Rabu, 19 Ogos 2009

AL-KISAH (11) : “BANTULAH KAMI UNTUK LAKSANAKAN KEADILAN”


“BANTULAH KAMI UNTUK LAKSANAKAN KEADILAN”

Setelah jenazah Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dikebumikan, Omar bin Abdul Aziz duduk berehat di salah satu sudut kawasan perkuburan. Dalam kadar beberapa minit sahaja, dia bangun dan terus pergi di tempat rakyat berhimpun, kerana di sana, beliau akan menghadiri majlis baiah; iaitu majlis perlantikan beliau sebagai khalifah.

Sesampai sahaja beliau di majlis baiah itu, semua rakyat-rakyat berdiri memberikan penghormatan kepada beliau.

Melihat tindakan rakyat yang berdiri itu, wajah omar berubah, seakan-akan tidak seronok dengan tindakan tersebut sambil kedua-dua tangannya mengisyaratkan kepada rakyat-rakyatnya agar duduk.

Sesampai sahaja di pentas ucapan, Omar Abdul Aziz memulakan ucapan.

”Wahai sekelian rakyatku, tidak layak kamu berdiri di kala aku berdiri. Tidak layak kamu duduk di kala aku duduk. Sesungguhnya yang layak berdiri hanya di hadapan Allah SWT, tuhan sekelian alam” ucapan Omar menyentap perasaan dan hati setiap yang mendengarnya.

”Sesungguhnya Allah telah menetapkan undang-undang dan peraturan-peraturan” sambungnya lagi, ”barangsiapa yang melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan itu, pasti dia akan mendapat ketenangan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Dan barangsiapa yang mengabaikan daripada mengikuti undang-undang dan peraturan-peraturan Allah itu, sudah pasti mereka mendapat kehinaan hidup di dunia dan akhirat”

Semua rakyat yang hadir terpaku dengan ucapan yang disampaikan oleh Omar itu. ucapan yang bersemangat itu, seakan-akan mereka seperti terkena sihir.

”wahai rakyatku sekelian” sambung Omar, ”barangsiapa yang ingin mengikuti kami, maka hendaklah dia mengikuti dengan lima perkara. Pertama, sesiapa yang mempunyai sesuatu hajat, maka hendaklah dia memaklumkan permohonan hajatnya itu kepada kami. Kedua, tunjukkan kepada kami keadilan yang kami tidak lakukannya. Ketiga, bantulah kami dalam melaksanakan kebenaran dan keadilan. Keempat, janganlah seseorang kamu mencemoh kami, tetapi hendaklah baiki kami jika kami melakukan kesilapan. Dan terakhir, barangsiapa tidak melaksanakan aturan-aturan Allah, pasti dia akan berada dalam kesulitan, sama ada di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat nanti”

Semua rakyat yang mendengar ucapan omar itu tersentuh dengan isi kandungan ucapan tersebut. Mereka tidak menyangka, bahawa Omar merupakan seorang khalifah yang begitu hebat, sehingga mampu mengungkap kalimah sedemikian, sedangkan ia tidak pernah diungkapkan oleh seorang khalifah pun sebelum Omar bin Abdul Aziz.

BANTUAN RAKYAT TERHADAP PEMIMPIN

Tidak dinafikan, sesuatu keadilan yang hendak dilakukan, tidak dapat tidak berharap kepada bantuan dari manusia lain juga. Seseorang manusia yang menjadi pemimpin, ia tidak akan berjaya melaksanakan keadilan, jika dia tidak dibantu oleh rakyatnya sendiri.

Ini diumpamakan seperti seorang lelaki yang berpoligami. Apabila berpoligami, tuntutan yang paling penting adalah, hendaklah dia melakukan keadilan terhadap para isterinya. Pun begitu, keadilan yang hendak dilakukan, hendaklah dilakukan dalam keadaan semua isteri-isterinya itu membantu untuk dia melakukan keadilan terhadap mereka.

Apabila para isteri bertindak mendesak, atau hanya menuntut sahaja, sudah pasti suami yang berpoligami tidak akan berjaya melaksanakan keadilan seperti yang dituntut oleh Allah SWT.

Justeru, sebagai isteri yang baik dan meletakkan sayang dan kasihnya terhadap suami, sudah pasti dia akan bertindak membantu suaminya dalam melakukan keadilan terhadap dirinya, juga terhadap isteri-isteri yang lain. Isteri yang baik, dia tidak sekadar mendesak agar suaminya memberikan hak kepada dirinya sahaja, malah dia akan mendesak agar suaminya memberikan hak terhadap isteri-isteri yang lain juga.

Bertindak mendesak suaminya agar memberikan hak kepada dirinya sahaja, disamping membiarkan suaminya mengabaikan hak terhadap isteri-isteri yang lain, merupakan tindakan yang pada hakikatnya, isteri tersebut tidak menyintai suaminya itu, malah membiarkan suaminya mendapat kebinasaan di akhirat nanti.

Keadaan yang sama juga bagi seseorang pemimpin. Sebagai rakyat yang baik, dia akan bertindak mendesak pemimpin-pemimpin negara agar melakukan keadilan. Sebarang kezaliman yang dilakukan pemimpin, pasti akan diadakan teguran.

Apabila rakyat melakukan teguran terhadap pemimpin, itu bukan bermakna rakyat itu membenci pemimpin, tetapi ia merupakan satu tanda cinta dan sayang rakyat terhadap pemimpin tersebut, agar tidak melakukan perkara yang boleh menyebabkan pemimpin itu dihumbankan dalam neraka di akhirat nanti.

Sebaliknya, dalam beberapa keadaan pula, tindakan rakyat yang hanya diam sahaja terhadap kesalahan yang dibuat pemimpin merupakan satu bahaya, malah mampu menjadikan pemimpin itu binasa di suatu masa nanti.

Lihatlah kejatuhan banyak tamadun-tamadun dunia; jatuhnya pemimpin-pemimpin mereka, apabila wujudnya pemimpin-pemimpin yang tidak boleh ditegur, malah rakyat mereka ditutup mulut daripada dibenarkan membetulkan kesilapan pemimpin.

Lihatlah kejatuhan kekuasaan Saddam Husain di Iraq. Tidak dinafikan bahawa beliau dibunuh dengan konspirasi amerika, tetapi disebalik kejatuhannya dapat dilihat, bahawa antara yang menyerang beliau adalah rakyatnya sendiri, kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya yang kediktatoran di saat dia memerintah iraq dahulu.

Justeru, kisah Omar bin Abdul Aziz ini dapat memberikan kepada kita satu pengajaran penting, betapa Omar sentiasa mengharapkan bantuan dari rakyatnya untuk membetulkan, malah bersama-sama membantu untuk dia melakukan keadilan kepada rakyatnya. Lantaran itulah, tidak hairan dia merupakan seorang tokoh politik islam yang disayangi rakyatnya.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 ogos 2009 * 11:29 pagi

Tiada ulasan: