Rabu, 4 Mac 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 10

BEREBUT-REBUT DENGAN ISTERI KETIKA BERWUDU’

Pada pandangan umum menyatakan bahawa bermesra dengan isteri hanya berlaku di atas ranjang tidur, sedangkan bermesra dengan isteri itu tidak semestinya di ranjang sahaja, bahkan di mana-mana pun boleh bermesra dengan isteri.

Bermesra merupakan cara untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang antara dua suami dan isteri. Bagi melahirkan perasaan itu, Islam membenarkan ianya berlaku, walaupun dikala mahu melakukan ibadat.

Ini dapat dilihat dengan hadis Ummu Subayyah Al-Juhaniyyah atau nama sebenarnya Khaulah binti Qais yang merupakan salah seorang Isteri Nabi SAW
[1] pernah berkata;

اخْتَلَفَتْ يَدِي وَيَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْوُضُوءِ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ

Maksudnya;
”tanganku dan tangan Rasulullah SAW sering berselisih ketika berwudu’ daripada satu bekas
[2]

Yang dimaksudkan dengan tangan Ummu Subaiyyah dan tangan Nabi SAW berselisih adalah, kadangkala Ummu Subaiyyah menaguk air dengan kedua tangannya dari bekas tersebut, lalu diikuti oleh Nabi SAW, dan kadangkala Nabi SAW menaguk air dengan kedua belah tangan Baginda, lalu diikuti oleh Ummu Subayyah
[3].

Ada ulama lain menyatakan, perselisihan tangan yang berlaku ketika berwuduk antara Rasulullah SAW dengan Ummu Sabiyyah itu sehingga mereka berebut-rebut sehingga Ummu Sabiyyah tidak mendapat air untuk berwudu’, lalu meminta Rasulullah SAW agar air itu disimpan sedikit untuknya.

Memahami dari ulasan-ulasan ulama-ulama hadis ini, amat jelas kepada kita bahawa Baginda SAW tidak sekadar menjadikan masa di ranjang sahaja tempat untuk bermesra dengan isteri, bahkan kadangkala Baginda SAW juga mengambil kesempatan dalam beberapa keadaan ibadat, iaitu berwudu’ untuk bergurau dan bermesra dengan isteri.

Kepada kaum lelaki yang mahu melahirkan kehidupan rumah tangga yang meriah dan gembira, selayaknya menjadikan hadis ini sebagai panduan. Bergurau dengan isteri dikala berwudu’ ini, tidak semestinya dilakukan selalu, tetapi dalam sebulan sekali, dalam masa dua minggu sekali dan sebagainya.

Jika ini dapat dilakukan oleh para suami, pasti isteri akan merasa bahagia hidup bersama suaminya itu. ini kerana, suaminya sering mewujudkan suasana gurau yang melahirkan keseronokkan hidup antara suami isteri.

PENAMBAHAN

Air sedikit dijadikan berwudu’ adalah perkara yang dikhilafi oleh ulama. Menurut pendapat Imam Syafii Qadim, iaitu pendapat Imam As-Syafii keluarkan semasa berada di Iraq, bahawa air sedikit boleh dijadikan sebagai air wudu’.

Adapun pendapat Imam As-Syafii semasa di Mesir, atau dikenali Qaul Jadid Imam As-Syafie, beliau berfatwa bahawa air yang sedikit memungkinkan berlaku air musta’mal yang dilarang digunakan untuk berwudu’.

Definisi Air Musta’mal menurut Syafiiyyah adalah;

“Air sedikit yang digunakan pada fardu taharah daripada hadas, seperti basuhan pertama, mandi jinabah dan sebagainya
[4]

Mengikut pendapat Syafiyyah Jadid, titisan air bagi basuhan sunat yang kedua dan ketiga ketika berwudu’ atau mandi jinabah, tidak dikira sebagai air musta’mal.

Dikira sebagai air musta’mal juga, sekiranya basuhan tersebut dari basuhan wajib bagi wudu’ kanak-kanak.

Mengikut Mazhab Syafii yang jadid, hukum air musta’mal adalah suci dan tidak boleh menyucikan. Maknanya, air musta’mal tidak boleh dijadikan sebagai air untuk berwudu’ dan mandi.

Dalil yang dipegang oleh mereka adalah hadis;

عن مُحَمَّدِ بن الْمُنْكَدِرِ قال سمعت جَابِرًا يقول جاء رسول اللَّهِ (ص) يَعُودُنِي وأنا مَرِيضٌ لَا أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ من وَضُوئِهِ

Maksudnya;
“Daripada Muhammad bin Al-Mungkadir berkata, Aku dengan Jabir berkata, telah datang Rasulullah SAW menziarahiku ketika aku sedang sakit. Lalu baginda berwudu’ dan menuangkan kepadaku air wudu’nya (aku menadah air wudu’ nabi SAW)
[5]

Mengikut ulasan Mazhab Syafii jadid, mereka mengatakan hadis ini disangkakan bahawa tadahan air itu bukanlah untuk dijadikan wudu’, tetapi dijadikan sebagai minuman, kerana dizaman tersebut, kekurangan air amat teruk
[6]. Oleh itu, air tersebut tidak dijadikan sebagai berwudu’, tetapi digunakan untuk minuman. Dengan itu, air kesan wudu’ nabi itu adalah air musta’mal yang tidak boleh digunakan untuk berwudu’.

Walaubagaimanapun, mengikut satu riwayat mazhab Syafii dan Malik, mereka berpendapat bahawa air musta’mal tetap dikira seperti air mutlaq juga, iaitu airnya suci dan menyucikan
[7].

Mereka berdalilkan kepada hadis;

عن الرُّبَيِّعِ أَنَّ النبي (ص) مَسَحَ بِرَأْسِهِ من فَضْلِ مَاءٍ كان في يَدِهِ

Maksudnya;
“Daripada Rubai’, Sesungguhnya Nabi SAW menyapu kepalanya daripada air yang tersisa ditangannya
[8]

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 mac 2009 * 3:15 pagi


[1] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala : 2/261. Aun Al-Ma’bud : 1/97.
[2] Sunan Abi Daud : 71.
[3] Aun Al-Ma’bud : 1/97.
[4] Al-Fiqh Al-islami Wa Adillatuh (1/123)
[5] Saheh Al-bukhari (1/82) hadis no : 191.
[6] Al-Fiqh Al-islami Wa Adillatuh (1/124)
[7] Fiqh As-Sunnah (1/23)
[8] Sunan Abi Daud (1/32) hadis no : 130.

Tiada ulasan: