Jumaat, 25 Jun 2010

‘PEWARIS NABI’ MASUK UMNO DAN ’ISLAM WASATI’ DALAM PRU AKAN DATANG

[1]

Dalam entry lepas, aku ada mendedahkan satu maklumat yang didapati dari teman-teman yang bekerja di JAKIM. Mereka memaklumlan bahawa target PM yang telah di’balaci’kan kepada Jamil Khair agar mencipta satu ’propaganda agama’ bagi menarik undi Melayu [khususnya melayu bandar, kerana majoriti melayu bandar tidak mengundi BN. Ia berbeda dengan melayu kampung yang tidak pandai baca internet dan blog, kecuali sedikit sahaja] dalam PRU akan datang.

Hasil dari kajian dan selidikan yang dilakukan oleh pihak Jamil Khair, mereka memaklumkan bahawa hampir dengan PRU akan datang, akan datang satu Islam dalam versi baru yang seakan-akan Islam Hadhari, iaitu Islam Wasati, atau disebut dalam bahasa melayu sebagai ”islam pertengahan”. [sila klik]

Berita itu, dimaklumkan sebegitu sahaja. Adapun strategi dan target mereka, tidak diketahui bagaimana mereka akan lakukan.

[2]

Sebelum ini, antara perbincangan yang kedengaran adalah isu Wahabi dan sebagainya. tidak dinafikan, wujud juga isu Ahbash, tetapi dilihat golongan ini tidak begitu dilayan sangat. Mungkin faktor ’syadid’ dalam fatwa sehingga mengkafirkan orang, menyebabkan jemaah mereka tidak begitu dilihat.

Adapun dari satu golongan yang dilebel wahabi, didapati agak mendapat sambutan. Antara isu yang sering dibangkitkan adalah, menegur pemimpin yang beragama Islam [mereka maksudkan adalah pemimpin BN]. Mungkin mereka agak kurang didedahkan dengan istilah wala’ dan siqah, menyebabkan istilah itu kurang kedengaran ketika itu.

Ramai dari pihak pembangkang, terutama PAS, tidak sealiran dengan isu yang dibangkitkan oleh mereka. Jadi, berbagai-bagai serangan maya yang ditujukan kepada pihak yang digelar sebaga wahabi ini. Dr Asri adalah antara tokoh yang menjadi sasaran.

[3]

Pastinya, golongan yang dilebel wahabi ini sering membangkitkan beberapa laungan ’keramat’. Antaranya adalah, ”golongan pertengahan” dan ”geng tajdid”. Menarik apabila mendengar laungan keramat itu, bahkan logo yang direka-cipta mereka juga wujud dibeberapa blog sebagai tanda sokongan.

Didapati, pergerakan mereka amat aktif di alam maya, malahan semakin berkembang pesat di luar dari dunia maya. Juga didapati, ada beberapa tokoh dari kalangan mereka yang dilihat agak kedepan. Antaranya adalah, Ustaz Fath Al-Bari, anak bekas mufti perlis yang dulu.

[4]

Sehari dua ini, kedengaran bising di ruangan maya dan di luar ruangan maya, bahawa ada sebilangan golongan yang digelar sebagai ulama – pewaris Nabi akan masuk UMNO. Antara nama yang dibangkitkan adalah, Dr Asri.

Dr Asri dilihat menafikan dakwaan tersebut. Terutama, apabila dr Asri dilibatkan sebagai orang yang ada kaitan dengan JI [Jemaah Islamiyyah] yang entah wujud atau tidak itu.

Walaubagaimana pun, pada hari ini [jumaat] keluar satu berita tentang kemasukan beberapa ’ulama-ulama’ kepada satu fahaman baru, iaitu UMNO. lebih mengejutkan, golongan itu adalah golongan yang dilebelkan sebagai wahabi, atau dalam lebel lunaknya sebagai salafi.

[5]

Mengetahui berita ini, aku mula terfikir balik dengan maklumat dari teman-teman yang bekerja dalam JAKIM; iaitu dakwaan bahawa dalam PRU akan datang bahawa akan ada satu gagasan Islam yang bakal timbul, iaitu ’islam Wasati’.

Apabila dilihat kepada ’ulama-ulama pewaris Nabi’ ini memeluk ajaran UMNO, maka aku mula teringat konsep ’pertengahan’ [dalam bahasa arab, kalimah pertengahan disebut sebagai wasati] dan ’tajdid’ yang sering kedengaran sebelum ini.

[6]

Pada penilaian dan sekenalku dengan beberapa orang ’ulama-ulama’ yang pernah aku kenal; yang masuk UMNO itu. Aku merasakan, mereka berbuat demikian bukan kerana habuan wang ringgit, tetapi mungkin ada sesuatu yang ditawarkan kepada mereka yang menyebabkan mereka menganut ajaran UMNO itu.

Aku mula teringat dengan perjuangan Muhammad bin Abdul Wahab yang didakwa sebagai pengasas gerakan Wahabi [padaku, wahabi bukan fahaman atau mazhab, tetapi ia satu gerakan dakwah beraliran Hanbali]. Ini kerana, cara dan kaedahnya hampir ada kesamaan.

Perlu dinyatakan, Muhammad bin Abdul Wahab memulakan pergerakan dakwahnya di kampungnya sendiri iaitu Uyainah.

Pada waktu itu Uyainah diperintah oleh seorang amir (penguasa) bernama Amir Uthman bin Mu’ammar. Pergerakan Muhammad bin Abdul Wahab bergema di Bandar Uyainah. Penerimaan terhadap pegangan Muhammad bin Abdul Wahab ini, bukan sekadar diterima oleh rakyat bawahan, malahan mendapat pandangan positif dari pihak pemerintah.

Penguasa Uyainah, Amir Uthman bin Mu’ammar menyambut baik idea dan gagasan Muhammad bin Abdul Wahab itu dengan sangat gembira, dan beliau berjanji akan menolong perjuangan tersebut sehingga mencapai kejayaan.

[7]

Jika kita lihat pada gerakan Muhammad Bin Abdul Wahab, beliau menggunakan ‘line’ pihak berkuasa untuk mengembangkan gerakan dakwahnya. Justeru, tidak mustahil ulama-ulama muda yang menceburkan diri dengan UMNO ini menggunakan kaedah yang sama.

Mungkin mereka tidak diberikan wang ringgit, waima andaian itu tidak wajar ditolak mentah-mentah. Tetapi, kemungkinan mereka ini ditawar untuk diberi ruang yang cukup luas dalam mengembangkan fikrah “wasati” atau “pertengahan” yang mereka perjuangkan sejak sekian lama.

Dengan maksud, mereka mempunyai agenda yang ingin dilakukan, tetapi mereka lupa agenda BN yang mempergula-gulakan mereka demi undi melayu dalam PRU akan datang.

Mungkin mereka sedar agenda BN, tetapi mungkin kerana faktor ruang yang mereka harapkan, maka mereka tidak kisah diagendakan. Ini semua kemungkinan-kemungkinan. Tetapi, padaku tindakan mereka ini tidak akan dapat memberi keuntungan kepada Islam, sebaliknya ia lebih kepada keuntungan kepada BN sahaja.

Walaubagaimana pun, sejak 8 Mac 2008 ini, banyak masalah yang timbul dalam usaha menjadikan “Islam for All” ini tertangguh dan terbantut. Antara asbab-asbab yang agak besar, berpunca dari mereka yang mendapat gelaran ‘pewaris nabi’.

Persoalannya, benarkan ‘pewaris nabi’ adalah orang yang membantutkan pandangan Islam sebagai agama rahmat sekelian alam?

sekian

P/s : Kepimpinan ulama adalah gabungan ulama yang berjaya membuktikan bahawa "islam For All". Adapun kepimpinan ulama yang wujud, jika sekadar mempamerkan "islam for melayu", maka tidak ada faedah kepimpinan ulama itu dibentuk. ini kerana, ia hanya berjaya mempamerkan satu persepsi bahawa kalimah "ulama" hanya sekadar dicandukan demi golongan yang gila kuasa sahaja. [agama tidak candu, tetapi berjaya dicandukan oleh gereja. Maka begitujuga, kalimah 'ulama']

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg Buloh
26 Jun 2010 * 4:09 pagi

Khamis, 24 Jun 2010

WACANA MAYA : KOSMOPOLITAN NABAWI [1]

[1]

Dalam bahasa Yunan, Kosmos bermakna “الأرض و السياسة”, iaitu bumi dan pentadbiran. Adapun makna Kosmopolitan pula adalah, “Alla Qaumiyyah”, iaitu tidak perkauman/tidak nasionalis[1].

Dalam Islam, ada bentuk nasionalis yang ditolak, dan ada bentuk nasionalis yang tidak ditolak. Maksud semangat nasionalis yang ditolak itu adalah, membantu orang dalam melakukan.

Sabda Nabi SAW;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ


Maksudnya;
“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada Assobiyyah; bukan dari kalangan kami orang yang berperang atas dasar Assobiyyah; dan bukan dari kalangan kami mereka yang mati dasar Assobiyyah[2]

Dalam menafsirkan makna Asobiyyah ini, kitab Aun Al-Ma’bud menukilkan perkataan Al-Munawi dengan katanya;

أَيْ مَنْ يَدْعُو النَّاس إِلَى الِاجْتِمَاع عَلَى عَصَبِيَّة وَهِيَ مُعَاوَنَة الظَّالِم

Maksudnya;
“barangsiapa yang menyeru manusia kepada himpunan Asobiyyah, iaitu memberi pertolongan [atau bantuan] terhadap orang yang melakukan kezaliman[3]

Ini memberi maksud, assobiyyah yang diharamkan islam ini tidak sekadar dalam semangat perkauman. Tetapi, setiap tindakan yang membantu orang yang melakukan kezaliman, waima teman, kaum kerabat, team, group, parti sendiri lakukan, maka itu adalah Asobiyyah.

[2]

Nasionalis yang diharamkan dalam Islam adalah Nasionalis yang mempunyai unsur menidas. Sudah diketahui umum, menindas adalah tindakan yang zalim.

Pengharaman zalim, dinyatakan oleh Allah dalam hadis Qudsi;

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya;
“Wahai hambaku, sesungguhnya aku haramkan kezaliman atas diriku sendiri, dan aku jadikannya haram dikalangan kamu. Justeru, jangan kamu melakukan kezaliman sesame kamu[4]

Bukan sekadar melakukan, malahan cenderung kepada orang yang melakukan kezaliman juga adalah haram.

Firman Allah;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, maka kamu akan disentuh oleh Api neraka. Dan tidak ada bagi kamu wali selain Allah, dan kemudian kamu tidak akan dibantu”

(Surah Hud : 113)

Nasionalis yang diharamkan dalam Islam juga adalah nasionalis yang bersifat menafikan hak; sama ada hak itu atas alasan agama, atau atas alasan bangsa. Ini kerana, Islam adalah agama yang mengakui hak sesiapa sahaja, tanpa mengira agama dan bangsa.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah SWT memberikan hak kepada orang yang berhak[5]

[3]

Dibawah maksud nasionalis yang tertolak juga adalah, menafikan kebenaran. Jika direnung dalam Al-Quran, didapati bahawa Ahli Kitab dimurkai oleh Allah, adalah bersebabkan semangat nasionalis mereka yang terlalu menebal, sehingga mereka menafikan kenabian Nabi Akhir zaman, ekoran Nabi Muhammad bukan dari bangsa mereka.

Firman Allah;

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

Maksudnya;
“ramai dari kalangan Ahli Kitab bercita-cita untuk memurtadkan kamu selepas keimanan kamu, agar kamu menjadi kafir. Ia kerana kedengkian yang berada dalam diri mereka, selepas nyata kebenaran bagi mereka”

(Surah Al-Baqarah : 109)

Dalam ayat ini, dinyatakan bahawa Ahli Kitab mempunyai penyakit hasad yang wujud dalam diri mereka. maksud hasad dalam ayat ini adalah, mereka tidak berpuas hati dengan perlantikan Nabi Muhammad SAW yang bukan dari bangsa mereka, tetapi Nabi Muhammad SAW dari bangsa arab.

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Fakhruddin Ar-Razi dalam Kitab At-Tafsir Al-Kabir ada menukilkan perkataan Ibnu Abbas yang menyatakan seperti berikut;

“sebelum kebangkitan kenabian Nabi Muhammad SAW, mengikut kebiasaan orang yahudi, apabila sebarang peperangan dengan sesuatu kaum, mereka akan berdoa seperti berikut;

نسألك بالنبي الذي وعدتنا أن ترسله وبالكتاب الذي تنزله إلا تنصرنا

Maksudnya;
“Kami memohon kepada-Mu [Wahai Allah] dengan Nabi yang Kamu janji kepada kami, bahawa Kamu akan utuskannya dan dengan kitab yang kamu turunkannya, bahawa berilah pertolongan kepada kami”

Dalam setiap peperangan, mereka sering diberi pertolongan oleh Allah SWT. Namun, setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW yang mereka dapati dari keturunan Nabi Ismail [yahudi dari keturunan Nabi Ya’qub : Ya’qub anak Nabi Ibrahim dari isteri bernama Saidatina Sarah, dan Ismail anak Nabi Ibrahim dari isteri bernama Saidatina Hajar]. Setelah mereka mengetahui itu, menyebabkan mereka kufur Nabi Muhammad SAW[6]

Tindakan Yahudi itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan firman-Nya dari surah Al-Baqarah;

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ * بِئْسَمَا اشْتَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ أَنْ يَكْفُرُوا بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ بَغْيًا أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ مُهِينٌ

Maksudnya;
“Dan setelah datang kepada mereka Al Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka lalu ingkar kepadanya. Maka la'nat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu * Alangkah buruknya (hasil perbuatan) mereka yang menjual dirinya sendiri dengan kekafiran kepada apa yang telah diturunkan Allah, karena dengki bahwa Allah menurunkan karunia-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya diantara hamba-hamba-Nya. Karena itu mereka mendapat murka sesudah (mendapat) kemurkaan. Dan untuk orang-orang kafir siksaan yang menghinakan”

(SUrah Al-Baqarah : 89-90)

Dari ini, kita dapati bahawa kekufuran ahli kitab adalah kerana penafian mereka terhadap kebenaran. Punca utama penafian itu adalah disebabkan semangat nasionalis mereka yang terlalu menebal.

[4]

Tidak semua nasionalis itu ditolak, tetapi dalam beberapa keadaan ia tidak ditolak. Namun, yang tidak ditolak itu adalah, nasionalis itu sekadar alat, bukan matlamat.

Dengan maksud, ia tidak boleh digunakan untuk menafikan hak manusia lain, tetapi, jika mahu menggunakannya juga, ia tidak lebih sekadar menolak daripada berlaku kemudharatan yang lebih besar.

Ekoran itu, kita akan dapati Nabi SAW ada bersabda;

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا وَلَكُمْ عَلَيْهِمْ حَقًّا

Maksudnya;
”pemimpin-pemimpin itu, daripada Quraish. Sesungguhnya kamu perlu tunaikan hak bagi mereka, begitujuga mereka perlu menunaikan hak bagi kamu[7]

Dalam membahas maksud imam [pemimpin] dari kalangan Quraish ini, Ibnu Khaldun menyatakan;

أن اشتراط القرشية إنما هو لدفع التنازع

Maksudnya;
”Sesungguhnya Syarat bangsa Quraish [sebagai pemimpin/ketua kerajaan], adalah untuk menolak daripada berlaku perbalahan[8]

Memahami itu, tidak hairan kita akan dapati ada beberapa tokoh yang bercakap berwarna perkauman, seperti Imam Hasan Al-Banna dan Dr Burhanuddin Al-Helmi. Namun, maksud perkauman yang dibicarakan itu tidak lebih sekadar perkara sampingan, bukan perkara utama.

Bersambung....


[1]http://ar.wikipedia.org/wiki/%D9%83%D9%88%D8%B3%D9%85%D9%88%D8%A8%D9%88%D9%84%D9%8A%D8%AA%D9%8A%D8%A9
[2] Abu Daud : 4456.
[3] Aun Al-Ma’ bud : 11/161.
[4] Muslim : 4674.
[5] Abu Daud : 2486.
[6] At-Tafsir Al-Kabir : 2/277.
[7] Musnad Ahmad : 11859.
[8] Muqaddimah : m.s : 100.

Selasa, 22 Jun 2010

AHBAHS SEMAKIN MELAMPAU : TUDUHAN MELULU SEBAGAI JI

[1]

Di Lubnan, golongan Ahbash ini wujud. Di sana, berbagai-bagai kekacauan yang telah berlaku. Ia bermula, ketaassuban anak murid Abdullah hariri yang merupakan "abuya" bagi ajaran Ahbash, disamping ajaran mengarut yang disebarkan oleh Abdullah hariri itu.

Budaya takfir dalam perkara khilafiyyah menjadi perkara biasa. Orang yang dituduh wahabi, semuanya adalah mujassimah, kata mereka. Justeru, mereka adalah kafir.

Apabila dinyatakan, bahawa tidak semua wahabi itu mujassimah. Lalu, dikemukakan kitab-kitab Abu hasan Al-Asyari, iaitu kitab Ibanah. Mereka akan mendakwa bahawa kitab itu telah dipesongkan oleh wahabi.

Apabila dikemukakan kitab Al-Fiqh Al-Akbar karangan Imam Abu hanifah yang ada membicarakan soal aqidah; ternyata isu aqidah yang dikemukakan oleh Imam Abu hanifah itu bercanggah dengan cara pemahaman mereka, pasti mereka akan mendakwa bahawa kitab Abu Hanifah diselewengkan oleh Wahabi.

Semua kenyataan ulama Salaf yang tidak sealiran dengan mereka, amat senang untuk mengetahui jawapan mereka. Tidak lain dan tidak bukan, kitab itu diselewengkan oleh Wahabi.

Kalau ini minda Ahbash, tidak hairan Dr Yusuf Al-Qaradhawi ada menyebut bahawa berdebat dengan golongan ahbash, sama seperti berdebat golongan orang yang tidak berilmu. [lihat fatawa maasarah].

Juga lebih tidak hairan lagi, apabila Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyebut bahawa Ahbash adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan.

[2]

Gerakan ahbash ini, bukan sekadar wujud di Lubnan sahaja. Tetapi kini, sudah tersebar di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Isu yang dikemukakan adalah, Wahabi dan Salafi. Diserang habis-habisan golongan ini, dengan menempelkan dakwaan yang tidak pernah wujud sama sekali.

Lebih parah, dilebelkan orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka sebagai wahabi, waima orang itu bukan wahabi sama sekali. Bertambah parah, apabila mereka memakai kaedah mantiq bodoh, iaitu dengan mendakwa "wahabi itu JI, dan JI itu pengganas atau militant". Justeru, orang yang mereka lebelkan wahabi itu adalah militant, yang sedang tersebar di Universiti-universiti.

[3]

Pelik sungguh dakwaan Ahbash, bahawa mendakwa Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai Wahabi, seterusnya JI. Jika benar tuan Guru Haji Abdul Hadi itu mahu kepada kaedah kekerasan dan peperangan, mengapa Tuan Guru terlibat dalam Pilihanraya?

Wahabi menggunakan method Istinbat zahiri, malahan lebih teruk dari Zahiri. Sudah pasti, method mereka akan menghasilkan hukum bahawa tidak boleh terlibat dengan Pilihanraya. Ini pun sudah cukup untuk membuktikan Ahbash ini sudah tersilap dan tersalah dalam menuduh.

Padaku, pihak polis dan pihak jabatan Agama Islam di Malaysia, sama ada JAIS, JAKIM dan sebagainya, wajib melakukan siasatan terhadap Ahbash ini. kerena, sudah ramai ulama-ulama besar di dunia kini telah menyebut bahawa mereka adalah golongan yang sesat, lagi menyesatkan. Antaranya adalah, Dr wahbah Az-Zuhaili.

cuma yang peliknya, kenapa pihak kerajaan masih lagi membela puak-puak Ahbash ini. Ini kerana, terbukti bahawa beberapa tokoh sealiran Ahbash ini wujud JAKIM itu sendiri. Apakah kerajaan mempunyai agenda?

Benar kata orang, "kalau tidak ada agenda jahat, maka itu bukan BN"

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
23 Jun 2010 * 12:06 tengahari


Isnin, 21 Jun 2010

JANGAN JADI HANG TUAH !!

[1]

Banyak tokoh yang menulis tentang hikayat Hang tuah. Masakan di malaysia, di indonesia juga amat banyak bahan bacaan tentang tokoh melayu yang sering disebut-sebutkan itu.

”takkan hilang melayu di dunia” adalah ungkapan keramat Hang Tuah, menjadi sebut-sebutan dibibir mereka yang mendakwa pejuang melayu. Tidak ketinggalan juga menyebut itu adalah ’pejuang perut’. Mereka mengunakan ungkapan ’melayu’ sebagai candu, sepertimana golongan paderi di zaman karl Mark menggunakan agama untuk mengaut kekayaan.

Dalam Filem lama pula, hikayat Hang Tuah ada dua versi; P Ramli dan Nordin Ahmad. Hang Tuah versi P ramli dilihat hebat, tetapi dilihat bodoh dalam versi Nordin Ahmad. Mungkin kerana Nordin Ahmad memagang watak Hang Jebat.

[2]

Jika kita membaca beberapa karya tentang Hang Tuah. Kita akan dapati, semua karya itu menganggambarkan Hang Tuah ini tidak lebih daripada Balaci seorang raja yang zalim. Cuma, cara olahan sahaja dilihat seperti Hang Tuah itu hebat. Hakikatnya, Hang Tuah tidak lebih sebagai seorang pencacai kepada Raja.

Hang Tuah adalah lambang ketaatan membabi buta, atau dalam bahasa agamanya disebut sebagai taqlid buta. Sedangkan, Hang Jebat disifatkan sebagai golongan wala’ kepada raja; justeru di’sembah’ raja yang adil, di’bantah’ raja yang zalim.

Dalam bahasa Islam, Hang Jebat adalah lambang ”Wala’” kepada kebenaran, ”Barra’” kepada kezaliman, waima kezaliman itu dilakukan oleh raja yang disifatkan ma’sum oleh orang melayu ketika itu.

Tragedi pembunuhan yang dilakukan oleh hang Tuah terhadap Hang Jebat benar-benar melambangkan taqlid buta terhadap raja zalim, yang akhirnya budaya wala’ dalam bentuk sebenar sudah terhapus dalam budaya melayu.

[3]

Ternyata, budaya taqlid buta Hang Tuah terhadap raja memberi keburukan kepada Rakyat Melaka sendri. Dalam buku Hikayat Hang Tuah karangan Kasim Ahmad ada menyatakan bahawa, hang Tuah terlalu menyesal dengan sikapnya yang membunuh Hang Jebat, yang menyebabkan raja semakin angkuh.

Ia menyebabkan Hang Tuah memilih kehidupan yang tidak sepertimana sebelum dia membunuh Hang Jebat. Dihikayatkan bahawa Hang Tuah telah bertukar menjadi seorang yang penyabar, lemah lembut dan warak. Perubahan itu berlaku, setelah dia melihat sendiri berlakunya kejatuhan kerajaan Melaka kepada portugis dan seterusnya belanda. Semuanya berpunca dari keangkuhan si Raja yang di puja-puja oleh hang Tuah sendiri sehingga sanggup membunuh teman sendiri demi ”tuanku”.

Tetapi apa boleh buat. Hang Tuah sudah terlambat. Dia sudah kehilangan kawan rapatnya, Hang jebat. Juga, dia kehilangan kerajaan yang disayangi, Melaka. Hanya Allah, tempat dia mengadu, sehingga dia dikenali seorang yang cukup warak sehingga akhir hayatnya.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg Buloh
22 Jun 2010 * 2:25 Pagi

DR ASRI MASUK UMNO?


Riuh rendah di alam maya dan alam nyata, kononnya Dr Asri akan menyusup masuk ke dalam parti 'anak haram israel', UMNO. Susah hendak merungkai perkara ini, apakah benar atau tidak.

Namun, dalam budaya politik, tidak ada perkara yang pelik. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkait melibatkan diri terhadap sesuatu parti.

Secara peribadi, aku tidak bersetuju Dr Asri terlibat dengan mana-mana parti; sama ada parti PAS, UMNO, PKR atau sebagainya.

Pada penilaianku, suara Dr Asri di luar sesuatu organisasi kepartian lebih bernilai dan berharga.

Telah terbukti, dalam banyak isu. Kenyataan Dr Asri sebaris dengan kenyataan Presiden-presiden parti-parti di malaysia. Dalam isu kalimah Allah sebagai contoh. Kita dapat lihat, bahawa kenyataan Dr Asri sebaris dengan kenyataan Tok Guru haji hadi [presiden PAS] dan kenyataan Dr Nur Manuti [ketua biro Agama PKR].

Apabila ini keadaan Dr Asri, sudah pasti keputusan dia mahu 'memeluk agama baru' iaitu UMNO, merupakan satu kesilapan besar bagi dirinya.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
22 Jun 2010 * 1:04 pagi

Ahad, 20 Jun 2010

REHAT MINDA

(sila Klik untuk besarkan)

Jumaat, 18 Jun 2010

PERKAUMAN, KAPITALIS DAN ZALIM – PRU AKAN DATANG

ini gambar Pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini


[1]

Kadang-kadang terfikir, mengapa rakyat menolak BN dalam PRU lepas. Apabila berfikir, teringat pula pesanan Shah Waliyullah Ad-Dahlawi dalam kitab "Hujjahtullah Al-Balighah" yang pernah menyebut bahawa rakyat akan mendokong sesuatu kerajaan, apabila kerajaan itu menjaga tiga perkara, [a] Pakaian mereka, [b] makan minum mereka, dan [c] tempat tinggal mereka.

Menilai itu, tidak hairan dalam PRU lepas, Barisan Alternatif mendapat sokongan padu dari Rakyat, kerana ketika itu ungkapan Negara berkebajikan benar-benar memberi keberanian kepada rakyat untuk beralih undi, terutama apabila BN sebagai kerajaan, sedang dalam dilemma dalam kebejatan kebajikan rakyat, seperti kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.

[2]

Dari sudut yang lain pula, dilihat undi cina dan India terlalu tinggi meninggalkan BN. Adapun undi melayu, berlaku juga peralihan, tetapi tidak terlalu ketara.

Bangsa cina dan India adalah dua bangsa yang dilihat sebagai ‘class kedua’ di Malaysia. Semuanya berpunca dari tiga unsure, [a] perkauman, [b] kapitalis, dan [c] zalim.

Ketiga-tiga unsure ini, amat melekat dengan BN, sehingga tidak boleh dipisahkan. Apabila disebut BN, maka kelihatan zalim, perkauman dan kapitalis.

Disamping itu pula, kepandaian mengolah isu yang dilakukan dari pihak Barisan Alternatif, terutama road show Anwar Ibrahim yang dilihat ‘suaranya agak keramat berbanding pemimpin politik yang lain’ dalam memainkan isu-isu ini.

[3]

Mat Sabu ada menyebut bahawa undi melayu ini perlu dinilai dari dua keadaan, iaitu [a] melayu Bandar, dan [b] melayu kampung.

Melayu Bandar, undi mereka terletak kepada rasional. Mereka adalah golongan terbuka minda. Mereka golongan yang bermaklumat, kerana sumber maklumat mereka bukan sekadar melalui surat-surat khabar perdana, tetapi internet, blog, laman-laman web dan akhbar-akhbar internet.

Adapun melayu kampung, undi mereka terletak kepada sentiment. Mereka agak tertutup minda. Mereka golongan yang tidak bermaklumat, kerana sumber maklumat mereka adalah akhbar-akhbar propaganda BN, seperti utusan, berita harian, RTM dan TV3.

Apabila menilai ini, tidak hairan kita dapati undi melayu yang banyak meningkat; yang memberi undi kepada PR adalah di kawasan-kawasan bandar. Adapun di kawasan-kawasan kampung dan felda, undi melayu agak stabil seperti dalam PRU-PRU yang lepas.

Ini memberi maksud, jika di kawasan-kawasan melayu kampung atau felda, diberikan kemudahan internet, ataupun maklumat internet ini disalurkan kepada mereka – seperti yang Obama lakukan dalam kempen Pilihanrayanya, iaitu ada golongan yang kerjanya fotokopi berita internet, dan disebar kepada pengundi – tidak hairan undi BN akan menurun di kawasan-kawasan melayu kampung, dan undi di kawasan-kawasan melayu bandar akan kekal seperti sedia kala.

[4]

Politik rakyat kelantan amat unik. Ada pihak mendakwa, politik rakyat kelantan adalah politik ’silent killer’. Mereka boleh dilihat memakai baju BN, tetapi mereka mengundi PAS. mereka boleh pakai baju PAS, tetapi mereka boleh mengundi BN.

Dalam satu ceramah, Mat Sabu ada menyebut bahawa, antara sebab kekurangan undi PAS kelantan yang amat ketara dalam PRU ke 11 [2004] yang lalu adalah, faktor ’silent killer’. Antaranya adalah, apabila kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah pemberian geran tanah kepada rakyat di kawasan-kawasan pendalaman.

Ekoran itu, bermula dari kedai kopi, mereka mengungkap istilah ”kita ajar kali ini”, menyebabkan ia tersebar sehingga PAS di Kelantan pada tahun tersebut benar-benar berada dalam gawat; iaitu berbekalkan satu kerusi majoriti sahaja.

[5]

Jika ulasan ini adalah satu perkara yang benar, ia memberi satu perkara yang bahaya kepada PR dari satu sudut yang terpencil. Ini kerana, jika rakyat boleh menolak BN kerana faktor kezaliman, kapitalis dan perkauman. Ini memberi satu peringatan, sekiranya ketiga-tiga unsur ini dilakukan oleh PAS [atau PR?], tidak hairan PAS akan ditolak oleh rakyat juga.

Susah hendak merungkai isu ini. Tetapi, dari persepsiku secara peribadi, aku melihat bahawa sejak 8 Mac 2010 yang lalu, unsur Perkauman ini berlaku dalam PAS, iaitu apabila dibicarakan soal perpaduan melayu atas wajah kerajaan perpaduan.

Adapun unsur zalim, ia kedengaran di sebilangan DUN-DUN yang berada di bawah kekuasaan PAS, PKR dan DAP. Kedengaran PAS yang menguasai DUN, mengenepikan PKR dan DAP; PKR yang menguasai DUN, mengenepikan PAS dan DAP dan begitulah selanjutnya.

Waima unsur mengenepikan ini adalah perkara terpencil, tetapi ia memberi kesan kepada pendokong-pendokong parti masing-masing, yang tidak hairan bahawa akan berlaku undi protes, ataupun tidak keluar mengundi.

[6]

Barisan Alternatif diberi undi, antara faktornya adalah bahawa calon-calonnya dilihat lebih mudah didekati; tidak sombong dan kelihatan berjiwa rakyat. Pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif dilihat mudah ditegur dan bersifat terbuka.

Keadaan ini berbeda dengan keadaan pemimpin-pemimpin BN yang dilihat agak berlagak dan susah didekati. Mereka memakai kereta mewah, dan hendak berjumpa dengan mereka perlu berhadapan dengan banyak halangan, seperti ’kabel’ dan ’personal asistent’.

Ini membuatkan rakyat marhain meluat, dan akhirnya ’ajar’ pemimpin-pemimpin BN, dengan memberikan undi kepada Barisan Alternatif sebagai protes.

Adapun jika dilihat kepada pemimpin Pakatan Rakyat [khususnya PAS], fikir dan nilai sendiri je la..

Jangan sampai ada rakyat berkata, ”Jangan ko.. puak2 ni kalau memerintah Malaysia, mereka akan tuduh kita UMNO kalau kita tak wala’ kat mereka. Kat ahli mereka pun, mereka dah buat. Inikan pula kat kita rakyat biasa”

Sekian

Wallahu ’alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah [b] Sg Buloh
18 Jun 2010 * 7:18 Malam