Rabu, 20 April 2011

TIBA-TIBA MAQASID SYARIAH [1]

Kitab al-maqasid as-syariiyyah wa asaruha fi al-Fiqh al-Islami tulisan Abdul Ati muhammad Ali, ternyata memberi inspirasi baru. Tulisan pakar usul fiqh dari universiti al-azhar itu memudahkan kepada kita memahami maqasid syariah secara umum.

Sebarang kitab yang aku baca, amat jarang aku membuat nota ringkas untuk menjadi bahan hafalan. Tetapi, kitab maqasid syariah tulisan Dr Abdul Ati tersebut, sememangnya membuatkan keinginanku untuk membuat nota, lalu dihafal sepertimana belajar di Al-Azhar dahulu.

Kitab setebal 286 muka surat itu, berjaya aku notakan setebal 12 muka surat sahaja. Nota yang aku buat itu berbentuk peta minda, disertakan footnote yang menghurai sesuatu teori.

Dalam masa 2 bulan, aku berjaya menyiapkan nota tersebut. Walau dengan tulisan tangan sahaja, tetapi ia amat berharga bagiku untuk dijadikan sebagai bahan rujukan saat aku lupa tentang sesuatu perbahasan tentang maqasid syariah.

***

"malam ni nak berjumpa di mana?" soalku kepada Badri.

Badri seorang pelajar di Universiti Malaya. Beliau dalam proses menyiapkan tesis Phdnya yang berkaitan dengan Maqasid Syariah.

Tesis Master beliau juga tentang maqasid syariah, cuma agak terfokus kepada pengamalan maqasid yang diamalkan geng Islam Liberal di Indonesia (JIL).

"kita jumpa kat tempat biasa la ustaz.. Kat Uptown" balas badri.

Kami berjumpa untuk berkongsi bahan bacaan, terutama tentang maqasid syariah. Kami menjadi teman rapat diawal cadangan badri untuk menulis tesis Phd beliau tentang maqasid syariah. Beliau meminta cadangan dariku tentang fokus yang terbaik untuk beliau siapkan tesis Phd.

Pada peringkat awal, aku mencadangkan kepada beliau agar menulis tesis tentang ijtihad tanzili, kerana tajuk sebegitu tidak dibincang lagi di Malaysia. Malahan di negara arab pun, ia merupakan tajuk yang agak terpencil dalam fiqh maqasid syariah.

Namun begitu, tajuk cadangan aku itu, dijadikan sebagai panduan badri, tetapi beliau sendiri bercadang hendak menulis tajuk yang agak mencabar lagi, iaitu "maqasid syariah dalam teori sosialogi", tetapi sedih tajuk itu ditolak oleh penyelia Phd beliau.

***

Ketika kami sedang lepak dan minum-minum di uptown, aku berkata kepada badri, "anta tengok ni nota yang ana buat"

Badri melihat nota aku itu. Dia membelek-belek nota itu. Sambil-sambil beliau menyelak helaian kertas kitab maqasid syariah wa asaruha fi al-fiqh al-islami tulisan Dr Abdul Ati.

"bagus kitab ni ustaz..." badri bersuara sambil membelek-belekkan kitab tersebut.

"ana pun rasa, kitab ni baik. Ia kupas secara ringkas, tapi cukup berkesan untuk memahami maqasid syariah" aku memberi ulasan.

"ustaz beli kat mana kitab ni?"

"kat kedai kitab arab kat setapak. Fajar Ulung" jawabku.

"kalau kita boleh buat kelas maqasid syariah guna kitab ni, bagus gak" sambungku lagi.

"betui juga tu...kita jadikan nota ni sebagai panduan" sambut badri dengan lahjah penang sambil meletakkan di atas meja minum.

Bersambung....

Selasa, 19 April 2011

[VIDEO] DEBAT TENTANG DEMOKRASI DENGAN HIZBUT TAHRIR

Debat antara Wan Ji bin Wan Hussin dengan Ustaz Abu Hamzah, iaitu seorang yang berjawatan dalam Hizbut Tahrir Malaysia [HTM]. Perdebatan kami berkenaan dengan isu kedudukan demokrasi dari segi hukum, yang menjadi penerimaan oleh sebilangan gerakan Islam di dunia, seperti Ikhwan Muslimin, hamas, juga di PAS di Malaysia yang tidak disetujui oleh rakan-rakan dari Hizbut Tahrir.

Berdebatan kami ini, pada asalnya ada perdebatan melalui Facebook, dan seterunya membawa ke pentas. Alhamdulillah, perdebatan kami yang bermula dari pukul 9:30 pagi dan berakhir pada pukul 2:30 petang itu membuahkan perbincangan yang cukup ilmiah.

Kehadiran Saya dalam perdebatan ini, tidak mewakili mana-mana parti, seperti yang ditulis oleh pihak yang mengupload rakaman ini melalui Youtube seperti saya mewakili PAS. Walau bagaiaman pun, kehadiran saya dalam debat tersebut sebagai orang yang mempertahankan ijtihad PAS yang menggunakan demokasi sebagai alat dan mekanisma dalam usaha perlaksanaan islam di malaysia.

Di sini dipaparkan sedikit dari kandungan debat tersebut seperti berikut;

pertama:



kedua:



ketiga:



keempat:



Selasa, 12 April 2011

MEMPERKASAKAN KEPIMPINAN PAS

Dalam Pakatan Rakyat sekarang, PAS adalah yang paling minoriti. PKR yang paling majoriti, kemudian DAP dan paling bawah adalah PAS.

Dalam keadaan demikian pun, kuasa Allah melebihi dari kuasa manusia. Kemenangan Pakatan Rakyat di Perak dalam PRU lalu, ternyata memberi keuntungan kepada PAS, waima bilangan kerusi PAS terlalu kurang berbanding kerusi PKR dan DAP.

Dalam keadaan sekarang juga, hampir sama. Iaitu, pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam Pilihanraya Sarawak, memperlihatkan bilangan kerusi PAS yang sikit berbanding dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ditambahi lagi dengan ramai pengkaji yang mula memperkatakan bahawa keadaan politik Malaysia yang agak tidak menentu ini, memungkinkan PAS akan kalah teruk dalam PRU yang bakal mendatang. Ini kerana, faktor kelemahan dalaman PAS yang dilihat agak ketara, seperti gerak kerja PRU yang tidak tahu kemana lagi, isu-isu mainan PAS banyak yang makan tuan dan sebagainya.

Di Kelantan sahaja, dikhabarkan dari sebilangan penganalisa-penganalisa bahawa keputusan di peringkat DUN, PAS berkemungkinan besar hanya mampu mempertahankan 13 kerusi sahaja. Dalam keadaan sebegini, ia memberi kesan yang buruk untuk keadaan politik PAS di masa akan datang, terutama selepas PRU ke-13.

CERDIK ATAU RAMAI?

Secara realitinya, menjadikan PAS mendominasi Pakatan Rakyat adalah tindakan yang agak mustahil, kecuali jika Allah SWT mahu yang sebaliknya.

Pun begitu, perkara yang paling penting kita bukan PAS majoriti atau tidak, tetapi yang paling penting adalah, bagaimana hendak menjadikan kandungan Islam berjaya dilaksanakan dalam negara.

Era ini bukan era parti mana yang ramai ahli, maka ia adalah golongan yang menang. Tetapi, era ini adalah era siapa yang cerdik, maka mereka akan menjadi tarikan rakyat untuk menyokong. DAP bukan mempunyai keahlian parti yang ramai, tetapi pemimpin mereka mendapat perhatian rakyat. Karpal Sikh adalah seorang yang lemah dari sudut jasad, tetapi kecerdikannya dalam perundangan negara menyebabkan kenyataannya menjadi perbincangan rakyat.

Walau kepala dan sebelah tangan sahaja yang masih hidup, tetapi kenyataannya menjadi perbualan musuh politik beliau.

PAS ERA PR

PAS mempunyai ramai orang cerdik. Sukar dibayangkan bagaimana ahli parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad yang tidak mempunyai pendidikan agama secara formal, mempunyai kebolehan yang luar biasa, apabila berjaya "mendiamkan" seorang paderi dari negara barat dalam "debat tertutup" mereka tentang piagam madinah.

Di Malaysia, kebolehan ini amat sukar dilakukan oleh ilmuan-ilmuan yang mempunyai pendidikan Islam secara formal, hatta yang tidak mampu melakukan itu adalah musuh khalid Samad yang sanggup melakukan penipuan dengan menyebarkan dakyah kononnya khalid Samad beraqidah syiah, walhal ia tidak begitu.

Khalid Samad sendiri mengakui bahawa beliau bukan syiah, dan tidak cenderung kepada syiah. Cuma beliau mengatakan, beliau tidak berani mengkafirkan syiah secara borong. Sikap ini, sebenarnya ada pada ilmuan-ilmuan Islam yang muktabar di dunia Islam kini, seperti Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Dr Taha Jabir al-ulwani, Dr Said Ramadhan Al-Buti dan sebagainya.

ISLAM BOLEH MENANG?

Kita tinggalkan tentang penipuan terhadap Haji Khalid Samad tersebut, tetapi kemampuan khalid Samad berhujjah dengan seorang paderi dari barat itu, merupakan satu perkara yang perlu dibanggakan oleh setiap umat Islam. Ini kerana, orang yang bergelar ulama pun belum tentu mampu melakukan tindakan tersebut.

Jika PAS sudah ada orang yang pandai berhujjah Islam sebegini, ia tidak membimbangkan kita jika PAS tidak mendominasi Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Ini kerana, dengan kebijakan berhujjah ini, memungkinkan dasar-dasar Islam yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah akan berjaya dilaksanakan dalam pemerintahan negara ekoran dari penerimaan DAP dan PKR terhadap hujjah-hujjah yang dikemukakan.

Jadi, kepimpinan parti PAS dalam era PR ini, ia perlu di ramaikan tokoh-tokoh yang mempunyai kebijakan sebegini. Itupun, jika kita lebih menyayangi Islam melebihi segala-galanya.

Sekian

P/s : tidak lama lagi, akan terbit buku tentang perdebatan antara saudara Khalid Samad dengan alusius, seorang paderi yang mempunyai Phd tentang piagam Madinah.

Wallahu 'Alam


Sg Buloh
13 april 2011 * 2:30 pagi.

Isnin, 11 April 2011

PENGUMUMAN MAJLIS DEBAT ILMIYAH TERBUKA

Makluman sahabat dari Hizbut Tahrir seperti berikut;

TAJUK : ABSAHKAH DEMOKRASI UNTUK ISLAM
PANEL 1 : UST. WAN JI
PANEL 2 : UST. ABU HAMZAH
...TARIKH : 17 APRIL 2011 (AHAD)
MASA : 9.30 PAGI
TEMPAT : DEWAN MASJID HASANAH, SEKSYEN 8, BANDAR BARU BANGI
JEMPUTAN : KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR. MASUK ADALAH PERCUMA.
PENGANJUR : RIDHUAN HAKIM

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI BAGI MERAI MAJLIS ILMU INI, INSYALLAH.

Sabtu, 9 April 2011

FORMAT DEBAT WAN JI vs ABU HAMZAH [FIKRAH HT]

Berlaku beberapa kritikan dalam FB antara saya dan beberapa budak2 pro Hizbut Tahrir. Kritikan balas membalas itu, melahirkan satu pertemuan [atau majlis debat] antara saya dengan salah seorang dari kalangan mereka yang menggelarkan diri sebagai Abu Hamzah. Tajuk Debat kami adalah, "Absahkah demokrasi?" yang melibatkan kesediaan gerakan islam selain HT yang menggunakan demokrasi sebagai cara untuk melaksanakan islam di Malaysia.

Setakat ini, tarikh yang telah dipersetujui pada 17 April [ahad] pada pukul 9:30 pagi. Adapun tempat, belum ditetapkan lagi, dan akan dimaklumkan semula.

Di sini, dipaparkan format majlis seperti yang ditetapkan oleh pihak Pro HT. Ia telah diemailkan, dan ia adalah seperti berikut;

1. Setiap pendebat diberikan masa untuk taaruf
2. Setiap pendebat diberi masa 20-30 min membentangkan kertas kerja pertama -
Taarif Demokrasi
3. Pendebat diberi masa 5-10 minit untuk mengemukakan hujah balas
4. Setiap pendebat diberi masa 20-30 membentangkan kertas kerja pertama - Hukum
Mengamalkan Demokrasi
5. Pendebat diberi masa 5-10 minit untuk mengemukakan hujah balas
6. Setiap pendebat diberi masa 20-30 membentangkan kertas kerja pertama -
Demokrasi Sebagai Thariqah/Wasilah Penegakkan Daulah Islamiyah
7. Pendebat diberi masa 5-10 minit untuk mengemukakan hujah balas
8. Sesi soal-jawab antara penonton
9. Penutup

Rabu, 6 April 2011

KELAYAKKAN BERSAING UNTUK PRESIDEN

PAS di era sebelum lahirnya Pakatan Rakyat, tidak boleh disamakan selepas kewujudan Pakatan Rakyat. Di era lalu, wujud politik berlawan; antara PAS - UMNO. Tapi di era kini, politik adalah dua; berlawan dan bersaing.

Keadaan sekarang, PAS berlawan dengan UMNO. Perlu diingat, dalam keadaan sekarang juga PAS bukan sekadar berlawan dengan UMNO, tetapi perlu bersaing dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat; DAP dan PKR.

Kelayakkan PAS untuk menjadi ketua dalam Pakatan Rakyat perlu kepada keyakinan dari rakyat Malaysia. Keyakinan itu, bukan mempunyai imej yang baik sahaja, tetapi keyakinan dari segi penyusunan organisasi yang hebat; mempunyai kebijakan ajaib dan banyak perkara lagi.

Memandangkan kelayakkan mengepalai Pakatan Rakyat bukan terletak pada sesuatu parti, tetapi kelayakkan itu terletak pada seorang tokoh yang mengapalai parti. Makanya, kepala parti itu mesti orang yang mempunyai keyakinan di mata rakyat.

Tidak ada faedah seseorang ketua parti itu hanya disokong oleh ahli parti, tetapi tidak mendapat keyakinan rakyat. Ini kerana, seseorang ketua parti yang boleh mengepalai Pakatan Rakyat, bukan sekadar hasil dari sokongan ahli-ahli parti, tetapi hasil keyakinan dari rakyat paling ramai. Golongan paling ramai itu adalah orang yang berada di luar parti.

2 H : HUSAM ATAU HADI

Dalam usaha menjatuhkan penjajah di indonesia, rata-rata rakyat berkepingin dengan sukarno. Dengan ucapan yang gah, mampu membangkitkan rakyat indonesia untuk melawan penjajah.

Namun, selepas penjajah tersembam di bumi indonesia, sukarno masih lagi berbicara soal penjajah. ekoran itu, sukarno sudah tidak relevan lagi seperti beliau relevan sebelum kejatuhan penjajah. Jadinya, Rakyat indonesia mula muak dengan sukarno yang suatu ketika dulu amat disanjungi. Rakyat mahu bangun atas runtuhan penjajah, bukan mahu mendengar retorika sukarno yang tidak pernah jemu berbicara soal penjajah. Makanya, rakyat mula jemu terhadap sukarno, menyebabkan mereka menolak sukarno selepas kejatuhan penjajah.

Pakatan Rakyat dalam era ini, mungkin agak hampir sama dengan sejarah sukarno. Rakyat sudah muak dengan UMNO/BN yang menindas. Kenaikan harga barang, minyak, video lucah dan banyak lagi kebobrokan melahirkan kebencian rakyat.

Secara dasarnya, rakyat sudah muak dengan UMNO/BN. Cuma, rakyat masih tidak yakin dengan Pakatan Rakyat. Makanya, rakyat berbelah bahagi untuk memilih; antara BN atau PR.

Keyakinan rakyat ini perlu dibina. Tanpanya, agak sukar rakyat memberi undi kepada Pakatan Rakyat. bagi membina keyakinan ini, keberadaan pemimpin yang tidak diyakini tidak boleh dikekalkan. Sebaliknya perlu menampilkan pemimpin-pemimpin politik yang memberi wajah baru; sesuai dengan penampilan Malaysia di era terbaru.

PEMILIHAN MUKTAMAR

Pemilihan dalam muktamar kali ini, ada dua tokoh yang perlu ditampilkan sebagai calon Presiden PAS dalam usaha membina keyakinan rakyat. Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Dato Paduka Husam Musa adalah calon yang terbaik perlu dipamerkan.

Kedua-dua tokoh ini telah tercipta nama dipersada politik negara. Abdul Hadi dengan watak ulamanya, dan Husam dengan watak seorang politikus yang bicaranya dalam soal agama dan politik, tidak lepas dari berfakta dan bermaklumat.

Secara peribadi, aku lebih bersetuju dengan Husam untuk menjadi Presiden PAS untuk pemilihan parti dalam muktamar pada kali ini. Tetapi mengenangkan maklumat dari hasil kajian Dr Abu Hasan yang memaklumkan bahawa PAS kemungkinan akan kalah teruk dalam PRU bakal berlaku ini, menyebabkan aku terpaksa menyokong Dato Seri Abdul Hadi untuk Presiden parti.

Ini kerana, dengan kekalahan teruk dalam PRU akan datang, memungkinkan berlaku sejarah pertukaran kepimpinan parti dalam muktamar selanjutnya. Keadaan ini pernah berlaku; iaitu dalam sejarah kejatuhan Dato Asri dahulu; kejatuhan beliau dari jawatan Yang DiPertua PAS [kini Presiden PAS].

MARAH

mungkin sebilangan pembaca akan marah dengan tulisan artikle ini. Tidak hairan juga, akan tersembur puluhan makian dari mereka yang bersentimen ulama.

Padaku, apa yang aku suarakan ini adalah soal hak sebagai ahli PAS dalam memberikan pandangan terhadap kemajuan partinya. Jika ada orang mahu menghalang, ia sama seperti menafikan hak.

Padaku, bukan soal ulama yang perlu dibangkitkan. Tetapi perkara yang perlu dibangkitkan adalah, apakah dalam era ini, orang yang berkelayakkan tidak perlu ditabalkan?

Tidak dinafikan bahawa Nabi SAW menyebut tentang ulama yang merupakan pewaris Nabi. Tetapi, ulama itu sendiri tidak semestinya berpakaian ala arab,malahan hendaklah mempunyai kefahaman agama yang mendalam. Pun begitu, tidak cukup sebagai ulama dalam memastikan kelayakkan seseorang pemimpin. bahkan kelayakkan itu adalah mereka yang mampu memberi saingan terhadap rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "apabila disandarkan sesuatu urusan itu bukan kepada ahlinya [tidak layak], maka tunggulah saat kebinasaan".

Dalam hadis ini, Nabi SAW tidak menyatakan ulama yang mampu menahan kehancuran, tetapi yang mampu menahan kehancuran adalah mereka yang berkelayakkan terhadap sesuatu jawatan yang disandangnya.

Sekian

Wallahu 'Alam

Sg Buloh.
7 april 2011 * 2:40 pagi.

Ahad, 3 April 2011

BERCAKAP ISLAM DALAM GEREJA

Satu hari jumaat. Aku dijadualkan berkhutbah di salah sebuah masjid di Petaling Jaya. Dalam perjalanan, telifon bimbitku berbunyi. Di screen termaktub nama "khalid Al-Haj".

"apa hal pak aji khalid samad ni tel pula.. mesti ada hadis-hadis yang dia nak confirmkan" bisik hati kecilku.

Aku angkat telefon. Tidak sempat memberi salam, Khalid samad sudah memberi salam. Aku menjawabnya.

"anta apa khabar?" soalan awal kedengaran dalam sesawang telifon bimbitku.

"alhamdulillah, khair" balasku dalam bahasa arab.

"eh.. Hadis yang sebut, barangsiapa menyakiti non Muslim, maka dia telah menyakiti hatiku juga.. Bunyi arabnya macam mana?"

Aku pun membaca matan hadis tu dalam bahasa arab. aku pasti, khalid menulis hadis itu, kerana dia bertanya beberapa huruf untuk dapat kepastian.

Aku menghurai lebih kurang tentang hadis itu. kerana, dari sudut pengajian hadis, hadis tersebut banyak berlaku pertikaian. Ada ulama menyatakan bahawa ia bukan perkataan Nabi Muhammad SAW, tetapi ia perkataan Umar bin Abdul Aziz.

Namun begitu, aku mencadangkan satu hadis lain yang saheh. Iaitu hadis yang bermaksud, "barangsiapa menzalimi non muslim, atau mengambil hak mereka tanpa jalan yang betul, mengurangkan hak mereka, maka hari akhirat nanti, aku akan menjadi penghujah terhadap mereka [non Muslim]"

Aku menyebutnya dalam matan arab. Dan aku yakin, ketika itu Khalid Samad menulis hadis tersebut.

Aku bertanya, mengapa dia bertanyakan tentang hadis itu. Diberitahu bahawa dia telah dijemput untuk hadir dalam satu forum bersama paderi dan penganut kristian di salah sebuah gereja di PJ.

Aku bertanya, bila forum itu berlaku? Dia menjawab, "selepas selesai solat jumaat".

mengenangkan pada hari tersebut aku berkhutbah di PJ, aku meminta izin beliau untuk hadir. Ternyata Khalid samad tidak menghampakan aku.

***

Setelah selesai solat jumaat, aku terus ke gereja yang dimaksudkan bersama dengan seorang pelajar Medic UM. memang menarik melihat dan mendengar ahli-ahli penal yang dijemput menyatakan pandangan masing-masing.

Boleh dikatakan, disebelah kristian, semuanya dari kalangan ilmuan-ilmuan kristian, tetapi di pihak Islam, yang hadir adalah seorang yang tidak bergelar ulama, tapi sekadar seorang profesional muslim yang merupakan seorang ahli politik dari parti Islam.

Dalam forum terbabit, berbagai-bagai lagi ulasan yang kedengaran. Dari pihak Khalid Samad pula, beliau berjaya mengemukakan hujjah yang menarik dalam menggambarkan keadilan Islam yang wujud dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Yang lebih aku berbangga, apabila khalid telah membaca hadis yang aku maklumkan kepadanya, didapati bahawa boleh dikatakan paderi dan orang kristian yang hadir menepuk tangan, tanda sokong terhadap kandungan hadis yang dibaca oleh Khalid Samad.

***

Sebagai orang Islam, sudah pasti keadaan ini amat membanggakan aku. Perkara yang aku fikirkan adalah, bagaimana Islam yang sering dilihat dengan prejudis oleh non Muslim sudah mula diterima mereka. Walaupun mereka tidak memeluk Islam, tetapi dengan sikap mereka menyatakan Islam adalah agama adil adalah satu kebanggaan yang cukup besar bagi diriku.

Lebih aku bangga, apabila ada seorang teman berbangsa cina dan beragama kristian tadi berkata kepadaku, "Saya kenal Islam, melalui politik... kalau tidak kerana politik, mungkin saya tidak nampak Islam sebagai agama yang baik".

Sekian

Sg Buloh
4 april 2011 * 2:25 pagi.