolak mafsadah yang lebih besar amat penting dijadikan sebagai asas dalam berfikir ketika melakukan sesuatu tindakan.

Justeru itu, ayat ini Allah melarang memaki sembahan selain Allah, kerana bimbang melahirkan dua keburukan, iaitu mereka akan terus dengan kejahilan, disamping lahir prejudis terhadap Islam disebabkan berpunca dari permusuhan.

Kita dapat melihat, walau dilihat seperti memaki sembahan selain Allah itu dibenarkan, tetapi disebalik membenarkan itu, melahirkan banyak mudharat kepada Islam itu akan berlaku.

Konsep maslahah dan mafsadah ini, tidak sekadar dilihat menerusi dari makian terhadap tuhan selain Allah, tetapi hendaklah dibandingkan dengan isu-isu yang lain.

Termasuklah dalam isu arak, isu rumah ibadat, isu kepala lembu dan sebagainya. semuanya adalah kerana, demi menolak mafsadah, malah untuk mendapatkan maslahah yang lebih besar terhadap dakwah islam itu sendiri.

Justeru, jika masih ada lagi dari kalangan orang-orang islam, mahupun golongan agamawan yang graduan di Univerisiti Al-Azhar, atau dari mana-mana universiti pun, jika masih lagi bertindak tanpa melihat kepada konsep maslahah dan mafsadah, menandakan mereka tidak memahami pemahaman dari kandungan ayat ini – surah al-’an’am ayat 108.

RUJUK KEPADA ALLAH UNTUK HILANGKAN PERSEPSI

seseorang manusia yang melakukan sesuatu amalan, sudah pasti pada kacamatanya, dia menganggap amalan itu baik, waimma ia tidak baik di mata-mata manusia lain.

orang yang memaki sembahan selain dari Allah, mereka menganggap amalan mereka itu adalah baik; Orang yang mengarakkan kepala lembu, sudah pasti mereka menganggap tindakan mereka adalah baik; mereka yang bising dengan isu arak tanpa memikirkan kesan buruk yang akan menimpa pada Islam, sudah pasti mereka akan menganggap tindakan mereka adalah baik.

Hakikatnya, perkara ini sudah diakui sendiri oleh Allah SWT menerusi Al-Quran. Firman Allah SWT menerusi surah al-’an’am ayat 108;

كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ

Maksudnya;
”begitulah kami hiaskan bagi setiap umat itu akan amalan mereka”

Justeru itulah, tidak hairan Pakar psikologi ada menyebut, berfikir secara persepsi ini adalah perkara biasa bagi manusia. lantaran itulah, ramai manusia beranggapan bahawa nilai sesuatu itu bukan terletak kepada kualiti isi kandungan, tetapi terletak kepada lebel yang diberi.

Seperti contoh, ramai manusia akan mengatakan sesuatu statement itu bernilai disebabkan dia datang dari seseorang yang berprestij, waimma statement itu tidak mempunyai nilai intelek sedikitpun. Malah sebaliknya, jika seseorang yang tidak mempunyai personaliti berprestij mengeluarkan sesuatu idea yang bernas, sudah pasti idea itu di tolak mentah.

Inilah hakikat manusia yang telah dikaji oleh para pakar ilmu psikologi, malah hakikatnya telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.

Pun begitu, semua persepsi ini akan terus menjadi persepsi, tetapi kebenaran tetap mahu dicapai. Bagaimana mahu mencapai kebenaran, sudah pasti hendaklah merujuk kepada Allah SWT.

Sebab itulah, sambungan ayat Allah menyatakan;

ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya;
”Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri indah (B), Sg Buloh
26 september 2009 * 4:57 petang


[1] As-Sirah An-nabawiyyah (Ibnu kathir) : 1/474.
[2] At-Tafsir Al-Kabir : 6/431.
[3] At-tafsir Al-Kabir : 6/342.
[4] Tafsir Al-Qurtubi : 7/61.

Jumaat, 25 September 2009

KENAPA HATIKU BEGITU SAYU??


KENAPA HATIKU BEGITU SAYU??

Semalam menulis tentang Ustaz Fadzil Noor. Kerinduan tidak dapat lagi disembunyikan lagi. Rindukannya sebagai pemimpin, walhal hati kecilku tidak dapat menipu; mengatakan dia seperti bapa, malah datukku sendiri.

Tidak semena-mena, hatiku terlalu rindukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Mengapa?? Tidak aku tahu?

Baru-baru ini, berhari raya di Jerteh, yang bersempadan antara Kelantan dan terengganu. Memang bercadang hendak solat hari Raya bersama Tuan Guru seperti tahun-tahun yang lalu, tetapi tidak diketahui, kenapa hati ini terhalang untuk ke Pulau melaka. Mungkin kerana, tidak pernah solat hari raya bersama keluarga mertua??!

Kewangan sudah banyak habis kerana raya. Kalau tidak kerana ongkos, sudah pasti aku akan bertolak ke Kelantan. Tidak dapat mendengar suara, melihat wajah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun sudah meredakan hatiku.

Entah kenapa.. aku terlalu rindukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz... kenapa hatiku terlalu sayu?? Kenapa??.... kenapa???

Aku berharap, jangan ada sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku.

”YA Allah, tolong sejahterakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz!! Please!!”

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 september 2009 * 9:19 pagi





SELCAT : SIASATAN JANGAN BERSIFAT PILIH BULU!

SELCAT : SIASATAN JANGAN BERSIFAT PILIH BULU!

Tan Sri Khalid sudah bersuara. Hampir seminggu berpolimik dengan isu selcat, hari isnin ini adalah penentunya. Tan Sri Khalid menyatakan, ia boleh selesai cara baik.(sila klik
)

Apa yang kita tahu, siasatan selcat terhadap para pegawai daerah banyak penyelewengan duit rakyat sudah terkantoi, terutama melibatkan bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo.

Yang pastinya, penyelewengan duit rakyat sudah banyak diketahui, malah diyakini masih banyak lagi yang sedang membeku dalam laporan-laporan yang belum didedahkan.

Rakyat sedang menunggu dengan penuh minat, tetapi nampaknya agak dihalang oleh Dato’ Hasan Ali and the Geng. Cadangannya, lakukan siasatan dalam tertutup; bermakna, sebarang penyelewengan ini akan terdedah pun menerusi lisan-lisan ahli politik sahaja, tidak lagi menerusi lisan-lisan pihak yang bertanggungjawab. Rakyat akan didendangkan dengan cara lama untuk mengetahuai penyelewengan YB-YB BN.

Malah, dijangkakan berkemungkinan besar, bersetuju dengan cadangan Dato’ Hasan Ali ini, maka banyaklah penyelewengan Barisan nasional tidak akan diketahui, malah memberi kredit besar kepada Khir Toyo dan angkatannya. Dengan berita penerimaan cadangan Dato’ hasan Ali ini, sudah pasti Khir Toyo akan menarik sedikit nafas lega disebalik banyak penyelewengan yang melibatkannya.

Secara peribadi, aku lebih bersetuju dengan siasatan secara terbuka dilakukan seperti biasa. Ini kerana, sebagai rakyat selangor, sudah pasti aku ingin mengetahui kemana perginya duit yang telah dibayar cukai oleh rakyat.

Tidak timbul isu dendam dengan UMNO/BN atau tidak; atau menjatuhkan maruah atau tidak. Ini kerana, isu ini adalah perkara yang melibatkan harta rakyat perlu diteluskan; tanpa disembunyikan.

Padaku, siasatan terbuka ini jangan sekadar melibatkan kepada penyelongkaran terhadap penyelewengan BN sahaja, malah jika wujud juga penyelewengan yang melibatkan PR, sewajibnya didedahkan juga. Jika Ronnie Liu membuat penyelewengan, dedahkan agar dia akan dihukum oleh rakyak; begitujuga, jika melibatkan tan Sri Khalid, mahupun Dato’ hasan Ali sendiri.

Orang dahulu sering menyebut, ”berani kerana benar”. Justeru, gerangan apakah yang menyebabkan kita takut untuk mendedahkan kepada rakyat segala penyelewengan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN?

JANGAN CIPTA KERAGUAN RAKYAT

Keyakinan rakyat perlu dibina, keraguan rakyat jangan sekali dicipta. Mencipta keraguan, menyebabkan bala dan celaka dalam pilihanraya umum di masa akan datang. Kekalahan pakatan Rakyat di selangor, mengakibatkan Surau dan masjid akan kesunyian dari majlis tazkirah, ceramah dan kuliah, parti-parti politik sudah tidak lagi bebas berceramah, wang rakyat akan terbang melayang ke kroni-kroni ahli politik dan banyak lagi kerugian akan menimpa.

Aku tidak meyakini, jika UMNO/BN memerintah, PAS akan mendapat kesenangan seperti UMNO dapat semasa Pakatan Rakyat memerintah. waimma UMNO tidak menjadi kerajaan di selangor, ternyata Pakatan Rakyat masih lagi memberi ruang yang terbuka kepada Barisan Nasional berceramah dan melakukan sebarang program. Keadaan ini tidak pernah berlaku di zaman PAS, PKR dan DAP menjadi pembangkang.

Tak tahu la pula, kalau kita lebih percayakan Barisan Nasional berbanding pakatan rakyat? Tetapi padaku, ”Sejahat-jahat orang PAS, itulah sebaik-baik orang UMNO”. Justeru, bagaimana pula sejahat-jahat orang UMNO?

Fikir-fikirkanlah...

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 september 2009 * 9:13 malam

tengok sama, penyejuk hati dan jiwa;