Rabu, 23 Mei 2012

PAPAN TANDA KE SYURGA


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan buat pertama kalinya, banyak mencabar sedikit. Ramai kata, ikut sahaja apa yang termaktub dalam papan tanda, maka itu sudah memadai untuk kita sampai ke destinasi yang mahu dituju. Hakikatnya, tidak mudah seperti yang didakwa.

Papan tanda yang diikuti, juga perlu kepada orang yang “mensyarahkannya”. Tanpa kupasan dari orang yang berpengalaman, mungkin tidak sampai ke Kelantan. Mungkin sampai ke tempat lain, atau sekadar sampai di Pahang, lalu sesat jalan, tidak jumpa jalan pulang dan pergi.

“kalau dari KL, mula-mula cari papan tanda tulis bentung, lepas tu Raub, lepas Kuala Lipis, lepas tu gua Musang…” kata seseorang yang berpengalaman tentang perjalanan ke Kelantan. Ketika itu, kita mula memikirkan bagaimana jika tidak mempunyai penjelasan dari orang berpengalaman. Mungkin kita mahu ke Kelantan, tetapi yang kita sampai adalah Kuantan.

Begitulah kita mahu ke syurga-Nya. Al-Quran yang diturunkan itu merupakan petunjuk jalan agar kita tidak tersesat ketika berusaha menuju ke syurga-Nya. Namun, ia tidak dapat difahami kecuali perlu kepada orang yang memberi penjelasan lanjut. Orang tersebut adalah Nabi Muhammad SAW. Tanpa Nabi Muhammad, al-Quran itu tidak dapat difahami secara tepat.

Makanya, perlu diingat. Kita tidak boleh mengatakan kita hanya perlu kepada al-Quran, kerana akal kita amat terbatas dalam memahami al-Quran. Allah SWT telah mempamerkan kebaikannya dengan mendatangkan nabi Muhammad SAW untuk memberi penjelasan lanjut terhadap kandungan al-Quran itu sendiri.

Jadi, sewajarnya kita bersyukur dengan Allah ekoran Allah SWT mengurniakan Nabi Muhammad SAW kepada kita. Kita tidak sewajarnya angkuh dengan menolak nabi Muhammad SAW. Ini kerana, Siapa kita tanpa Nabi Muhammad SAW?

Sekian

Wallahu ‘Alam


Tiada ulasan: