Rabu, 10 Jun 2009

WALA’ KEPADA PENGUASA


WALA’ KEPADA PENGUASA

IGAUAN PERTAMA

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”

(Surah An-Nisa’ : 59)

Ayat ini dengan nyata dan jelas mewajibkan kepada rakyat memberi ketaatan (baca: wala’) kepada ulil Amri (baca : penguasa) waimma dalam apa jua keadaan sekalipun.

JAWAPAN:

Ketaatan (baca: wala’) kepada Allah adalah mutlaq. Begitujuga ketaatan (baca: wala’) kepada Rasul yang merupakan utusan Allah. Adapun ketaatan (baca: wala’) kepada penguasa, tertakluk kepada ketaatan (baca: wala’) penguasa itu dengan Allah dan rasul. Tanpa ketaatan (baca: wala’) penguasa kepada Allah dan Rasul, maka ketaatan (baca: wala’) kepada penguasa itu adalah tidak wajib, bahkan wajib diderhakai.

Ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ali bin Abi talib bercerita;

”Rasulullah telah melantik seorang lelaki dari ansar untuk mengetuai satu kumpulan tentera. Dalam perjalanan, lelaki itu telah mengarahkan para tentera agar menghimpun kayu api, lalu dibakar dan disuruh tentera-tentera itu terjun ke dalam api itu. ada sebilangan tentera mahu terjun ke dalam api, tetapi dihalang oleh seorang pemuda, lalu menyuruh tentera agar hal ini di rujuk kepada Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Ketika mereka berjumpa dengan Rasulullah SAW, dan bertanyakan hal itu, menyebabkan baginda SAW terus berkata;

لو دخلتموها ما خرجتم منها أبدا؛ إنما الطاعة في المعروف

Maksudnya;
”Kalau kamu masuk dalam api itu, pasti kamu tidak akan keluar sampai bila-bila (baca : masuk neraka). Hanya sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara ma’ruf sahaja
[1]

IGAUAN KEDUA:

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda;

عَلَيْكَ السَّمْعَ وَالطَّاعَةَ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ

Maksudnya;
“hendaklah kamu dengar dan taat dalam perkara yang kamu susah atau kamu senang; kamu suka atau benci; dan perkara yang dipentingkan dirinya atas kamu
[2]

Dari sini menjadi dalil bahawa ketaatan (baca: wala’) kepada penguasa itu adalah perkara penting, bahkan wajib diberikan kepadanya dalam apa jua keadaan, walaupun dalam perkara yang merupakan kepentingan diri penguasa (arab : أثرة) sendiri.

Justeru itu, menderhaka (baca: tidak wala’) terhadap penguasa merupakan perkara yang haram.

JAWAPAN:

Ulasan ini dijawab dengan dua jawapan; ianya seperti berikut;

1- Secara asas, ketaatan terhadap penguasa itu adalah selagi mana penguasa itu memberi arahan yang tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul. Sekiranya arahan yang berasaskan kepada Allah dan Rasul itu dilakukan, maka wajib atas rakyat mentaatinya, sama ada arahan itu disukai atau tidak; mudah dilaksanakan atau tidak.

Adapun arahan yang dilakukan itu tidak berasaskan kepada kehendak Allah dan Rasul, maka arahan itu tidak boleh ditaati, walaupun ianya disukai oleh rakyat.

2- Dalam hadis ini menyebut, ketaatan itu hendaklah diberikan kepada penguasa, walaupun dalam perkara yang melibatkan kepentingan peribadi penguasa?

Perlu diingat, maksud dengan ”الأثرة” atau diterjemah sebagai “kepentingan diri” penguasa adalah, dengan melebihkannya atau memberi penghormatan lebih kepada penguasa tersebut berbanding orang lain. Ianya bukan bermaksud membiarkan penguasa melakukan penyelewengan demi keuntungan peribadinya, seperti bertindak mengambil harta rakyat dengan sesuka hati; membiarkan penguasa melanggar undang-undang dan sebagainya
[3].

Bermaksud, apabila penguasa bertindak mengikut wewenang dirinya, sehingga melakukan kezaliman, melanggari undang-undang atau sebagainya, maka tindakan penguasa itu tidak boleh diberikan ketaatan, bahkan wajib diberikan teguran.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 jun 2009 * 10:19 pagi



[1] Sahih Al-Bukhari : 4340 dan Sahih Muslim : 1840.
[2] Musnad Ahmad : 8596.
[3] Hasyiyah As-Sindi : 5/459

Tiada ulasan: