Sabtu, 14 Februari 2009

HIKAM TOK GURU : SIRI 8

HIKAM TOK GURU : SIRI 8

Tok Guru Nik Abdul Aziz ada berkata;

“Islam yang satu ini sesuai di semua tempat dan zaman, sepertimana kita kata di semua zaman dan tempat memerlukan matahari yang satu””

HURAIAN

Islam adalah agama yang satu, tidak ada agama yang benar melainkan Islam yang dibawa oleh nabi SAW menerusi Al-Quran dan Hadis. Islam adalah agama yang isi kandungannya wajib diamalkan; sama ada diamalkan pada diri individu, mahupun dari sudut yang lebih luas, iaitu pemerintahan.

Islam mengajar manusia tentang kehidupan; bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara. Ianya bertepatan dengan fitrah manusiawi, yang tidak boleh dinafikan lagi.

Firman Allah;

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

(Surah Rum : 30)

Memandangkan islam adalah agama fitrah; sudah pasti bersesuaian dengan naluri manusia, pasti ianya amat bersesuaian dilaksanakan di mana-mana tempat, mahupun di mana-mana masa. Bermaksud, menafikan Islam membawa erti menafikan fitrah manusia.

Masalah yang menimpa umat kini adalah, apabila ada manusia yang menafikan islam sebagai jalan hidup. Ianya ditolak disebabkan tidak memuaskan nafsu yang jahat mereka yang buas.

Ekoran dari itulah, berbagai-bagai “cakap-cakap” yang menggambarkan penghinaan yang telah diberikan terhadap islam, seperti mendakwa Islam tidak sesuai di zaman ini, tetapi relevan di zaman unta sahaja; islam adalah agama kuno dan berbagai-bagai lagi dakwaan yang tidak berasaskan kepada ilmu.

Jika diperhatikan secara mendalam, pasti kita akan jumpa kebenaran Islam ini. bahkan, jika diperhatikan dari sudut sains pun, kita akan dapati sudah banyak penemuan-penemuan Sains yang membuktikan kebenaran sumber islam; Al-Quran dan As-Sunnah.

Ini dimisalkan seperti satu penemuan yang dilakukan oleh sebilangan pengkaji-pengkaji Sains barat berkenaan dengan pendengaran dan penglihatan bayi semasa berada dalam kandungan.

Menurut kajian seorang pakar psikologi daripada Universiti Keel, Dr Stephen Evans, membuktikan janin dalam rahim mempunyai kemampuan mendengar dan mengingat suara apabila mencapai umur 20 minggu (5 bulan).

Adapun berkaitan dengan penglihatan pula, bayi yang sempurna dilahirkan sahaja akan dapat melihat dengan sempurna. Pun begitu, mengikut Reg Furlough dalam article How the science of Sound helps Your Unborn and Newborn Baby menyatakan bahawa janin mempunyai keupayaan untuk melihat dalam rahim semasa berumur 7 bulan (28 minggu)
[1].

Memahami dari kajian sains barat ini, sebenarnya telah membenarkan kandungan Al-Quran yang mendahulukan menyebut pendengaran berbanding penglihatan.

Firman Allah;

وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ

Maksudnya;
“Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur”

(Surah Sajdah : 9)

Begitujuga penemuan sains yang mengatakan bahawa Jantung merupakan asas bagi kekuatan jasad. Bermaksud, jika jantung lemah, maka segala anggota jasad turut menjadi lemah.

Menurut kajian, didapati jantung mampu berdenyut sebanyak 70 denyutan dalam satu minit atau sekitar 100, 000 denyutan dalam satu hari untuk mengepam 5 liter darah dalam setiap detik, atau 7, 200 liter darah dalam satu hari melalui jaringan rumit yang terdiri dari pembuluh nadi, urat-urat dan saluran darah yang panjangnya mencapai ribuan Kilometer. Jaringan ini berfungsi menyalurkan dan mengalirkan darah bersih kepada setiap celah kehidupan di dalam tubuh dan sekaligus membuang darah kotor.

Sudah menjadi pengetahuan umum, apabila jantung baik, pasti perjalanan darah akan jadi baik dan setiap sel hidup di dalam tubuh pun akan mendapat bahagian darah yang membawa zat-zat makanan dan oksigen. Dengan oksigen, pembakaran zat-zat makanan menjadi sempurna dan menghasilkan energi dan kekuatan
[2].

Penemuan sains ini, sebenarnya telah membenarkan kemukjizatan Nabi Muhammad SAW yang berkata;

وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad; apabila buruk daging itu, maka buruk seluruh jasad; ketahuilah, ia adalah hati (jantung)
[3]

Dengan hujjah-hujjah yang dikemukakan inilah, membuktikan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah merupakan sesuatu yang fitrah; sesuai dengan kehidupan manusia yang sudah pasti ianya memberikan kebahagiaan kepada manusia seluruhnya.

Pun begitu, amat menyedihkan, apabila ada manusia mendakwa bahawa Islam itu relevan untuk di zaman-zaman tertentu dan untuk tempat-tempat tertentu sahaja, menunjukkan islam ini telah dijahili kandungannya mengikut kefahaman yang sebenar. Semuanya berpunca dari tidak mendalami Al-Quran dan As-Sunnah dari sudut konsepnya yang sebenar.

Justeru itu, sekiranya manusia itu memahami Islam Al-Quran dan As-Sunnah mengikut konsepnya yang sebenar, pasti mereka akan menerima Islam sebagai agama yang terlaksana di mana tempat dan zaman pun sepertimana mereka mengakui bahawa di mana zaman dan tempat pun mereka berada, bahawa yang menerangi mereka adalah matahari yang satu.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 Febuari 2009 * 3:42 petang.



[1] Quran Saintifik : m.s 128.
[2] Penemuan Sains dalam Sunah : 1/62.
[3] Sahih Al-Bukhari : hadis no : 50

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saudara wan ji, elok dibukukan Hikam Tok Guru ini

sekian.


hannanfarhana.blogpot

Tanpa Nama berkata...

memang sudah dibukukan.. buku "telaga budi" itu adalah himpuan hikam tok guru yang diulas oleh Anual bakri dan ana ...

yang ana buat ni, seronok2 sahaja.. kalau banyak, kita akan bukukan juga...

sekian