Rabu, 23 September 2009

BILAL BIN RABAH : “WALAU HITAM, TETAPI DIA MANUSIA BERTAQWA”

BILAL BIN RABAH : “WALAU HITAM, TETAPI DIA MANUSIA BERTAQWA”

Kejayaan kepimpinan Nabi yang meletakkan asas ketaqwaan dan keadilan dalam pemerintahan Islam di Madinah, menyebabkan ramai yang meniru. Disamping kebijaksanaan Nabi SAW berstrategi, melahirkan kejayaan Nabi SAW dalam menjadikan Makah sebagai negara yang menerima Islam.

Ketika berlaku sejarah Fath Makkah (baca : pembukaan kota Makkah), ramai yang memeluk Islam. Tindakan Nabi SAW mahu meruntuhkan berhala-hala di keliling kaabah, mendapat sambutan dan dokongan majoriti rakyat Makkah ketika itu.

Setelah selesai berhala-berhala diruntuhkan, Nabi SAW mengarahkan bilal bin Rabah melaungkan kalimah kebesaran Allah SWT. Maka, bilal pun naik di atas bumbung Kaabah, lalu memulakan laungan azan, sebagai tanda kejayaan menyeru manusia kepada keadilan dan ketaqwaan. Juga, kejayaan menyeru semua manusia mencapai darjat kemuliaan dalam kehidupan abadi, iaitu syurga yang diidam-idamkan.

Ketika bilal memulakan azan, orang-orang munafiq melihat kepada bilal dengan penuh kebencian.

“mujur bapaku telah mati sebelum melihat kejadian pada hari ini” berkata ‘Itab bin Asid kepada Al-Haris ketika melihat bilal sedang melaungkan azan di atas bumbung Kaabah.

Sambil ketawa, Al-Haris bin Hisyam berkata, “apakah Muhammad kekurangan manusia untuk dijadikan tukang azan? Mengapa Muhammad memilih gagak hitam ini sebagai tukang azan?” penghinaan Al-Haris terhadap bilal dilakukan dihadapan ‘Itab bin Asid.

Mereka ketawa terbahak-bahak selepas penghinaan yang mereka lakukan terhadap bilal.

Kejadian ini sampai kepada pengetahuan Nabi SAW, seterusnya Allah menurunkan ayat ke 13 dari surat Al-Hujurat yang berbunyi;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Wahai Manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan. Dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu kenal satu dengan yang lain. sesungguhnya orang yang paling mulia adalah orang yang paling taqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal”

(Surah Al-hujurat : 13)

Penurunan ayat ini, sebagai memberitahu kepada mereka yang berbangga dengan kulit mereka yang putih, agar tidak memberi kehinaan kepada manusia lain yang berkulit hitam, sepertimana yang dilakukan oleh Al-haris bin Hisyam dan ‘Itab bin Asid terhadap bilal bin Rabah, kerana kemuliaan itu bukan kerana warna kulit, tetapi disebabkan ketaqwaan seseorang itu kepada Allah.

ASAL MANUSIA

Sesungguhnya manusia semuanya berasal dari Adam, sedangkan adam dari tanah. Dari sudut kejadian, manusia adalah sama, tidak kira apa bangsa, puak atau agama mereka.

Mereka dimuliakan oleh Allah SWT disebabkan mereka berasal dari tanah. Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي ءادَمَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak adam”

(Surah Al-Isra’ : 70)

Daripada Adam, datang pula hawa. Kedua-duanya ditempatkan oleh Allah ke dalam Syurga, tetapi memandangkan ada perintah Allah yang dilanggar, menyebabkan mereka dicampak keluar ke dunia.

Semasa hidup didunia, bermulalah kehidupan bermanusia. Dari adam dan hawa, lahirnya ramai manusia dengan kepelbagaian cara, kehendak, rasa, bertutur dan warna kulit.

Justeru, jadinya manusia itu berbangsa-bangsa. Di sana wujud manusia berbangsa arab, cina, india, Melayu, Siam dan banyak lagi. Daripada bangsa-bangsa itu pula, lahirnya puak-puak dan kabilah-kabilah, seperti lahirnya orang melayu jawa, melayu banjar, melayu malaysia, arab mesir, arab yaman dan berbagai-bagai puak.

Kejadian manusia yang kepelbagaian bangsa dan puak ini, merupakan satu nikmat daripada Allah SWT. Dengan kepelbagaian bangsa, orang melayu dapat mengenali kebudayaan hidup bangsa cina; orang cina dapat mengenali kebudayaan orang melayu. Begitujuga india, arab, siam dan berbagai-bagai lagi.

Kepelbagaian manusia itu, dinyatakan oleh Allah SWT bukan sekadar wujudnya sahaja, malah disuruh oleh Allah SAW agar dikenali satu dengan yang lain. Mengenali di sini, tidak cukup mengenali nama, tempat tinggal dan sebagainya, tetapi yang paling penting adalah, mengenali kebudayaan hidup yang sama sekali tidak mempunyai kesamaan antara satu dengan yang lain.

Lihatlah bangsa cina yang tidak mempunyai kebudayaan hidup yang sama dengan kebudayaan hidup bangsa melayu. Begitujuga dengan india dan selainnya. Perbedaan ini, perlu dikenali agar terlahirnya keserasian dalam hidup sebagai manusia atas muka bumi Allah SWT.

ISLAM TIDAK MENOLAK BUDAYA

Perlu diingat, Islam bukan satu agama yang anti-budaya. Sebarang budaya yang tidak bercanggah dengan Islam, maka itu diterima, malah boleh dijadikan sebagai kepunyaan islam juga.

Baju melayu yang merupakan pakaian orang melayu. Adalah sekali-kali tidak pernah pun kedengaran bahawa arab memiliki pakaian seperti baju melayu. Pun begitu, waimma Nabi SAW bukan berbangsa melayu, tetapi baju melayu telah disinonimkan dengan pakaian umat Islam.

Dari ini membuktikan bahawa, islam bukan agama yang menolak budaya. Pun begitu, tidak dinafikan bahawa di sana wujud budaya yang bercanggah dengan islam, maka ia wajib ditolak.

Seperti kebudayaan sembah pantai, main puteri, wayang kulit berunsur lucah dan banyak lagi. Ini kerana, kebudayaan ini mempunyai unsur kepercayaan yang karut dan khurafat; yang susah hendak diterima dengan pandangan akal yang sihat.

NASAB, ANTARA PUNCA KESOMBONGAN

Jika diperhatikan kepada kandungan ayat 13 dari surat al-hujurat, kita akan terfikir, mengapa Allah SWT sengaja menyebut tentang nasab, tetapi tidak menyebut tentang harta?

Harta merupakan perkara yang boleh didapati dengan usaha. Tanpa usaha - secara mantiqnya - orang itu tidak dapat menjadi kaya. Dengan kata lain, kemuliaan dengan harta tercapai dengan cara usaha manusia itu sendiri.

Adapun nasab atau keturunan, ia merupakan satu ketetapan dari Allah SWT. Manusia yang berasal dari keturunan Abu Jahal, sudah pasti tidak boleh menukar keturunannya kepada keturunan Nabi. Orang yang berketurunan melayu, tidak dapat untuk menukar keturunannya kepada keturunan cina dan selanjutnya.

Justeru, Allah ingin nyatakan bahawa, sesuatu keturunan bukanlah penentu terhadap kemuliaan sesuatu kaum, tetapi penentuan kemuliaan itu adalah disebabkan ketaqwaannya kepada Allah SWT.

Manusia yang bertaqwa, sudah pasti tidak menganggap dirinya terlebih mulia disebabkan bangsa dan keturunannya. Ia juga, tidak menjadikan keturunannya sebagai modal untuk dia memberikan kehinaan kepada keturunan lain.

Malah, walau manusia itu mempunyai warna kulit yang tidak cantik, tetapi mempunyai ketaqwaan terhadap Allah yang tinggi, maka ia pasti akan menjadi manusia yang termulia berbanding manusia yang mempunyai kulit yang cantik tetapi tidak bertaqwa.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda;

إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم، ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم

Maksudnya;
”Sesungguhnya Allah tidak akan melihat rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu”

Begitujuga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar, bahawa Nabi SAW bersabda;

انظر، فإنك لست بخير من أحمر ولا أسود إلا أن تفضله بتقوى


Maksudnya;
”Lihatlah! Sesungguhnya kamu tidak menjadi mulia dengan sebab warna merah, dan warna hitam melainkan kamu dilebihkan kerana ketaqwaan”

TIADA KUFU’ KERANA BANGSA?

Dari ini, jelas bahawa sebarang kufu’ dalam sesuatu perkahwinan tidak dilihat kepada warna kulit, keturunan dan harta. Tetapi, kufu’ yang wujud dalam islam adalah kerana agama sahaja.

Justeru, seseorang lelaki dari bangsa melayu, dibenarkan untuk berkahwin dengan perempuan yang berbangsa cina dengan sebab kesamaan agama. Begitujuga, melayu dari negeri Kelantan, tidak menjadi halangan untuk berkahwin dengan melayu dari negeri kedah dan selanjutnya.

KESIMPULAN

Tidak ada faedah dijadikan asas perjuangan itu dengan merujuk kepada bangsa, keturunan, kepuakan, perkauman, kebangsaan, kedaerahan, keulamakan, keprofesionlan dan sebagainya. ini kerana, semua perjuangan tersebut tidak melahirkan nilaian berharga disisi Allah SWT.

Tetapi, perjuangan yang sebenar adalah, perjuangan dalam menaikkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Apabila disebut taqwa, orang melayu boleh jadi taqwa; orang india boleh jadi taqwa; orang cina boleh jadi taqwa; profesional boleh jadi taqwa; ulama boleh jadi taqwa dan seterusnya.

Justeru, perjuangan ketaqwaan perlu diusahakan. Kerana, ia sahaja yang akan menjadi nilai disisi Allah SWT.

Sekian
Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), sg Buloh
23 september 2009 * 6:17 petang

Tiada ulasan: