Rabu, 25 Februari 2009

KENAPA UMAT LAMBAT FAHAM ISLAM???

KENAPA UMAT LAMBAT FAHAM ISLAM???

Berjumpa dengan dua orang anak buah di salah sebuah Universiti terkemuka di malaysia. Perjumpaan diadakan selepas menyampaikan kuliah subuh di salah sebuah masjid di Ampang, Selangor.

Dalam perjumpaan tersebut, salah seorang dari mereka bertanya kepadaku;

“kenapa Islam zaman kita lambat menang, sedangkan Nabi dalam masa sekejap sahaja boleh memerintah Madinah dengan islam??”

Soalan itu menyebabkan aku berfikir panjang. Berfikir bagi memberikan jawapan yang tepat, walaupun dalam pemikiranku sudah wujud jawapan yang pada andaianku kurang tepat.

Aku mula memasang ”sifir jawapan”. Aku menyebut, Nabi SAW berjaya menerapkan kefahaman dan keyakinan manusia terhadap Allah. Itu yang disebut sebagai Aqidah.

Umat Islam dan non Muslim kini ditimpa dengan krisis ”kenal Allah”. Apabila krisis ”kenal Allah” ini berjaya diselesaikan, pasti kita akan berjaya menerapkan ketaatan manusia kepada Islam.

Soalan kedua bertubi lagi;

”bagaimana baginda SAW berjaya menyelesaikan ”krisis kenal Allah” ini??”

Aku membawa fikiranku ke zaman nabi SAW. aku berfikir tentang sirah Nabi SAW. lalu aku mendapat satu kesimpulan, bahawa umat arab dahulu amat respek dengan kemukjizatan Al-Quran yang merupakan kalamullah dari sudut Sastera.

Walaupun bangsa arab dikenali sebagai bangsa yang tidak pandai membaca dan menulis, tetapi disebalik kelemahan mereka dari sudut membaca dan menulis itu, mereka mempunyai kelebihan dari sudut hafalan, juga mereka memiliki kelebihan dari sudut sastera.

Ekoran kehebatan orang arab dengan sasteralah menyebabkan Allah pernah mencabar orang Arab Quraish agar mencipta sebuah surah yang sama hebat dengan Al-Quran dari sudut sasteranya.

Firman Allah;

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ

Maksudnya;
“Sekiranya kamu berada dalam keraguan daripada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah seumpamanya”

(Surah Al-Baqarah : 23)

Apabila bangsa arab adalah bangsa yang hebat dari sudut sastera, lalu kedatangan Al-Quran menyebabkan mereka terpaksa akur bahawa di sana wujud tuhan yang lebih sastera dari segala sastera yang wujud di atas muka bumi Allah. Justeru itulah, mereka kenal Allah, dan seterusnya mereka beriman dengan Allah.

Apabila mereka sudah kenal dan beriman kepada Allah, maka segala arahan Allah dari Al-Quran akan mudah untuk diterima oleh mereka. ini kerana, krisis kenal Allah mereka telah berjaya diselesaikan melalui “sastera” yang wujud dalam Al-Quran.

Dan aku menilai balik dari sudut kehidupan manusia pada hari ini, khususnya di Malaysia. aku merasakan, “Sastera Al-Quran” bukan asas utama untuk kita hendak menyelesaikan masalah “krisis Kenal Allah” dikalangan kita, ini kerana, rata-rata rakyat Malaysia tidak memahami dan mengerti bahasa arab.

Aku mengambil satu kesimpulan, bahawa krisis ini boleh diselesaikan di Malaysia dengan merujuk kepada kemukjizatan Al-Quran dari sudut yang lain, iaitu menerusi ilmu perubatan dan kajian-kajian sains yang boleh dibandingkan dengan Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.

Aku berpandangan, jika Al-Quran dan As-Sunnah berjaya dibahas dalam bentuk sains, ilmu psikologi dan ilmu maqasid As-Syariah, aku berkeyakinan dimasa akan datang, kemungkinan Non Muslim akan memandang Islam sebagai agama pegangan hidup mereka.

Jika hal ini mahu dilakukan oleh para agamawan sahaja, mungkin ianya satu yang mustahil. Jika ada agamawan atau individu Doktor atau Ahli Psikologi yang mampu pun, ianya juga dilihat sesuatu yang amat meletihkan.

Oleh itu, sudah sampai masanya, para doctor dan para ahli psikologi bersama dengan agamawan bagi membentuk satu badan yang merungkai segala rahsia-rahsia Al-Quran dan As-Sunnah ini, agar ianya akan menjadi satu medium dakwah yang berkesan bagi melihat Islam diterima oleh manusia di Negara kita di masa akan datang.

Itu adalah pandangan peribadiku, dan bagaimana pula pandangan anda pula?????

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Febuari 2009 * 12:20 pagi.





Tiada ulasan: