Ahad, 26 Julai 2009

UMNO GAGAL FAHAMI “ASBAB AL-WURUD” TOK GURU


UMNO GAGAL FAHAMI “ASBAB AL-WURUD” TOK GURU

Orang yang belajar hadis, diketemui satu perbincangan disebut sebagai “asbab al-wurud”. Adapun dalam pengajian Tafsir, disebut sebagai “asbab An-Nuzul”.

Secara mudahnya, Asbab al-wurud atau asbab An-Nuzul difahami sebagai mengetahui punca-punca atau sebab-sebab terpanculnya sesuatu perkataan dari mulut Nabi SAW, atau sesuatu penurunan wahyu.

Asbab an-nuzul atau asbab al-wurud, memang tidak menjadi asas dalam mengeluarkan hukum. Ini kerana, dalam kaedah fiqh ada menyebut, perkara yang sabit dalam Nas itu, tidak membataskan penafsiran maksudnya yang lebih umum.

Pun begitu, asbab al-wurud atau asbab an-nuzul, ia merupakan sesuatu perkara yang penting bagi memahami maksud nas dari wajahnya yang sebenar. Jika tidak, dibimbangi berlaku kesalahan dalam penafsiran nas.

Ini diumpakan seperti firman Allah SWT yang menyebut;

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya;
“Jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu kepada kebinasaan”

(surah Al-Baqarah : 195)

Orang yang malas berjihad, mereka menggunakan ayat ini sebagai hujjah mereka daripada terlibat dalam jihad. Alasan mereka, ayat ini melarang agar tidak menjadikan diri kita berada dalam kebinasaan. Pada mereka, berjihad bermakna menuju kepada kebinasaan.

Sebaliknya, apabila dirujuk kepada asbab an-nuzul ayat ini, kita akan dapati bahawa ayat ini diturunkan kepada mereka yang malas berjihad. Dengan kata lain, orang yang yang tidak mahu berjihad itu sebenarnya adalah orang yang berada dalam kebinasaan
[1].

KENYATAAN TOK GURU

Muhyiddin Yasin mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan bahawa kononnya tok guru Nik Abdul aziz mahukan kerajaan perpaduan apabila menyebut bahawa beliau sedia bekerjasama dalam menjalinkan antara kerajaan Negeri Kelantan dengan kerajaan pusat.

Apa yang pasti, kenyataan tok guru itu diputar belitkan oleh Muhyiddin Yasin. Ini kerana, hakikat sebenar, ’asbab al-wurud’ dari kenyataan Tuan Guru itu bukan kerjasama antara parti UMNO-PAS, tetapi adalah kerjasama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan persekutuan yang menyatakan, kewajipan kerajaan pusat memberikan hak kepada kerajaan negeri (kelantan), waimma berbeda parti sekalipun.

Nampaknya, UMNO sudah berada dalam kesesakan Nafas dalam menghadapi Kerajaan Pakatan Rakyat di Malaysia. Ini dapat dilihat, dengan kegilaan talak yang ditunjukkan UMNO terhadap PAS dalam mencari kekuatan parti mereka yang semakin hari semakin dibenci rakyat, dan semakin hari ditinggalkan oleh ahli UMNO sendiri.

Sekian

Sila baca juga;

Pemimpin UMNO benar-benar kemaruk isu kerajaan perpaduan (Harakahdaily)

UMNO diingatkan jangan manipulasi kenyataan Nik Aziz (Harakahdaily)

Nik aziz : saya tidak sebut soal perpaduan antara UMNO dan PAS (alhusseyn)


Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 Julai 2009 * 2:20 petang




[1] Tafsir Ibni Khathir : 1/528.

Tiada ulasan: