Selasa, 28 April 2009

IMAM AS-SYATIBI : NASIB SANG PEMBAHARU


IMAM AS-SYATIBI : NASIB SANG PEMBAHARU

Aku baru sahaja selesai membaca kitab “Al-Muwafaqat” secara beransur-ansur yang mengambil masa lebih kurang 3 bulan lamanya. Sambil-sambil membaca kitab tersebut, sempat juga mencari maklumat tentang perjalanan hidup pengarang Kitab Al-Muwafaqat, iaitu Imam As-Syatibi.

Aku amat kagum dengan kebijaksanaan beliau dalam menukilkan konsep ilmu “maslahah” dan “Mafsadah” yang sebelum beliau, agak tidak ada langsung ulama yang berbicara tentangnya.

Pun begitu, berkat kesabaran yang beliau lakukan, aku menganggap beliau merupakan seorang ulama yang hebat, dan pemikiran beliau amat relevan di zaman kini untuk dijadikan bahan dalam berinteraksi dengan nas secara bijaksana.

Imam As-Syatibi, atau nama penuhnya Abu Ishaq Ibrahim As-Syatibi (menurut riwayat, beliau meninggal dunia pada 790 H) seorang tokoh ulama pemikir yang dikagumi ramai. Beliau disifatkan sebagai pencetus pemikiran “maslahah dan mafsadah” dari syariah Islamiyyah.

Jika Ibnu Khaldun dikenali ketokohan beliau menerusi kitab “Muqaddimah”, tetapi Imam As-Syatibi dikenali ketokohan beliau menerusi kitab “Al-Muwafaqat” dan “Al-‘Itisam”.

Di kalangan teman-teman yang mendakwa berpegang dengan prinsip Salafi, mereka menjadi kitab “al-i’tisam” karangan As-Syatibi sebagai perdebatan tentang Bidaah. Pun begitu, dari kalangan mereka yang berpegang dengan prinsip Khalaf pula memegang kitab “Al-Muwafaqat” dalam berbicara tentang konsep maslahat dan mafsadah dalam ilmu usul fiqh.

Diceritakan, diperingkat awalnya beliau agak ditolak oleh masyarakat beliau, bahkan dikalangan ulama-ulama di zaman beliau melebelkan beliau sebagai orang yang berfahaman Muktazilah, bahkan tidak lepas juga tuduhan “ulama pemecah belah masyarakat”. Semua ini adalah ekoran konsep memahami maslahah dan mafsadah yang difahami menerusi akal dalam memahami Nas syariah yang dikemukakan oleh beliau menerusi kitab “al-Muwafaqat”.

Ketika itu, ulama-ulama yang sezaman beliau mula menuduh beliau pembawa bendera Bidaah jenis baru, lebih-lebih lagi apabila fatwa yang beliau keluarkan dilihat oleh masyarakat zamannya terkeluar dari konsep sentemen masyarakat ketika itu.

Melihat tuduhan sebagai “pembawa bendera Bidaah”, menyebabkan beliau mengarang kitab “Al-I’tisam” bagi menjelaskan konsep bidaah yang beliau fahami menerusi Nas Al-Quran dan As-Sunnah.

PEMBAHARUAN

Di zaman sebelum beliau, pemikiran berasaskan “maslahah” dan “Mafsadah” dalam nas belum pernah dibicarakan secara “berkaedah”. Justeru, kehadiran beliau merupakan “pencetus” utama dalam melakukan perubahan dalam membicarakan ilmu “maslahah” dan “mafsadah” secara berkaedah.

Di peringkat awal, konsep yang beliau bawa ini ditolak, dengan dakwaan pemikiran beliau terlalu liberal (kalau ikut ungkapan manusia kini). Pun begitu, beliau tidak menghiraukan tuduhan dan tohmahan itu, bahkan terus menerus berpegang dengan konsep yang beliau fahami, sehinggakan kini kita dapat lihat, betapa benarkan konsep yang beliau cetuskan itu sehingga menjadi bahan rujukan penting dalam memahami ilmu Al-Quran dan As-Sunnah.

Nampaknya, walaupun dulu pemikiran baru beliau di tolak, tetapi kini, pemikiran beliau merupakan bahan bernilai yang tidak dapat dinafikan lagi.

Lihatlah, ulama-ulama kini yang apabila menulis, akan merujuk konsep maslahah dan mafsadah. Seperti Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Syaikh Said Ramadhan Al-Buti dan banyak lagi.

Semua ini adalah berkat kesabaran beliau dalam melakukan perubahan dan pembaharuan demi melihat Islam menjadi agama yang tertinggi di mata-mata umat dunia.

Keadaan yang senasib Imam As-Syatibi ini, tidak sekadar berlaku pada Imam As-Syatibi sahaja, bahkan banyak berlaku kepada tokoh-tokoh yang lain.

Jika kita merenung perjalanan hidup Imam Ibnu Rusyd, Ahmad Wahib, Ustaz Abu Bakar Hamzah dan banyak lagi tokoh-tokoh yang kita lihat; di kala zaman mereka hidup, mereka agak mendapat nasib yang kurang baik semasa mereka sedang hidup, tetapi ternyata selepas kematian mereka, pemikiran-pemikiran mereka telah diterima, walaupun kadangkala pemikiran mereka di terima pakai dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.

Justeru, tidak ada peliknya usaha pembaharuan itu ditolak diperingkat awal, kerana sesuatu kebenaran itu pasti akan diterima di suatu masa nanti.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 april 2009 * 7:50 malam



1 ulasan:

djambu puadovich berkata...

assalamualaikum,
berkenaan isu Sdr. Ridzuan Abdullah dan bekas isterinya Pn Indira Gandhi, apa pula pendapat ustaz?
bagaimanakah PAS (jika berperanan sebagai kerajaan) akan menyelesaikan isu ini tanpa melukakan hati umat Islam dan tanpa menganiaya seorang ibu beranak tiga?
jika diperhatikan, pengulas/pengomen dalam blog2 ni, semuanya membangkang dan menghentam tindakan kerajaan, tanpa ada cadangan membina. apabila tiada cadangan membina, bagaimana diharapkan untuk mahkamah syariah untuk berkembang dan menetapkan penghakiman?
ramai juga yang mengatakan anak2 itu layak masuk islam dan berpendapat mereka itu dalam keadaan "fitrah" mengikut mafhum hadis. akan tetapi, merujuk kenyataan anak itu sendiri, dia tak nak ikut bapanya jadi "melayu" [taknak masuk islam la maknenya tu. kenyataan penuh boleh lihat kat sini: http://www.thenutgraph.com/state-policy-on-unilateral-conversions]

minta jasa baik ustaz menyuluh perkara ini supaya terang kepada saya dan masyarakat. terima kasih dan wassalam :)