Sabtu, 18 September 2010

'UMNO PEROMPAK' MASUK DALAM AL-JAZEERA



kuli berpendapat, kerajaan pusat pimpinan UMNO/BN tidak memberi royalti minyak kepada kelantan adalah penafian hak rakyat, dan pencabulan terhadap demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Kata Tengku Razaligh:

"Isu utama bukanlah mengenai pembayaran royalti minyak. Tetapi persoalan mengenai hak rakyat dan demokrasi parlimen"

Awang Adek pula berpendapat, Kerajaan negeri tidak layak menyalurkan wang kepada rakyat, sebaliknya kerajaan pusat sahaja yang layak. Dan pemberian itu bukan atas kelayakkan Kerajaan negeri menerima hak royalti [waima minyak terbukti berjumpa di perairan Negeri kelantan dan termaktub perjanjian antara Kerajaan Negeri kelantan dan Petronas], tetapi sebagai 'derma' atau diistilahkan sebagai wang ehsan kerajaan pusat kepada rakyat kelantan. Ia memperlihatkan bahawa tanggapan UMNO/BN bahawa seakan-akan rakyat Kelantan ini adalah 'peminta sedekah'

Kata Dato' Awang Adek;

"tiada unsur atau pertimbangan politik. tetapi kita mahu memastikan wang ini sampai terus kepada rakyat yang miskin yang boleh digunakan untuk faedah mereka sendiri daripada membelanjakan kepada sesuatu yang tidak memberi faedah terus kepada mereka"

kerajaan pusat pimpinan UMNO/BN KONONNYA bimbang dengan penyaluran wang ehsan dilakukan oleh kerajaan Negeri kepada rakyat, kerana bimbang kerajaan negeri menggunakan Wang itu kepada tempat yang tidak sepatutnya, walhal Terengganu pimpinan UMNO telah terbukti membina sebuah masjid kristal yang dibina dengan memakan begitu banyak wang ehsan rakyat terengganu, tetapi masjid itu tidak digunakan oleh rakyat tempatan, tetapi digunakan oleh rakyat luaran terengganu [pusat pelancongan].

ini menandakan, alasan yang dikemukakan oleh Awang Adek itu sekadar alasan atau lebih tepat diistilahkan sebagai 'putar belit' sahaja. hakikat sebenar, UMNO telah terbukti tidak mempunyai krediblity dalam pemerintahan, terutama dalam isu royalti minyak kelantan ini.

Ustaz Husam Musa berkata;

"kita perlu mengikut prosidur yang betul iaitu tujuan lama perjanjian mestilah berdasarkan kepada undang-undang, petronas dan kerajaan pusat perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan pentadbiran yang baik"

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
19 September 2010 * 1:38 petang




TAK ADA PENGARUH, TAPI ADA 'OTAK'

Satu petang, berbual-bual dengan seorang kawan yang bekerja sebagai pemandu lori. Tugasnya menghantar besi-besi yang beratnya bertan-tan.

Dia bercerita, bahawa satu hari, dia telah menghantar besi yang besar dan berat ke satu tempat. Sesampai pad destinasi yang dimaksudkan, didapati tidak ada siapa pun yang dapat membantunya menurunkan besi-besi yang besar itu. Ketika itu pula, dia sendirian yang tidak termampu seorang diri mengangkat besi yang besar dan berat itu.

"Besi yang berat itu, terpaksa diturunkan juga" Ujarnya dalam perbualan kami

"pastu, abang buat macam mana?" soalku.

"nak turunkan besi yang berat dari lori ni ada dua kaedah. Dengan tenaga atau dengan otak" dia berceloteh

Menarik juga ungkapannya itu. Aku mengambil perhatian terhadap apa yang hendak dinyatakan.

"Kalau dengan tenaga tu, tau la. dengan otak tu macam mana?" Soalku

"Kita buka pagar lori dulu. lepas tu kita gostankan lori laju-laju, lepas tu brek terkejut. Mesti besi semua tu jatuh" Dia berhujjah. logik dan menarik cara yang disebutkan itu.

"memang boleh jatuhlah besi tu, tapi terukkan lori tu" Aku menyampuk.

sambil tersenyum dia menjawab, "nak buat macam mana. Kalau tidak, besi tak leh diturunkan la"

Aku tersenyum mendengar dia cakap sebegitu. mengingatkan aku kepada orang yang tidak ada pengaruh di kalangan rakyat, tetapi mempunyai minda dan bersedia bertanding untuk mengetuai sesuatu parti politik.

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
19 September 2010 * 12:30 pagi

Jumaat, 17 September 2010

'POLITIK PENCAK' ANAK MUDA?


[1]

Menarik melihat perkembangan politik PKR kebelakangan ini. Dilihat anak muda [AMK] lebih kehadapan berbanding orang tua dalam politik yang aku istilahkan sebagai ‘politik menggunakan otak’. Anak muda sanggup berhadapan di meja dan pentas debat, dalam mempamerkan fikrah dan agenda politik yang mahu dibawa, sedangkan orang tua sedang sibuk mengumpul pengaruh dengan tindakan-tindakan yang terkhilaf dikalangan pandangan umum sebagai etika atau tidak.

Menurut maklumat yang diberi, idea cadangan debat antara calon AMK ini cetusan Hasmi Hashim, seorang budayawan yang berumur 34 tahun. Beliau seorang yang mempunyai kemampuan dalam bidang seni lukisan, dan antara terawal dalaman PKR yang mencetuskan perdebatan tentang ‘pencerahan’ yang dikemukakan secara pengistilahan oleh Ammanual Kant, yang sebenarnya disuburkan oleh Ibnu Rushd, kemudian di masyhurkan di Malaysia oleh Pak Khalid dari IKD [Institut Kajian Dasar].

Khabar angin juga memaklumkan, pada awal cadangan ini, pandangan beliau dikesampingkan, tetapi dilihat relevan pada saat pertembungan tiga calon, dan saudara Hasmi adalah antaranya. Apakah faktor empat calon yang dipertandingkan, atau faktor AMK pimpinan Samsul iskandar tidak mempunyai minda dalam politik adalah penyebab kepada cadangan ini dilihat relevan? itu tidak diketahui. Walaubagaimana pun, perkembangan politik anak muda PKR [AMK] ini amat menarik diperhatikan. Ini kerana, dilihat anak muda lebih matang berdemokrasi berbanding orang tua dalam PKR dalam berpolitik.

[2]

Sukar untuk menilai masa depan politik Malaysia. Yang pasti, kekuatan dalam usaha melemahkan UMNO/BN terbukti dengan penyatuan antara PAS, PKR dan DAP atas badan bernama Pakatan Rakyat. Penyatuan seperti ini pernah berlaku, iaitu di era pemecatan Jawatan Timbalan perdana Menteri malaysia, Anwar Ibrahim. Namun, umurnya tidak panjang, kerana perpecahan berlaku setelah kemangkatan Allahyarham Ustaz Fadzil noor, menyebabkan DAP keluar dari gabungan Barisan Alternatif ketika itu.

Perpecahan itu membawa kepada kekalahan teruk bagi PAS, sehingga Terengganu terlepas tangan, dan kelantan pimpinan PAS hampir terlungkup menyembah bumi. Namun, ia berjaya disatukan balik setelah Anwar Ibrahim mula aktif dalam politik setelah terlepas dari tahanan besi Sungai Buloh.

Perang politik berjaya melemahkan UMNO/BN dalam PRU ke 12. 8 mac 2008 merupakan sejarah gerhana bagi UMNO/BN, dan sejarah suluhan bagi PAS, PKR dan DAP. Ia menggamitkan ketiga-tiga parti itu berjaya disatukan atas nama Pakatan Rakyat [PR]. Anwar Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang berjaya menyatukan ketiga-tiga parti yang berbeda idealogi perjuangan. Sebarang perbalahan yang dicetuskan dari pihak PAS, atau dari pihak DAP ataupun mainan propaganda musuh, berjaya disejukkan sebelah menyebelah oleh Anwar Ibrahim.

Keberadaan tokoh politik sebegini, mengimbau kepada perjuangan politik Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Allahyarham ustaz Fadzil Noor. Namun, pentas dan watak yang berbeda, menyebabkan skrip yang sama sukar difahami tafsirannya.

Watak iras Dr Burhanuddin Al-helmi dan ustaz Fadzil Noor ini, ternyata menggerunkan UMNO/BN. Ia menyebabkan, usaha mematikan watak ini dilakukan serangan dari semua sudut secara serius sekali. Ia tidak ada lain, kecuali UMNO/BN bertujuan untuk menghapuskan kesepakatan antara PAS, PKR dan DAP dalam usaha hendak mempertahankan kuasa yang sudah menjadi sumber nasi haram mereka sejak sekian lama.

[3]

Tidak dapat dipastikan masa depan Anwar Ibrahim itu; apakah beliau akan selamat dari tuduhan liwat yang sering diratib oleh media-media propaganda UMNO/BN itu, atau sebaliknya. Jika beliau selamat, ia merupakan pengharapan besar bagi PR untuk melakukan serangan hebat terhadap UMNO/BN, tetapi jika dia tidak selamat, ia merupakan satu gerhana besar bagi PR dalam usaha menyerang BN dari kekal bertapak menguasai Bani Tamim [dalam bahasa arab, bani tamim bermakna Putrajaya].

Menurut pendapat sebilangan ahli politik. Jika Anwar Ibrahim diputuskan bersalah pada tuduhan liwat ini, beliau mempunyai dua pilihan sahaja, iaitu; ke sangkar besi, ataupun terbang mencari kebebasan di negara-negara luar. Apabila keadaan ini berlaku, ia merupakan satu malapetaka besar bagi PR. Kecuali, jika Anwar akan bertindak sepertimana Ayatullah Al-Khomaini yang mampu bertindak dari negara barat dalam usaha menjatuhkan pemerintahan kukubesi Shah Iran, sehingga berlaku ‘saurah iraniyyah’ atau dimasyhurkan dengan nama ‘revolusi iran’. Persoalannya, apakah susuk tubuh bernama Anwar Ibrahim mampu? Justeru, keadaan ini menggamit satu kebimbangan bagi PR.

Jadi, penyelesaian dalam hal ini adalah budaya politik baru. Politik baru yang dimaksudkan adalah politik yang tidak lagi bergantung kepada tokoh, sebaliknya kesedaran politik dalam diri rakyat itu sendiri menjadi ‘tokoh’ yang mampu menggerakkan perubahan. Budaya politik yang perlu dibina, bukan kerana faktor Anwar Ibrahim, bukan kerana Tok Guru Nik Abdul Aziz, bukan kerana Lim Guan Eng dan sebagainya. Budaya politik yang dibangunkan berasaskan kesedaran dan kehendak rakyat sendiri yang mahu berubah. Berubah dari berada di bawah penjajah bernama UMNO/BN kepada kemerdekaan jiwa.

[4]

Kebimbangan ini sering menerobos ke dalam hatiku, apabila mengenangkan di awal kejayaan PR menguasai bani tamim. Di perak telah membuktikan bahawa PR yang menguasai SUK dihalau sadis oleh UMNO/BN. Jika di sebuah negeri kecil bernama perak pun, UMNO/BN bertindak ganas menghalau PR dari kekal di takhta amanah rakyat, inikan pula jika PR menguasai pusat pentadbiran yang bernama Putrajaya.

Jika inilah keadaannya, dalam era perjalanan menguasai Putrajaya, anak-anak muda dalam politik hendaklah anak muda yang berjiwa menyerang dan berani ‘berpencak’, disamping mempunyai daya intelek melebihi dunia era 3G, malahan 10G. kedua-dua unsur ini [berani berpencak dan mempunyai daya intelek] adalah penting, kerana ia adalah sumber kepercayaan rakyat, disamping mampu melawan kemaraan UMNO/BN yang bakal bertindak ganas.

Anak-anak muda ini tidak akan mampu digerakkan oleh amir-amir yang hanya pandai menulis teks ucapan, hanya pandai berceramah, hanya pandai mengemukakan teori itu dan ini, malahan amat jauh anak-anak muda boleh digerakkan oleh amir-amir yang dalam pemikirannya hanya berfikir untuk memegang jawatan Ahli majlis, jawatan penasihat atau lembaga pengarah GLC dan sebagainya. Lebih parah lagi, apabila amir yang mahu memimpin itu masih lagi bergantung dibawah bulu ketiak pemimpin politik yang sudah mempunyai nama dan pengaruh. Sebaliknya, anak-anak muda ini akan mampu digerakkan oleh Khalifah yang mempunyai idealisma perjuangan yang jelas, dan berani menyerang dalam mempertahankan runtuhan rumah-rumah rakyat yang dizalimi.

apakah ini akan berjaya???

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
18 september 2010 * 3:02 pagi

Rabu, 15 September 2010

KETUA PKR SUBANG YANG DILUPAI

Sejarah 8 mac 2008 memang menggamit banyak kenangan pahit manis dalam politik dan perjuangan. Sebelum 8 mac, perkembangan politik Malaysia tidaklah sehebat seperti hari ini. Selepas dari itu, yang ikhlas dilupakan, yang tamak mula kelihatan taringnya.

Di parlimen Subang, PKR adalah antara parti yang boleh dikatakan hidup segan, mati tak mahu. Semua tidak sanggup memegang sebarang jawatan parti, bermula dari sekecil-kecil jawatan, sehingga sebesar-besar jawatan. seorang insan yang bernama Abang Amir yang bekerja sebagai security guard bersama keluarga, berusaha sedaya upayanya untuk memastikan PKR wujud di Subang ketika itu.

penghormatannya terhadap hubungan barisan Alternatif, antara PAS dan PKR di Subang amat dijaga beliau. Sehinggakan, pilihanraya di pangkalan pasir, Pasir Mas Kelantan, seorang pun ahli PKR di parlimen Subang ketika itu tidak sanggup menghabiskan sedikit wang ringgit untuk membantu calon PAS yang bertanding di sana, memaksa beliau bermusafir sendirian dari Sungai Buloh ke Kelantan dengan menaiki sebuah motorsikal EX5 sendirian. kehadiran beliau ke sana, semata-mata mahu membantu calon PAS yang bertanding, walhal beliau berkeahlian PKR, dan memegang jawatan Ketua PKR Subang.

Setelah keputusan Pilihanraya kecil diumumkan, kemenangan berbelah pihak kepada BN, maka beliau pulang hampa. Dalam perjalanan pulang, dihadapi hujan menyebabkan beliau demam seminggu yang menyebabkan beliau terpaksa tidak hadir bekerja yang merupakan sumber rezekinya bagi memelihara keluarganya.

ternyata, Allah SWT memberi kebaikan kepada PAS, PKR dan DAP dalam PRU ke 12, memperlihat Parlimen Subang dimenangi calon PKR, iaitu Sivarasa Rasiah, juga DUN Kota Damansara oleh Dr Nasir Hashim, seorang calon PSM yang menggunakan lambang PKR dan DUN Bukit lanjan oleh Elizabert Wong dari parti PKR juga.

kemenangan itu, menyebabkan tokoh-tokoh PKR itu mula disanjungi oleh ramai rakyat di parlimen tersebut. Sedihnya, seakan-akan ramai sudah lupa dengan insan yang bernama Abang Amir.

Kerusi PAS di DUN paya jaras kalah, tetapi memandangkan PAkatan Rakyat sudah memerintah Selangor, menyebabkan di DUN tersebut ditubuh satu badan dibawah kerajaan yang bernama JPD [jabatan pengurusan DUN]. PAS diberikan amanah mengelola badan tersebut, tetapi sedih seperti seakan-akan lupa juga dengan Insan yang bernama Abang Amir itu.

boleh dikatakan, sebarang program yang melibatkan program kerajaan di parlimen Subang, Abang Amir sudah mula dilupakan. perebutan kuasa sudah mula kedengaran sana dan sini. Bermula dari ketua AMK bahagian, sehingga kepada jawatan Ketua Bahagian.

Abang Amir kian dilupakan, malahan sudah ada suara-suara sumbang memburukkan Abang Amir, waima yang memburukan Abang Amir itu tidak pernah kelihatan pun ketika PKR berada dalam gerhana yang amat kabur. Namun, Abang Amir tabah dan sering tersenyum apabila berbicara tentang PKR Subang ketika itu.

kini abang amir sudah kembali ke rahmatullah. Dia meninggal dunia, dalam keadaan dia sedang dalam usaha untuk diketepikan dalam partinya yang dipertahankannya semasa partinya itu dilupakan.

Aku tidak dapat memastikan, apa perasaannya sekiranya beliau hidup sehingga hari ini, dan melihat kejadian yang berlaku pada parti yang dia sayang itu. walaubagaimana pun, Al-Fatihah untuk abang Amir.

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
16 september 2010 * 3:13 pagi.

Selasa, 14 September 2010

Sabtu, 11 September 2010

APA KHABAR SAMAN KELANTAN KEPADA PETRONAS??

- 1 -

Zaman PAS memerintah terengganu dahulu, Kerajaan terengganu dinafikan hak royalti minyak. lalu, kerajaan PAS terengganu ketika itu, failkan saman kepada kerajaan pusat. Saman itu diam seketika, sehingga Ahmad Said, menteri besar terengganu [aliran sultan] mengeluarkan isu ini dalam satu sidang DUN terengganu yang lepas.

Ada pihak mendakwa, tindakan Kerajaan PAS Terengganu saman kerajaan Pusat, tidak tepat. selayaknya, disaman Petronas, bukan disaman kerajaan Pusat. Ini kerana, perjanjian royalti minyak, ditandatangani antara kerajaan negeri dengan petronas, bukan dengan kerajaan Pusat, walhal kerajaan pusat pun tandatangan perjanjian dengan petronas, dan bukannya dengan negeri.

- 2 -

kini, isu ini bergelora semula. iaitu setelah Kerajaan PAS di kelantan dinafikan hak yang sama [royalti minyak]. Cuma, pada kali ini Kerajaan PAS kelantan agak bernasib baik, apabila tengku Razaligh Hamzah yang merupakan bekas Pengerusi petronas berbelah pihak kepada kerajaan PAS kelantan. lebih parah lagi, beliau merupakan orang yang merangka perjanjian tersebut.

Kerajaan Negeri kelantan sudah menfailkan saman kepada pihak petronas, tidak seperti kerajaan PAS terengganu dahulu. Tindakan menfailkan saman ini, sedang ditunggu khabar beritanya.

ramai menjangka, apabila kes ini masuk dalam mahkamah, pasti pihak petronas akan dipanggil. Sudah pasti, petronas akan mempertahankan diri mereka, dan ketika itu, mereka pasti akan mendedahkan siapa disebalik tabir yang melarang petronas membayar royalti tersebut. mereka tidak boleh menipu lagi, kerana Tengku Razaligh sudah berjanji untuk berada dibelah rakyat kelantan yang diwakili oleh kerajaan pimpinan Tuan Guru nik Abdul Aziz.

Apabila kes ini dibacarakan, pasti banyak perkara yang terdedah. Malahan dari sumber yang masih diselidiki, bahawa Ahmad SAid, menteri besar terengganu akan bersama-sama dengan PAS dalam isu ini.

nah.. ini isu power... kita sedang menunggu dengan bersemangat sekali.... jeng jeng jeng...


Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Kubang kerian
12 september 2010 * 3:32 pagi

Rabu, 8 September 2010

PUASA ENAM : ULAMA MAZHAB BERBEDA PENDAPAT

[1]

Mazhab maliki memandang makruh puasa enam. pendapat ini, berbeda dengan pendapat jumhur ulama yang memandang Sunat puasa enam dalam bulan syawal.

hujjah jumhur ulama [kecuali maliki] adalah, berdasarkan kepada satu hadis, bahawa rasulullah SAW ada bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

maksudnya;
"barangsiapa yang telah berpuasa ramadhan, kemudian diikuti enam hari daripada syawal, adalah dia seperti berpuasa setiap masa" [Muslim : 1984]

Adapun dalam mazhab maliki, sesuatu hadis ahad itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali dikuatkan dengan amalan ahli madinah. pada mazhab maliki, ahli madinah adalah orang yang paling hampir dengan Rasulullah SAW, justeru mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan oleh nabi Muhammad SAW.

memandangkan Imam malik tinggal di Madinah, beliau mendapati bahawa ahli madinah sendiri tidak berpuasa enam, walhal wujud hadis [riwayat muslim] atas galakan itu. Ekoran itu, beliau berfatwa bahawa hadis yang dinukilkan ini bukan bermaksud amalan itu sebagai sunnah, sebaliknya ia sekadar keizinan [harus] sahaja berpuasa pada hari tersebut.

Namun, terdapat larangan dari berpuasa pada hari raya [1 syawal @ Aid Al-Fitr dan 10 Zulhijjah @ Aid Al-Adha], iaitu hadis riwayat Abu 'Ubaid bahawa dia berkata, "aku bersama dengan Umar bin Al-Khattab dalam satu hari raya. Beliau [Umar] menunaikan solat, kemudian berpaling [ke arah manusia] dan menyampaikan khutbah. Dalam Khutbah itu, Umar berkata;

إِنَّ هَذَيْنِ يَوْمَانِ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صِيَامِهِمَا يَوْمُ فِطْرِكُمْ مِنْ صِيَامِكُمْ وَالْآخَرُ يَوْمٌ تَأْكُلُونَ فِيهِ مِنْ نُسُكِكُمْ

maksudnya;
"Sesungguhnya dua hari ini [aid Al-Fitr dan Aid Al-Adha] Rasulullah SAW menegah daripada berpuasa. Ia adalah hari kamu berbuka puasa, dan satu lagi [Aid Al-Adha] adalah hari kamu makan dari binatang sembelihan kamu" [Muwatta' : 386]

hadis ini, melarang dari berpuasa pada 1 Syawal, walhal dalam hadis yang lepas menyebut wujudnya puasa enam. Memandangkan lafaz hadis suruhan puasa enam itu, tidak dinyatakan larangan puasa 1 syawal, menyebabkan Imam Maliki menfatwakan makruh puasa enam dengan menggunakan kaedah Sad Az-Zarai' [menutup pintu-pintu haram] yang merupakan salah satu kaedah penting dalam Hukum Lighairih, kerana bimbang ada manusia yang berpuasa enam dengan disertakan dengan puasa pada satu syawal.

Justeru, difahami bahawa berpuasa enam mengikut mazhab maliki adalah harus dari sudut hukum Lizatih, tetapi dinilai makruh dengan menilik dari sudut hukum Lighairih.

[2]

hukum lighairih boleh berubah berdasarkan kepada sebab. dengan maksud, wujud sebab, maka wujud hukum, dan jika hilang sebab, maka hukumnya juga turut berubah. ini kerana, hukum yang disandarkan kepada sebab akan bertukar hukum apabila sebab itu sudah luput. Sebab makruh berpuasa enam dalam mazhab maliki adalah faktor kebimbangan terpuasa pada 1 syawal. Justeru, ia boleh terluput kebimbangan itu dengan kepastian, sekiranya seseorang itu berpuasa di luar dari hari-hari ragu [iaitu tidak start berpuasa pada hari kedua syawal, tetapi start berpuasa pada hari ketiga atau keempat].

Apabila sebab itu sudah luput, maka hendaklah kembali kepada hukum lizatihnya, iaitu hukum berpuasa enam adalah harus.

sekian

p/s : kupasan ini, tertumpu cara istinbat dalam mazhab Maliki.

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
9 september 2010 * 6:06 pagi