Jumaat, 22 Januari 2010

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH? (3)

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH? (3)

KETIGA : benarkah Ibnu Tamiyyah mujassimah?

Jika dibaca dalam kitab Al-Milal Wa An-Nihal karangan Al-Imam Syahrastani ada menyatakan tentang pertembungan antara dua golongan; Sifatiyyah dan Muktazilah.

Golongan sifatiyyah adalah golongan yang mengisbatkan kewujudan sifat Azaliyyah bagi Allah, tanpa membedakan antara sifat zat dan sifat af’al Allah, juga mengisbatkan sifat Khabariyyah Allah. Adapun muktazilah adalah golongan yang menafikan perkara yang dii’tiqadkan oleh golongan sifatiyyah. Ekoran itu, golongan Muktazilah ini dikenali juga sebagai mu’attilat (membatalkan sifat-sifat zat dan Af’al Allah).

Golongan sifatiyyah ini pula, ada yang bersifat sederhana, bahkan tidak dinafikan wujud golongan yang ‘ghuluw’ sehingga sampai mereka sanggup menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk
[1]. Golongan inilah yang disebut sebagai Mujassimah.

Justeru, bagi pihak yang tidak bersetuju dengan sifat Rububiyyah yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah, mereka mencela Syaikh Al-Islam itu dengan mendakwa bahawa Ibnu Tamiyyah adalah golongan mujassimah.

Apa yang pasti, pendakwaan bahawa Ibnu Tamiyyah adalah mujassimah adalah tersasar, kerana tidak ada satu bukti pun dari sudut fakta menunjukkan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah seorang mujassimah.

Jika wujud pun, ia sekadar dakwaan yang penuh dengan keraguan, yang sama sekali perlu ditolak dan tidak boleh diterima pakai langsung.

Yang pastinya, golongan yang mendakwa Ibnu Taimiyyah sebagai Mujassimah adalah mereka merujuk kepada kitab ”rihlah Ibnu Batutah”, iaitu sebuah kitab jelajah yang dilakukan oleh seorang penjelajah islam yang bernama Ibnu Batutah.

Pun begitu, dakwaan Ibnu Batutah tersebut penuh dengan keraguan, sehingga ramai para ilmuan dan pengkaji mengkritik terhadap dakwaan Ibnu batutah tersebut.

Berkata Ibnu Batutah:

في حق شيخ الإسلام ابن تيمية : وكنت إذ ذاك بدمشق فحضرته يوم الجمعة وهو يعظ الناس على منبر الجامع ويذكرهم فكان من جملة كلامه أن قال : إن الله ينزل إلى سماء الدنيا كنزولي هذا ، ونزل درجة من درج المنبر

Maksudnya;
“berkenaan dengan Syaikh Al-Islam Ibnu Tamiyyah; aku ke Damsyik dan aku sampai pada hari jumaat. (di kala itu) beliau (ibnu Tamiyyah) sedang memberi peringatan kepada manusia di atas mimbar masjid. Antara banyak-banyak perkataan beliau, bahawa beliau menyebut, “sesungguhnya Allah turun dari langit dunia sepertimana turunnya aku ini” sambil beliau turun dari satu tangga daripada tangga-tangga mimbar”

Dakwaan Ibnu Batutah ini, telah dikomentarkan As-Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Bahjah Al-Baitar dengan katanya;

أن ابن بطوطة لم يسمع من ابن تيمية ولم يجتمع به إذ كان وصوله إلى دمشق يوم الخميس التاسع عشر من شهر رمضان المبارك عام ستة وعشرين وسبعمائة هـ وكان سجن شيخ الإسلام في قلعة دمشق أوائل شهر شعبان من ذلك العام ولبث فيه إلى أن توفاه الله تعالى ليلة الاثنين لعشرين من ذي القعدة عام ثمانية وعشرين وسبعمائة هجرية فكيف رآه ابن بطوطة يعظ على منبر الجامع وهو إذ ذاك في السجن

Maksudnya;
“Ibnu Batutah tidak mendengar daripada Ibnu Tamiyyah. Ini kerana, Ibnu Batutah sampai di Damsyiq pada hari Khamis; iaitu hari ke 19 daripada bulan Ramadhan tahun 726 H. Ketika itu, Ibnu Taimiyyah berada dalam penjara di kubu Damsyiq sejak awal bulan sya’ban pada tahun tersebut. Beliau berada di situ sehingga Allah wafatkannya pada malam isnin bagi 20 Zulqaedah tahun 728 H. Justeru, bagaimana Ibnu Batutah melihat Ibnu Tamiyyah memberi nasihat di atas mimbar masjid, walhal ketika itu beliau berada dalam penjara
[2]

Dengan fakta yang dikemukakan oleh Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Bahjah Al-Baitar ini, memberikan satu gambaran bahawa dakwaan Ibnu Batutah tersebut amat tersasar, bahkan boleh disifatkan sebagai berniat jahat terhadap Ibnu Taimiyyah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 1:36 Petang



[1] Al-MIlal Wa An-Nihal : m.s 19.
[2] Hayat Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah : m.s 47-48

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Boleh jadi juga pencatat kisah pengembaraan ibnu batutah yg menokak tambah akan kata-kata tersebut,walhal ibnu batutah tidak pernah berkata sedemikian...

ahmad berkata...

Salam...bagus penjelasan nie mita bayakkan penjelasan macm nie lain kali..