Selasa, 25 Mei 2010

TEGUR PEMIMPIN SOLAT DAN PEMIMPIN LUAR SOLAT


[1]

Dalam 5 hingga 6 tahun lalu, ada seorang imam kematian Isteri. Imam itu terlalu sayang kepada Isterinya, sehingga kematian itu menyebabkan dia menangis setiap hari; mengambil masa hampir seminggu.

Satu hari, dia ke surau untuk menunaikan solat asar berjemaah. Para jemaah menolak dia menjadi imam, tetapi dia menolak. Mungkin kerana faktor pemikirannya masih lagi; teringat-ingat kepada Isterinya yang tersayang itu, menyebabkan dia menolak. Namun, dia terpaksa menjadi imam juga pada hari itu, kerana dipaksa oleh jemaah.

Memang solatnya hari itu tidak khusyuk. Dia telah menunaikan solat asar sebanyak 5 rakaat. Selesai solat, ada sebilangan makmum bertanya, ”kenapa imam solat sampai lima rakaat?”

”la... kenapa korang tak tegur.. Saya tersilap la tu” kata imam itu.

”Eh.. saya tegur dah tadi.. Saya baca Subhanallah tadi” kata makmum yang bertanya tadi.

”eh yer ke... kenapa saya tak dengar langsung tadi?” soal imam itu lagi.

”ermm... Saya tegur Sirr [perlahan]” kata makmum tadi.

”tegur sirr, macam mana saya nak dengar?” bentak imam itu.

”ermm.... kan solat Asar ni sirr, jadinya saya pun tegur sirr la” kata makmum tadi.

[2]

Dalam solat, dilarang bercakap, ia boleh membatalkan solat. Begitujuga, dilarang juga bagi makmum baca dengan kuat, sehingga boleh mengganggu makmum-makmum yang lain. perbuatan tersebut boleh dikatakan haram, bahkan ada sebilangan ulama syafeiiyyah mengatakan ia tidak haram, tetapi makruh, kerana tidak mempunyai adab di dalam solat.

Namun, apabila imam sudah melakukan kesilapan. Hendaklah imam itu ditegur. Teguran tersebut, hendaklah dengan menyebut ”subhanallah” bagi orang lelaki, dan ”tasfiq” atau tepuk bagi orang perempuan.

Sabda Nabi SAW;

التسبيح للرجال والتصفيق للنساء

Maksudnya;
”Tasbih bagi orang lelaki, dan tepuk bagi orang perempuan
[1]

Menegur imam dengan membaca subhanallah, hendaklah dengan suara yang berbunyi, waima didengari oleh makmum-makmum yang lain. walau asal membaca kuat sehingga kedengaran kepada makmum lain, adalah dilarang [sebilangan kata haram, sebilangan ulama syafiiyyah kata makruh], namun dalam keadaan tertentu ia tidak menjadi haram, malahan dituntut.

[Dalam kitab منية المصلى, Syaikh Daud bin Abdillah Al-Fatani ada menyebut, sekiranya setelah ditegur imam itu beberapa kali, tetapi imam itu tetap kekal dengan kesalahan[seperti tambah rakaat], maka wajib kepada orang yang dibelakang imam mengambil tanggungjawab sebagai imam, dan imam yang asal, sudah tidak lagi dikira sebagai imam].

Tindakan menegur imam secara sirr seperti kisah benar di atas, adalah satu tindakan yang tidak cerdik, malahan jika dikatakan tindakan makmum itu sebagai beradab, sudah pasti orang yang mengatakan itu tidak faham konsep adab dalam kaedah syariah sebenar.

[3]

Maqasid disebalik teguran terhadap imam itu adalah, supaya imam itu membetulkan kesalahannya, walau terpaksa bersuara sehingga kedengaran kepada makmum, yang boleh menyebabkan seluruh orang yang berada di situ dengar; sama ada mereka yang solat sekali, ataupun yang tidak solat, tetapi hadir di tempat solat tersebut.

Imam tidak perlu malu, jika dia sememangnya salah. Yang patut imam itu malu adalah, apabila dia pertahankan kesalahannya, walhal terbukti dia sememangnya bersalah.

Jika imam bersifat sedemikian, ini menandangkan imam itu tidak beradab; iaitu tidak beradab dalam berhadapan dengan kebenaran. Begitujuga, orang yang sudah tahu imam itu bersalah, lalu turut sama mempertahankan imam yang bersalah itu, dia juga turut dikatakan sebagai orang yang tidak beradab.

Bukan sekadar tidak beradab, malahan perbuatan mempertahankan kesalahan imam adalah satu dosa; malahan nabi SAW tidak mengaku umat.

Sabda Nabi SAW;

سَيَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ

Maksudnya;
”selepasku akan ada pemerintah. Barangsiapa yang berada dibawahnya, lalu membenarkan mereka terhadap penipuan mereka, dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan dari kalanganku, dan aku bukan dari kalangannya
[2]

[4]

Imam solat dan imam menjadi pemimpin, tidak ada kesamaan dalam beberapa perkara, tetapi mempunyai banyak kesamaan dalam banyak perkara yang lain.

Maqasid di sebalik teguran adalah, agar imam itu berhenti dari melakukan sesuatu kesalahan. Sekiranya masih kekal dengan kesalahan, menandakan imam itu sendiri tidak beradab. Apabila dia kekal sebagai tidak beradab, makanya tidak ada salahnya ditegur secara terbuka.

Tindakan ini, dilakukan oleh sahabat nabi; Ubbadah bin Somit. Dalam kitab ”Siyar Al-’Alam Wa An-nubala’” ada menyatakan bahawa, beliau adalah seorang sahabat ansor yang antara terawal memeluk Islam dari kalangan orang Madinah. Beliau berasal dari kalangan Khazraj, dan salah seorang naqib pada malam perjanjian Aqabah yang pertama.

Muhammad bin Kaab Al-Qurazi berkata;

جمع القرآن في زمن النبي صلى الله عليه وسلم خمسة من الانصار: معاذ، وعبادة، وأبي، وأبو أيوب، وأبو الدرداء

Maksudnya;
“lima orang Ansar yang menghimpunkan Al-Quran pada Zaman Nabi SAW, iaitu Muaz, Ubbadah, Ubai, Abu Ayub dan Abu Darda’
[3]

Diceritakan juga bahawa, Beliau antara manusia yang tidak suka pemimpin diampu-ampu. Pernah berlaku satu kejadian dalam satu masjid, yang ketika itu didalam masjid tersebut dihadiri Muawiyyah sebagai gabenor Islam di Syam.

Apabila khatib berkhutbah dalam masjid tersebut, didapati terlalu sangat memuji Muawiyyah, menyebabkan Ubbadah bin As-Somit bangun dalam keadaan tangannya memegang tanah, lalu naik di atas mimbar dan mencampakkan tanah tadi ke muka si khatib tersebut.

Tindakan Ubbadah itu dilihat semua jemaah dalam masjid menyebabkan muawiyyah agak marah dengan tindakan Ubbadah itu. Melihat Muawiyyah begitu marah, Ubbadah terus berkata di atas mimbar itu;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا رأيتم المداحين، فاحثوا في أفواههم التراب

Maksudnya;
“Bersabda Rasulullah SAW, apabila kamu tengok pengampu, maka campakkan tanah pada mulut mereka
[4]

Ini contoh yang dilakukan oleh para sahabat; yang tidak ada berlaku pada zaman kini. Agak susah hendak mencari orang seperti Ubbadah bin As-somid ini.

Sekian

p/s : bawa kereta laju di jalan kawasan kampung adalah tidak beradab. Tetapi, jika terpaksa bawa laju kerana isteri hampir-hampir nak bersalin, apakah tindakan itu dikatakan tidak beradab lagi? Tetapi, yang lebih parah apabila ada orang kata bahawa bawa kereta laju di lebuhraya tidak beradab, dengan merujuk hujjah bawa kereta di jalan kampung. Parah.. parah..


Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (b) Sg Buloh
26 Mei 2010 * 11:40 pagi




[1] Sunan Ibni Majah : 1026.
[2] At-tarmizi : 2185.
[3] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 2/6.
[4] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 2/7.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam..

Sindiran yg berkesan..

Rosydi berkata...

Berkesan & terkesan bagi mereka yg memahami dan mahu menginsafi.