Selasa, 5 Januari 2010

TOLONG JANGAN HINA TOK GURU !


TOLONG JANGAN HINA TOK GURU !

Aku sudah tidak tertahan lagi, apabila mendengar penghinaan yang dilakukan terhadap Tok Guru nik Abdul Aziz. Sekarang ini, yang mempertikaikan tok guru, bukan orang UMNO sahaja, bahkan sebilangan pimpinan tertinggi PAS juga sudah mula mempertikai tindakan tok guru dalam isu yang melibatkan ariffahmi.

Mereka bukan sebarangan orang. Mereka bukan orang yang mendapat untung dikala PAS sudah diterima. Tetapi, mereka amat dikenali kerana keistiqamahan mereka dalam perjuangan PAS sejak sekian lama; sejak ceramah PAS dihadiri oleh puluhan dan ratusan orang sahaja. Berbeda kini, yang mendengar ceramah PAS sudah menjangkaui ribuan lautan manusia.

Memang tidak diketahui, siapa yang sebenarnya yang mengangkat banner yang mengandungi unsure penghinaan terhadap Tok guru. Tetapi, aku tidak dapat nafikan betapa ada sebilangan rakyat bawahan sudah bercakap-cakap tentang isu Ariffahmi. Bahkan, aku yakin masih ramai yang tidak berpuas hati, tetapi mereka mengambil sikap membiarkan begitu sahaja.

Kalau dahulu, sebarang penghinaan yang dilakukan terhadap tok guru, pasti aku akan mempertahankannya sekadar kemampuan yang ada. Tetapi, dalam isu ariffahmi, apabila istilah "kronisma" dan "nepotisma" kedengaran, aku tidak termampu hendak mempertahankan Tok Guru lagi.

Ya.. memang tidak dinafikan, sirah membuktikan saidina osman pernah melantik "anak beranak" memegang jawatan dalam kerajaan ketika beliau menjadi Khalifah. Tetapi, sesuatu yang tidak dapat dinafikan, hubungan anak beranak itu, sedikit sebanyak telah melahirkan fitnah dalam sejarah islam.

Mungkin kita hanya melihat pertembungan antara Ali dan muawiyyah sehingga berlaku peperangan dan pertumpahan darah. Tetapi, pernahkah kita fikir, bahawa hubungan antara osman dan muawiyyah adalah sepupu.

Memang Muawiyyah dilantik menjadi gabenor islam di Syam pada zaman Umar bin Al-Khattab. Tetapi, hubungan kekeluargaan Muawiyyah dengan saidina osman menyebabkan pertembungan terhadap osman melahirkan pemberontakan dari pihak muaawiyyah terhadap Ali yang kononnya tidak mahu mempeertahankan osman yang merupakan sepupunya. Ekoran dari kejadian itu, berlakulah peperangan yang merupakan awal fitnah yang menimpa dalam sejarah selepas kewafatan nabi SAW.

Jika dibaca buku-buku mereka yang bermazhab syiah, sudah pasti kita akan berjumpa bagaimana penghinaan terhadap Muawiyyah dilakukan dengan begitu hebat. Cumanya, dari kitab-kitab sunni pula, mereka masih lagi mengatakan larangan penghinaan terhadap Muawiyyah dengan alasan Muawiyyah adalah 'ahl Al-badar'.

Alasan puak-puak sunni, peperangan itu tercetus dari ijtihad Muawiyyah dan Ali. Justeru, nabi Saw menyebut, jika benar ijtihad seseorang itu, maka baginya dua pahala. Jika salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala sahaja.

Apa yang pasti, ijtihad itu ada yang betul dan ada yang salah. Antara kedua-dua; muawiyyah dan Ali, siapakah yang salah, siapa yang betul? Tidak diketahui, bahkan hendaklah diserahkan semuanya kepada Allah SWT. Pun begitu, jika dibaca kitab karangan Abu Hasan Al-As'Ari, iaitu pengasas aliran Asyairah dalam aqidah, dengan terang beliau menyatakan bahawa ijtihad Muawiyyah salah, justeru baginya satu pahala.

Soal, apakah ijtihad muawiyyah itu benar-benar salah, tidak perlu diperdebatkan. Kita serah kepada mereka yang berkeahliah. Tetapi, apa yang kita boleh belajar, factor anak-beranak dalam pemerintahan merupakan satu factor yang memungkinkan berlaku fitnah. Justeru, ia wajar dielakkan.

Dalam politik, factor anak beranak melahirkan fitnah yang cukup besar. Perlantikan anak beranak memang tidak salah dari sudut islam, tetapi dari sudut etika dan persepsi, ia amat dilihat sesuatu yang cukup besar.

Tanpa meraikan persepsi, keuntungan islam yang lebih besar akan dirugikan. Ini kerana, apabila dapat persepsi buruk dalam politik, perlaksanaan islam yang sudah hampir berjaya, akan tertangguh; mungkin kerana kalah dalam Pilihanraya, ataupun kekurangan kerusi. Justeru, apa pula hokum menangguhkan usaha perlaksanaan islam? itu yang perlu difikirkan.

PERSEPSI TERHADAP TOK GURU

Aku bimbang persepsi terhadap tok guru semakin hari semakin buruk. Apabila mendengar perbualan kedai kopi, tajuk "PMBK" akan memperdengarkan kepada kita ayat-ayat yang tidak menarik terhadap tok guru.

Penilaianku, factor ayat-ayat tidak menarik terhadap tok guru ini keluar, berpunca dari isu yang melibatkan menantunya, Ariffahmi. Tidak dinafikan, Tok guru sudah menerima nasihat daripada atasan PAS Pusat dengan meminta agar Arif meletakan jawatannya, tetapi dalam jangka masa mahu sampai ke bulan Mac ini, semakin hari semakin kedengaran perbualan-perbualan yang buruk terhadap tok guru.

Aku teramat bimbang perkara ini. sejak arif diminta berhenti, iaitu dalam bulan lepas sehingga hari ini pun, sudah kedengaran orang sanggup mengatakan macam-macam perkara terhadap tok Guru. Itu baru sebulan lebih sahaja. Tidak diketahui, apa akan terjadi ketika sampai bulan Mac nanti yang memerlukan masa hampir 2 bulan lagi. Itu yang aku amat bimbang.

Wahai Arif.. tolonglah. Janganlah sampai rakyat hilang siqah kepada tok guru.. wahai Arif, ana merayu kat anta, tolonglah jaga persepsi rakyat terhadap tok Guru… ana merayu kat anta Syaikh..…

"Ya Allah, kekalkan sayangku dan siqahku kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz"

Sekian

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Danau Kota
5 Januari 2010 * 10:58 malam

Isnin, 4 Januari 2010

TOLONG JANGAN HILANGKAN SIQAHKU KEPADA TOK GURU !!


TOLONG JANGAN HILANGKAN SIQAHKU KEPADA TOK GURU !!

Aku mula mengikuti perkembangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz semenjak berumur 12 tahun. Ketika itu, keluargaku bermazhab UMNO, dan aku sedang menghafaz Al-Quran di Institut pendidikan Al-balaghul Mubin, Pasir Mas, Kelantan.

Sejak itu, aku amat kagum dengan beliau disebabkan kesederhanaan, gaya kepimpinan dan kebijaksanaan dalam beliau mengeluarkan kenyataan agama dan Politik. Sebarang isu agama yang susah dirungkai, agak mudah difahami apabila dikupas oleh beliau. Sebarang kekusutan politik dalam memahami sesuatu isu, kupasan beliau menyebabkan kita merasa mudah untuk difahami.

Semasa isu Islam hadhari sedang hangat diperkatakan. Tuan Guru Haji Hadi telah mengupas isu ini dari sudut yang terlalu ilmiyyah. Dalam satu ceramah, Tuan Guru Haji Hadi, beliau terpaksa mengambil masa hampir 1 jam setengah untuk mengupas isu ini.

Tetapi, apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz berceramah sejurus Tuan Guru Haji Hadi, beliau menyebut, “Islam hadhari ni, kalau kita nak fahamnya, macam orang malas pergi makkah, tapi kedekut. Bila ada orang nak gi ke makkah, dia kirim kat orang itu serban, jubah, tasbih dan macam-macam. Lepas tu, dia pakai jubah, pakai serban, bawa buah tasbih, dia pergi pejabat pendaftaran, kemudian tambah “Haji” kat depan namanya dalam IC.. begitulah kalau kita nak faham beda antara Islam hadhari dengan Islam yang sengoti (sebenar)”

Kata-kata ringkas yang tidak sampai lima minit itu, sudah cukup untuk kita memahami maksud Islam Hadhari yang sesat menyesatkan itu. begitujuga, ketika beliau mengupas ketika UMNO di zaman Tun Dr Mahathir mengisytihar Malaysia sebagai Negara Islam.

“kereta sorong kalau bubuh lambang Volvo, takkan kita nak kata kereta sorong itu kereta Volvo kot” analogi ringkas tok guru, tapi menarik dan mengkelakarkan.

Cara berfikir sebeginilah, menyebabkan aku menaruh minat yang tinggi untuk mendalami dan memastikan dimanakan tempat pendidikan Tuan Guru. Didapati bahawa beliau menuntut ilmu di India, Pakistan dan mesir, maka aku pun mengambil sikap untuk belajar di bumi tempat Tuan Guru belajar.

KAGUM

Kepimpinan Tok Guru semakin dikagumi, apabila yang menyanyangi Tok Guru bukan orang agamawan, orang surau dan masjid sahaja, tetapi golongan artis mula meletakkan respek tidak berbelah bahagi terhadap Tuan Guru. Amy Search antara artis terkenal tidak segan silu bergambar dengan Tuan Guru.

Mungkin itu dulu, tetapi tidak sekarang, iaitu semenjak isu PMBK mula diperkatakan. Isu yang melibatkan kepada anak dan menantunya.

Hari ini, kedengaran berita bahawa sudah tersebar banner-banner yang terpampang di sekitar Kelantan yang mencela Tuan Guru nik Abdul Aziz dan menantunya. Sebenarnya, kekagumanku kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz semenjak isu yang melibatkan menantunya ini, sedikit demi sedikit telah menghilangkan kesiqahanku terhadap Tuan Guru. Lebih-lebih lagi, apabila Tuan Guru sendiri dilihat seperti masih lagi mempertahankan menantunya yang telah terbukti telah memberikan imej yang buruk kepada PAS dan diri Tuan Guru sendiri.

Pada diri Arif, mungkin dalam jangka hampir 3 Jam berbual dengan beliau bersama dua orang blogger lagi di Restoran Taqwa, aku agak mengenali beliau dan apa yang beliau fikirkan. Cara beliau melontarkan isu, cara beliau menjawab soalan, cara beliau memprovokasi, sudah dapat diagak sekadar mana cara beliau berfikir, cara beliau mempengaruhi dan mengambil peluang dari kawan dan lawan.

Dalam keadaan sedemikian pun, dilihat Arif masih lagi duduk di kerusi empuk sementara menunggu bulan Mac yang tidak diketahui, dalam jangka masa yang bermula dari hari ini, apa akan jadi pada kesiqahanku terhadap tuan guru Nik Abdul Aziz.

ARIF – KRONISMA & NEPOTISMA

Padaku, bukan isu arif atau tidak. isunya adalah, arif adalah menantu Tuan Guru, sedang Tuan Guru Menteri besar. Jika Tuan Guru bukan Menteri Besar, pasti ia tidak menjadi masalah dan kebimbangan.

Apabila disebut menantu, sudah pasti akan kedengaran satu istilah yang disebut “Kronisma” dan "Nepotisma", walhal kroni dan nepotisma ini telah diserang oleh PAS semenjak pemerintahan Mahathir sehingga zaman pak lah.

Jika dahulu, PAS amat kuat menyerang kroni dan nepotisma tetapi mengapa perkara ini dipertahankan oleh tuan Guru, apabila ia melibatkan menantu Tuan Guru sendiri?

Aku berharap, agar Tuan Guru dapat berfikir tentang pandangan dan persepsi kami terhadap Tuan Guru sejak kebelakangan ini. yang paling aku harap, jangan sampai kesiqahanku terhadap Tuan Guru luput sama sekali, sepertimana luputnya kesiqahanku kepada ramai tokoh-tokoh ulama dalam PAS yang lain, sehingga aku tidak pernah merasa bersalah apabila mengkritik mereka.

Aku berharap, Tuan Guru memahami kami. Tidak lupa juga, pesanan kepada Ariffahmi yang selalu menyempatkan masa untuk membaca blog ini, walhal dia seorang COO. Aku berbangga, kalau article ini, Arif print, dan berikan kepada Tuan Guru sendiri.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 Januari 2010 * 3:11 petang

TERIMA KASIH PAS !!


TERIMA KASIH PAS !!

Sejak aku belajar, dari Pakistan hingga ke Mesir, aku tidak pernah berjumpa sebarang larangan pun untuk Non Muslim menggunakan kalimah Allah. lalu, apabila ada sebilangan ulama-ulama PAS menghalang, padaku, itu adalah teramat pelik, kerana ia menyalahi dengan pengajianku selama ini.

Padaku, Jika kita melihat ada perbedaan antara ilmu yang kita belajar dengan apa yang dilakukan oleh orang lain. kita boleh mengubah pendirian kita, tetapi dengan syarat, hendaklah disertakan hujjah dan bukti yang lebih kuat dari apa yang kita pegang selama ini.

Pun begitu, sekiranya tindakan orang lain itu tidak dapat mendatangkan hujjah yang lebih kuat dari apa yang kita faham, adalah satu tindakan yang salah jika kita mengikutnya. Tidak kira orang yang menyalahi kita itu seorang yang bergelar Tuan Guru, atau berdarjat PHD atau sebagainya. Itulah prinsipku dalam ilmu, dan aku sangat menerima, apabila Pak Bakaq Haq pernah sebut kepadaku, "Hampa kena wala' dengan Ilmu Hampa"

Padaku, jika PAS mengambil sikap menghalang, bermakna PAS telah melakukan beberapa perkara berikut, (1) menyanggahi Al-Quran yang membenarkan penggunaan kalimah “Allah” bagi Non Muslim, (2) menafikan hak Non Muslim yang diberikan oleh Islam itu sendiri.

Pun begitu, apabila ditimbulkan isu ”bimbang”, aku terima. Cumanya, cara pengurusan kebimbangan itu tidak cukup sekadar kita menyebut ”Aku bimbang la”. Ataupun, kita menafikan hak mereka. Tetapi, kebimbangan ini perlu dilakukan sesuatu tindakan sehingga tidak mendatangkan kemudharatan kepada Islam, sama ada dari sudut orang Islam, ataupun dari sudut orang Bukan islam.

Dari sudut orang Islam, bahawa dengan keizinan itu tidak menyebabkan orang Islam akan keliru. Dari sudut orang Bukan Islam pula, bahawa mereka tidak merasa meluat dengan Islam disebabkan mereka melihat seakan-akan Islam menafikan hak mereka.

Padaku, kalimah ”Allah” ini mempunyai karamahnya dan mukjizatnya tersendiri. Allah SWT sendiri ada menyebut, dengan zikrullah boleh menenangkan jiwa. Firman Allah;

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya;
“Ketahuilah. Dengan menyebut “Allah” boleh menenangkan jiwa”

(Surah Ar-Ra’d : 28)

Cuba bayangkan, jika setiap hari non Muslim itu menyebut kalimah ”Allah”, apakah tidak sampai satu masa nanti, Allah akan buka hati mereka dengan maksud kalimah ”Allah” mengikut maksud yang sebenar – iaitu Allah yang maha esa. itupun, jika kita yakin bahawa kalimah Allah itu ada mukjizatnya tersendiri.

Walaubagaimana pun, aku berterima kasih dengan PAS ekoran keputusan semalam yang memberi keizinan terhadap penggunaan Allah ini. Pun begitu, keizinan itu perlu diberi keizinan dalam konsep siyasah Syariiyyah. Iaitu, berfikir dan bertindak agar keizinan ini tidak melahirkan mudharat, bahkan hendaklah boleh melahirkan maslahah kepada islam itu sendiri.

Justeru, keizinan ini memerlukan perancangan dan plan tindakan yang bijak dan berhikmah. Kerana, jangan dilalaikan bahawa golongan bukan Islam juga mempunyai agenda pada kalimah ini. Makanya, kita umat Islam juga perlu menyusun agenda yang bijak sepertimana yang telah dilakukan oleh nabi SAW.


Sekian

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"


Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 Januari 2010 * 1:11 petang

ISU KALIMAH "ALLAH" : KENYATAAN RASMI PAS


KENYATAAN RASMI PAS

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

p/s : diharapkan, agar kenyataan PAS Pusat ini tidak dikafirkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. (sila Klik)

BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?


BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?

Pertama;

Fahaman bahawa tuhan tiga dalam agama Nasrani ini, bukan perkara baru. Bahkan, Al-Quran sendiri mengakui perkara tersebut.

Firman Allah;

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ

Maksudnya;
”sesungguhnya telah kafir mereka yang mengatakan Allah itu ketiga daripada tiga”

(Surah Al-Maidah : 73)

Ayat ini diturunkan semasa Nabi SAW masih hidup lagi. Tetapi, tidak terdapat satu ayat Al-Quran dan hadis pun melarang daripada orang-orang nasrani ketika itu menggunakan kalimah Allah, waima Al-Quran sendiri mengakui bahawa aqidah nasrani bahawa Allah itu ketiga dari tiga.

Kedua:

Fahaman bahawa Allah itu mempunyai anak dari kalangan yahudi dan Nasrani, dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Iaitu firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
”berkata yahudi, Uzair adalah anak Allah. Dan berkata Nasrani, Isa anak Allah”

(Surah At-Taubah : 30)

Waima turun ayat ini di kala Nabi SAW masih hidup, tidak terdapat satu larangan pun dari wahyu, sama ada dari Al-Quran ataupun dar As-Sunnah terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah” untuk yahudi dan nasrani.

Golongan yahudi dan Nasrani dikira kafir dengan sebab aqidah mereka yang mengatakan bahawa Allah itu ada anak, juga mendakwa ketiga dari tiga. Waima begitu, Allah tidak pernah menghalangkan Yahudi dan nasrani ketika itu daripada menggunakan kalimah “Allah” ketika berbicara.

Ketiga;

Ketika berlaku perjanjian al-Hudaibiyyah, Nabi SAW telah memanggil Ali bin Abi Talib dan menyuruh menulis surat perjanjian. Kata Nabi SAW;

اكتب: بسم الله الرحمن الرحيم

Maksudnya;
“tulis (wahai Ali), dengan Nama Allah yang pemurah lagi maha penyayang”

Lalu, apabila surat itu dihulur kepada wakil Quraish (tidak beragama Islam) yang bernama Suhail bin Amr, dia berkata;

لا أعرف هذا، ولكن اكتب: باسمك اللهم

Maksudnya;
“Aku tidak mengetahui ini, tetapi tulislah “dengan Nama-Mu Ya Allah”

Lalu, Nabi SAW pun berkata kepada Ali;

اكتب باسمك اللهم

Maksudnya;
“tulislah (wahai Ali) dengan nama-Mu Ya Allah
[1]

Dari kisah ini, Suhail bin Amr menyebut kalimah ”Allah” dalam keadaan Nabi SAW tidak menghalang tindakan Suhail bin Amr itu. bahkan, nabi SAW mengakui dengan menulis seperti yang disuruh oleh Suhail bin Amr.


Persoalannya;

Jika ada larangan terhadap Non Muslim dari menyebut kalimah ”Allah”, sila nyatakan nas-nasnya. Sama ada dari Al-Quran, mahupun dari Hadis Nabi SAW !! sekadar yang wujud, dalil-dalil atas keizinan, sedangkan dalil-dalil terhadap larangan itu setakat ini tidak kedengaran lagi.

Ada juga ”ulama-ulama” yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sealiran dengan perbuatan nabi SAW. tidak diketahui, siapa yang lebih alim, antara Nabi SAW dengan mereka?

Imam Malik ada menyebut sambil mengisyaratkan tangannya ke kubur Nabi SAW dengan kata beliau;

ما من أحد إلا يؤخذ من قوله ويرد إلا قول صاحب هذا القبر

Maksudnya;
“Tidak ada pun seseorang itu, bahawa tidak diterima dan ditolak daripada perkataannya, melainkan perkataan daripada tuan kubur ini
[2]

“Allah For Allah * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Sekian


Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
5 Januari 2010 * 3:38 pagi



[1] As-Sirah An-Nabawiyyah (ibni Kathir) : 3/320.
[2] Ibni Kathir : 1/54.

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

Allah SWT kata sesuatu itu halal, lalu dikatakan haram. Begitujuga sebaliknya, maka tindakan tersebut dikira sebagai syirik. Dalam kitab "Al-Ilmaniyyah, wahjan bi wajhin" karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi menamakan tindakan sebegini sebagai Syirik undang-undang.

Kesyirikan itu, bukan sekadar berlaku kepada mereka yang menukar hokum Allah, bahkan mereka yang menyokong orang yang menukar hukum juga dikira sebagai syirik. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT menerusi Al-Quran, iaitu firman-Nya;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
"mereka (ahli Kitab) mengambil paderi-paderi mereka, tok guru-tok guru mereka syirik selain dari Allah"

(Surah At-taubah : 31)

Setelah membaca ayat ini, 'Adi bin Hatim (ada baca : Udai) telah datang berjumpa dengan nabi SAW. Ketika itu, Adi masih beragama nasrani. Dia datang dalam keadaan ditengkoknya tergantung salib yang diperbuat daripada perak.

Adi bertanya, "Wahai Muhammad, Ahli kitab tidak menyembah paderi dan tok guru-tok guru mereka"

Jawab nabi SAW;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
"bahkan, tetapi mereka mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka mereka mengikutinya. Maka itu adalah ibadah yang mereka lakukan terhadap mereka (paderi dan tuan guru mereka)
[1]"

Dalam isu kalimah "Allah", amat jelas lagi nyata tentang keizinan Al-Quran dalam menggunakannya. Lalu, apabila ada pihak yang menghalangkanya, bermakna mereka telah menyanggahi dengan keizinan Allah SWT menerusi Al-Quran itu sendiri.

HALANG KERANA SIYASAH SYARIYYAH?

Adapun ada pihak yang berhujjah dengan konsep siyasah syariiyyah dalam menghalangnya, maka ia adalah merupakan tindakan yang tersasar dari maksud perbahasan Siyasah Syariiyyah. Konsep siyasah Syariiyyah adalah, mentadbir sesuatu perkara dengan melihat segala kemaslahatan, tanpa melahirkan mudharat. Itulah deefinisi siyasah dalam kitab Turuq Hukmiyyah karangan Ibnu al-'Aqil
[2].

Bermakna, Sesuatu perlaksanaan keputusan islam, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu, apakah perlaksanaan tersebut boleh mendatangkan maslahah kepada islam, atau sebaliknya. Jika melahirkan kemudharatan, maka perlaksanaan itu ditangguhkan dahulu, disamping dilakukan beberapa tindakan yang akhirnya menjayakan usaha perlaksanaan sesuatu hokum islam itu sendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan umar bin Abdul Aziz yang menyebut, "wahai Anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak didalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya Aku bimbang melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu ditolak oleh manusia secara total. Maka ia merupakan satu fitnah
[3]"

Dalam perlaksanaan hudud di Malaysia, memang ia tidak dapat dilaksanakan lagi. Ia bersebab, ramai rakyat Malaysia yang tidak memahaminya. Justeru, usaha kearah memahamkan rakyat dengan hudud sehingga tidak melahirkan mudharat di saat perlaksanaannya merupakan satu kewajipan.

Makanya, dalam isu kalimah "Allah". Tindakan menafikan hak non muslim yang agama mereka membenarkan pengunaan kalimah "Allah", merupakan tindakan yang tersasar. Masakan agama mereka membenarkan, malahan Al-Quran sendiri mengizinkan penggunaan kalimah Allah ini. lalu, apabila non Muslim menuntut hak mereka, maka wajib diberikan hak tersebut.

Sabda Nabi SAW;

أَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
"berikanlah hak kepada setiap yang mempunyai haknya
[4]"

Cumanya, dalam mengizinkan kalimah "Allah" ini kepada non Muslim, mungkin melahirkan kebimbangan. Kebimbangan tersebut, bukan alat yang membenarkan kita mengharamkan penggunaan kalimah Allah SWT kepada non Muslim. Tindakan mengharamkan perkara yang dibenarkan dalam Al-Quran merupakan syirik, seperti yang telah tersebut dalam surah At-taubah ayat 31.

Justeru, dalam menyelesaikan kebimbangan ini, kaedah menghalang bukan jalan penyelesaian menurut siyasah syariyyah. Tetapi, kaedah siyasah syariyyah yang tepat adalah dengan memberi kebenaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, agar segala kebimbangan itu dapat diselesaikan dengan cara yang betul, tanpa menafikan keizinan Allah SWT.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil untuk Semua"

Sekian


wallahu 'Alam





- Danau kota
4 januari 2010 * 8:55 malam


[1] Sunan At-tarmizi : 3095.
[2] M.s ; 1/16.
[3] Al-Muwafaqat : 2/148.
[4] As-sunan Al-kubra : 4/276.. Al-Mukjam Al-Kabir ; 15/487.

Ahad, 3 Januari 2010

CADANGAN KEPADA PAS DALAM ISU KALIMAH “ALLAH”


CADANGAN KEPADA PAS DALAM ISU KALIMAH “ALLAH”

Apabila berlaku isu kalimah “Allah” ini, aku mencadangkan kepada pimpinan tertinggi PAS, agar melaksanakan beberapa perkara berikut;

Pertama;

Tidak akan bersama dengan pihak kerajaan, bersama-sama membantah keputusan mahkamah. Tetapi, mendesak pihak kerajaan meletakkan syarat-syarat ketat terhadap penggunaan kalimah “Allah” dikalangan non Muslim.

Kedua:

Mendesak badan-badan dakwah dalam kerajaan, seperti JAKIM, IKIM, semua jabatan-jabatan agama Islam di seluruh Negara agar mengagrasifkan dakwah diseluruh Negara. Mencadangkan kepada kerajaan, menyediakan peruntukan dakwah yang tinggi dalam memberi penjelasan tentang islam, terutama tentang kalimah Allah diperhebatkan.

Mencadangkan kepada pihak kerajaan, agar memberi semangat kepada pendakwah-pendakwah supaya tidak sekadar berdakwah di sekitar masjid dan surau, bahkan akan diberikan habuan (sama ada berbentuk hadiah, atau pertandingan) sekiranya mereka mampu berdakwah di luar dari kerangka masjid dan surau, juga di disko-disko dan pub-pub.

Ketiga:

Mendesak ketua Penerangan PAS melaksanakan sesi penerangan isu kalimah Allah dari sudut pandangan Islam. penerangan ini, tidak dibataskan kepada orang islam, bahkan diperhebatkan kepada non Muslim. Program ini hendaklah dilaksanakan disetiap kawasan.

Keempat;

Mendesak agar PAS disetiap negeri mengadakan wacana dan forum intelek bersama dengan non Muslim dalam isu ini. sessi ini, hendaklah dijemput juga para paderi, agamawan-agamawan dari agama lain dan sebagainya.

Kelima:

Mencipta Slogan “Allah For All * Islam For All * PAS For All”. Slogan ini dibuat dalam bentuk sticker dan mencadangkan agar semua ahli PAS pasang disetiap kereta mereka. Juga, cadangkan ia sebagai hadiah kepada non Muslim.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 Januari 2009 * 1:54 petang