Isnin, 5 Oktober 2009

“JANGAN LAKUKAN KEROSAKAN!”


“JANGAN LAKUKAN KEROSAKAN!”

Semasa Nabi SAW berada di Makkah, istilah munafiq tidak pernah timbul. Tetapi, kewujudakan golongan munafiq adalah setelah penghijrahan nabi SAW bersama-sama sahabat muhajirin ke Madinah.

Di Madinah, terdapat beberapa kabilah, terutama dua kabilah yang besar; Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah ini yang memberi bantuan kepada nabi SAW sehingga mereka digelar dengan panggilan ‘Ansar’.

Amalan kedua-dua kabilah ini adalah seperti amalan yang diamalkan oleh musyrikin arab, disamping mengambil sedikit sebanyak amalan dari puak-puak yahudi yang menetap di Madinah. Puak-puak yahudi yang berada di Madinah terdapat tiga kelompok; iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Ketika Nabi SAW masuk ke Madinah, ramai dari kalangan rakyat madinah dari kalangan Aus dan Khazraj ini memeluk islam. terdapat juga dari kalangan orang yahudi yang masuk islam, walaupun bilangan mereka terlalu sedikit, seperti seorang yahudi yang bernama Abdullah bin Salam R.a. Walau beliau asalnya seorang berbangsa yahudi, tetapi setelah memeluk islam, beliau merupakan seorang sahabat yang hebat, malahan beliau antara sahabat nabi yang dijanjikan syurga semasa hidup.

Sebelum tercetus peperangan badar, golongan munafiq ini belum lagi timbul. Tetapi, setelah kemenangan berbelah pihak kepada Islam dalam peperangan badar, menyebabkan ramai dari kalangan orang-orang madinah yang memeluk islam.

Ada sebilangan kecil dari mereka yang memeluk islam itu, bukan kerana keikhlasan mereka terhadap Islam, tetapi demi untuk mengaut keuntungan semampu yang boleh, juga mewujudkan pertembungan antara rakyat Madinah dan sebagainya, agar madinah yang sudah dikuasai oleh orang Islam akan jatuh balik ke tangan orang kafir semula. Golongan itu disebut sebagai munafiqin.

Banyak tindakan-tindakan jahat yang dilakukan mereka; kerosakan dan kebinasaan. Tindakan itu, semua dengan harapan agar kekuatan madinah pimpinan Nabi akan jatuh dan gugur kehinaan.

Di kala Nabi SAW menetapkan perjanjian agar wujudnya persaudaraan antara Aus dan Khazraj, mereka hadir sebagai batu api; dengan tujuan mewujudkan perbalahan antara kaum-kaum tersebut. banyak isu-isu pertembungan kabilah diwujudkan mereka, semata-mata mahu melahirkan kelemahan dalam dalam kerajaan Islam Madinah, pimpinan Nabi SAW.

Tindakan mereka itu merupakan satu kemungkaran, malahan penyebab utama berlakunya kerosakan. Justeru itu, Allah menurunkan ayat 11 dan 12 dari surah Al-Baqarah;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ * أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
Apabila diberitahu kepada mereka, ”jangan kamu lakukan kerosakan di atas muka bumi”.

“Sesungguhnya kami adalah orang yang melakukan pembaikan” jawab mereka.

Sebenarnya, mereka adalah golongan yang melakukan kerosakan, tetapi mereka tidak sedar dan tidak perasan.

MEMBERI PESANAN

Sebarang kerosakan yang dilakukan oleh manusia, semuanya berpaksikan kepada nafsu. Sesuatu tindakan yang berasaskan kepada wahyu, maka itu tidak disebut sebagai kerosakan.

Kerosakan yang berlaku, tidak kira apa jenis sekalipun. Ada kalanya berbentuk melahirkan kerosakan kepada diri individu manusia, seperti membawa kepada gejala sosial, zina, dan sebagainya. ataupun, kerosakan itu bersifat yang lebih luas, seperti melibatkan negara dan masyarakat.

Rasuah merupakan kerosakan yang akan menimpa negara. Sistem ekonomi kapitalis, melahirkan suasana kehidupan rakyat bawahan yang semakin hari semakin terkebawah, disamping yang kaya akan terus menjadi kaya.

Dikala wujud keadaan ini, Islam menyeru agar dilakukan nasihat. Ia tidak cukup sekadar berjumpa dan diberitahu sahaja, malahan mewujudkan wacana secara sihat, bagi mencari keputusan yang jitu merupakan satu perkara yang dituntut.

Firman Allah;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
”Katakanlah, datangkan hujjah-hujjah kamu, sekiranya kamu adalah orang yang benar”

(Surah Al-Baqarah : 111)

Tindakan memberhetikan golongan yang melakukan maksiat dengan menghentam sahaja, merupakan tindakan yang kurang bijak, disamping melahirkan kerugian dakwah yang teramat sangat.

Ini kerana, apabila tidak dilakukan dialog, wacana, berdebat dan sebagainya, malahan hanya sekadar menghentam, ia akan mewujudkan prejudis mereka terhadap islam, juga terhadap pendakwah itu sendiri.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti pendakwah akan menghadapi masalah dalam pendekatan. Dengan ini, akan terlahirnya kerugian teramat sangat dalam berdakwah.

KEROSAKAN DI BUMI MEMBAWA KE AKHIRAT

Kerosakan menerusi ayat 11 dari surah Al-Baqarah, ditafsirkan oleh para ulama tafsir sebagai maksiat. Sebarang maksiat yang dilakukan, bermakna ia membenarkan berlakunya kerosakan.

Persoalannya, mengapa maksiat dikaitkan dengan kerosakan menerusi ayat ini?

Apa yang perlu diingat, Islam satu agama yang menekankan kebahagiaan hidup didunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Kebahagian hidup dunia, tidak dapat tidak merujuk kepada Islam. apabila tidak berzina, memang dilihat seperti tidak wujudnya kesenangan diri untuk mendapat keenakkan seks, tetapi disebalik zina itu terdapat seribu satu kesusahahan yang lebih besar berbanding kenenakkannya.

Apabila seseorang perempuan yang berzina, mengandung merupakan satu kemungkinan yang besar. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti perempuan itu akan menghadapi seribu satu kesusahan, disamping lelaki yang berzina dengannya terlepas tangan dari sebarang kesusahan yang sedang dihadapi oleh perempuan yang berzina.

Justeru, bagi mewujudkan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan yang sama-sama mengecapi keenakan seks, maka islam mewujudkan pernikahan; pengikat hubungan antara lelaki dan perempuan.

Bermakna, apabila dua suami isteri bersetubuh dalam cara perkahwinan, ia akan terwujud tanggungjawab suami terhadap isteri yang sedang berada kesusahan dalam mengandungkan anak.

Dari ini, kita dapat melihat bagaimana kebahagian hidup antara lelaki dan perempuan itu wujud. Tidak menyusahkan kepada satu pihak, melepaskan dari kesusahan pula dari pihak yang lain. malahan, bersifat kesusahan tersebut dihadapi bersama-sama.

Apabila dengan tidak berzina itu, kebahagian hidup di dunia ini sudah tercapai, disampng itu juga, tidak berzina akan memberikan ganjaran pahala di akhirat nanti. Makanya, berzina itu memberi kesusahan dalam hidup di dunia, seterusnya melahirkan masalah yang teramat besar di akhirat nanti.

MENGAKU BUAT BAIK

Waimma melakukan kebinasaan, masakan mahu diakui ia sebagai perkara buruk. Manusia akan menganggap, apa yang mereka lakukan sebagai kebaikan, walau ia pada hakikatnya adalah keburukan.

Orang-orang munafiq di zaman Nabi yang melakukan kerosakan, dengan mewujudkan tindakan yang boleh menjatuhkan kerajaan islam, pasti mereka akan mengatakan mereka sebagai orang yang baik.

Tindakan seperti itu adalah perkara biasa bagi mereka yang melakukan sesuatu kejahatan. Tujuan mereka bertindak sedemikian adalah, untuk menyelamatkan diri mereka dari dikatakan sebagai orang yang melakukan kerosakan (cover line), disamping untuk meneruskan agenda yang sudah tersemat dalam diri mereka sendiri sejak sekian lama.

Pada mereka, Islam bukan agama yang wajar ditegakkan. Sebaliknya, kewujudakan islam akan menyebabkan mereka menjadi susah. Susah hendak bermualamat dengan riba, rasuah, berzina, maksiat dan sebagainya.

Ekoran itu, mereka akan mencipta seribu satu tindakan yang dilihat seperti baik, tetapi hakikatnya adalah keburukan; yang bisa merosakan umat Islam itu sendiri. Mereka akan mewujudkan kesamaran terhadap islam di mata-mata orang bukan islam, bahkan di mata-mata orang Islam sendiri. Pada mereka, itu semua perkara baik, walhal ia adalah buruk; yang murkai oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam



Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), sg Buloh
5 oktober 2009 * 3:34 petang

Tiada ulasan: