Isnin, 5 Januari 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 1

GOLONGAN KUFUR TEGAR

Firman Allah :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman”

(Surah Al-Baqarah : 6)

SEBAB TURUN

Ulama tafsir mendatangkan punca sebab penurunan ayat ini dengan pelbagai riwayat. Sebilangan ulama menyatakan, ayat ini diturunkan berkenaan dengan puak-puak yahudi yang tidak mempercayai kenabian Nabi Muhammad SAW. Iaitu disamping ketaassuban dan assbiyyah kebangsaaan bani israel yang menebal, sehinggakan mereka tidak mahu menerima Al-Quran disebabkan Nabi Muhammad dari bangsa arab, yang mana, pada mereka, nabi yang hanya diterima hanya nabi dari kalangan bangsa Bani Israel sahaja.

Ulama lain pula menyatakan, ayat ini diturunkan berkenaan dengan kejadian peperangan ahzab. Penurunan itu sebagai menyatakan, serangan yang dilancarkan oleh parti-parti kufur, terdiri dari parti yahudi, parti quraish, parti arab-arab yang lain yang menyerang kerajaan Islam Madinah adalah golongan yang tidak boleh lagi dijadikan sebagai bahan rundingan, lantaran keras hati mereka dalam menyerang kerajaan Islam Madinah yang diasaskan oleh nabi Muhammad SAW
[1].

HURAIAN

Ayat ini menyatakan bahawa orang-orang kafir adalah golongan yang keras hati, sehingga tidak akan menerima hidayah walaupun telah dikhabarkan kepada mereka tentang Islam.

Kalimah kufur dalam Islam, merujuk kepada beberapa bentuk, iaitu seperti berikut;

a. kafir asli
b. kafir murtad
c. kafir ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)
d. kafir munafiq

dalam semua bentuk kufur-kufur yang dinyatakan, punca atau sebab mereka menjadi kufur pula terbahagi kepada beberapa sebab, iaitu seperti berikut;

a. kafir kerana kejahilan
b. kafir kerana kepentingan diri
c. kafir kerana keras hati.

Dalam hal ini, dalam menentukan maksud kufur yang Allah nyatakan dalam ayat 6, surah Al-Baqarah, Allah merujuk kepada mereka yang kufur kerana kepentingan diri dan mereka yang keras hati dalam menerima hidayah.

Adapun kepada mereka yang kufur disebabkan kejahilan mereka, ayat ini tidak memfokuskan kepada mereka. Bahkan, kepada mereka ini, sewajibnya mereka diterangkan Islam secara bijaksana, agar di suatu masa nanti mereka akan menerima Islam sebagai agama pegangan hidup mereka, atau setidak-tidak pun, mereka akan menganggap bahawa islam adalah agama yang adil.

Firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
”Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah : 256)

TEGAR DENGAN KUFUR

Apabila mereka sudah tegar dengan kekufuran, sama ada mereka ini diberitahu tentang islam atau tidak diberitahu, mereka tetap tidak akan beriman dengan Allah.

Dalam ayat 6, surah Al-Baqarah ini, Allah menggunakan kalimah ”beri khabar ketakutan”. Sedangkan disana, wujud ”khabar gembira”. Persoalannya, mengapa Allah menggunakan ”khabar ketakutan” dengan neraka, azab kubur dan sebagainya berbanding menggunakan ”khabar gembira” dengan menceritakan syurga, nikmat akhirat sekiranya mereka beriman dengan Allah SWT???

Apa yang boleh kita belajar dari hikmat Allah ini???

Dari sini nyata kepada kita, secara fitrahnya, manusia amat terkesan dengan ketakutan berbanding keseronokkan.

Bentuk ”khabar ketakukan” ini amat sesuai digunakan kepada mereka yang sememangnya degil dengan perintah Allah. Ini kerana, degilnya mereka dengan perintah menunjukkan seakan-akan mereka ini tidak mempunyai perasaan takut langsung.

Dan ”tidak takut” ini, selalunya amat sinonim dengan manusia yang merasa mereka lebih hebat berbanding orang lain. Seperti mafia, gangster dan sebagainya.

Pun begitu, disebalik ”tidak takut” itu, secara fitrahnya, mereka tidak boleh membuang perasaan tersebut, ini kerana, perasaan takut ini sebenarnya adalah sifat insani yang wujud dalam jiwa setiap manusia yang waras dan normal. Dengan itu, walaupun mereka seperti tidak takut, hakikatnya mereka mempunyai perasaan takut juga, iaitu kepada yang lebih mafia dari mereka, yang lebih gangster dari mereka.

Maka dengan demikian, bagi hendak meluputkan ”perasaaan tidak takut” orang kafir yang degil ini, Allah menggunakan ”khabar ketakutan” agar mereka sedar bahawa, disana wujud yang lebih hebat dari mereka, yang lebih berkuasa untuk menghancurkan mereka. Iaitu walaupun mereka ini tidak takut disebabkan mereka ini berasa hebat, sebenarnya ada yang lebih hebat dari mereka. Kehebatan yang melebihi mereka itu adalah Allah SWT yang mereka kufuri, sehinggakan Allah itu mampu untuk menghancurkan mereka.

Pun begitu, disebabkan tegar kekufuran mereka yang berpunca dari ketidak kepercayaan dan ketidak keimanan mereka terhadap Allah secara yakin, walaupun mereka ini diberi khabar ketakutan atau tidak, mereka ini tetap tidak beriman dengan Allah SWT.

Adapun dalam berinteraksi dengan mereka yang tidak degil dengan hidayah, atau terhadap mereka yang kafir disebbakan kejahilan mereka, Islam mengetengahkan konsep berbincang, berdebat secara ilmu, berhujjah dan menjelaskan kebenaran Islam terhadap mereka.

Firman Allah:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya;
”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”

(Surah An-Nahl : 125)

Bersambung ..................

(apa sebab, orang boleh jadi kafir tegar dari perpektif Al-Quran???)

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 Januari 2009 * 4:34 petang.


[1] Sila rujuk dari kitab “lubab an-nuqul”

Tiada ulasan: