Sabtu, 23 Januari 2010

GST : KERAJAAN UMNO/BN SEMAKIN GILA


GST : KERAJAAN UMNO/BN SEMAKIN GILA

Dalam islam, asas ekonomi Islam adalah “irfaq” atau unsur kasih sayang. Penjual yang menjual, sebenarnya sedang memudahkan urusan pembeli, disamping pembeli memberikan balasan dengan memberi keuntungan kepada penjual.

Ekoran itu, konsep “taawun” atau bantu membantu wujud dalam ekonomi Islam, disamping tidak pernah menafikan hak kebebasan sesiapa sahaja yang berusaha dengan cara yang halal bagi mencari kekayaan, tanpa melakukan penganiayaan terhadap orang lain.

Inilah sistem ekonomi yang membedakan dengan pemikiran Kapitalis. Ini kerana, Asas pemikiran Kapitalis adalah keuntungan, waima terpaksa melakukan penindasan terhadap manusia lain.

GST (Goods & Service Tax) atau di sebut dalam bahasa melayu sebagai Cukai barangan dan perkhidmatan yang mahu diamalkan di Malaysia, menampakkan ketempangan dalam ekonomi di negara, disamping memperlihatkan kerakusan atasan kerajaan dalam ”menjarah” harta rakyat dalam negara.

Di kala rakyat dibebankan dengan berbagai-bagai cukai, seperti beras, gula, jalan raya dan banyak lagi, tiba-tiba kerajaan mengisytiharkan untuk melaksanakan GST.

Yang lebih parah, apabila GST yang mahu dilaksanakan di malaysia, diqiaskan dengan negara-negara barat yang mengamalkan GST juga, walhal keadaan hidup di sana amat berbeda dengan Malaysia. Di negara-negara barat yang mengamalkan GST, kebanyakkan perkhidmatan awamnya percuma, pembelajarannya percuma dan banyak lagi percuma. Perkara ini, sememangnya mustahil wujud di Malaysia di zaman pemerintahan kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

CUKAI

Dalam islam, pungutan cukai dari rakyat adalah perkara yang terakhir yang perlu dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Itupun, di kala kerajaan sudah tidak mempunyai sebarang sumber lain lagi bagi mencukupkan perbendaharaan. Juga, pungutan cukai itu adalah untuk memenuhkan keperluan kerajaan yang meliputi rakyat secara umum, dan hendaklah wang pungutan cukai itu digunakan di tempat-tempat yang disyariatkan (yang dibenarkan)
[1].

Imam Al-Ghazali membahaskan isu Dharibah (cukai) ini dalam perbincangan Al-Masalih Al-Mursalah. Keizinan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali itu, hendaklah mengikut syarat-syarat yang cukup ketat.

Antaranya adalah, hendaklah ia benar-benar memberi kecukupan kepada keperluan kerajaan yang meliputi rakyat, tanpa digunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu. Apabila unsur ini wujud, sudah pasti unsur “taawun” dan “Irfaq” tidak ternafi sama sekali.

Apabila pungutan dibuat tanpa untuk kepentingan maslahah umum, bahkan untuk kepentingan golongan tertentu, maka hukumnya adalah haram. Ini kerana, unsur “Irfaq” dan “taawun” sudah ternafi.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT ada berfirman;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”

(Surah Al-Hasyr : 7)

Apabila melihat ini, sudah pasti usaha memperkenalkan GST kepada rakyat dalam keadaan rakyat dibebankan dengan berbagai-bagai cukai merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan islam, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Barisan Nasional pada hari ini amat tertampal dengan banyak penyelewengan kewangan, seperti pembaziran, ketirisan dan sebagainya.

USAHA KELIRUKAN RAKYAT

Dalam utusan Malaysia, kita melihat bagaimana pihak kerajaan memberi jaminan yang mengandungi unsur bohong terhadap rakyat dengan cadangan GST. Antaranya adalah mereka mendakwa bahawa GST ini tidak dikenakan kepada barangan keperluan seperti makanan, pertanian, pendidikan dan kesihatan.

Tidak dinafikan, semua perkara ini tidak dikenakan di awal perlaksanaan GST ini, tetapi apakah jaminan kerajaan bahawa semua perkara ini sememangnya kekal tidak dikenakan kepada rakyat?

Apa jaminan kerajaan, bahawa semua perkara ini tidak dikenakan kepada rakyat dalam keadaan kerajaan yang semakin hari semakin menimpa krisis defisit yang amat membimbangkan?

Semua ini adalah usaha menipu rakyat, yang sudah menjadi darah daging kerajaan UMNO/BN. Justeru, jalan penyelesaian dalam menyelesaikan perkara ini tidak ada lain jalan, melainkan tumbangkan kerajaan UMNO/BN. Beri peluang kepada "Islam" memerintah, sudah pasti islam akan memberikan alternatif ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang dibuat oleh Kerajaan UMNO/BN pada hari ini.

Sekian

”Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 6:20 petang




[1] Fi Al-Ijtihad At-Tanzili : 137.

Tiada ulasan: