Sabtu, 30 Mei 2009

UMAT ISLAM KURANG BERLUMBA??

As-Syaikh Anwar Al-Jundi, tokoh ulama, malah pemikir Islam yang hebat. banyak andaian-andaian beliau di awal 60 an, telah berlaku kini.

UMAT ISLAM KURANG BERLUMBA??

As-Syaikh Anwar Jundi, seorang tokoh ulama dari mesir yang nama beliau pernah menggegarkan politik Malaysia. kenyataan beliau dalam lingkungan 1950 hingga 1960, beliau ada menyebut tentang kehadiran satu gagasan yang akan menyerang islam, iaitu serangan dari sudut pengistilahan yang diberi nama Islam Hadhari dan Islam Saqafi dalam sebuah buku karangan beliau yang bertajuk “Itor Al-Fikr Al-Islami” atau diterjemahkan dalam bahasa melayu “skop pemikiran islam”.

Jika kita membaca buku-buku karangan beliau, kita akan dapati, banyak tulisan-tulisan beliau tentang serangan musuh Islam terhadap Islam ternyata berlaku. Memberi maksud, andaian-andaian yang beliau kemukakan itu, bukanlah suatu andaian kosong, malah ternyata mempunyai sokongan fakta yang kukuh; yang bisa di terima pakai.

Antara buku yang ditulis oleh beliau adalah buku yang bertajuk “Suqut Al-Idilojiyat wa Kaifa yamla’ Al-Islam Al-Firagh” atau maksudnya dalam bahasa melayu “kejatuhan ideology-ideologi dan bagaimana Islam melakukan pengisian”.

Dalam buku tersebut, kita akan dapati As-Syaikh Anwar Jundi telah menceritakan tentang satu kejadian, yang mana sampai satu masa, segala pemikiran dan ideology selain Islam akan jatuh. Kejatuhan yang menyebabkan umat manusia terkontang kanting kelemasan untuk mencari bantuan pernafasan dalam menjalani kehidupan.

Menyedihkan, dalam keadaan sebegitu pun, umat Islam masih lagi lalai dalam memberikan “pelampung” yang merupakan alternative Islam kepada umat manusia yang sedang berada dalam kelemasan tersebut.

Akhirnya, manusia yang sedang berada dalam kelemasan itu terpaksa mencapai “pelampung” yang bukan berasaskan islam bagi menyelamatkan diri mereka dari kelemasan tersebut.

KEJATUHAN KAPITALIS

Jika difikirkan balik segala andaian-andaian yang dikemukakan oleh As-Syaikh Anwar Jundi itu, pasti kita akan terfikir tentang reality yang sedang berlaku kini.

Pernahkah kita terfikir, bahawa sekarang ini dunia sedang menghadapi satu krisis ekonomi yang bukan sekadar berlaku di Negara kita, malah menimpa di seluruh dunia.

Pemikiran kapitalis yang bersifat mahu mencari untung semata-mata, mula terbukti kebobrokkannya, tetapi menyedihkan umat Islam masih lagi leka dalam memberikan alternative, menyebabkan fahaman sosialis menjadi bahan rujukan umat manusia.

Di Malaysia, keadaan yang sama juga berlaku. Tidak dinafikan, malaysia mempunyai banyak gerakan islam, jemaah islam, harakah Islamiyyah dan berbagai-bagai gelaran yang diberikan. Tetapi, menyedihkan apabila berlakunya kebobrokan sistem ekonomi kapitalis ini, ia tidak dijadikan sebagai ruang gerakan-gerakan Islam ini ”berkempen” menceritakan bentuk ekonomi islam sebagai ganti terhadap sistem ekonomi kapitalis.

Para gerakan Islam masih lagi lalai dengan isu-isu politik yang bersifat sentimen kepartian. Walaupun dilihat secara kasarnya, perjuangan mereka untuk memenangkan Islam, tetapi hakikat sebenar, mereka bukan mahu menangkan islam yang mereka perjuangkan, tetapi mahu memenangkan ”parti” mereka.

Menyedihkan lagi, ada sebilangan gerakan islam yang masih lagi mempertahankan ”kejamaahan” mereka dalam keadaan mereka lalai dari memberikan penerangan terhadap bentuk sistem ekonomi Islam.

KURANG BERLUMBA

Jika dirujuk kepada Al-Quran, Islam menyeru umat Islam agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Firman Allah;

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ

Maksudnya;
“berlumba-lumbalah untuk mendapat keampunan dosa dari tuhan kamu”

(Surah Al-‘Imran : 133)

Apabila disebut mendapat keampunan dosa, sudah pasti dalam melakukan kebaikan. Ini kerana, dengan melakukan amalan baik, menyebabkan manusia akan mendapat keampunan dosa dari Allah SWT.

Bahkan, Nabi SAW sendiri ada menyeru umat Islam agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan ini dengan sabda baginda;

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ

Maksudnya;
“Berlumba-lumbalah dalam beramal soleh
[1]

Nyatanya, dari ayat Al-Quran dan Hadis yang dinukilkan ini, kita akan fahami bahawa umat Islam disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan sesama muslimin. Sebarang tindakan yang mengandungi unsur berlumba-lumba, maka ia amat disuruh oleh Allah SWT.

Menyedihkan, perkara ini tidak berlaku kepada umat Islam. Malah, sebarang “berlumba-lumba” yang berlaku, menyebabkan satu pihak akan melebelkan pihak yang lain dengan berbagai-bagai gelaran.

Jika sesama muslimin pun Allah sudah menyuruh mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, maka terlebihlah Allah menyuruh umat Islam berlumba dengan golongan selain islam.

Apa yang dapat dilihat, unsure berlumba-lumba dalam menyampaikan ideology islam dengan fahaman lain tidak berlaku. Yang wujudnya adalah, golongan selain Islam bekerja dalam menyampaikan ideology mereka, disamping umat Islam masih lalai dalam menyampaikan ajaran wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT.

Di sebalik keterbuktian kebobrokan fahaman ekonomi kapitalis ini, didapati golongan sosialis bangkit dan bangun dalam menyatakan bentuk sistem ekonomi cara mereka. Dengan kejatuhan itu, umat manusia yang tidak pernah mengenali tokoh yang bernama Karl Marx, mula mereka mengenalinya.

Namun begitu, bentuk ekonomi Islam masih lagi kabur dan kurang diperjelaskan kepada umat manusia. Ini membuktikan, umat Islam masih lagi tidak mempunyai daya pemikiran yang kuat dalam usaha hendak menyampaikan bentuk ekonomi Islam terhadap manusia sejagat.

Yang lebih menyedihkan, sebarang dialog antara agama, malah antara pendokong ideologi-ideologi kurang dihadiri oleh golongan Islam. Bahkan yang wujud, bantahan demi bantahan yang dilakukan, demi mahu menutup ruang suara yang mahu diluahkan oleh golongan selain Islam ini.

Jika inilah pemikiran umat Islam – khususnya para gerakan islam – sudah pasti Islam kurang berjaya tersebar. Ini kerana, Islam itu adalah agama berani, malah menyeru umatnya berani dalam menyatakan kebenaran.

Firman Allah;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
“Katakanlah !! datangkan hujjah kamu jika kamu orang yang benar”

(Surah Al-Baqarah : 111)

Justeru, fikrah perubahan ini perlu berlaku. Pemikiran jumud perlu dihindarkan. Berfikiran terbuka dan berjiwa besar perlu wujud terhadap umat. Ia tidak ada tujuan lain, melainkan mahu melihat Islam terlaksana di muka bumi Allah SWT, khususnya Malaysia.


Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 mei 2009 * 7:31 pagi








[1] Sahih Muslim : 169.

Tiada ulasan: