Sabtu, 27 November 2010

SEBELUM NAJIB SERANG KELANTAN, JAWAB PAHANG DAN SERAWAK DULU

1 disember 2010 ini, dikhabarkan akan berlaku mesyuarat majlis tanah negara yang dihadiri oleh semua menteri besar di semua negeri-negeri di Malaysia. Turut hadir, beberapa orang menteri kabinet. Menteri sumber asli dan Alam Sekitar, Douglas Uggah Embas adalah menteri yang wajib hadir. Mesyuarat tersebut, dipengerusikan oleh PM, najib Tun Razak.

Dalam mesyuarat tersebut, akan dibangkitkan berkenaan pengurusan hutan di Malaysia. Dalam mesyuarat tersebut, didakwa akan berlaku satu serangan dahsyat terhadap pengurusan hutan di Kelantan.

Antara serangan yang berkemungkinan dibangkitkan adalah;

Pertama: kenapa kelantan didakwa menebang balak terlalu banyak?

Kedua: Kenapa Kelantan tidak ikut dasar Barisan Nasional tentang perhutanan?

Dua soalan ini bakal menjadi serangan dahsyat terhadap wakil kerajaan negeri kelantan dalam mesyuarat pada 1 disember ini. Tidak cukup sekadar itu, ia akan dijadikan sebagai isu media untuk membina persepsi rakyat terhadap kerajaan PAS pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Walaubagaimana pun, sebelum najib hendak menyerang kelantan, Najib kena jawab dua soalan ini dahulu, iaitu;

Pertama:

Pengeluaran balak yang terlalu tinggi berlaku di bukit Tinggi, Pahang. Keadaan ini berlaku sejak Najib menjadi MB Pahang lagi sehingga kini, malahan ia berada dibawah pengetahuan Najib.

Kedua:

Mengikut dasar kerajaan Barisan nasional, tidak boleh dilakukan tanaman sawit dalam hutan simpan. Tetapi, kenapa di sarawak ada hutan simpan yang ditanam sawit?

Banyak lagi soalan yang perlu najib jawab, tapi kita menunggu serangan najib terhadap kelantan dulu.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
27 November 2010 * 10:45 malam

Jumaat, 26 November 2010

SEORANG IMAM DENGAN SEORANG LELAKI HINDU

Seorang imam sedang menyapu sampah di sekitar masjid. Ia merupakan jadual hariannya selepas menunaikan solat asar.

Sedang dia menyapu, dia terlihat seorang lelaki hindu datang membawa sebatang besi, lalu dipacak besi itu di bawah sebatang pokok yang berada berhampiran dengan masjid itu.

Melihat itu, imam terbabit terus menuju ke arah lelaki hindu terbabit dan bertanya.

“apa yang tuan buat itu?”

“Pacak ini besi dekat ini pokok la”

“Oooo.. kenapa pacak besi ini kat sini?”

“Semalam saya tidur, saya ada mimpi bahawa ada satu dewa suruh saya pacak ini besi sama ini pokok”

Mendengar jawapan lelaki india itu, imam itu terus terfikir bahawa tindakan lelaki india itu bertujuan untuk membina kuil di tapak tersebut untuk masa akan datang. Imam itu tidak membalas jawapan lelaki india itu. Dia hanya sekadar menganggukkan kepalanya, apabila mendengar jawapan lelaki hindu terbabit.

Keesokkannya, lelaki hindu itu datang sekali lagi pada waktu yang sama. Didapati bahawa besi itu sudah tidak ada lagi ditempat yang dipacaknya semalam.

Lelaki hindu itu terus berjalan menuju ke arah Imam yang sedang menyapu sampah sepertimana rutin hariannya.

“Imam, ada nampak tak, siapa yang cabut itu besi?”

“Saya yang cabut itu besi la..”

“kenapa imam cabut itu besi?”

“Semalam saya tidur. Saya ada mimpi. Mimpi itu cakap supaya saya cabut itu besi. Itu pasal saya cabut besi itu pagi tadi” ujar Imam itu selamber rock.

Lelaki hindu itu tidak dapat berkata apa-apa, dan berlalu pergi.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] sg buloh
27 November 2010 * 2:56 pagi

SEBELUM MATI, NAK TENGOK ISLAM TERLAKSANA DI MALAYSIA

komentar menarik dari seorang pengunjung yang menggunakan "tanpa nama".

"mahal sangat 300 tu , sbb kat msia kot kalau kat arab mgkn bwh seratus tapi ya la bro wan ji , aku teringat kisah bapa imam haramain juwaini , kerja dia ambil upah salin buku , masa tu mana ada cetak , dikumpulnya duit beli amah (lagi murah kalau pinang merdeka) dan dapat anak yakni imam haramain juwaini sahibul al-burhan , bapak beso usul fiqh ...kalau semua dah bedal kat dunia apa yang kita nak merasa kat akhirat?"

"bro wan ji - ingat cakap aku ni - hang tu nanti kalau dah top gila - sana sini 'masuk' - aku nak tengok hang macamana , lani takpe la hang muda - semangat anak muda - belum kaya ... hehe hang jaga - byk yg dah terlingkup"

ULASAN:

kritikan yang mengandungi unsur sindiran dari saudara tanpa nama ini, sangat menyentuh perasaanku. Ia mengingatkanku bahawa setiap kali aku menulis blog, perkara yang paling aku fikirkan adalah seperti berikut;

pertama:

apakah tindakan aku mengkritik pimpinan Parti islam itu, sesuai dengan kehendak islam atau tidak?

pemahaman aku, Islam agama yang adil. Pegangan ini, aku pegang sejak aku mengenali islam; sejak kecil lagi. Sejak dahulu lagi, perkara yang cukup aku berpegang adalah, Islam gagal dibuktikan adil oleh orang islam sendiri, ekoran itu islam tidak diterima oleh Non Muslim; ekoran itu Islam tidak berkembang pesat seperti yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Semasa nabi SAW masuk ke Madinah [ketika itu : Yasrib], bilangan orang islam tidak ramai; mengikut peratusnya, tidak sampai 30%. Namun dengan konsep keadilan islam yang dikemukakan oleh nabi SAW; dengan konsep berkebajikan Islam yang dikemukakan oleh Nabi SAW, didapati Nabi SAW tidak menjadikan hasil mahsul negara sebagai cara untuk mengkayakan dirinya, malahan terhadap kaum kerabatnya. Ini terbukti, dengan larangan nabi SAW dari menerima zakat, juga Zul Qurba Nabi, iaitu bani hasyim dan Muttalib.

Pembuktian ini berjaya dikemukakan oleh Nabi SAW, menyebabkan ia dilihat oleh rakyat-rakyat di Makkah dan madinah, juga diluar negara-negara islam yang lain. Ternyata, manusia melihat bahawa Nabi SAW merebut sesebuah negara, bukan untuk merampas kekuasaan, tetapi Nabi SAW mahu melaksanakan keadilan islam yang berasaskan wahyu Ilahi yang terbukti memberi kebaikan kepada Manusia.

Tindakan Nabi SAW itu, menyebabkan Islam berkembang begitu pesat, sehingga di saat Nabi SAW menyampaikan khutbatul Wida' yang tidak sampai 10 tahun selepas Hijratur Rasul ke Madinah, kehadiran manusia yang sudah memeluk islam terlalu ramai sehingga sekarang ahli sejarah masih tidak dapat menentukan bilangan kehadiran umat Islam di kala itu.

Padaku, pembuktian ini masih gagal lagi dilakukan oleh pemimpin parti islam di Malaysia. terutama, apabila dinyatakan atau dibuktikan sebilangan kecil pimpinan parti Islam yang menjadi mewah, walau memerintah di beberapa buah negeri sahaja. Tidak dibayangkan, apa akan jadi sekiranya memerintah malaysia? Jika ini berlaku, apakah islam boleh berkembang pesat disaat UMNO sudah jatuh dari tampuk pemerintahannya nanti?

kedua:

Aku didik dengan ceramah pimpinan PAS sejak belajar di pondok lagi. Ceramah tok guru nik Abdul Aziz, Mat Sabu, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Nasaruddin Daud adalah ceramah tokoh politik yang cukup aku minati pada ketika itu.

Dalam ucapan, mereka amat menekankan bahawa islam adalah agama yang adil, dan Islam melawan kezaliman. Perkara ini aku pegang sehingga aku belajar di luar negara dan sehingga kini.

Semasa di mesir, apa yang aku faham tentang islam adalah pembentukan sistem. islam mencadangkan sistem pemerintahan yang cukup adil, tetapi kadang-kadang dilalaikan oleh orang islam sendiri. Apabila pembetukan sistem yang memberi keadilan islam ini tidak berjaya dilakukan, maka tugas itu terberat kepada parti Islam yang mahu merampas kekuasaan untuk melaksanakan keadilan islam tersebut. ekoran itu, parti islam dilihat amat serius menyerang UMNO, kerana parti itu adalah parti yang sedang melakukan kezaliman. Tetapi, apabila berjaya merampas kekuasaan, dilihat seperti masih lagi tidak menunaikan sistem tersebut, apakah sebagai orang yang beragama islam, kita sewajibnya diam??

Jika itu pegangan kita, bagaimana pula firman Allah SWT yang berbunyi;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

maksudnya;
"jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, maka nanti kamu akan disambar oleh Neraka"

[Hud : 113]

ketiga:

Apakah perkara yang aku suarakan ini akan aku lakukan di masa akan datang?

Ini persoalan yang cukup aku takut. Aku sering berharap kepada Allah, agar aku mendapat penjagaan Allah dari muda sehingga akhir hayatku, agar istiqamah dengan Islam dan mahu melihat Islam memerintah di malaysia.

Aku berharap dan meminta perlindungan dari Allah agar Allah SWT tidak menjadikan aku seperti tokoh-tokoh tertentu dalam negara yang di zaman muda amat serius dengan islam, tetapi di akhir hidup mereka tenggelam dengan kemewahan sehingga sudah mula mengabaikan usaha melihat kemenangan islam; melihat keadilan Islam terlaksana di malaysia.

Aku meletakkan cita-cita sebelum aku mati adalah, Islam berjaya terlaksana di malaysia. Aku berharap, agar Allah makbulkan cita-citaku ini.

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
27 November 2010 * 1:58 pagi



Khamis, 25 November 2010

RAKYAT MEWAH, ATAU PEMIMPIN MEWAH

tugas pemimpin adalah melaksanakan ajaran Allah atas muka bumi. Bukan tugas pemimpin, mencari kekayaan dari negeri atau negara yang mereka perintah. Jika ini tugas mereka, apa beda dengan kapistalis??

Ada dakwa, kemewahan wajar di pamerkan agar orang tahu negeri pimpinan kita kaya.

persoalannya:

apa beda antara:

1- pemimpin mewah

2- rakyat mewah

3- negeri kita mewah

kalau rakyat mewah, itu kebanggaan pemimpin. kalau negeri mewah, kebanggaan pemimpin dan rakyat. tapi kalau pemimpin mewah? siapa yang bangga???

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
26 November 2010 * 2:11 petang

NAK BELI BUKU, TAK ADA DUIT

baru-baru ini, pergi ke sebuah kedai kitab arab di Setapak. Pada asalnya, hendak beli kitab Maqasid Syariah tulisan Syaikh Tahir Ibnu Asyur. Tiba-tiba ternampak dua buah kitab ini, dan terlalu berkenan, tetapi tidak mampu hendak membelinya kerana kekurangan ongkos. Kitab itu adalah;



dan kitab ini:



dalam dua buah kitab ini, jika mahu dibeli, ia memerlukan wang hampir RM 300. Mungkin faktor kitab ini tebal dan mengandungi isi yang cukup berkualiti menyebabkan kedua-dua kitab ini terlalu mahal. Walau bagaimana pun, Aku membeli sebuah kitab yang menarik, iaitu kitab yang bertajuk "Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah", iaitu sebuah kitab yang terhasil dari tessis Phd dengan harta RM 125.



Tapi tadi, hati kecilku berkata, "Kalau la bapa aku Menteri besar, atau Perdana Menteri, mesti aku boleh beli kitab-kitab yang aku berkenan tu. Kalau bapa aku menteri besar, atau Perdana Menteri, masakan dua buah kitab ni, kereta honda Elysion atau alphad pun aku mampu beli. Siap dengan no Plat berbayar lagi.. Kalau aku tak pakai juga, nanti orang akan kata aku berminda dinasor pula..."



Rabu, 24 November 2010

BALAK UNTUK ORANG MISKIN, BUKAN ORANG POLITIK

PENDAHULUAN

Balak merupakan pemberian Allah kepada sesuatu kerajaan atau negara yang mempunyai hutan. Pada zaman dahulu, ia tidak dikira sebagai sesuatu yang menghasilkan kewangan yang banyak. Mungkin faktor kayu tidak menjadi bahan terpenting, menyebabkan ia tidak menjadi satu perkara yang penting.

Keadaan kini berbeda. Ini kerana, kayu sudah menjadi satu industri yang menguntungkan, malahan memberi kekayaan. Apabila kayu sudah menjadi sesuatu keperluan yang agak tinggi, menyebabkan balak menjadi satu industri perniagaan yang cukup menguntungkan.

Di Malaysia, balak berada dalam kawasan hutan yang berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Sesebuah kerajaan yang mempunyai hutan, selalunya mendapat sumber kewangan yang cukup lumayan melalui sumber hutan ini. Namun begitu, tidak ramai yang berfikir, bahawa sumber hutan ini merupakan hak rakyat atau kerajaan, bukan hak milik individu atau parti, atau ahli politik tertentu.

KHALIFAH FIL ARD

Dalam Islam, sesebuah negeri yang diperintah bukan menjadi hak milik pemerintah. Negeri kelantan sebagai contoh, ia bukan hak milik menteri besar yang bernama Tok Guru Nik Abdul Aziz, Negeri Kedah bukan menjadi hak milik Menteri besar bernama Ustaz Azizan Razak, negeri selangor bukan menjadi hak milik Tan Sri Khalid Ibrahim, Melaka bukan hak milik ali rustam dan sebagainya. Begitujuga, negeri-negeri ini tidak menjadi hak milik mana-mana parti; sama ada parti itu adalah PAS, PKR, DAP, UMNO, MIC, MCA atau apa nama parti sekalipun.

Yang pastinya, sesuatu negeri itu adalah kepunyaan Allah yang telah mencipta langit dan bumi. Tugas pemerintah adalah menjadi khalifah; iaitu menjadi pentadbir bumi berdasarkan agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Dan Ketika berkata tuhan kamu kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku jadikan pada bumi khalifah”

[Al-Baqarah : 30]

Menurut kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, karangan Imam Al-Mawardi [nama penuh : Ali bin Muhammad Al-Mawardi], khalifah [atau : Imamah] didefinisikan sebagai;

لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Bagi menggantikan nabi dalam menjaga agama dan mentabdir bumi”

[Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/3]

Dalam Kitab Al-Muqaddimah, karangan Ibnu Khaldun pula, didefinisikan sebagai;

الخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية و الدنيوية الراجعة إليها إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة نيابة عن صاحب الشرع في حراسة الدين و سياسة الدنيا به

Maksudnya;
“Khilafah adalah menanggung oleh seluruh terhadap tuntutan syarak dalam menentukan kemaslahatan akhirat dan dunia; iaitu semua urusan dunia hendaklah dikembalikan semuanya disisi pensyariat [Allah dan Rasul] kepada mengiktibarkannya dengan maslahah akhirat. Ia pada hakikatnya adalah menggalang ganti dari tuan syarak [Allah dan Rasul] dalam menjaga agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama”

[Al-Muqaddimah : 190]

Menurut kitab Al-Imamah Al-Uzma, karangan Abdullah bin Umar Ad-Damiji, beliau mensyarakahkan definisi ini dengan katanya yang bermaksud, “wajib bagi seseorang pemerintah bahawa kekuasaannya tertakluk dengan kesamaaan dengan syariat Islam. Ia juga, hendaklah mengandungi kewajipan mentadbir dunia dengan agama, bukan dengan syahwat dan keperluan peribadi”

[Al-Imamah Al-Uzma : 30]

Dari segala definisi ini, nyata bahawa seseorang pemerintah itu, bukanlah seorang yang menguasai kerajaan seterusnya kerajaan itu menjadi miliknya. Tetapi, pemerintah mengikut ajaran islam adalah, mereka sekadar pengurus sesebuah kerajaan dengan mentadbir berdasarkan tuntutan ilahi.

BALAK

Dilema kini adalah, sesebuah kerajaan yang diperintah oleh sesebuah parti [fokus malaysia], kelihatan seperti kerajaan itu menjadi milik parti yang berkuasa. Seakan-akan dilihat Kelantan adalah milik PAS, Kedah Milik PAS, Selangor milik PKR, Pulau Pinang milik DAP, Johor milik UMNO, Melaka milik UMNO dan sebagainya.

Lantaran, apabila sesebuah parti menguasai sesebuah kerajaan, boleh dikatakan sesuatu kawasan balak itu menjadi kepunyaan sesuatu parti politik, ataupun menjadi milik ahli-ahli politik tertentu. Jika inilah tanggapan oleh sesetengah pihak, ternyata tanggapan itu adalah salah. Juga, jika tanggapan ini dianggap benar, maka lahirlah berbagai-bagai kecelaruan dalam pengurusan balak ini.

Ekoran itu, tidak hairan didapati setelah sesebuah parti memerintah di sesebuah negeri, kelihatan individu ahli politik tertentu mula menjadi mewah; pakai kereta mewah, syarikat kayu yang berada dalam kerajaan negeri tertentu bangkrap, berlaku perebutan kawasan balak di kalangan ahli-ahli politik tertentu dan banyak lagi. Semua ini kerana, asas pengurusan balak di negeri terbabit, bukan berdasarkan kepada sistem islam, tetapi merujuk kepada pemikiran kapitalis.

Melihat kepada kecelaruan ini, tidak dapat tidak, satu sistem pengurusan balak wajib dikemukakan. Ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang hadir untuk mengemukakan sistem, lalu manusia wajib mengikut sistem tersebut, bukannya sistem yang dibentuk bersifat mengikut kehendak manusia.

PENGURUSAN BALAK

Tanah dan hutan berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Bagi tanah yang menjadi hak milik individu rakyat, wajib kerajaan memberi hak pemilikan itu secara sah, seperti memberi geran dan sebagainya. Adapun bagi tanah yang tidak menjadi milik seseorang individu pun, maka tanah tersebut menjadi pemilikan rakyat atau kerajaan.

Dalam islam, tanah pemilikan kerajaan adalah pemilikan umum; dengan maksud, tanah itu adalah kepunyaan rakyat secara melata. Di atas tanah tersebut, terdapat hutan dan balak, maka hutan dan balak tersebut adalah hak milik rakyat.

Tugas kerajaan adalah, menguruskan balak tersebut, agar ia dapat dimanfaatkan kepada rakyat secara adil. Ia tidak boleh dimilikkan oleh kerajaan kepada individu tertentu. Tindakan memilikkan sesuatu kawasan balak kepada invidu tertentu adalah haram, kerana ia bercanggah dengan maksud firman Allah SWT yang berbunyi;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu”

[Al-hasyr : 7]

Jika pihak kerajaan hendak mengurus, lalu tidak ada cara lain bagi menjadi pengurusan itu berjaya dan berkesan kecuali perlu menubuhkan syarikat, maka itu dibenarkan. Dibenar untuk menubuhkan syarikat pengurusan itu, hendaklah sekadar menguruskan sahaja. Dengan maksud, haram kerajaan memberikan hak milik terus kawasan balak kepada mana-mana syarikat tadi. Perkara ini merujuk kepada firman Allah SWT, ayat ke-7 dari surah Al-Hasyr di atas.

PEMBAHAGIAN KEUNTUNGAN BALAK

Apabila balak menjadi hak milik kerajaan, maka segala keuntungan dari hasil balak itu perlu dibahagikan kepada 1/5. Ini disandarkan kepada firman Allah SWT;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya;
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan”

[Al-Hasyr : 7]

Dengan maksud, setelah ditolak segala modal-modal pengurusan balak, seperti pembayaran gaji kepada pengarah syarikat, gaji-gaji pekerja dan sebagainya, maka keuntungan itu hendaklah dibahagikan kepada mereka yang seperti berikut;

[1] Allah dan Rasul [masuk dalam dana kerajaan, perbendaharaan negara atau baitul Mal],
[2] kaum kerabat [Banu Hasyim dan Muthalib. Mereka boleh terima, kerana mereka tidak berhak mendapat zakat],
[3] anak-anak yatim,
[4] orang-orang miskin,
[5] Ibnu Sabil.

Ia dikukuhkan lagi, dengan firman Allah dari surah Al-Anfal;

واعلموا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ للَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل إِن كُنتُمْ آمَنْتُمْ بالله

Maksudnya;
“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah”

[Al-Anfal : 41]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa dalam maksud “kepunyaan Allah dan Rasul” [dengan maksud, duit yang diletakkan dalam baitul mal], ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk menggunakannya atas kebijaksanaan pihak kerajaan [Al-Qurtubi : 5/312] dengan maksud, ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk kemajuan negara, pembangunan, memberi bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.

ISYKAL

Timbul beberapa persoalan tentang pengurusan balak, iaitu seperti berikut;

Pertama:

Syarikat pengurusan balak, ia tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap balak dan hasilnya. Segala tindakan yang dilakukan oleh syarikat itu, hendaklah tertakluk keputusan kerajaan [mesyuarat exco].

Adapun dari wang kemasukan syarikat, ia tidak lebih sekadar gaji yang diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat. Malahan, kerajaan mempunyai kuasa untuk menarik balik keizinan sesuatu syarikat mengurus balak berdasarkan perjanjian dan perutukan yang ditetapkan.

Kedua:

Duit balak digunakan untuk kepentingan parti. Boleh atau tidak?

Jawapan:

Perlu diingat, parti adalah merupakan wadah dalam usaha melayakkan memerintah pada sesebuah negeri atau negara. Parti tidak mempunyai hak sedikit pun terhadap harta rakyat.

Menggunakan duit hasil balak untuk kegunaan parti, adalah sama seperti menggunakan duit kepunyaan orang miskin untuk kegunaan peribadi. Sudah pasti, tindakan ini zalim dan ia dibawah maksud mengambil harta manusia secara batil.

Firman Allah;

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya;
“Jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu secara batil”

[Al-Baqarah : 188]

PENUTUP

Tidak dapat dibayangkan jika pengurusan balak ini berjaya dilaksanakan mengikut syariah islam. Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, tidak mustahil sejarah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz akan berulang kembali.

Sedihnya, syariah islam ini hanya dilihat dari sudut yang tidak luas, seperti syariat itu dilihat hanya dalam perkara hudud, perundangan, ibadat dan sebagainya sahaja. Walhal, Islam telah mencadangkan satu sistem pengurusan yang mampu memberi hak keadilan kepada manusia secara melata.

Di negeri-negeri pimpinan pakatan rakyat [khususnya kelantan pimpinan PAS], kelihatan hasil balak ini diurus oleh ahli-ahli politik, yang melahirkan kekayaan invidu-individu tertentu sahaja. Disebabkan itulah, akan terlihat individu yang memakai kereta mewah, mempunyai rumah mewah dan berbagai-bagai kemewahan, dalam keadaan mereka hanya rapat dengan ahli politik-ahli politik tertentu. Dalam keadaan yang sama, masalah kemiskinan di sebelah pendalaman tetap masih lagi berlaku.

Pembudayaan ini adalah salah dari sudut Islam, malahan ia wajar di hapus dan ditentang. Ia tidak lebih, sama seperti yang telah dilakukan oleh UMNO, yang mengamalkan pemerintahan yang menindas terhadap rakyat, walhal tindakan itu diharamkan oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
25 November 2010 * 5:27 pagi.

APAKAH ANWAR IBRAHIM CALAR DALAM PEMILIHAN PKR?

[1]

Setahu aku, zaid Ibrahim adalah orang yang mempunyai fahaman politik yang liberal. Dia tidak mengakui kuasa mutlak dalam sesuatu organisasi. Ekoran itu, tidak hairan dia masuk PKR, tetapi tidak masuk PAS setelah ia keluar dari UMNO.

Dan ekoran itu juga, apabila sampai pemilihan, dia memilih untuk bertanding jawatan timbalan presiden, kerana mungkin dia nampak keberadaan Azmin Ali sebagai Timbalan presiden akan mempamerkan kekuasaan mutlak Anwar Ibrahim dalam PRK.

Pernah orang-orang zaid bercakap, bahawa keberadaan Azmin Ali, banyak mempengaruhi keputusan Anwar Ibrahim. Aku tidak tahu kebenaran dakwaan itu. Jika benar dakwaan tersebut, tidak hairan Zaid mengambil sikap untuk lawan jawatan Timbalan presiden PKR. Ini kerana, kemungkinan Zaid bertujuan, untuk mempamerkan keterbukaan dalam parti PKR.

[2]

Secara realiti berfikir, orang terpaksa akui bahawa Anwar Ibrahim dan PKR; antara dua ini, faktor Anwar Ibrahim lebih kuat dalam mencorak suasana politik di Malaysia berbanding PKR.

Jika faktor PKR merupakan kekuatan bagi mencorak politik Malaysia, sudah pasti UMNO/BN akan melancarkan serangan yang kuat terhadap PKR, walhal keadaannya adalah sebaliknya. Juga, sudah pasti ketika ketiadaan Anwar Ibrahim dahulu, PKR akan mendapat banyak kerusi dalam parlimen dan DUN. Tetapi, keadaannya berbeda. Ini kerana, di kala itu, masakan parlimen dan DUN, untuk menjaga bahagian-bahagian [kini : cabang] pun, ada sebilangannya tidak mempunyai ketua.

Di parlimen Subang, adalah contoh yang paling kukuh bahawa PKR agak susah hidup dikala Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Allahyarham Abang Amir [ketua PKR bahagian Subang] terpaksa memegang jawatan tersebut, kerana tidak ada seorang pun yang sanggup memegang jawatan ketua Bahagian ketika itu. Tetapi kini, kelihatan perebutan jawatan berlaku, sehingga tercetus perbalahan dalam merebut sesuatu jawatan sehingga wujud ugut mengugut.

[3]

Ramai yang menjangkakan bahawa Anwar Ibrahim akan ‘pulang’ ke penjara. Malahan, perkara ini sudah sampai ke tahap yakin oleh sebilangan pimpinan PKR, PAS dan DAP sendiri. Didakwa, Zaid Ibrahim adalah orang yang yakin dengan keadaan ini.

Apabila keadaan ini berlaku, siapa akan lakukan wave untuk menghadapi PRU akan datang? Lantaran, ada sebilangan pihak dalam PKR sendiri beranggapan, sudah sampai masanya PKR tidak lagi bergantung kepada individu bernama Anwar Ibrahim, sebaliknya PKR perlu membina kekuatan partinya sendiri dan berdiri sendiri.

Melihat kepada keadaan inilah, tidak hairan orang sanggup menolak Azmin yang terbukti gagal menggerakkan wave ini semasa Anwar Ibrahim di dalam penjara dahulu. Apabila mereka menolak Azmin, maka mereka mencari pilihan yang kedua, iaitu Zaid Ibrahim. Pada mereka, bukan kerana mereka mahukan zaid Ibrahim, tetapi mereka tidak mahu Azmin Ali.

Ekoran itu, kita dapat lihat bahawa orang yang menyokong atau cenderung kepada Zaid ini adalah dari kalangan mereka yang banyak berpenat lelah dalam PKR semasa Anwar Ibrahim dalam penjara dahulu. Dengan maksud, mereka adalah golongan politik jalanan dan demonstrasi. [nama mereka tidak perlu disebut].

[4]

Namun begitu, ternyata dalaman politik PKR agak kasar. Sebelum Zaid mengisytiharkan kesediaan bertanding jawatan Timbalan PKR, sudah kelihatan serangan dari team Azmin Ali terhadap Zaid. Antara yang kedengaran adalah, Zaid Ibrahim adalah trojan horse, zaid ibrahim mendapat duit dari Tun Daim, Zaid Ibrahim meletakkan cita-cita nak jadi PM apabila PR memerintah malaysia nanti dan sebagainya.

Serangan demi serangan dahsyat ini, melahirkan pertembungan yang agak dahsyat antara team zaid dan team Azmin. Dalam facebook dan blog, dapat dilihat serangan keras dan kasar ini.

Disamping itu juga, Anwar Ibrahim sudah kelihatan seperti bapa yang tidak mampu lagi mengawal anak-anak yang sedang bergaduh, lalu mengeluarkan kenyataan berbau serangan secara saraf terhadap Zaid, disamping tidak pernah berjaya membuktikan bahawa dia berbelah pihak kepada Azmin. Apabila keadaan ini berlaku, tidak hairan individu Anwar Ibrahim menjadi calar, sehingga sudah ramai yang frust apabila melihat pergolakan politik dalam PKR ini.

[5]

Mungkin ada cakap-cakap mengatakan bahawa, tidak salah Anwar Ibrahim berbelah pihak kepada Azmin, ataupun menyindir atau menyerang Zaid Ibrahim.

Secara peribadi, aku tidak bersetuju Anwar Ibrahim berbelah pihak, ini kerana dia adalah seorang pemimpin politik yang berada di peringkat Ketua Umum. Apabila dia berada setinggi itu, tindakan yang wajar dilakukan oleh beliau adalah, bertindak seperti bapa dalam menyelesaikan perbalahan antara anak-anaknya. Adapun, jika Anwar Ibrahim juga bertanding jawatan Presiden, atau timbalan presiden, atau apa jua jawatan pun, sudah pasti tindakan Anwar Ibrahim menyerang atau menyokong sesuatu pihak, tidak melahirkan perasaan negatif dalam hati rakyat malaysia yang melihat pergolakkan politik dalam PKR.

Soal apakah boleh Ketua Umum berbelah pihak, mungkin dari sudut demokrasinya ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi, dari sudut uruf dari kacamata rakyat malaysia, ia bakal melahirkan kemudharatan yang bakal tertimpa pada PKR yang wajar diambil kira.

Contohnya seperti, Imam Al-Bukhari tidak mengambil hadis dari orang yang tidak memakai kopiah, walhal tidak menjadi satu dosa bagi seseorang yang tidak memakai Kopiah. Tetapi, memandangkan uruf masyarakat di kala itu, bahawa orang yang tidak memakai kopiah adalah orang yang kurang amanah, maka tidak hairan Imam Al-Bukhari tidak mengambil hadis, malahan menolak hadis yang diriwayatkan oleh orang yang tidak memakai kopiah dengan alasan ‘tidak siqah’.

Maka begitujuga, tindakan Ketua Umum PKR dilihat berbelah pihak kepada individu tertentu dalam Pemilihan PKR pada kali ini.

Justeru, apakah keadaan Anwar Ibrahim kini sudah tercalar dalam pemilihan PKR pada kali ini? Secara peribadi, aku mengatakan “Ya, Anwar Ibrahim telah tercalar”.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
6:30 petang * 24 November 2010