Ahad, 3 Januari 2010

FIQH TAGHYIR PERLU, TETAPI JANGAN SAMPAI LAKUKAN KEZALIMAN


FIQH TAGHYIR PERLU, TETAPI JANGAN SAMPAI LAKUKAN KEZALIMAN

Fiqh Taghyir merupakan sesuatu keperluan. Taghyir Fiqh merupakan satu kesesatan. Fiqh Taghyir bermakna, fiqh dalam usaha melakukan sesuatu perubahan, daripada orang yang kezaliman kepada keadilan, daripada tidak faham islam kepada faham Islam, daripada tidak kenal Islam kepada kenal Islam.

Adapun Taghyir Fiqh adalah mengubahkan kandungan fiqh, daripada keadilan kepada kezaliman, daripada hampir kepada Islam kepada semakin jauh dengan Islam dan sebagainya.

Konsep Fiqh Taghyir bermula dari kehendak dan keinginan hendak berubah. Firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah satu kaum, hinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri”

(Surah Ar-Ra’d : 11)

Seseorang boleh berubah, apabila ada kehendak hendak berubah. Tanpa kehendak, perubahan pasti tidak akan berlaku. Ekoran itu, Umar bin Abdul Aziz tidak terus mengubah banyak amalan-amalan dalam kerajaan kepada Islam secara total. Perkara ini amat nyata, ketika beliau ditanya oleh anaknya, Abdul Malik tentang perkara itu.

Umar bin Abdul Aziz menjawab, ”wahai anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan diharamkan pada kali ketiga. Aku bimbang jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu mereka menolaknya secara total”

Apakah Umar bin Abdul Aziz tidak mahu mengubah dasar kerajaan ketika itu? sudah pasti jawapannya adalah, Umar tetap mahu mengubah. Tetapi, mengenangkan majoriti rakyat tidak berkehendak lagi untuk melaksanakan kebenaran ekoran tidak memahaminya lagi, menyebabkan Umar tidak melaksanakan kebenaran tersebut secara terus, sebaliknya mengambil sikap membina kehendak rakyat terlebih dahulu.

Inilah gambaran fiqh taghyir dalam usaha melaksanakan keadilan dan kebenaran yang wujud dalam al-Quran, juga pernah dilaksanakan oleh golongan salaf terdahulu.

KEADILAN UNTUK SEMUA

Islam menuntut supaya melaksanakan keadilan. Kezaliman ditentang hebat oleh islam. Ulama yang melaksanakan tauhid adalah ulama yang melaksanakan keadilan.

Firman Allah ;

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ

Maksudnya ;
”Allah telah bersaksi bahawa tiada tuhan melain Dia. Juga para malaikat dan para ilmuan yang melaksanakan keadilan”

(Surah Al-Imran : 18)

Ayat ini, Allah menyatakan bahawa dari golongan manusia yang boleh bersaksi atas keesaan Allah adalah mereka yang berilmu, juga melaksanakan keadilan. Tanpa ilmu dan tidak melaksanakan keadilan, ketauhidan mereka terhadap Allah diragui.

Keadilan dalam Islam, bukan sekadar terhadap manusia yang beragama Islam. terhadap binatang wajib diberikan keadilan.

Nabi SAW ada bercerita;

بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya;
”seorang lelaki telah berjalan, lalu dia ditimpa haus yang teramat sangat. Lelaki itu masuk ke dalam telaga, lalu minum air daripadanya, kemudian keluar, didapati ada seekor anjing yang sedang menjilat pasir yang basah disebabkan kehausan.

Dia berkata, ”Anjing ini terlalu haus sepertimana aku tadi”

Lalu dia turun kembali ke dalam telaga, lalu dicedoknya air telaga dengan kasutnya digigit dengan mulutnya. Kemudian, dia panjat telaga itu dan memberi minum kepada anjing tersebut. Allah SWT terima kasih terhadap nya, dan Allah memberi keampunan dosa kepadanya.

Sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, Apakah kita akan mendapat pahala dengan sebab kita memberi minum kepada binatang?”

Jawab nabi SAW, ”pada setiap kebaikan, pasti akan mendapat pahala
[1]

Hadis ini, kita dapat lihat bagaimana keadilan terhadap binatang perlu dilakukan. Jika terhadap anjing juga, perlu dilakukan keadilan, sudah pasti melaksanakan keadilan terhadap non muslim adalah terlebih diutamakan.

Yang nyatanya, konsep keadilan terhadap non Muslim ini telah dinyatakan sendiri oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
”Allah tidak pernah halang kamu bahawa melaksanakan kebaikan dan keadilan terhadap (Non Muslim) yang tidak pernah menyerang kamu dalam agama, dan mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melaksanakan keadilan”

(Surah Al-Mumtahanah : 8)

NON MUSLIM PUN ADA HAK


Dalam islam, hak adalah wajib diberikan. Menafikan hak, adalah tindakan yang haram. Allah SWT menyuruh manusia menunaikan hak, waima terhadap tubuh badan sekalipun.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya;
“Sesungguhnya bagi jasad kamu atas kamu ada hak. Terhadap tuhan kamu, atas kamu ada haknya. Terhadap keluarga kamu, atas kamu ada haknya
[2]

Jika beribadat kuat, sehingga lalai dari menunaikan hak badan, seperti tidur, beristeri dan sebagainya merupakan perkara tegahan. Inikan pula, hak non Muslim dinafikan haknya.

Walhal, dalam Islam hak keadilan terhadap non Muslim ini telah nyata dalam Al-Quran bahawa hendaklah diberikan kepada mereka. masakan perkara besar, hak bersuara juga hendaklah diberikan kepada sesiapa sahaja, termasuk mereka.

Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang dia bersuara
[3]

Ini menunjukkan, konsep keadilan Islam ini amat menyeluruh. Tidak dibataskan kepada mereka yang beragama Islam sahaja, bahkan menjangkaui mereka yang tidak beragama islam dan juga binatang.

Dalam isu Kalimah ”Allah”, ia merupakan hak non Muslim yang wajib diberikan. Ia perkara yang diizinkan dalam agama mereka, justeru menafikan hak mereka merupakan tindakan yang tidak berasaskan kepada Islam.

FIQH TAGHYIR MENAFIKAN HAK?

Dalam konsep fiqh taghyir, tidak pernah wujud unsur menafikan hak. Yang wujud dalam fiqh taghyir adalah, perlaksanaan hak itu wajib diberikan, waima mengambil masa yang terlalu lama sekalipun.

Jika ada manusia yang menyebut bahawa penafian hak mereka menggunakan kalimah ”Allah” dengan alasan kaedah fiqh taghyir, ia merupakan satu tafsiran yang amat tersasar dari maksud fiqh taghyir yang sebenar.

Yang nyata dalam islam, tidak ada penafian hak yang dibenarkan dalam Islam, waima atas dasar apa sekalipun.

Justeru, konsep fiqh taghyir dalam menafikan hak non Muslim menggunakan kalimah ”Allah” adalah tersasar sekali dari maqasid Islam yang menyuruh melaksanakan keadilan dan menghindarkan diri dari kezaliman.

BIMBANG?

Tidak dinafikan, wujud kebimbangan dalam membenarkan penggunaan kalimah ”Allah” terhadap Non Muslim. Jika keadaan ini berlaku, tindakan menghalang terus adalah tindakan yang terlalu dangkal. Ia sama sekali tidak berasaskan kepada konsep keadilan Islam.

Justeru, dalam menyelesaikan kebimbangan ini, dengan kaedah siyasah Syariiyyah, dalam isu ini, adalah lebih baik kita menerima pandangan daripada Dr Mahathir, bekas perdana Menteri yang mencadangkan agar keizinan itu hendaklah diletakkan syarat-syarat yang ketat, berbanding mengambil sikap menafikan terus.

Jika kita mengambil sikap meletakkan syarat-syarat, sudah pasti keadilan terhadap Non Muslim tidak dinafikan, disamping kita berjaya menyelesaikan kebimbangan yang sedang menimpa diri kita dengan kebijaksanaan sekali.

Padaku, Islam adalah agama adil untuk semua.

”Allah For All * Islam For All.”

Sekian

p/s : apabila bertembung statement Allah dengan Statement manusia, sudah pasti aku memilih statement Allah.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
4 Januari 2009 * 1:19 petang




[1] Al-Bukhari : 2190.
[2] Ad-Daruqutni : 2258.
[3] Al-Bukhari : 2141.

Tiada ulasan: