Khamis, 26 Februari 2009

HURAIAN “AL-HALAL WA AL-HARAM FI AL-ISLAM” : SIRI 1

ALLAH SAHAJA BOLEH BUAT HUKUM

Dalam meletakkan atau menetapkan sesuatu hukum, sama ada halal atau haram, terletak sepenuhnya di tangan Allah maha berkuasa. Manusia tidak mempunyai kuasa dalam menetapkan hukum, walaupun manusia itu bernama Tuan Guru, bernama Raja, bernama rahib atau sebagainya.

Mana-mana manusia yang bertindak meletakkan atau menetapkan hukum, bermakna manusia itu telah bertindak melampaui batasan yang diizinkan oleh Allah. Golongan yang menyokong tindakan manusia tersebut, dikira sebagai orang yang syirik kepada Allah SWT.

Firman Allah;

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

Maksudnya;
”Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?”

(Surah As-Syura : 21)

Jika diperhatikan kepada tafsiran ayat ini, Imam Ibni Kathir ada mendatangkan hadis yang menyebut tentang tanggungan yang akan dipikul oleh Amru bin Luhai dalam neraka, ekoran tindakannya yang mendatangkan patung ke makkah sehinggakan masyarakat mekah menjadi syirik sedangkan sebelum itu umat mekah berpegang dengan ajaran Nabi ibrahim A.S
[1].

SYIRIK YAHUDI

Jika dilihat kepada yahudi dan nasrani pula, kita akan dapati, antara sebab Allah mencela mereka apabila menganggap paderi dan guru-guru mereka sekutu Allah, iaitu dengan menerima bulat-bulat (baca : Taqlid Buta) hukum yang disebut oleh paderi-paderi dan guru-guru mereka, sedangkan tindakan paderi dan guru mereka itu adalah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah, begitujuga sebaliknya.

Firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Diceritakan bahawa ayat ini telah didengari oleh seorang paderi Nasrani yang bernama ‘Adi bin Hatim, menyebabkan beliau telah datang berjumpa dengan Nabi SAW seraya berkata;

Wahai Rasulullah, mereka tidak pernah menyembah paderi dan guru mereka…. lalu bersabda Nabi SAW;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
“bahkan, sesungguhnya mereka mengharamkan kepada mereka perkara yang halal. Menghalalkan bagi mereka perkara haram, lalu mereka mengikutinya, maka itu adalah sembahan mereka terhadap mereka”

AQIDAH NASRANI

Jika kita perhatikan pula kepada puak-puak nasrani, kita akan dapati bahawa mereka beriktiqad bahawa anak-anak murid Nabi Isa A.S telah diberikan oleh Nabi isa kuasa untuk menghalalkan dan mengharamkan. Perkara ini, dirujuk kepada bible, dalam perjanjian baru, matius, 18:18 yang menyebut seperti berikut;

”ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia akan diizinkan juga di Syurga
[2]

Dari bible, perjanjian baru ini amat jelas menyatakan bahawa kaedah hukum yang diamalkan oleh nasrani adalah dengan meletakkan asas halal atau tidak dengan merujuk kepada syurga. Jika di syurga, amalan itu adalah halal, maka itu juga halal di dunia. Begitulah sebaliknya.

Dengan tindakan sebeginilah, menyebabkan nasrani dicela oleh Allah atas kesesatan mereka yang bertaqlid buta kepada anak-anak murid yang didakwa anak murid Nabi isa yang bertindak menggubal hukum mengikut selera mereka sendiri.

AQIDAH MUSYRIKIN

Begitujuga, Al-Quran ada menceritakan tentang celaan Allah terhadap musyrikin yang bertindak menghalalkan dan mengharamkan berdasarkan otak mereka sendiri, tanpa merujuk kepada Allah SWT.

Firman Allah;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آَللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

Maksudnya;
”Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah ?"

(Surah Yunus : 59)

Menurut Imam Ibni Kathir, ayat ini diturunkan rentetan dari tindakan puak musyrikin yang mengharamkan makanan laut yang dihalalkan oleh Allah SWT
[3].

Begitujuga firman Allah;

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya;
”Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”

(Surah An-Nahl : 116)

KESIMPULAN

Dari segala ulasan-ulasan ini, kita akan dapati bahawa dalam menentukan hukum halal atau haram, tidak selayaknya manusia itu ”pandai-pandai” dalam menentukannya, bahkan hendaklah diserahkan kepada Allah SWT, sama menerusi Al-Quran, atau Hadis Nabi Muhammad SAW.

Hal ini bersesuaian dengan firman Allah;

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya;
”sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu secara terperinci apa yang diharamkan-Nya atasmu”

(Surah Al-Anaam : 119)

Pun begitu, dalam nas al-quran dan As-Sunnah, terdapat juga perkara yang tidak jelas; yang memerlukan kepada ijtihad ulama. Dengan demikian pun, kita akan dapati ulama-ulama mujtahid amat berhati-hati dalam menyatakan sesuatu hukum.

Ini dapat dilihat seperti tindakan Qadhi Abu Yusuf yang pernah berkata;

”kami dapati guru-guru kami amat tidak berminat untuk mengeluarkan fatwa. Ketika mereka berkata, ini halal atau ini haram, nescaya perkara itu dipastikan secara nyata dan jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah Nabi SAW”.

Begitujuga, Ibrahim An-Nakhai pernah bercerita tentang ashabnya dengan berkata;

”mereka apabila berfatwa tentang sesuatu atau menegah sesuatu, pasti mereka akan berkata ”ini adalah perkara yang dibenci” dan ”ini tidak mengapa”. Mereka akan merasa terlalu hebat dan berat jika mereka menyebut ini halal dan ini haram”

Juga Imam Ibnu Taimiyyah ada menyebut;

”sesungguhnya para salaf tidak akan menyatakan pengharaman sesuatu melainkan perkara itu diketahui pengharamannya secara Qatii”.

Begitujuga, Imam Ahmad yang menjawab soalan orang yang bertanya dengan katanya;

”aku tidak menyukainya”, ”aku membencinya”, ”aku tidak berbangga dengannya”, ”aku tidak memandang baik pada benda itu”

Dan begitulah jika diperhatikan kepada ulama-ulama yang terdahulu.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 Febuari 2009 * 4:09 pagi








[1] Tafsir Ibni kathir : 7/198.
[2] Al-Kitab : m.s 29 (perjanjian baru)
[3] Tafsir Ibni Kathir : 4/275.

Tiada ulasan: