Khamis, 7 Januari 2010

DIA TAK SERUPA AKU, MAKA DIA KAFIR?

DIA TAK SERUPA AKU, MAKA DIA KAFIR?

Dalam setahun yang lepas, bising di Malaysia tentang kehadiran satu puak yang disebut sebagai Ahbasy. Puak Ahbasyh ini adalah satu puak yang merujuk kepada pengikut kepada seorang tuan guru dari negeri Habsyah; daripada satu kota yang bernama harar.

Tuan Guru itu bernama Abdullah bin Muhammad As-Syaibi Al-‘Anbari. Beliau mula mengembangkan fahaman beliau di Lubnan. Dan ramai pengikut ajaran ini, sehingga terdapat juga anak-anak muridnya di Malaysia.

Mereka mendakwa bahawa mereka berakidah dengan mengikut turuq Abu Hasan Al-‘Asyari, fiqh mereka merujuk kepada mazhab Syafie, dan amalan tarikat mereka merujuk kepada tarikat Ar-Rifaiyyah.

Berkenaan dengan pegangan akidah, fiqh dan tasawwuf mereka, tidaklah menjadi perdebatan. Tetapi, yang timbul masalahnya adalah, apabila mereka adalah golongan yang mudah mengkafirkan beberapa tokoh ulama, seperti mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Sayeed Qutub dan juga Muhammad bin Abdul wahab. (sila Klik)

Tidak ketinggalan yang dikafirkan beliau adalah Dr Yusuf Al-Qaradhawi, sehingga Dr Yusuf Al-Qaradhawi terpaksa menjawab tuduhan melampau beliau itu menerusi kitab “fatawa Muasarah
[1]

MELAMPUAI BATAS

Secara asasnya, pemikiran Ahbasyh ini adalah pemikiran yang meletakkan bahawa “mereka sahaja yang betul”, tanpa meraikan perbedaan pendapat yang dibenarkan dalam syarak. Pada mereka, golongan yang tidak sealiran dengan mereka sudah dikira sebagai kafir.

Pemikiran ala-Ahbasy ini, merupakan pemikiran yang diasaskan kepada sikap ”melampaui batas”. Walhal, dalam islam, sikap ”melampau batas” ini tidak diterima, malahan ditolak. Firman Allah;

وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
“Jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”

(Surah Al-Baqarah : 190)

Begitujuga hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ , هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ , هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya;
“binasalah golongan yang melampaui batas, binasalah golongan yang melampaui batas, binasalah golongan yang melampaui batas
[2]

Pemikiran sebegini tidak sepatutnya wujud dalam budaya rakyat Malaysia. tidak kira mereka itu adalah golongan bawahan, mahupun mereka bergelar ulama sekalipun. Ini kerana, pemikiran yang berasaskan kepada melampaui batas ini sebenarnya merujuk kepada kehendak hawa Nafsu, dendam dan emosi, bukan pemikiran yang berasaskan kepada hujjah dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Dalam Islam, kebenaran hanya merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah. Tanpa merujuk kepada dua sumber ini – sama ada berbentuk zahir nas, mahupun khafiy nas – semuanya merupakan hujjah yang wajar ditolak, bahkan tidak diterima langsung dalam Islam, lebih-lebih lagi berhukum itu berasaskan kepada hawa nafsu, dendam dan emosi.

KALIMAH ALLAH

Dalam isu kalimah Allah, tindakan mengkafirkan golongan yang mengizinkan penggunaannya adalah sangat tersasar dari manhaj ilmu, bahkan ia boleh dikira sebagai tindakan yang melampaui batas. Sesuatu hukuman kafir atau tidak yang hendak diberikan, hendaklah merujuk kepada nas al-Quran dan as-Sunnah.

Tidak dinafikan, istilah kufur ini kadang-kadang digunakan sebagai alat propaganda oleh sebilangan pihak – selalunya golongan agamawan - bagi mendesak manusia agar menerima pendapat satu golongan, disamping dapat menolak dari menerima pendapat yang tidak seliran dengan mereka. Kaedah inilah yang digunakan oleh Ahbasyh dalam menolak pendapat yang tidak sealiran dengan mereka, seperti mereka menolak pendapat Qaradhawi, ibnu taimiyyah, Ibnu Qayyim dan sebagainya.

Jika kita merujuk kepada fatwa-fatwa ulama semasa, kita dapati tidak ada sebarang larangan dari mereka dalam membenarkan non Muslim menggunakan kalimah “Allah”. Bahkan, Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Wahbah Az-Zuhaili sendiri membenarkan penggunaan kalimah “Allah” bagi kalangan yahudi dan nasrani dengan alasan “persaudaraan agama samawiyyat” (sila klik)

Apa yang perlu diingatkan, memberi izin kepada non Muslim menyebut kalimah "Allah", bukan bermaksud kita mengiktiraf maksud kalimah "Allah" dari sudut agama mereka. Ia sama seperti sebuah kerajaan islam memberikan hak kepada non Muslim mendirikan rumah ibadat mereka, ia bukan bermaksud mengiktiraf kebenaran agama mereka. Juga seperti kerajaan islam memberikan hak kepada non Muslim minum arak, bukan bermakna kerajaan islam tersebut mengiktiraf kehalalan arak.

Justeru, jika kita mengkafirkan golongan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non Muslim, apakah kita sedar, seakan-akan kita seperti telah mengkafirkan Qaradhawi, Wahbah Zuhaili, keputusan Lajnah Politik PAS Pusat dan sebagainya.

Cumanya yang timbul adalah, isu berkenaan relevan atau tidak diberikan keizinan tersebut di Malaysia. Itu sudah masuk dalam perbincangan “Siyasah Syariiyyah”. Apabila bicara tentang Siyasah Syariiyyah, sudah pasti ia akan melibatkan perbincangan tentang konsep keadilan. Sesuatu keizinan yang hendak diberikan itu, apakah boleh mendatangkan maslahah atau mudharat kepada lima perkara utama; Agama, nyawa, keturunan, akal dan harta-benda.

Justeru, hakikat perbedaan pendapat dalam menentukan keizinan kepada non Muslim dalam menggunakan kalimah “Allah”, bukanlah perkara yang boleh sebilangan pihak mengkafirkan satu golongan yang lain.

Perlu diingat, kalimah kufur ini tidak boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, melainkan perlu merujuk kepada neraca wahyu. sekiranya terbukti, seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara yang terbukti boleh membawa kepada kekufuran, barulah ia boleh diberikan.

Semata-mata gelaran ulama, ia bukan satu lesen besar untuk mengkafirkan mereka yang tidak sealiran, sepertimana yang dilakukan oleh puak-puak Ahbasyh. yang pastinya, gelaran kufur kepada mereka yang tidak sealiran, terlalu amat berat berbanding memberi gelaran selain kufur. Ini kerana, tindakan mengkufurkan bimbang terjadi seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW.

وَمَنْ قَذَفَ مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ


Maksudnya;
“Barangsiapa yang menuduh kepada orang mukmin dengan kufur, maka dia seperti membunuhnya
[3]

Juga hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya;
“Apabila seorang lelaki telah mengkafirkan saudaranya, maka akan kembali (kekufuran) itu kepada salah seorang daripada kedua-duanya
[4]

sila klik sama ini, ini dan ini.

Sekian

“Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 Januari 2010 * 7:51 malam





[1] Sila rujuk jilid 3, muka surat 685-710.
[2] Muslim : 4823.
[3] Al-Bukhari : 5587.
[4] Muslim : 91.

Rabu, 6 Januari 2010

ANJURAN QURAN KEPADA KITA TERHADAP AHLI KITAB


ANJURAN QURAN KEPADA KITA TERHADAP AHLI KITAB

Nasrani Najran datang beramai-ramai berjumpa dengan Nabi SAW. Mereka berhujjah dengan Nabi SAW tentang Allah mengikut kefahaman mereka, iaitu – pada mereka – Allah itu ketiga dari tiga (triniti) seperti yang difirmankan oleh Allah;

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah kafir mereka yang mengatakan bahawa Allah itu ketiga daripada tiga. (sebenarnya) tiada daripada tuhan itu, melainkan tuhan yang esa”

(Surah Al-Maidah : 73)

Nabi Muhammad SAW mengemukakan segala hujjah, tetapi mereka tetap tidak mahu mengalah, waima mereka sudah tidak mempunyai hujjah untuk menjawab segala hujjah-hujjah yang telah dikemukakan oleh Nabi SAW.

Ketika itu, Nabi SAW menyeru mereka agar bermubahalah, dengan turunnya firman Allah;

قُلْ ياأهل الكتاب تَعَالَوْاْ إلى كَلِمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maksudnya;
“Katakankah wahai Ahli Kitab, marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan antara kamu”

(Surah Al-Imran : 64)

Apa yang dapat dilihat, seruan nabi SAW itu tidak berani disambut oleh Nasrani Najran. Ini kerana, dalam mubahalah itu, Nabi SAW menyebut sepertimana yang Allah nyatakan dalam al-Quran.

Firman Allah;

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ إِلَّا مِنْ بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya;
”Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah membantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berpikir?”

(Surah Al-Imran : 65)

Apa yang pasti, Yahudi dan nasrani mempunyai satu pendapat melibatkan Nabi Ibrahim A.S. Dalam kitab mereka – sama ada taurat atau injil- ada menceritakan tentang nabi Ibrahim.

Kitab Taurat dan Injil diturunkan selepas kewafatan Nabi Ibrahim A.S. justeru, apabila Yahudi dan Nasrani mendakwa bahawa Ibrahim A.S mengikut taurat dan Injil. Ini membuktikan bahawa Yahudi dan nasrani telah melakukan penyelewengan terhadap dakwaan mereka. Ini kerana, bagaimana Ibrahim A.S boleh tercatit sebagai mengikut kitab Taurat dan Injil, walhal ketika turunnya kitab Taurat dan Injil, Ibrahim telah wafat.

Ini merupakan bukti terhadap penyelewengan Nasrani Najran dan yahudi ketika berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. mereka ”terkantoi” ketika berdebat dengan Nabi Muhammad SAW, apabila Allah menurunkan ayat ke-65 dari surah Al-Imran
[1].

PENGAJARAN

Dari kisah yang dikemukakan menerusi surah Al-Imran, ayat 64 dan 65 ini, menampakkan kepada kita cara dan kaedah yang terbaik dalam berhadapan dengan golongan agama lain dalam isu kalimah ”Allah”. Nasrani dengan fahaman mereka, tetapi dengan kehadiran nabi Muhammad SAW, kita dapat lihat betapa ”gentleman” Nabi ketika berhadapan dengan mereka dengan berhujjah dan berdebat.

Justeru, dari sudut sunnah para Nabi, termasuk Nabi Muhammad SAW, bahawa ketika berhadapan dengan non Muslim dalam isu kalimah Allah, bahawa baginda memilih cara berhujjah. Jika masih berkeras, ketika itu kaedah mubahalah adalah digalakkan.

Cumanya, dalam ayat ini, Allah SWT memberikan beberapa cara untuk bercakap dihadapan mereka, iaitu dinyatakan perkara yang mereka sepakati, iaitu tentang nabi Ibrahim A.S.

Yang pastinya, Yahudi dan Nasrani mengatakan bahawa Ibrahim adalah nabi mereka, malahan sehingga mereka sanggup menyatakan bahawa Nabi Ibrahim itu mengikut kitab Taurat dan Injil, walhal dakwaan mereka itu tidak tepat kerana taurat dan injil itu turun selepas kewafatan Nabi Ibrahim A.S.

Baca juga;
Seni debat dari al-Quran

Sekian

“Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 Januari 2010 * 2;08 petang



[1] Sila rujuk kitab At-Tafsir Al-Kabir : 4/246-248.

UMNO NAK PSYWAR PAS DALAM ISU KALIMAH ”ALLAH”


UMNO NAK PSYWAR PAS DALAM ISU KALIMAH ”ALLAH”

Isu kalimah Allah dimainkan oleh UMNO. Jika UMNO berjaya bermain dengan Isu ini, sudah pasti ia dapat memberi satu imej buruk terhadap PAS. Jika PAS menerima keizinan kalimah Allah untuk non Muslim pun jadi buruk, jika tidak menerima juga jadi buruk.

Ekoran itu, tidak hairan ada khabar-khabar angin bertiup kencang menyatakan bahawa, isu kalimah ”Allah” merupakan agenda task Post 2010 dalam usaha gabungan antara PAS-UMNO. Alasan mereka, apabila isu ini timbul, mengapa Nasharuddin mat isa terus bersuara yang dilihat sealiran dengan UMNO. Aku tidak percaya dengan khabar berita angin ini. Padaku, ia merupakan satu fitnah, yang terpulang siapa sahaja untuk menolak atau menerimanya.

Jika dibaca buku secara peperangan terdahulu, dalam kaedah berperang ada menyebut bahawa, apabila musuh bergedang, jangan sekali-kali kita menari dengan gendang mainan mereka, waima lagu mainan gendang mereka sama sedap, sama tone dengan alunan gendang mainan kita. Sebaliknya, jika mahu melawan musuh, kita turut sama bergendang, agar musuh akan menari dengan mainan gendang kita. Apabila musuh sudah menari dengan gendang kita, baru kita akan berjaya membentuk kedudukan musuh, dan seterusnya mudah untuk kita mengalahkan musuh.

Justeru dalam isu kalimah ”Allah”, kalau aku jadi Presiden, Timbalan presiden, atau salah seorang naib Presiden PAS, aku tidak akan keluarkan statement “minta melayu bersatu” dalam isu kalimah Allah, agar sama-sama mendesak mahkamah tarik balik keputusan yang dibuat, atau sebagainya.

Juga aku tidak akan sama-sama demonstrasi dengan UMNO untuk mendesak agar dibatalkan keputusan mahkamah tersebut. tetapi, yang aku akan lakukan adalah, menyeru semua rakyat Malaysia terlibat dalam demonstrasi mendesak agar jabatan agama Islam di seluruh Negara, termasuk JAKIM, IKIM, JAIS, JAWI dan banyak lagi, memperkukuhkan gerakan dakwah di Malaysia; bergerak serius dalam menerangkan maksud kalimah “Allah” dari sudut ajaran islam, seperti yang termaktub dalam surah Al-Ikhlas.6

Aku akan mendesak, agar kerajaan memperhebatkan gerakan dakwah kepada anak-anak muda Islam di seluruh negara. Bahkan, bersedia bekerja sama untuk memberi bantuan kepada jabatan agama diseluruh negara dengan menyediakan pendakwah-pendakwah untuk melaksanakan dakwah Islamiyyah ini ke seluruh Negara.

Sekian

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2010 * 11:16 malam

KENYATAAN ISNA DALAM ISU KALIMAH "ALLAH"


(Plainfield, IN – January 4, 2010) The Islamic Society of North America (ISNA) commends the landmark ruling by a Malaysian Court on December 31, 2009, that affirms the religious freedom of Malaysian Christians. The ruling asserts that Christians have the right to use the word “Allah” to translate “God” into Bahasa Melayu, the Malaysian language.

It strikes down a government ban that was placed in 2007 on the use of the term in Christian literature.The opponents of the use of the word Allah in reference to God have argued that the term “God” is usually translated by Malaysians who follow faiths other than Islam as “Tuhan” in Bahasa Melayu, not “Allah.” They insist that “Allah” should only be used to refer to God in Islam.

This argument is contrary to both Islamic understanding and practice.The Qur’an is quite explicit that Muslims worship the same God recognized by Christians. The Qur’an commands Muslims to declare that the God they worship and the one worshiped by the followers of revealed books, including Christians, is one: “… and say: We believe in that which has been revealed to us and revealed to you, and our God and your God is One, and to Him do we submit.” (Qur’an 29:46)

With regards to actual and historical practices, Christian Arabs have been using the word “Allah” to refer to God in their religious sources since the inception of Islam, and have never been challenged by private Muslims or Muslim governments on this ground. Islamic law is clear that followers of the Christian faith have the right to practice their religion according to their own religious teachings.

We call on the Malaysian government to uphold the religious freedom of Christians and to let the court ruling stand. We also urge Muslim NGOs to respect Islamic teachings and long-held Islamic traditions, and to withdraw their opposition to the use of the word “Allah” by their Christian compatriots


Islamic Society of North America
(ISNA)

mesin terjemahan (sila klik)

PAK BAKAQ, ANA TAK PERNAH BELAJAR SILAT! .. :)


PAK BAKAQ, ANA TAK PERNAH BELAJAQ SILAT! .. :)

Sedang berehat, melihat berita-berita internet menerusi HTC. Buka blog sendiri, ternampak satu artikle tulisan Pak Bakaq Haq (guru blogger kami) yang bertajuk, ”Aku nak berkelahi dengan wan ji pulak”.

Aku tersenyum membaca tajuk itu, dan terus membacanya. Penilaianku, pak Bakaq seorang yang suka merendah diri, ekoran itu beliau sering mengunakan istilah “aku orang jahil”. Dari beberapa sudut, aku amat respek dengan beliau berbanding orang-orang lain. Yang kadang-kadang, melebih dari respekku terhadap mereka yang bergelar “tuan Guru”.

Beliau sering menyebut, kita perlu pertahan kebenaran. Kalau yang buat zalim itu adalah pimpinan kita, kita kena lawan juga orang itu. walau ungkapan itu dari pak bakaq yang sering mendakwa, ”aku orang jahil”, tetapi ungkapan itu mempunyai kebenaran yang tidak boleh ditolak lagi.

Pun begitu, hari ini, Pak Bakaq ajak aku berkelahi. Aku faham bahasa Pak Bakaq, sepertimana aku memahami bahasa kawan-kawanku yang suka menggunakan bahasa kasar-kasar. Bahasa ajak berkelahi bermakna, pak bakaq memberikan pendapat terhadap artikleku tentang isu kalimah ”Allah”. Dan responku terhadap artikle itu adalah seperti berikut;

IKAN TERUBUK MASIN

Pak bakaq kata;

Macam sebilah pisau di tangan tauke kedai Cina dekat rumah kita. Ikut suka dialah kalau dia nak potong daging babi sekalipun dengan pisau tu. Yang kita bimbang ialah dia potong pula ikan terubuk masin yang dia nak jual kat kita selepas dia potong babi tu. Boleh jadi orang akan kata, itu sangkaan sahaja. Kita tak boleh hukum berdasarkan sangkaan. Memanglah, kita tak hukum. Kita berwaspada

Jawapan

Baru-baru ini, ada seorang kawan hantar sms kepadaku. Katanya, “Ustaz, apa hukum minum susu isteri kita?”

Membaca soalan itu, aku tergelak besar. Lalu, aku balas balik sms itu dengan kataku, “dalam dunia ni, banyak susu yang boleh minum. Kenapa anta nak minum susu isteri anta juga?” soalku.

Sengaja aku bertanya soalan itu, kerana mahu mengetahui jawapannya. Dan mungkin mantiq yang sama yang ingin aku gunakan apabila Pak bakaq sebut, pasal pisau pemotong babi yang digunakan untuk potong ikan terubuk masin.

Apakah dah tak ada kedai lain kita nak beli ikan terubuk masin? Mestikah beli ikan terubuk masin kat kedai yang kita tahu tokey dia jual babi?

Susah juga, sebab yang suka makan ikan terubuk masin ini, bukan kita sahaja. Orang islam yang lain pun, suka makan juga. Kalau kita yang jenis menjaga, mungkin kita tak beli kat kedai cina yang guna pisau potong babi. Tapi, tentang orang Islam lain pun, kita kena berhati-hati juga.

Mungkin itu yang akan kita fikirkan.

Padaku, semua ini boleh terjaga, kalau kita tetapkan undang-undang atau syarat-syarat yang ketat kepada penjual babi, agar tidak menggunakan pisau memotong babi ketika nak potong ikan terubuk masin. Sampai satu tahap, melayakkan mereka di saman.

Jika ini berjaya dilakukan, mungkin hak cina yang potong babi itu hendak menjual ikan terubuk masin tidak dinafikan, disamping kita orang Islam pun boleh beli ikan terubuk masin dari kedai cita tersebut.

Sama juga dalam isu menggunakan kalimah “Allah” bagi non Muslim. Adalah satu sikap yang silap, jika kita tidak bimbang dan waspada terhadap penggunaan kalimah “Allah” oleh non Muslim.

Sebab itu, dalam article yang lalu, aku menekankan agar keizinan ini diberikan dalam keadaan dikenakan syarat-syarat yang terlalu ketat. Seperti, membenarkan penggunaan kalimah Allah ini, pada tulisan didalam kitab-kitab mereka sahaja, tanpa membenarkan pada dinding rumah ibadat mereka, atau sebagainya.

Memang hak itu perlu diberi. Tapi, hak yang dimaksudkan adalah hak yang smemeangnya wujud dalam agama mereka. Bukannya hak yang direka cipta.

Aku masih ingat, semasa PAS mula-mula mengambil kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak terus menghalang penjualan arak dan menutup kedai-kedai judi, hasil peninggalan parti jahiliyyah, UMNO. tetapi, tindakan awal Tuan Guru adalah, mengadakan dialog dengan agamawan-agamawan dari agama lain, berbincang tentang isu arak dan judi.

Dalam dialog tersebut, didapati arak dibenarkan dalam agama mereka. tetapi, judi sememangnya terlarang sama sekali. Ekoran itu, di Kelantan kedai-kedai non Muslim dibenarkan menjual arak, tetapi dengan syarat bahawa penjualan itu dilakukan secara tertutup. Tetapi, diharamkan secara mutlak kedai judi di kelantan.

Inilah yang aku maksudkan dengan hak non Muslim yang perlu dibenarkan. Terutama dalam isu yang sedang diperkatakan sekarang, iaitu melibatkan kalimah ”Allah”.

HAK MENGIZINKAN

Kedua;

Pak Bakaq berkata;

Memang kita tak ada hak untuk larang dan halang mereka menggunakan kalimah Allah. Allah pun tak larang, macam mana pulak kita gatai-gatai nak larang (saya juga tertanya-tanya, jika kita tak ada hak melarang, adakah kita mempunyai hak untuk mengizinkan?)

Tetapi, sama seperti kita tidak ada hak untuk melarang mereka menggunakan kalimah Allah, puak-puak Herald-The Catholic Weekly dan para penyokongnya juga tidak ada hak untuk melarang dan menghentam hak demokratik saya dan orang lain untuk merasa bimbang dan waspada.

Jawapan

Hak diulas dan dikupas dari kacamata Islam, yang ia tidak ada beda dengan hak dari kacamata demokrasi. Semua orang yang ada hak, wajib diberikan ruang dia bersuara. Itulah pesanan Nabi SAW. Begitujuga, pesanan pemikiran aliran demokrasi.

Izin pula berlaku, apabila ada permintaan. Macam mana kita nak izin orang masuk dalam rumah kita, tanpa ada orang minta izin nak masuk dalam rumah kita.

Bagaimana seorang perempuan itu mengizinkan hatinya menerima cinta seorang lelaki, jika seorang lelaki pun tidak mengorat dia. Jika seorang perempuan berkata kepada seorang lelaki, “saya mengizinkan perasaan ini menerima cinta awak”, sudah pasti perempuan itu digelar “gadis pelik” tahap gaban. Lelaki itu pula, pasti akan merasa pelik dengan kehadiran perempuan tersebut.

Serupa juga dalam isu kalimah “Allah”. Jika non Muslim meminta hendak menggunakan kalimah “Allah” yang merupakan hak mereka didalam beragama, maka kita wajib memberikan hak mereka. Jika mereka tidak minta, buat apa kita gatai-gatai nak bagi. Lebih baik duduk diam.

Hak izin ini tertakluk dengan wahyu. Kita boleh izin, jika wahyu kata ia boleh. Tetapi, jika wahyu kata tidak boleh izin, maka haram kita bagi izin. Jika wahyu kata izin, tiba-tiba kita tak mahu bagi izin. Bukankah itu sudah menyanggahi wahyu? Kalau menyanggahi wahyu, apa beda kita yang beragama Islam dengan puak-puak ahli kitab yang dikira syirik oleh Allah SWT?

KEBIMBANGANKU

Padaku, hak non Muslim ini perlu diberikan. Pun begitu, pemberian itu hendaklah berasaskan kepada syarat-syarat yang ketat, agar kemudharatan kepada umat Islam dan kepada non Muslim itu tidak terjadi.

Mengambil sikap tidak memberi secara mutlak, membimbangkan PAS dilebel sebagai sebuah parti yang beraliran Taliban, mahupun iran. Persepsi ini perlu berhati-hati, kerana keadaan Malaysia jika mahu dibandingkan dengan Taliban dan Iran amat jauh sekali.

Jika kita merenung jauh ke negara Afghanistan yang pernah diperintah oleh Taliban. Waima rakyatnya terdiri dari 90% ke atas beragama Islam, tetapi dengan beberapa tindakan Taliban, mereka jatuh tersembam ke bumi, menerima kekalahan. Sedihnya, sehingga kini tidak bangkit-bangkit dari kekalahan itu.

Begitujuga, kita tidak boleh bandingkan Malaysia dengan negara Iran, kerana majoriti rakyatnya beragama Islam (walau beraliran Syiah). Justeru, tindakan dengan meniru cara negara Iran dan Taliban adalah silap.

Aku tidak mengatakan kita meniru taliban dan iran, tetapi beberapa tindakan kita, seperti menghalang dari menggunakan kalimah ”Allah” secara mutlak, memungkinkan lebel ini akan tertempel kepada PAS, seterusnya memburukan lagi penerimaan rakyat terhadap PAS, malahan terhadap Islam itu sendiri.

Justeru, PAS perlu mempunyai ijtihad yang bersifat ”open minded”, bukan bersifat Konservatif, terutama dikala membawa Malaysia dalam era politik baru.

Sebelum penutup, aku ingin menyeru semua pembaca bertadabbur dengan ayat ini;

وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya;
“Sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan”

(Surah Al-Anfal : 45)


Sekian

”Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ’alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2010 * 10:30 malam





Selasa, 5 Januari 2010

MENGAPA TUTUP AURAT?

MENGAPA TUTUP AURAT?

Aku terlalu yakin bahawa Islam agama yang mampu memberikan keadilan. Quran dan sunnah, merupakan panduan untuk mencapai keadilan yang cukup mengkagumkan. Keyakinanku itu tidak pernah bergoyang sejak sekian lama.

Ada pihak yang mendakwa bahawa Islam adalah agama yang zalim. “perempuan tutup aurat, sebenarnya telah melakukan kezaliman” dakwa seseorang. “apabila dia tutup aurat, bermakna dia telah merelakan dirinya kepanasan. Ini merupakan kezaliman pada dirinya sendiri” sambungnya lagi.

Jika didengar sekali pendapat ini, mungkin kita akan terpedaya. Hakikatnya, keadilan umum itu perlu didahulukan. Ini kerana, apabila perempuan tutup aurat, ia telah menyelamatkan kebuasan hawa nafsu syahwat lelaki. Apabila syahwat lelaki sudah terjaga, ketika itu gejala rogol, zina dan sebagainya berjaya dibendung.

Apabila gejala ini sudah terjaga, ia sebenarnya telah memberi keuntungan kepada perempuan yang menutup aurat itu sendiri. Apabila tersebar rogol dan zina, sudah pasti mangsanya adalah perempuan juga. Jika zina itu berlaku sehingga melahirkan anak, sudah pasti kesengsaraan hidup akan dilalui oleh perempuan.

Dari sini, kita akan nampak betapa Islam benar-benar ”berfikiran jauh” dalam usaha menjaga manusia, agar tidak ditimpa sebarang mudharat dalam kehidupan mereka.

Inilah keadilan Islam. Menjaga hak masyarakat umum itu lebih penting berbanding hak golongan khusus. Jika pendekatan ini berjaya diterangkan, tidak mustahil, keadilan islam ini pasti akan diterima oleh semua masyarakat, tidak kira mereka yang beragama Islam, mahupun yang tidak beragama Islam.

Yakinlah dengan Islam. kerana ia mampu memberi keadilan di dunia kepada semua alam, sama ada ia adalah binatang, tumbuh-tumbuhan, manusia yang beriman, juga manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT.

Sekian

”Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2010 * 2:32 petang

HARAM SYIRIKKAN ALLAH, HARAM NAFIKAN HAK


HARAM SYIRIKKAN ALLAH, HARAM NAFIKAN HAK

Allah cukup benci kepada mereka yang syirik kepada-Nya. Kebencian syirik itu, sehingga menyebabkan langit pecah, bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh.

Firmah Allah;

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا* لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا * تَكَادُ السَّمَوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا * أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا

Maksudnya;
"Dan mereka berkata: "Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak." * Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar * hampir-hampir langit pecah karena ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh * karena mereka menda'wakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak."

(Surah Maryam : 88-91)

Syirik perlu ditentang. Tetapi, apakah cara menentang itu dengan menyerang terus terhadap mereka yang syirik. Dengan isytihar perang, menafikan hak agama mereka?

Perlu dijelas, orang menjadi syirik ini mempunyai sebab yang banyak. Antara factor yang paling penting adalah, mereka tidak memahami Allah SWT dalam bentuk yang sebenar kerana kejahilan. Orang jadi jahil ini, mempunyai sebab. Antaranya adalah, kerana pendakwah tidak agresif dalam dakwah. Pendakwah sekadar berdakwah di masjid dan surau. Berdakwah dalam usrah, tanpa luar dari kerangka itu.

Apabiala pendakwah berada di surau dan masjid sahaja, walhal orang-orang yang syirik tidak berada di surau dan masjid. Justeru, sampai bila-bila pun, pemahaman terhadap aqidah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Makanya, apakah ketika itu kita perlu menyalahkan kepada orang kafir sahaja, tanpa kita menyalahkan diri kita.

Justeru, tugas pendakwah adalah menerangkan maksud Allah dalam maksud yang sebenar. Iaitu, sepertimana yang Allah sebut dalam surah Al-Ikhlas.

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ * اللَّهُ الصَّمَد * لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ * وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya;
"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa * Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu * Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan * dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"

(Surah Al-Ikhlas : 1-4)

Jika kita merujuk kepada kitab Asbab An-nuzul karangan imam As-Sayuti, dinyatakan bahawa penurunan ayat ini berkenaan dengan kaum Yahudi datang berjumpa dengan Nabi saw. Antara yang hadir adalah Ka'ab bin Asyraf dan Huyay bin Al-Akhtab. Mereka berkata: "Hai Muhammad, berikan gambaran sifat-sifat Tuhan yang mengutusmu.
[1]"

Dalam riwayat yang lain pula menyatakan, ayat ini diturunkan berkenaan dengan beberapa pihak Nasrani daripada najran yang datang berjumpa dengan nabi SAW. Kata mereka;

: صف لنا ربك أمن زبرجد أو ياقوت ، أو ذهب ، أو فضة؟

Maksudnya;
"Sifatkan kepada kami tentang tuhan kamu. Apakah ia daripada Aquamarine, Yaqut, emas atau perak?"

Dengan soalan itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan surah Al-ikhlas ini
[2].

Jika difahami dari ini, Allah yang dimaksudkan oleh orang yahudi dan nasrani, bukan Allah yang difahami oleh orang islam. Pada mereka, kalimah Allah itu merujuk kepada tuhan yang mempunyai anak, yang sama sekali tidak sama dengan Allah yang diesakan oleh umat islam. Ia kalimah yang sama, tetapi ia merupakan dua zat yang berbeda.

Semua kefahaman sebegini berpunca daripada penyelewengan ahli-ahli kitab terdahulu. Iaitu, seperti yang difirmankan oleh Allah;

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maksudnya;
"Celakalah mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka dakwa, "ini datang dari sisi Allah"

(Surah Al-baqarah : 79)

HAK NON MUSLIM

Jika itu kefahaman agama yahudi dan nasrani, apakah mereka yang menggunakan kalimah Allah itu merupakan satu perkara yang salah?

Jika sesuatu itu menjadi hak kepada agama mereka, adalah salah jika kita menafikan hak. Penafian hak merupakan kezaliman yang ditentang oleh nabi SAW. Perkara ini jelas dari hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
"Sesungguhnya Allah memberi hak kepada semua orang yang berhak
[3]"

Sebuah negara yang Islam terlaksana, dilarang sama sekali menafikan hak non Muslim. Perkara ini jelas menerusi firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
"Allah tidak pernah halang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka (non Muslim) yang tidak pernah menyerang kamu pada agama, dan mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melaksanakan keadilan"

(surah Al-Mumtahanah : 8)

Ayat ini amat jelas betapa hak non Muslim itu perlu diberikan. Ia merupakan salah satu konsep keadilan yang diajar dalam islam. Ekoran itu, tidak hairan Doktor Yusuf Al-Qaradhawi menfatwakan keizinan bagi orang islam mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan non muslim, tetapi dengan syarat tanpa mengiktiraf agama mereka.

Keadaannya amat sama dengan keizinan kepada non Muslim menggunakan kalimah "Allah". Keizinan itu diberikan atas asas memberikan hak kepada mereka, disamping tidak pernah mengiktiraf maksud "Allah" dari sudut agama mereka.

Jika difahami bentuk ini, barulah kita memahami maksud firman Allah SWT;

لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ اللَّهِ آَلِهَةً أُخْرَى قُلْ لَا أَشْهَدُ قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنَّنِي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ

Maksudnya;
"Apakah sesungguhnya kamu mengakui bahwa ada tuhan-tuhan lain di samping Allah?" Katakanlah: "Aku tidak mengakui." Katakanlah: "Sesungguhnya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan (dengan Allah)."

(Surah Al-An'am : 19)

Memberi izin kepada non Muslim menyebut kalimah "Allah", bukan bermaksud kita mengiktiraf maksud kalimah "Allah" dari sudut agama mereka. Ia sama seperti sebuah kerajaan islam memberikan hak kepada non Muslim mendirikan rumah ibadat mereka, ia bukan bermaksud mengiktiraf kebenaran agama mereka. Juga seperti kerajaan islam memberikan hak kepada non Muslim minum arak, bukan bermakna kerajaan islam tersebut mengiktiraf kehalalan arak.

Justeru, adalah terlalu dangkal, apabila kalimah "برئ" diterjemah sebagai "tidak menyokong" keizinan kepada non muslim menyebut kalimah "Allah". Kerana, tindakan tidak memberi keizinan itu telah menafikan hak non Muslim dalam sesebuah negara. Sedangkan, keadilan islam merata kepada seluruh alam, termasuk mereka yang tidak beragama Islam.

NON MUSLIM FAHAM "ALLAH"?

Apakah semua manusia yang menyebut "Allah" itu memahami maksud sebenar Allah yang maha esa? Apakah kefahaman Non Muslim tentang "Allah", sama seperti orang islam faham "Allah".

Yang nyatanya, Allah SWT sendiri mengakui bahawa kefahaman Non Muslim terhadap "Allah" tidak sama seperti kefahaman Muslim terhadap "Allah".

Firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
"berkata yahudi, uzair adalah anak Allah. Dan berkata nasrani, Isa adalah anak Allah"

(Surah At-taubah : 30)

Dalam aqidah yahudi dan nasrani, "Allah" menurut kefahaman mereka adalah tuhan yang mempunyai anak, walhal aqidah umat islam, Allah adalah tuhan yang esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Itulah perbedaan i'tiqad yahudi, nasrani dengan pemahaman islam dalam memahami maksud kalimah "Allah". Justeru, datangnya Nabi Saw, membetulkan kefahaman ini, tanpa melarang dari mereka menyebut kalimah "Allah". Cara Nabi SAW berhadapan dengan mereka, tidak sekadar memberi keterangan, bahkan sehingga sampai satu tahap berdebat, seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran;

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya;
“Dan janganlah kamu berdebat denganAhli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik”

(Surah Al-‘Ankabut : 46)

Juga mengambil sikap bermubahalah dengan mereka, iaitu seperti firman Allah;

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ * يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ إِلَّا مِنْ بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ


Maksudnya;
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah) * Hai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah membantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berpikir? "

(Surah Al-Imran : 64-65)

Dari dua ayat ini, kita akan dapat tahu kaedah mubahalah juga diguna pakai oleh Nabi SAW dalam berhadapan dengan ahli kitab dalam mengatakan keesaan Allah SWT. Sehingga sampai satu tahap, apabila ahli kitab tetap berkeras dengan pendirian mereka, Allah tidak pernah menyuruh kita melarang mereka daripada menyebut kalimah “Allah”, tetapi yang disuruh oleh Allah, bahawa kita perlu berkata;

فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maksudnya;
“Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”

Justeru, tidak terdapat satu pun larangan dari Allah daripada orang bukan Islam daripada menyebut kalimah “Allah” mengikut kefahaman dan kepercayaan mereka. Jika wujud juga larangan, apakah nas hadis yang didesak oleh nabi SAW terhadap non Muslim di zaman baginda, agar mereka tidak dibenarkan daripada menyebut kalimah "Allah"?

Sekian

“Allah For All * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Wallah ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2010 * 4:29 pagi


[1] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Ibnu Abbas
[2] At-tafsir Al-Kabir : 17/293.
[3] Al-Mukjam Al-Kabir : 11367.