Sabtu, 20 Jun 2009

IJTIHAD ADAPTASI


IJTIHAD ADAPTASI

MUQADDIMAH

Syariah islamiyyah datang untuk memberi petunjuk kepada kehidupan manusia dari semua sudut, sama ada dari sudut pemikiran, mahupun dari sudut amalan dan berbagai lagi.

Memandangkan isu kehidupan manusia itu sentiasa berpanjangan, menyebabkan Islam telah meletakkan satu asas dalam kehidupan beragama yang disebut sebagai ijtihad.

Ijtihad didefinisikan oleh Al-Manawi adalah seperti berikut;

“menghabiskan oleh faqih segala keluasannya demi untuk menghasilkan zan terhadap hukum syarak
[1]

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi menerusi kitab ‘Al-Fatawa Al-Maasarah’, beliau menyatakan ijtihad itu berlaku dengan beberapa sebab, iaitu seperti berikut
[2];

a) perkara yang tiada nas;
b) Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai tafsiran yang pelbagai;
c) Terdapat percanggahan antara dua nas.

PEMBAHAGIAN IJTIHAD

Dalam Islam, ijtihad itu terbahagi kepada dua, iaitu;

a) Al-Ijtihad fi Al-Fahm
b) Al-Ijtihad Fi Attatbiq (At-Tanzil).

AL-IJTIHAD FI AL-FAHM

Makna “Al-Ijtihad Fi Al-Fahm” adalah;

“menzahirkan seruan syarak melalui ungkapan ilahi (pembuat syariat), sama ada berbentuk suruhan, ataupun larangan
[3]

Ijtihad jenis ini adalah ijtihad dalam memahami nas. Orang yang layak untuk berijtihad dalam bentuk ini memerlukan syarat-syarat mujtahid, iaitu seperti yang dinyatakan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab ‘Usul Al-Fiqh Al-Islami’ adalah seperti berikut
[4];

a) berkepakaran dalam tiga bidang ilmu;
a. Al-Quran.
b. As-Sunnah.
c. Perkara yang telah diijmakkan.
b) Berkepakaran dalam ilmu usul fiqh.
c) Berkepakaran dalam ilmu bahasa arab.

AL-IJTIHAD FI AT-TATBIQ (AT-TANZIL)

Ijtihad bentuk ini adalah ijtihad dalam mengadabtasikan sesuatu hukum syarak terhadap sesuatu realiti secara amali dengan tidak melanggar batasan yang ditetapkan oleh syarak.

Berijtihad dalam bentuk ”Al-Ijtihad fi At-Tatbiq”, syaratnya tidak seperti syarat-syarat yang terkandung dalam ”Al-Ijtihad fi Al-Fahm”.

Dalam al-ijtihad fi at-tatbiqi, hendaklah orang yang hendak berijtihad itu berkemahiran perlara-perkara berikut;

a) realiti sesuatu tempat.
b) Hukum-hukum yang difahaminya, sama ada menerusi terus dari nas, atau dari menerusi ijtihad-ijtihad ulama yang terlahir dari al-ijtihad fi al-fahm.
c) Mempunyai kemahiran mentatbiqkan (baca : adaptasi) sesuatu ijtihad ulama, atau sesuatu nas terhadap realiti tersebut.

PERKARA PENTING DALAM AL-IJTIHAD FI AT-TATBIQ

Dalam usaha mahu mengadaptasikan sesuatu hukum syarak terhadap sesuatu realiti, memerlukan perkara-perkara berikut;

a) Memastikan / Tahqiq Manatat At-Tatbiq.
b) Memahami maqasid yang terkandung disebalik hukum syarak.
c) Memastikan resiko terhadap perlaksanaan hukum.

MEMAHAMI TAHQIQ MANATAT AT-TATBIQ

As-Syanqiti menyatakan, Al-Manat bermaksud ’illat yang terkandung dalam hukum
[5]. Ulama usul fiqh menyebut, ’Illat merupakan salah satu rukun qiyas. Ia bermaksud, sesuatu sebab yang wujud didalam hukum asal untuk dilampaukan kepada hukum furu’.

Dalam memahami ’illat terhadap sesuatu hukum asal, ia boleh difahami menerusi dua keadaan iaitu seperti berikut;

a) menerusi sebutan nas secara nyata.
b) Menerusi ijtihad ulama.

Dalam ”al-ijtihad fi at-tatbiq”, sesuatu hukum furuk yang hendak diqiyaskan hukum asal, hendaklah mempunyai ’illat yang sememangnya wujud dalam hukum asal tersebut.

Ia diumpamakan seperti pengharaman tuak yang diqiaskan dengan arak, kerana kedua-duanya mempunyai unsur mabuk yang merupakan ’illat terhadap pengharaman arak.

MEMAHAMI MAQASID

Setiap perkara yang diwahyukan oleh Allah, tidak dapat tidak mempunyai maqasid. Ar-Raisuni mendefinisikan maqasid adalah;

”matlamat yang terkandung dalam syariat dengan tujuan untuk melaksanakan maslahah hamba
[6]

Maqasid dalam Islam itu adalah seperti berikut
[7];

a) Dharuriyyat;
b) Hajiyyat;
c) Tahsinat.

DHARURIYYAT

Dharuriyat bermaksud sesuatu yang tidak boleh tanpanya. Ia bersifat menjaga lima perkara penting, iaitu seperti berikut;

a) Menjaga agama; sebab itu, disyariatkan jihad.
b) Menjaga nyawa; sebab itu, disyariatkan hukum bunuh balas terhadap pembunuh.
c) Menjaga keturunan; disebabkan itu, diharamkan zina.
d) Menjaga akal; disebabkan itu, diharamkan arak.
e) Menjaga harta; disebbakan itu, diharamkan mencuri dan hukuman hudud dikenakan kepada pencuri.

HAJIYAT

Adapun Hajiyyat adalah sesuatu yang ketiadaannya, kita masih lagi boleh hidup, tetapi dengan ketiadaannya itu boleh membawa kepayahan dan kesusahan.

Ia mempunyai kaitan dengan lima perkara dharuriyyat, tetapi tidak bermaksud sebagai perkara asasi. Malah, ia sekadar menggambarkan kemudahan dalam Islam yang merupakan kecantikan dalam Islam itu sendiri.

Ekoran itulah, dalam Islam mewujudkan satu perbincangan yang dinamakan sebagai rukhsah.

TAHSINAT

Tahsinat pula adalah sesuatu yang menghiasi dan mencantikan lagi kehidupan. Ia dikenali juga sebagai kamaliyat. Tanpanya, ia tidak mewujudkan sebarang kepayahan.

Antara contoh dalam Islam adalah, seperti kepentingan mencari kufu’ dalam perkahwinan, adab-adab pergaulan suami dan isteri dan sebagainya.

TIMBANGAN MASLAHAH

Dari tiga perkara ini, hendaklah didahulukan Dharuriyyat berbanding Hajiyat dan tahsinat. Begitujuga, hendaklah mendahulukan hajiyat berbanding tahsinat.

Ekoran itulah, jika dibaca dalam sirah, didapati Saidina Omar pernah memberhentikan seketika perlaksanaan hudud terhadap pencuri di masa pemerintahan beliau ditimpa kemarau yang menyebabkan ramai yang kelaparan.

Saidina Omar bertindak sedemikian kerana beliau melihat pertembungan antara mudharat kelaparan dengan mudharat mencuri. Ini kerana, dalam neraca muwazanat, menjaga nyawa itu lebih diutamakan berbanding menjaga harta.

Begitujuga, tindakan Nabi SAW yang agak toleransi dalam menerima syarat-syarat dalam sejarah perjanjian al-hudaibiyyah. Seperti tindakan Nabi SAW menggugurkan tulisan “bismillah” dalam surat perjanjian tersebut
[8].

MEMASTIKAN RESIKO

Sesuatu perlaksanaan hukum, hendaklah dilihat juga resiko disebalik perlaksanaan tersebut. Ini bertujuan, untuk tidak melahirkan mudharat yang lebih besar disebalik perlaksaaan hukum.

Ini dirujuk kepada pemerintahan Omar Abdul Aziz, yang mana, kita dapati beliau merupakan seorang khalifah islam yang baik dan berjaya. Beliau berjaya menegakkan keadilan, menyebarkan kebaikan dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, beliau sendiri tidak berjaya melaksanakan semua yang dikehendaki oleh islam, seperti menghidupkan peranan syura yang menjadi asas pemerintahan islam dan tidak berjaya mengeluarkan pemerintahan khalifah dari ruang kuasa keluarga Bani Umayyah
[9].

Pernah anak beliau bertanya tentang lambatnya beliau melaksanakan urusan pemerintahan islam ini. Mendengar soalan anaknya itu, beliau menjawab;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
“Jangan kamu terburu-buru wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali. Dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang menanggung kebenaran secara keseluruhannya, lalu mereka menolak seluruhnya dan menimpa fitnah
[10]

Juga dirujuk kepada hadis Aisyah yang pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang kedudukan kaabah yang tidak betul dengan tempat yang sebenar, ekoran pembinaan semula selepas keruntuhan kaabah akibat banjir. Aisyah menyatakan, mengapa Baginda Nabi SAW tidak dibetulkan kaabah itu pada tempat yang sebenar setelah Islam telah berjaya menguasai Makkah.

Baginda SAW menjawab;

لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Maksudnya;
”kalaulah tidak kerana umat kamu baru meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku lakukannya
[11]

Juga tindakan nabi SAW melarang para sahabat yang mahu mencegah seorang badwi yang sedang kencing dalam masjid. Tindakan Nabi SAW melarang itu adalah kerana, dibimbangi air kencing akan bertebaran dalam masjid, menyebabkan air kencing itu yang sepatutnya berada di satu tempat, tetapi menjadi banyak tempat yang sudah pasti menjadi masalah untuk mensucikannya.

Dalam memahami resiko tersebut, hendaklah didalami beberapa perkara. Seperti Fiqh Muwazanat, fiqh Awlawiyyat, Fiqh Waqi, Fiqh At-tadarruj, Fiqh Manat Al-Ahkam, Fiqh Maqasid dan sebagainya, yang tidak cukup di ulas dalam ruangan ringkas ini.

PENUTUP

Sabda Nabi SAW;

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya;
”Apabila berhukum seorang hakim, lalu dia berijtihad dan benar ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berhukum, lalu berijtihad dan salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala sahaja
[12]

Sekian

P/s : kertas kerja ini akan dibentangkan di wacana ilmu anjuran IKD (institut kajian dasar) di Jalan terawi pada 21 jun 2009.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- sri Indah (B), Sg Buloh
20 Jun 2009 * 9:52 malam



[1] Al-Mukjam Al-Mustalahat wa Al-Alfaz Al-Fiqhiyyah : 1/ 65.
[2] Al-Fatawa Al-Maasarah : 2/649.
[3] Fi Al-Ijtihad At-Tanzili : 19.
[4] Usul Al-Fiqh Al-Islami : 1/496-497.
[5] Nasyr Al-Bunud ‘Ala Maraqi As-Su’ud : 2/171.
[6] Fi Al-Ijtihad At-Tanzili : 74.
[7] Dhawabit Al-Maslahah Fi As-Syariah Al-Islamiyyah : 365-370.
[8] Kerajaan Pakatan Rakyat dari kacamata Siyasah Syariiyyah : 52.
[9] Fatawa Muasarah : 3/432
[10] Al-Muwafaqat : 2/148
[11] Muwatta’ : 710.
[12] Sunan Abi Daud : 3103.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ana setuju dengan ustaz..Tapi nak tanya,macam maner kalo ader orang kater Islam mesti dizahirkan..berdasarkan hadis tidak akan lenyap segolongan mamusia dari kalangan umatku mereka sentiasa menzahirkan kebenaran...Kemudian ada pendapat pulak kata perjuangan Islam pasti akan ditentang...kalo tak ditentang bukan perjuangan Islam yang sebenar...Jadi pendapat ini dengan hujah yang ustz berikan agak berlainan...hujah ini kata Islam mesti dizahirkan tapi ustaz kata kena perlahan2 sampai orang bleh terima..Harap dapat penjelasan ustaz..

Al-Bakistani berkata...

menzahirkan islam itu penting.. pun begitu, perlu dilihat kesan disebalik menzahirkan islam tersebut, apakah mendatangkan kemaslahatan dakwah yang lebih besar, ataupun melahirkan mudharat yang lebih besar.

menzahirkan atau tidak, itu bukan isunya.. tetapi isunya yang sebenar, bagaimana mahu menzahirkan islam itu?? apakah mendatang kecintaan manusia terhadap Islam, atau melahirkan kebencian manusia terhadap islam...

sekian

Al-bakistani