Khamis, 4 Jun 2009

TAJDID TARBIYYAH ERA PAKATAN RAKYAT

TAJDID TARBIYYAH ERA PAKATAN RAKYAT

Dua hari lepas, aku ke wangsa maju. Berjumpa dengan Rosli yang matanya buta, tetapi mempunyai ketajaman dalam menganalisa sesuatu isu dan hujjah.

Aku kagum dengan rosli. Walaupun beliau seorang yang buta, tetapi idea-idea yang beliau kemukakan amat bernas, dan kadang-kala idea itu apabila dilontarkan menyebabkan aku termenung berfikir.

Baru-baru ini, selepas menyampaikan satu kuliah maghrib di salah sebuah surau di sekitar selangor, aku telah pergi ke wangsa maju untuk ”lepak” dengan rosli. Dalam ”lepak” kami itu, kami berdiskusi berbagai isu yang berkaitan dengan dakwah islamiyyah.

Antara perkara yang dibicarakan adalah tentang keterbukaan PAS dengan membuka keahlian PAS kepada non Muslim.

Beliau menyatakan, idea membuka keahlian PAS kepada non Muslim adalah tindakan yang bijak, sesuai dengan kehendak keadaan semasa. Pun begitu, beliau mengandaikan keburukan dimasa akan datang akan berlaku, jika tidak dilakukan beberapa tindakan tambahan, termasuk dalam silibus-silibus usrah.

Beliau bertanya kepadaku, apakah wujud dalam silibus usrah PAS yang membicarakan tentang ”fiqh Aqalliyyat” (terjemahan : fiqh Minoriti)? Aku menjawab, tidak ada.

Beliau menyebut, ketidak wujudnya fiqh Aqalliyyat dalam perbincangan usrah-usrah PAS di kala mengizinkan non muslim menjadi ahli PAS akan membawa masalah besar di masa akan datang.

Mendengar lontaran idea itu, aku termenung berfikir. Aku merasakan, lontaran idea itu amat bernas dan wajar difikirkan bersama, lebih-lebih lagi pimpinan PAS yang memegang jawatan tinggi dalam lajnah tarbiyyah.

TAJDID TARBIYYAH

Tarbiyyah PAS masih lagi boleh disifatkan sebagai konsep dakwah nabi di ”marhalah makkiyyah”. Ekoran itulah, kita akan dapati banyak teks-teks usrah PAS yang bersifat perbicaraan aqidah, juga fikrah.

Pun begitu, jika kita perhatikan kepada konsep dakwah nabi SAW. Di marhalah madaniyyah, konsep dakwah Nabi SAW tidak sama seperti di Marhalah makkiyyah lagi.

Di marhalah madaniyyah, usaha penerangan Islam dalam bentuk dakwah bil lisan dan dakwah bil hal menjadi agenda utama Nabi SAW, dengan bertindak dalam bentuk yang agak keterbukaan.

Ekoran itulah, kita akan dapati. Antara tindakan yang memberikan kejayaan besar kepada dakwah nabi SAW adalah, apabila kejayaan nabi SAW mengislamkan sebilangan besar orang-orang yahudi dan nasrani dengan hujjah-hujjah ilmiyyah yang disandarkan kepada wahyu ilahi.

Siapa yang tidak kenal Abdullah bin salam yang merupakan salah seorang dari sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau berbangsa Bani Israel dan asalnya beragama yahudi. Beliau memeluk Islam dengan sebab terpaksa mengakui kebenaran hujjah Islam yang dikemukakan oleh Nabi SAW.

Begitujuga, ’Adi bin Hatim yang beragama nasrani. Beliau memeluk Islam sehingga boleh dikatakan beliau antara orang yang dirujuk dalam mengetahui sesuatu hadis Nabi SAW.

Melihat perubahan dakwah nabi SAW itu, kita perlu belajar. Iaitu, perlunya ada agenda perubahan dalam tarbiyyah PAS. Perbicaraan tentang fikrah memang penting, tetapi fikrah yang kita bicarakan itu hendaklah tidak melahirkan “pandang sinis” kepada mereka yang tidak sealiran dengan fikrah PAS, malah ia perlu bersifat toleransi dan bisa “duduk semeja” berbincang dengan aliran-aliran fikrah Islam yang lain, dalam usaha mendaulatkan Islam dalam negara.

Begitujuga, silibus tarbiyyah perlu diadakan penambahan, dengan ditambahkan beberapa buku yang bisa mencernakan minda para dai’. Perbincangan yang berbentuk “di luar kotak” dalam usrah perlu dilakukan. Ia bertujuan, melahirkan pemikiran kritis dan kreatif dalam menghadapi mehnah di masa akan datang dalam membawa agenda dakwah islamiyyah.

Secara peribadi, aku berpandangan. Jika ini berjaya di laksanakan, di masa akan datang, tidak mustahil PAS akan menjadi parti yang mendominasi negara dalam pemerintahan – insya Allah -.

Sekian

p/s : aku mencadangkan pihak PAS mengadakan program wacana atau seminar terhadap pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmi, pemikiran Prof Zulkifli Muhammad dan pemikiran Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana, sekadar bacaanku tentang ketiga-tiga tokoh ini, didapati agenda perubahan yang dilancarkan oleh mereka banyak memberi kesan kepada kejayaan PAS pada masa kini.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 jun 2009 * 6:10 petang

1 ulasan:

hambamu berkata...

minta ust bantu dr sudut tenaga kerja sekali la.. berteori, menulis, dan berceramah pentas yg berbeza ust dr melaksana idea.. kita memerlukan thinktank yg hebat.. tp amilin yg setia pun sgt perlu..