Rabu, 9 Disember 2009

SENTUH KEMALUAN


SENTUH KEMALUAN

Soalan:

Apakah wudu' terbatal dengan sebab sentuh kemaluan?

Jawapan;

Menurut jumhur ulama, terdiri dari Syafie, Hanbali dan Maliki, mereka berpendapat bahawa batal wudu' seseorang itu jika dia pegang kemaluannya sendiri.

Pun begitu, mereka berbeda pendapat dalam beberapa hal tertentu, seperti Imam maliki berpendapat tidak batal wudu' jika dipegang kemaluan orang lain. Begitujuga, Imam Maliki berpendapat tidak batal wudu' bagi perempuan yang memegang farajnya, juga halaqah duburnya.

Menurut Maliki lagi, waima memasukkan tangan ke dalam halaqah dubur, juga ke dalam faraj secara tidak perlu merupakan perkara yang haram, pun gitu, tindakan tersebut tidak mengakibatkan wudu'nya jadi batal.

Pendapat jumhur ulama ini, menyalahi pendapat Imam Hanafi yang menyatakan tidak batal wudu' dengan sebab sentuh kemaluan.

DALIL-DALIL JUMHUR

Dalil-dalil yang dipegang oleh jumhur ulama adalah seperti berikut:

Pertama: daripada Busrah binti Sufwan berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya;
"barangsiapa yang sentuh zakarnya, maka dia tidak boleh menunaikan solat hingga dia berwudu'" (Abu Daud : 154)

Kedua : daripada Aisyah R.Ha berkata;

وَيْلٌ لِلَّذِينَ يَمَسُّونَ فُرُوجَهُمْ ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُونَ

Maksudnya;
"kecelakaan bagi mereka yang menyentuh faraj dan tidak berwudu'" (Sunan Ad-Daruqutni : 545)

Ketiga : daripada Ummu Habibah R.Ha berkata;

مَنْ مَسَّ فَرْجَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya;
"barangsiapa menyentuh farajnya, maa hendaklah dia berwudu'" (An-Nasai : 440)

Dari segala hadis-hadis yang dikemukakan ini, menjadi dalil oleh Jumhur untuk menyatakan bahawa batal wudu' dengan sebab sentuh kemaluan.

DALIL HANAFI

Imam hanafi pula berpendapat, bahawa sentuh kemaluan tidak mengakibatkan wudu' batal. Dalilnya adalah satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, bahawa satu hari Nabi SAW ditanya tentang seseorang lelaki yang memegang zakarnya, apakah dia diwajibkan berwudu'? Jawab Nabi SAW;

إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ أَوْ جَسَدِكَ

Maksudnya;
"bukankah zakar itu sebahagian dari kamu atau tubuh badan kamu?" (Musnad Ahmad : 15693)

Dari hadis ini, Imam Hanafi mengatakan bahawa tidak batal berwudu' bagi orang yang menyentuh kemaluannya. Ini kerana, berdasarkan kepada hadis ini, bahawa Nabi SAW menyamakan hukum memegang zakar sama seperti memegang anggota badan yang lain, seperti tangan, kaki, perut dan sebagainya.

Pendapat Imam Hanafi ini ditolak oleh jumhur ulama, dengan alasan bahawa hadis yang disandarkan oleh Imam Hanafi itu adalah hadis yang lemah; yang dililihat lemah oleh Imam syafie, Abu Hatim, Abu Zur'ah, Ad-daruqutni dan Ibnu Jauzi. Adapun menurut Ibnu Hibban dan At-tibrani, mereka beranggapan bahawa hadis ini adalah hadis mansukh.

Sekian

p/s : orang sudah malas nak main game dengan padang-terap. Tetapi kalau rasa nak main game juga, kami pun pandai juga nak main game juga.

Wallahu'Alam


Al-Bakistani




- Sri Indah (B), Sg Buloh

10 Disember 2009 * 1:50 petang

Tiada ulasan: