Sabtu, 15 Januari 2011

FATH AZ-ZARAI’ DALAM MENYELESAI ISU PEKERJA MUSLIM DAN ARAK DI SELANGOR [TERBUKA KEPADA WACANA]

MUQADDIMAH

Pekerja muslim yang bekerja di premis yang berkaitan dengan arak, menjadi isu di Selangor. Sebenarnya, jika dihayati dan diselediki, ia bukan sekadar berlaku di Selangor, malahan menimpa di negeri-negeri yang lain [mungkin kelantan terkecuali].

Namun begitu, jika sesebuah kerajaan hendak menghalangkan terus pekerja muslim itu dari bekerja di premis arak, ia dibimbangi melahirkan berbagai-bagai kekacauan, seperti pengangguran dan sebagainya. Justeru, sebagai kerajaan, ia hendaklah dilakukan dengan sebijaksana mungkin, bagi memastikan segala tindakan itu melahirkan natijah yang berkesan dan berjaya.

Di sini, dicadangkan satu penyelesaian dalam hal ini berasaskan kepada teori-teori fiqh yang berasaskan kepada Maqasid Syariah. Perbincangannya adalah seperti berikut;

PERTAMA : FATH AZ-ZARAI

Dari segi bahasa arab, kalimah ‘Zari’ah’ boleh diterjemah sebagai ‘penghubung kepada sesuatu’. Dengan maksud, ia sama maksud dengan wasilah. [Mukhtar As-Sahah : 221]

Adapun maknanya dari segi istilah, Imam As-Syatibi mendefinisikannya sebagai, “penghubung daripada maslahah kepada mafsadah” [ Al-Muwafaqat : 4/199]

Dalam perbincangan maqasid Syariah, Wasilah dibincangkan pada perkara yang boleh membawa kepada maslahah. Adapun Zarai’, ia adalah perbincangan pada perkara yang membawa kepada mafsadah.

Mengikut kebiasaan, kita pernah mendengar dengan istilah ‘Sad Az-Zarai’, iaitu menutup segala pintu-pintu haram. Setiap tindakan yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga dikira haram, berasaskan kepada maksud ‘Sad Az-Zarai’.

Kaedah fiqh ada menyebut;

ما أدى الى الحرام فهو حرام

Maksudnya;
“perkara yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram” [Al-Halal wa Al-haram Fi Al-Islam : 31]

Perlu difahami, menutup pintu haram ini bukan dengan menutupkannya terus, tetapi hendaklah penutupan itu selama tidak melakukan kezaliman. Dengan maksud, ia tidak menafikan hak manusia lain. Juga, hendaklah ia tidak mengandungi unsur, melahirkan kemudharatan yang lebih besar, atau melahirkan perkara haram yang lebih parah.

Ekoran itu, jika dibaca dalam kitab Al-Furuq karangan Imam Al-Qurafi, didapati bahawa Zarai’ ini tidak sekadar larangan melakukan perkara yang diharamkan. Malahan, dalam keadaan tertentu, di sana wujud satu istilah yang disebut dengan nama ‘Fath Al-Zarai’ .

Istilah Fath Az-Zarai’ adalah satu istilah yang dilontarkan oleh Imam Al-Qurafi. Dalam kitab beliau [Al-Furuq], beliau ada menyatakan;

اعْلَمْ أَنَّ الذَّرِيعَةَ كَمَا يَجِبُ سَدُّهَا يَجِبُ فَتْحُهَا وَتُكْرَهُ وَتُنْدَبُ وَتُبَاحُ

Maksudnya;
“Ketahuilah. Sesungguhnya, Zari’ah [pintu-pintu haram] adalah wajib ditutup, dan [ada kalanya] wajib dibuka, dimakruhkan, disunatkan dan diharuskan [dibuka]” [Anwar Al-Buruq Fi Anwa’ Al-Furuq : 3/46]

Difahami dari perkataan beliau ini, dalam beberapa keadaan tertentu, perkara mudharat itu terpaksa dilakukan [walau pada asalnya perkara mudharat itu haram dilakukan]. Malahan, melakukannya itu sehingga menjadi wajib.

Perkataan Imam Al-Qurafi ini, tidak bercanggah dengan sebilangan besar ulama-ulama Usul Fiqh yang muktabar. Ini kerana, Ibnu Qayyim juga ada berkata dalam kitab beliau;

ثُمَّ هَذَا الْقِسْمُ مِنْ الذَّرَائِعِ نَوْعَانِ ؛ أَحَدُهُمَا : أَنْ تَكُونَ مَصْلَحَةُ الْفِعْلِ أَرْجَحَ مِنْ مَفْسَدَتِهِ ، وَالثَّانِي : أَنْ تَكُونَ مَفْسَدَتُهُ رَاجِحَةً عَلَى مَصْلَحَتِهِ

Maksudnya;
“Kemudian pada bahagian ini bahawa zarai’ itu ada dua jenis; [1] bahawa maslahah perbuatan itu lebih rajih daripada mafsadahnya, [2] bahawa mafsadahnya lebih rajih terhadap maslahahnya”

Beliau menyatakan lagi;

وَسِيلَةٌ مَوْضُوعَةٌ لِلْمُبَاحِ وَقَدْ تُفْضِي إلَى الْمَفْسَدَةِ وَمَصْلَحَتُهَا أَرْجَحُ مِنْ مَفْسَدَتِهَا

Maksudnya;
“Penghubung yang harus, kadangkala kepada mafsadah. Namun, maslahahnya lebih rajah berbanding mafsadahnya” [Al-‘Ilam Al-Muwaqiin : 3/344]

Imam Al-Qurafi menyatakan juga;

قَدْ تَكُونُ وَسِيلَةُ الْمُحَرَّمِ غَيْرَ مُحَرَّمَةٍ إذَا أَفَضْت إلَى مَصْلَحَةٍ رَاجِحَةٍ كَدَفْعِ مَالٍ لِرَجُلٍ يَأْكُلُهُ حَرَامًا حَتَّى لَا يَزْنِيَ بِامْرَأَةٍ إذَا عَجَزَ عَنْ دَفْعِهِ عَنْهَا إلَّا بِذَلِكَ

Maksudnya;
“kadangkala penghubung kepada perkara haram, ia tidak menjadi haram; iaitu sekiranya membawa kepada maslahah yang rajah. Contohnya, seperti memberi duit kepada lelaki supaya dia makan benda haram sehingga dia tidak berzina dengan perempuan. Itupun, sekiranya ia tidak mampu untuk mencegah lelaki itu dari berzina dengan perempuan terbabit kecuali dengan cara itu sahaja”. [Anwar Al-Buruq Fi Anwa’ Al-Furuq : 3/47]

KAEDAH-KAEDAH DIBAWAH FATH AZ-ZARAI’

Menurut sebilangan ulama maqasid moden, seperti Dr Ahmad Abdul Karim, Dr Khalifah Abu Bakar, Dr Jasir Audah dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa teori Fath Az-Zarai ini adalah satu perbincangan dibawah;

1- Fiqh Muwazanah [Melayu : fiqh Timbangan]
2- Irtikab Akhaf Ad-Daraian [melayu : melakukan mudharat kecil demi mengelak berlaku mudharat besar], dan;
3- kaedah fiqh yang berbunyi;

إذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

Maksudnya;
“Apabila sempit sesuatu, maka ia menjadi luas” [Menurut kitab Al-Mansur Fi Al-Qawaid, ibarat kaedah ini adalah datang dari Imam As-Syafie. : rujuk kitab, m.s 58]

Dengan maksud, teori fath Az-Zarai ini adalah digunakan ketika bertembung antara dua kemudharatan [atau : antara dua perkara yang haram], maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Atau dalam perkataan lain, melakukan satu perkara yang haram, demi mengelak berlaku perkara haram yang lebih besar [haram yang mempunyai maalat al-af’al, atau kesan perbuatan yang mempunyai kemudharatan yang lebih besar dan berpanjangan]

Untuk mengetahui timbangan antara perkara mudharat tersebut, hendaklah memerlukan imbangan neraca syariah, yang dibincangkan dalam ilmu Fiqh Muwazanat.

Kemudian, apabila nyata mudharat kecil dan besar, ketika itu perkara yang mengandungi mudharat [atau: haram] yang kecil, terpaksa dilakukan demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar [atau : perkara haram yang mempunyai maalat al-af’al yang lebih besar atau berpanjangan].

Perlu dijelaskan, terpaksa melakukan perkara yang haram itu, bukan bermakna perkara yang haram itu sudah menjadi halal. Tetapi, dilakukan itu dibawah maksud ‘Muaqqat’, iaitu sementara waktu sahaja. Dalam perkataan lain, selama mana wujud penghalang, maka selagi itu perkara haram itu dibenarkan untuk dilakukan. Adapun jika penghalang sudah hilang, maka hukum melakukannya menjadi haram semula, atau kembali kepada hukum muabbad.

Ia seperti, dibenarkan makan babi untuk menjaga nyawa dikala tiada makanan kecuali babi sahaja. Adapun setelah makan, kegawatan nyawa sudah tidak berlaku, maka menambah lagi makan babi adalah haram.

Kaedah fiqh menyebut;

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya;
“Dharurat itu mengikut kadarnya sahaja”.


SUNNAH TADARRUJ

Teori Fath Az-Zaraie ini amat sesuai dengan teori “sunnah tadarruj” atau diterjemah sebagai “bertahap-tahap”. Tadarruj ini, ia berlaku dalam bentuk perlaksanaan sesuatu hukum [arab : tanfiz], tetapi tidak berlaku dalam perkara pensyariatan [arab : tasyrik]. Ini kerana, syariat itu telah sempurna selepas pemutusan wahyu dan kewafatan Nabi SAW.

Firman Allah;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya;
“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”

[Al-Maidah : 3]

Bukan bermaksud “tadarruj” dengan semata-mata melengah-lengahkan perlaksanaan sesuatu kandungan syariat, tetapi ia hendaklah mempunyai; [1] perancangan yang mempunyai jangka masa. [2] Perancangan yang mempunyi penyelidikan, dan [3] Mempunyai plan dalam menentukan tahap- tahap, sehingga perlaksaaan islam secara syumul terbukti berjaya.

“sunnah tadarruj” ini, bukanlah satu perkara yang disifatkan sebagai rekaan semata-mata, sebaliknya ia mempunyai sandaran. Iaitu, dilihat penurunan Al-Quran itu sendiri bertahap-tahap, disamping melihat kepada marhalah dakwah nabi SAW yang bertahap-tahap. Di Marhalah Makkiyyah, ia memakan masa selama 13 tahun di Makkah, sehingga ia digelar sebagai Marhalah tarbiyyah dan pengukuhan.

Amalan ini juga, dilakukan oleh seorang khalifah islam yang adil, iaitu Umar bin Abdul Aziz. Ketika anak beliau bernama Abdul Malik bertanya kepadanya, tentang banyak perkara yang beliau tidak laksanakan dikala sudah berkuasa, Umar bin Abdul Aziz menjawab;

لا تعجل يا بني , فإن الله ذم الخمر فى القرءان مرتين و حرمها في الثالثة , و إني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة فيدعوه جملة , ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
“Jangan kamu gopoh wahai anakku, Sesungguhnya Allah cela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya Aku bimbang melaksanakan kebenaran terhadap manusia secara total, lalu mereka menolaknya secara total. Sudah pasti, ia merupakan fitnah” [ Al-Muwafaqat : 2/148]

KEDUA : PEKERJA MUSLIM DAN ARAK

Di Selangor, boleh dikatakan lebih 5 ribu orang muslim yang bekerja di premis yang berkait dengan arak. Sudah pasti, ia adalah perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Dalam islam, pengharaman arak itu bukan sekadar kepada peminumnya sahaja, malahan ia terkait dengan beberapa pihak juga.

Sabda Nabi SAW;

لُعِنَتْ الْخَمْرُ عَلَى عَشْرَةِ أَوْجُهٍ بِعَيْنِهَا وَعَاصِرِهَا وَمُعْتَصِرِهَا وَبَائِعِهَا وَمُبْتَاعِهَا وَحَامِلِهَا وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ وَآكِلِ ثَمَنِهَا وَشَارِبِهَا وَسَاقِيهَا

Maksudnya;
“dilaknat arak itu pada sepuluh wajah, [1] ain arak, [2] pemerahnya, [3] meminta memerah, [4] penjualnya, [5] pembelinya, [6] pembawanya, [7] orang yang dibawa kepadanya, [8] pemakan harganya, [9] peminumnya, dan [10] pemberi minumnya”

[Ibnu majah : 3371]

Bagi mengelakkan hal ini, sudah pasti pihak kerajaan wajib melakukan beberapa tindakan yang berkesan, bagi menghadapi keadaan sebegini. Tindakan tersebut, hendaklah dipastikan tidak melahirkan kemudharatan yang lebih besar, dan tidak memungkin kekacauan yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam hal ini, berasaskan kepada teori Fath Az-Zaraie, bagi menyelesaikan perkara ini adalah seperti berikut;

SATU : PIHAK KERAJAAN.

Di kala orang islam tertentu masih lagi bekerja di permis itu, pihak kerajaan hendaklah melakukan perkara berikut;

[1] mencari pekerjaan atau menawarkan pekerjaan kepada pekerja terbabit, dengan menawarkan pendapatan yang dipersetujui pihak pekerja.
[2] pihak kerajaan sewajibnya melakukan kempen bahaya arak secara serius.
[3] bertindak semampu mungkin [dengan maksud tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar], menutup premis-premis arak yang melibatkan orang Islam, disamping tidak menafikan hak non Muslim dalam berkaitan dengan arak . [seperti : gubal undang-undang dll]

DUA : PIHAK INDIVIDU YANG BEKERJA

Dari pihak individu yang masih lagi bekerja dipermis arak itu pula adalah seperti berikut;

[1] individu itu hendaklah berusaha sedaya usaha mungkin bagi mendapat pekerjaan lain yang tidak melibatkan kepada arak.
[2] sementara bekerja di premis arak itu, hendaklah berusaha sedaya mungkin agar tidak terkena arak dalam pekerjaan, seperti contoh mengelak dari terlibat mengangkat arak, tetapi bersedia mengangkat air selain arak dan sebagainya.

PENUTUP

Jika pihak kerajaan hendak menghalang terus muslim yang bekerja di premis arak, ia memungkin berlaku masalah lain, iaitu seperti kebanjiran penganggur yang sudah pasti, pengangguran itu memungkin berlaku kemudharatan dalam negara dalam bentuk yang lain, seperti rompakan, mencuri dan sebagainya.

Adapun hendak membiarkan sahaja, maka tindakan itu sudah pasti mengundang kemurkaan dari Allah SWT. Jadi, dalam menyelesaikan perkara ini, dikemukakan teori fath Az-Zaraie, agar ia dapat diselesaikan dengan jaya dan jitu. Umpama kata pepatah, “tarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berselerakan”.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
15 Januari 2010 * 8:23 malam

NOTA :

1- Teori Fath Az-Zarai, terlalu kurang dibincangkan di malaysia. Malahan, ilmuan-ilmuan islam di Malaysia seakan-akan tidak ada seorang pun yang memperkatakan teori fiqh yang bernilai ini. Namun begitu, di dunia arab, ia hangat dibicarakan. Antara tokoh yang sudah berbicara teori ini adalah, Dr Ahmad Raisuni, Dr Jasir Audah dan sebagainya.

Pun begitu, sebenarnya, Teori fath Az-Zarai ini, jika dilihat dalam kitab-kitab maqasid, boleh dikatakan semua diperbincangan oleh ulama-ulama muktabar dalam bidang ilmu maqasid dan usul fiqh. Tetapi, perbincangan itu tidak dibincangkan atas nama “Fath Az-Zarai”, tetapi digunakan dengan istilah-istilah yang lain.

Contohnya, dalam kitab Qawaid Al-Ahkam, Imam Izzuddin Abdus Salam menamakan teori Fath Az-Zarai’ dengan nama “Al-Maqasid Al-Masalih Al-Majaziyyah”. Kerana, menurut beliau setiap maslahah dan mafsadah itu terbahagi kepada dua; hakiki dan majazi. [sila rujuk kitab Qawaid Al-Ahkam : 1/12]

2- jika diperhatikan kepada kerajaan Islam, adakah boleh terus mengharamkan arak terhadap non-Muslim (kepada Muslim adalah haram Qat’iyy) sedangkan arak merupakan kebudayaan agama mereka.

Jika arak itu merupakan budaya keagamaan mereka, maka dalam hal ini, tidak seharusnya kerajaan Islam melarang penjualan arak dalam negara Islam terhadap non-Muslim. Kebenaran menjual itu pula, hendaklah berlaku di kawasan-kawasan penempatan yang terdiri dari kalangan mereka yang tidak beragama Islam.

Hal ini disandarkan kepada pendapat Imam Al-Kasani dalam kitabnya Badai As-Sanai’ yang menyatakan:

فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ
الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ

Maksudnya:

“Dalam negeri atau tempat yang bukan tempat penempatan orang Islam, tidak ditegah mewujudkan gereja dan biya’ (gereja Yahudi), sepertimana tidak ditegah menjual arak dan babi”.

Adalah haram bagi kerajaan Islam membenarkan penjualan arak berlaku di kawasan-kawasan penempatan orang Islam. Jika ini berlaku juga, maka kerajaan Islam telah melakukan kesilapan dalam mengurus negara. Hal ini telah ditegaskan oleh Al-Qurafi.

keizinan ini sebenarnya diasaskan kepada kebebasan beragama yang diberikan oleh kerajaan Islam kepada non-Muslim, berasaskan kepada dalil-dalil berikut:

Firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya:

”Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam): sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Baqarah: 256).

Sehubungan itu juga, Saidina Umar Al-Khattab r.a. pernah menulis surat kepada Ahl Al-Quds yang isinya seperti berikut:

هذا ما أعطى عبدالله عمر أمير المؤمنين أهل أيلياء من الأمان :
أعطاهم أمانا لأنفسهم و أموالهم و كنائسهم

Maksudnya:

“Ini adalah pemberian Abdullah Umar Amir Al-Mu’minin kepada Ahl Iilya’ daripada keamanan, Dia memberi keamaman terhadap nyawa mereka, harta mereka dan gereja-gereja mereka”.

Dengan memahami ulasan-ulasan ini, kerajaan Islam tidak seharusnya melarang berlaku penjualan arak di antara non-Muslim. Bagaimanapun, pihak kerajaan Islam tidak dibenarkan memakan hasil dari penjualan arak yang berlaku sesama non-Muslim tersebut. Ini disandarkan kepada hadith Nabi S.A.W.:

لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ حُرِّمَتْ عَلَيْهِمْ الشُّحُومُ فَبَاعُوهَا وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا
وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ

Maksudnya:

“Allah telah melaknat Yahudi, kerana mereka mengharamkan lemak, lalu mereka menjualnya dan mereka makan hasilnya. Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu kaum dari memakan seseorang, maka Allah akan mengharamkan atas mereka hasil jualannya”.
Ekoran daripada itu, hasil jualan arak (sama ada berbentuk lesen premis atau sebagainya), maka hendaklah digunakan untuk kepentingan non-Muslim juga. Ini disandarkan kepada kaedah al-Qiyas al-Jali, iaitu jika kerajaan Islam boleh membenarkan orang non-Muslim minum arak, maka bersangat dibenarkan kepada non-Muslim makan hasil kerajaan yang bersumber dari bayaran permis arak.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak payah berteori dengan kaedah usul fiqh. Pas kena cakap terus terang nak Islam atau tidak?

Nampaknya Islam hanya sesuai di Kelantan, tak sesuai di Selangor.

Kalau kat UMNO senang nak tuduh macam-macam.

Minta fatwa tegas dari Tok Guru
hukum mengundi Ronnie Liu.

Tokngah

Tanpa Nama berkata...

1.Ish!ish!ish!awattt la ronne liew ni tak faham-faham lagi hukum -hakam islam ni!!
2.hari tu!!!nampak depa macam dah faham bab-bab islam ni!!sebab Pas dah berkawan dengan dap!!senang nak dakwahkan depa!!
3.hari tu!!ingat depa dah faham tentang islam!!depa dah pandai bagi salam!depa dah pandai petik ayat-ayat Al-Quran!!depa dah pandai masuk masjid!!kalpal singh pun dah tak tentang lagi sebuah negara islam!hukum islam!!
4.Ish!ish!ish!awatttt jadi lagu nii!!awat khlifah guan eng dan pengikut dia jadi lagu ni!!kena ajak BERDEBAT niiiiii!!!

Hakim Delarocha berkata...

Ana setuju sangat dengan cadangan ustaz. berikan mereka ni alternatif, kerja lain. tapi selalunya mereka yang kerja macam ni mmg pengguna dan peminum arak. ini adalah pilihan mereka sendiri. walaupun diberi sejuta option untuk kerja lain tetap akan dipilih menjadi bartender atau yang berkaitan dengan arak. ana ada kenal orang macam ni.

Tapi apa pun, ana setuju cadangan ni sebab walaupun tak berapa beri kesan mendalam terhadap pekerja yang minum arak tu sendiri, sekurangnya boleh mencegah atau mengurangkannya Insya-Allah.

Tanpa Nama berkata...

....apabila baca tulisan ni nampak kebijaksanaan dalam mengurus mengikut Islam....

....Jgn dibiarkan puak2 taliban nemerintah malaysia...

Tanpa Nama berkata...

Takut 5000 tak da kerja. mennganggur? wei ni selangor la, bukan kelantan. mana lak nak letak siffat al-Razzaq Allah swt?. 5ribu takde kerja tapi hasil nya berjuta umat islam semakin jauh dari arak. kaedah saddu zarai' lebih munasabah dalam hal ni. gua rasa kalau lu jadi ulama umno mesti u dah dapat tansri bro kaedah ni kita leh guna untuk genting, toto, hatta kalau nak halalkan pelacuran pun boleh.

Tanpa Nama berkata...

salam ,
tahniah kerana membuka bentang teori fath zarai' dan mengorek kandungan furuq qarafi , mungkin kita perlu meluaskan usaha2 spt yg enta buat ni , ulama2 msia biasala paling kuat mengulang-ulangi kalam qardhawi ....
takyah la kita sibuk dgn ronnie liu tu diakan kafir bagi kefahaman kat dia , dan takyah ugut2 pas - nak Islam @ tak? janganlah tiba2 berlagak jadi pejuang Islam sdg tak buat apa pun , skrg ni cari jalan bagi alternatif pekerja muslim 5 ribu pekerjaan halal , bukan senang tu dan itulah yang jihad sebenarnya

Tanpa Nama berkata...

Selepas ni kita tak payah lawan UMNO. Sebb semua yg UMNO buat adalah menggunakan kaedah Fath Zarai' dan Sunnah Tadarruj.

Nak kata UMNO tolak hudud, UMNO kata tak.. Dia guna kaedah Sunnah Tadarruj (Peringkat-peringkat) dan fath Zarai'. nanti kalau buat hudud kena potong tangan ramailah akan mennganggur sebb takleh kerja. Akan melahirkan pencuri.

Marilah kita pakat-pakat sokong UMNO sbb UMNO dah lama faham Fath Zarai dan Sunnah Tadarruj berbanding PAS dan Wan Ji. Hari ni baru Wanji bahas ttg Fath Zarai sedangkan UMNO bahas masa nak merdeka dulu lagi. Dgn Fath Zarailah negara kita merdeka daripada British.

Hidup UMNO.

Tanpa Nama berkata...

anon 01:36. Ko pengecut sama macam aku.

kalo nak betul debat,bagi la nama dan link sket. pastu,setakat cakap macam tu, adik aku darjah satu pun mampu