Jumaat, 29 Mei 2009

PERGI TAK KEMBALI : SIRI 3 : ZUHUD DI DUNIA, INGATKAN AKHIRAT


PERGI TAK KEMBALI : SIRI 3

ZUHUD DI DUNIA, INGATKAN AKHIRAT

Sebilangan ahli ilmu menyebut, hati manusia yang keras bisa dilembutkan dengan melakukan tiga (3) perkara, iaitu; (1) sentiasa menghadiri majlis ilmu yang dipenuhi dengan nasihat, peringatan dan kisah para solihin, (2) Melihat orang yang sedang nazak; sedang menghadapi sakaratul maut, (3) Banyak ingatkan perkara yang boleh menghapuskan keenakkan dunia.

Sesungguhnya hati manusia bisa mati apabila dia dimulai dengan hati yang keras. Hati menjadi keras, apabila kehidupan mereka dipenuhi dengan perkara yang menyanggahi syariah; hidup yang tidak lepas dari melakukan dosa, sama ada dosa itu besar, mahupun kecil.

Justeru itulah, kita akan dapati Islam menyeru umatnya agar sentiasa bertaubat. Adalah satu perkara yang mustahil, jika wujud manusia yang tidak pernah melakukan dosa. Pun begitu, dalam keadaan sedemikian pun, Allah menyuruh mereka bertaubat.

Taubat dilakukan dikala manusia itu melakukan maksiat. Antara perkara maksiat adalah, tidak melakukan Taat. Jika dihayati kepada Nabi SAW, tauladan dalam melakukan amalan taat adalah amalan taat yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Walaupun Nabi SAW adalah manusia yang ma’sum; terhindar dari sebarang amalan dosa, tetapi Nabi SAW tidak pernah mengabaikan dirinya dari melakukan ibadat-ibadat tambahan; ibadat-ibadat sunat dalam mencari redha Allah SWT.

Daripada Mughirah R.A berkata;

إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَقُومُ لِيُصَلِّيَ حَتَّى تَرِمُ قَدَمَاهُ أَوْ سَاقَاهُ فَيُقَالُ لَهُ فَيَقُولُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya;
“Nabi SAW sentiasa mendirikan solat hingga bengkak dua kaki dan dua betisnya. Apabila ditanya kepada baginda, pasti baginda SAW akan menjawab, apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur
[1]

LEMBUTKAN HATI YANG KERAS

Tidak dinafikan, manusia adalah makhluk Allah yang sering lalai. Lalainya manusia merupakan perkara fitrah, yang bukan disengajakan oleh manusia itu sendiri.

Apabila manusia lalai, memungkinkan mereka lupa dari melakukan taat, bahkan kadang-kala menyebabkan mereka melakukan maksiat. Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan hati mereka akan menjadi keras.

Justeru, bagi melembutkan hati yang keras, dinyatakan sebilangan ahli ilmu dengan sentiasa melazimkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dipenuhi dengan pengisian peringatan dan nasihat beragama.

Begitujuga, sentiasa mewujudkan perasaan kurang berminat dengan kelekaan dunia dengan hadir kepada orang yang sedang berada dalam nazak sakaratul maut dan ke tanah-tanah perkuburan.

Diceritakan bahawa Imam al-Hasan al-Basri telah menziarahi seorang yang sedang berada dalam nazak sakaratul maut. Apabila melihat keadaan susahnya orang yang nazak sakaratul maut itu, menyebabkan timbul kesan besar pada hati Al-Imam al-Hasan al-Basri.

Ketika berada bersama keluarganya, didapati wajahnya sentiasa suram dan muram. Apabila beliau dijemput makan dan minum, ditolaknya dengan menyatakan bahawa dia mempunyai selera makan seraya berkata;

”aku pasti tidak akan meninggalkan dari melakukan ibadat terhadap Allah sehingga aku berjumpa dengan Allah (maksudnya : meninggal dunia)”
[2].

SENTIASA ZIARAH KUBUR

Kubur dikalangan orang melayu adalah tempat yang menggerunkan. Ditimbulkan perkara khurafat, seperti hantu kubur, polong, langsuir dan banyak lagi.

Padahal dalam Islam, kubur merupakan tempat yang perlu diziarahi, kerana ia adalah tempat yang bisa menghindarkan perasaan seronok dengan kelekaan dunia yang merosakan.

Daripada Ibnu Mas’ud R.A berkata, bahawa Rasulullah SAW ada bersabda;

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

Maksudnya;
”Aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia, kerana ia bisa menjadikan kamu zuhud di dunia dan bisa menjadikan kamu ingat kepada akhirat
[3]

Apabila kita hadir di tanah perkuburan, kadang-kadang kita akan terlihat kubur sahabat handai kita yang telah kembali ke rahmatullah. Dalam keadaan sedemikianlah, menyebabkan timbul perasaan bimbang dan gerun dalam hati untuk menghadapi kehidupan selepas dari mati; iaitu sentiasa bimbang, kerana takut-takut tidak mampu menjawab segala persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh Allah di alam kubur dan alam barsakh nanti.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti dalam menjalani kehidupan di dunia, kita akan berhati-hati sehingga melahirkan perasaan zuhud.

HUKUM ZIARAH KUBUR

Jumhur ulama menyatakan, hukum menziarahi kubur adalah sunat. Adapun mengikut pendapat Imam Ibnu Hazm, menziarahi kubur adalah wajib seumur hidup sekali. Menziarahi kubur bagi orang lelaki adalah disepakati keizinannya. Adapun bagi orang perempuan, ulama berselisih pendapat.

Walaubagaimanapun, perselisihan antara ulama dalam menentukan keizinan perempuan masuk ke tanah perkuburan kerana dibimbangi mereka meratap kematian yang diharamkan oleh Islam.

Begitujuga, ulama sepakat mengharamkan lelaki dan perempuan menziarahi kubur dalam keadaan boleh melahirkan fitnah, seperti bercampuran lelaki dan perempuan yang melampaui batas, kehadiran di tanah perkuburan dengan tidak menjaga adab-adab di tanah perkuburan dan sebagainya.

Sekian

Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 mei 2009 * 11:47 pagi




[1] Sahih Al-Bukhari : 1026.
[2] At-Tazkirah : 14.
[3] Sunan Ibni Majah : 1560.

Tiada ulasan: